Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my
Apa bezanya antara seorang tukang paip dan doktor? itu adalah pertanyaan daripada seorang tokoh korporat yang bergiat dalam industri perhotelan. Katanya, kedua-dua profesion itu memeriksa pesakit. Bagi doktor, pesakitnya adalah manusia manakala bagi tukang paip adalah paip yang rosak atau tersumbat. Cara mengenal pasti penyakit bagi setiap pesakit juga adalah sama. Doktor mempunyai alat untuk memeriksa pesakit, manakala tukang paip juga mempunyai alatnya tersendiri untuk memeriksa paip yang ‘sakit’. Sebut saja apa yang dialami pesakit, seseorang doktor sudah boleh meramalkan jenis penyakit yang dihadapinya berpandukan kepada tanda-tanda yang ada pada pesakit. Bagaimanapun, seseorang doktor mungkin memerlukan ujian yang lebih teliti terhadap kesihatan seseorang pesakit kerana ia membabitkan manusia yang bernyawa. Selepas mengetahui penyakit pesakit, doktor memberi ubat yang sesuatu atau rawatan yang diperlukan. Jika penyakit yang dialami pesakit itu kecil saja, penyakit hanya diberi rawatan biasa. Tetapi, jika memerlukan rawatan yang rapi, pesakit terpaksa melakukan pemeriksaan yang rapi.
Keadaan hampir sama juga berlaku ke atas seseorang tukang paip. Jika dipanggil untuk memeriksa masalah paip di sesebuah premis, seorang tukang paip sudah boleh menjangkakan apa yang sebenarnya berlaku daripada penjelasan yang diberikan. Malah, mereka sudah tahu cara mengatasinya dan alat yang akan digunakan. Jika kerosakan biasa, ia hanya memerlukan rawatan yang kecil, sebaliknya rawatan yang besar akan dilakukan jika ia memerlukan pengubahsuaian tertentu. Bagi doktor dan tukang paip, kedua-dua mereka menerima upah. Doktor menerima bayaran daripada pesakit atau keluarga mereka manakala tukang paip daripada pemilik premis. Bagi demam biasa, seseorang doktor swasta, mengenakan bayaran antara RM30-RM50 untuk perundingan, rawatan dan ubat bagi seseorang pesakit. Bagi seseorang tukang paip pula, mereka mungkin mengenakan bayaran antara RM100-RM200 atau lebih untuk memperbaiki paip yang bocor atau rosak, bergantung kepada tahap kerosakan paip yang dialami.
Perkara yang sedikit berbeza, mungkin pelanggan kepada doktor lebih ramai berasaskan bilangan penduduk dan tahap kemudahan kesihatan di sesebuah negara. Namun, walaupun tukang paip mendapat tiga atau empat pelanggan sehari, dia mungkin boleh menyamai pendapatan seorang doktor. Tugas tukang paip, mekanik motor, tukang elektrik, mekanik memperbaiki pendingin hawa dan sebagainya adalah hampir sama dengan doktor, malah tidak mustahil boleh dikatakan lumayan. Di Malaysia, bilangan rumah, kenderaan, hotel, pejabat, sekolah, universiti, hospital dan sebagainya bertambah setiap masa. Setiap bangunan pasti memerlukan rawatan. Rawatan yang besar memerlukan kos yang besar, sama juga dengan kos bagi melakukan pembedahan terhadap seseorang pesakit. Dalam konteks pembangunan negara hari ini, Malaysia menyediakan peluang pekerjaan yang sangat luas. Tidak semua orang boleh menjadi doktor atau jawatan lain yang menjadi rebutan seperti jurutera, akauntan, peguam, pensyarah dan sebagainya.
Hakikatnya, banyak profesion lain yang boleh diceburi dengan pendapatan yang lumayan. Langkah kerajaan mewujudkan banyak sekolah dan kolej vokasional adalah perancangan yang tepat dengan mengambil kira kemajuan pesat negara yang memerlukan tenaga bidang kerja penyeliaan. Jika rakyat tidak disediakan dengan latihan vokasional, tugas ini pasti akan diambil alih oleh pendatang asing yang kian ramai. Hari ini pun, pendatang asing sudah menguasai beberapa jenis kerja yang tidak diminati rakyat tempatan. Dalam bidang pembinaan dan perladangan, umpamanya, tugas berkenaan sudah mula dikuasai oleh pendatang asing. Di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, contohnya, sudah ramai pendatang asing menguasai perniagaan dari pasar runcit ke kedai runcit. Malah, perniagaan di kawasan itu juga sudah bertukar. Restoran yang menjual bakso lebih dilihat ramai pelanggan daripada restoran roti canai. Pekerja pendatang asing juga menguasai tugas di pusat beli-belah sama ada menjadi jurujual, pelayan di hotel atau mekanik di kedai menjual alat elektrik dan komputer. Di pasar basah, pembeli rakyat negara ini menawar harga ikan dan sayur daripada penjual pendatang asing. Begitulah keadaannya jika penduduk tempatan tidak mengambil kesempatan, tempat mereka akan diambil alih oleh pendatang asing.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
BERITA HARIAN
29 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan