Isu kenaikan harga barang timbul lagi. Setiap kali pilihan raya kecil isu kenaikan harga barang sering menjadi modal pembangkang untuk mengelirukan rakyat bagi menabur janji manis untuk menurunkan harga barang sebagai taktik memancing undi. Selain isu kenaikan harga barang terdapat juga kebimbangan di kalangan rakyat mengenai berlakunya inflasi di negara ini. Tidak dinafikan terdapat harga barangan yang naik kebelakangan ini. Namun kerajaan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana ada kenaikan harga yang berlaku akibat fenomena global.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini berkata, tidak semua harga barangan boleh dikawal terutama yang diimport. ''Harga barangan tertentu seperti petrol adalah berdasarkan harga pasaran dunia manakala barangan diimport mengalami kenaikan harga berikutan beberapa faktor lain seperti bencana di negara pengimport. "Sebagai contoh harga bawang yang diimport dari India baru-baru ini mengalami kenaikan disebabkan oleh bencana yang melanda negara berkenaan. Kenaikan harga barangan turut berlaku di seluruh dunia," katanya. Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global. Awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus bulan lalu. Ini menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.
Inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang dan penganalisa kini mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti. Pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi. Harga minyak dan komoditi dijangka meningkatkan inflasi harga pengguna pada Disember dengan harga makanan terus meningkat. Baru-baru ini Bank Dunia mengingatkan Indonesia mengenai kadar inflasinya yang tinggi supaya kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia memberi kesan negatif ke atas ekonomi apabila kadar faedah dan pengangguran meningkat. Agensi berita Antara dalam laporan terkininya berkata terdapat ramalan yang bahawa kadar inflasi republik berkenaan boleh mencapai tujuh peratus pada akhir tahun ini.
Indonesia yang mendakwa kadar inflasinya masih boleh ditangani bagaimanapun mahukan Bank Dunia menyokong polisi fiskal yang dilaksanakannya. Reuters pula melaporkan syarikat-syarikat di China dan India yang selama ini menikmati ekonomi yang kukuh turut bimbang menghadapi risiko inflasi. Inflasi dan peningkatan gelembung aset syarikat-syarikat utama menjadi kebimbangan gergasi ekonomi Asia dan ekonomi ketiga dunia, kata pakar yang ditemui pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland baru-baru ini. Pengerusi syarikat pembuat tayar India, Apollo Tyres, Onkar Kanwar berkata, harga minyak dan getah asli melonjak seumpama emas kini. Peningkatan harga pelbagai komoditi termasuk gula dan besi memaksa beberapa perniagaan asing dan tempatan yang beroperasi di China dan India menyebabkan pengguna menanggung kos berkenaan.
Inflasi makanan di India berada pada 15.5 peratus pada bulan Disember. Ia merupakan yang paling tinggi di antara ekonomi utama Asia diikuti dengan China dengan kadar inflasi makanannya sembilan peratus. Di India, inflasi makanan meningkat dalam angka dua digit kebelakangan ini dan perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Di China pula penulis-penulis blog melahirkan rasa kecewa terhadap harga barangan yang semakin meningkat. Justeru, adalah tidak adil menggunakan isu kenaikan harga untuk menanam sentimen anti-kerajaan kerana ia adalah satu fenomena global yang melanda banyak negara. Apa yang penting, rakyat perlu menyokong kerajaan dalam melaksanakan pelbagai pendekatan dan strategi untuk mengawal berlakunya inflasi.
Rohani Ibrahim
Utusan Malaysia
27 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan