24 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KOKURIKULUM PENJANA MODAL INSAN TERBILANG




Alam persekolahan tidak akan lengkap sekiranya kita tidak mahu melibatkan diri dalam apa-apa jua aktiviti kokurikulum di sekolah. Alangkah ruginya kita jika hanya sekadar menjadi penonton kepada beberapa aktiviti kokurikulum yang melibatkan rakan-rakan kita. Kenapa kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Saya percaya niat untuk mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan, tarian, nyanyian, kawat kaki, bicara berirama memang ada dalam jiwa setiap pelajar tetapi niat itu terhalang oleh sebab rasa MALU yang amat tebal. Rasa malu ini wujud dalam jiwa setiap manusia. Namun begitu, rasa malu untuk menunjukkan bakat dan potensi diri adalah negatif. Jika kita ada rasa malu untuk tidak merokok, ponteng sekolah, melawan guru, membuli kawan dan sebagainya, itu malu positif. Saya sifatkan kegiatan kokurikulum ini dengan bait-bait lagu Sheila Majid yang berjudul “Jentayu”.

Jentayu, Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu, Patah paruh bertongkat siku
Jentayu, Patah siku bertongkat dagu
Jentayu, Patah dagu bertongkat kuku

Pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum mampu membina jati diri yang mantap dan mampu berdikari jika berhadapan dengan apa-apa jua situasi sukar yang merintang hidup mereka ibarat burung Jentayu dalam lirik lagu di atas. Pelajar yang aktif dalam bidang kokurikulum merupakan pelajar yang amat beruntung kerana mereka dapat mempelajari pelbagai perkara yang berkaitan dengan kehidupan masa kini dan masa akan datang. Mereka dapat mempertajamkan minda dan mengasah kematangan akal demi membentuk diri menjadi insan yang berwawasan dan berguna kepada masyarakat. Nama mereka akan disanjung dan mendapat pelbagai pengiktirafan serta anugerah daripada pihak sekolah. Mereka akan dikenali dan dikagumi oleh semua pelajar dan disayangi oleh para guru serta masyarakat setempat. Nama alma meter mereka akan mengharum dan menjadi sebutan sepanjang masa. 

10% MARKAH KOKURIKULUM "TALI HAYAT" UNTUK MEMASUKI IPT

Sehingga kini prasyarat kemasukkan ke IPTA masih memerlukan 10% markah kokurikulum. Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya penglibatan dan pencapaian dalam bidang kokurikulum untuk memastikan kita berjaya dalam persaingan merebut tempat di IPTA. Kecemerlangan dalam bidang akademik bukanlah ukuran kecemerlangan total bagi setiap pelajar di negara kita. Pencapaian dalam bidang kokurikulum turut ditekankan. Hal ini disebabkan orang yang aktif dalam bidang kokurikulum mempunyai perwatakan yang berbeza dengan pelajar yang pasif atau ‘ulat buku’ sepanjang meneruskan alam persekolahannya. Saya masih ingat, semasa berada di Tingkatan 5 saya mewakili sekolah saya dalam pertandingan Pesta Pantun anjuran Berita Harian. Kami berjaya beraksi di pentas final di peringkat negeri. Kemudian, saya melibatkan diri dalam pertandingan pidato piala di raja, sehingga beberapa kali menjadi juara di peringkat Zon Sibu – Kapit pada masa itu. Sijil-sijil yang saya peroleh daripada pertandingan tersebut amat besar maknanya sehingga kini. Dahulu saya merupakan pelajar yang pasif dan tebal dengan rasa rendah diri. Sifat ini menjadikan saya seorang pelajar yang pendiam dan takut melontarkan pendapat mahupun cadangan. Saya selalu memencilkan diri apabila berada dalam satu kumpulan bersama-sama dengan pelajar lain. Guru-guru tidak mengenali saya. Kehadiran saya hanyalah ibarat melukut di tepian gantang. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. 


Saya berasa amat bersyukur kerana segala rasa rendah diri itu telah hilang apabila saya melibatkan diri dalam aktiviti pidato. Saya mula berani memberikan pendapat. Saya mula aktif menulis di akhbar mahupun majalah. Pencapaian saya dalam subjek Bahasa Melayu semakin meningkat. Hal ini dikatakan demikian kerana saya berusaha membuat teks pidato sendiri dan mempersembahkan sendiri kepada audien semasa tiba hari pertandingan. Barang kali kerana sijil kokurikulum yang banyak laluan saya dalam mana-mana temuduga yang dihadiri amat mudah. (Jangkaaan saya sahaja). Dari seorang pelajar pemalu, saya diberikan kepercayaan menjadi juruacara majlis dan berucap di perhimpunan sekolah. Guru-guru dan pelajar-pelajar mula mengenali saya. Saya diberikan kepercayaan untuk menjadi Editor Majalah Sekolah, Pengerusi Persatuan, Pengerusi Badan Beruniform, Pengawas Kanan dan Ketua Tingkatan. Pencapaian saya dalam bidang akademik amat baik. Semasa Anugerah Kecemerlangan, saya menjadi pelajar terbaik subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Sastera, dan Geografi. Sijil-sijilnya masih saya simpan hingga ke hari ini. Cuma piala kemenangan yang saya peroleh lenyap menjadi debu disebabkan kebakaran. 

Begitulah hebatnya kokurikulum dalam membentuk jati diri seseorang pelajar. Saya amat berterima kasih kepada para guru yang banyak membantu melatih diri saya dalam arena debat, pidato, syarahan, dan pantun. Walau bagaimanapun, saya bukanlah pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan olahraga. Semasa zaman persekolahan saya memang tidak meminati bidang olahraga disebabkan saiz badan yang kecil. Saya tidak pernah mencuba dan bercita-cita menjadi olahragawan. Namun begitu, saya amat minat menonton acara sukan olahraga di televisyen. Bukan dongengan tetapi kenyataan, kini saya pula menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum! Terkadang saya tersenyum sendiri memikirkan perjalanan kerjaya saya dalam bidang perguruan. Suatu perjalanan yang amat sukar untuk diramal. 

PELAJAR PONTENG KOKURIKULUM 

Minggu pertama dan minggu kedua sesi persekolahan 2017, saya selalu berhadapan dengan beberapa orang pelajar yang tidak mahu menghadiri aktiviti kokurikululum. Pelbagai alasan dikemukakan oleh pelajar-pelajar ini. Namun begitu,  saya telah lebih awal mengesan dan meneka alasan-alasan yang bakal diberikan oleh golongan pelajar ponteng tersebut. Jumlah mereka tidak banyak, hanya 12 orang sahaja. Mereka akan berjalan-jalan seolah-olah mencari tempat perjumpaan. Mereka memberikan alasan tidak tahu bilik perjumpaan, tidak mengenali guru. Pada suatu pagi, saya kumpulkan mereka di tapak perhimpunan. Saya suruh mereka duduk dalam barisan. Tujuh orang pelajar perempuan dan lima orang pelajar lelaki itu saya berikan suntikan semangat dan motivasi yang dicampur sedikit dengan rasa marah dan ugutan. Saya lontarkan beberapa pertanyaan berikut:

1. Mengapakah kamu semua jauh berbeza daripada pelajar-pelajar sekolah ini?
2. Dari manakah kamu datang?
3. Apa tujuan kamu datang ke sekolah?
4. Tahukah kamu kepentingan kegiatan kokurikulum?
5. Adakah kamu mempunyai otak untuk berfikir?
6. Adakah kamu mempunyai rasa malu?
7. Adakah kamu sayang kepada ibu bapa kamu?
8. Sekarang, tutup mata kamu, sebut nama ibu, sebut nama ayah, sebutkan "saya berdosa terhadap papa dan mama kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Saya telah ponteng kegiatan kokurikulum"?
9. Adakah kamu mempunyai agama? Jika kamu pelajar yang taat kepada ajaran agama kamu tidak akan menyusahkan guru dan ibu bapa. Kamu akan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang dilarang begini. 
10. Berjanji pada diri kamu, kamu tidak akan mengulangi kesalahan ini. Kamu mesti sedar, yang rugi tetap kamu, bukan guru, bukan ibu bapa kamu.


Saya sifatkan pelajar yang tidak aktif dalam bidang kokurikulum ini merupakan kelompok pelajar yang paling malang di dunia. Mereka gagal memanfaatkan alam persekolah diri dengan sebaik-bainya. Saya sifatkan golongan ini sebagai golongan yang menjerut leher diri sendiri. Mengapakah saya beranggapan sebegitu? Pelajar-pelajar yang tidak minat dalam aktiviti kokurikulum ini merupakan golongan yang tidak mampu berfikir secara ikhlas dan waras terdapat kehidupan mereka pada masa muka. Sesuatu dasar yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia seperti mewajibkan pelajar mengikut kegiatan kokurikulum bukanlah dasar yang sia-sia kerana manfaatnya amat besar. Kita mahu manjadikan semua sekolah di Malaysia sebagai sebuah kilang yang berkemampuan mengeluarkan produk-produk bermutu yang mendapat sambutan hangat di pasaran. Kita tidak mahu generasi yang dijana dan ditempa di sekolah terus menerus menjadi warga subsidi yang lembik fizikal dan lembik akal, sehingga nak makan pun perlu disuap. Kita mahu memanusiakan manusia melalui kegiatan kokurikulum. 

"Berikan mereka pancing bagi membolehkan mereka memancing untuk mendapatkan ikan, jika kita beri ikan, lepas ikan habis, mereka minta lagi, tetapi bila kita beri pancing, mereka tidak akan minta ikan lagi. Mereka akan cari ikan sendiri," 

Kebanyakan pelajar yang bermasalah di sekolah merupakan pelajar yang tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum. Mereka ibarat lauk yang tidak cukup garam. Hidup mereka rasa tawar dan hambar menyebabkan mereka sentiasa keluh kesah melalui hari-hari di sekolah. Mereka tidak berpengalaman menjadi pemimpin. Mereka tidak berpengalaman berkawat. Mereka tidak berpengalaman berkhemah. Mereka tidak berpengalam membuat ikatan dan melakukan pertolongan cemas. Kehidupan mereka sungguh bosan. Bagi menghilangkan rasa bosan itulah mereka mula melakukan perkara-perkara yang tidak baik sehingga menyusahkan guru dan ibu bapa. Peluang keemasan yang diberikan kepada mereka tidak digunakan sehingga ke tahap cemerlang. Penghujungnya, pencapaian mereka dalam kegiatan kokurikulum ibarat nyawa-nyawa ikan sahaja. Selepas itu baru mereka sedar. Namun begitu sayang seribu kali sayang, mereka gagal mendapatkan markah yang baik disebabkan sikap dan penampilan diri sendiri.

PILIH KEGIATAN KOKURIKULUM

Pada setiap hari Rabu, saya selalu didatangi oleh beberapa orang pelajar yang mahu berpindah ke kegiatan kokurikulum yang lain. Mereka ini terlalu memilih. Alasan perpindahan yang diberikan kadang-kadang sukar diterima akal. Saya terpaksa menahan senyum apabila pelajar mengatakan mereka tidak datang kegiatan kokurikulum kerana mereka tidak ingat apakah aktiviti kokurikulum mereka. Saya sifatkan golongan ini seperti seekor burung yang hanya hinggap beberapa minit pada satu dahan, kemudian terbang ke satu dahan tanpa berasa penat dan lelah. Mereka tahu tiga jenis aktiviti kokurikulum yang telah mereka pilih semasa hari pendaftaran. Mereka tahu lokasi perjumpaan. Mereka kenal guru penasihat. Akan tetapi, yang mereka tidak tahu ialah kegiatan kokurikulum merupakan pembentuk keperibadian mula bagi seseorang. Kegiatan kokurikulum mampu mengangkat imej dan kewibawaan. Anak-anak ku, budaya terlalu memilih kegiatan kokurilulum haruslah dinyahkan dari hati dan nurani. Pihak sekolah telah memberikan peluang dan ruang yang terbaik buat anda semua. Cuba ikuti perbualan saya dengan pelajar ini.

Cikgu Zul : Awak tak ikut kegiatan kokurikulum semalam.
Pelajar 1  : Saya tidak tahu aktiviti kokurikulum saya cikgu.
Cikgu Zul : Dah masuk minggu ke-7, awak masih tak tahu aktiviti kk awak.
Pelajar 1: Saya betul-betul tak ingat cikgu.

Saya buka komputer untuk lihat pendaftaran aktiviti kokurikulum pelajar. Saya bacakan aktiviti kokurikulum dia.

Cikgu Zul: Ingat tak aktiviti kokurikulum awak? 
Pelajar 1: Ingat cikgu.
Cikgu Zul: Apakah aktiviti Badan Beruniform awak?
Pelajar 1  : Saya ada terlibat dalam Kadet Majalah Sekolah.
Cikgu Zul : Bukan Kadet Majalah sekolah tetapi  Kadet Remaja Sekolah.
Pelajar 1 : Terima kasih cikgu Zul
Cikgu Zul :  Sama-sama. Semoga awak berjaya. Jangan lupa lagi. Kalau lupa, saya gantung manila kad di leher awak minggu depan. (Dia angguk dan berlalu)


Konklusinya, kegiatan kokurikulum amatlah penting bagi semua pelajar yang masih di bangku sekolah. Pelajar harus mempunyai tiga aktiviti kokurikulum, iaitu kelab dan persatuan, sukan dan permainan, dan Unit Badan Beruniform. Aktiviti kokurikulum ini merupakan jalan terindah untuk kita membaiki kekurangan diri  demi menjadikan diri kita sebagai insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Mengapakah kita harus menyorok semasa orang lain seronok mengikuti aktiviti kokurikulum. Ingatlah, penyesalan akan datang setelah kita gagal bukannya sebelum. Setiap aktiviti kokurikulum yang diikuti di sekolah merupakan kegiatan yang mendatangkan banyak kemaslahatan kerana kegiatan tersebut diiwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memanusiakan manusia.

                                   







Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : BAHANA VIRAL, CUKUP MATANGKAH KITA?

Zaman viral mula menggerhanai masyarakat di negara kita. Apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka semua diviralkan tanpa memikirkan kesan terhadap imej diri, keluarga, bangsa dan negara. Masyarakat tanpa mengira lapisan umur kelihatan amat ghairah mahu menjadi ‘hero’ mahupun ‘heroin’ viral agar mereka dikenali oleh sekalian alam kerana menjadi orang pertama yang menviralkan sesuatu. Saban hari kita disajikan dengan pelbagai perkara viral di ruang maya sehingga kita ketagih untuk membaca dan bercerita tentangnya walaupun kita masih samar-samar tentang kebenarannya. Perkara yang dijadikan viral kadang-kadang bersifat positif dan negatif. Bagi viral yang bersifat positif, bergunung-gunung pujian akan menerjah ruang komentar manakala bagi perkara yang negatif pula berduyun-duyun nasihat, sumpah seranah, kutukan dan cacian akan dilemparkan tanpa mengira sensitiviti seseorang. Kenapa virus viral ini merebak dengan begitu mudah? Kadang-kadang orang yang cetek ilmu ini ingin popular sekejap sehingga tidak berfikir panjang untuk melakukan sesuatu. Baginya, semakin banyak komen dan semakin banyak ‘share’ daripada orang ramai terhadap post itu, maka dia akan semakin dikenali dan disanjung tinggi. Benarkah begitu?


VIRAL TELEFON PINTAR

Kejutan budaya berlaku dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan mereka yang baru mengenali konsep pemakaian telefon pintar dan menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai hidangan mata dari pagi hingga lewat malam. Golongan ini baru mengenali dunia internet dan kebanyakannya tidak faham tentang apa yang mereka viralkan. Jalan mudah yang diambil apabila melihat sesuatu ialah menggunakan viral supaya semua orang tahu. Secara tidak langsung mereka akan menjadi popular apabila perkara yang diviralkan dibaca oleh orang yang tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya. Mereka langsung tidak menggunakan kematangan dalam memilih isu yang diviralkan. Dengan cara ini mereka akan mendapat kepuasan. Mereka bagaikan baru menang bertarung di gelanggang boxing kerana berjaya memviralkan sesuatu kepada orang awam. Mereka amat puas dengan kemenangan sebegini sehingga ketagihan viral. Kemenangan sebegini walaupun tidak mendapat ganjaran sehingga diberikan pangkat atau wang ringgit tetapi cukup untuk membuatnya tersenyum lebar hingga ke telinga. Baginya dialah juara viral yang paling disegani oleh penduduk sekeliling. Dialah pembela masyarakat. Dialah pejuang sosial. Orang lain tidak standing atau sehebatnya. Maruah orang ditolak ke tepi oleh golongan ini. 

Golongan yang baru mahir menggunakan telefon pintar ini keghairahannya ialah mencari salah orang lain untuk diviralkan. Semua yang berada didepan mata andai tidak kena cara memang akan muncul di ruang Facebook mereka. Kalau boleh dia mahu semua orang tahu tentang apa yang diviralkan olehnya. Titik kepuasan akan mencapai tahap maksimum apabila mendapat beribu-ribu ‘like’ dan komen daripada yang menyokong. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara yang diviralkan itu akan akan menjadi sensasi. Semua orang berebut-rebut untuk memberikan komen mereka. Si Tukang Viral ini pula makin berlagak dengan mengulas semua komen yang menghiasi perkara yang diviralkan olehnya. Sedikit pun tak terlintas di mindanya tentang kesan perkara tersebut kepada dia sendiri kerana hatinya sudah dibalut ghairah untuk meraih populariti basi.

VIRAL KES PELAJAR SEKOLAH

Keghairahan melakukan viral ini menjangkiti pelajar-pelajar sekolah. Golongan yang kurang matang ini sering kali alpa tentang kesan negatif viral yang mereka lakukan. Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah dituntut bagi menangani masalah ini kerana tugas untuk mendisiplinkan anak-anak remaja tidak harus diletakkan di pundak guru semata-mata. Bagaimanakah pula jika kes viral ini melibatkan orang dewasa atau ibu bapa itu sendiri? Ketidakpuasan kadang-kadang mendorong seseorang melakukan viral secara melulu. Golongan ini hanya akan sedar silap mereka setelah viral itu menjadi Tsunami dalam kalangan pengguna internet di seluruh pelusuk negara. Sebagai contohnya, jika masyarakat melihat sekumpulan budak-budak sekolah bergaduh atau merokok di kawasan perumahan, wajarkah mereka ambil gambar dan viralkan di Facebook dengan menyebut nama sekolah serta ulasan-ulasan negatif tentang guru dan pentadbir sekolah? Bagi saya, perkara ini tidak patut dilakukan kerana ibu bapa dan masyarakat juga merupakan sebahagian daripada warga sekolah. 

Masalah pelajar-pelajar sekolah yang nakal dan degil berlaku hampir di segenap ceruk negara ini. Ada sekolah maknanya adalah pelajar yang malas, degil, dan nakal kerana mereka juga manusia. Manusia sejak azalinya memang mempunyai perangai yang berbeza-beza. Saya menyeru agar ibu bapa dan masyarakat menghulurkan bantuan untuk mendidik anak-anak ini sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Sekolah akan gagal tanpa adanya kerjasama daripada masyarakat setempat. Senario bobrok yang berlaku di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar harus dipandang serius oleh masyarakat terutamanya ibu bapa. Jika kita rasa terancam dengan tindakan mereka berkumpul atau bermotosikal beramai-ramai, laporkan sahaja kepada polis agar masalah boleh diselesaikan. Kenapa perlu diviralkan? Jika cara ini boleh mendatangkan untung tidaklah mengapa. Akan tetapi, perbuatan memviralkan hal-hal sebegini hanyalah akan merugikan diri kita semata-mata. Kita mungkin menang tetapi menang seketika tetapi kita kalah kerana yang diviralkan itu merupakan sebahagian daripada darah daging kita sendiri. Mengapakah kita tergamak memperlakukan mereka sebegitu? Mengapakah kita tak rasa sakit apabila paha kanan kita dicubit?

IMEJ JANGAN DICALAR

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini dibekalkan dengan otak untuk digunakan untuk berfikir. Dengan adanya otak kita boleh membandingkan perkara yang baik dan perkara yang buruk. Dengan otak juga kita akan matang dalam membuat keputusan. Dengan otak juga tidak tidak akan bertindak terburu-buru untuk mengambil sesuatu tindakan. Dengan otak kita akan bertanya terlebih dahulu. Dengan otak kita akan meminta pendapat kawan, jiran dan orang terdekat. Dengan otak kita akan berhati-hati dalam semua perkara. Kita tahu kesannya pada imej seseorang atau sesebuah institusi jika kita memviralkan isu yang kita sendiri pun tidak tahu betul mahupun palsu. Sesuatu perkara yang diviralkan itu, jika kita pandang daripada sudut negatif, maka akan menjadi negatiflah ia kerana kita hanya bersaksikan fantasi minda untuk menghuraikan baik dan buruknya. Oleh itu, orang lain yang tidak melakukan kesalahan turut terkena renjis dengan renjisan air fitnah durjana yang kita lakukan. Inilah bahananya apabila kita mengaitkan viral dengan nama institusi.


Sebuah institusi ibarat setandan buah kelapa sawit. Dalam setandan buah kelapa sawit mungkin ada 2200 biji sawit. Akan tetapi, dalam 2200 itu, memang akan ada 10 biji yang buruk dan tidak dapat diproses untuk dijadikan minyak sawit. Buah yang buruk itu tidak mewakili semua buah sawit yang terdapat dalam tandan tersebut. Buah yang buruk itu memang tidak selamat untuk diproses ataupun dimakan. Buah yang buruk itulah yang perlu dibuang. Oleh itu, kita tidak boleh menyebut buah sawit di dusun kita itu semuanya tidak berkualiti hanya kerana buah yang buruk itu tadi. Jadi, kita akan buang buah itu tanpa memberitahu kepada sesiapa pun kerana tidak menguntungkan. Kita tak boleh salahkan pekebun. Kita tak boleh salahkan pekerja. Kita tak boleh salahkan tanah. Kita tak boleh salahkan baja. Jika kita buat begitu juga, kita sebenarnya berdosa dan perbuatan kita itu hanyalah sia-sia sahaja.

CERMIN DIRI KITA SENDIRI

Tugas mendidik anak-anak bukan tugas guru di sekolah semata-mata. Guru tugasnya menyampaikan ilmu. Ibu bapa yang membesarkan dan melahirkan anak memainkan peranan yang amat dominan. Andai asuhan betul di peringkat akar umbi, insyallah apabila menjejaki zaman remaja dan dewasa anak kita sentiasa melakukan kebaikan dan tidak akan menconteng arang di muka kita. Tugas mendidik anak bukannya mudah. Banyak unsur negatif dijaja di sekeliling kita dengan harga yang amat murah dan mampu dibeli oleh sesiapa sahaja. Pepatah Melayu mengatakan jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana apabila sudah menjadi buluh, sukar untuk melentur buluh sebab mudah patah dan pecah. Buluh yang patah boleh menyebabkan luka. Begitulah dengan mendidik anak, jika kita tersalah asuhan dan didikan, anak kita tidak akan menjadi cendikiawan yang bijaksana. Kita akan kehilangan budi perkerti mereka yang mulia. Kita akan kehilangan sopan santun mereka yang ceria. Kehilangan itu merupakan kehilangan yang kita sendiri relai. Bukan guru. Bukan pihak sekolah.

Setiap hari kita mulakan hari-hari indah kita dengan menghadap cermin. Kita lihat wajah kita sambil tersenyum indah. Kita rasa diri kita paling cantik atau paling tampan di dunia. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir untuk melihat kekurangan diri. Pernahkah kita bertanya, cukup sempurnakah kita yang dicipta oleh-Nya. Orang yang melihat dirinya di cermin sambil menikmati kekurangan dirinya akan sedar bahawa tingginya langit untuk digapai. Dia tak akan menyalahkan cermin dengan menghempaskannya ke lantai sehingga hancur berkecai. Dia tak akan menyalahkan cermin yang menayangkan hodoh keperibadiannya. Dia akan menutup kelemahan itu dengan segala macam pencapaian dan keistimewaan yang dikutip dari pelbagai pengalaman sewaktu meniti jambatan kehidupannya. Sebelum memviralkan sesuatu kita harus lihat diri kita sendiri. Sempurna sangatkan kita? 








Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

23 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PAKAIAN ITU IDENTITI KAMI, TOLONG HORMATI!


Sewaktu menonton sebuah rancangan hiburan yang berkonsepkan lawak pada hujung minggu lalu, semangat untuk ketawa tiba-tiba hilang sebaik sahaja sebuah kumpulan lawak mempersembahkan suatu persembahan yang mengunakan pakaian tradisional salah satu suku kaum di Sarawak iaitu suku kaum Iban. Sebagai seorang warga yang berbangsa Iban, saya memang tahu ramai yang tersinggung menyaksikan persembahan tersebut kerana pemakaian pakaian tradisional itu adalah salah. Pada pandangan saya, walaupun konsep rancangan itu lebih kepada lawak, mereka harus peka dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan sensitiviti sesuatu suku kaum. Hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang indah dan permai ini memerlukan kebijaksanaan kita menggunakan akal fikiran sebelum melakukan sesuatu terutama dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan kebudayaan dan adat istiadat sesuatu suku kaum.

Jangkaan saya memang betul. Keesokkan harinya saya melihat ruangan Facebook penuh dengan komen peminat rancangan tersebut. Ramai yang melontarkan kekesalan tetapi ada pula yang menyanggah. Semuanya tampak gagah dengan pendirian masing-masing. Dalam dunia muka buku ini semua orang mampu berjuang dengan memberikan komen masing-masing terhadap sesuatu isu. Saya membaca pandangan pelbagai pihak. Yang berfikiran matang, komen yang dilontarkan pun tampak matang. Yang kebudak-budakkan, komen yang dilontarkan pun tampak kebudak-budakkan. Yang marah pula mengeluarkan komen yang memang boleh menusuk hingga ke ulu hati. Contohnya, mereka cuma meninggalkan kata “Sila meninggal”. Pada hari itu, lambakan post yang berkaitan dengan isu itu menyerang laman Facebook terutama dalam kalangan penduduk negeri Sarawak suku kaum Iban.

Inikan rancangan lawak

Mengapa mereka tersinggung? Bukankah itu hanya rancangan lawak? Dalam rancangan lawak orang boleh buat apa-apa sahaja. Hakikat ini tidak dapat kita nafikan. Akan tetapi, dalam suku kaum Iban di Sarawak, tradisi itu amat penting. Pakaian perempuan mesti dipakai oleh anak perempuan. Pakaian lelaki mesti dipakai oleh anak lelaki. Cara pemakaiannya mesti betul. Jika salah, si pemakai akan dimarah. Dalam pertandingan Kumang Gawai atau Keling Gawai yang diadakan setiap kali habis musim menuai, paras rupa tidak penting jika pemakaian si ratu jelas kurang atau pincang. Kemenangan akan memihak kepada mereka yang lengkap dan tepat pemakaiannya. Bagi masyarakat Iban, pakaian itu merupakan maruah dan identiti masyarakat mereka. Oleh itu, pakaian tersebut tidak boleh dipakai pada masa yang tidak sesuai apatah lagi jika cara pemakaiannya adalah salah. Mereka memang terasa hati. 


Adakah mereka ini terlalu sensitif? Sebenarnya, masyarakat Iban bukanlah masyarakat yang terlalu sensitif dan tidak berfikiran terbuka. Saya sendiri misalnya tidak pernah terasa hati atau melenting tidak tentu pasal jika dikritik atau diberikan penilaian yang negatif terhadap kualiti kerja yang saya buat. Namun begitu, bagi hal-hal yang bersangkutan dengan budaya turun-temurun, saya memang marah jika dibuat seperti barang mainan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kalangan masyarakat Iban yang masih tebal dengan tradisi perkara tersebut boleh mendatangkan bala atau malapetaka. Orang yang mempersendakan budayanya sendiri merupakan orang yang berdosa. Apatah lagi jika orang yang melakukannya merupakan kaum lain yang tidak pernah mengkaji dan mendampingi masyarakat kami. Pakaian tradisional suku kaum Iban memang dijaga dan dipelihara dengan amat baik. Jangan terkejut kalau harganya mencecah ribuan ringgit, akan tetapi mereka tetap akan membeli juga kerana bukan sebarangan orang boleh memiliki kemahiran menghasilkan pakaian tradisional suku kaum Iban. Walaupun saya sudah menganut agama Islam, saya tetap berusaha menyimpan sepasang pakaian lelaki dan sepasang pakaian perempuan kerana bagi saya itulah identiti yang mesti dijaga dan dipelihara. Saya tidak boleh melupakan identiti sebenar diri saya. Oleh sebab itu, apabila mata kita melihat, walaupun kita rasa pelik dan tidak berkenan, berfikiran positiflah kerana itu identiti sesuatu suku kaum. Perkara sebegini tidak boleh dijadikan bahan lawak!

Orang sensitif susah hendak maju?

Kenyataan ini merupakan tuduhan yang tidak digandingkan dengan akal yang waras. Sensitif terhadap budaya kaum sendiri tidak berkaitan langsung dengan kemunduran atau kemiskinan sesuatu kaum. Masyarakat Jepun yang jauh maju meninggalkan kita di hadapan pun masih tebal dengan tradisi mereka. Tradisi mereka sentiasa dijaga dengan penuh rasa patriotisme sehingga dikagumi oleh seluruh masyarakat dunia. Masyarakat Korea juga begitu. Apakah orang yang mempersendakan budaya kaum lain itu orang yang maju? Kita semua masih berada di level yang sama. Oleh itu, sebelum kita menggunakan apa-apa alatan atau pakaian tradisi sesuatu kaum, kita mesti bertanya kepada orang yang benar-benar arif tentang suku kaum itu. Kadang-kadang apabila kita bertanya kepada masyarakat Iban yang tinggal di bandar, mereka pun tidak mengenali cara pemakaian yang betul bagi pakaian tersebut kerana mereka sudah lama tidak tinggal di rumah panjang. Walau bagaimanapun, saya berani mengatakan orang Iban kini berada di segenap empat penjuru Malaysia bumi bertuah ini. Mereka berada di Central Market, Pasar Chow Kit, Pavilion, KLCC, KLIA, Langkawi, dan semua tempat di Malaysia. Tidak sudah mencari mereka untuk bertanya. Tidak salah mengkaji dan bertanya untuk mengelakkan diri daripada tersesat jalan. Insyallah, mereka akan memberitahu yang betul kepada kita. 


Kenapa perlu berlawak dengan cara merupakan diri sebagai seorang perempuan wahal kita lelaki yang sempurna? Mengapa perlu berlawak dengan mengutuk rakan seperjuangan terutama yang berbadan besar? Mengapa perlu berlawak dengan membodohkan diri kita sendiri. Mr. Bean menakluki dunia dengan lawaknya tanpa perlu berbuat begitu. Dia hanya menggunakan blazer yang sama warna dari awal hingga ke tamat cerita. Orang yang menonton ceritanya tidak henti-henti ketawa. Harith Iskandar dinobatkan sebagai Orang Yang Paling Lawak di dunia tidak perlu membonekakan dirinya. Undiannya tinggi sehingga menjadi juara. Mengapakah kita tidak boleh berlawak seperti mereka? Mengapakah kita tidak berusaha untuk menjadi seperti mereka.

Kami bantu mempromosikan

Pakaian tradisional kaum Iban hanya untuk kaum Iban. Pakaian tradisional ini hanya dipasarkan untuk kaum tersebut sahaja. Niat untuk mempromosikan itu tidak kena caranya. Biarlah mereka sendiri mempromosikannya kerana mereka lebih tahu cara penggunaan dan pemakaiannya. Banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh dijadikan modal untuk membuat lawak. Kadang-kadang apabila kita melihat pengemis berjalan dengan pakaiannya yang koyak, badan berbau, tidak pernah mandi, dan kelihatan begitu hina pada pandangan mata, kita tidak boleh beranggapan mereka tidak kenal asal usul mereka. Mereka masih kenal identiti dan tradisi mereka. Mereka masih mampu bertutur dalam bahasa mereka. Mereka masih bernafas dengan menghirup udara sama seperti kita. Pepatah Melayu mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’, kita harus mengenali secara mendalam sesuatu perkara sebelum kita menjadikannya sebagai tajuk projek, tugasan mahupun bahan lawak kita! Jika tidak kita akan mengundang kontroversi dan rasa tidak puas hati. Polemik ini akan terus berpanjangan jika tidak dipadamkan dengan ungkapan maaf yang penuh ikhlas. Ingatlah, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Sesungguhnya, semua orang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan itu akan mematangkan kita untuk terus mara ke hadapan.

Walau bagaimanapun, isu ini bukanlah isu besar untuk dibawa sehingga ke muka pengadilan. Banyak lagi isu masyarakat Iban yang perlu diperjuangkan terutama isu yang berkaitan dengan kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Pendidikan harus dijadikan agenda utama untuk membangunkan kaum Iban agar standing dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Insyallah. Moga-moga perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa-masa mendatang seiring dengan kemajuan negara kita yang kian menghampiri ambang 2020.

TAHUN 2021 - KONTROVERSI TERCETUS LAGI OLEH INFLUENCER 'DURIANKIMCHI'

Tatkala negara masih bertarung dengan Covid-19, golongan yang menjadikan media sosial sebagai salah satu cara untuk meraih populariti dan menjana pendapatan ghairah menghasilkan video untuk meraih "LIKE", "KOMEN" dan "SUBSCRIBE" sehingga tidak dapat memikirkan baik dan buruk perkara yang mereka ketengahkan. Susulan itu, muncullah gurauan suami isteri sehingga menyamakan pakaian trasisi Iban dengan alas meja dan sebagainya. Hati siapakah yang tidak terluka? Saya beli almari berharga RM2000.00 hanya untuk menyimpan pakaian tradisional Iban yang saya beli dengan harga melebihi RM10,000 jika dikira satu persatu. Dia pula dengan nada bergurau menyamakan pakaian yang dipakaikan kepada isterinya itu dengan alas meja! Sepatutnya, sebagai manusia berpendidikan dia gunakan kesempatan itu untuk menarik perhatian suku kaum Iban supaya lebih ramai tertarik dengan DurianKimchi dan menjadi pengikut dia. Kenapakah dia tidak memuji isterinya cantik, anggun dan kelihatan lain selepas memakai pakaian itu? Jawapannya, orang macam dia bukan seorang tetapi ramai lagi. Golongan ini memang suka membenci dan mencaci suku kaum Iban sebab mentaliti sebegitu sudah tersemai sejak kecil. Itu bukan gurauan kerana dia tahu itu adalah salah selepas kali pertama mengujarkan, dia minta maaf tetapi selepas berlarutan beberapa jam baru memohon maaf maka kita faham itulah tujuan sebenar golongan sebegini yang sebenarnya ingin menagih perhatian.

Bagi saya, orang berpendidikan ini tahu baik buruk perkara yang diperkatakan dalam masa beberapa saat selepas mengujarkan kata-kata itu. Jika dia tidak sedar atau sedar selepas kemarahan meledak maknanya itulah sesuatu yang sengaja dilakukan. Saya mohon, berhentilah daripada mempersenda, mentertawa dan mempermainkan bangsa kami. Kami sangat menghormati bangsa-bangsa lain di Malaysia. Berkawanlah dengan kami maka awak akan tahu mulianya hati dan murninya jiwa kami. Jangan menanamkan kebencian dalam generasi anda terus menerus kerana itu hanya akan membawa banyak kesan negatif. Soal perkauman bukan mainan. Jika mahu bermain, pilihlah permainan yang betul untuk dimainkan. 


Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak


CATATAN CIKGU ZUL : KEHEBATAN GURU DISIPLIN DI SMK SIBU JAYA



Tanggal 3 Mei 2016, satu episod baharu bermula dalam kehidupan saya sebagai seorang guru. Selepas menghabiskan masa selama 19 tahun di SMK Sacred Heart, tempat saya membesar sehingga menjadi dewasa, saya dipindahkan ke SMK Sibu Jaya. Saya tidak pernah termimpi untuk merelakan perpindahan ini. Impian saya hanya mahu berkerja dan bersara di SMK Sacred Heart. Perpindahan saya memang mengejutkan. Kawan-kawan yang mengenali saya semua melontarkan pertanyaan yang hanya mampu saya jawab dengan sebuah senyuman. Mereka terkejut dengan jawatan yang bakal saya kemudikan di SMK Sibu Jaya. Selama 19 tahun menceburi bidang perguruan saya lebih dikenali sebagai guru bersifat akademik. Saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Apabila dilantik menjadi Penolong Kanan Kokurikulum, ramai yang hairan! Akan tetapi, hati saya tetap percaya bahawa semua ini takdir. Lantas, dengan rasa percaya itu saya melaporkan diri ke stesen baharu.

Saya betul-betul bermula dengan “Kosong” umpama tajuk lagu Najwa Latif yang selalu mengalun di ruang udara kereta kesayangan saya. Saya dilontarkan dengan pelbagai pertanyaan dan “ancaman” yang biarlah menjadi rahsia untuk diri saya. Kenapa awak pindah? Semuanya tidak pernah saya jawab. Hanya hati sahaja yang mampu berkata, saya mampu melakukannya. Saya akan belajar dan belajar tanpa jemu. Semua orang bermula daripada ketiadaan sebelum beranjak ke gelanggang keberadaan. Perkara pertama yang membuat mulut saya terlopong ialah jumlah pelajar di SMK Sibu Jaya. Jumlahnya lebih kurang 2200 orang. Hari pertama saya amat indah apabila menyaksikan pelajar yang ramai itu makan di Dataran Bestari semasa waktu rehat. Mereka makan sambil berbual-bual dalam satu kumpulan dalam satu bulatan. Semua orang membuka bekal masing-masing dalam suasana yang amat indah dan damai. Terdetik di hati saya, alangkah baiknya kalau saya dapat makan bersama-sama mereka dalam keadaan itu.

GURU DISIPLIN

Pada minggu pertama saya banyak memerhatikan pengurusan disiplin pelajar yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Pada setiap pagi, saya menyaksikan pergerakan para guru yang bertugas amat teratur. Bermula dari pintu pagar sekolah, guru disiplin dan para pengawas sekolah menyambut mesra kedatangan pelajar dalam keadaan yang amat mesra dan ceria. Tuan Pengetua, Penolong Kanan HEM, Kaunselor Sekolah dan guru-guru yang bertugas berdiri di tepi pintu pagar masuk mengalu-alukan kenderaan yang masuk ke kawasan sekolah mahupun yang hanya berhenti di luar pintu pagar sekolah untuk menurunkan anak kesayangan mereka. Saya tidak nampak sebarang masalah yang boleh mengeruhkan suasana pagi yang ceria. Pada pukul 6.40 pagi semua pelajar dan guru berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku dan lagu sekolah SMK Sibu Jaya. Selepas itu, semua guru dan pelajar bergerak ke kelas untuk memulakan sesi persekolahan.

Perkara yang amat mengagumkan saya ialah peranan Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin. Saya menceritakan hal ini bukanlah disebabkan saya merupakan Penolong Kanan Kokurikulum tetapi saya merasakan mereka wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya. Mereka amat bertanggungjawab. Mereka sanggup mengabaikan sarapan pagi semata-mata untuk memastikan segalanya lancar dan berkesan. Kes-kes disiplin pelajar semuanya diselesaikan tanpa merujuk kepada Pengetua dan Penolong Kanan melainkan kes-kes disiplin yang serius (tiada berlaku di sekolah ini). Ketua Guru Disiplin memang memainkan peranan yang amat proaktif. Beliau akan terus bertindak apabila menerima laporan pelajar ponteng dan sebagainya. Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah mereka bergerak dalam satu kumpulan. Oleh itu, pelajar-pelajar nakal yang selalu menimbulkan masalah seperti bising, malas, dan suka datang lewat amat takut terhadap guru-guru ini. Bukannya mudah menjaga pelajar yang berjumlah 1000 orang pada satu sesi. Pergerakan pelajar macam semut kerana satu kelas bilangan pelajar lebih kurang 35 hingga 40 orang. Akan tetapi, mereka mampu menguruskan disiplin sekolah kami. Tahniah dan syabas diucapkan! Terima kasih Allah kerana menghantar saya ke sini.


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bersebelahan bilik dengan saya menyebabkan saya selalu teringatkan arwah ayah yang telah lama pergi. Cara dia berkomunikasi dengan pelajar nampak bersahaja tetapi amat berkesan. Nadanya amat lembut tetapi tegas. Cara dia melayan ibu bapa yang dipanggil ke sekolah amat mengagumkan diri saya. Sebagai orang baharu yang dinaikkan pangkat menjadi pentadbir saya tahu ada ketikanya saya harus berhadapan dengan situasi sebegitu apabila mereka pergi berkursus dan sebagainya. Oleh itu, saya belajar setiap hari. Saya catat dalam buku catatan tentang apa-apa sahaja yang saya lihat dan dengar. Pada minggu pertama sahaja buku catatan saya yang setebal 200 muka surat sudah habis separuh. Hubungan beliau dengan guru-guru disiplin dan Ketua Guru Disiplin amat baik sehingga cara mereka memanggil saksama sendiri ibarat ayah dengan anak atau ibarat kawan dengan kawan. Mereka tidak pernah berkrisis.

MEREKA TIDAK MENGELUH

Sepanjang masa bersama mereka saya tidak pernah mendengar mereka mengeluh tentang beban tugas yang dipikul. Mereka datang ke sekolah seawall pukul 6.15 pagi. Pihak pentadbir langsung tidak pernah menyentuh tentang prestasi guru-guru disiplin sekolah ini semasa taklimat kerana kualiti kerja yang mereka pamerkan amat mengagumkan. Jika duduk di kantin sekolah mereka akan berkongsi tentang perangai pelajar yang bermasalah. Mereka maklumkan kepada semua pihak supaya sama-sama mengawal pelajar tersebut. Mereka tidak pernah mengatakan tidak. Mereka tidak pernah menolak arahan. Mereka tidak pernah menyanggah saranan pihak pentadbir. Mereka sentiasa berpadu dan bersatu dalam satu pasukan yang saya umpamakan “TEAM GERAK KHAS” yang menjadikan suasana di sekolah amat kondusif dan selamat kepada semua warga. Mereka tidak perlu diarahkan untuk bertugas. Mereka tidak perlu dimarah pada setiap hari. Mereka melakukannya tanpa rasa jemu kerana mereka tahu makna sebuah tanggungjawab.

Kerjasama yang terjalin kukuh antara pihak pentadbir dengan guru-guru disiplin ini amat besar maknanya. Nilai hormat-menghormati sentiasa menjadi amalan dalam menjalinkan silaturrahim. Saya tahu mereka pun mungkin bertanya, kenapa saya hadir ke sekolah mereka? Saya juga tahu mereka mungkin berfikiran seperti orang-orang diluar yang mengenali saya bahawa saya tidak sesuai menjawat jawatan saya. Akan tetapi, mereka tidak pernah mengungkapkan di depan saya. Yang saya nampak nilai hormat-menghormati memang dipraktikkan oleh semua warga sekolah ini. Kerjasama yang jitu dan padu menjadikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Banyak juga acara-acara besar yang dilakukan setelah saya tiba di SMK Sibu Jaya. Antaranya, Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kategori Luar Bandar Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak, Hari Terbuka SMK Sibu Jaya, Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, dan Hari Sukan Sekolah. Alhamdulillah, semuanya lancar kerana peranan para guru dan guru-guru disiplin yang berkomitmen tinggi.


Mereka banyak memberikan pandangan, nasihat, dan dorongan secara tidak langsung kepada diri saya. Tanpa mereka siapalah saya? Dalam mana-mana acara, Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. Masalah memang wujud dalam kalangan pelajar tetapi apa-apa pun yang berlaku mereka dapat membantu pihak sekolah menyelesaikannya dengan penuh bijaksana. Nasihat dan pandangan mereka dalam semua perkara berkaitan dengan disiplin amat diperlukan oleh orang baharu seperti saya.

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Manusia lebih mudah percaya kepada khabar angin yang bertiup lembut menusuki gegendang telinga. Kita mudah menghukum tanpa melihat dan merasai sendiri realiti yang berpijak di bumi nyata. Bumi tempat saya berpijak ini amat indah. Keindahannya sukar digambarkan. Bumi tempat saya berpijak ini amat subur. Subur dengan pamah yang menguntungkan. Saya tidak perlu memerah keringat sehingga tinggal rangka untuk mengusahakan tanah ini kerana tanah yang subur ini mampu mengeluarkan hasil yang banyak walaupun saya hanya bekerja separuh hari. Saya tidak perlu berjaga sehingga ke dini hari untuk menghalau beburung yang mahu memakan padi yang saya tanam di tanah ini kerana sebelum saya tiba burung-burung itu sudah pergi tanpa meninggalkan jejak di tanah ini. Ya Allah bertuahnya saya ditempatkan di tanah ini. Buat taulan sekalian alam, datanglah ke tanah ini. Marilah sama-sama membanting tulang tanpa perlu terluka terkena pisau yang tajam kerana di tanah ini kami bekerja dalam penuh keriangan dan keceriaan. Kami berusaha untuk menjadi yang terbaik. Walaupun payah untuk menjangkau awan tetapi kami percaya tujuh lapisan langit mampu kami gapai suatu masa nanti.


Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya

Sibu Sarawak

18 Februari 2017

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL: KESEDARAN DIRI AMAT PENTING UNTUK MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BERJAYA


Sewaktu sedang menyemak buku latihan pelajar-pelajar saya, tiba-tiba air mata saya menitis. Saya berasa amat kecewa apabila melihat hasil kerja beberapa orang pelajar. Tulisan mereka tidak dapat dibaca. Mereka cuma menulis menggunakan singkatan yang saya sendiri tidak dapat memahaminya.Perkara yang paling mendukacitakan, ada pelajar yang cuma menghantar buku sebab takut dimarahi tetapi buku itu kosong tidak ditulis dengan sepatah kata sekalipun. Perkara ini tidak harus dibiarkan. Saya perlu melakukan sesuatu. Ingatan saya terus menerawang jauh ke masa silam. Saya terbayangkan kedua-dua arwah ibu dan ayah saya yang bersusah payah menyekolahkan saya dan adik-adik. Setiap kali saya mahu melakukan sesuatu, apabila terbayangkan wajah mereka, niat terus terbantut. Apabila kawan-kawan seperjuangan mengajak saya ponteng sekolah, kaki saya melangkah mengikuti jejak mereka tetapi apabila wajah arwah ayah yang bengis muncul di depan mata, saya terus berlalu pergi meninggalkan mereka yang sedang berseronok menikmati rokok sambil mengalunkan lagu “Isabella” nyanyian Kumpulan Search.


Pagi itu, saya masuk ke kelas seperti biasa. Pelajar-pelajar saya tunduk memberikan salam. Seperti biasa saya bertanyakan khabar mereka terlebih dahulu. Saya ambil kedatangan dan tandatangan buku pergerakan pelajar. Selepas itu, saya bagi buku latihan mereka. Kemudian, saya memulakan langkah untuk meneruskan agenda saya pada pagi itu. Saya minta mereka buka buku latihan dan buku kerja yang telah saya semak. Saya panggil beberapa orang untuk membacakan komen saya pada buku latihan mereka. Sekumpulan pelajar yang melakukan kesalahan itu tertunduk malu. Selepas itu, saya terus beritahu mereka, buku latihan itu merupakan bekalan yang amat bernilai untuk menghadapi peperiksaan. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru mesti ditulis disitu. Apabila hendak menduduki peperiksaan atau mengulang kaji pelajaran, kita dapat memahami isi pelajaran lepas dengan mudah. Jika kita sendiri tidak dapat membaca buku latihan kita, apakah maknanya kita memiliki buku latihan atau buku kerja? Lebih baik kita menulis semua kerja di tapak tangan! Selepas cikgu keluar kita padam. Mudah!

Ingati wajah ibu dan bapa

Saya terus memberikan nasihat kepada mereka. Buku latihan itu dibeli menggunakan duit hasil pencarian ibu dan ayah. Kenapakah mereka membelikan buku itu untuk kita? Mereka mahu kita mencatat semua pelajaran yang disampaikan oleh guru di sekolah.Setiap helai kertas dalam buku latihan itu perlu digunakan secara bermanfaat. Jika kita datang ke sekolah hanya untuk menconteng buku latihan atau menulis buku itu dengan  “tulisan paling cantik di dunia” sehingga guru yang mendidik kita pun tak dapat membacanya, bukankah itu menandakan kita telah mengkhianati harapan ibu bapa kita. Kita gagal memahami tujuan kita ke sekolah! Kita belajar untuk siapa? Jawapannya amat mudah. Kita datang ke sekolah untuk memastikan masa depan kita terjamin. Kita mahu mengubah nasib keluarga. Kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan gaji yang tinggi. Kita mahu memberikan kesenangan kepada ibu dan ayah serta adik-adik kita. Jika kita ke sekolah dengan tujuan untuk menggelapkan masa depan kita sendiri, kita sungguh berdosa. Berdosa kepada ibu bapa kita. Berdosa kerana memusnahkan impian mereka.

Semua pelajar harus memiliki kesedaran diri. Orang yang tiada kesedaran merupakan orang yang gagal dan tidak akan berjaya sampai bila-bila. Orang yang mempunyai kesedaran diri yang tinggi biasanya mempunyai cita-cita yang tinggi. Jika sekarang mereka tinggal di rumah yang berharga RM100,000, mereka mengimpikan untuk membeli rumah yang lebih besar dan lebih mahal daripada itu untuk keluarga dan ibu bapa mereka. Orang yang mempunyai kesedaran tiada masa untuk melakukan perkara yang remeh-temeh semasa di sekolah. Mereka tidak akan mengantuk atau tidur semasa guru mengajar. Mereka akan menyiapkan segala tugas yang diberikan tepat pada masanya. Mereka tidak akan membuat kerja sambalewa atau semberono. Mereka akan sentiasa menghargai masa semasa berada di sekolah untuk belajar dan belajar sahaja. Pelajar yang sedar diri akan sentiasa terbayangkan kemiskinan dan kesusahan hidup keluarganya. Dia sentiasa berazam untuk membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan itu. Dengan itu, dia akan belajar bersungguh-sungguh demi memperoleh kecemerlangan.

Jangan khianati diri sendiri

Pelajar yang malas merupakan pelajar yang mengkhianati dirinya sendiri. Semua orang dikurniakan akal yang rasional dan fizikal yang sempurna. Mengapakah ada orang yang berjaya dan ada orang yang gagal? Walaupun kita selalu mengatakan perjalanan hidup kita ditentukan oleh takdir, kita tidak boleh menafikan sikap malas yang tebal dalam diri kita merupakan penghalang utama untuk kita maju seperti orang lain. Peluang sudah terbentang di depan mata. Mengapakah kita tergamak menutup ruang dan peluang kita sendiri dan memberikannya kepada orang lain? Pelajar yang malas ibarat menjerut leher sendiri. Mereka telah lama mati walaupun nadi belum terhenti. Mati kerana tidak mampu merangkul kejayaan seperti orang lain. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk mendapatkan kejayaan, dia masih tidur berdengkur dibalut selimut kemalasan. Hidup hanya untuk menyusahkan ibu bapa hingga ke hari tua. Orang yang malas biasanya orang yang suka hidup dengan hiburan. Mereka hanya memikirkan keseronokan pada setiap masa. Hidup berkiblatkan artis popular tetapi dirinya sendiri entah kemana!


Dunia hari ini memerlukan kita untuk kental bersaing. Jika kita tidak berpendidikan kita tidak mampu melakukan pecutan untuk mara kehadapan. Kita akan terus ditertawakan dan diperlekehkan oleh orang lain. Kita gagal dalam persaingan. Kita akan ketinggalan. Orang sudah berlari tetapi kita masih bertatih. Semasa di sekolah kita harus membina keyakinan diri. Semasa di sekolah kita harus membina kekuatan diri. Kita disediakan dengan puluhan pendidik yang berdedikasi untuk memberikan ilmu, nasihat, dan amanat. Mengapakah kita selalu menitiskan noda pada kanvas silaturrahim dengan mereka? Pelajar yang berjaya merupakan pelajar yang ditakuti kerana kematangannya, kecemerlangannya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum, dan ketokohannya. Pelajar yang menjadi pembuli, samseng taik kucing, suka melawan guru, gemar bercakap kasar dan sebagainya tidak akan maju dalam hidup. Orang mungkin takut pada mereka tetapi takut kerana jahatnya sikap dan kelakuan mereka bukannya takut kerana mereka berjaya. Golongan ini akan hadir dalam masyarakat untuk menyusahkan masyarakat, langsung tidak membawa kemaslahatan kepada diri dan orang lain.

Berubahlah anak-anakku

Anak-anakku sayang, masa yang Allah berikan kepada kita untuk berubah tidak pernah bermuara. Luasnya saujana mata memandang. Kita harus bersikap positif untuk mengubah diri agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, dan negara. Sayangi diri sendiri. Orang yang sayang pada dirinya sendiri akan berjuang berhabis-habisan untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu hidupnya dibawah telunjuk orang lain. Dia tidak mahu keluarganya hidup menderita. Dia tidak mahu ibu bapanya hidup sengsara. Dia tidak mahu guru-gurunya berasa kecewa. Dia tidak mahu pemikirannya dijajah. Dia tidak mahu masa depannya musnah. Masa di sekolah hanyalah 7 jam sehari. Jika masa itu digunakan dengan bermanfaat, insyallah anda mampu memahat nama di persada jaya sebagai pelajar yang paling cemerlang di Malaysia. Ini bukan mustahil! Jika orang lain boleh mengapakah anda tidak boleh?


Coretan dari hati seorang pendidik
Cikgu Zulkarnain Farihin Abdullah
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak.