JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Januari 2011

ISU SOSIAL : SEMANGAT PERPADUAN MESTI TERUS DISEMAI


Setiap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan haruslah menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan dan juga meningkatkan usaha ke arah mempromosikan satu budaya yang aman, harmoni dan bersatu. Bagi memastikan keharmonian dan perpaduan di Malaysia, kita perlu memperbanyakkan penganjuran aktiviti antara kaum bermula di peringkat awal dikalangan pelbagai suku kaum dan etnik.

Pendidikan mengenai perpaduan seharusnya bermula di sekolah dengan memberi pendedahan awal di peringkat pusat asuhan, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di mana satu daya usaha boleh dihasilkan bagi mempengaruhi nilai keharmonian dan perpaduan. Pendidikan mengenai perpaduan juga harus bermula di kawasan kejiranan di mana disitulah nilai kehidupan bermula. Tanggungjawab memperkenalkan konsep perpaduan ini tidak hanya dipikul oleh pihak kerajaan. Justeru sektor swasta turut memainkan peranan penting yang perlu digalas bersama. Sektor ini juga harus meletakkan syarat bahawa sumbangan korporat dan tugas-tugas kebajikan tidak hanya memperlihatkan penajaan berunsurkan daya tarikan dan ganjaran menarik seperti dalam penganjuran program berunsurkan hiburan secara besar-besaran. Kumpulan syarikat juga dilihat dapat menyumbang ke arah mengetengahkan keharmonian kaum dan menyatukan pelbagai kaum, mempromosikan pemahaman serta menghargai antara satu sama lain menerusi organisasi ilmu sivik, kebudayaan dan aktiviti kesukanan.

Kehidupan pelbagai kaum dan bermasyarakat merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia telah menjadi sumber rujukan kepada integrasi kaum sekian lama yang turut menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah tempat yang harmoni untuk didiami, menimba ilmu, bekerja dan juga bermain. Dalam kita memperjuangkan 1Malaysia ke arah perpaduan nasional, Yayasan 1Malaysia memainkan peranan untuk mempromosikan sebuah Malaysia yang bersatu dalam konteks kepelbagaian. Prinsip Yayasan 1Malaysia juga menggalakkan perbincangan secara terbuka dan penglibatan di dalam pembangunan sosial yang kritikal, isu awam dan program. Secara amnya Yayasan 1Malaysia sentiasa mencari langkah terbaik dalam mencapai ke arah bangsa Malaysia yang bersatu.

Konsep 1Malaysia perlu mengorak langkah demi mengembalikan proses pembangunan perpaduan melibatkan setiap rakyat Malaysia tanpa memilih bangsa, warna kulit dan kepercayaan. Setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian perlu memberi sepenuh tanggungjawab ke arah memperkenalkan budaya keamanan, harmoni dan bersatu. Meskipun ekonomi dan teknologi maklumat mempelopori era pembangunan hari ini dan masa akan datang, kita perlu terus mengekalkan keharmonian kaum dan perpaduan. Pembangunan ekonomi tidak memberi sebarang makna tanpa wujudnya persefahaman, keharmonian, kebajikan dan kepercayaan sesama kita. Pelaksanaan program perlu diteruskan demi menyemai semangat ke arah memelihara dan memperkukuhkan lagi semangat kecintaan dan patriotisme kepada negara.

UTUSAN MALAYSIA
27 JANUARI 2011

Tiada ulasan: