Sesungguhnya
apabila kita makan,
kita bukan saja makan,
tetapi ‘makan sampai mati’.
Tahun lalu, Malaysia dilaporkan berada di tempat keenam di Asia dari segi masalah kegemukan. Apa yang lebih teruk, kita sedang menyumbang ke arah menjadikan anak kita juga tidak sihat, memandangkan anak hari ini lebih gemuk daripada generasi sebelum mereka. Macam mana kita boleh sampai ke peringkat ini? Pada suatu masa dulu, kita adalah masyarakat pertanian yang hidup secara sederhana dan makan apa yang kita tanam. Makanan kita segar, semula jadi dan cukup untuk keperluan kita. Hari ini, tiada apa yang cukup bagi masyarakat kita. Kita mahu lagi, lagi dan lagi. Di sekeliling kita, setiap hari kita melihat tabiat suka berlebih-lebihan. Sebagai contoh, segala majlis dan upacara yang diadakan atas nama perayaan dan sambutan, makanan yang disajikan selalunya lebih daripada apa yang diperlukan.
Malangnya, kini kita sedang membayar bagi tabiat berlebih-lebihan itu dan anak kita akan menderita akibat cara kita membesarkan mereka dan memupuk tabiat mereka – tabiat berlebih-lebihan. Selepas usaha bertahun-tahun dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar dan media untuk mencetuskan kesedaran, saya percaya rakyat Malaysia bukannya tidak tahu akan bahaya kegemukan. Kita tidak boleh kata yang kita tidak tahu bagaimana hendak mencegahnya. Dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kesihatan dan ahli politik, saya bertemu dengan banyak orang yang berpengetahuan dan mengambil berat mengenai kesihatan. Bagaimanapun, mereka mengakui tidak mudah mengamalkan gaya hidup sihat. Pengetahuan mengenai kesihatan semata-mata tidak cukup. Saya percaya manusia akan hanya mengamalkan gaya hidup sihat jika mereka bersedia mengubah fikiran, lakukan dengan sepenuh hati dan disokong dengan persekitaran yang betul.
Semua faktor ini menjadi cabaran kepada kami yang berkhidmat dalam sistem kesihatan negara – bagaimana hendak mendorong orang ramai supaya menjaga kesihatan mereka. Masalah ini membuatkan saya tidak nyenyak tidur. Bagaimana hendak meyakinkan mereka yang terus merokok dan makan ikut nafsu, walaupun mereka sedar ia tabiat buruk? Di negara kita ada terlalu banyak tempat makan. Makanan pula disajikan dengan banyak. Kantin sekolah menjual makanan tidak berkhasiat. Pihak media pula menganjurkan idea seolah-olah kemakmuran diukur dengan kemewahan. Di mana agaknya kita boleh mula melakukan perubahan supaya masyarakat dan badan berkenaan menyediakan persekitaran yang boleh mendorong orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat? Kita boleh mengambil iktibar daripada kempen antikegemukan yang dijalankan di negara lain mendapatkan ilham, terutama sekali cara baru yang digunakan bagi menjalin kerjasama antara pelbagai sektor dalam masyarakat.
Kempen ‘Let’s Move!’ di Amerika Syarikat digerakkan Wanita Pertama Michelle Obama dengan tujuan menangani masalah kegemukan kanak-kanak dalam satu generasi supaya anak yang dilahirkan hari ini akan dewasa dengan berat badan yang sihat. Kempen itu membabitkan setiap sektor yang ada kaitan dengan kesihatan kanak-kanak. Dalam kempen ini, sekolah, keluarga dan masyarakat dibekalkan dengan perkakasan bagi membantu anak supaya menjadi lebih aktif, makan dengan lebih baik dan menjadi lebih sihat. Saya kagum dengan apa yang dapat dicapai melalui kempen itu dalam masa kurang daripada setahun ia dimulakan. Kongres Amerika Syarikat pula meluluskan Akta Kanak-Kanak Sihat, Tidak Lapar, yang bertujuan memastikan setiap anak di negara itu mendapat pemakanan asas yang diperlukan.
Bagaimanapun, kempen ini bukanlah semata-mata mengenai mengadakan undang-undang. Ia bertujuan membawa perubahan sebenar dalam hidup manusia. Misalnya, industri makanan berikrar mengurangkan kalori dalam makanan dikeluarkan, manakala American Academy of Pediatrics pula memberi komitmen untuk memeriksa kanak-kanak bagi mengesan masalah kegemukan, setiap kali lawatan. Kempen itu juga mendapatkan sokongan daripada ahli sukan profesional daripada National Football League, Major League Baseball dan liga profesional lain sebagai ikon untuk dijadikan ikutan. Lebih 2,000 tukang masak profesional pula membantu sekolah menyediakan makanan lebih sihat. Malaysia juga boleh belajar daripada kempen lain supaya kita dapat menunjukkan segala mesej dan strategi ke arah sasaran yang betul dan dengan berkesan. Program ‘Change4Life’ Jabatan Kesihatan United Kingdom membabitkan kempen televisyen dengan kos RM38 juta dikritik sebagai ‘terlalu simplistik’ dan dilanda isu percanggahan kepentingan kerana sebahagian daripadanya ditaja oleh pengeluar utama makanan berlemak dan bergula.
Masanya tepat bagi kita meneliti betul-betul kempen gaya hidup sihat dan mengenal pasti apa yang perlu diperkukuhkan. Kita perlu berterus-terang dan bertanya, sama ada kempen kita sedang mencapai kejayaan dalam mendidik kanak-kanak supaya tahu memilih makanan sihat? Apakah pihak berkuasa tempatan menyediakan tempat riadah yang cukup bagi mendorong orang ramai supaya lebih banyak terbabit dalam kegiatan gerak badan? Berjayakah kempen kita mempengaruhi perubahan dasar seperti penyediaan makanan lebih sihat di kantin sekolah? Berjayakah kita mempengaruhi industri makanan mengubah produk dan amalan pemasaran mereka? Paling mustahak, percayakah bahawa kita boleh melakukan sesuatu untuk membawa perubahan? Seperti kata Michelle Obama: “Akhirnya, sebagai Wanita Pertama, semua ini bukanlah sekadar satu isu dasar bagi saya. Ia sesuatu yang tertanam jauh di lubuk hati saya. Ini satu misi bagi saya.” Kita juga perlu memiliki perasaan dan komitmen sekuat Michelle Obama. Jika tidak, kita tidak akan berjaya.
Menteri Kesihatan
Datuk Seri Liow Tiong Lai
www.liowtionglai.com/blog
Twitter@liowtionglai
BERITA HARIAN
26 JANUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan