Zaman viral mula menggerhanai
masyarakat di negara kita. Apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka
semua diviralkan tanpa memikirkan kesan terhadap imej diri, keluarga, bangsa
dan negara. Masyarakat tanpa mengira lapisan umur kelihatan amat ghairah mahu
menjadi ‘hero’ mahupun ‘heroin’ viral agar mereka dikenali oleh sekalian alam kerana
menjadi orang pertama yang menviralkan sesuatu. Saban hari kita disajikan dengan pelbagai perkara viral di ruang maya sehingga kita ketagih untuk membaca dan bercerita tentangnya walaupun kita masih samar-samar tentang kebenarannya. Perkara yang dijadikan viral kadang-kadang bersifat positif dan negatif. Bagi viral yang bersifat positif, bergunung-gunung pujian akan menerjah ruang komentar manakala bagi perkara yang negatif pula berduyun-duyun nasihat, sumpah seranah, kutukan dan cacian akan dilemparkan tanpa mengira sensitiviti seseorang. Kenapa virus viral ini merebak dengan begitu mudah? Kadang-kadang orang yang cetek ilmu ini ingin
popular sekejap sehingga tidak berfikir panjang untuk melakukan sesuatu.
Baginya, semakin banyak komen dan semakin banyak ‘share’ daripada orang ramai
terhadap post itu, maka dia akan semakin dikenali dan disanjung tinggi.
Benarkah begitu?
VIRAL TELEFON PINTAR
Kejutan budaya berlaku dalam kalangan
masyarakat terutama dalam kalangan mereka yang baru mengenali konsep pemakaian telefon pintar dan menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai hidangan mata dari pagi hingga lewat malam. Golongan ini baru mengenali dunia internet dan
kebanyakannya tidak faham tentang apa yang mereka viralkan. Jalan mudah yang
diambil apabila melihat sesuatu ialah menggunakan viral supaya semua orang
tahu. Secara tidak langsung mereka akan menjadi popular apabila perkara yang
diviralkan dibaca oleh orang yang tidak tahu duduk perkara yang sebenarnya.
Mereka langsung tidak menggunakan kematangan dalam memilih isu yang diviralkan.
Dengan cara ini mereka akan mendapat kepuasan. Mereka bagaikan baru menang
bertarung di gelanggang boxing kerana berjaya memviralkan sesuatu kepada orang awam. Mereka amat puas dengan kemenangan sebegini sehingga ketagihan viral. Kemenangan sebegini walaupun tidak mendapat ganjaran
sehingga diberikan pangkat atau wang ringgit tetapi cukup untuk membuatnya
tersenyum lebar hingga ke telinga. Baginya dialah juara viral yang paling
disegani oleh penduduk sekeliling. Dialah pembela masyarakat. Dialah pejuang sosial.
Orang lain tidak standing atau sehebatnya. Maruah orang ditolak ke tepi oleh golongan ini.
Golongan yang baru mahir menggunakan
telefon pintar ini keghairahannya ialah mencari salah orang lain untuk
diviralkan. Semua yang berada didepan mata andai tidak kena cara memang akan
muncul di ruang Facebook mereka. Kalau boleh dia mahu semua orang tahu tentang
apa yang diviralkan olehnya. Titik kepuasan akan mencapai tahap maksimum
apabila mendapat beribu-ribu ‘like’ dan komen daripada yang menyokong. Hal ini
dikatakan demikian kerana perkara yang diviralkan itu akan akan menjadi
sensasi. Semua orang berebut-rebut untuk memberikan komen mereka. Si Tukang Viral ini pula makin berlagak dengan mengulas semua komen yang menghiasi
perkara yang diviralkan olehnya. Sedikit pun tak terlintas di mindanya tentang
kesan perkara tersebut kepada dia sendiri kerana hatinya sudah dibalut ghairah
untuk meraih populariti basi.
VIRAL KES PELAJAR SEKOLAH
Keghairahan melakukan viral ini menjangkiti pelajar-pelajar sekolah. Golongan yang kurang matang ini sering kali alpa tentang kesan negatif viral yang mereka lakukan. Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah dituntut bagi menangani masalah ini kerana tugas untuk mendisiplinkan anak-anak remaja tidak harus diletakkan di pundak guru semata-mata. Bagaimanakah pula jika kes viral ini melibatkan orang dewasa atau ibu bapa itu sendiri? Ketidakpuasan kadang-kadang mendorong seseorang melakukan viral secara melulu. Golongan ini hanya akan sedar silap mereka setelah viral itu menjadi Tsunami dalam kalangan pengguna internet di seluruh pelusuk negara. Sebagai contohnya, jika masyarakat melihat sekumpulan budak-budak sekolah bergaduh atau merokok di kawasan perumahan, wajarkah mereka ambil gambar dan viralkan di Facebook dengan menyebut nama sekolah serta ulasan-ulasan negatif tentang guru dan pentadbir sekolah? Bagi saya, perkara ini tidak patut dilakukan kerana ibu bapa dan masyarakat juga merupakan sebahagian daripada warga sekolah.
Masalah pelajar-pelajar sekolah yang nakal dan degil berlaku hampir di segenap ceruk negara ini. Ada sekolah maknanya adalah pelajar yang malas, degil, dan nakal kerana mereka juga manusia. Manusia sejak azalinya memang mempunyai perangai yang berbeza-beza. Saya menyeru agar ibu bapa dan masyarakat menghulurkan bantuan untuk mendidik anak-anak ini sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Sekolah akan gagal tanpa adanya kerjasama daripada masyarakat setempat. Senario bobrok yang berlaku di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar harus dipandang serius oleh masyarakat terutamanya ibu bapa. Jika kita rasa terancam dengan tindakan mereka berkumpul atau bermotosikal beramai-ramai, laporkan sahaja kepada polis agar masalah boleh diselesaikan. Kenapa perlu diviralkan? Jika cara ini boleh mendatangkan untung tidaklah mengapa. Akan tetapi, perbuatan memviralkan hal-hal sebegini hanyalah akan merugikan diri kita semata-mata. Kita mungkin menang tetapi menang seketika tetapi kita kalah kerana yang diviralkan itu merupakan sebahagian daripada darah daging kita sendiri. Mengapakah kita tergamak memperlakukan mereka sebegitu? Mengapakah kita tak rasa sakit apabila paha kanan kita dicubit?
Masalah pelajar-pelajar sekolah yang nakal dan degil berlaku hampir di segenap ceruk negara ini. Ada sekolah maknanya adalah pelajar yang malas, degil, dan nakal kerana mereka juga manusia. Manusia sejak azalinya memang mempunyai perangai yang berbeza-beza. Saya menyeru agar ibu bapa dan masyarakat menghulurkan bantuan untuk mendidik anak-anak ini sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari pintu pagar sekolah. Sekolah akan gagal tanpa adanya kerjasama daripada masyarakat setempat. Senario bobrok yang berlaku di luar kawasan sekolah yang melibatkan pelajar harus dipandang serius oleh masyarakat terutamanya ibu bapa. Jika kita rasa terancam dengan tindakan mereka berkumpul atau bermotosikal beramai-ramai, laporkan sahaja kepada polis agar masalah boleh diselesaikan. Kenapa perlu diviralkan? Jika cara ini boleh mendatangkan untung tidaklah mengapa. Akan tetapi, perbuatan memviralkan hal-hal sebegini hanyalah akan merugikan diri kita semata-mata. Kita mungkin menang tetapi menang seketika tetapi kita kalah kerana yang diviralkan itu merupakan sebahagian daripada darah daging kita sendiri. Mengapakah kita tergamak memperlakukan mereka sebegitu? Mengapakah kita tak rasa sakit apabila paha kanan kita dicubit?
IMEJ JANGAN DICALAR
Setiap insan yang dilahirkan ke dunia
ini dibekalkan dengan otak untuk digunakan untuk berfikir. Dengan adanya otak
kita boleh membandingkan perkara yang baik dan perkara yang buruk. Dengan otak
juga kita akan matang dalam membuat keputusan. Dengan otak juga tidak tidak
akan bertindak terburu-buru untuk mengambil sesuatu tindakan. Dengan otak kita
akan bertanya terlebih dahulu. Dengan otak kita akan meminta pendapat kawan,
jiran dan orang terdekat. Dengan otak kita akan berhati-hati dalam semua
perkara. Kita tahu kesannya pada imej seseorang atau sesebuah institusi jika
kita memviralkan isu yang kita sendiri pun tidak tahu betul mahupun palsu.
Sesuatu perkara yang diviralkan itu, jika kita pandang daripada sudut negatif,
maka akan menjadi negatiflah ia kerana kita hanya bersaksikan fantasi minda
untuk menghuraikan baik dan buruknya. Oleh itu, orang lain yang tidak melakukan
kesalahan turut terkena renjis dengan renjisan air fitnah durjana yang kita
lakukan. Inilah bahananya apabila kita mengaitkan viral dengan nama institusi.
Sebuah institusi ibarat setandan buah
kelapa sawit. Dalam setandan buah kelapa sawit mungkin ada 2200 biji sawit.
Akan tetapi, dalam 2200 itu, memang akan ada 10 biji yang buruk dan tidak dapat
diproses untuk dijadikan minyak sawit. Buah yang buruk itu tidak mewakili semua
buah sawit yang terdapat dalam tandan tersebut. Buah yang buruk itu memang
tidak selamat untuk diproses ataupun dimakan. Buah yang buruk itulah yang perlu
dibuang. Oleh itu, kita tidak boleh menyebut buah sawit di dusun kita itu
semuanya tidak berkualiti hanya kerana buah yang buruk itu tadi. Jadi, kita
akan buang buah itu tanpa memberitahu kepada sesiapa pun kerana tidak
menguntungkan. Kita tak boleh salahkan pekebun. Kita tak boleh salahkan
pekerja. Kita tak boleh salahkan tanah. Kita tak boleh salahkan baja. Jika kita
buat begitu juga, kita sebenarnya berdosa dan perbuatan kita itu hanyalah
sia-sia sahaja.
CERMIN DIRI KITA SENDIRI
Tugas mendidik anak-anak bukan tugas
guru di sekolah semata-mata. Guru tugasnya menyampaikan ilmu. Ibu bapa yang
membesarkan dan melahirkan anak memainkan peranan yang amat dominan. Andai
asuhan betul di peringkat akar umbi, insyallah apabila menjejaki zaman remaja
dan dewasa anak kita sentiasa melakukan kebaikan dan tidak akan menconteng
arang di muka kita. Tugas mendidik anak bukannya mudah. Banyak unsur negatif
dijaja di sekeliling kita dengan harga yang amat murah dan mampu dibeli oleh
sesiapa sahaja. Pepatah Melayu mengatakan jika mahu melentur buluh biarlah dari
rebungnya kerana apabila sudah menjadi buluh, sukar untuk melentur buluh sebab
mudah patah dan pecah. Buluh yang patah boleh menyebabkan luka. Begitulah
dengan mendidik anak, jika kita tersalah asuhan dan didikan, anak kita tidak
akan menjadi cendikiawan yang bijaksana. Kita akan kehilangan budi perkerti
mereka yang mulia. Kita akan kehilangan sopan santun mereka yang ceria.
Kehilangan itu merupakan kehilangan yang kita sendiri relai. Bukan guru. Bukan pihak
sekolah.
Setiap hari kita mulakan hari-hari
indah kita dengan menghadap cermin. Kita lihat wajah kita sambil tersenyum
indah. Kita rasa diri kita paling cantik atau paling tampan di dunia. Akan
tetapi, pernahkah kita terfikir untuk melihat kekurangan diri. Pernahkah kita
bertanya, cukup sempurnakah kita yang dicipta oleh-Nya. Orang yang melihat
dirinya di cermin sambil menikmati kekurangan dirinya akan sedar bahawa
tingginya langit untuk digapai. Dia tak akan menyalahkan cermin dengan
menghempaskannya ke lantai sehingga hancur berkecai. Dia tak akan menyalahkan
cermin yang menayangkan hodoh keperibadiannya. Dia akan menutup kelemahan itu
dengan segala macam pencapaian dan keistimewaan yang dikutip dari pelbagai
pengalaman sewaktu meniti jambatan kehidupannya. Sebelum memviralkan sesuatu kita harus lihat diri kita sendiri. Sempurna sangatkan kita?
Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan