JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Oktober 2010

JANGANLAH BERSEDIH


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sebagai manusia yang punya akal dan perasaan kita memang berhak untuk bersedih. Kesedihan boleh menjelmakan pelbagai kepuasan kepada setiap individu namun kesedihan jua boleh menambah berat beban yang ditanggung. Kita biasanya bersedih jika impian atau cita-cita kita tidak kesampaian. Kita mudah menyalahkan diri sendiri dan mengatakan orang lain yang berjaya itu memang lebih handal dan lebih hebat daripada kita. Kesedihan yang bertakhta di jiwa kita boleh menyebabkan kita mudah berputus asa dan tidak ingin berusaha untuk bangkit kembali kerana kita begitu mudah menyerah. Akhirnya, kita akan terus menjadi orang yang gagal dan gagal sehingga ke akhir hayat.

Kita juga biasanya bersedih jika perkara yang kita inginkan tidak menjadi seperti yang kita impikan. Seorang guru seperti saya biasanya mahu semua pelajar yang dididik sentiasa berjaya dalam pelajaran dan mempunyai sahsiah yang terpuji. Alangkah hancurnya hati apabila pelajar yang dididik mencemuh dan melawan apabila ditegur. Pelajar yang diharapkan untuk berjaya tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, pelajar tidak faham betapa kasih sayang seorang guru adalah untuk semua pelajar-pelajarnya bukan untuk sebilangan sahaja. Akan tetapi, masih jua ada yang bermakan hati dan menuduh guru tersebut pilih kasih dan sebagainya.

Janganlah bersedih jika berhadapan dengan situasi sebegini kerana kesedihan itu akan memakan diri juga pada akhirnya nanti. Hargailah pada diri sendiri. Sayangi dan cintailah diri sendiri. Jangan dibiarkan kesedihan itu menjadikan kita lebih tua daripada usia kita yang sebenarnya. Percayalah, masih banyak ruang yang tersedia di muka bumi ini untuk kita bergembira demi melenyapkan setiap kesedihan yang datang ke ruang lingkup kehidupan kita.

Tiada ulasan: