Semua orang wajib pergi ke sekolah.
Sejak berumur 5 tahun lagi kita telah dihantar ke TASKA oleh ibu bapa kita.
Kemudian, kita masuk TADIKA sebelum memasuki Tahun 1. Mengapakah kita dihantar
ke sekolah? Mengapakah ibu bapa sanggup bersusah payah bangun pada pukul 5:00
pagi untuk menyediakan sarapan dan segala persiapan untuk kita sebelum ke
sekolah? Mengapakah ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dan menghulurkan
wang saku RM5.00 sehari sekurang-kurangnya untuk kita bawa ke sekolah? Apabila
kita sampai di sekolah, kita diajar pelbagai ilmu oleh guru-guru kita. Jika
kita malas kita akan ditegur. Jika kita rajin kita akan dipuji. Cikgu jadikan
kita contoh kepada pelajar-pelajar lain. Di sekolah banyak undang-undang. Kita
tidak boleh bercakap kasar. Kita tidak boleh ponteng sekolah. Kita tidak boleh
melawan guru. Kita tidak boleh merokok. Jika kita melakukan kesalahan, kita
akan didenda. Ibu bapa kita akan dipanggil. Jika kesalahan berat kita mungkin
akan digantung sekolah. Walaupun begitu, kita tetap juga dipaksa bersekolah
oleh guru-guru dan ibu bapa kita. Mengapa?
Walau bagaimanapun, ramai pelajar
tidak tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka menghabiskan masa di sekolah
dengan melakukan pelbagai masalah. Apabila guru menegur mereka melawan.
Tindakan demi tindakan dikenakan tetapi perangai tetap juga tidak berubah. Nama
mereka menjadi sebutan dalam kalangan warga sekolah. Pelajar yang sebegini
bukannya banyak tetapi populasi golongan minoriti yang tak sampai 5% daripada
jumlah pelajar di sesebuah sekolah ini memang boleh menaikkan darah guru.
Semasa guru mengajar mereka bersenda gurau. Semasa aktiviti kokurikulum mereka
ponteng. Pendek kata, perkara yang bermain di minda pelajar-pelajar ini
semuanya yang negatif. Saya gelarkan pelajar-pelajar ini “Hantu Sekolah”.
Perangai orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun tidak seperti mereka.
Sepanjang masa mereka berada di sekolah, golongan ini menyisihkan diri daripada
semua guru dan pelajar kerana mereka cenderung melakukan sesuatu yang boleh
mencetuskan pelbagai masalah. Golongan ini boleh bergaduh pada bila-bila masa
kerana perangai samseng “tahi kucing” mereka. Siapakah yang rugi?
GURU TIDAK RUGI SATU SEN PUN
Apabila “Hantu Sekolah” ini melakukan
masalah, yang bersusah payah menyelesaikan masalah mereka ialah guru-guru
terutamanya Pengetua, Penolong Kanan HEM, guru-guru disiplin dan pelbagai pihak
yang lain. Jika mereka memberikan kerjasama, mudahlah jalan penyelesaiannya.
Akan tetapi, jika mereka degil dan tidak mengaku, maka jalan penyelesaian
kadang-kadang menjadi buntu dan melibatkan pelbagai saksi untuk tampil. Apabila
ibu bapa mereka dipanggil pula satu lagi senario akan muncul. Ibu bapa yang
baik dan memahami tugas guru, akur dengan keputusan pihak sekolah manakala ibu
bapa yang jenis menyebelahi anak-anak mereka, guru menjadi sasaran cacian dan
makian mereka walaupun anak mereka yang bersalah. Guru akan dihina sehingga
soal gaji guru dan imej sekolah akan dijadikan senjata untuk menyerang guru.
Biarpun begitu, guru tidak pernah melawan. Mereka tetap juga menunjukkan jalan
yang betul dan lurus. Mereka berusaha juga menyelesaikan masalah. Mereka tidak
pernah mengalah. Kadang-kadang saya sedih melihat sikap segelintir ibu bapa
yang suka bertindak melulu menyerang guru di sekolah. Mereka terlalu percaya
kata-kata anak-anak mereka sehingga mengambil keputusan terburu-buru dan
akhirnya yang malu diri mereka sendiri.
Datang ke sekolah untuk bersekolah.
Bersekolah untuk mendapatkan ilmu.
Ilmu itu penting untuk masa depan.
Tiada
ilmu, tiadalah masa depan.
Segelintir “Hantu Sekolah” ini terlalu
dimanjakan. Cara didikan yang mendewa-dewakan anak di rumah menjadikan mereka
seolah-olah anak raja juga di sekolah. Mereka menganggu pelajar-pelajar lain
dengan pelbagai ugutan, ancaman, dan sebagainya sehingga mencetuskan
pergaduhan. Apabila kes menjadi besar mereka boleh menjadi pengelipur lara yang
bijak berseloka dan bercerita. Mereka tidak pernah salah. Merekalah makhluk
Tuhan paling beriman! Akan tetapi, saya kagum dengan ramai ibu bapa yang
memiliki anak-anak sebegini memang bersetuju dan akur dengan tindakan pihak
sekolah. Mereka memberikan sokongan kepada pihak sekolah. Mereka memarahi anak
mereka yang melakukan kesalahan itu. Mereka memohon maaf kepada mangsa dan
guru-guru. Mereka tebalkan muka untuk datang berbincang dengan pihak sekolah
tentang masalah anak mereka. Golongan ibu bapa yang sebegini masih ramai lagi.
Golongan yang tahu tugas guru-guru di sekolah dan faham tujuan dan matlamat
mereka menghantar anak mereka ke sekolah. Walaupun mereka berpangkat dan
berkedudukan tinggi dalam masyarakat, apabila dipanggil untuk berbincang
tentang anak-anak, mereka sedia memberikan kerjasama. Tahniah dan syabas
diucapkan!
YANG RUGI AWAKLAH JUGA
Sepanjang pemerhatian saya sebagai
seorang guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, golongan “Hantu Sekolah”
ini biasanya tidak ada yang betul-betul berjaya dalam hidup. Hampir 90% pintu
masa hadapan mereka akan tertutup sebaik sahaja menerima keputusan SPM. Mereka
gagal subjek Bahasa Melayu atau Sejarah. Pada masa itu, barulah mereka ibarat
sudah terhantuk baru terngadah. Yang sedar diri akan kembali ke pangkal jalan.
Mereka membetulkan segala kesilapan. Mereka susun kembali langkah kaki. Mereka
berubah untuk tidak menjadi “hantu” lagi. Ada yang berjaya juga walaupun
terpaksa membazirkan banyak masa tetapi nawaitu mereka betul untuk membaiki
diri agar tidak terus sesat dalam hasutan nafsu dan syaitan. Sesungguhnya,
Tuhan sentiasa memberikan peluang untuk semua orang yang sering melakukan
kesilapan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.
Guru itu pendidik.
Hormati mereka. Tiada guru
yang mahu pelajar-pelajarnya
gagal dalam hidup. Jahat kita
dia lindungi. Silap kita
dia betulkan. Sakit pening kita
pun dia ambil tahu. Tak ada
buku dia belikan. Kita yang
pura-pura tak nampak
jasa guru kita.
Yang sedih, ramai yang terus menjadi ‘Hantu’
selepas gagal itu. Mereka bukan lagi menjadi “Hantu Sekolah” tetapi bertukar
status menjadi “Hantu Ibu Ayah” dan “Hantu Masyarakat”. Mereka terus menerus
sesat dan sesat dalam perjalanan hidup. Jalan hitam, curam, dan menyakitkan
tetap dijadikan pilihan. Selepas menyusahkan guru, mereka menyusahkan ibu bapa
dan masyarakat pula. Golongan inilah yang mencetuskan pelbagai masalah sosial
dalam masyarakat. Mereka melayan nikmat dunia dengan cara yang menyanggah
undang-undang negara. Ramai yang menjadi penjenayah dan tidak kurang pula yang
menjadi penagih dadah. Bagi golongan ini, kebahagian akan sentiasa menjauhi mereka.
Kesejahteraan hidup akan melarikan diri daripada mereka. Kasih sayang tidak
bertakhta dalam hati mereka. Hidup mereka mungkin dilimpahi kemewahan tetapi
mereka kehilangan banyak nikmat dunia sama ada mereka sedar mahupun tidak. Mereka
sebenarnya penghuni bumi yang paling rugi.
Kadang-kadang saya jadi terharu
apabila melihat jalan hidup “Hantu Sekolah” ini selepas 5 hingga 10 tahun
kemudian. Bumi ini tidak seluas manapun. Lambat laun kita akan bertemu juga.
Apabila saya melihat pekerjaan yang mereka lakukan timbul pertanyaan dalam hati
saya, kalau dahulu mereka menggunakan peluang yang ada semasa bersekolah dengan
sebaik-baiknya, mereka pasti tidak hidup sesusah itu. Anak-anak muda seperti
mereka tidak sepatutnya hidup dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Jika ibu
bapa mereka, saya bersetuju kerana ibu bapa mereka mungkin tidak pernah pergi
ke sekolah. Mengapa mereka gagal dalam hidup? Pertama, mereka terlalu sibuk
bercinta. Orang bersekolah mengejar ilmu untuk membina masa depan tetapi mereka
datang ke sekolah untuk memilih calon suami atau calon isteri. Mereka hanyut
dengan dunia cinta yang tidak kemana. Akhirnya, mereka mendirikan mahligai
tanpa memiliki rumah, kereta, pekerjaan tetap, dan ilmu untuk menjadi ayah dan
ibu. Rumahtangga yang dibina jarang yang kekal hingga ke hujung nyawa. Selepas
setahun dua, mereka bercerai dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Masalah
mereka akan disambung pula oleh anak-anak mereka selepas itu nanti. Itulah
malapetaka yang menimpa jika kita menjadi “Hantu Sekolah”.
JADILAH MANUSIA HEBAT
Saya selalu mengimpikan sebuah sekolah
yang dihuni oleh pelajar-pelajar yang hebat dan berakal. Semua orang yang
datang ke sekolah tahu tujuan dan matlamat mereka datang ke sekolah. Mereka
bersaing secara sihat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan.
Mereka dahagakan kejayaan. Mereka gunakan sepenuh masa persekolahan dengan
menaikkan nama dan mengangkat imej sekolah. Mereka tidak melakukan masalah
disiplin. Pencapaian akademik mereka mengagumkan. Prestasi mereka dalam bidang
kokurikulum menjadi sebutan. Para guru dan warga sekolah dapat fokus terhadap
tugas mengajar sahaja tanpa menyelesaikan masalah disiplin yang memeningkan
kepala. Pelajar-pelajar yang datang ke sekolah semua bersahsiah tinggi. Mereka
tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, bangsa dan negara.
Mereka mengutamakan hubungan dengan Yang Maha Esa. Walaupun saya tahu impian
saya ini tidak mungkin akan menjadi realiti tetapi saya ingin golongan pelajar
yang hebat ini bertambah dari sehari ke sehari. Saya tidak mahu golongan yang
datang ke sekolah tidak tahu makna dan tujuan mereka datang ke sekolah.
Anak-anakku, jika sekarang anda
tinggal di rumah yang berharga RM200,000
yang dibeli oleh ayah anda dengan
hasil titik
peluhnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Anda harus bermimpi
untuk menghadiahkan
kepadanya sebuah rumah yang berharga RM1 juta.
Anda mampu
jika anda berusaha untuk
menjadi orang yang cemerlang.
Orang yang cemerlang hanya
dilahirkan di sekolah.
Orang yang tahu tujuan mereka datang
ke sekolah akan berusaha membaiki segala kekurangan dan membina keyakinan diri.
Mereka mempunyai cita-cita dan impian. Mereka ingin mengembirakan hati ibu
bapa, guru-guru, dan rakan-rakan dengan pelbagai kejayaan dan kecemerlangan
yang dirangkul. Mereka impikan gelaran “Pelajar Terbaik” yang dijulang dalam
majlis-majlis anugerah dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa.
Mereka sentiasa bersikap matang dan bersemangat waja. Golongan ini selalu
memandang jauh ke hadapan kerana bagi mereka peluang yang datang cuma sekali.
Masa itu emas, alangkah ruginya jika disia-siakan. Saya tahu ramai ibu bapa dan
pelajar yang sependapat dengan saya kerana mereka tahu hanya dengan ilmu sahaja
mereka mampu meneroka masa depan dengan bergaya.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan