29 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : DUNIA KECOH KERANA SOPA DAN PIPA

Oleh Azhar Abu Samah
azharaz@bharian.com.my


Kecoh satu dunia apabila beratus-ratus laman web, termasuk Wikipedia dan enjin carian popular, Google melancarkan bantahan bermula jam 12 tengah malam, Rabu lalu (18 Januari) dengan ‘menggelapkan’ laman sesawang (web) masing-masing selama 24 jam kerana membantah perundangan dicadangkan Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menghapuskan cetak rompak di internet. Pengguna internet yang melayari laman sesawang yang mengambil bahagian dalam tempoh itu tidak dapat membaca kandungan dalam laman berkenaan, sebaliknya mereka hanya dapat melihat mesej bermatlamat memberi kesedaran mengenai Akta Menghentikan Cetak Rompak Internet (SOPA) yang diperkenalkan anggota Dewan Perwakilan dan Akta Perlindungan Harta Intelektual (PIPA) di Dewan Senat Amerika Syarikat. Kongres AS ketika ini menimbang untuk meluluskan rang undang-undang yang boleh merosakkan khidmat internet percuma dan terbuka. Jika diluluskan nanti, rang undang-undang itu akan memberi kuasa untuk menguatkuasakan hak cipta yang akan mengehadkan inovasi dan mengancam kewujudan laman sesawang dengan menetapkan kandungannya mestilah daripada pemiliknya.

Malah, SOPA akan menyekat sebarang laman sesawang yang dianggapnya sebagai melanggar hak cipta atau mencetak rompak tanpa mengendahkan peruntukan ‘kegunaan wajar’ yang pernah digariskan oleh Akta Hak Cipta Alaf Digital (DMCA). Anggota Senat AS dijadualkan mengundi mengenai PIPA pada Selasa depan. Bagaimanapun, Speaker Dewan Republikan, John Boehner, kelmarin menegaskan belum ada kata sepakat buat masa ini mengenai SOPA dan memerlukan lebih banyak kerjasama di kalangan anggota jawatankuasa sebelum mencapai sebarang keputusan. Kepada pelayar internet, terutama Wikipedia yang berpangkalan di AS, jangan menyangka undang-undang ini untuk mereka di AS saja. Apa saja yang dimuat naik ke dalam alam siber dari seluruh pelosok dunia dianggap melanggar hak cipta kerajaan dan korporat AS akan disekat. Betapa susahnya nanti apabila banyak maklumat dan gambar mustahak disekat atau ditarik keluar daripada Wikipedia jika ia ditakrifkan pihak berkuasa AS sebagai melanggar peraturan hak cipta yang bakal diluluskan nanti. Bukan itu saja, enjin pencarian utama juga akan menyekat mana-mana laman sesawang asing (bukan dari AS) yang disyaki melakukan pelanggaran hak cipta.

Dilaporkan, Wikipedia sudah menyatakan bantahannya, termasuk meminta mereka yang melayari laman sesawangnya di AS supaya menyatakan rasa tidak senang hati dengan cadangan penguatkuasaan SOPA dan PIPA sama ada berurusan terus dengan ahli perwakilan mereka atau menggunakan media sosial. Apakah itu SOPA dan PIPA? SOPA dan PIPA adalah dua undang-undang, masing-masing akan dikemukakan di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat AS. SOPA bermaksud Stop Online Piracy Act atau Akta Menghentikan Cetak Rompak Internet, manakala PIPA ialah akronim untuk Protect IP Act atau Akta Perlindungan Harta Intelektual. Ringkasnya, kedua-dua akta ini bertujuan menghentikan pelanggaran hak cipta dilakukan laman sesawang asing. Bagaimanapun, Wikipedia melihat usaha pentadbiran AS ini sebagai tindakan menyekat kebebasan bersuara dan menggugat internet, sekali gus tidak dapat diterima dalam dunia yang mengamalkan keterbukaan, selamat dan kebebasan berinternet. Persoalan utama yang merisaukan kebanyakan pemilik laman sesawang besar ialah definisi kesalahan melanggar hak cipta, terutama membabitkan tindakan memuat-naik sesuatu ‘bahan’ oleh pelayar yang seboleh-bolehnya mahu dipastikan pemilik laman sesawang ia tidak melanggar hak cipta.

Bagi mereka tidak wajar laman sesawang disekat atau ditutup SOPA dan PIPA hanya kerana ada bahan pelanggaran hak cipta dalam kuantiti yang terlalu kecil dimuat-naik oleh pengguna laman terbabit. Malah, ada yang melihat penguatkuasaan SOPA dan PIPA menandakan bermulanya masalah lebih besar bagi pengguna internet di seluruh dunia. Tidak dinafikan sudah ada negara mahu mengekang kebebasan berinternet dengan memperkenalkan beberapa bentuk perundangan dan akta bagi menjaga kepentingan dan hak asasi individu. Pengenalannya hanya untuk membendung penyebaran fitnah oleh pengguna internet. Dari spektrum yang lebih meluas, penguatkuasaan SOPA dan PIPA memperlihatkan sikap sebenar AS yang mahu mengawal kebebasan internet dengan menjadikan kedua-dua akta itu sebagai alat memenuhi kehendak kebebasan mengikut takrifan mereka. Yang pastinya, akta ini memberikan kuasa yang besar kepada Kerajaan Amerika untuk mengawal kandungan dan maklumat dalam laman sesawang bebas.  Pemilik laman sesawang percaya pendekatan ‘menghentikan pelanggaran hak cipta’ melalui SOPA dan PIPA tidak akan berkesan, sebaliknya ia akan menjejas dan menyekat pengguna internet untuk mendapatkan lebih maklumat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 Januari 2011

ISU SOSIAL : WARGA PERNAH MUDAH VS WARGA EMAS


Di Malaysia, orang yang sudah meningkat umur atau lanjut usia dipanggil warga emas, gelaran paling hormat untuk orang tua. Kategori golongan warga emas adalah mereka yang sudah berpencen wajib. Sesiapa saja mencapai usia 55 tahun sebelum ini secara automatik mendapat gelaran percuma warga emas untuk melayakkan mereka mendapat beberapa kemudahan termasuk rawatan perubatan di hospital, tambang murah kenderaan awam dan sebagainya. Sekarang, umur berpencen dinaikkan kepada 60 tahun. Kalau begitu, sesiapa yang melepasi usia 60 tahun termasuk dalam golongan warga emas. Hari ini, kita sering membaca berita baik atau buruk mengenai berita dan cerita warga emas. Ada berita warga emas ditangkap kerana melakukan kesalahan, warga emas yang menderita dan memerlukan bantuan, kisah warga emas di Rumah Orang Tua, warga emas ditangkap berkhalwat atau berkahwin dengan wanita muda dan sebagainya. Jika warga emas ini melakukan sesuatu yang tidak baik, ia menjadi berita sensasi hanya disebabkan faktor usia mereka.

Sebenarnya, bagi yang berusia 55 atau awal 60-an, mereka tidak gemar dengan gelaran ini, walaupun bunyinya sedap didengar. Bagi mereka walaupun gelaran penghormatan, ia terlalu awal diberikan kepada mereka. Mereka masih berjiwa muda. Pada mesyuarat sidang pengarang Berita Harian/Berita Minggu, kami sering juga berbincang mengenai terminologi warga emas ini, khasnya mengenai kesesuaian penggunaannya dalam berita. Dalam konteks perhubungan dan panggilan seharian, gelaran pak cik, mak cik, datuk, nenek dan sebagainya sudah cukup menggambarkan ciri-ciri dan hierarki seseorang walaupun ia tidak semestinya menggambarkan usia sebenar. Dalam konteks jangka hayat penduduk Malaysia, usia 60-an, tidak boleh dianggap tua. Mereka masih aktif dan produktif dan mampu menjalankan kerja.

Hari ini ramai mereka yang berusia 70-an, malah 80-an, masih menerajui pelbagai syarikat besar sama ada syarikat milik persendirian atau menjadi pengerusi syarikat kerana nama dan pengalaman mereka. Ramai juga aktif dalam persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO). Secara bergurau, ada cadangan daripada anggota sidang pengarang supaya gelaran baru bagi warga emas ditukar kepada panggilan yang lebih boleh diterima – warga pernah muda. Isnin lalu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Berita Harian mengumumkan Sayembara Penulisan Novel. Cerpen dan puisi untuk penulis muda warga Malaysia. Maka terdengarlah suara, bagaimana dengan penulis warga emas. Serentak itu kedengaran suara menyatakan bukan warga emas, tapi warga pernah muda.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 Januari 2011

ISU UMUM : ANTARA DOKTOR DAN TUKANG PAIP?

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


Apa bezanya antara seorang tukang paip dan doktor? itu adalah pertanyaan daripada seorang tokoh korporat yang bergiat dalam industri perhotelan. Katanya, kedua-dua profesion itu memeriksa pesakit. Bagi doktor, pesakitnya adalah manusia manakala bagi tukang paip adalah paip yang rosak atau tersumbat. Cara mengenal pasti penyakit bagi setiap pesakit juga adalah sama.  Doktor mempunyai alat untuk memeriksa pesakit, manakala tukang paip juga mempunyai alatnya tersendiri untuk memeriksa paip yang ‘sakit’. Sebut saja apa yang dialami pesakit, seseorang doktor sudah boleh meramalkan jenis penyakit yang dihadapinya berpandukan kepada tanda-tanda yang ada pada pesakit. Bagaimanapun, seseorang doktor mungkin memerlukan ujian yang lebih teliti terhadap kesihatan seseorang pesakit kerana ia membabitkan manusia yang bernyawa. Selepas mengetahui penyakit pesakit, doktor memberi ubat yang sesuatu atau rawatan yang diperlukan. Jika penyakit yang dialami pesakit itu kecil saja, penyakit hanya diberi rawatan biasa. Tetapi, jika memerlukan rawatan yang rapi, pesakit terpaksa melakukan pemeriksaan yang rapi.

Keadaan hampir sama juga berlaku ke atas seseorang tukang paip. Jika dipanggil untuk memeriksa masalah paip di sesebuah premis, seorang tukang paip sudah boleh menjangkakan apa yang sebenarnya berlaku daripada penjelasan yang diberikan.  Malah, mereka sudah tahu cara mengatasinya dan alat yang akan digunakan. Jika kerosakan biasa, ia hanya memerlukan rawatan yang kecil, sebaliknya rawatan yang besar akan dilakukan jika ia memerlukan pengubahsuaian tertentu.  Bagi doktor dan tukang paip, kedua-dua mereka menerima upah. Doktor menerima bayaran daripada pesakit atau keluarga mereka manakala tukang paip daripada pemilik premis.  Bagi demam biasa, seseorang doktor swasta, mengenakan bayaran antara RM30-RM50 untuk perundingan, rawatan dan ubat bagi seseorang pesakit. Bagi seseorang tukang paip pula, mereka mungkin mengenakan bayaran antara RM100-RM200 atau lebih untuk memperbaiki paip yang bocor atau rosak, bergantung kepada tahap kerosakan paip yang dialami.

Perkara yang sedikit berbeza, mungkin pelanggan kepada doktor lebih ramai berasaskan bilangan penduduk dan tahap kemudahan kesihatan di sesebuah negara. Namun, walaupun tukang paip mendapat tiga atau empat pelanggan sehari, dia mungkin boleh menyamai pendapatan seorang doktor. Tugas tukang paip, mekanik motor, tukang elektrik, mekanik memperbaiki pendingin hawa dan sebagainya adalah hampir sama dengan doktor, malah tidak mustahil boleh dikatakan lumayan. Di Malaysia, bilangan rumah, kenderaan, hotel, pejabat, sekolah, universiti, hospital dan sebagainya bertambah setiap masa. Setiap bangunan pasti memerlukan rawatan. Rawatan yang besar memerlukan kos yang besar, sama juga dengan kos bagi melakukan pembedahan terhadap seseorang pesakit. Dalam konteks pembangunan negara hari ini, Malaysia menyediakan peluang pekerjaan yang sangat luas. Tidak semua orang boleh menjadi doktor atau jawatan lain yang menjadi rebutan seperti jurutera, akauntan, peguam, pensyarah dan sebagainya.

Hakikatnya, banyak profesion lain yang boleh diceburi dengan pendapatan yang lumayan. Langkah kerajaan mewujudkan banyak sekolah dan kolej vokasional adalah perancangan yang tepat dengan mengambil kira kemajuan pesat negara yang memerlukan tenaga bidang kerja penyeliaan. Jika rakyat tidak disediakan dengan latihan vokasional, tugas ini pasti akan diambil alih oleh pendatang asing yang kian ramai. Hari ini pun, pendatang asing sudah menguasai beberapa jenis kerja yang tidak diminati rakyat tempatan. Dalam bidang pembinaan dan perladangan, umpamanya, tugas berkenaan sudah mula dikuasai oleh pendatang asing. Di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, contohnya, sudah ramai pendatang asing menguasai perniagaan dari pasar runcit ke kedai runcit. Malah, perniagaan di kawasan itu juga sudah bertukar. Restoran yang menjual bakso lebih dilihat ramai pelanggan daripada restoran roti canai. Pekerja pendatang asing juga menguasai tugas di pusat beli-belah sama ada menjadi jurujual, pelayan di hotel atau mekanik di kedai menjual alat elektrik dan komputer. Di pasar basah, pembeli rakyat negara ini menawar harga ikan dan sayur daripada penjual pendatang asing. Begitulah keadaannya jika penduduk tempatan tidak mengambil kesempatan, tempat mereka akan diambil alih oleh pendatang asing.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 Januari 2011

28 Januari 2012

ISU SBPA : CUEPACS BERI AMARAN "PULAU" PANEL SBPA


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menarik diri daripada menganggotai pasukan petugas yang dibentuk untuk menyemak semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) jika kerajaan tidak menambah wakil badan induk kakitangan awam itu. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu agar tiga lagi pegawai tertinggi Cuepacs dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA. Sekiranya tiga pegawai Cuepacs tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu  Datuk Omar Osman akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil baginya. Menurutnya, dia adalah wakil kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain. Selain itu katanya, Cuepacs akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi  penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA. Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai.

SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakanpersatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan. Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepadakerajaan.Ia dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Selain beliau, ia juga dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan. Dalam pada itu, Omar berkata, Cuepacs akan mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula SBPA.

Katanya, lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan kebawah. Lima perkara terbabit ialah :

1. mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah
2. mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA
3. mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang telah lama mencapai tahap gaji maksimum;
4. mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus;
5. semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.

Ceupacs berharap  hasil semakan  semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
28 Januari 2011

ISU GURU : PERMOHONAN PERPINDAHAN DITOLAK ENAM KALI

SUMBER : HARIAN METRO
TARIKH : 28 JANUARI 2012


“Ketika isteri yang tinggal di Sarawak keguguran pada 17 Januari lalu, saya sedih kerana tidak mampu membantu sebaliknya hanya mendoakan keselamatannya kerana tinggal berjauhan (di Johor),” kata pekerja hotel, Mohd Fauzi Borhan, 37, yang amat bimbangkan keadaan isterinya kerana sudah dua kali keguguran dalam tempoh tiga tahun, dipercayai akibat tekanan hidup. Menurutnya, lebih mengecewakan apabila usaha isterinya, Lida, 32, yang bekerja sebagai guru Lepasan Ijazah J-Qaf di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Sarawak, untuk bertukar ke Johor, tidak mendapat maklum balas positif sejak tiga tahun lalu. Menurutnya, hasratnya membuat rayuan pertukaran isterinya itu menemui jalan buntu apabila tidak dibenarkan berbuat demikian oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.

Katanya, keluarganya dimaklumkan pengurusan di Putrajaya bahawa permohonan dikemukakan isterinya ditolak berikutan tidak menerima sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. “Saya dan isteri tinggal berjauhan sejak enam tahun lalu dan isteri sudah membuat permohonan pertukaran tempat kerja sebanyak enam kali iaitu dua kali setahun (sejak tiga tahun lalu). “Dua tahun lalu, dia keguguran kali pertama, tetapi kami bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki pertengahan Mei lalu,” katanya. Fauzi berkata, kini dia terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak lelakinya berusia lapan bulan berikutan permohonan kali keenam pada November lalu ditolak tanpa alasan dan dia difahamkan keputusan itu muktamad. “Apa yang kami minta ialah budi bicara, isteri sudah enam tahun berkhidmat di Sarawak, wajarlah dia berpindah balik ke sini. Saya risaukan keadaan isteri kerana doktor menasihatkannya banyak berehat, namun disebabkan tinggal berseorangan, dia perlu bekerja dan mengurus anak. “Saya harap kementerian prihatin dengan masalah kami dan membenarkan pertukarannya,” katanya.

KOMEN CIKGU ZUL

Hal perpindahan guru ini memang merumitkan. Ada guru yang baru satu tahun berkhidmat di sesebuah sekolah sudah boleh pindah. Ada guru yang sudah berkhidmat bertahun-tahun, apabila memohon perpindahan langsung tidak dilayan. Karenah birokrasi dalam pihak yang menguruskan perpindahan guru ini memang memeningkan kepala. Saya rasa suatu anjakan paradigma perlu dilakukan dalam menguruskan perpindahan guru. Situasi ini semakin membebankan untuk guru-guru Bahasa Melayu di sesebuah sekolah. Sebaik sahaja mengemukakan permohonan, Pengetua sekolah terus memberitahu bahawa beliau tidak boleh meluluskan disebabkan guru Bahasa Melayu semakin berkurangan. Pihak yang berkenaan juga perlulah melihat perkara ini dengan serius. Lambakan guru Sains dan Matematik di sekolah-sekolah terutamanya di bandar-bandar pada masa sekarang sewajarnya diperhatikan. Jangan disebabkan kesilapan, para guru yang menjadi mangsa. Kita kena ingat, jika seseorang guru memohon untuk berpindah maknanya dia sudah tidak ada hati untuk berkhidmat di sekolah itu lagi.

Kenapa berlakunya keadaan seseorang guru sudah cuak dan bosan untuk berkhidmat di sekolah tersebut? Tepuk dada tanya selera. Lain sekolah, lain pula situasinya. Lain Pengetua lain pula corak pentadbirannya. Sebilangan guru terus tersisih dan terkecuali  walaupun sudah berkhidmat bertahun-tahun di sekolah yang sama. Penat lelah langsung tidak dihargai. Kejayaan dan usahanya langsung tidak dipandang. Guru pun manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Oleh itu, jika dia tergerak hati untuk memohon pindah, relakanlah kerana hatinya sudah tidak ada lagi di situ. Janganlah diseksa batin dan jiwanya. Janganlah dirosak semangat dan kewibawaannya. Mengapa kita perlu menghalang niat dan harapan seseorang hanya kerana kita mempunyai kuasa untuk menghalangnya? Mengapa kita tidak cuba meletakkan diri ditempat mereka yang memohon perpindahan itu? Jika permohonan ditolak sekali, mungkin tidak mengapa. Akan tetapi, kalau sudah sampai 6 hingga 10 kali permohonan ditolak, memanglah ada apa-apa. Apa kes?

ISU UMUM : KEUPAYAAN KAWAL EMOSI BAWA KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN DIRI

Oleh Ma Hassan Salleh


Sejak akhir-akhir ini, media banyak melaporkan aktiviti remaja yang tidak bercorak konstruktif untuk pembangunan diri mahupun masa depan mereka dan negara. Bermula dengan peristiwa demonstrasi menurunkan bendera Perdana Menteri hinggalah ugutan untuk meletupkan pesawat yang dinaikinya, ditambah pula dengan gejala mat rempit, gangsterisme, hedonism melampau, seks bebas dan seumpamanya, semuanya menggambarkan kecelaruan dan ketidaktentuan arah tuju remaja untuk merancang masa depan cemerlang. Kecelaruan dan ketidaktentuan hala tuju di kalangan remaja ini berpunca daripada kegagalan mereka mengurus emosi. Dalam mengurus emosi ada dua kecekapan yang perlu dimiliki; pertama kecekapan peribadi dan kedua ialah kecekapan sosial. Dalam konteks kecekapan peribadi, seseorang individu perlu menguasai tiga aspek iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kawalan kendiri dan motivasi. Emosi sangat dominan ketika alam remaja. Dikatakan bahawa sebahagian besar tindakan yang dilakukan remaja berdasarkan emosi.

Apabila meningkat dewasa akal pula lebih dominan, yang mana sebahagian besar tindakan dilakukan berdasarkan pemikiran. Bagaimanapun pendapat ini tidak konsisten. Ada juga sebaliknya. Ini bergantung kepada sejauh mana tahap kecerdasan emosi dan intelektual yang dimiliki individu berkenaan. Mengikut pandangan ahli psikologi, ada dua faktor utama menentukan kecemerlangan seseorang manusia. Pertama kecerdasan intelektual (IQ) dan kedua kecerdasan emosi (EQ). Walaupun IQ kelihatan begitu utama menentukan kejayaan seseorang individu, namun ahli psikologi menemui bukti bahawa faktor utama yang membawa kejayaan ialah EQ.  Ini dinyatakan oleh Goleman, D (1998) bahawa penilaian seseorang individu bukan saja diasaskan kepada IQ tetapi lebih penting ialah EQ. Faktor ini meninggalkan kesan mendalam dalam keseluruhan aspek kehidupan seseorang individu, termasuk kesihatan dan sosial.  Kecerdasan emosi ialah tahap keupayaan seseorang individu mengurus emosi. Ertinya jika seseorang sedang marah, dia berupaya mengawal kemarahannya itu dengan tidak melakukan perkara merugikan diri dan orang ramai ketika menunjukkan kemarahan itu.

Banyak kisah dan cerita menunjukkan tidak semua manusia mempunyai IQ tinggi berjaya dalam kehidupan. Sebaliknya, manusia yang mempunyai EQ tinggi lebih berjaya dan apabila diukur dari segi IQ berdasarkan taraf pendidikan adalah tidak seberapa. Sebagai contoh, Bill Gates, pengasas Windows dikatakan seorang pelajar yang tidak dapat menghabiskan pelajaran tingginya tetapi sangat berjaya dalam dunia perniagaan perisian komputer. Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong, tidak fasih berbahasa Inggeris sebaliknya hanya berurus niaga dengan menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Melayu tetapi menjadi orang terkaya di Asia Tenggara dengan nilai kekayaan RM421.8 bilion. Tun Abdul Ghafar Baba hanya seorang guru lepasan maktab perguruan, tetapi akhirnya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebaliknya, ramai orang yang memiliki IQ tinggi tetapi akhirnya menemui kegagalan dalam hidup mereka.

Secara umum, kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat berjaya dalam mengurus emosinya. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kutukan dan tohmahan, didapati beliau sentiasa tenang dan senyum ketika berucap atau menjawab soalan wartawan. Berbeza dengan sesetengah ahli politik lain, sekali sekala menampakkan api kemarahan, melenting dan menjawab menggunakan nada suara tinggi serta bahasa kasar. Berbalik kepada dua contoh tindakan remaja di atas, ia adalah fenomena yang diambil untuk melahirkan rasa marah, benci dan geram. Tetapi tindakan berasaskan emosi tidak dapat dikawal itu akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang ramai.  Ia memberi gambaran seolah-olah keseluruhan mahasiswa di negara ini mempunyai sikap, pemikiran dan nilai moral yang sama dengan mereka. Jika sesuatu perkara itu tidak sealiran dengan kita, menyebabkan kita rasa marah, geram dan benci, kita masih boleh menyatakannya dengan pelbagai cara lebih bersopan dan bijaksana.

Menyatakan bangkangan untuk menggambarkan rasa tidak puas hati melalui tindakan keterlaluan di luar batasan kemanusiaan, agama dan nilai moral menggambarkan seseorang itu tidak mampu mengurus emosi. Memang kita mempunyai hak kebebasan menyatakan setuju atau tidak setuju terhadap sesuatu perkara. Kita juga dibenarkan mengadakan demonstrasi secara aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2011. Tetapi berdemonstrasi dengan diikuti aktiviti merosakkan harta benda awam, menurunkan bendera Perdana Menteri, serta menyatakan ugutan meletupkan pesawat (walaupun berjenaka) tidak dapat diterima oleh masyarakat. Kegagalan mengurus emosi tidak saja berlaku di kalangan remaja tetapi juga di kalangan orang dewasa. Ramai pemimpin kehilangan karier politik mereka kerana bertindak mengikut emosi. Ramai juga usahawan, penjawat awam yang mempunyai kehebatan dari aspek akal atau intelektual, akhirnya tidak sampai ke mana kerana tidak dapat mengurus emosi. Akibatnya mereka dipecat, disingkir atau dengan rela hati menarik diri daripada sesuatu aktiviti.

Dalam mengurus emosi ada dua kecekapan yang perlu dimiliki; pertama kecekapan peribadi dan kedua ialah kecekapan sosial. Dalam konteks kecekapan peribadi, seseorang individu perlu menguasai tiga aspek iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kawalan kendiri dan motivasi. Kemahiran sosial pula mengandungi dua aspek utama iaitu kemahiran empati dan kemahiran sosial. Keupayaan menguasai dan mengurus gabungan kelima-lima elemen berkenaan membolehkan seseorang mempunyai kecerdasan emosi baik. Kesimpulannya mengurus emosi sangat penting dalam kehidupan menuju kejayaan dan kecemerlangan. Daya intelektual tinggi tidak berguna jika gagal mengurus emosi dengan baik. Justeru remaja yang berada di universiti atau di mana-mana saja, berlatihlah mengurus emosi. Kejayaan mengurus emosi adalah kejayaan dalam kehidupan. Kejayaan anda dalam kehidupan ialah kejayaan menjadi manusia berguna kepada diri, agama, bangsa dan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
28 Januari 2011

ISU UMUM : "SPY" CIA DIHUKUM MATI

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my


Seorang bekas anggota marin Amerika Syarikat (AS) yang berketurunan Iran dihukum mati oleh sebuah mahkamah Iran pada awal tahun ini kerana didakwa menjadi ejen perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA), menurut sebuah media di republik Islam itu. Amir Mirzaei Hekmati yang mempunyai dua kerakyatan Iran dan AS disabitkan atas tuduhan bekerjasama dengan sebuah negara musuh, berkhidmat dengan CIA dan cuba menjerumuskan Iran dalam kancah keganasan. Lelaki berusia 28 tahun itu yang berkhidmat sebagai jurubahasa Arab semasa berkhidmat dalam ketenteraan, dipercayai telah ditangkap pada Disember lalu. Iran menuduh lelaki muda itu menerima latihan di AS dan berpengkalan di Iraq serta Afghanistan. Amir menyertai Tentera AS pada 2001 dan menjalani latihan perisikan selama sedekad. Selepas meninggalkan bidang ketenteraan, dia bekerja dengan kontraktor swasta. Tidak jelas bila Amir disabitkan dengan tuduhan itu, tetapi berdasarkan undang-undang Iran, dia hanya mempunyai 20 hari untuk merayu, menurut laporan agensi berita asing, The Associates Press (AP).

Sebelum dia dijatuhi hukuman, pemuda kacak itu tampil di kaca televisyen negara tersebut pada Disember tahun lalu untuk 'mengaku' melakukan jenayah tersebut, iaitu pengakuan yang cukup penting di sisi undang-undang Iran. ''Saya telah diperdaya oleh CIA,'' katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Farsi dan Inggeris dengan sedikit pelat Amerika, dalam dakwaan pengakuannya itu, menurut agensi berita Iran, Fars. ''Walaupun saya dipilih untuk menyeludup masuk ke dalam sistem perisikan Iran dan bertindak sebagai sumber baharu kepada CIA, saya tidak berniat untuk melemahkan negara ini (Iran),'' ujar pemuda yang lahir di Arizona, AS setelah ibu dan bapanya berhijrah ke negara tersebut. Bapa Amir yang mengajar di kolej komuniti di Flint, Michigan pula berkeras mengatakan bahawa anaknya bukan ejen CIA dan berada di Iran untuk melawat neneknya. ''Kami berusaha keras untuk menyediakan seorang peguam di Iran untuk Amir. Kami telah cuba mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peguam bela tetapi tidak berjaya,'' menurut keluarga Amir dalam kenyataan awalnya pada Disember lalu ketika lelaki itu dilaporkan ditangkap.

Dalam kenyataan itu, peguam yang mewakili Amir ketika itu ialah peguam yang dilantik oleh kerajaan Iran yang hanya menemuinya pada hari pertama perbicaraan. Sementara ibu Amir, Behnaz Hekmati dalam e-mel yang dihantar kepada AP menyatakan bahawa ketetapan mahkamah itu merupakan ''keputusan daripada proses yang tidak adil atau telus.'' Menurutnya, dia dan suaminya amat terkejut dan gerun dengan keputusan tersebut. ''Amir bukannya seorang penjenayah. Kehidupannya telah dieksploitasi untuk kepentingan politik. ''Kami berdoa agar kerajaan Iran akan menunjukkan belas kasihan dan tidak membunuh anak kami, Amir yang dilahirkan di Amerika dan melawat Iran serta kaum keluarganya buat pertama kali,'' kata Behnaz lagi. Kerajaan AS mendesak pembebasan Amir dan menyatakan pemuda itu telah didakwa secara salah. Mereka juga menggesa pegawai kerajaan Swiss yang bertindak bagi pihak AS di Iran, dibenarkan melawat Amir.

Media Iran sebelum ini melaporkan dakwaan bahawa beberapa ejen perisik telah diberkas kerana dikatakan cuba melaksanakan perancangan AS untuk mengganggu pilihan raya yang akan datang. Tiga pengembara AS, seorang wanita dan dua lelaki, ditangkap di Iran pada 2009 dan dituduh sebagai ejen perisik. Sarah Shourd kemudian dibebaskan pada 2010. Shane Bauer dan Josh Fattal pula dibebaskan pada tahun lalu selepas membayar jaminan AS$1 juta (RM3.15 juta). Sabitan itu berlaku di saat-saat ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak ekoran program nuklear di negara Timur Tengah itu. AS khuatir rancangan negara Timur Tengah itu menggunakan teknologinya untuk mencipta senjata nuklear, sementara Iran berkeras menyatakan bahawa projek itu dibangunkan sebagai sumber tenaga.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 Januari 2011

JADIKAN MOTIVASI DIRI : KERJAYA CHEF BAWA TUAH

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my

Wang, populariti dan glamor. Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa seorang chef juga boleh menandingi kehebatan seorang artis, ahli politik atau ahli sukan yang terkenal. Sejak lebih 20 tahun dahulu, chef dianggap antara profesion yang amat menarik dan menguntungkan untuk diceburi. Seorang chef boleh mengundang rasa kekaguman ramai atas kebolehan dan kreativiti mereka dalam menyediakan pelbagai jenis masakan dengan gabungan seni kulinari. Kita sering mendengar seorang chef mengatakan bahawa, masakan yang enak datangnya dari hati yang ikhlas. Kata-kata itu mempengaruhi sebahagian besar daripada kita apabila memasak di dapur. Apapun, daya penariknya, ramai yang mahu menjadi chef kerana kerjaya yang dikuasai oleh kaum lelaki itu mampu meraih pendapat yang lumayan.

Ada di antara mereka menimba pengalaman dengan bekerja di hotel-hotel, kemudiannya membuka restoran sendiri dengan menjalankan perniagaan katering, ada yang menghasilkan buku dan beberapa chef terkenal tampil di televisyen mengendalikan rancangan-rancangan masakan mereka sendiri. Dalam pada itu, minat orang ramai terhadap rancangan-rancangan masakan dan penyediaan makanan di televisyen membuatkan golongan ini terus mendapat perhatian. Di kebanyakan negara, rancangan yang dikendalikan atau dihoskan oleh chef-chef terkemuka mereka ini mendapat rating yang tinggi. Rancangan tersebut turut popular di negara-negara lain. Di Malaysia, Datuk Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail merupakan chef paling terkenal dan dikatakan menerima pendapatan tertinggi berbanding dengan chef lain di negara ini. Betapa tidak, beliau yang hampir 30 tahun menceburi bidang itu bermula dari bawah dan kini bakatnya dalam bidang tersebut diiktiraf di peringkat dunia dan menjadi kebanggaan negara.

Rachael Ray


Di peringkat dunia, Rachael Domenica Ray dikatakan seorang chef yang mempunyai pendapatan paling tinggi. Beliau dilahirkan pada 25 Ogos 1968 di Glens Falls, New York, Amerika Syarikat (AS) Rachael ialah seorang personaliti televisyen terkenal AS yang juga seorang ahli perniagaan dan juga penulis buku. Beliau mengendalikan program gaya hidup Rachel Ray, tiga siri dalam Food Network, 30 Minutes Meals, Rachael Ray‘s Tasty Travels dan $40 a day. Selain itu, Ray juga menulis buku berasaskan rancangan 30 Minute Meals dan melancarkan majalah, Every Day with Rachael Ray pada 2006. Rancangan televisyen yang dihoskan beliau telah memenangi dua anugerah dalam Daytime Emmy Awards. Pada tahun lalu, Ray telah disenaraikan Forbes sebagai selebriti chef yang paling kaya dengan pendapatan sebanyak $18 juta (RM55.4 juta) setahun.

Redzuawan Ismail


Selain seorang chef, Chef Wan yang dilahirkan di Singapura pada 1958 juga seorang pengacara, penulis, dan pelakon. Beliau sebenarnya mempunyai kelayakan menjadi seorang akauntan, bagaimanapun memilih untuk menjadi chef kerana minat memasak yang mendalam, membuatkan beliau menumpukan fokus dan kerjayanya dalam bidang masakan. Beliau mempunyai ijazah bersekutu dalam Latihan Chef Profesional dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat dan Ritz Diploma Escoffeir dari Hotel Ritz di Paris, Perancis. Pada 2009, beliau memenangi Selebriti televisyen Best Chef daripada Gourmand Cookbook Anugerah Dunia. Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini merupakan Duta Makanan yang dilantik oleh Kementerian Pelancongan pada 2010 kerana menghargai sumbangannya memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun lalu, sumbangannya sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima dua anugerah berpestij daripada National Critics Choice. Anugerah berkenaan ialah Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia. Pada tahun yang sama, beliau telah diberi penghormatan bagi menjayakan program bual bicara pagi, NBC Today yang disiarkan secara langsung untuk saluran NBC di AS. Program televisyen itu berlintas langsung dari taman rekreasi Suria KLCC dan berlatar-belakangkan bangunan berkembar KLCC yang disaksikan oleh jutaan rakyat AS.

Wolfgang Puck


Wolfgang Johannes Puck dilahirkan pada 8 Julai 1949. Beliau ialah selebriti chef Austria dan pemilik restoran yang turut menjalankan perniagaan katering. Puck pernah diberi gelaran sebagai The Greatest Chef In The World. Pada tahun lalu, Puck disenaraikan sebagai chef kedua terkaya selepas Ray dengan pendapatan AS$16 juta (RM48.6 juta). Beliau memiliki 15 buah restoran.

Gordon Ramsay


Gordon James Ramsay lahir pada 8 November 1966 di Johnstone, Renfrewshire, Scotland. Beliau juga seorang personaliti televisyen dan pemilik restoran. Ramsay mengendalikan rancangan televisyen berbentuk pertandingan masakan dan makanan dalam siri British dan versi Amerika iaitu Hell‘s Kitchen, The F Word, Ramsay‘s Best Restaurant dan Ramsay’s Kitchen Nighmares dan MasterChef. Beliau juga mempunyai beberapa buah restoran. Restoran Gordon Ramsay adalah satu-satunya restoran solo yang berlokasi di Royal Hospital Road, London. Pada 2001, restoran berkenaan diletakkan sebagai restoran paling popular di United Kingdom. Pada tahun lalu, Ramsay berada di belakang Puck iaitu chef ketiga berpendapatan paling tinggi iaitu AS$7.5 juta (RM22.7 juta).

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : CONTOHI PENEKANAN SAINS DI SEKOLAH CINA

NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Peratusan pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020. Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera. Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains. Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu. Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan. Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.

Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka. Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya. Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara. Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.

Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang. "Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak. "Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya. Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan. "Ada juga yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu. "Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.

Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi. Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti. "Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah. "Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya. Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif. Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional. Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak. "Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains. "Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.

Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah. "Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh. "Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya. Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu. "Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka. "Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya. Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.

Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak. "Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas. "Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau. Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa. "Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya. "Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya. Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 Januari 2011

27 Januari 2012

ISU POLITIK : POLITIK BERADAB DEMI KEMASLAHATAN RAKYAT

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Iman al-Ghazali (450 - 505H/1058-1111M) yang terkenal dalam bidang tasawuf dan psikologi pendidikan Islam turut memberikan sumbangan besar kepada falsafah politik dengan melahirkan beberapa karya penting sama ada dalam bentuk surat-surat kumpulan nasihat kepada pemerintah atau tanggungjawab menguruskan negara. Dalam usaha menguruskan negara, al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram. Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambah baik urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapus kemungkaran. Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah dilaksanakan oleh parti politik semakin menipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral. Bentuk politik beradab ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.

Sebuah parti politik yang mendakwa perjuangannya adalah untuk membentuk masyarakat dan negara berdasarkan Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur, atau negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun tidak dapat ditemui apakah sesungguhnya perjuangan mereka. Yang jelas ialah setiap tindak-tanduknya telah menghasilkan perilaku politik yang amat tidak beretika. Apabila memperlihatkan bingkai ubudiyah, yakni pengabdian manusia seruannya lebih menumpukan kepada rasa ketaatan yang lebih besar kepada pemimpin sehingga membentuk situasi bahawa pemimpin itu adalah penentu segala-galanya, rakyat tidak perlu mempersoalkan apakah yang dilakukan itu benar-benar bercirikan kehendak Islam atau di sebaliknya. Resah rakyat tidak dipedulikan. Keinginan rakyat tidak diberikan perhatian yang serius bahkan bagi 'menyuntik sedikit kelegaan' elit politik menggunakan pautan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran bagi menggambarkan bahawa retorik politiknya menurut jalan yang lurus dan tepat. Realitinya tidak sedemikian, kerana rentetan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak dikembangkan dalam kerangka tindakan yang komprehensif.

Sejak kemunculannya lagi belum terangkum dengan jelas apakah kaedah yang dilakukan demi meningkatkan kehidupan rakyat manakala setiap masa menyatakan bahawa pendekatan yang dibawa telah menghasilkan persekitaran kehidupan yang baik dan penuh keimanan. Apakah muslihatnya bila membuat dakwaan sedemikian, sedangkan secara drastiknya tidak ada kemajuan dan petunjuk positif boleh dibanggakan. Mungkin sebahagian daripada kita boleh meneliti apakah benar kesejahteraan hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan sedangkan kadar pengangguran semakin meningkat, jumlah penghidap HIV/AIDS kian bertambah manakala lain-lain jenayah (curi, pecah rumah, menipu, merogol, mengugut dan pergaduhan) tidak juga berkurangan. Tetapi, pemimpin yang mendakwa dirinya telah mampu menyuburkan semangat keislaman dan keimanan semakin sehari semakin membusung dengan nilai-nilai kehidupan yang terkeluar daripada peraturan adab. Untuk membuktikan dirinya berintegriti, pemimpin tersebut masih berdolak-dalik. Untuk membuktikan dirinya bersih daripada sebarang prasangka mementingkan kekayaan, pemimpin itu masih berdiam diri daripada mengisytiharkan aset yang dimilikinya sama ada atas nama dirinya atau pun ahli keluarganya.

Sebagai ulama fiqh, Iman al-Ghazali memberikan ketegasan bahawa kekuasaan dan kekuatan yang ada dalam diri seseorang pemimpin hendaklah digunakan bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin yang mendabik sebagai orang yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT itu tidak pernah memikirkan dengan tepat dan jelas bagaimana rakyat yang memberikan harapan dan kuasa kepadanya, maka dia perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya secara lebih berkesan. Sebaliknya, rakyat diajak dan didorong untuk bertindak keterlaluan sehingga masalah peribadi dihubungkaitkan sebagai persoalan memastikan peluang dan memusnahkan masa depan dalam politik. Maka, dalam menimbuskan jurang kredibiliti dan melonjakkan imej, pemimpin tersebut sanggup melancarkan kempen mengajak rakyat mencetuskan kekecohan sehingga menampakkan bahawa yang bersalah ialah pihak yang berusaha menguatkuasakan peraturan dan mengawal situasi. Mereka yang gigih berusaha mengekang tindakan liar dilihat sebagai zalim dan keterlaluan, sedangkan secara lojik, penganjurnya harus dipersalahkan akibat membelakangkan peraturan dan tidak menerima ketetapan. Atas kegelisahan takut dijatuhkan hukuman bersalah, rakyat diberitahu secara sinisnya bahawa memang peraturan itu sengaja digunakan untuk menafikan kebebasan dan hak setiap orang.

Bukankah kebebasan seluas-luasnya telah diberikan? Bukankah peluang tersebut telah digunakan secara maksimum sehingga menggelorakan pemikiran rakyat seolah-olah setiap hari adalah hari penentuan? Setiap hari perlu diperkuatkan azam bahawa pihak yang memerintah perlu disingkirkan kerana pemerintah dianggap gagal dan melakukan kezaliman? Apakah kaitannya persoalan peribadi dengan tindakan kerajaan apabila mempertahankan kewajaran undang-undang bagi membuktikan terlaksananya proses mencari keadilan kepada pihak yang mendakwa dan didakwa? Hal itulah yang menjadi bahan pemikiran politik al-Ghazali apabila beliau menggariskan asas berpolitik mestilah dilaksanakan secara terbuka dengan menolak keinginan mempertahankan peribadi seseorang. Mengekalkan keamanan negara menjadi prinsip perjuangan dan meletakkan tindakan memenuhi kebajikan rakyat sebagai praktis yang besar, bukannya hanya sekadar menabur janji dan menyalahkan orang lain, apabila gagal. Sebarang usaha yang konkrit perlu didedahkan. Bukan sekadar mendakwa berjaya mengurangkan hutang hampir RM600 juta sedangkan usaha itu sebenarnya dilakukan oleh pihak lain. Yang menyumbangkan dana ialah orang lain, tetapi yang mendakwa kejayaan adalah elit politik yang gagal melaksanakan program membela nasib rakyat secara berkesan, hanya menempel atas kejayaan dan inisiatif pihak lain.

Pemimpin yang mengamalkan budaya "lembu punya susu tetapi sapi dapat nama" itulah dinilai sebagai politik tidak beradab oleh al-Ghazali. Seseorang pemimpin mestilah mencapai tahap kualiti yang tinggi baik dari segi ilmu mahupun perilakunya kerana ia terdedah kepada pelbagai cabaran. Seseorang pemimpin mestilah bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya sekadar bermain dengan retorik, menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan suasana bermusuhan. Perkembangan politik semasa, kerana tarikh pilihan raya umum semakin dekat, lebih banyak pendekatan propaganda digunakan sehingga menampakkan hanya pihak tertentu sahaja yang bersalah sedangkan orang yang melancarkan serangan itu tidak sedikit pun memperlihatkan kesungguhan melaksanakan prinsip membentuk kesejahteraan dan menganjurkan perpaduan. Setiap apa yang ditawarkan membawa kepada penyelesaian berdarah, kerana falsafah politik yang dipeganginya itulah sahaja yang benar dan berjiwa Islam sedangkan seluruh tindakannya tidak pernah membuktikan budaya beradab dan berintegriti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 Januari 2011

ISU UMUM : GOLONGAN PROFESIONAL DEKATI RELA

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my


Persepsi masyarakat terhadap sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kini semakin berubah apabila dalam tempoh tiga tahun bilangan keanggotaannya meningkat daripada 530,000 orang pada 2008 kepada 2.874 juta orang tahun lalu walaupun sasaran awal hanya dua juta orang menjelang akhir tahun ini. Bayaran saguhati perlindungan insurans kemalangan diri anggota Rela secara percuma menambah daya tarikan kepada pasukan sukarela ini. Insurans percuma itu meliputi RM40,000 jika meninggal ketika bertugas dan RM20,000 jika meninggal di luar tugas, perbelanjaan perubatan RM2,000 (maksimum tahunan) dan kematian ilat RM20,000. Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, semua anggota Rela yang ditimpa bencana ketika menjalankan tugas dimasukkan ke wad kelas dua tanpa dikenakan sebarang caj rawatan. Mereka diberi uniform Rela secara percuma, kad keahlian Rela, elaun bertugas RM4 sejam, menghadiri latihan dan kursus di Pusat Latihan Rela dengan dibayar elaun serta berpeluang menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan Rela.

Semua tawaran itu sudah cukup untuk menarik minat golongan profesional seperti doktor, jurutera, guru, pesara kerajaan, petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan, anak-anak muda dan pelajar menjadi duta kecil kerajaan dalam membantu menghidu permasalahan rakyat, mendapatkan maklumat mengenai reaksi rakyat ke atas apa-apa dasar semasa serta mendapat maklumat berkaitan keselamatan setempat. Anggota Rela turut melakukan khidmat komuniti seperti melaksanakan Program Khidmat Bakti Rela, memberi bantuan awal kes kecemasan, membudayakan nilai-nilai murni serta terlibat dalam khidmat kesejahteraan dan keharmonian penduduk setempat, tugas tersebut mampu mendekatkan diri mereka dalam masyarakat. Di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam peranan Rela yang dulu lebih terarah kepada mengawal kesesakan lalu lintas semasa kenduri kahwin kini bakal diantarabangsakan apabila khidmat mereka diperlukan semasa bencana alam melanda negara luar.

Mereka juga mahu dengan kelahiran semula Rela konsep barunya berlandaskan kepada teras 4K iaitu Keselamatan, Keamanan, Kesejahteraan dan Keharmonian yang pendekatannya membawa kepada empat kepelbagaian iaitu aktiviti ekonomi, golongan masyarakat, kaum dan etnik serta adat dan kebudayaan. Seramai 4,701 anggota Rela kini boleh dilihat melakukan rondaan bersama anggota polis untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan di empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor Baharu dan Pulau Pinang manakala di Sabah dan Sarawak membabitkan 920 anggota. Tugas teras Rela dalam mengawal keselamatan dan keamanan kawasan ialah membantu mewujudkan konsep kawasan dan bandar selamat, menjaga kawasan larangan seperti punca elektrik dan punca air serta pintu masuk negara (yang tidak sah) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin. Sejajar dengan kematangan usia Rela yang bakal menginjak ke usia 40 tahun, Program Perhimpunan Perdana Rela Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlangsung pada 28 Januari (Sabtu ini) di Dewan A, MAEPS Serdang bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk meraikan dan menghargai jasa anggota-anggota Rela yang setia berbakti dan sentiasa bersedia memberikan bantuan tanpa mengira masa.

Hampir 20,000 anggota Rela dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan yang julung-julung kali diadakan ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang seperti pertunjukan, penerangan mengenai fungsi dan peluang menyertai Rela, kempen derma darah, demonstrasi serta gerai pameran membabitkan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Orang ramai yang berminat boleh menyertai pasukan sukarela ini apabila mengunjungi MAEPS asalkan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah, berusia 16 tahun ke atas dan sihat tubuh badan. Pegawai-pegawai Rela akan memberikan penjelasan lanjut untuk mereka yang mahu menyertai pasukan ini. Bagi pelajar sekolah mereka akan berpeluang menyertai Kadet Rela di sekolah-sekolah manakala bagi penuntut universiti bakal menyertai Relasis (Ikatan Relawan Siswazah) apabila cadangan penubuhannya diperluaskan ke semua sekolah dan universiti (setakat ini ia hanya Relasis hanya ditubuhkan di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat). Sejajar dengan konsep 1Rela, semua kaum kini semakin berminat untuk menyertai pasukan Rela apabila bilangan masyarakat Cina, India, Orang Asli, Bidayuh, Iban dan Dayak yang mendaftarkan diri untuk menyertai pasukan ini bertambah dari setahun ke setahun. Ikatan perpaduan yang terjalin hasil daripada sesi latihan yang diadakan di pusat-pusat latihan Rela di seluruh negara mampu mewujudkan satu suasana muhibbah di kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dan itulah hasrat yang tersirat di sebalik aktiviti sukarelawan pasukan yang telah wujud secara tidak rasmi sejak 1948 dan ditubuhkan secara rasmi pada 1972.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 Januari 2011