JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KEHEBATAN GURU DISIPLIN DI SMK SIBU JAYA



Tanggal 3 Mei 2016, satu episod baharu bermula dalam kehidupan saya sebagai seorang guru. Selepas menghabiskan masa selama 19 tahun di SMK Sacred Heart, tempat saya membesar sehingga menjadi dewasa, saya dipindahkan ke SMK Sibu Jaya. Saya tidak pernah termimpi untuk merelakan perpindahan ini. Impian saya hanya mahu berkerja dan bersara di SMK Sacred Heart. Perpindahan saya memang mengejutkan. Kawan-kawan yang mengenali saya semua melontarkan pertanyaan yang hanya mampu saya jawab dengan sebuah senyuman. Mereka terkejut dengan jawatan yang bakal saya kemudikan di SMK Sibu Jaya. Selama 19 tahun menceburi bidang perguruan saya lebih dikenali sebagai guru bersifat akademik. Saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Apabila dilantik menjadi Penolong Kanan Kokurikulum, ramai yang hairan! Akan tetapi, hati saya tetap percaya bahawa semua ini takdir. Lantas, dengan rasa percaya itu saya melaporkan diri ke stesen baharu.

Saya betul-betul bermula dengan “Kosong” umpama tajuk lagu Najwa Latif yang selalu mengalun di ruang udara kereta kesayangan saya. Saya dilontarkan dengan pelbagai pertanyaan dan “ancaman” yang biarlah menjadi rahsia untuk diri saya. Kenapa awak pindah? Semuanya tidak pernah saya jawab. Hanya hati sahaja yang mampu berkata, saya mampu melakukannya. Saya akan belajar dan belajar tanpa jemu. Semua orang bermula daripada ketiadaan sebelum beranjak ke gelanggang keberadaan. Perkara pertama yang membuat mulut saya terlopong ialah jumlah pelajar di SMK Sibu Jaya. Jumlahnya lebih kurang 2200 orang. Hari pertama saya amat indah apabila menyaksikan pelajar yang ramai itu makan di Dataran Bestari semasa waktu rehat. Mereka makan sambil berbual-bual dalam satu kumpulan dalam satu bulatan. Semua orang membuka bekal masing-masing dalam suasana yang amat indah dan damai. Terdetik di hati saya, alangkah baiknya kalau saya dapat makan bersama-sama mereka dalam keadaan itu.

GURU DISIPLIN

Pada minggu pertama saya banyak memerhatikan pengurusan disiplin pelajar yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Pada setiap pagi, saya menyaksikan pergerakan para guru yang bertugas amat teratur. Bermula dari pintu pagar sekolah, guru disiplin dan para pengawas sekolah menyambut mesra kedatangan pelajar dalam keadaan yang amat mesra dan ceria. Tuan Pengetua, Penolong Kanan HEM, Kaunselor Sekolah dan guru-guru yang bertugas berdiri di tepi pintu pagar masuk mengalu-alukan kenderaan yang masuk ke kawasan sekolah mahupun yang hanya berhenti di luar pintu pagar sekolah untuk menurunkan anak kesayangan mereka. Saya tidak nampak sebarang masalah yang boleh mengeruhkan suasana pagi yang ceria. Pada pukul 6.40 pagi semua pelajar dan guru berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku dan lagu sekolah SMK Sibu Jaya. Selepas itu, semua guru dan pelajar bergerak ke kelas untuk memulakan sesi persekolahan.

Perkara yang amat mengagumkan saya ialah peranan Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin. Saya menceritakan hal ini bukanlah disebabkan saya merupakan Penolong Kanan Kokurikulum tetapi saya merasakan mereka wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya. Mereka amat bertanggungjawab. Mereka sanggup mengabaikan sarapan pagi semata-mata untuk memastikan segalanya lancar dan berkesan. Kes-kes disiplin pelajar semuanya diselesaikan tanpa merujuk kepada Pengetua dan Penolong Kanan melainkan kes-kes disiplin yang serius (tiada berlaku di sekolah ini). Ketua Guru Disiplin memang memainkan peranan yang amat proaktif. Beliau akan terus bertindak apabila menerima laporan pelajar ponteng dan sebagainya. Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah mereka bergerak dalam satu kumpulan. Oleh itu, pelajar-pelajar nakal yang selalu menimbulkan masalah seperti bising, malas, dan suka datang lewat amat takut terhadap guru-guru ini. Bukannya mudah menjaga pelajar yang berjumlah 1000 orang pada satu sesi. Pergerakan pelajar macam semut kerana satu kelas bilangan pelajar lebih kurang 35 hingga 40 orang. Akan tetapi, mereka mampu menguruskan disiplin sekolah kami. Tahniah dan syabas diucapkan! Terima kasih Allah kerana menghantar saya ke sini.


Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bersebelahan bilik dengan saya menyebabkan saya selalu teringatkan arwah ayah yang telah lama pergi. Cara dia berkomunikasi dengan pelajar nampak bersahaja tetapi amat berkesan. Nadanya amat lembut tetapi tegas. Cara dia melayan ibu bapa yang dipanggil ke sekolah amat mengagumkan diri saya. Sebagai orang baharu yang dinaikkan pangkat menjadi pentadbir saya tahu ada ketikanya saya harus berhadapan dengan situasi sebegitu apabila mereka pergi berkursus dan sebagainya. Oleh itu, saya belajar setiap hari. Saya catat dalam buku catatan tentang apa-apa sahaja yang saya lihat dan dengar. Pada minggu pertama sahaja buku catatan saya yang setebal 200 muka surat sudah habis separuh. Hubungan beliau dengan guru-guru disiplin dan Ketua Guru Disiplin amat baik sehingga cara mereka memanggil saksama sendiri ibarat ayah dengan anak atau ibarat kawan dengan kawan. Mereka tidak pernah berkrisis.

MEREKA TIDAK MENGELUH

Sepanjang masa bersama mereka saya tidak pernah mendengar mereka mengeluh tentang beban tugas yang dipikul. Mereka datang ke sekolah seawall pukul 6.15 pagi. Pihak pentadbir langsung tidak pernah menyentuh tentang prestasi guru-guru disiplin sekolah ini semasa taklimat kerana kualiti kerja yang mereka pamerkan amat mengagumkan. Jika duduk di kantin sekolah mereka akan berkongsi tentang perangai pelajar yang bermasalah. Mereka maklumkan kepada semua pihak supaya sama-sama mengawal pelajar tersebut. Mereka tidak pernah mengatakan tidak. Mereka tidak pernah menolak arahan. Mereka tidak pernah menyanggah saranan pihak pentadbir. Mereka sentiasa berpadu dan bersatu dalam satu pasukan yang saya umpamakan “TEAM GERAK KHAS” yang menjadikan suasana di sekolah amat kondusif dan selamat kepada semua warga. Mereka tidak perlu diarahkan untuk bertugas. Mereka tidak perlu dimarah pada setiap hari. Mereka melakukannya tanpa rasa jemu kerana mereka tahu makna sebuah tanggungjawab.

Kerjasama yang terjalin kukuh antara pihak pentadbir dengan guru-guru disiplin ini amat besar maknanya. Nilai hormat-menghormati sentiasa menjadi amalan dalam menjalinkan silaturrahim. Saya tahu mereka pun mungkin bertanya, kenapa saya hadir ke sekolah mereka? Saya juga tahu mereka mungkin berfikiran seperti orang-orang diluar yang mengenali saya bahawa saya tidak sesuai menjawat jawatan saya. Akan tetapi, mereka tidak pernah mengungkapkan di depan saya. Yang saya nampak nilai hormat-menghormati memang dipraktikkan oleh semua warga sekolah ini. Kerjasama yang jitu dan padu menjadikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Banyak juga acara-acara besar yang dilakukan setelah saya tiba di SMK Sibu Jaya. Antaranya, Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kategori Luar Bandar Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sarawak, Hari Terbuka SMK Sibu Jaya, Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, dan Hari Sukan Sekolah. Alhamdulillah, semuanya lancar kerana peranan para guru dan guru-guru disiplin yang berkomitmen tinggi.


Mereka banyak memberikan pandangan, nasihat, dan dorongan secara tidak langsung kepada diri saya. Tanpa mereka siapalah saya? Dalam mana-mana acara, Ketua Guru Disiplin dan guru-guru disiplin sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. Masalah memang wujud dalam kalangan pelajar tetapi apa-apa pun yang berlaku mereka dapat membantu pihak sekolah menyelesaikannya dengan penuh bijaksana. Nasihat dan pandangan mereka dalam semua perkara berkaitan dengan disiplin amat diperlukan oleh orang baharu seperti saya.

JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Manusia lebih mudah percaya kepada khabar angin yang bertiup lembut menusuki gegendang telinga. Kita mudah menghukum tanpa melihat dan merasai sendiri realiti yang berpijak di bumi nyata. Bumi tempat saya berpijak ini amat indah. Keindahannya sukar digambarkan. Bumi tempat saya berpijak ini amat subur. Subur dengan pamah yang menguntungkan. Saya tidak perlu memerah keringat sehingga tinggal rangka untuk mengusahakan tanah ini kerana tanah yang subur ini mampu mengeluarkan hasil yang banyak walaupun saya hanya bekerja separuh hari. Saya tidak perlu berjaga sehingga ke dini hari untuk menghalau beburung yang mahu memakan padi yang saya tanam di tanah ini kerana sebelum saya tiba burung-burung itu sudah pergi tanpa meninggalkan jejak di tanah ini. Ya Allah bertuahnya saya ditempatkan di tanah ini. Buat taulan sekalian alam, datanglah ke tanah ini. Marilah sama-sama membanting tulang tanpa perlu terluka terkena pisau yang tajam kerana di tanah ini kami bekerja dalam penuh keriangan dan keceriaan. Kami berusaha untuk menjadi yang terbaik. Walaupun payah untuk menjangkau awan tetapi kami percaya tujuh lapisan langit mampu kami gapai suatu masa nanti.


Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya

Sibu Sarawak

Tiada ulasan: