JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 April 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SMK KAPIT, BUDI DISANJUNG, BAKTI DIJUNJUNG


Tanggal 1 April 2017, tepat pukul 4:00 pagi saya sudah mandi dan menyediakan sarapan pagi untuk diri sendiri. Pagi ini, saya akan ke Kapit untuk memberikan Ceramah Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM Penggal 2 kepada pelajar Prauniversiti di Zon Kapit. Daerah Kapit merupakan destinasi wajib saya untuk berkongsi ilmu dan kepakaran kerana jiwa saya terlalu dekat dengan masyarakat di Kapit. Saya merupakan anak pedalaman yang menuntut ilmu di Bahagian Kapit pada suatu masa dahulu, dari Darjah 1 hingga Tingkatan Enam. Jika dikira, bekas tapak kaki saya di bumi Kapit mungkin berjuta-juta kerana disitulah bermulanya sejarah hidup saya. Oleh itu, jika tidak dijemput, saya akan menawarkan diri untuk berjumpa dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengambil subjek Bahasa Melayu kerana saya ikhlas membantu demi kecemerlangan anak-anak didik di daerah itu. Walaupun sumbangan saya hanyalah kepada subjek Bahasa Melayu namun harapan saya untuk menyuntik semangat kepada anak-anak didik di Kapit sentiasa membara.

Saya bangga menjadi anak Kapit kerana saya tahu hampir kesemua anak-anak Kapit yang berjaya dalam hidup asalnya sama iaitu hidup bergelut dengan kemiskinan dan ketiadaan. Mereka tidak pernah dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Belajar di asrama yang usang sambil ditemani cahaya lilin. Hidup terikat dengan peraturan warden asrama. Akan tetapi, kerana peraturan-peraturan itulah kami maju membawa diri ke hadapan. Kami hidup berdikari. Makan maggie dalam baldi, kami kongsi bersama sebagai alas perut. Itulah sejarah hidup kami yang tidak sama dengan sejarah hidup rakan-rakan di bandar. Lantaran itu, hati saya selalu teringatkan Kapit. Walaupun belum ada kesempatan berkhidmat sepenuhnya di Kapit, sepanjang 20 tahun perkhidmatan menjadi guru ini nama Bahagian Kapit tidak pernah lenyap dari ingatan saya. Apabila melihat anak-anak Kapit yang berjaya dan berjawatan tinggi, saya tumpan bangga dan gembira. Walaupun mereka tidak mengenali saya atau menegur serta menyapa, saya tetap mendoakan agar lebih ramai anak-anak dari Bahagian Kapit seperti mereka. Belia berilmu harus beranak-pinak di Bahagian Kapit untuk memacu pembangunan di kawasan itu agar setanding dan seiring dengan tempat-tempat lain di Malaysia.


PERJALANAN MENGUJI KESABARAN

Pukul 5:20 pagi, saya memandu kereta ke Warf Ekspres Kapit di tepi Sungai Rejang. Sepanjang perjalanan, saya begitu bersemangat sambil mendengar lagu baharu nyanyian Malique ft Dayang Nurfaizah berjudul “Pejamkan Mata”. Saya ulang lagu itu sehingga lima kali, barulah sampai ke destinasi. Selepas mengunci kereta saya pun pergi untuk membeli tiket ekspres, malangnya saya dikhabarkan oleh penjual tiket bahawa tiket sudah habis. Saya merayu supaya dibenarkan masuk. Rayuan saya dilayan. Saya terpaksa berdiri dengan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 jam untuk sampai di Kapit. Niat hati saya untuk membaiki slaid power point ceramah saya hancur musnah. Walau bagaimanapun, demi akan-anak didik di Kapit, saya gagah berdiri. Saya kuatkan semangat dengan mengimbau kenangan semasa kecil, saya dan kawan-kawan saya merupakan anak-anak yang lasak dan tahan dengan segala macam kesakitan. Jika dahulu saya mampu berenang untuk pergi ke sekolah, mengapa berdiri selama tiga jam itu menjadi masalah? Hati saya tersenyum tetapi kaki saya mulai lengguh. Saya mungkin lemah kerana usia.

Lebih kurang dua jam perjalanan, ekspres yang dinaiki pun sampai di Pekan Song, tempat saya dilahirkan. Hati saya berdoa agar ada penumpang yang keluar supaya saya mendapat tempat duduk. Saya berjalan ke tempat Kelas Ekonomi setelah diberitahu tidak ada penumpang yang akan keluar dari kelas perniagaan.  (Naik ekspress pun seperti naik kapal terbang, ada kelas ekonomi dan kelas perniagaan). Nasib saya lagi malang, tempat duduk di kelas ekonomi penuh. Seorang pun penumpang tidak keluar, semuanya pergi ke Kapit. Hati saya tertanya, apakah acara penting yang sedang berlangsung di Kapit pada pagi ini? Saya duduk di tangga ekspres. Tiba-tiba sekumpulan penumpang dari Pekan Song masuk ke dalam ekspres. Keadaan menjadi sesak. Seorang nenek duduk di tepi saya. Kemudian, seorang lagi nenek, tiba-tiba masuk dan berdiri di tepi kami. Saya pada mulanya, tidak mahu memberikan tempat duduk di tangga itu kerana kepenatan berdiri selama dua jam dari Sibu, mulai bersimpati. Mahu tidak mahu saya berdiri sambil mempersilakan nenek itu duduk. Dia amat berterima kasih sambil memegang tangan saya dan mengusap rambut saya. (Cara orang Iban menzahirkan kasih sayang kepada anak muda). Saya berasa amat terharu.


Apa yang saya kesalkan, anak-anak muda yang duduk di kerusi empuk ekspres langsung tidak mahu memberikan tempat duduk kepada orang-orang tua dan ibu yang mengendong anak. Mereka seolah-olah tiada perasaan simpati terhadap orang sebegini. Lebih memilukan lagi, 3 orang remaja yang asyik berswafoto tanpa memperdulikan orang lain dalam ekspres. Inilah sikap masyarakat sekarang. Apabila saya menoleh ke barisan belakang, lebih kurang 6 barisan diduduki oleh sekumpulan wanita yang berpakaian seragam. Mereka mungkin terdiri daripada kakitangan kerajaan. Di sebelah mereka ada dua orang ibu yang sedang mendukung anak kecil. Seorang pun tidak memberikan peluang untuk mereka duduk. Pihak pengusaha ekspres yang tamak mengaut untung tetap juga mengutip tambang buat ibu mengandung dan warga tua seperti dua orang nenek di tepi saya. Akan tetapi, hari ini mungkin Allah murahkan rezeki mereka berdua, saya membayarkan tambang untuk mereka. Rasa kasihan amat mendalam apabila saya melihat mereka batuk tidak henti-henti. Apabila saya bertanya, mereka memberitahu pergi ke Kapit untuk mendapatkan rawatan. Saya kata hari ini hari Ahad, klinik tak buka. Mereka berdua tertawa. Mereka kata hospital tak pernah tutup di Kapit. Saya pula macam tak pernah pergi ke sekolah. Mudah-mudahan mereka sentiasa sihat walafiat. Amin.

CERAMAH DI SMK KAPIT


Saya keluar dari Ekspres pada pukul 9:00 pagi. Kedatangan saya disambut oleh seorang guru yang amat baik dan bertanggungjawab iaitu Cikgu Teoh Say Beng. Saya dengan Cikgu Philip Nyipa dan tiga orang pelajar dari SMK Belaga di bawa ke Dewan SMK Kapit. Saya terharu dengan kedatangan guru dan pelajar dari SMK Belaga. Mereka sanggup menghabiskan masa dengan perbelanjaan sendiri dan melalui perjalanan yang jauh semata-mata untuk mendengar ceramah saya. Walaupun bibir saya tidak mengucapkan rasa kekaguman itu tetapi hati saya mendoakan agar mereka mendapat sesuatu untuk dibawa balik ke SMK Belaga dan dikongsikan dengan rakan-rakan di sana. Saya mulakan ceramah saya pada pukul 9:40 pagi. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, pelajar-pelajar menunjukkan sikap yang amat positif. Mereka tidak pergi ke tandas. Mereka tidak berbual-bual dengan kawan. Mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ceramah yang saya sampaikan. Ceramah saya mengandungi tiga bahagian. Setiap bahagian memerlukan masa satu jam 15 minit untuk dilangsaikan. Semua perkara itu pula amat penting untuk dikongsikan. Apa-apapun, saya tetap akan menghabiskan semua slaid sebelum waktu menunjukkan pukul 2:30 kerana pada pukul 3:15 saya akan balik ke Sibu.


Tuhan selalu mempermudahkan kerja saya apabila sampai di Kapit. Masa yang sentiasa cemburu apabila di tempat lain menjadi amat mesra apabila saya berada di SMK Kapit. Walaupun tergendala disebabkan minum pagi dan makan tengahari, ceramah saya tetap sampai ke titik noktahnya. Saya amat berterima kasih dengan Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Kapit, Cikgu Jargalia Lidek yang juga merupakan guru Bahasa Melayu STPM yang banyak membantu melancarkan majlis. Beliau seorang guru yang amat rajin dan bertanggungjawab. Pelajar-pelajar beliau amat menyayangi beliau. Komitmen tinggi yang ditunjukkan menyebabkan saya mengagumi beliau. Guru-guru seperti beliau harus beranak-pinak di Bahagian Kapit kerana anak-anak didik amat memerlukan guru-guru yang komited dan berdedikasi. Beliau seperti guru-guru yang mengajar saya 25 tahun dahulu sewaktu saya menuntut di SMK Kapit (1992-1993). Jika bukan kerana jasa Cikgu Mat Yaakub, Cikgu Shahran Haris, Cikgu Mustafa Mohammad, Cikgu Gan, Cikgu Subramaniam, Cikgu Letcheumanan, Cikgu Sammy, Cikgu Nobert Rabar Sumuk, dan sebagainya, tidak mungkin saya akan menjadi seperti hari ini. Cikgu Jargalia merupakan guru yang sehebat mereka.


SAFARI BERAKIT

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Warf Ekspres Kapit barulah saya tahu orang Kapit sedang berpesta. Acara Safari Berakit merupakan acara tahunan di Bahagian Kapit. Bandar Kapit yang selalunya sunyi, dipenuhi oleh lautan manusia. Kenderaan memenuhi segenap ruang untuk menyaksikan perlumbaan bot laju dan pelbagai acara yang dilangsungkan. Malangnya, saya tidak dapat melihat semua itu kerana perlu menyampaikan ceramah, yakni tujuan utama saya ke Kapit pada hari itu. Disebabkan takut tiada tempat duduk, sebaik sahaja terjun dari ekspres saya terus membeli tiket ekspres untuk pulang. Alhamdulillah, tiket ekspres masih ada. Saya beli tiket kelas peniagaan dengan harga RM30.00. Sebenarnya, saya pasang niat untuk bermalam. Saya arahkan seorang kawan untuk cari hotel yang masih ada bilik kosong. Akan tetapi, semua hotel di Bandar Kapit penuh. Niat untuk bermalam tidak menjadi. Meriahnya Kapit semasa sambutan hari April Pool. Gerai-gerai jualan bersusun di jalanan yang menjual pelbagai barangan, pakaian, makanan, dan minuman. Pasukan RELA yang bertugas terlihat ketegasan dan ketangkasan mereka. Begitu juga dengan petugas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).



KASIHAN ORANG KAPIT

Setelah 56 tahun negara kita merdeka, masyarakat di Kapit masih bergantung kepada pengangkutan air sebagai jalan pengangkutan utama. Jalan raya masih belum sampai ke Kapit juga. Kini, usia saya sudah menjangkau 43 tahun, niat untuk memandu kereta sendiri balik ke kampung halaman sendiri, masih juga hadir dalam mimpi dan fantasi. Sampai bilakah akan menjadi realiti? Hanya Tuhan Maha Mengetahui. Apabila melihat orang ramai bersesak-sesak naik ekspres sehingga sanggup duduk di atas atap, mengadai nyawa sendiri, saya menjadi terharu mengenangkan nasib masyarakat di Bahagian Kapit. Saya amat berharap agar pihak yang terbabit menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu ke  Kapit. Sesungguhnya, Kapit merupakan tanah yang mampu memberikan rezeki kepada kerajaan jika dimajukan. Kemajuan terencat disebabkan masalah pengangkutan. Janganlah disisihkan daerah ini dari pembangunan. Hasil balak yang dikeluarkan dari daerah Kapit tolonglah pulangkan balik untuk menyiapkan pembinaan jalan dan jambatan bagi menghubungkan Kapit dengan bandar-bandar utama lain di Sarawak. Kejadian ekspres dan bot karam yang selalu berlaku saban tahun mungkin dapat dielakkan jika ada jalan raya. Keadaan kesesakan yang amat parah apabila tiba musim gawai dayak kerana 95% penduduk di Kapit merupakan kaum Iban. Kesukaran balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Gawai Dayak kadang-kadang menyebabkan kita boleh membatalkan hasrat. Bukannya tak nak balik ke kampung tetapi ekspres sentiasa penuh dengan penumpang menyebabkan niat itu terhalang.

Tatkala orang lain bermandikan sinar neon berkerlipan pelbagai warna, masih ada penghuni rumah panjang di Bahagian Kapit yang bertemankan cahaya pelita. Orang lain ghairah menonton Gegar Vaganza, mereka cuma mendengar radio AM yang mendesir sahaja. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Pergi ke pekan, terpaksa mengadai nyawa meredah jeram. 

Masyarakat di Kapit bukannya antikemajuan dan antipembangunan. Mereka inginkan Komuter dan LRT. Mereka mahu kapal terbang MAS, Air Asia, dan Maswing mendarat di tanah mereka. Walau bagaimanapun, sampai bilakah mimpi-mimpi mereka menjadi realiti? Ruang pembangunan sedikit terhalang disebabkan masalah pengangkutan. Semoga pihak-pihak berwajib menelusuri dan meneliti hal ini dengan lebih tekun dan terperinci memandangkan usia kemerdekaan negara sudah melebihi setengah abad. Tidak meminta bukannya tidak suka. Tidak menagih bukannya tidak sedih. Tidak mendesak bukannya tidak terdesak. Hati mereka penuh harap agar mereka tidak terys tersisih dari arus permodenan negara. Alangkah moleknya, jika didirikan sebuah kolej kemahiran di Bandar Kapit untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan mempelajari ilmu baharu tanpa perlu berhijrah ke tempat lain. Pada masa ini, kadar penghijrahan anak-anak muda dari Bahagian Kapit ke tempat-tempat lain amat tinggi kerana mereka perlu mencari peluang dan ruang di tanah orang untuk meraih rezeki. Sebilangannya, terus menetap di tempat lain kerana di kampung halaman sendiri tidak menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai kemudahan. Itulah nasib penghuni di bumi Kapit. 

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK


Tepat pukul 2:40 petang, ceramah saya di SMK Kapit pun berakhir. Selepas mengambil gambar, kami dihantar ke Warf Ekspres Kapit. Kita-kira pukul 3:15 petang, ekspres pun bertolak ke Sibu. Saya berharap perkongsian ilmu dengan anak-anak di SMK Kapit, SMK Kapit No.2, SMK Selirik, dan SMK Belaga pada hari ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna. Mereka perlu berjaya untuk melahirkan lebih ramai golongan yang berpendidikan dan berilmu di Bahagian Kapit. Semoga terbit sinar keinsafan di hati muda mereka untuk terus mara ke hadapan dengan penuh yakin demi diri, keluarga dan bangsa. Mereka tidak boleh gagal kerana perjuangan masih belum selesai. Tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan darjat Bahagian Kapit terletak di bahu mereka juga pada suatu masa nanti. Sesungguhnya, kejayaan itu mudah digapai andai strateginya betul dan sasarannya mengena. Anak-anakku, hiduplah dengan cita-cita serta harapan yang tinggi kerana orang yang sebegitu sentiasa berusaha untuk mengapai bintang di angkasa. Jangan terperuk di ceruk rasa rendah diri yang menebal kerana orang sebegitu pergerakannya akan tersekat dan terperangkap di sangkar kegagalan sampai bila-bila.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu Sarawak. 

Tiada ulasan: