JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Januari 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : PENARAFAN KERETA TEMPATAN MAMPU KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN


Reka bentuk dan ciri keselamatan adalah aspek utama yang perlu diambil kira dalam menghasilkan sesebuah kenderaan. Selain faktor kesilapan manusia yang sering dibangkitkan jika berlaku sesuatu kemalangan, aspek fizikal kenderaan juga wajar dititikberatkan tanpa kompromi. Memastikan keadaan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum dibenarkan berada di jalan raya oleh syarikat automotif tempatan wajar menjadi prasyarat utama. Langkah itu dapat menjamin pemandu dan penumpang tidak terdedah kepada risiko kemalangan maut akibat kelemahan aspek teknikal sesebuah kenderaan yang dikeluarkan. Pengguna wajib mengetahui tahap serta ciri keselamatan kenderaan yang dikeluarkan sebelum membuat keputusan membelinya. Pada masa sama, pihak pengeluar tidak wajar menyembunyikan kelemahan kenderaan yang dikeluarkan hanya bagi menjaga nama baik syarikat atau meraih keuntungan.

Sehubungan itu, kita menyambut baik langkah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk memperkenalkan Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP). Melalui MyVAP, setiap model kenderaan akan dinilai dan diberi penarafan dari satu bintang sehingga lima bintang. Kita percaya ia mampu memberi kesan besar dalam membantu pengguna membuat pilihan sebelum memutuskan model mana yang mempunyai ciri keselamatan terbaik. Antara penilaian spesifikasi utama keselamatan yang akan diambil kira termasuk sama ada dipasang beg udara atau sistem brek dilengkapi ABS. Justeru, pada masa depan kita juga mahu ujian pelanggaran dimasukkan dalam ciri keselamatan utama yang perlu dinilai MyVAP sebelum sesebuah kenderaan itu dibenarkan berada di atas jalan raya.

Ujian pelanggaran ini yang dibuat melalui Program Penilaian Kenderaan Baru (NCAP) sebenarnya sudah lama diperkenalkan kebanyakan negara maju seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Kita berharap pusat khas bagi ujian pelanggaran itu yang dicadangkan kerajaan dibina di Bukit Katil, Melaka membabitkan kos RM5 juta dapat disiapkan segera. Aspek keselamatan kenderaan adalah perkara penting dan ia tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak, apatah lagi negara kita berhadapan dengan kes kemalangan jalan raya yang tinggi. Kita tentunya tidak mahu pengeluar hanya menekankan soal promosi seperti aspek harga, penjimatan bahan api atau kecantikan berbentuk luaran semata-mata. Kita juga tidak mahu berlaku ‘double standard’ dari aspek kualiti oleh pengeluar tempatan dengan model kenderaan yang dieksport memiliki ciri keselamatan lebih baik berbanding digunakan di negara ini.

Pada masa sama, kita berharap pihak pengeluar tidak menaikkan harga jualan kenderaan mereka disebabkan kos yang terpaksa ditanggung kerana perlu menjalani ujian pelanggaran dan pelbagai ujian lain kepada pembeli. Kita percaya dalam jangka panjang jika semua model kenderaan tempatan melalui penilaian MyVAP atau NCAP, ia mampu meningkatkan jualan kenderaan syarikat masing-masing, terutama untuk pasaran eksport ke negara yang menetapkan peraturan dan keperluan penilaian NCAP. Kita yakin tiada seorang pun pembeli kenderaan sanggup mengambil risiko membeli kenderaan yang diketahuinya tidak menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan. Ketika kita berbangga mempunyai kenderaan keluaran tempatan bertaraf lima bintang, sewajarnya juga kita mempunyai pemandu kenderaan berstatus sama yang mengutamakan aspek keselamatan dan memandu cara berhemah di jalan raya. Jika ini dicapai, pastinya kadar kemalangan dalam negara dapat dikurangkan pada tahap terendah, sekali gus negara dapat berbangga mempunyai pemandu bertaraf lima bintang.

Ruangan Minda Pengarang

BERITA HARIAN
27 JANUARI 2011

Tiada ulasan: