TAJUK KARANGAN
Di Malaysia, golongan orang kurang upaya (OKU) sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan daripada masyarakat dan kerajaan. Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membantu OKU agar mereka dapat berdikari dan berupaya menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara.
Sejak negara kita merdeka, semua pihak termasuk golongan istimewa atau yang sering dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) turut terlibat memberi sumbangan dalam pembangunan negara. OKU ialah manusia yang tidak sempurna tubuh badan mereka dan cacat anggota. Namun begitu, mereka juga merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai perasaan, kebolehan, keterampilan, bakat dan kepintaran dalam pelbagai bidang seperti manusia normal yang lain. Oleh itu, kita harus memberi layanan yang sopan kepada mereka supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Kehadiran golongan OKU dalam masyarakat sewajarnya dihargai dan diberi keutamaan agar mereka dapat berdikari dan juga berupaya menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara.
Kerajaan akan menubuhkan pusat pemulihan dalam komuniti bagi OKU dalam RMK-9 dengan lebih banyak. Pusat pemulihan itu akan dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif bagi OKU. Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pusat pemulihan tersebut ialah pemeriksaan dan pengesanan ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai OKU, serta perkhidmatan sokongan. Di samping itu, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dapat menggalakkan sikap prihatin, berdikari dan rasa tanggungjawab masyarakat tempatan terhadap OKU. Sebagai contoh, Pusat Pemulihan dan Latihan Industri di Bangi telah menyediakan latihan kepada 703 OKU dalam bidang komputer, mereka bentuk dan membuat pakaian, membuat peralatan prostetik dan orthotik serta kerusi roda. Keadaan ini mampu mengembalikan kemahiran yang telah hilang akibat kemalangan bagi meningkatkan kemampuan mereka bekerja dan berdikari. Dengan keterangan yang diberikan, terbuktilah bahawa penubuhan pusat pemulihan bagi OKU dapat membantu mereka supaya hidup lebih berdikari.
Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, agensi kerajaan yang lain dan Pertubuhan Kebajikan Sukarela (NGO) pula bergerak aktif dalam perkhidmatan pemulihan bagi OKU. Dalam sektor awam, satu peratus peluang pekerjaan diperuntukkan kepada OKU menyebabkan pelbagai jenis pekerjaan telah dijawat oleh golongan istimewa ini iaitu dari peringkat kumpulan sokongan sehinggalah peringkat profesional dan pakar. Bagi sektor swasta pula, kerajaan membenarkan potongan cukai kepada majikan yang mengeluarkan belanja mengubah suai tempat kerja untuk pekerja OKU. Dalam hal ini, Jabatan Tenaga Kerja menggalakkan pihak swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU melalui Jawatankuasa Penggalakan Pengajian Orang Kurang Upaya di sektor swasta. NGO pula turut mengadakan Pusat Harian dan Pusat Latihan bagi OKU sebagai perkhidmatan sokongan terhadap program-program kerajaan. Dengan ini, kemampuan mereka untuk bermandiri akan lebih terserlah kerana tidak bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak lain. Pendek kata, penglibatan agensi tertentu dapat meningkatkan semangat OKU agar lebih berdikari.
Perkhidmatan dan kemudahan turut disediakan kepada OKU untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang normal. Geran Pelancaran telah memberi bantuan kewangan kepada golongan istimewa ini yang mempunyai minat dan potensi untuk maju bagi menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil serta memberi galakan kepada penerima bantuan JKM untuk berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, geran ini membolehkan OKU melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat berdikari dengan usaha sendiri. Di samping itu, Elaun Pekerja Cacat bernilai RM200 sebulan disediakan mulai tahun 2004 kepada yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan dapat menggalakkan OKU bekerja dan berdikari tanpa bergantung kepada orang lain. Di bawah Program Perumahan Rakyat Bersepadu pula, pemaju perumahan dikehendaki memperuntukkan 10 peratus daripada rumah pangsa yang dibina dengan kelengkapan dan kemudahan yang sesuai untuk OKU. Tambahan pula, pengangkutan awam seperti rel transit ringan dan bas juga menyediakan kemudahan yang membolehkan OKU bergerak dan menggunakannya tanpa halangan. Jelaslah bahawa, kerajaan telah memberi banyak bantuan dan kemudahan bagi membolehkan golongan OKU menjalani kehidupan normal.
Sementelahan itu, perkhidmatan kaunseling dan khidmat nasihat juga merupakan satu langkah yang dapat membantu OKU. Bagi OKU atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi, keyakinan diri dan sebagainya, mereka boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada Pegawai atau Pembantu Kebajikan Masyarakat yang berkelayakan. Perkhidmatan yang diberikan dapat memberi sokongan dan dorongan kepada golongan tersebut agar lebih bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan. Di samping itu, golongan tersebut dapat meluahkan perasaan mereka tanpa terpendam dalam hati mereka. Dengan itu, mereka akan bersikap lebih terbuka dan sanggup menerima nasib mereka atas takhdir Tuhan. Malahan, golongan orang kurang upaya ini dapat berdikari dan mempelajari pelbagai kemahiran seperti orang normal untuk meneruskan kehidupan mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa perkhidmatan kaunseling dan nasihat yang diberikan kepada OKU sememangnya dapat membantu mereka dalam menjalani kehidupan.
Satu lagi langkah yang kurang pentingnya adalah dengan melaksanakan pendidikan khas oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan. Program ini diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik atau vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Oleh itu, golongan tersebut dapat memperolehi pendidikan atau ilmu pengetahuan seperti orang normal. Mereka juga dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan berupaya mendapat prestasi yang lebih baik berbanding dengan orang normal. Dengan itu, mereka mampu melanjutkan pelajaran hingga menara gading dan mendapat pekerjaan mengikut pencapaian akademik dan atas usaha mereka. Tegasnya, OKU juga dapat memperolehi pendidikan dan kemahiran agar dapat hidup berdikari.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan menubuhkan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya untuk menjaga kebajikan golongan itu. Penubuhan jabatan ini akan membolehkan OKU dapat dibantu dengan lebih sempurna dan teliti bagi memastikan mereka mendapat layanan yang sama seperti golongan masyarakat lain, kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Walau bagaimanapun, OKU juga mahukan hak dan peluang yang sama seperti golongan yang lain supaya mereka tidak berasa terpinggir. Langkah mewujudkan undang- undang khas tersebut akan membolehkan kerajaan menentukan hala tuju OKU dalam pembangunan negara dan komitmen kerajaan untuk menjayakannya. Peruntukan-peruntukan dalam undang-undang itu bukan sahaja menitikberatkan soal kualiti hidup OKU malah diskriminasi terhadap golongan tersebut dapat diatasi sebaik-baik sahaja ia diluluskan. Dengan itu, nescaya OKU akan mempunyai semangat dan tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan mereka. Tuntasnya, penubuhan jabatan tersebut mampu membantu OKU hidup berdikari dan seterusnya berupaya memberi sumbangan dalam pembangunan negara.
Kesimpulannya, setiap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk membangun modal insan OKU dan justeru itulah, "Bersama Membangun Modal Insan OKU" dipilih sebagai tema untuk sambutan Hari OKU pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, peluang harus diberikan kepada mereka tanpa mengira sebarang perbezaan dan selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi hak yang sama kepada semua individu. Kita sepatutnya memberi keutamaan dalam melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran sejajar dengan keperluan semasa, penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran. Oleh itu, kita perlu menghormati dan memberi bantuan kepada OKU kerana mereka juga berupaya dalam memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Dengan itu, pembangunan negara dapat dipergiatkan seterusnya dapat mencapai Wawasan 2020 seperti yang diidamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir.
HASIL KERJA PELAJAR
NAMA PELAJAR : SZE SIEW MEI
TINGKATAN : U6A1
TAHUN : 2009
1 ulasan:
Tun Mahathir bukan bekas perdana menteri suda buskuu😂
Catat Ulasan