24 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK MERADONG : JERAYAWARA BESTARI, BUDI TUAN TIDAK TERBELI, SEMOGA TUHAN MEMBERKATI



Jemputan untuk mengadakan perkongsian ilmu di SMK Meradong yang disampaikan oleh Ketua Bahasa Melayu Prauniversiti sekolah itu, Cikgu Wee Tian Chai, saya terima dengan tangan terbuka bak kata pepatah, “kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan”. Walaupun saya tahu, kepakaran saya tidaklah sehebat mana kerana saya masih belajar dan akan terus belajar tetapi atas tiket saya sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Negeri Sarawak, saya tidak boleh menolak setiap pelawaan daripada mana-mana sekolah yang memerlukan khidmat saya. Saya tidak pernah menolak kerana saya takut mengecewakan orang yang mengharap. Bagi saya, selagi diluar waktu persekolahan, saya akan pergi. Oleh itu, waktu hujung minggu saya selalu dirampas oleh jemputan daripada sekolah-sekolah di Sarawak da nada juga jemputan dari Semenanjung Malaysia serta Sabah. Apabila dijemput, saya letakkan harapan orang yang menjemput di tempat yang paling tinggi, saya tidak mahu perkongsian yang saya buat hanyalah sekadar melepaskan batuk ditangga.


Jemputan daripada pihak sekolah SMK Meradong pada tahun ini bukanlah jemputan yang pertama saya terima daripada sekolah tersebut. Pada tahun-tahun lepas, saya pun pergi ke sekolah yang sudah berusia dan melahirkan ramai ilmuan berjawatan tinggi itu. Cuma, jemputan kali ini amat istimewa bagi saya. Saya rasa sungguh bersemangat dan melakukan pelbagai persiapan dari segi ilmu tatabahasa. Kenapa? Biarlah rahsia dahulu. Selepas anda membaca sehingga ke noktah terakhir catatan ini, anda akan tahu sebab utama saya rasa amat teruja pergi ke SMK Meradong pada tanggal 23 Mac 2017. Pagi tadi, saya bangun pada pukul 5:00 pagi. Saya sediakan sarapan dengan membuat pancake dan telur ayam kampung rebus sahaja. Saya minum secangkir kopi hijau. Selepas mandi saya nikmati sarapan sambil menyemak 205 slaid power point yang akan saya sampaikan di SMK Meradong menggunakan Ipad mini saya. Saya bertolak ke SMK Meradong pada pukul 7:45 pagi. Perjalanan saya pada pagi tadi amat lancar. Saya sampai di SMK Meradong pada pukul 8:45 pagi.

ENCIK VINCENT LIONG SHOU CHUAN
PENGETUA BERWIBAWA, IDOLA SELAMANYA

Pengetua SMK Meradong, Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pengetua yang amat berkarisma dan berwibawa. Beliau pernah menjadi pengetua di SMK Sacred Heart lebih kurang lima tahun. Dalam tempoh lima tahun itu, terlalu banyak perubahan dan kejayaan yang dinikmati. Saya masih ingat, di bawah pentadbiran beliau, kami merangkul pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan seperti Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kebangsaan, Anugerah Sekolah Harapan Negara, Anugerah Ketua Menteri Sarawak, Anugerah SPBT peringkat kebangsaan dan sebagainya. Nama SMK Sacred Heart sentiasa menjadi sebutan pengacara majlis semasa perayaan hari guru peringkat bahagian, negeri, dan kebangsaan sebab kejayaan guru-guru sekolah kami dalam Pertandingan Anugerah Guru Inovatif dan sebagainya. Saya dan kumpulan Bahasa Melayu saya pernah beberapa kali mendapat tempat di peringkat negeri dalam pertandingan tersebut. Oleh sebab itu, jumlah Guru Cemerlang di SMK Sacred Heart lebih daripada 20 orang, kemungkinan yang teramai di Malaysia. Itulah kehebatan Tuan Pengetua Encik Vincent Liong. Beliau amat kuat bekerja dan bercita-cita tinggi untuk memajukan sekolah dan warganya. Khidmat cemerlang beliau diteruskan di mana-mana sekolah tempat beliau berkhidmat termasuklah di SMK Meradong.


Saya amat mengagumi beliau. Tempoh masa bekerja dengan beliau di SMK Sacred Heart merupakan tempoh yang amat bernilai dan berharga buat seorang guru yang kerdil seperti saya. Saya menjadi seperti hari ini banyak disebabkan oleh pelbagai dasar dan pembaharuan yang diimplementasikan oleh beliau di SMK Sacred Heart. Dasar-dasar beliau banyak membawa kemajuan kepada kerjaya seseorang guru. Tindakan beliau menjadikan Kajian Tindakan dan Penyelidikan sebagai agenda tahunan sekolah telah menjadikan kami guru-guru yang cemerlang dalam subjek yang diajar. Beliau seorang ketua yang amat tegas tetapi layanan beliau terhadap semua guru amat memikat hati. Beliau banyak memberikan motivasi dan membangkitkan semangat untuk kami berjaya. Oleh sebab itu, kenaikan pangkat saya sebagai Guru Cemerlang akan sentiasa terpahat dalam lipatan memori. Saya banyak mengagumi usaha dan cara kerja beliau untuk mara ke hadapan.

Encik Vincent Liong Shou Chuan merupakan seorang pemidato yang hebat. Cara beliau menyampaikan ucapan akan menarik perhatian ramai orang yang mendengarnya. Saya selalu mencatat kata-kata beliau dalam sebuah buku catatan yang masih saya buka hingga ke hari ini. Beliau merupakan seorang pemikir yang bijaksana. Setiap dasar atau pembaharuan yang dibuat tidak ada yang tidak berjaya kerana perancangan beliau amat teliti dan rapi. Beliau amat pandai melayan semua warga sekolah tanpa memandang bangsa, agama, dan budaya hidup mereka. Di bawah pentadbiran beliau, kami amat bersemangat untuk bekerja sehingga berebutkan waktu dan kelas untuk mengadakan kelas tambahan. Kami buat kerja dengan rela hati tanpa dipaksa. Kami datang ke sekolah untuk membimbing pelajar tanpa mengira hari Sabtu dan Ahad. Kami tidak pernah mengeluh kerana banyak kerja kerana kami lihat beliau sendiri tidak henti-henti bekerja sehingga menimbulkan rasa kasihan dan simpati di hati kami. Itulah kehebatan Encik Vincent Liong. Pengetua terlajak hebat yang pernah saya kenali.


KETUA PANITIA DAN GURU-GURU BAHASA MELAYU
BERSATU MELANGKAH, SENADA, DAN SEIRAMA MENUJU KE PUNCAK JAYA

Kedatangan saya pagi tadi disambut oleh semua guru bahasa Melayu SMK Meradong. Mereka terdiri daripada Cikgu Wee Thian Chai (Ketua Panitia BM Prauniversiti), Cikgu Patricia Winnie Gera, Cikgu Liong Siew Ing, Cikgu Masdom Bin Bujang, Cikgu Abang Adzhar, Cikgu Nyandang Legong, dan Cikgu Sida Bte Usop. Sepanjang saya menyampaikan ceramah, guru-guru ini duduk bersama pelajar dan khuysuk mendengar ceramah yang saya sampaikan. Perkara ini menyebabkan saya sentiasa berhati-hati dalam mengulas setiap slaid yang saya tayangkan. Saya takut penerangan saya tidak sampai ke hati dan yang paling saya seram apabila mereka semua sesat sampai tidak menjumpai jalan pulang selepas mendengar ceramah saya. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menanya komen para guru dan pelajar tentang ceramah yang saya sampaikan di mana-mana tempat yang saya kunjungi. Hati dan jiwa saya sahaja yang selalu berdoa agar dipermudahkan usaha dan direalitikan mimpi mereka untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, saya telah lama mengenali guru-guru bahasa Melayu SMK Meradong kerana kami selalu berjumpa semasa saya memberikan taklimat tentang Kerja Kursus Bahasa Melayu Penggal 2 dan Penggal 3.


Apabila melihat kerjasama antara mereka hati saya terpikat. Saya mahu terus tinggal di sini dan menabur bakti bersama-sama mereka. Andai ada kuasa dan peluang itu datang, sudah pasti tidak akan saya sia-siakan.

Mereka nampak lebih bersemangat daripada saya. Saya nampak dari riak wajah mereka terpancar kesungguhan dan harapan tinggi agar SMK Meradong bisa melonjak dari segi GPMP dalam subjek Bahasa Melayu. Saya sentiasa mendoakan dan memberikan harapan dalam hati kepada guru-guru hebat ini. Saya nampak kerjasama saksama mereka amat ketara. Ini menambahkan keyakinan saya, sesuatu yang mengembirakan mungkin akan mereka gapai apabila keputusan Bahasa Melayu Kertas 2, Penggal 2 diumumkan kelak. Saya yakin, jika strategi yang disusun betul dan amalan kerja berpasukan menjadi budaya, tiada yang mustahil untuk dicapai. Semuanya akan menjadi mudah buat guru-guru SMK Meradong. Perjuangan yang penuh ikhlas dan impian pasti akan diberkati Tuhan. Saya percaya, setiap pembaharuan yang saya nampak di sekeliling sekolah SMK Meradong telah menaikkan semangat guru-guru ini untuk sama-sama menaikkan imej sekolah dengan mempertingkat pencapaian dalam bidang akademik. Tahniah dan syabas cikgu-cikgu!

PELAJAR CEMERLANG,
IMEJ SEKOLAH DIJULANG

Sepanjang saya menyampaikan ceramah, saya nampak pelajar-pelajar prauniversiti SMK Meradong menghayati setiap informasi yang saya lontarkan satu persatu untuk dikongsi. Setiap pertanyaan yang saya panahkan tanpa sasaran disambut dengan jawapan yang tepat dan meyakinkan. Mereka tampak berdisiplin dan tekun mengikuti. Walaupun, mungkin ada yang bermimpi di siang hari tetapi pernilaian saya melalui pandangan mata seorang perantara melihat semua mata tertumpu ke arah saya. Ya Tuhan, berikanlah sinar kejayaan buat pelajar-pelajar ini. Jika mereka sukar mengingat, kuatkanlah daya ingatan mereka. Jika mereka culas, kau lenyapkan rasa culas itu, gantikan dengan sifat rajin yang luar biasa. Sesungguhnya, mereka memang mengimpikan kejayaan. Berikanlah keyakinan dan harapan buat mereka. Mereka mampu memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka perlu tingkatkan usaha dan bimbingan berterusan bagi membaiki setiap kelemahan untuk memastikan mimpi jadi kenyataan.


Saya harap pelajar-pelajar ini sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, dan sekolah. Kejayaan mereka amat penting untuk membuktikan kepada guru-guru dan pengetua serta penduduk setempat bahawa mereka merupakan kumpulan yang terbaik yang pernah wujud di SMK Meradong. Kejayaan itu tidak pernah lari jika dia tahu orang yang mengejarnya merupakan orang yang rajin dan sentiasa tidak jemu berusaha untuk mendapatkannya. Dia akan datang menyerah diri kerana dia tahu orang yang rajin itu benar-benar mahu mendapatkannya sebab itu mereka bersusah payah untuk mendapatkannya. Saya mahu pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya belajar rajin-rajin serta menelaah dengan cara yang betul. Mereka perlu menguasai teknik dan kehendak soalan kerana itulah yang akan ditanya semula. Kesedaran untuk berubah dan mencari kebahagiaan hidup untuk keluarga tersayang wajar disematkan di hati agar mereka tidak hilang fokus. Apabila saya menutup sesi ceramah dengan bertanyakan beberapa soalan kuiz, saya amat kagum dengan jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar yang tampil ke hadapan. Cuma, tahap keyakinan dan keberanian untuk tampil ke hadapan harus diperkasa dengan mengikis rasa rendah diri dan rasa malu yang membalut niat untuk bersaing demi melonjak ke tangga yang lebih tinggi lagi.

JALAN ITU NAMPAK MUDAH

SMK Meradong mampu melangkah ke hadapan dengan penuh bergaya berdasarkan acuan seorang pemimpin bestari yang telah dimaklumi kemenjadian kepemimpiannya. Semoga kerjasama antara warganya akan terus subur dan mekar sehingga membuahkan kejayaan yang menyerlah dan mengharum. Harumannya sewangi kasturi yang kekal abdi dan mencambahkan benih-benih suci melata mewangi di seluruh negeri. Semoga anak-anak didik terutamanya pelajar-pelajar prauniversiti yang menghabiskan masa lebih kurang 3 jam mendengar perkongsian ilmu daripada saya mampu menghadiahkan banyak A dalam subjek Bahasa Melayu buat guru-guru mereka yang komited dan berkarisma. Semoga akan terbit rasa kesedaran untuk mara ke hadapan dengan semangat yang kental membara demi menjulang nama SMK Meradong agar mampu berdiri setara dan menjadi role model kepada sekolah-sekolah lain di negara kita. Buat semua guru-guru Bahasa Melayu STPM SMK Meradong, saya rakamkan jutaan terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk melestarikan perkongsian ini sepertimana yang dirancang. Sekiranya ada kekurangan, saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan. Saya masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi lebih baik demi menabur bakti kepada anak didik dan pertiwi. Terima kasih SMK Meradong.



Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...