JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Oktober 2010

KARANGAN PELAJAR TINGKATAN ENAM: ISU PERTAHANAN DAN KESELAMATAN NEGARA


TAJUK KARANGAN

Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit Malaysia setiap tahun untuk membeli kelengkapan ketenteraan dan meningkatkan kebajikan pasukan pertahanan. Bincangkan sebab-sebab kekuatan ketenteraan Malaysia perlu ditingkatkan dan masalah yang menyekat perkembangannya.


Malaysia, sebagai sebuah negara yang berdaulat, memerlukan tentera untuk mempertahankan keutuhan wilayahnya. Keselamatan rakyat dan harta juga bergantung pada benteng pertahanan negara yang terdiri daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Diraja Malaysia (TDDM), dan Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM). Setiap negara pasti mementingkan pasukan tenteranya untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Jadi, memang perlu untuk Malaysia meningkatkan kekuatan ketenteraannya asalkan kita mampu. Namun, beberapa masalah timbul dalam usaha kita hendak memperkuat pasukan tentera kita.

Barisan pertahanan yang kuat diperlukan untuk menjamin keselamatan negara sepanjang masa. Sungguhpun kini Malaysia tidak menghadapi ancaman musuh negara, namun kita tidak harus leka dan lalai. Pasukan tentera kita perlu bersedia sepanjang masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dunia ini tiada kawan dan musuh buat selama-lamanya. Penaklukan Kuwait oleh Iraq dapat kita jadikan sebagai iktibar. Kuwait ditakluki jirannya, yang sebelum ini dianggap saudaranya, dalam masa 24 jam sahaja pada tahun1990. keganasan antarabangsa yang banyak berlaku juga menyebabkan Malaysia perlu meningkatkan kelengkapan ketentearannya. Pada tahun 2001, World Trade Centre di New York diserang pengganas. Pengeboman di Bali (Indonesia) dan Golok(Thailand) juga mungkin melarat ke negara ini dan oleh itu perlu diberi perhatian serius. Jadi, memang perlu untuk kita meningkatkan kekuatan pertahanan negara.

Pasukan tentera bukan sahaja berguna untuk menghadapi serangan musuh, tetapi juga berguna untuk memberikan bantuan pada masa kecemasan atau malapetaka. Tenaga perajurit kita dapat dikerah bila-bila masa sahaja. Misalnya, semasa tragedi gempa bumi dan tsunami, pasukan penyelamat tentera telah dikerah untuk menyelamatkan mangsa. Misi kemanusiaan ini amat dialu-alukan oleh negara yang ditimpa bencana tersebut. Malaysia juga sering dilanda banjir. Tentera kita dapat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat. Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) merupakan pasukan komando yang penting untuk menjalankan tugas yang berbahaya dan yang mencemaskan.

Pasukan tentera kita juga dapat menyumbang kepada kebajikan sosial. TUDM, misalnya, sering membuat penerbangan ihsan untuk membawa pesakit yang kronik ke Hospital Kuala Lumpur ataupun Institut Jantung Negara. Para doktor tentera juga memberikan rawatan kesihatan percuma kepada penduduk di kawasan pedalaman. Angkatan tentera kita juga membantu menyediakan kemudahan awam seperti jambatan dan jalan untuk penduduk setempat di kawasan pedalaman. Rumah golongan miskin juga dibina dengan tenaga tentera kita. oleh itu, memang wajar kita meningkatkan mutu ketenteraan kita kerana mereka turut menyumbangkan tenaga pada masa-masa biasa kepada golongan daif dan miskin.

Tentera kita juga mampu menyumbang kepada keamanan dunia selain memgharumkan nama negara. Tentara kita sentiasa berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi keamanan dunia, misalnya dalam pasukan UNIMOG,UNITAG, UNPROFOR dan sebagainya. Tentera kita berjaya dalam memulihkan keamanan dan melindungi mangsa-mangsa perang di negara-negara yang dilanda perang saudara seperti Bosnia-Herzegovina, Kemboja, dan Somalia. Hal ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap keamanan dunia dan meningkatkan imej serta kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Dengan ini, Malaysia kini dianggap wira Dunia Ketiga.

Ekoran pertumbuhan ekonomi negara yang pesat, semakin banyak pemuda pemudi keberatan menyertai pasukan tentera Malaysia. Jika dibandingkan dengan sektor swasta, penawaran gaji dalam bidang ini kurang lumayan. Anggota tentera juga perlu memiliki ketahanan mental dan fizikal yang kental. Anggotanya perlu menjalani latihan yang lasak dan mengamalkan disiplin yang ketat. Tentera kita juga terpaksa berkorban dengan meninggalkan keluarga ketika beroperasi di dalam mahupun di luar negara. Sememangnya risiko kehilangan nyawa juga lebih tinggi berbanding dengan bidang pekerjaan yang lain. Tambahan lagi, pegangan anggota tentera ialah berkorban jiwa dan raga untuk tanah air yang tercinta. Hal ini menakutkan pemuda pemudi yang menginginkan kesenangan hidup.

Kos penyelenggaraan yang besar juga membebankan negara. Kem-kem tentera yang yan lengkap dan tempat tinggal untuk keluarga tentera perlu disediakan. Kos latihan ketenteraan juga menelan belanja yang tinggi, misalnya latihan penerbangan dan sebagainya. Untuk mengekalkan serta meningkatkan mutu ketenteraan, alatan canggih juga perlu dibeli. Misalnya, pembelian jet pejuang dan kapal perang yang menelan belanja berbilion-bilion Ringgit Malaysia setahun. Sekiranya kedudukan kewangan negara kurang kukuh, hal ini pasti akan membebankan kewangan negara dan menambah defisit akaun semasa negara.

Konklusinya, pasukan tentera yang kuat memang diperlukan demi mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah. Perancangan pembangunan ketenteraan penting supaya angkatan tentera kita berupaya menghadapi sebarang kemungkinan. Namun,pembangunan bidang ini janganlah sampai menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi negara. Masalah rakyat kita kurang berminat menyertai pasukan tentera perlu diatasi. Kita , sebagai rakyat, haruslah bersemangat patriotik, rela berkorban untuk bangsa, nusa dan agama.


HASIL KERJA PELAJAR
Nama Pelajar : Lau Kiu Toh
Kelas : U6A1
Tahun : 2009

Tiada ulasan: