Jika anda pernah mengharungi Sungai Rajang, anda pasti terpesona dengan kepanjangan dan keindahannya. Di sepanjang sungai terpanjang di Malaysia – 563 kilometer itu – ada banyak penempatan penduduk pribumi Sarawak, termasuk rumah panjang Iban. Perjalanan dengan bot ekspres menuju ke pekan Kanowit, Song, Kapit atau Belaga dari Sibu pasti memberi pengalaman unik kepada mereka yang memiliki jiwa kembara, apatah lagi perjalanan melalui jeram yang begitu mencabar ke arah Belaga yang menuntut pemandu yang berani, berpengalaman dan mahir. Perjalanan mengharungi jeram dipenuhi batu dan batang balak tentu bukan untuk mereka yang lemah semangat atau penakut, kerana bot laju yang digunakan boleh terbalik bila-bila masa jika berantakan dengan bongkah batu yang tidak kelihatan dari permukaan sungai.
Sungai Rajang sebenarnya adalah dari Banjaran Iran di tengah Pulau Borneo merentang hingga ke Laut Cina Selatan. Mereka yang ingin mempelajari budaya dan adat resam kaum minoriti seperti Kejaman, Sihan, Lahanan, Kanowit, Penan, Kayan, Kenyah dan seumpamanya, dapat mencuba menaiki bot laju atau bot ekspres menuju ke Belaga. Sesungguhnya, Sungai Rajang menganugerahkan kepada Sarawak bukan saja kemudahan dari segi sistem pengangkutan air tetapi juga destinasi pelancongan yang menarik. Sungai Rajang mempunyai beberapa cabang sungai lain seperti Batang Balui, Sungai Katibas, Sungai Baleh, Sungai Bangkit dan Sungai Kanowit. Sibu terletak 60 kilometer dari muara Rajang, manakala Kapit terletak sekitar 126 kilometer dari Sibu.
Pada minggu lalu, Sungai Rajang menarik perhatian bukan saja penduduk di sepanjang sungai berkenaan, tetapi juga penduduk dunia, dengan berita mengenainya turut disiarkan melalui BBC. Jarang-jarang sungai yang dikaitkan dengan Empangan Bakun yang dikatakan berharga sekitar RM7 bilion itu menarik perhatian dunia. Jika pun sungai itu menarik perhatian media nasional sebelum ini, ia adalah kerana isu Bakun dan kemalangan bot ekspres atau bot laju yang berlaku di sungai terbabit. Pada petang Khamis minggu lalu, pekan Kapit yang biasanya sunyi tiba-tiba gempar apabila penduduknya menyaksikan satu kejadian luar biasa. Mereka hairan bagaimana begitu banyak batang balak, kayu dan komponen ‘rebak’ lain hanyut memenuhi dan mencekik Sungai Rajang. Banyak pihak, termasuk menteri kanan negeri menyifatkan fenomena itu sebagai malapetaka alam dahsyat. Jika kejadian seumpama ini berlaku di luar negara, kita akan dapat membayangkan bagaimana penduduk akan bangkit memprotes dan menyuarakan kebimbangan mereka.
Hakikatnya, itu bukan pertama kali kejadian sama menimpa sungai Rajang, tetapi kali ini, ia begitu dahsyat dan mendatangkan kesan yang luar biasa. Pada 2008 kejadian sama pernah menimpa Sungai Ga’at, manakala tahun lalu di Sungai Tunoh biarpun tidaklah sedahsyat minggu lalu. Kejadian minggu lalu dikatakan berpunca dari kawasan Putai dan Nungan di bahagian hulu Sungai Baleh. Apakah yang menjadi punca kejadian luar biasa dahsyat itu? Kini, perbincangan masih hangat di kedai kopi di Sibu, Kanowit, Song dan Kapit. Penduduk cuba merungkaikan jawapan di sebalik kejadian itu ketika kerajaan masih berusaha menyiapkan laporan rasmi.
Pelbagai spekulasi dilontarkan penduduk termasuk aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di kawasan hulu Rajang, tanah runtuh dan hakisan tanah akibat hujan turun tidak henti-henti selama dua hari. Melihat imej yang disiarkan melalui YouTube, anda pasti akan menggelengkan kepala, kesal dan kecewa melihat kejadian itu. Bayangkan sebanyak sekitar 300,000 meter padu sampah sarap, balak dan kayu hanyut mencekik sungai yang indah dan terkenal dengan perkhidmatan 25 bot ekspres itu? Bayangkan juga betapa dahsyatnya apabila jumlah kayu dan sampah sarap berkenaan hanyut sepanjang sekitar 50 kilometer? Sudah pasti, himpunan berkenaan membayangkan kesan kegiatan pembalakan yang melampau yang sudah berlaku bertahun-tahun.
Yang pasti, kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan tidak mematuhi garis panduan yang digariskan menjadi punca. Ketamakan dan kerakusan syarikat pembalakan dan individu yang ingin mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada hutan rimba tropika Sarawak menjadi penyebab utama. Sikap tidak mempedulikan kesan terhadap alam memburukkan keadaan, kerana yang penting bagi golongan ini, ialah sebanyak mana keuntungan dapat diraih. Kita tidak seharusnya mengambil mudah akan alam sekitar sebaliknya semua pihak perlu berusaha sedaya upaya untuk melindungi dan tidak merosakkannya. Memang, kita dapat saja meletakkan kesalahan itu kepada fenomena alam, iaitu hujan lebat yang turun tidak henti-henti untuk beberapa hari. Kita juga dapat meletakkan kesalahan itu kepada paras air yang tinggi dan deras di Sungai Baleh sehingga menghanyutkan segala-galanya dan manusia, terutama pembalak dan syarikat berkaitan sentiasa tidak bersalah.
Jangan hairan dalang yang menjadi punca tidak akan dapat dikenal pasti kerana setakat ini, tidak ada lagi yang secara terbuka mengaku menjadi penyebab. Hakikatnya, ia tidak ada kaitan dengan aktiviti pertanian dan tanah runtuh, melainkan aktiviti pembalakan yang melampau dan tidak terkawal. Pedulikan kesannya terhadap kehidupan penduduk kualiti air dan pelancongan. Inilah akibatnya jika manusia tidak lagi mempedulikan bagaimana alam yang diseksa boleh membawa kebinasaan kepada mereka akhirnya. Kesan segera kejadian itu menyaksikan bagaimana banyak ikan mati dan terapung di sungai dengan memberi rezeki segera kepada penduduk sehingga ada yang dilaporkan berjaya mendapatkan 120 kilogram ikan, termasuk ikan patin dan empurau yang berharga RM800 sekilogram. Ikan berkenaan sukar bernafas kerana kekurangan oksigen disebabkan air yang terlampau tercemar dan penuh dengan selut.
Kesan terhadap alam sekitar dan ekosistem tentu lebih teruk daripada itu dan hanya akan dapat kita rasai dalam beberapa bulan dan tahun akan datang apabila sukar untuk mendapatkan ikan tertentu di sungai berkenaan. Ini tentu menjejaskan pendapatan penduduk yang bergantung kepada sungai untuk mencari rezeki dan jangan hairan sebahagian spesies ikan sepanjang Sungai Melatai ke Sibu akan pupus – satu berita buruk untuk kita semua. Ketika kejadian itu berlaku, segala sistem pengangkutan air tidak dapat beroperasi sehingga menjejaskan perjalanan orang ramai yang hendak pergi atau balik ke pekan di sekitar. Ini amat menyukarkan kehidupan mereka yang terpaksa bergantung kepada pengangkutan air melalui Sungai Rajang. Fenomena itu juga menyebabkan air berlumpur teruk sehingga menyebabkan stesen bekalan air ditutup dan tidak beroperasi untuk beberapa jam kerana tahap pencemaran yang begitu tinggi.
Kejadian itu turut memperlihatkan bagaimana tidak bersedianya kita untuk menangani malapetaka sedemikian. Pemimpin negeri mengakui bahawa kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menanganinya kerana tidak mempunyai kelengkapan dan kemudahan. Bayangkan jika malapetaka lain yang di luar imaginasi kita berlaku di sungai berkenaan pada masa depan? Kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, termasuk fenomena minggu lalu. Tentu tidak memadai untuk berasa lega, kerana kini segala balak dan sampah sarap berkenaan telah hanyut ke Laut China Selatan. Balak berkenaan pasti menimbulkan masalah lain pula, termasuk pencemaran di pantai serta berbahaya kepada kapal dan bot di laut.
Kejadian ini yang diberi liputan meluas oleh media luar negara, termasuk melalui internet dan Facebook dan blog tentu menjejaskan imej negeri yang selama ini mendakwa mengamalkan pembalakan mapan. Kejadian yang berlaku itu sukar dimaafkan dan dalang yang menjadi punca perlu dikenakan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran berguna kepada individu atau syarikat lain pada masa depan. Segala langkah untuk mengelak kejadian serupa berlaku lagi pada masa depan agar imej negara terpelihara dan ekosistem kita terpelihara untuk generasi akan datang.
Oleh Dr Jeniri Amir
Pensyarah Kanan
Universiti Malaysia Sarawak
BERITA HARIAN
15 OKTOBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan