Sewaktu sedang
menyemak buku latihan pelajar-pelajar saya, tiba-tiba air mata saya menitis.
Saya berasa amat kecewa apabila melihat hasil kerja beberapa orang pelajar.
Tulisan mereka tidak dapat dibaca. Mereka cuma menulis menggunakan singkatan
yang saya sendiri tidak dapat memahaminya.Perkara yang paling mendukacitakan,
ada pelajar yang cuma menghantar buku sebab takut dimarahi tetapi buku itu
kosong tidak ditulis dengan sepatah kata sekalipun. Perkara ini tidak harus
dibiarkan. Saya perlu melakukan sesuatu. Ingatan saya terus menerawang jauh ke
masa silam. Saya terbayangkan kedua-dua arwah ibu dan ayah saya yang bersusah
payah menyekolahkan saya dan adik-adik. Setiap kali saya mahu melakukan
sesuatu, apabila terbayangkan wajah mereka, niat terus terbantut. Apabila
kawan-kawan seperjuangan mengajak saya ponteng sekolah, kaki saya melangkah
mengikuti jejak mereka tetapi apabila wajah arwah ayah yang bengis muncul di
depan mata, saya terus berlalu pergi meninggalkan mereka yang sedang berseronok
menikmati rokok sambil mengalunkan lagu “Isabella” nyanyian Kumpulan Search.
Pagi itu, saya masuk
ke kelas seperti biasa. Pelajar-pelajar saya tunduk memberikan salam. Seperti
biasa saya bertanyakan khabar mereka terlebih dahulu. Saya ambil kedatangan dan
tandatangan buku pergerakan pelajar. Selepas itu, saya bagi buku latihan
mereka. Kemudian, saya memulakan langkah untuk meneruskan agenda saya pada pagi
itu. Saya minta mereka buka buku latihan dan buku kerja yang telah saya semak.
Saya panggil beberapa orang untuk membacakan komen saya pada buku latihan
mereka. Sekumpulan pelajar yang melakukan kesalahan itu tertunduk malu. Selepas
itu, saya terus beritahu mereka, buku latihan itu merupakan bekalan yang amat
bernilai untuk menghadapi peperiksaan. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru
mesti ditulis disitu. Apabila hendak menduduki peperiksaan atau mengulang kaji
pelajaran, kita dapat memahami isi pelajaran lepas dengan mudah. Jika kita
sendiri tidak dapat membaca buku latihan kita, apakah maknanya kita memiliki
buku latihan atau buku kerja? Lebih baik kita menulis semua kerja di tapak
tangan! Selepas cikgu keluar kita padam. Mudah!
Ingati wajah ibu dan
bapa
Saya terus memberikan
nasihat kepada mereka. Buku latihan itu dibeli menggunakan duit hasil pencarian
ibu dan ayah. Kenapakah mereka membelikan buku itu untuk kita? Mereka mahu kita
mencatat semua pelajaran yang disampaikan oleh guru di sekolah.Setiap helai
kertas dalam buku latihan itu perlu digunakan secara bermanfaat. Jika kita
datang ke sekolah hanya untuk menconteng buku latihan atau menulis buku itu
dengan “tulisan paling cantik di dunia”
sehingga guru yang mendidik kita pun tak dapat membacanya, bukankah itu
menandakan kita telah mengkhianati harapan ibu bapa kita. Kita gagal memahami
tujuan kita ke sekolah! Kita belajar untuk siapa? Jawapannya amat mudah. Kita
datang ke sekolah untuk memastikan masa depan kita terjamin. Kita mahu mengubah
nasib keluarga. Kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan gaji yang
tinggi. Kita mahu memberikan kesenangan kepada ibu dan ayah serta adik-adik
kita. Jika kita ke sekolah dengan tujuan untuk menggelapkan masa depan kita
sendiri, kita sungguh berdosa. Berdosa kepada ibu bapa kita. Berdosa kerana
memusnahkan impian mereka.
Semua pelajar harus
memiliki kesedaran diri. Orang yang tiada kesedaran merupakan orang yang gagal
dan tidak akan berjaya sampai bila-bila. Orang yang mempunyai kesedaran diri
yang tinggi biasanya mempunyai cita-cita yang tinggi. Jika sekarang mereka
tinggal di rumah yang berharga RM100,000, mereka mengimpikan untuk membeli
rumah yang lebih besar dan lebih mahal daripada itu untuk keluarga dan ibu bapa
mereka. Orang yang mempunyai kesedaran tiada masa untuk melakukan perkara yang
remeh-temeh semasa di sekolah. Mereka tidak akan mengantuk atau tidur semasa
guru mengajar. Mereka akan menyiapkan segala tugas yang diberikan tepat pada
masanya. Mereka tidak akan membuat kerja sambalewa atau semberono. Mereka akan
sentiasa menghargai masa semasa berada di sekolah untuk belajar dan belajar
sahaja. Pelajar yang sedar diri akan sentiasa terbayangkan kemiskinan dan
kesusahan hidup keluarganya. Dia sentiasa berazam untuk membawa keluarganya
keluar dari kepompong kemiskinan itu. Dengan itu, dia akan belajar
bersungguh-sungguh demi memperoleh kecemerlangan.
Jangan khianati diri
sendiri
Pelajar yang malas
merupakan pelajar yang mengkhianati dirinya sendiri. Semua orang dikurniakan
akal yang rasional dan fizikal yang sempurna. Mengapakah ada orang yang berjaya
dan ada orang yang gagal? Walaupun kita selalu mengatakan perjalanan hidup kita
ditentukan oleh takdir, kita tidak boleh menafikan sikap malas yang tebal dalam
diri kita merupakan penghalang utama untuk kita maju seperti orang lain.
Peluang sudah terbentang di depan mata. Mengapakah kita tergamak menutup ruang
dan peluang kita sendiri dan memberikannya kepada orang lain? Pelajar yang
malas ibarat menjerut leher sendiri. Mereka telah lama mati walaupun nadi belum
terhenti. Mati kerana tidak mampu merangkul kejayaan seperti orang lain.
Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk mendapatkan kejayaan, dia masih tidur
berdengkur dibalut selimut kemalasan. Hidup hanya untuk menyusahkan ibu bapa
hingga ke hari tua. Orang yang malas biasanya orang yang suka hidup dengan
hiburan. Mereka hanya memikirkan keseronokan pada setiap masa. Hidup
berkiblatkan artis popular tetapi dirinya sendiri entah kemana!
Dunia hari ini
memerlukan kita untuk kental bersaing. Jika kita tidak berpendidikan kita tidak
mampu melakukan pecutan untuk mara kehadapan. Kita akan terus ditertawakan dan
diperlekehkan oleh orang lain. Kita gagal dalam persaingan. Kita akan
ketinggalan. Orang sudah berlari tetapi kita masih bertatih. Semasa di sekolah
kita harus membina keyakinan diri. Semasa di sekolah kita harus membina
kekuatan diri. Kita disediakan dengan puluhan pendidik yang berdedikasi untuk
memberikan ilmu, nasihat, dan amanat. Mengapakah kita selalu menitiskan noda
pada kanvas silaturrahim dengan mereka? Pelajar yang berjaya merupakan pelajar
yang ditakuti kerana kematangannya, kecemerlangannya dalam bidang kurikulum dan
kokurikulum, dan ketokohannya. Pelajar yang menjadi pembuli, samseng taik
kucing, suka melawan guru, gemar bercakap kasar dan sebagainya tidak akan maju
dalam hidup. Orang mungkin takut pada mereka tetapi takut kerana jahatnya sikap
dan kelakuan mereka bukannya takut kerana mereka berjaya. Golongan ini akan
hadir dalam masyarakat untuk menyusahkan masyarakat, langsung tidak membawa
kemaslahatan kepada diri dan orang lain.
Berubahlah
anak-anakku
Anak-anakku sayang,
masa yang Allah berikan kepada kita untuk berubah tidak pernah bermuara.
Luasnya saujana mata memandang. Kita harus bersikap positif untuk mengubah diri
agar menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, dan negara. Sayangi
diri sendiri. Orang yang sayang pada dirinya sendiri akan berjuang
berhabis-habisan untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu hidupnya dibawah
telunjuk orang lain. Dia tidak mahu keluarganya hidup menderita. Dia tidak mahu
ibu bapanya hidup sengsara. Dia tidak mahu guru-gurunya berasa kecewa. Dia
tidak mahu pemikirannya dijajah. Dia tidak mahu masa depannya musnah. Masa di
sekolah hanyalah 7 jam sehari. Jika masa itu digunakan dengan bermanfaat,
insyallah anda mampu memahat nama di persada jaya sebagai pelajar yang paling
cemerlang di Malaysia. Ini bukan mustahil! Jika orang lain boleh mengapakah
anda tidak boleh?
Coretan dari hati
seorang pendidik
Cikgu Zulkarnain
Farihin Abdullah
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan