JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : PAKAIAN ITU IDENTITI KAMI, TOLONG HORMATI!


Sewaktu menonton sebuah rancangan hiburan yang berkonsepkan lawak pada hujung minggu lalu, semangat untuk ketawa tiba-tiba hilang sebaik sahaja sebuah kumpulan lawak mempersembahkan suatu persembahan yang mengunakan pakaian tradisional salah satu suku kaum di Sarawak iaitu suku kaum Iban. Sebagai seorang warga yang berbangsa Iban, saya memang tahu ramai yang tersinggung menyaksikan persembahan tersebut kerana pemakaian pakaian tradisional itu adalah salah. Pada pandangan saya, walaupun konsep rancangan itu lebih kepada lawak, mereka harus peka dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan sensitiviti sesuatu suku kaum. Hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang indah dan permai ini memerlukan kebijaksanaan kita menggunakan akal fikiran sebelum melakukan sesuatu terutama dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan kebudayaan dan adat istiadat sesuatu suku kaum.

Jangkaan saya memang betul. Keesokkan harinya saya melihat ruangan Facebook penuh dengan komen peminat rancangan tersebut. Ramai yang melontarkan kekesalan tetapi ada pula yang menyanggah. Semuanya tampak gagah dengan pendirian masing-masing. Dalam dunia muka buku ini semua orang mampu berjuang dengan memberikan komen masing-masing terhadap sesuatu isu. Saya membaca pandangan pelbagai pihak. Yang berfikiran matang, komen yang dilontarkan pun tampak matang. Yang kebudak-budakkan, komen yang dilontarkan pun tampak kebudak-budakkan. Yang marah pula mengeluarkan komen yang memang boleh menusuk hingga ke ulu hati. Contohnya, mereka cuma meninggalkan kata “Sila meninggal”. Pada hari itu, lambakan post yang berkaitan dengan isu itu menyerang laman Facebook terutama dalam kalangan penduduk negeri Sarawak suku kaum Iban.

Inikan rancangan lawak

Mengapa mereka tersinggung? Bukankah itu hanya rancangan lawak? Dalam rancangan lawak orang boleh buat apa-apa sahaja. Hakikat ini tidak dapat kita nafikan. Akan tetapi, dalam suku kaum Iban di Sarawak, tradisi itu amat penting. Pakaian perempuan mesti dipakai oleh anak perempuan. Pakaian lelaki mesti dipakai oleh anak lelaki. Cara pemakaiannya mesti betul. Jika salah, si pemakai akan dimarah. Dalam pertandingan Kumang Gawai atau Keling Gawai yang diadakan setiap kali habis musim menuai, paras rupa tidak penting jika pemakaian si ratu jelas kurang atau pincang. Kemenangan akan memihak kepada mereka yang lengkap dan tepat pemakaiannya. Bagi masyarakat Iban, pakaian itu merupakan maruah dan identiti masyarakat mereka. Oleh itu, pakaian tersebut tidak boleh dipakai pada masa yang tidak sesuai apatah lagi jika cara pemakaiannya adalah salah. Mereka memang terasa hati. 


Adakah mereka ini terlalu sensitif? Sebenarnya, masyarakat Iban bukanlah masyarakat yang terlalu sensitif dan tidak berfikiran terbuka. Saya sendiri misalnya tidak pernah terasa hati atau melenting tidak tentu pasal jika dikritik atau diberikan penilaian yang negatif terhadap kualiti kerja yang saya buat. Namun begitu, bagi hal-hal yang bersangkutan dengan budaya turun-temurun, saya memang marah jika dibuat seperti barang mainan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kalangan masyarakat Iban yang masih tebal dengan tradisi perkara tersebut boleh mendatangkan bala atau malapetaka. Orang yang mempersendakan budayanya sendiri merupakan orang yang berdosa. Apatah lagi jika orang yang melakukannya merupakan kaum lain yang tidak pernah mengkaji dan mendampingi masyarakat kami. Pakaian tradisional suku kaum Iban memang dijaga dan dipelihara dengan amat baik. Jangan terkejut kalau harganya mencecah ribuan ringgit, akan tetapi mereka tetap akan membeli juga kerana bukan sebarangan orang boleh memiliki kemahiran menghasilkan pakaian tradisional suku kaum Iban. Walaupun saya sudah menganut agama Islam, saya tetap berusaha menyimpan sepasang pakaian lelaki dan sepasang pakaian perempuan kerana bagi saya itulah identiti yang mesti dijaga dan dipelihara. Saya tidak boleh melupakan identiti sebenar diri saya. Oleh sebab itu, apabila mata kita melihat, walaupun kita rasa pelik dan tidak berkenan, berfikiran positiflah kerana itu identiti sesuatu suku kaum. Perkara sebegini tidak boleh dijadikan bahan lawak!

Orang sensitif susah hendak maju?

Kenyataan ini merupakan tuduhan yang tidak digandingkan dengan akal yang waras. Sensitif terhadap budaya kaum sendiri tidak berkaitan langsung dengan kemunduran atau kemiskinan sesuatu kaum. Masyarakat Jepun yang jauh maju meninggalkan kita di hadapan pun masih tebal dengan tradisi mereka. Tradisi mereka sentiasa dijaga dengan penuh rasa patriotisme sehingga dikagumi oleh seluruh masyarakat dunia. Masyarakat Korea juga begitu. Apakah orang yang mempersendakan budaya kaum lain itu orang yang maju? Kita semua masih berada di level yang sama. Oleh itu, sebelum kita menggunakan apa-apa alatan atau pakaian tradisi sesuatu kaum, kita mesti bertanya kepada orang yang benar-benar arif tentang suku kaum itu. Kadang-kadang apabila kita bertanya kepada masyarakat Iban yang tinggal di bandar, mereka pun tidak mengenali cara pemakaian yang betul bagi pakaian tersebut kerana mereka sudah lama tidak tinggal di rumah panjang. Walau bagaimanapun, saya berani mengatakan orang Iban kini berada di segenap empat penjuru Malaysia bumi bertuah ini. Mereka berada di Central Market, Pasar Chow Kit, Pavilion, KLCC, KLIA, Langkawi, dan semua tempat di Malaysia. Tidak sudah mencari mereka untuk bertanya. Tidak salah mengkaji dan bertanya untuk mengelakkan diri daripada tersesat jalan. Insyallah, mereka akan memberitahu yang betul kepada kita. 


Kenapa perlu berlawak dengan cara merupakan diri sebagai seorang perempuan wahal kita lelaki yang sempurna? Mengapa perlu berlawak dengan mengutuk rakan seperjuangan terutama yang berbadan besar? Mengapa perlu berlawak dengan membodohkan diri kita sendiri. Mr. Bean menakluki dunia dengan lawaknya tanpa perlu berbuat begitu. Dia hanya menggunakan blazer yang sama warna dari awal hingga ke tamat cerita. Orang yang menonton ceritanya tidak henti-henti ketawa. Harith Iskandar dinobatkan sebagai Orang Yang Paling Lawak di dunia tidak perlu membonekakan dirinya. Undiannya tinggi sehingga menjadi juara. Mengapakah kita tidak boleh berlawak seperti mereka? Mengapakah kita tidak berusaha untuk menjadi seperti mereka.

Kami bantu mempromosikan

Pakaian tradisional kaum Iban hanya untuk kaum Iban. Pakaian tradisional ini hanya dipasarkan untuk kaum tersebut sahaja. Niat untuk mempromosikan itu tidak kena caranya. Biarlah mereka sendiri mempromosikannya kerana mereka lebih tahu cara penggunaan dan pemakaiannya. Banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh dijadikan modal untuk membuat lawak. Kadang-kadang apabila kita melihat pengemis berjalan dengan pakaiannya yang koyak, badan berbau, tidak pernah mandi, dan kelihatan begitu hina pada pandangan mata, kita tidak boleh beranggapan mereka tidak kenal asal usul mereka. Mereka masih kenal identiti dan tradisi mereka. Mereka masih mampu bertutur dalam bahasa mereka. Mereka masih bernafas dengan menghirup udara sama seperti kita. Pepatah Melayu mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’, kita harus mengenali secara mendalam sesuatu perkara sebelum kita menjadikannya sebagai tajuk projek, tugasan mahupun bahan lawak kita! Jika tidak kita akan mengundang kontroversi dan rasa tidak puas hati. Polemik ini akan terus berpanjangan jika tidak dipadamkan dengan ungkapan maaf yang penuh ikhlas. Ingatlah, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Sesungguhnya, semua orang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan itu akan mematangkan kita untuk terus mara ke hadapan.

Walau bagaimanapun, isu ini bukanlah isu besar untuk dibawa sehingga ke muka pengadilan. Banyak lagi isu masyarakat Iban yang perlu diperjuangkan terutama isu yang berkaitan dengan kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Pendidikan harus dijadikan agenda utama untuk membangunkan kaum Iban agar standing dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Insyallah. Moga-moga perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa-masa mendatang seiring dengan kemajuan negara kita yang kian menghampiri ambang 2020.

TAHUN 2021 - KONTROVERSI TERCETUS LAGI OLEH INFLUENCER 'DURIANKIMCHI'

Tatkala negara masih bertarung dengan Covid-19, golongan yang menjadikan media sosial sebagai salah satu cara untuk meraih populariti dan menjana pendapatan ghairah menghasilkan video untuk meraih "LIKE", "KOMEN" dan "SUBSCRIBE" sehingga tidak dapat memikirkan baik dan buruk perkara yang mereka ketengahkan. Susulan itu, muncullah gurauan suami isteri sehingga menyamakan pakaian trasisi Iban dengan alas meja dan sebagainya. Hati siapakah yang tidak terluka? Saya beli almari berharga RM2000.00 hanya untuk menyimpan pakaian tradisional Iban yang saya beli dengan harga melebihi RM10,000 jika dikira satu persatu. Dia pula dengan nada bergurau menyamakan pakaian yang dipakaikan kepada isterinya itu dengan alas meja! Sepatutnya, sebagai manusia berpendidikan dia gunakan kesempatan itu untuk menarik perhatian suku kaum Iban supaya lebih ramai tertarik dengan DurianKimchi dan menjadi pengikut dia. Kenapakah dia tidak memuji isterinya cantik, anggun dan kelihatan lain selepas memakai pakaian itu? Jawapannya, orang macam dia bukan seorang tetapi ramai lagi. Golongan ini memang suka membenci dan mencaci suku kaum Iban sebab mentaliti sebegitu sudah tersemai sejak kecil. Itu bukan gurauan kerana dia tahu itu adalah salah selepas kali pertama mengujarkan, dia minta maaf tetapi selepas berlarutan beberapa jam baru memohon maaf maka kita faham itulah tujuan sebenar golongan sebegini yang sebenarnya ingin menagih perhatian.

Bagi saya, orang berpendidikan ini tahu baik buruk perkara yang diperkatakan dalam masa beberapa saat selepas mengujarkan kata-kata itu. Jika dia tidak sedar atau sedar selepas kemarahan meledak maknanya itulah sesuatu yang sengaja dilakukan. Saya mohon, berhentilah daripada mempersenda, mentertawa dan mempermainkan bangsa kami. Kami sangat menghormati bangsa-bangsa lain di Malaysia. Berkawanlah dengan kami maka awak akan tahu mulianya hati dan murninya jiwa kami. Jangan menanamkan kebencian dalam generasi anda terus menerus kerana itu hanya akan membawa banyak kesan negatif. Soal perkauman bukan mainan. Jika mahu bermain, pilihlah permainan yang betul untuk dimainkan. 


Catatan Seorang Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak


Tiada ulasan: