Sekali bah sekali pantai berubah, itu adalah bidalan Melayu yang sudah lama digunakan dalam menggambarkan sesuatu perkara yang sering berubah-ubah sama ada melalui evolusi ataupun revolusi. Malangnya, ini tidak berlaku dalam kes corak pemanduan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jalan raya di negara ini. Malah setiap kali musim perayaan dan cuti umum atau sekolah, maka jalan raya menjadi seperti medan perang yang meragut puluhan malah ratusan nyawa. Statistik yang ditunjukkan saban hari dalam media nampaknya tidak menggerunkan para pemandu kita. Bayangkanlah kenderaan komersial yang berskala gergasi dengan puluhan roda dipandu seperti di litar lumba. Bukan sahaja secara biadap tetapi lebih dari itu seperti samseng jalan raya mengawal ketiga-tiga lorong di lebuh raya sehingga menimbulkan kesulitan yang bukan kecil kepada pemandu lain.
Walhal, mereka ini sudah memiliki lesen PSV yang sudah tentu memahami asas pemanduan di lebuh raya yang tidak membenarkan mereka memandu di lorong paling laju walaupun jika ingin memotong. Tidak cukup dengan sikap buruk dan perangai hodoh ketika memandu, kadang kala serpihan tayar yang terkeluar dari roda kenderaan yang menggunakan tayar celup berkualiti rendah turut menimbulkan ancaman kemalangan kepada pengguna lain. Ada lagi yang lebih hebat apabila membawa muatan batu kerikil yang tidak ditutup rapat sehingga jatuh bertaburan menghentam cermin kenderaan yang di belakang. Bukannya mendapat simpati sebaliknya mereka diketawakan apabila cermin hadapan kenderaan pecah atau retak.
Kepada siapa sebenarnya pengguna jalan raya lain ingin mengadu? Kepada penguat kuasa, yang kelihatan seperti gembira menyaman kenderaan persendirian yang dipandu laju. Sehingga sanggup menyorok di sebalik tiang jambatan, di atas bukit di tepi lebuh raya dan pelbagai tempat tersorok lagi. Mereka ini seolah-olah lupa sebenarnya tugas mereka sebenarnya adalah mendisiplinkan pemandu bukannya mencukupkan kuota saman. Tidakkah mereka ini didedahkan sistem penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara maju di mana pemandu yang melanggar undang-undang termasuk memandu melebihi had laju akan dikejar dan diberikan saman serta-merta dan bukannya di saman ekor yang kemudian selepas enam bulan baru dihantar secara pos. Jika begini corak penguatkuasaan peraturan di jalan raya di negara kita, nampaknya ia tidak akan berjaya diperbaiki. Sudahlah ia dibuat seolah-olah secara bermusim, berpilih-pilih dan tidak mengikut satu standard operasi antarabangsa maka apakah yang akan diharapkan lagi?
Kepada pihak Kementerian Pengangkutan, sila semak semula modul sekolah memandu kita. Apakah ia sesuai dengan perkembangan dan pertambahan kenderaan serta corak jalan raya negara kini. Malah tidak pelik sekiranya ramai yang tidak mengetahui cara untuk menggunakan jalan-jalan mengikut kelasnya. Tentu ada juga yang berfikir bahawa memandu di lebuh raya sama saja dengan jalan persekutuan. Apakah pasukan penguat kuasa juga tidak didedahkan dengan modul pemanduan di lebuh raya? Sehingga melalui beberapa pengalaman peribadi apabila soalan berkenaan ditanyakan setengah mereka turut terpinga-pinga apabila dimaklumkan bahawa menghalang lorong laju untuk digunakan bagi tujuan memotong sebagai satu kesalahan atau kenderaan komersial menggunakan lorong paling kanan adalah salah -- tidak diketahui mereka. Kerana itu, insiden sedih berlaku lagi. Ramai yang menjadi korban di jalan raya. Sedangkan ia boleh dielakkan sekiranya semua pihak melakukan sesuatu tindakan secara bijaksana serta teratur.
Bukan hanya hangat-hangat tahi ayam atau sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Tidak ada gunanya wujud Jabatan Keselamatan Jalan Raya jika hanya membuat kempen mengagihkan topi keledar atau menunjukkan cara memakai tali keledar sewaktu musim perayaan. Ia perlu sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Ia perlu dilaksana secara bijaksana, terancang malah perlukan tanda aras tertentu. Jangan terlalu melihat ke dalam dan asyik memikirkan bahawa kita sahaja hebat sedangkan hakikatnya ramai tenaga pakar di luar yang boleh dijemput membantu. Kita perlu menggunakan sedikit belanja bagi mencari pakar untuk berkongsi dalam merangka pelan strategi sebagaimana yang dilaksanakan oleh Polis, Rela dan beberapa Jabatan lain yang sudah melaksanakan transformasi berskala besar.
Jangan lagi menunggu sehingga makin ramai menjadi mangsa ataupun mungkin saudara mara atau anak isteri mereka yang berstatus ketua pengarah atau pengarah sendiri terkorban baru ingin dilaksanakan pembaharuan. Bukalah mata dan buka minda, jangan biarkan jalan raya kita menjadi sungai mayat. Mulakanlah agenda itu sekarang tanpa menangguhkannya lagi sehingga rakyat menjadi jelak dengan pelbagai alasan dan saling menuding jari bagi melepaskan tanggung jawab masing-masing.
Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia
Utusan Malaysia
15 Oktober 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan