03 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK KAPIT, BUDI DISANJUNG, BAKTI DIJUNJUNG


Tanggal 1 April 2017, tepat pukul 4:00 pagi saya sudah mandi dan menyediakan sarapan pagi untuk diri sendiri. Pagi ini, saya akan ke Kapit untuk memberikan Ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM Penggal 2 kepada pelajar Prauniversiti di Zon Kapit. Daerah Kapit merupakan destinasi wajib saya untuk berkongsi ilmu dan kepakaran kerana jiwa saya terlalu dekat dengan masyarakat di Kapit. Saya merupakan anak pedalaman yang menuntut ilmu di Bahagian Kapit pada suatu masa dahulu, dari Darjah 1 hingga Tingkatan Enam. Jika dikira, bekas tapak kaki saya di bumi Kapit mungkin berjuta-juta kerana disitulah bermulanya sejarah hidup saya. Oleh itu, jika tidak dijemput, saya akan menawarkan diri untuk berjumpa dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu kerana saya ikhlas membantu demi kecemerlangan anak-anak didik di daerah itu. Walaupun sumbangan saya hanyalah kepada subjek Bahasa Melayu namun harapan saya untuk menyuntik semangat kepada anak-anak didik di Kapit sentiasa membara.

Saya bangga menjadi anak Kapit kerana saya tahu hampir kesemua anak-anak Kapit yang berjaya dalam hidup asalnya sama iaitu hidup bergelut dengan kemiskinan dan ketiadaan. Mereka tidak pernah dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Belajar di asrama yang usang sambil ditemani cahaya lilin. Hidup terikat dengan peraturan warden asrama. Akan tetapi, kerana peraturan-peraturan itulah kami maju membawa diri ke hadapan. Kami hidup berdikari. Makan maggie dalam baldi, kami kongsi bersama sebagai alas perut. Itulah sejarah hidup kami yang tidak sama dengan sejarah hidup rakan-rakan di bandar. Lantaran itu, hati saya selalu teringatkan Kapit. Walaupun belum ada kesempatan berkhidmat sepenuhnya di Kapit, sepanjang 20 tahun perkhidmatan menjadi guru ini nama Bahagian Kapit tidak pernah lenyap dari ingatan saya. Apabila melihat anak-anak Kapit yang berjaya dan berjawatan tinggi, saya tumpan bangga dan gembira. Walaupun mereka tidak mengenali saya atau menegur serta menyapa, saya tetap mendoakan agar lebih ramai anak-anak dari Bahagian Kapit seperti mereka. Belia berilmu harus beranak-pinak di Bahagian Kapit untuk memacu pembangunan di kawasan itu agar setanding dan seiring dengan tempat-tempat lain di Malaysia.


PERJALANAN MENGUJI KESABARAN

Pukul 5:20 pagi, saya memandu kereta ke Warf Ekspres Kapit di tepi Sungai Rejang. Sepanjang perjalanan, saya begitu bersemangat sambil mendengar lagu baharu nyanyian Malique ft Dayang Nurfaizah berjudul “Pejamkan Mata”. Saya ulang lagu itu sehingga lima kali, barulah sampai ke destinasi. Selepas mengunci kereta saya pun pergi untuk membeli tiket ekspres, malangnya saya dikhabarkan oleh penjual tiket bahawa tiket sudah habis. Saya merayu supaya dibenarkan masuk. Rayuan saya dilayan. Saya terpaksa berdiri dengan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 jam untuk sampai di Kapit. Niat hati saya untuk membaiki slaid power point ceramah saya hancur musnah. Walau bagaimanapun, demi akan-anak didik di Kapit, saya gagah berdiri. Saya kuatkan semangat dengan mengimbau kenangan semasa kecil, saya dan kawan-kawan saya merupakan anak-anak yang lasak dan tahan dengan segala macam kesakitan. Jika dahulu saya mampu berenang untuk pergi ke sekolah, mengapa berdiri selama tiga jam itu menjadi masalah? Hati saya tersenyum tetapi kaki saya mulai lengguh. Saya mungkin lemah kerana usia.

Lebih kurang dua jam perjalanan, ekspres yang dinaiki pun sampai di Pekan Song, tempat saya dilahirkan. Hati saya berdoa agar ada penumpang yang keluar supaya saya mendapat tempat duduk. Saya berjalan ke tempat Kelas Ekonomi setelah diberitahu tidak ada penumpang yang akan keluar dari kelas perniagaan.  (Naik ekspress pun seperti naik kapal terbang, ada kelas ekonomi dan kelas perniagaan). Nasib saya lagi malang, tempat duduk di kelas ekonomi penuh. Seorang pun penumpang tidak keluar, semuanya pergi ke Kapit. Hati saya tertanya, apakah acara penting yang sedang berlangsung di Kapit pada pagi ini? Saya duduk di tangga ekspres. Tiba-tiba sekumpulan penumpang dari Pekan Song masuk ke dalam ekspres. Keadaan menjadi sesak. Seorang nenek duduk di tepi saya. Kemudian, seorang lagi nenek, tiba-tiba masuk dan berdiri di tepi kami. Saya pada mulanya, tidak mahu memberikan tempat duduk di tangga itu kerana kepenatan berdiri selama dua jam dari Sibu, mulai bersimpati. Mahu tidak mahu saya berdiri sambil mempersilakan nenek itu duduk. Dia amat berterima kasih sambil memegang tangan saya dan mengusap rambut saya. (Cara orang Iban menzahirkan kasih sayang kepada anak muda). Saya berasa amat terharu.


Apa yang saya kesalkan, anak-anak muda yang duduk di kerusi empuk ekspres langsung tidak mahu memberikan tempat duduk kepada orang-orang tua dan ibu yang mengendong anak. Mereka seolah-olah tiada perasaan simpati terhadap orang sebegini. Lebih memilukan lagi, 3 orang remaja yang asyik berswafoto tanpa memperdulikan orang lain dalam ekspres. Inilah sikap masyarakat sekarang. Apabila saya menoleh ke barisan belakang, lebih kurang 6 barisan diduduki oleh sekumpulan wanita yang berpakaian seragam. Mereka mungkin terdiri daripada kakitangan kerajaan. Di sebelah mereka ada dua orang ibu yang sedang mendukung anak kecil. Seorang pun tidak memberikan peluang untuk mereka duduk. Pihak pengusaha ekspres yang tamak mengaut untung tetap juga mengutip tambang buat ibu mengandung dan warga tua seperti dua orang nenek di tepi saya. Akan tetapi, hari ini mungkin Allah murahkan rezeki mereka berdua, saya membayarkan tambang untuk mereka. Rasa kasihan amat mendalam apabila saya melihat mereka batuk tidak henti-henti. Apabila saya bertanya, mereka memberitahu pergi ke Kapit untuk mendapatkan rawatan. Saya kata hari ini hari Ahad, klinik tak buka. Mereka berdua tertawa. Mereka kata hospital tak pernah tutup di Kapit. Saya pula macam tak pernah pergi ke sekolah. Mudah-mudahan mereka sentiasa sihat walafiat. Amin.

CERAMAH DI SMK KAPIT


Saya keluar dari Ekspres pada pukul 9:00 pagi. Kedatangan saya disambut oleh seorang guru yang amat baik dan bertanggungjawab iaitu Cikgu Teoh Say Beng. Saya dengan Cikgu Philip Nyipa dan tiga orang pelajar dari SMK Belaga di bawa ke Dewan SMK Kapit. Saya terharu dengan kedatangan guru dan pelajar dari SMK Belaga. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan perbelanjaan sendiri dan melalui perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendengar ceramah saya. Walaupun bibir saya tidak mengucapkan rasa kekaguman itu tetapi hati saya mendoakan agar mereka mendapat sesuatu untuk dibawa balik ke SMK Belaga dan dikongsikan dengan rakan-rakan di sana. Saya mulakan ceramah saya pada pukul 9:40 pagi. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, pelajar-pelajar menunjukkan sikap yang amat positif. Mereka tidak pergi ke tandas. Mereka tidak berbual-bual dengan kawan. Mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ceramah yang saya sampaikan. Ceramah saya mengandungi tiga bahagian. Setiap bahagian memerlukan masa satu jam 15 minit untuk dilangsaikan. Semua perkara itu pula amat penting untuk dikongsikan. Apa-apapun, saya tetap akan menghabiskan semua slaid sebelum waktu menunjukkan pukul 2:30 kerana pada pukul 3:15 saya akan balik ke Sibu.


Tuhan selalu mempermudahkan kerja saya apabila sampai di Kapit. Masa yang sentiasa cemburu apabila di tempat lain menjadi amat mesra apabila saya berada di SMK Kapit. Walaupun tergendala disebabkan minum pagi dan makan tengahari, ceramah saya tetap sampai ke titik noktahnya. Saya amat berterima kasih dengan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Kapit, Cikgu Jargalia Lidek yang juga merupakan guru Bahasa Melayu STPM yang banyak membantu melancarkan majlis. Beliau seorang guru yang amat rajin dan bertanggungjawab. Pelajar-pelajar beliau amat menyayangi beliau. Komitmen tinggi yang ditunjukkan menyebabkan saya mengagumi beliau. Guru-guru seperti beliau harus beranak-pinak di Bahagian Kapit kerana anak-anak didik amat memerlukan guru-guru yang komited dan berdedikasi. Beliau seperti guru-guru yang mengajar saya 25 tahun dahulu sewaktu saya menuntut di SMK Kapit (1992-1993). Jika bukan kerana jasa Cikgu Mat Yaakub, Cikgu Shahran Haris, Cikgu Mustafa Mohammad, Cikgu Gan, Cikgu Subramaniam, Cikgu Letcheumanan, Cikgu Sammy, Cikgu Nobert Rabar Sumuk, dan sebagainya, tidak mungkin saya akan menjadi seperti hari ini. Cikgu Jargalia merupakan guru yang sehebat mereka.


SAFARI BERAKIT

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Warf Ekspres Kapit barulah saya tahu orang Kapit sedang berpesta. Acara Safari Berakit merupakan acara tahunan di Bahagian Kapit. Bandar Kapit yang selalunya sunyi, dipenuhi oleh lautan manusia. Kenderaan memenuhi segenap ruang untuk menyaksikan perlumbaan bot laju dan pelbagai acara yang dilangsungkan. Malangnya, saya tidak dapat melihat semua itu kerana perlu menyampaikan ceramah, yakni tujuan utama saya ke Kapit pada hari itu. Disebabkan takut tiada tempat duduk, sebaik sahaja terjun dari ekspres saya terus membeli tiket ekspres untuk pulang. Alhamdulillah, tiket ekspres masih ada. Saya beli tiket kelas peniagaan dengan harga RM30.00. Sebenarnya, saya pasang niat untuk bermalam. Saya arahkan seorang kawan untuk cari hotel yang masih ada bilik kosong. Akan tetapi, semua hotel di Bandar Kapit penuh. Niat untuk bermalam tidak menjadi. Meriahnya Kapit semasa sambutan hari April Pool. Gerai-gerai jualan bersusun di jalanan yang menjual pelbagai barangan, pakaian, makanan, dan minuman. Pasukan RELA yang bertugas terlihat ketegasan dan ketangkasan mereka. Begitu juga dengan petugas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).



KASIHAN ORANG KAPIT

Setelah 56 tahun negara kita merdeka, masyarakat di Kapit masih bergantung kepada pengangkutan air sebagai jalan pengangkutan utama. Jalan raya masih belum sampai ke Kapit juga. Kini, usia saya sudah menjangkau 43 tahun, niat untuk memandu kereta sendiri balik ke kampung halaman sendiri, masih juga hadir dalam mimpi dan fantasi. Sampai bilakah akan menjadi realiti? Hanya Tuhan Maha Mengetahui. Apabila melihat orang ramai bersesak-sesak naik ekspres sehingga sanggup duduk di atas atap, mengadai nyawa sendiri, saya menjadi terharu mengenangkan nasib masyarakat di Bahagian Kapit. Saya amat berharap agar pihak yang terbabit menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu ke  Kapit. Sesungguhnya, Kapit merupakan tanah yang mampu memberikan rezeki kepada kerajaan jika dimajukan. Kemajuan terencat disebabkan masalah pengangkutan. Janganlah disisihkan daerah ini dari pembangunan. Hasil balak yang dikeluarkan dari daerah Kapit tolonglah pulangkan balik untuk menyiapkan pembinaan jalan dan jambatan bagi menghubungkan Kapit dengan bandar-bandar utama lain di Sarawak. Kejadian ekspres dan bot karam yang selalu berlaku saban tahun mungkin dapat dielakkan jika ada jalan raya. Keadaan kesesakan yang amat parah apabila tiba musim gawai dayak kerana 95% penduduk di Kapit merupakan kaum Iban. Kesukaran balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Gawai Dayak kadang-kadang menyebabkan kita boleh membatalkan hasrat. Bukannya tak nak balik ke kampung tetapi ekspres sentiasa penuh dengan penumpang menyebabkan niat itu terhalang.

Tatkala orang lain bermandikan sinar neon berkerlipan pelbagai warna, masih ada penghuni rumah panjang di Bahagian Kapit yang bertemankan cahaya pelita. Orang lain ghairah menonton Gegar Vaganza, mereka cuma mendengar radio AM yang mendesir sahaja. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Pergi ke pekan, terpaksa mengadai nyawa meredah jeram. 

Masyarakat di Kapit bukannya antikemajuan dan antipembangunan. Mereka inginkan Komuter dan LRT. Mereka mahu kapal terbang MAS, Air Asia, dan Maswing mendarat di tanah mereka. Walau bagaimanapun, sampai bilakah mimpi-mimpi mereka menjadi realiti? Ruang pembangunan sedikit terhalang disebabkan masalah pengangkutan. Semoga pihak-pihak berwajib menelusuri dan meneliti hal ini dengan lebih tekun dan terperinci memandangkan usia kemerdekaan negara sudah melebihi setengah abad. Tidak meminta bukannya tidak suka. Tidak menagih bukannya tidak sedih. Tidak mendesak bukannya tidak terdesak. Hati mereka penuh harap agar mereka tidak terys tersisih dari arus permodenan negara. Alangkah moleknya, jika didirikan sebuah kolej kemahiran di Bandar Kapit untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari ilmu baharu tanpa perlu berhijrah ke tempat lain. Pada masa ini, kadar penghijrahan anak-anak muda dari Bahagian Kapit ke tempat-tempat lain amat tinggi kerana mereka perlu mencari peluang dan ruang di tanah orang untuk meraih rezeki. Sebilangannya, terus menetap di tempat lain kerana di kampung halaman sendiri tidak menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai kemudahan. Itulah nasib penghuni di bumi Kapit. 

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK


Tepat pukul 2:40 petang, ceramah saya di SMK Kapit pun berakhir. Selepas mengambil gambar, kami dihantar ke Warf Ekspres Kapit. Kita-kira pukul 3:15 petang, ekspres pun bertolak ke Sibu. Saya berharap perkongsian ilmu dengan anak-anak di SMK Kapit, SMK Kapit No.2, SMK Selirik, dan SMK Belaga pada hari ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna. Mereka perlu berjaya untuk melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan dan berilmu di Bahagian Kapit. Semoga terbit sinar keinsafan di hati muda mereka untuk terus mara ke hadapan dengan penuh yakin demi diri, keluarga dan bangsa. Mereka tidak boleh gagal kerana perjuangan masih belum selesai. Tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan darjat Bahagian Kapit terletak di bahu mereka juga pada suatu masa nanti. Sesungguhnya, kejayaan itu mudah digapai andai strateginya betul dan sasarannya mengena. Anak-anakku, hiduplah dengan cita-cita serta harapan yang tinggi kerana orang yang sebegitu sentiasa berusaha untuk mengapai bintang di angkasa. Jangan terperuk di ceruk rasa rendah diri yang menebal kerana orang sebegitu pergerakannya akan tersekat dan terperangkap di sangkar kegagalan sampai bila-bila.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak. 

24 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK MERADONG : JERAYAWARA BESTARI, BUDI TUAN TIDAK TERBELI, SEMOGA TUHAN MEMBERKATI



Jemputan untuk mengadakan perkongsian ilmu di SMK Meradong yang disampaikan oleh Ketua Bahasa Melayu Prauniversiti sekolah itu, Cikgu Wee Tian Chai, saya terima dengan tangan terbuka bak kata pepatah, “kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan”. Walaupun saya tahu, kepakaran saya tidaklah sehebat mana kerana saya masih belajar dan akan terus belajar tetapi atas tiket saya sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Negeri Sarawak, saya tidak boleh menolak setiap pelawaan daripada mana-mana sekolah yang memerlukan khidmat saya. Saya tidak pernah menolak kerana saya takut mengecewakan orang yang mengharap. Bagi saya, selagi diluar waktu persekolahan, saya akan pergi. Oleh itu, waktu hujung minggu saya selalu dirampas oleh jemputan daripada sekolah-sekolah di Sarawak da nada juga jemputan dari Semenanjung Malaysia serta Sabah. Apabila dijemput, saya letakkan harapan orang yang menjemput di tempat yang paling tinggi, saya tidak mahu perkongsian yang saya buat hanyalah sekadar melepaskan batuk ditangga.


Jemputan daripada pihak sekolah SMK Meradong pada tahun ini bukanlah jemputan yang pertama saya terima daripada sekolah tersebut. Pada tahun-tahun lepas, saya pun pergi ke sekolah yang sudah berusia dan melahirkan ramai ilmuan berjawatan tinggi itu. Cuma, jemputan kali ini amat istimewa bagi saya. Saya rasa sungguh bersemangat dan melakukan pelbagai persiapan dari segi ilmu tatabahasa. Kenapa? Biarlah rahsia dahulu. Selepas anda membaca sehingga ke noktah terakhir catatan ini, anda akan tahu sebab utama saya rasa amat teruja pergi ke SMK Meradong pada tanggal 23 Mac 2017. Pagi tadi, saya bangun pada pukul 5:00 pagi. Saya sediakan sarapan dengan membuat pancake dan telur ayam kampung rebus sahaja. Saya minum secangkir kopi hijau. Selepas mandi saya nikmati sarapan sambil menyemak 205 slaid power point yang akan saya sampaikan di SMK Meradong menggunakan Ipad mini saya. Saya bertolak ke SMK Meradong pada pukul 7:45 pagi. Perjalanan saya pada pagi tadi amat lancar. Saya sampai di SMK Meradong pada pukul 8:45 pagi.

ENCIK VINCENT LIONG SHOU CHUAN
PENGETUA BERWIBAWA, IDOLA SELAMANYA

Pengetua SMK Meradong, Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pengetua yang amat berkarisma dan berwibawa. Beliau pernah menjadi pengetua di SMK Sacred Heart lebih kurang lima tahun. Dalam tempoh lima tahun itu, terlalu banyak perubahan dan kejayaan yang dinikmati. Saya masih ingat, di bawah pentadbiran beliau, kami merangkul pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan seperti Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kebangsaan, Anugerah Sekolah Harapan Negara, Anugerah Ketua Menteri Sarawak, Anugerah SPBT peringkat kebangsaan dan sebagainya. Nama SMK Sacred Heart sentiasa menjadi sebutan pengacara majlis semasa perayaan hari guru peringkat bahagian, negeri, dan kebangsaan sebab kejayaan guru-guru sekolah kami dalam Pertandingan Anugerah Guru Inovatif dan sebagainya. Saya dan kumpulan Bahasa Melayu saya pernah beberapa kali mendapat tempat di peringkat negeri dalam pertandingan tersebut. Oleh sebab itu, jumlah Guru Cemerlang di SMK Sacred Heart lebih daripada 20 orang, kemungkinan yang teramai di Malaysia. Itulah kehebatan Tuan Pengetua Encik Vincent Liong. Beliau amat kuat bekerja dan bercita-cita tinggi untuk memajukan sekolah dan warganya. Khidmat cemerlang beliau diteruskan di mana-mana sekolah tempat beliau berkhidmat termasuklah di SMK Meradong.


Saya amat mengagumi beliau. Tempoh masa bekerja dengan beliau di SMK Sacred Heart merupakan tempoh yang amat bernilai dan berharga buat seorang guru yang kerdil seperti saya. Saya menjadi seperti hari ini banyak disebabkan oleh pelbagai dasar dan pembaharuan yang diimplementasikan oleh beliau di SMK Sacred Heart. Dasar-dasar beliau banyak membawa kemajuan kepada kerjaya seseorang guru. Tindakan beliau menjadikan Kajian Tindakan dan Penyelidikan sebagai agenda tahunan sekolah telah menjadikan kami guru-guru yang cemerlang dalam subjek yang diajar. Beliau seorang ketua yang amat tegas tetapi layanan beliau terhadap semua guru amat memikat hati. Beliau banyak memberikan motivasi dan membangkitkan semangat untuk kami berjaya. Oleh sebab itu, kenaikan pangkat saya sebagai Guru Cemerlang akan sentiasa terpahat dalam lipatan memori. Saya banyak mengagumi usaha dan cara kerja beliau untuk mara ke hadapan.

Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pemidato yang hebat. Cara beliau menyampaikan ucapan akan menarik perhatian ramai orang yang mendengarnya. Saya selalu mencatat kata-kata beliau dalam sebuah buku catatan yang masih saya buka hingga ke hari ini. Beliau merupakan seorang pemikir yang bijaksana. Setiap dasar atau pembaharuan yang dibuat tidak ada yang tidak berjaya kerana perancangan beliau amat teliti dan rapi. Beliau amat pandai melayan semua warga sekolah tanpa memandang bangsa, agama, dan budaya hidup mereka. Di bawah pentadbiran beliau, kami amat bersemangat untuk bekerja sehingga berebutkan waktu dan kelas untuk mengadakan kelas tambahan. Kami buat kerja dengan rela hati tanpa dipaksa. Kami datang ke sekolah untuk membimbing pelajar tanpa mengira hari Sabtu dan Ahad. Kami tidak pernah mengeluh kerana banyak kerja kerana kami lihat beliau sendiri tidak henti-henti bekerja sehingga menimbulkan rasa kasihan dan simpati di hati kami. Itulah kehebatan Encik Vincent Liong. Pengetua terlajak hebat yang pernah saya kenali.


KETUA PANITIA DAN GURU-GURU BAHASA MELAYU
BERSATU MELANGKAH, SENADA, DAN SEIRAMA MENUJU KE PUNCAK JAYA

Kedatangan saya pagi tadi disambut oleh semua guru bahasa Melayu SMK Meradong. Mereka terdiri daripada Cikgu Wee Thian Chai (Ketua Panitia BM Prauniversiti), Cikgu Patricia Winnie Gera, Cikgu Liong Siew Ing, Cikgu Masdom Bin Bujang, Cikgu Abang Adzhar, Cikgu Nyandang Legong, dan Cikgu Sida Bte Usop. Sepanjang saya menyampaikan ceramah, guru-guru ini duduk bersama pelajar dan khuysuk mendengar ceramah yang saya sampaikan. Perkara ini menyebabkan saya sentiasa berhati-hati dalam mengulas setiap slaid yang saya tayangkan. Saya takut penerangan saya tidak sampai ke hati dan yang paling saya seram apabila mereka semua sesat sampai tidak menjumpai jalan pulang selepas mendengar ceramah saya. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menanya komen para guru dan pelajar tentang ceramah yang saya sampaikan di mana-mana tempat yang saya kunjungi. Hati dan jiwa saya sahaja yang selalu berdoa agar dipermudahkan usaha dan direalitikan mimpi mereka untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, saya telah lama mengenali guru-guru bahasa Melayu SMK Meradong kerana kami selalu berjumpa semasa saya memberikan taklimat tentang Kerja Kursus Bahasa Melayu Penggal 2 dan Penggal 3.


Apabila melihat kerjasama antara mereka hati saya terpikat. Saya mahu terus tinggal di sini dan menabur bakti bersama-sama mereka. Andai ada kuasa dan peluang itu datang, sudah pasti tidak akan saya sia-siakan.

Mereka nampak lebih bersemangat daripada saya. Saya nampak dari riak wajah mereka terpancar kesungguhan dan harapan tinggi agar SMK Meradong bisa melonjak dari segi GPMP dalam subjek Bahasa Melayu. Saya sentiasa mendoakan dan memberikan harapan dalam hati kepada guru-guru hebat ini. Saya nampak kerjasama saksama mereka amat ketara. Ini menambahkan keyakinan saya, sesuatu yang mengembirakan mungkin akan mereka gapai apabila keputusan Bahasa Melayu Kertas 2, Penggal 2 diumumkan kelak. Saya yakin, jika strategi yang disusun betul dan amalan kerja berpasukan menjadi budaya, tiada yang mustahil untuk dicapai. Semuanya akan menjadi mudah buat guru-guru SMK Meradong. Perjuangan yang penuh ikhlas dan impian pasti akan diberkati Tuhan. Saya percaya, setiap pembaharuan yang saya nampak di sekeliling sekolah SMK Meradong telah menaikkan semangat guru-guru ini untuk sama-sama menaikkan imej sekolah dengan mempertingkat pencapaian dalam bidang akademik. Tahniah dan syabas cikgu-cikgu!

PELAJAR CEMERLANG,
IMEJ SEKOLAH DIJULANG

Sepanjang saya menyampaikan ceramah, saya nampak pelajar-pelajar prauniversiti SMK Meradong menghayati setiap informasi yang saya lontarkan satu persatu untuk dikongsi. Setiap pertanyaan yang saya panahkan tanpa sasaran disambut dengan jawapan yang tepat dan meyakinkan. Mereka tampak berdisiplin dan tekun mengikuti. Walaupun, mungkin ada yang bermimpi di siang hari tetapi pernilaian saya melalui pandangan mata seorang perantara melihat semua mata tertumpu ke arah saya. Ya Tuhan, berikanlah sinar kejayaan buat pelajar-pelajar ini. Jika mereka sukar mengingat, kuatkanlah daya ingatan mereka. Jika mereka culas, kau lenyapkan rasa culas itu, gantikan dengan sifat rajin yang luar biasa. Sesungguhnya, mereka memang mengimpikan kejayaan. Berikanlah keyakinan dan harapan buat mereka. Mereka mampu memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka perlu tingkatkan usaha dan bimbingan berterusan bagi membaiki setiap kelemahan untuk memastikan mimpi jadi kenyataan.


Saya harap pelajar-pelajar ini sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, dan sekolah. Kejayaan mereka amat penting untuk membuktikan kepada guru-guru dan pengetua serta penduduk setempat bahawa mereka merupakan kumpulan yang terbaik yang pernah wujud di SMK Meradong. Kejayaan itu tidak pernah lari jika dia tahu orang yang mengejarnya merupakan orang yang rajin dan sentiasa tidak jemu berusaha untuk mendapatkannya. Dia akan datang menyerah diri kerana dia tahu orang yang rajin itu benar-benar mahu mendapatkannya sebab itu mereka bersusah payah untuk mendapatkannya. Saya mahu pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya belajar rajin-rajin serta menelaah dengan cara yang betul. Mereka perlu menguasai teknik dan kehendak soalan kerana itulah yang akan ditanya semula. Kesedaran untuk berubah dan mencari kebahagiaan hidup untuk keluarga tersayang wajar disematkan di hati agar mereka tidak hilang fokus. Apabila saya menutup sesi ceramah dengan bertanyakan beberapa soalan kuiz, saya amat kagum dengan jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar yang tampil ke hadapan. Cuma, tahap keyakinan dan keberanian untuk tampil ke hadapan harus diperkasa dengan mengikis rasa rendah diri dan rasa malu yang membalut niat untuk bersaing demi melonjak ke tangga yang lebih tinggi lagi.

JALAN ITU NAMPAK MUDAH

SMK Meradong mampu melangkah ke hadapan dengan penuh bergaya berdasarkan acuan seorang pemimpin bestari yang telah dimaklumi kemenjadian kepemimpiannya. Semoga kerjasama antara warganya akan terus subur dan mekar sehingga membuahkan kejayaan yang menyerlah dan mengharum. Harumannya sewangi kasturi yang kekal abdi dan mencambahkan benih-benih suci melata mewangi di seluruh negeri. Semoga anak-anak didik terutamanya pelajar-pelajar prauniversiti yang menghabiskan masa lebih kurang 3 jam mendengar perkongsian ilmu daripada saya mampu menghadiahkan banyak A dalam subjek Bahasa Melayu buat guru-guru mereka yang komited dan berkarisma. Semoga akan terbit rasa kesedaran untuk mara ke hadapan dengan semangat yang kental membara demi menjulang nama SMK Meradong agar mampu berdiri setara dan menjadi role model kepada sekolah-sekolah lain di negara kita. Buat semua guru-guru Bahasa Melayu STPM SMK Meradong, saya rakamkan jutaan terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk melestarikan perkongsian ini sepertimana yang dirancang. Sekiranya ada kekurangan, saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan. Saya masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi lebih baik demi menabur bakti kepada anak didik dan pertiwi. Terima kasih SMK Meradong.



Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

20 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : “HANTU SEKOLAH”, GOLONGAN MINORITI YANG TAK SEDAR DIRI


Semua orang wajib pergi ke sekolah. Sejak berumur 5 tahun lagi kita telah dihantar ke TASKA oleh ibu bapa kita. Kemudian, kita masuk TADIKA sebelum memasuki Tahun 1. Mengapakah kita dihantar ke sekolah? Mengapakah ibu bapa sanggup bersusah payah bangun pada pukul 5:00 pagi untuk menyediakan sarapan dan segala persiapan untuk kita sebelum ke sekolah? Mengapakah ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dan menghulurkan wang saku RM5.00 sehari sekurang-kurangnya untuk kita bawa ke sekolah? Apabila kita sampai di sekolah, kita diajar pelbagai ilmu oleh guru-guru kita. Jika kita malas kita akan ditegur. Jika kita rajin kita akan dipuji. Cikgu jadikan kita contoh kepada pelajar-pelajar lain. Di sekolah banyak undang-undang. Kita tidak boleh bercakap kasar. Kita tidak boleh ponteng sekolah. Kita tidak boleh melawan guru. Kita tidak boleh merokok. Jika kita melakukan kesalahan, kita akan didenda. Ibu bapa kita akan dipanggil. Jika kesalahan berat kita mungkin akan digantung sekolah. Walaupun begitu, kita tetap juga dipaksa bersekolah oleh guru-guru dan ibu bapa kita. Mengapa?

Walau bagaimanapun, ramai pelajar tidak tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka menghabiskan masa di sekolah dengan melakukan pelbagai masalah. Apabila guru menegur mereka melawan. Tindakan demi tindakan dikenakan tetapi perangai tetap juga tidak berubah. Nama mereka menjadi sebutan dalam kalangan warga sekolah. Pelajar yang sebegini bukannya banyak tetapi populasi golongan minoriti yang tak sampai 5% daripada jumlah pelajar di sesebuah sekolah ini memang boleh menaikkan darah guru. Semasa guru mengajar mereka bersenda gurau. Semasa aktiviti kokurikulum mereka ponteng. Pendek kata, perkara yang bermain di minda pelajar-pelajar ini semuanya yang negatif. Saya gelarkan pelajar-pelajar ini “Hantu Sekolah”. Perangai orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun tidak seperti mereka. Sepanjang masa mereka berada di sekolah, golongan ini menyisihkan diri daripada semua guru dan pelajar kerana mereka cenderung melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan pelbagai masalah. Golongan ini boleh bergaduh pada bila-bila masa kerana perangai samseng “tahi kucing” mereka. Siapakah yang rugi?

GURU TIDAK RUGI SATU SEN PUN

Apabila “Hantu Sekolah” ini melakukan masalah, yang bersusah payah menyelesaikan masalah mereka ialah guru-guru terutamanya Pengetua, Penolong Kanan HEM, guru-guru disiplin dan pelbagai pihak yang lain. Jika mereka memberikan kerjasama, mudahlah jalan penyelesaiannya. Akan tetapi, jika mereka degil dan tidak mengaku, maka jalan penyelesaian kadang-kadang menjadi buntu dan melibatkan pelbagai saksi untuk tampil. Apabila ibu bapa mereka dipanggil pula satu lagi senario akan muncul. Ibu bapa yang baik dan memahami tugas guru, akur dengan keputusan pihak sekolah manakala ibu bapa yang jenis menyebelahi anak-anak mereka, guru menjadi sasaran cacian dan makian mereka walaupun anak mereka yang bersalah. Guru akan dihina sehingga soal gaji guru dan imej sekolah akan dijadikan senjata untuk menyerang guru. Biarpun begitu, guru tidak pernah melawan. Mereka tetap juga menunjukkan jalan yang betul dan lurus. Mereka berusaha juga menyelesaikan masalah. Mereka tidak pernah mengalah. Kadang-kadang saya sedih melihat sikap segelintir ibu bapa yang suka bertindak melulu menyerang guru di sekolah. Mereka terlalu percaya kata-kata anak-anak mereka sehingga mengambil keputusan terburu-buru dan akhirnya yang malu diri mereka sendiri.

Datang ke sekolah untuk bersekolah. Bersekolah untuk mendapatkan ilmu. 
Ilmu itu penting untuk masa depan. 
Tiada ilmu, tiadalah masa depan.  

Segelintir “Hantu Sekolah” ini terlalu dimanjakan. Cara didikan yang mendewa-dewakan anak di rumah menjadikan mereka seolah-olah anak raja juga di sekolah. Mereka menganggu pelajar-pelajar lain dengan pelbagai ugutan, ancaman, dan sebagainya sehingga mencetuskan pergaduhan. Apabila kes menjadi besar mereka boleh menjadi pengelipur lara yang bijak berseloka dan bercerita. Mereka tidak pernah salah. Merekalah makhluk Tuhan paling beriman! Akan tetapi, saya kagum dengan ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak sebegini memang bersetuju dan akur dengan tindakan pihak sekolah. Mereka memberikan sokongan kepada pihak sekolah. Mereka memarahi anak mereka yang melakukan kesalahan itu. Mereka memohon maaf kepada mangsa dan guru-guru. Mereka tebalkan muka untuk datang berbincang dengan pihak sekolah tentang masalah anak mereka. Golongan ibu bapa yang sebegini masih ramai lagi. Golongan yang tahu tugas guru-guru di sekolah dan faham tujuan dan matlamat mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Walaupun mereka berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat, apabila dipanggil untuk berbincang tentang anak-anak, mereka sedia memberikan kerjasama. Tahniah dan syabas diucapkan!

YANG RUGI AWAKLAH JUGA

Sepanjang pemerhatian saya sebagai seorang guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, golongan “Hantu Sekolah” ini biasanya tidak ada yang betul-betul berjaya dalam hidup. Hampir 90% pintu masa hadapan mereka akan tertutup sebaik sahaja menerima keputusan SPM. Mereka gagal subjek Bahasa Melayu atau Sejarah. Pada masa itu, barulah mereka ibarat sudah terhantuk baru terngadah. Yang sedar diri akan kembali ke pangkal jalan. Mereka membetulkan segala kesilapan. Mereka susun kembali langkah kaki. Mereka berubah untuk tidak menjadi “hantu” lagi. Ada yang berjaya juga walaupun terpaksa membazirkan banyak masa tetapi nawaitu mereka betul untuk membaiki diri agar tidak terus sesat dalam hasutan nafsu dan syaitan. Sesungguhnya, Tuhan sentiasa memberikan peluang untuk semua orang yang sering melakukan kesilapan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.


Guru itu pendidik.
Hormati mereka. Tiada guru
yang mahu pelajar-pelajarnya
gagal dalam hidup. Jahat kita
dia lindungi. Silap kita
dia betulkan. Sakit pening kita
pun dia ambil tahu. Tak ada
buku dia belikan. Kita yang
pura-pura tak nampak
jasa guru kita. 

Yang sedih, ramai yang terus menjadi ‘Hantu’ selepas gagal itu. Mereka bukan lagi menjadi “Hantu Sekolah” tetapi bertukar status menjadi “Hantu Ibu Ayah” dan “Hantu Masyarakat”. Mereka terus menerus sesat dan sesat dalam perjalanan hidup. Jalan hitam, curam, dan menyakitkan tetap dijadikan pilihan. Selepas menyusahkan guru, mereka menyusahkan ibu bapa dan masyarakat pula. Golongan inilah yang mencetuskan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat. Mereka melayan nikmat dunia dengan cara yang menyanggah undang-undang negara. Ramai yang menjadi penjenayah dan tidak kurang pula yang menjadi penagih dadah. Bagi golongan ini, kebahagian akan sentiasa menjauhi mereka. Kesejahteraan hidup akan melarikan diri daripada mereka. Kasih sayang tidak bertakhta dalam hati mereka. Hidup mereka mungkin dilimpahi kemewahan tetapi mereka kehilangan banyak nikmat dunia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Mereka sebenarnya penghuni bumi yang paling rugi.

Kadang-kadang saya jadi terharu apabila melihat jalan hidup “Hantu Sekolah” ini selepas 5 hingga 10 tahun kemudian. Bumi ini tidak seluas manapun. Lambat laun kita akan bertemu juga. Apabila saya melihat pekerjaan yang mereka lakukan timbul pertanyaan dalam hati saya, kalau dahulu mereka menggunakan peluang yang ada semasa bersekolah dengan sebaik-baiknya, mereka pasti tidak hidup sesusah itu. Anak-anak muda seperti mereka tidak sepatutnya hidup dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Jika ibu bapa mereka, saya bersetuju kerana ibu bapa mereka mungkin tidak pernah pergi ke sekolah. Mengapa mereka gagal dalam hidup? Pertama, mereka terlalu sibuk bercinta. Orang bersekolah mengejar ilmu untuk membina masa depan tetapi mereka datang ke sekolah untuk memilih calon suami atau calon isteri. Mereka hanyut dengan dunia cinta yang tidak kemana. Akhirnya, mereka mendirikan mahligai tanpa memiliki rumah, kereta, pekerjaan tetap, dan ilmu untuk menjadi ayah dan ibu. Rumahtangga yang dibina jarang yang kekal hingga ke hujung nyawa. Selepas setahun dua, mereka bercerai dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Masalah mereka akan disambung pula oleh anak-anak mereka selepas itu nanti. Itulah malapetaka yang menimpa jika kita menjadi “Hantu Sekolah”.

JADILAH MANUSIA HEBAT

Saya selalu mengimpikan sebuah sekolah yang dihuni oleh pelajar-pelajar yang hebat dan berakal. Semua orang yang datang ke sekolah tahu tujuan dan matlamat mereka datang ke sekolah. Mereka bersaing secara sihat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan. Mereka dahagakan kejayaan. Mereka gunakan sepenuh masa persekolahan dengan menaikkan nama dan mengangkat imej sekolah. Mereka tidak melakukan masalah disiplin. Pencapaian akademik mereka mengagumkan. Prestasi mereka dalam bidang kokurikulum menjadi sebutan. Para guru dan warga sekolah dapat fokus terhadap tugas mengajar sahaja tanpa menyelesaikan masalah disiplin yang memeningkan kepala. Pelajar-pelajar yang datang ke sekolah semua bersahsiah tinggi. Mereka tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa dan negara. Mereka mengutamakan hubungan dengan Yang Maha Esa. Walaupun saya tahu impian saya ini tidak mungkin akan menjadi realiti tetapi saya ingin golongan pelajar yang hebat ini bertambah dari sehari ke sehari. Saya tidak mahu golongan yang datang ke sekolah tidak tahu makna dan tujuan mereka datang ke sekolah.

Anak-anakku, jika sekarang anda 
tinggal di rumah yang berharga RM200,000 
yang dibeli oleh ayah anda dengan hasil titik 
peluhnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. 
Anda harus bermimpi untuk menghadiahkan 
kepadanya sebuah rumah yang berharga RM1 juta. 
Anda mampu jika anda berusaha untuk 
menjadi orang yang cemerlang. 
Orang yang cemerlang hanya 
dilahirkan di sekolah.

Orang yang tahu tujuan mereka datang ke sekolah akan berusaha membaiki segala kekurangan dan membina keyakinan diri. Mereka mempunyai cita-cita dan impian. Mereka ingin mengembirakan hati ibu bapa, guru-guru, dan rakan-rakan dengan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang dirangkul. Mereka impikan gelaran “Pelajar Terbaik” yang dijulang dalam majlis-majlis anugerah dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa. Mereka sentiasa bersikap matang dan bersemangat waja. Golongan ini selalu memandang jauh ke hadapan kerana bagi mereka peluang yang datang cuma sekali. Masa itu emas, alangkah ruginya jika disia-siakan. Saya tahu ramai ibu bapa dan pelajar yang sependapat dengan saya kerana mereka tahu hanya dengan ilmu sahaja mereka mampu meneroka masa depan dengan bergaya.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak

19 Mac 2017

CIKGU ZUL SANA SINI: SMK BANDAR TENGGARA, TAHNIAH DAN SYABAS, GURU YAKIN PELAJAR BERDISIPLIN


Puan Zulaikha dan Puan Faridah
Guru Bahasa Melayu SMK Bandar Tenggara

Semasa keputusan STPM diumumkan baru-baru ini, saya turut berbangga apabila nama SMK Bandar Tenggara, Johor Darul Takzim diumumkan sebagai antara sekolah yang terbaik. Walaupun bukan ditempat yang pertama tetapi sekolah tersebut berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 buah sekolah yang cemerlang dalam STPM tahun 2016. Saya mempunyai kenangan yang amat manis dengan pelajar-pelajar sekolah itu kerana secara kebetulan saya jalan-jalan cari makan di Johor saya dijemput untuk memberikan ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM oleh guru Bahasa Melayu mereka yang amat saya kagumi Puan Zulaikha. Sifat keibuan yang dimiliki oleh Puan Zulaikha kadang-kadang menyentuh hati apabila beliau selalu menceritakan tentang keadaan pelajar-pelajar SMK Bandar Tenggara yang perlukan bimbingan. Beliau amat merendah diri dalam segala tutur kata. Saya tidak pernah menolak untuk berkongsi ilmu kerana saya faham tugas sebagai guru adalah untuk menyampaikan ilmu sebanyak manapun kepada sesiapa yang memerlukan. Cuma kadang-kadang saya takut saya tidak cukup ilmu untuk dikongsikan dengan orang yang menjemput. 


Pelajar Tingkatan Enam Penggal 3 yang lebih besar daripada saya.
Mereka kelolakan majlis dan buat segala-galanya.

JUMPA KALI PERTAMA
23 SEPTEMBER 2015


Cikgu Hamzah, Guru Bahasa Melayu
SMK Bandar Tenggara

Saya melihat para guru Bahasa Melayu dan pelajar-pelajar di Tingkatan Enam di sekolah itu amat komited. Hubungan antara guru dan pelajar bagaikan hubungan antara ibu dan anak. Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah itu amat berdisiplin dan mempunyai komitmen yang tinggi. Pertama kali saya memberikan ceramah di sekolah itu ialah pada tahun 2015 semasa mereka berada di Penggal 1. Saya dibawa oleh Cikgu Hamzah menggunakan kereta dari bandar Johor Baharu ke bandar Tenggara. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang tiga jam. Saya sebenarnya risau sebab perjalanan itu terasa amat jauh tetapi keramahan Cikgu Hamzah berjaya mengurangkan kerisauan saya. Apabila tiba di bandar Tenggara saya disewakan di sebuah Homestay yang amat luas dan indah. Saya rasa sungguh tenang dan damai tinggal di sana. Semasa saya datang hujan turun tidak henti-henti. Selepas hujan berhenti saya pun jalan-jalan di sekitar bandar Tenggara itu. Bandarnya tidak besar tetapi amat mendamaikan. Pada waktu malam saya dibawa oleh Puan Zulaikha dan suami beliau yang peramah lagi mesra makan di salah sebuah kedai makan yang popular di bandar itu. Saya yang memang kuat makan memang suka dengan hidangan yang disajikan. Malam itu saya diulit mimpi indah dengan penuh harapan agar agenda ceramah saya pada esok hari mampu membantu melonjakkan prestasi SMK Bandar Tenggara dalam subjek Bahasa Melayu. 


Bergambar bersama Puan Muzayanah dan Puan Hafilah
(Gambar saya tidur berdiri pula)

Keesokan hari, saya bangun awal sebab ceramah saya bermula pada pukul 8.00 pagi. Cikgu Hamzah membawa saya ke sekolah itu. Cikgu Hamzah amat mesra dan sentiasa menepati masa sehingga saya berasa amat segan. Beliau amat prihatin sehingga perkara yang kecil-kecil pun dia ingatkan untuk saya. Semasa saya tiba, semua guru dan pelajar kelihatan amat bersedia. Sepanjang saya menyampaikan ceramah, pelajar-pelajar khusyuk mendengar. Seorang pun tidak pergi ke tandas. Hati saya berkata alangkah berdisiplinnya pelajar-pelajar di sekolah itu. Guru-guru mereka pula memang melayan saya dengan amat baik terutamanya Puan Zulaikha. Puan Zulaikha dan saya memang sudah lama mengenali kerana kami merupakan Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM yang sering dijemput menghadiri mesyuarat di peringkat kebangsaan. Saya berasa amat dihargai apabila berada di samping guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah itu. Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah itu amat berbudi bahasa. Mereka sentiasa bersalaman dengan saya dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. Ya Allah, berikanlah kejayaan buat mereka. Kau rahmatilah perjuangan mereka agar mereka lulus dengan cemerlang dalam STPM. Sesungguhnya, mereka amat berhak untuk mendapat rahmat-Mu. Ceramah saya pada hari itu berakhir dengan ucapan terima kasih daripada para pelajar. Pelajar perempuan mahupun pelajar lelaki amatlah bersopan santun. Terasa kehadiran saya di dewan yang indah itu amat dihargai. Pelajar lelaki seorang demi seorang bersalaman dengan saya dengan ucapan terima kasih yang tiada henti. 

JUMPA KALI KEDUA
20 OGOS 2016


Cikgu Mohd Pozi (PK Tingkatan Enam) dan Cikgu Zolkepli

Pada 20 Ogos 2016, pelajar-pelajar ini telah masuk ke Penggal 3. Saya dijemput untuk menyampaikan ceramah Bahasa Melayu Penggal 3. Kali ini, pihak sekolah membuat Kem Motivasi untuk pelajar-pelajar Tingkatan Enam yang ditaja oleh Lembaha Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). Betapa beruntungnya menjadi pelajar SMK Bandar Tenggara. Sokongan daripada pihak KEJORA menyebabkan mereka mampu memanggil penceramah yang terbaik datang untuk berkongsi ilmu dengan para guru dan pelajar-pelajar mereka. Kali ini, saya dijemput oleh Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Bandar Tenggara, Cikgu Mohd. Pozi  dan Cikgu Zolkepli dari sekolah tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Mereka memang peramah. Pertama kali berjumpa dengan mereka kami bagaikan sudah saling mengenali lebih kurang 10 tahun. Sepanjang perjalanan ke Kem PLKN Batu Pahat, tempat Kem Motivasi diadakan mereka bercerita tentang macam-macam perkara dengan saya wahal kami memang tidak pernah berjumpa pun sebelum ini. Mereka merupakan guru-guru yang amat bertanggungjawab. Buktinya, mereka sentiasa menyebut nama Puan Zulaikha yang merupakan guru yang akan menguruskan ceramah yang akan saya sampaikan pada malam nanti. Mereka takut terlewat atau saya tiada cukup masa rehat. Saya lihat kerjasama dalam kalangan guru-guru Tingkatan Enam sekolah itu amat baik. Mereka saling membantu untuk meningkatkan prestasi sekolah. Dari cara kerja mereka, saya tahu mereka iklhas dan jujur untuk membantu pelajar. Untungnya masyarakat dan pihak pentadbir sekolah yang mempunyai guru-guru hebat seperti mereka. Semoga mereka diberikan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan untuk meneruskan khidmat bakti di SMK Bandar Tenggara. Sesungguhnya, Allah tempatkan mereka berkhidmat di sebuah sekolah yang berpotensi besar untuk melakar nama di peringkat nasional baik dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. 


Dewan Sekolah SMK Bandar Tenggara

Sepanjang pemerhatian saya, masa waktu solat pelajar dan guru akan solat bersama-sama. Masa waktu makan mereka akan makan bersama-sama. Pelajar-pelajar sekolah itu tidak berebut-rebut mengambil makanan. Mereka kelihatan amat matang. Sesuai dengan usia mereka sebagai pelajar Tingkatan Enam. Pergaulan antara guru dan pelajar atau antara pelajar dengan pelajar amat mempersonakan. Apabila penceramah menyampaikan ceramah, sebelum majlis bermula semuanya tersedia. Jika ada masalah semua akan menghulurkan bantuan. Cikgu mereka cuma duduk sebagai pemerhati. Kerja-kerja diurus rapi serta teliti oleh anak-anak didik tersayang. Bertuahnya guru-guru memiliki anak didik sebegitu dan beruntungnya anak didik memiliki guru-guru yang tahu makna mendidik dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab. Saya cuma berharap biarlah kehadiran saya meninggalkan kesan buat mereka. Datang jauh beribu batu, biarlah ilmu yang dikongsi lekat di minda sebagai bekalan bertempur  dengan musuh di dewan peperiksaan. Ketekunan mereka mendengar dan menghayati satu demi satu slaid power point yang saya tayangkan dan bentangkan menjadikan harapan dan keyakinan saya lebih tinggi bahawa anak-anak yang berada di depan saya ini pasti mampu membuat lonjakan saujana demi menaikan imej SMK Bandar Tenggara yang tercinta. 

RAHMAT ALLAH MELIMPAH

Semasa melihat senarai 10 sekolah terbaik di Malaysia mata saya cuma tertumpu kepada nama SMK Sacred Heart yang berada di tangga pertama. Saya hanya menyedari nama SMK Bandar Tenggara tertera selepas berasa ada yang tertinggal dek pandangan mata. Ya Allah, mereka mampu merealisasikan mimpi menjadi realiti. Hati saya melonjak keriangan meskipun saya bukannya sesiapa disebalik kejayaan mereka. Saya cuma seorang guru kerdil yang hadir untuk berkongsi ilmu cuma secangkir tetapi mengharapkan takdir merahmati perjuangan mereka. Dalam jarak sejauh ini, saya hanya menghembuskan ucapan syukur dan tahniah kepada Allah kerana bagi saya itulah kejayaan tulen, hadiah daripada anak-anak didik yang berdisiplin buat guru-guru yang mendidik dengan penuh yakin. Bagi saya, kejayaan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kerjasama antara pelajar dan guru. Guru tugasnya menyampaikan ilmu manakala pelajar pula harus hadam ilmu yang disampaikan kerana merekalah yang akan menduduki ujian dan peperiksaan. Kerjasama ini saya nampak di sekolah yang saya kunjungi ini. Biarpun kehadiran saya hanya seketika tetapi saya tahu semua yang saya saksikan bukanlah lakonan tetapi realiti yang harus saya kongsikan. SMK Bandar Tenggara, nama yang akan terus saya ingat. Kegemilangannya seindah nama. Terima kasih atas jemputan. Terima kasih atas kepercayaan. Terima kasih atas layanan. Tahniah atas kejayaan. 



SMK Bandar Tenggara bukanlah destinasi
pertama tempat saya menyampaikan ceramah
Bahasa Melayu STPM. Akan tetapi, apabila 
saya sampai ke sekolah ini saya belajar
banyak perkara tentang hubungan antara
guru dan pelajar yang amat rapat 
berlandaskan hormat. Inilah salah satu 
faktor kejayaan mereka. 


Burung merbah terbang sekawan
Hinggap di dahan pohon mengkudu
Ribuan tahniah cikgu ucapkan
Buat pelajar dan guru-guru


Mekar sejambak bunga gubahan
Jatuh sekuntum di atas peti
Kejayaan dicapai berkat kesungguhan
Ilmu dituntut diberkati Ilahi


Mekar angsana pandang tak jemu
Buahnya luruh ke dalam raga
Kejayaan dirai bersama guru
Ibu bapa jangan dilupa.


Cerana kesumba indah melati
Cantik tersemat dambaan putera
Perjuangan disambung di universiti
Cikgu doakan semoga berjaya.


SMK Bandar Tenggara sekolah nan indah
Damainya boleh mengamit rindu
Semoga perjuangan terus dirahmati Allah
Melonjak naik ke nombor satu. 

Insyallah. 


Catatan Seorang Pendidik
Cikgu Zulkarnain Farihin @ Philip Seli
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak