23 Januari 2012

ISU KESIHATAN : UBAT BOLEH BERTUKAR RACUN


Dewasa ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar. Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur. Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat. Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini. Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki). Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita. Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan. Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar. Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun. Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna. Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak. Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu. Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.

Pakar

Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif. Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat. Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan positif. Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan. Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan moden. Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang. Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional. Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar, katanya.

Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional. Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut. Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh. Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya. Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar. Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO

ISU SOSIAL : TRAGEDI TERBURUK BOT IMIGRAN


Lebih 200 orang kini dikhuatiri mati dalam satu kemalangan yang menurut kerajaan Australia sebagai sebuah tragedi paling dahsyat. Australia kini berdepan dengan tekanan paling teruk daripada kumpulan-kumpulan aktivis kemanusiaan yang mengatakan pihak pemerintah bertanggungjawab penuh terhadap nasib mangsa-mangsa tersebut. Pegawai terlibat berkata, bot yang diperbuat daripada gentian kaca itu sepatutnya menampung kapasiti penumpang seramai 100 orang sahaja. Tetapi, pada hari kejadian, ia membawa kira-kira 250 orang. Ia menyebabkan bot tersebut karam baru-baru ini pada jarak 40 batu nautika dari timur Pulau Jawa. Ketika kejadian, cuaca amat teruk dengan hujan lebat disertai ombak ganas yang mencapai ketinggian beberapa meter.

Mangsa terbanyak

Seramai 33 orang berjaya diselamatkan daripada kawasan perairan yang dipenuhi jerung itu. Mempunyai permukaan yang telah haus, bot malang itu melalui laluan paling bahaya iaitu dari Pulau Jawa ke Australia untuk sampai di Pulau Christmas. Kini, harapan yang tinggal untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup amat tipis, sekali gus mencatatkan kemalangan bot imigran dengan bilangan mangsa tertinggi yang mati. Walaupun mereka telah menghantar lima buah bot dan tiga helikopter tetapi tidak ada sebarang isyarat yang menunjukkan mangsa selamat. Hakikatnya, tidak mungkin mereka dihanyutkan ke pulau terdekat yang terletak sejauh 40 batu (64 kilometer) dari tempat kejadian. Insiden tersebut adalah malapetaka yang paling teruk melibatkan bot-bot imigran sehingga kini. Jika orang yang terselamat tiada dijumpai, jadi, ini adalah kehilangan nyawa terbesar. Jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Gagah Prakoso berkata, keadaan sekarang menunjukkan tanda-tanda kesemua mangsa yang hilang telah lemas. Mustahil walaupun seorang perenang yang baik memakai jaket keselamatan boleh berenang ke persisiran pantai dengan selamat dalam cuaca yang ekstrem.

Apabila bot karam seperti yang berlaku dalam cuaca sebegitu, mayat-mayat hanya akan timbul ke permukaan selepas hari ketiga kejadian. Cuaca teruk, angin kuat dan ombak setinggi lima meter telah menghalang usaha menyelamat sepanjang malam. Itu menyebabkan pasukan penyelamat seramai 300 orang terdiri daripada tentera laut dan pegawai polis hanya berbaris di persisiran pantai untuk menunggu mayat timbul. Salah seorang mangsa yang terselamat, pelajar berbangsa Afghan, Armaghan Haidar, 17, berkata, dia sedang tidur ketika ribut melanda yang menggoncang kapal dinaikinya. "Saya dapat merasa air mula menyentuh kaki menyebabkan saya terjaga. Apabila bot mula karam, orang ramai mula panik dan menjerit serta cuba mencari jalan keluar. Bagaimanapun, saya berjaya berenang ke tepian dengan memegang pada sebelah bahagian bot bersama-sama 100 orang yang lain. Lebih kurang 20 hingga 30 orang sahaja yang memakai jaket keselamatan, manakala lebih 100 orang lagi terperangkap di dalam (bot)," katanya.

Menurut pegawai penyelamat dan mangsa, mereka terapung di tengah-tengah lautan selama enam jam sebelum diselamatkan oleh nelayan tempatan. Mangsa yang terselamat ditempatkan di dewan komuniti berdekatan pantai Prigi yang terletak kira-kira 640 kilometer dari tenggara Jakarta, Indonesia. Menurut maklumat yang diterima, kesemuanya memiliki dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) rasmi yang membuktikan bahawa mereka berstatus pelarian. Kebanyakan penumpang bot itu berasal dari Afghanistan atau Iran. Mereka telah membuat pembayaran kepada ejen penyeludup antara $2500 (RM7,867.50) hingga $5000 (RM15,735) semata-mata untuk mencari perlindungan suaka politik di Australia. Sementara yang lain pula mendakwa mereka berasal dari Iraq, Pakistan, Turki atau memegang kerakyatan Saudi. Namun, ia sukar dibuktikan kerana menurut kumpulan itu, dokumen mereka hilang di laut ketika kejadian. Haidar berkata, dia terbang dari Dubai ke Indonesia. Selepas itu, dia menaiki sebuah bot di Jawa Barat untuk ke destinasi seterusnya. "Kami mahu tinggal di Pulau Christmas dan memiliki hidup yang lebih baik di Australia. Tiada apa-apa di Afghanistan. Terlalu banyak kegiatan pengganas. Kami tidak boleh belajar, tidak boleh ke kolej dan tidak mungkin mendapat pekerjaan yang baik. Kami tidak mempunyai masa hdapan di sana," luah Haidar.

Destinasi pilihan

Beribu-ribu pencari pelindungan suaka politik menuju ke negara-negara Asia Tenggara sebelum ke Australia setiap tahun. Ramai antara mereka terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia di Indonesia dan melayari laut ganas tanpa ciri-ciri keselamatan. Pulau Christmas sering menjadi destinasi pilihan untuk aktiviti penyeludupan manusia. Lokasinya lebih dekat dengan Indonesia berbanding Australia. Hampir 50 orang bakal imigran dipercayai telah menemui ajal dalam lautan ganas ketika kapal yang dinaiki karam pada bulan Disember 2010 sahaja. "Fokus kita hari ini adalah usaha mencari dan menyelamat dan kami hanya memikirkan mereka yang telah meninggal dunia serta ahli keluarga lain yang masih hilang di lautan. Kepada mereka yang membuat perjalanan bahaya dan menanggung risiko kehilangan nyawa, saya berasa bertanggungjawab," kata Menteri Hal Ehwal dalam Negeri Australia, Jason Clare.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO

22 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : APABILA BENUA AFRIKA MEMANDANG KE CHINA

Tan Sri Mazlan Nordin
Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Benua Afrika Pandang ke Timur. Lalu berlangsung Sidang Kemuncak China-Afrika di Beijing pada bulan November dulu. Dihadiri oleh 48 para Presiden dan Perdana Menteri negara-negara Afrika, ia mengisytiharkan permulaan era baru pelbagai perhubungan antara benua Afrika dengan dunia luar. Menjadi tuan rumah ialah Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wan Jiabao. Kemuncak dua hari itu mendapat liputan besar-besaran daripada media China dan negara-negara lain. Kerajaan China mengumumkan peruntukan pinjaman sejumlah AS$5 bilion, tambahan bantuan pembangunan hingga dua kali ganda menjelang tahun 2009. Perdagangan antara kedua-dua pihak mahu dilipat-gandakan hingga sejumlah AS$1.9 bilion lagi. Seperti dilaporkan kemudiannya: Tiada di mana jua di seluruh dunia begitu jelas kelihatan kuasa negara China dari di benua Afrika. Daripada pelaburan berbilion dolar dalam industri minyak dan bahan-bahan alam semulajadi, kemasukan beribu-ribu ahli perniagaan, ribuan lagi para pekerja dan jualan segala keperluan harian, maka segalanya memperlihatkan begitu luas sasaran ekonomi dan politik China.

Melabur

Dibina selanjutnya juga ialah puluhan bangunan baru Parlimen, istana-istana Presiden dan stadium-stadium sukan yang diusahakan oleh ribuan buruh China. Antara contoh ialah Sudan yang kaya dengan minyak. Sejak 1996 pihak China telahpun melabur AS$15 bilion. Sebagaimana di Angola, kilang-kilang minyak, jalan-jalan raya, landasan-landasan keretapi, empangan-empangan hidroelektrik, lombong-lombong emas dan saluran-saluran telekomunikasi dibina. Puluhan ribu pekerja China, para pekerja teknik dan para pengurus dibawa masuk. Lalu dilaporkan, perdagangan dua hala antara Sudan dan China meningkat daripada AS$890 juta pada tahun 2000 hingga AS$3.9 bilion. Antara yang melancarkan dasar Pandang Ke Timur ialah Zimbabwe pimpinan Robert Mugabe. Pihaknya juga menerima bantuan besar-besaran. Antara contoh utama ialah Angola. Jumlah perdagangan antaranya dengan China sejumlah AS$1.8 bilion meningkat hingga AS$11 bilion pada akhir tahun 2006. Angola telah menjadi pembekal minyak yang utama ke negara China, iaitu 15 peratus daripada keperluannya. Sementara itu perdagangan antara Nigeria dan China meningkat dan AS$856 juta pada tahun 2000 hingga AS$2.8 bilion pada tahun 2005. Turut meluaskan dagangan dengan China ialah Afrika Selatan dahulunya pimpinan Nelson Mandela yang juga dihormati oleh kuasa-kuasa Barat sebagai Presiden kulit hitam pertama. Afrika Selatan bercita-cita menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagaimana negara China. Dilaporkan di kalangan media dunia Barat ialah rasa tidak senang dengan begitu meluasnya hubungan antara negara-negara Afrika dengan China.

Ekonomi

Kerap dilaporkan ialah pandangan penulis-penulis dan pakar-pakar ekonomi mengenai ekonomi negara China dan India. Ada yang meramalkan itu, ini mengenai kekuatan kedua. (Jumlah penduduk negara China 1.34 bilion, India 1.20 bilion). Diperbandingkan ialah sistem pemerintahan, politik, ekonomi masing-masing. Sejarah masa lampau kedua-duanya diulangi. Lantas kemudian seorang Timbalan Menteri Luar China mengulas: “Sejak beberapa tahun lalu, China telah mengimport 30 juta tan minyak dari Afrika setiap tahun. Saya tidak faham kenapa jumlah 30 juta tan itu menimbulkan rasa bimbang pula dan mendorong mereka berkata bahawa China telah merampasnya dari Afrika. Ada lain-lain negara mengimport 100 juta tan minyak dari Afrika, tetapi tidak kedengaran apa-apapun mengenainya”. (Laporan dari buku China in Africa oleh Chris Alden - Zed Books London/New York 2007). Kembali dalam ingatan ini satu kenyataan Zhou Enlai, mendiang Perdana Menteri China satu masa dahulu manakala ditanya: Betapa sumbangan China untuk keamanan dunia? Jawapannya: “Kami membantu menegakkan keamanan dunia manakala berjaya memberi makanan kepada lebih 400 juta rakyat”. Kini bilangan mereka 1.34 bilion. Dan ia kuasa ekonomi kedua terbesar dalam dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 Januari 2012

ISU UMUM : DUNIA KECOH KERANA SOPA DAN PIPA

Oleh Azhar Abu Samah
azharaz@bharian.com.my


SOPA dan PIPA cetus kemarahan pengguna internet di Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Dua akta tonjol sikap sebenar AS sekat kebebasan internet  Kecoh satu dunia apabila beratus-ratus laman web, termasuk Wikipedia dan enjin carian popular, Google melancarkan bantahan bermula jam 12 tengah malam, Rabu lalu (18 Januari) dengan ‘menggelapkan’ laman sesawang (web) masing-masing selama 24 jam kerana membantah perundangan dicadangkan Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menghapuskan cetak rompak di internet. Pengguna internet yang melayari laman sesawang yang mengambil bahagian dalam tempoh itu tidak dapat membaca kandungan dalam laman berkenaan, sebaliknya mereka hanya dapat melihat mesej bermatlamat memberi kesedaran mengenai Akta Menghentikan Cetak Rompak Internet (SOPA) yang diperkenalkan anggota Dewan Perwakilan dan Akta Perlindungan Harta Intelektual (PIPA) di Dewan Senat Amerika Syarikat.

Kongres AS ketika ini menimbang untuk meluluskan rang undang-undang yang boleh merosakkan khidmat internet percuma dan terbuka. Jika diluluskan nanti, rang undang-undang itu akan memberi kuasa untuk menguatkuasakan hak cipta yang akan mengehadkan inovasi dan mengancam kewujudan laman sesawang dengan menetapkan kandungannya mestilah daripada pemiliknya.  Malah, SOPA akan menyekat sebarang laman sesawang yang dianggapnya sebagai melanggar hak cipta atau mencetak rompak tanpa mengendahkan peruntukan ‘kegunaan wajar’ yang pernah digariskan oleh Akta Hak Cipta Alaf Digital (DMCA). Anggota Senat AS dijadualkan mengundi mengenai PIPA pada Selasa depan. Bagaimanapun, Speaker Dewan Republikan, John  Boehner, kelmarin menegaskan belum ada kata sepakat buat masa ini mengenai SOPA dan memerlukan lebih banyak kerjasama di kalangan anggota jawatankuasa sebelum mencapai sebarang keputusan. Kepada pelayar internet, terutama Wikipedia yang berpangkalan di AS, jangan menyangka undang-undang ini untuk mereka di AS saja. Apa saja yang dimuat naik ke dalam alam siber dari seluruh pelosok dunia dianggap melanggar hak cipta kerajaan dan korporat AS akan disekat.

Betapa susahnya nanti apabila banyak maklumat dan gambar mustahak disekat atau ditarik keluar daripada Wikipedia jika ia ditakrifkan pihak berkuasa AS sebagai melanggar peraturan hak cipta yang bakal diluluskan nanti. Bukan itu saja, enjin pencarian utama juga akan menyekat mana-mana laman sesawang asing (bukan dari AS) yang disyaki melakukan pelanggaran hak cipta. Dilaporkan, Wikipedia sudah menyatakan bantahannya, termasuk meminta mereka yang melayari laman sesawangnya di AS supaya menyatakan rasa tidak senang hati dengan cadangan penguatkuasaan SOPA dan PIPA sama ada berurusan terus dengan ahli perwakilan mereka atau menggunakan media sosial. Apakah itu SOPA dan PIPA? SOPA dan PIPA adalah dua undang-undang, masing-masing akan dikemukakan di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat AS. SOPA bermaksud Stop Online Piracy Act atau Akta Menghentikan Cetak Rompak Internet, manakala PIPA ialah akronim untuk Protect IP Act atau Akta Perlindungan Harta Intelektual. Ringkasnya, kedua-dua akta ini bertujuan menghentikan pelanggaran hak cipta dilakukan laman sesawang asing.

Bagaimanapun, Wikipedia melihat usaha pentadbiran AS ini sebagai tindakan menyekat kebebasan bersuara dan menggugat internet, sekali gus tidak dapat diterima dalam dunia yang mengamalkan keterbukaan, selamat dan kebebasan berinternet. Persoalan utama yang merisaukan kebanyakan pemilik laman sesawang besar ialah definisi kesalahan melanggar hak cipta, terutama membabitkan tindakan memuat-naik sesuatu ‘bahan’ oleh pelayar yang seboleh-bolehnya mahu dipastikan pemilik laman sesawang ia tidak melanggar hak cipta.  Bagi mereka tidak wajar laman sesawang disekat atau ditutup SOPA dan PIPA hanya kerana ada bahan pelanggaran hak cipta dalam kuantiti yang terlalu kecil dimuat-naik oleh pengguna laman terbabit. Malah, ada yang melihat penguatkuasaan SOPA dan PIPA menandakan bermulanya masalah lebih besar bagi pengguna internet di seluruh dunia. Tidak dinafikan sudah ada negara mahu mengekang kebebasan berinternet dengan memperkenalkan beberapa bentuk perundangan dan akta bagi menjaga kepentingan dan hak asasi individu. Pengenalannya hanya untuk membendung penyebaran fitnah oleh pengguna internet.

Dari spektrum yang lebih meluas, penguatkuasaan SOPA dan PIPA memperlihatkan sikap sebenar AS yang mahu mengawal kebebasan internet dengan menjadikan kedua-dua akta itu sebagai alat memenuhi kehendak kebebasan mengikut takrifan mereka. Yang pastinya, akta ini memberikan kuasa yang besar kepada Kerajaan Amerika untuk mengawal kandungan dan maklumat dalam laman sesawang bebas. Pemilik laman sesawang percaya pendekatan ‘menghentikan pelanggaran hak cipta’ melalui SOPA dan PIPA tidak akan berkesan, sebaliknya ia akan menjejas dan menyekat pengguna internet untuk mendapatkan lebih maklumat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 Januari 2012

20 Januari 2012

ISU SOSIAL : BANTUAN BR1M RINGANKAN KOS SARA HIDUP


Komitmen kerajaan dalam menyediakan kehidupan yang selesa untuk rakyat tidak mengenal sempadan politik dan kaum. Begitu jugalah dengan pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 15 Januari 2012. BR1M banyak menerima pujian dan kecaman kerana ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion. Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah di negara ini. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dalam satu temu bual menolak dakwaan kononnya bantuan di bawah BR1M itu diagihkan mengikut aliran politik. Dalam pemberian BR1M, mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah layak tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik. Tidak wujud soal pilih kasih dalam pengagihan BR1M. Ini terbukti apabila Kedah di bawah pimpinan pembangkang menjadi antara negeri yang menerima bantuan BR1M terbanyak. BR1M benar-benar bermaksud untuk membantu rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup walaupun ia hanya merupakan pemberian satu kali. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah golongan yang terjejas dengan keadaan inflasi tinggi berikutan mereka perlu membayar sewa rumah, kereta dan sebagainya.

Kita andaikan begini, satu isi rumah puratanya lebih kurang 4.5 juta dan dibahagikan dengan jumlah rakyat negara ini, 28 juta. Kita akan dapat jumlahnya lebih kurang 6.2 juta isi rumah. Jumlah itu, kita bahagikan dengan mereka yang akan mendapat manfaat BR1M, 5.2 juta isi rumah dan kita akan mendapati lebih kurang 80 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia mendapat manfaat BR1M. Maknanya, sebanyak 80 peratus daripada jumlah isi rumah negara ini, kerajaan telah berusaha membantu meringankan beban mereka tanpa mengira kepentingan politik. Selain itu, keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh penerimaan borang BR1M selama satu bulan sehingga 10 Februari ini bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak sempat memohon sebelum ini, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat. Sementara itu, mengenai kemungkinan berlaku penipuan dalam permohonan BR1M, Mohd. Irwan Serigar berkata, pihak kementerian sudah bersedia dan telah pun mengambil langkah proaktif. Tambahan pula, ada suara mempertikaikan kejujuran pemohon apabila konsep pengisytiharan sendiri digunakan. Ada kemungkinan pemohon yang menerima pendapatan melebihi RM3,000 adalah hasil daripada pendapatan seperti rumah sewa turut memohon.

Maklumat sahih

Selalunya kita kira pendapatan kasar. Sekiranya dicampur dengan pendapatan aset lain dan gaji sendiri, lebih RM3,000 memang dia tidak layak. Tetapi kami tahu akan ada orang yang menipu. Disebabkan itulah, kita buat verifikasi berperingkat dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi, jabatan dan kementerian berkaitan. Lebih 15 agensi yang terlibat dalam proses verifikasi bagi memastikan maklumat yang diberikan sahih. Sebab utama mengapa kami menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) kerana sistemnya komprehensif dan mengandungi segala maklumat berhubung pembayar cukai,” katanya.  Kepada mereka yang menipu, tindakan mahkamah akan diambil. Sememangnya, bukan mudah menunaikan tanggungjawab dalam menyalurkan pemberian BR1M kepada rakyat dengan pelbagai cabaran termasuk tanggapan negatif terhadap niat dan keseluruhan proses pengagihannya. Ada juga yang mempertikai sumber dana bagi BR1M terutama bila melihat pada keadaan ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan ekonomi negara. Selain itu, cabaran menilai keikhlasan rakyat dalam mengisytiharkan pendapatan mereka, pengedaran borang dan pengagihan baucar tunai RM500 ke kawasan pedalaman turut sama menguji.

Menyentuh sama ada kementerian sudah bersedia menghadapi senario ketidakpuasan hati masyarakat yang dibangkitkan oleh mereka yang gagal atau ditolak permohonan mereka, Mohd. Irwan Serigar berkata, rayuan boleh dikemukakan. “Kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya. Kalau mereka benar-benar miskin dan layak, tidak sepatutnya mereka tercicir daripada menerima bantuan ini,” katanya. Sehingga 10 Januari 2012, sebanyak 4,123,713 borang BR1M telah diterima di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 3,850,668 borang dimasukkan ke dalam sistem data bagi tujuan pengesahan. Sebanyak 3,102,054 permohonan telah diluluskan. Semua pemohon BR1M dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos ataupun boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian 1-800-222-500 atau 1-300-88-3010. Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun menegaskan tindakan kerajaan itu patut diterima secara objektif atas kesedaran sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk mengambil berat kebajikan rakyat.

Bagaimana dengan pandangan yang mengatakan pemberian itu bermotifkan politik? “Memanglah mungkin boleh dikatakan ada unsur-unsur politik tetapi itu soal kedua kerana ia merupakan bantuan yang wajar ketika kos hidup semakin meningkat. “Walaupun RM500 bukanlah satu jumlah yang besar, tetapi ada faedahnya kepada golongan yang memerlukan iaitu mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah kerana sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kehidupan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini. Abdul Ghapa berkata, kos sara hidup yang tinggi ketika ini tidak dapat dielakkan bagi setiap negara termasuk Malaysia yang kini dalam proses peralihan daripada berstatus sederhana kepada negara maju menjelang tahun 2020. Ia berikutan ketidaktentuan harga barang peringkat global disebabkan faktor cuaca, bekalan, krisis ekonomi dunia termasuk penggantungan beberapa sumber makanan di negara lain, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat negara ini.

Kos sara hidup

Abdul Ghapa menarik perhatian bahawa dalam merealisasikan matlamat negara berpendapatan tinggi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi penekanan kepada transformasi politik dan ekonomi untuk membantu rakyat melalui proses peralihan ini. Namun begitu, ia merupakan satu proses jangka masa panjang untuk melihat hasil daripada dasar berkenaan. Ditambah pula, dengan kemelut kos sara hidup yang meningkat, sedikit sebanyak proses peralihan ini memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Memahami akan keperitan golongan itu, Najib merasakan perlunya satu mekanisme dalam mengagihkan faedah yang diperoleh semasa pertumbuhan ekonomi yang dikecapi dalam proses menuju negara maju. Menurut Abdul Ghapa, di sinilah terletaknya peranan BR1M sebagai satu mekanisme pengagihan. “Ini dapat membuatkan tekanan yang dihadapi rakyat akibat transformasi yang dialami semasa proses peralihan itu, dikendurkan,” katanya.

Pendekatan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan usaha yang pernah dijalankan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein pada era 1960-an dan awal 1970-an semasa inflasi melanda negara. Seperti Najib, Tun Razak juga melaksanakan program transformasi ekonomi dengan pelaksanaan dasar pembangunan jangka panjang dan untuk menampung kelemahan, antaranya beliau memperkenalkan tindakan pembetulan jangka masa pendek. “Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) yang dilancarkan Najib dilihat mempunyai persamaan dengan restoran rakyat yang diperkenalkan bapanya yang memberi jaminan harga makanan yang berpatutan,” jelasnya. Najib kata beliau, melangkah jauh dengan memperkenalkan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai program jangka pendek yang membolehkan faedah segera disampaikan kepada rakyat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO

ISU PENDIDIKAN : PEMIKIRAN KITALAH YANG MENYEBABKAN KITA GAGAL


Sesi persekolahan sudah pun bermula. Ramai daripada kita kembali sibuk menghantar dan mengambil anak ke dan dari sekolah. Saban hari, kita juga mengharapkan kejayaan anak-anak, baik dalam bidang akademik atau sahsiah diri. Bagaimanapun, harapan semata-mata tidak memadai untuk membuahkan kejayaan kepada mereka. Ada isu psikologi yang sesekali menyebabkan impian kita tergendala. Ia boleh berpunca daripada ibu bapa, guru-guru atau ahli masyarakat. Namun, hal ini jarang kita sedari. Dalam kehidupan seharian, ada satu simptom yang selalu berlaku, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya. Ia berlaku dalam kognitif pemikiran kita. Simptom ini yang dinamakan sebagai nujuman penyempurnaan kendiri atau dalam istilah bahasa Inggeris, self fulfilling prophecy. Simptom ini berlaku apabila kita meramalkan sesuatu tingkah laku terlebih dahulu. Kemudiannya, ia disusuli dengan tindakan-tindakan kita bagi membolehkan tingkah laku yang kita andaikan itu benar-benar berlaku. Misalnya, Ali mengandaikan bahawa Abu ialah seorang yang sombong. Andaian tersebut menyebabkan setiap kali Ali terserempak dengan Abu, dia tidak akan bertegur sapa atau menghulurkan senyuman.

Pendidikan

Tentulah, Abu juga tidak akan menegur Ali juga kerana tidak ada wajah mesra daripada Ali. Hasilnya, Abu yang mungkin bukan seorang yang sombong, kemudiannya benar-benar menjadi individu yang sombong. Pernahkah ini berlaku dalam hidup anda? Ia selalu berlaku tetapi kita tidak menyedarinya. Ia selalu terjadi, tetapi kita tidak mengetahuinya. Bagaimana pula dalam konteks pendidikan anak-anak? Di sekolah, biasanya terdapat kecenderungan guru mengandaikan pelajar yang duduk di barisan belakang sebagai malas dan tidak berminat dalam pembelajaran. Sesekali mereka juga diandaikan sebagai pelajar yang nakal. Hasilnya, guru tersebut tidak memberi perhatian kepada pelajar di barisan belakang. Keutamaan hanya diberikan kepada pelajar di barisan hadapan. Disebabkan kurang perhatian, pelajar di barisan belakang kemudiannya benar-benar gagal dan menjadi mereka yang nakal.

Dalam keadaan bagaimanakah simptom ini berlaku?

Kita juga sering melihat anak-anak sekolah yang ponteng dan melepak di belakang bangunan atau kaki lima pusat beli-belah. Sesekali kita juga melihat mereka merokok atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Walaupun kita tahu bahawa anak-anak ini berkemungkinan ponteng sekolah, tetapi kita tidak menegurnya. Minda psikologi kita telah terlebih awal memberikan isyarat bahawa mereka ini anak-anak nakal dan tidak berminat dengan pelajaran. Masa depan mereka bakal binasa kerana kedegilan mereka. Justeru tidak ada ahli masyarakat yang mengambil tahu, walaupun gejala ponteng ini hanya berlaku di belakang kawasan perumahan mereka, hasilnya pelajar tersebut benar-benar menjadi pelajar yang bermasalah. Mereka ini asalnya mungkin hanya sekadar suka-suka. Natijah daripada pemikiran kita tadi, mereka juga mungkin bermasalah pada kemudian hari. Semua ini sebenarnya ialah reaksi psikologi yang selalu berlegar dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Mata pelajaran Sains dan Matematik telah dianggap sebagai subjek yang sukar. Bahkan, kita selalu menyebutnya. Selain guru Sains dan Matematik, guru-guru lain juga menyebutnya.

Kurang minat

Pelajar-pelajar yang pernah gagal dalam Matematik dan Sains juga selalu menyebutnya. Terpedaya dengan mitos yang dikembangkan dalam masyarakat, anak-anak kita juga menyangka bahawa Sains dan Matematik ialah subjek yang sukar. Kesannya, mereka tidak berminat untuk mengulangkaji mata pelajaran tersebut. Mereka juga yakin gagal dalam subjek tersebut. Lama-kelamaan, akibat kurang berminat dan tidak mengulangkaji, Sains dan Matematik yang asalnya mungkin sekadar subjek seperti subjek yang lain, menjadi mata pelajaran yang benar-benar susah. Mereka pula gagal. Inilah sebenarnya kekangan minda yang selalu membantutkan kejayaan anak-anak kita di sekolah. Kita mengandaikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari, mereka akan membawa pulang sesuatu yang membahagiakan. Namun, kita terlupa, adakalanya kita sendirilah yang meramal kegagalan mereka. Mudah-mudahan kita semua terhindar daripada simptom ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO

19 Januari 2012

ISU BAHASA : SUKARKAH BERTUTUR BAHASA MELAYU?

TAN SRI LEE LAM THYE
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia


Beberapa pihak telah membangkit mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan tahun lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran. Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat. Pada pendapat saya mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Suatu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan perbualan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak. Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul. Sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul? Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan. Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak. Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sudah menjadi satu tabiat bagi mereka bercakap bahasa kebangsaan diselitkan bahasa Inggeris. Memang tidak salah - untuk membuktikan kita mempunyai kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa. Soalannya ialah kalau mahu bertutur bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu. Begitu juga semasa bertutur bahasa kebangsaan, gunakan sepenuhnya dan tidak perlu dicampuradukan. Bahasa Melayu adalah bahasa indah dan tidak patut dijadikan mudah tercemar. Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita. Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : SEKATAN EKSPORT MINYAK IRAN GUGAT EKONOMI DUNIA

Penulis ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.


Minyak merupakan satu komoditi yang begitu sensitif bukan hanya kerana ia mampu membuat rakyat sesebuah negara memberontak membantah kenaikan harga tetapi yang lebih kritikal ialah minyak juga adalah senjata diplomasi yang begitu berkesan. Negara pengeluar umpamanya lazim mengguna minyak sebagai senjata rundingan kerana pengurangan atau berlebihan komoditi tersebut mampu mengoncang ekonomi dunia. Begitu juga dengan ugutan Iran untuk menutup Selat Hormuz membawa implikasi yang agak bear kerana laluan tersebut merupakan saluran utama Arab Saudi dan beberapa negara Teluk mengeksport hasil minyak mereka. Jika selama ini sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Teheran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) telah memasuki pusingan keempat, nampak gayanya pembangunan program nuklear Iran masih tidak terencat. Malah pembunuhan saintis nuklear Iran jika benar didalangi oleh anasir asing yang bertujuan membantutkan program nuklear Teheran, strategi tersebut masih belum mampu mencapai matlamatnya. Tetapi usaha sekatan terbaru AS dan EU untuk menyekat eksport minyak Iran telah mula membuahkan hasil walaupun sedaya upaya cuba dinafikan oleh Teheran. Implikasi sekatan ini terhadap Iran begitu jelas kerana pergantungan negara tersebut terhadap hasil minyak begitu menyeluruh.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sekatan eksport bukan sahaja akan memudaratkan Iran tetapi juga ekonomi dunia kerana banyak negara termasuk beberapa negara EU bergantung kepada bekalan minyak Iran. Tetapi AS membuat perhitungan bahawa sekatan eksport minyak hanya bersifat sementara kerana ia ditujukan kepada Presiden Mohmoud Ahmadinejad yang akan menghadapi pilihan raya parlimen Mac akan datang. Washington mengharapkan rakyat Iran akan menolak parti politik Ahmadinejad semasa pilihan raya nanti jika ekonomi Iran menjadi tenat akibat kekurangan hasil minyak. Teheran sebenarnya telah menghidu strategi Amerika untuk menggunakan pilihan raya sebagai jalan pintas untuk merencatkan pembangunan program nuklear Iran dengan melaksanakan beberapa langkah awalan mereka sendiri. Teheran akur bahawa negara tersebut tidak mampu mengugut AS atau EU secara langsung kerana kedua-dua kuasa besar tersebut mempunyai pembekal minyak alternatif. Antara negara EU, Itali merupakan pengguna terbesar minyak Iran yang merangkumi hampir 10 peratus dari jumlah keseluruhan eksport. Teheran telah mula memberi amaran kepada pengeluar minyak negara Arab terutama sekali Arab Saudi, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu supaya tidak mengambil alih peranan Iran sebagai pembekal minyak. Wakil Iran ke Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) Mohammad Ali Khatibi telah mengumpamakan negara Arab sedemikian bersengkongkol dengan AS dan EU dalam mengenakan sekatan terhadap Iran.

Negara Arab lain merasa agak curiga dengan ugutan Iran bukan kerana khuatir bakal berhadapan dengan serangan ketenteraan tetapi Tehran mampu menggunakan faktor pertembungan kumpulan Syiah-Sunnah untuk mengucar-kacirkan sesebuah negara terutama sekali yang diperintah oleh kumpulan Sunnah. Apa yang lebih kritikal adalah strategi sekatan terbaru AS dan EU, ia bukan kerana boleh menumbangkan kerajaan Ahmadinejad tetapi mampu menghuru-harakan senario geopolitik dunia terutama sekali rantau Asia. Ini adalah kerana secara keseluruhannya empat negara gergasi Asia iaitu China, India, Jepun dan Korea Selatan merupakan pengguna terbesar minyak Iran iaitu melebihi 60 peratus hasil minyak Teheran. China umpamanya amat begitu bergantung kepada bekalan minyak Iran dan sebarang kekangan bekalan boleh memudaratkan negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Beberapa hari lepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Timothy Geithner telah melakukan lawatan ke China untuk memujuk Beijing supaya bersama-sama dengan AS dan EU menjayakan sekatan ke atas bank pusat Iran.

Tidak dapat dipastikan samada Beijing akur dengan permintaan Washington atau sebaliknya kerana isyarat yang dikeluarkan agak samar dan sukar dinilai. Lawatan Perdana Menteri China Wen Jiabao ke beberapa negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi memberi maksud bahawa kemungkinan Beijing sedang merisik negara pembekal alternatif. Tetapi jika diteliti pula terhadap reaksi Beijing terhadap keputusan Washington mengenakan sekatan terhadap syarikat Zhuhai Zhenrong dari China kerana membekalkan bahan produk petroleum kepada Iran, maka besar kemungkinan China dan AS tidak berada pada landasan yang serupa. Begitu juga dengan India yang mengimport hampir 16 peratus minyak Iran besar kemungkinan tidak akan mencari bekalan dari negara alternatif kerana kesan kepada ekonomi India adalah terlalu genting jika berlaku pengurangan bekalan tenaga.

Walaupun Jepun dan Korea Selatan telah menyatakan pendirian bahawa mereka akan akur dengan sekatan terbaru dan akan mengurangkan pergantungan minyak Iran, kenyataan sedemikian rupa tidak mengejutkan kerana kedua-dua negara tersebut adalah sekutu kuat AS. Tetapi apakah pendirian tersebut akan dilaksanakan merupakan tanda tanya terutama sekali Jepun yang sedang menghadapi kepincangan bekalan tenaga elektrik daripada kuasa nuklear kesan bencana tsunami tahun lepas. Kejayaan sekatan terbaru terhadap Iran yang diusahakan oleh AS dan EU sebenarnya bergantung kepada kerjasama yang akan diberikan bukan sahaja oleh negara pengeluar minyak Arab tetapi juga pengguna minyak Iran terutama sekali dari rantau Asia. Dalam hal ini laluan yang akan diambil oleh China dan India merupakan pemangkin utama sama ada sekatan tersebut akan berjaya atau sebaliknya. Beijing dan New Delhi perlu mengolah sama agenda geopolitik atau pun ekonomi perlu diberi keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat. Tetapi apa yang lebih jelas adalah sebarang pengurangan bekalan minyak Iran akan lebih memudaratkan Beijing dan New Delhi berbanding dengan Teheran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 Januari 2012

ISU ANTARABANGSA : PENDUSTAAN AMERIKA SYARIKAT DAN ISREAL UNTUK SERANG IRAN

Dihasilkan Oleh : Rejal Arbee
Penulis ialah Felo Kanan UKM
rejal@mcoba.org


Nampaknya usaha untuk menjatuhkan sebuah lagi kerajaan Islam sedang dimainkan oleh pihak yang menguasai Amerika Syarikat dengan bantuan medianya untuk menyediakan keadaan bagi menghalalkan serangan ke atas Iran. Sandiwara yang didukung padu oleh media berpengaruhnya seperti New York Times dan Fox TV kini dimainkan kembali. Ini mengingatkan kita bagaimana mereka menyediakan keadaan untuk menghalalkan serangan ke atas Iraq sehingga memusnahkan negara itu, termasuk pelbagai peninggalan tamadun silam seperti artifak dari Babylon.  Ketika itu Presiden George W Bush dan konconya, termasuk Perdana Menteri Britain, Tony Blair bermati-matian mengatakan bahawa Saddam Hussein sudah mempunyai senjata pemusnah besar-besaran (WMD).  Kini seluruh dunia sudah tahu apa yang dikatakan Bush dan Blair serta dikuatkan lagi oleh medianya yang terang-terangan adalah penipuan semata-mata.  Pendedahan seorang bekas pegawai kanan CIA, Susan Lindauer yang dipenjarakan hampir 10 tahun selepas pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York pada 9 November 2001 kerana tidak mahu terus bersubahat dengan penipuan puak berkepentingan yang menguasai Amerika untuk menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam serta enggan merahsiakan kejadian sebenar terhadap peristiwa 911 itu.

Apakah ini tidak menunjukkan tidak bermoralnya pentadbiran Amerika Syarikat kini? Lindauer dalam pengakuannya yang dimuatkan dalam YouTube berkata, Saddam memenuhi segala kehendak Amerika kerana mahu sekatan dunia ke atasnya dibatalkan kerana tindakan tidak bermoral itu mengakibatkan ribuan rakyatnya yang tidak berdosa, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita maut kerana tidak dapat dirawat tanpa peralatan dan ubat-ubatan.  Tetapi kesediaan Saddam itu diabaikan saja dengan mereka berterusan menipu dunia hinggalah menyerang negara itu dan memusnahkannya dan keadaan tidak wujudnya kestabilan di negara itu berlarutan sehinggalah sekarang. Kini timbul pula satu lagi pembohongan kononnya Iran sudah mula menjalankan kegiatan untuk melengkapkan dirinya dengan bom nuklear. Walaupun Iran berkali-kali menafikannya dengan menyatakan bahawa apa yang ia sedang lakukan hanyalah penggunaan kuasa nuklear untuk pembangunan bukannya untuk membuat bom. Malangnya, puak yang dikuasai Zionis di Amerika tetap saja memperlekehkan pengakuan itu dengan berterusan membuat tuduhan palsu mereka.

Amerika juga menggunakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menghalalkan tuduhan palsunya. Walaupun IAEA jelas tidak mempunyai bukti kukuh yang boleh mendukung tuduhan mereka, ia masih menuduh bahawa Iran mungkin berusaha mengadakan bom nuklear. Itu saja yang boleh dinyatakan badan yang sepatutnya bertindak lebih bebas dan tidak memihak kerana ia tidak boleh mengadakan bukti yang sememangnya tidak ada. Kenyataan andaian itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas regim Zionis dengan angkuhnya memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan terhadap Iran sudah semakin nyata. Walaupun agensi itu tidak boleh membuktikan apa yang mahu didengar puak Zionis di Amerika atau Israel, ia tetap dengan buruk sangka hingga mencemaskan rakyat Iran. Sebelum ini pun, Israel melalui badan perisiknya, Mossad yang diketahui umum sentiasa bertindak samseng khususnya terhadap orang Islam dengan bantuan CIA.  Kedua-dua badan itu sudah melakukan pelbagai macam cara mensabotaj usaha Iran membangunkan tenaga nuklearnya yang dilakukan untuk tujuan keamanan bukannya untuk berperang.

Usaha itu, termasuk menggodam dan merosakkan komputer badan nuklear Iran menggunakan cecacing komputer Stuxnet serta membunuh tidak kurang empat saintis nuklear Iran, terakhir Mostafa Ahmadi Roshan pada 11 Januari lalu. Semua dibunuh menggunakan kaedah sama dengan meletakkan bom bermagnet di tepi kereta oleh penunggang motosikal, satu kaedah digunapakai Mossad.  Selain itu dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sering juga berlaku kejadian pengeboman di beberapa pusat ketenteraan dan nuklear Iran yang disyaki dilakukan anasir upahan puak Zionis dan CIA seperti mereka mengupah pelbagai puak penentang kerajaan Iran untuk melakukan jenayah dan perlakuan memporak perandakan orang awam.  Inilah kaedah yang sering digunakan CIA untuk menimbulkan keadaan tidak stabil dan kekacauan terhadap mana-mana kerajaan yang tidak disukai Amerika. Jelas bagi puak ini jenayah boleh saja dihalalkan.  Dalam pada itu, pihak ketenteraan Amerika sejak beberapa waktu kebelakangan ini sudah bersedia untuk melakukan serangan ke atas Iran. Ini diakui secara tidak langsung oleh pengerusi ketua turus angkatan tenteranya, Jen Martin Dempsey yang memberitahu media Amerika bahawa tanggungjawabnya ialah untuk menentukan segala persediaan dan persiapan dilaksanakan sekiranya berlaku serangan ke atas Iran.

Persiapan itu dilakukan walaupun pihak pentadbiran Amerika sendiri mengakui Iran tidak mempunyai senjata nuklear. Ini boleh dilihat daripada pengakuan Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta bahawa Iran tidak mencuba untuk mengadakan senjata nuklear seperti pernah dinyatakan dalam dua laporan Perisikan Kebangsaan Amerika pada 2007 dan 2010.  Apakah semua ini tidak menunjukkan bahawa Amerika dan Israel sengaja bertindak untuk memprovokasi Iran supaya memberi sebab kepada mereka untuk menyerang negara Islam itu. Anehnya, Israel sudah mempunyai bom nuklear melebihi 200 buah tidak pernah ditimbulkan seperti juga Amerika yang mempunyai lebih daripada 1,000 bom nuklear yang sepatutnya dimusnahkan mengikut perjanjian antarabangsa yang ia sendiri meterai tidak pula dipersoalkan.  Kenapa? Apa istimewanya Israel dengan dibiarkan memiliki senjata nuklear tanpa dikenakan sekatan atau amaran, termasuk Amerika? Jadi cara digunakan sama saja. Dulu di Iraq ditohmahkan wujudnya WMD dan kini di Iran bom nuklear pula. Inilah nasib negara Islam gara-gara Zionis yang begitu menular pengaruhnya hingga boleh saja membuat Amerika melompat mengikut gendang dipalunya.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 Januari 2012

ISU UMUM : EKSTREMISME BUKAN SEKADAR TINDAKAN KEGANASAN SAHAJA

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my


Setiap kali perbincangan diadakan mengenai ekstremisme, Islam dan Muslim akan dikaitkan bersama. Apakah ini menunjukkan hanya Muslim saja bertindak secara ganas atau ditonjolkan dengan sengaja bagi mengaburi pandangan orang lain bahawa semua Muslim itu ganas. Memang ada Muslim yang bertindak menyerang pihak tertentu tetapi ini tidak bermakna semua Muslim pengganas. Ia juga bermakna tidak semua bukan Muslim tidak boleh bertindak ganas. Lihat saja beberapa kejadian di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Asia. Keganasan berlaku di banyak tempat termasuk di Ireland Utara, Palestin, Vietnam dan Sri Lanka. Namun bukan semuanya ada kaitan dengan Muslim. Di Palestin ada dua pihak yang terbabit, tanpa mengecualikan keganasan dan pencerobohan Zionis di bumi orang Islam.  Tetapi apabila berlaku kejadian pembunuhan di Norway tahun lalu, sekali lagi ekstremis Muslim dipersalahkan untuk kejadian terbabit, tetapi siasatan pihak berkuasa menunjukkan sebaliknya.

Namun ahli politik, wartawan dan pengulas isu semasa tetap berpendirian bahawa keganasan dan Islam ada kaitan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM) di Kuala Lumpur kelmarin.  Katanya, selepas Timothy McVeigh melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar raya Oklahoma, tiada siapa menyatakan orang Kristian bertanggungjawab melakukannya. Untuk menuduh orang Kristian bagi kejadian seumpama adalah sesuatu yang ganjil, namun beginilah situasi yang terpaksa dihadapi oleh 1.3 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia hari ini.  Prof Dr Maurits Berger dari Universiti Leiden, Belanda berpendapat keperluan kepada kesederhanaan adalah keperluan dunia. Dr Berger yang menyampaikan pandangannya itu dalam kertas kerja bertajuk Mencari Suara Sederhana Daripada Dalam, berkata terlalu banyak perhatian diberikan sebelum ini kepada golongan ekstremis minoriti, yang membayangi golongan sederhana yang sebenarnya majoriti.  Katanya, suara golongan majoriti ini perlu didengar tetapi mereka perlu menyuarakan dengan lebih tegas dan persidangan ini adalah salah satu tempatnya.

Menurut Berger, seorang kolumnis sebuah akhbar di Arab Saudi pernah menulis pada 2002: Bukan semua Muslim itu pengganas, tetapi hampir semua pengganas adalah Muslim, menyebabkan perlunya orang Islam melihat ke dalam diri mereka.  Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana boleh agama yang seindah ini menyebabkan golongan tertentu menjadi ekstrem, malah ganas?  Justeru, lebih ramai Muslim perlu bangkit menyuarakan pandangan mereka. Malah golongan berpandangan sederhana daripada semua agama harus bangun menjelaskan pendirian mereka, bagi membolehkan dunia mencapai keamanan. Keganasan atau ekstremisme juga sering dikaitkan dengan kejadian buruk, pembunuhan, kekacauan dan penderitaan. Tetapi menurut Perdana Menteri, ekstremisme tidak selalunya ganas. Sebagai contoh, krisis kewangan global yang dihadapi oleh dunia beberapa tahun lalu adalah antara perkara ekstrem yang berlaku dalam sejarah tetapi ia tidak ganas.

Sudah empat tahun ia meruntun dunia dan masih belum ada penyelesaian. Zon Eropah masih menghadapi krisis berkenaan. Berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan, rumah dan masa depan. Selain krisis kewangan global, keengganan pihak tertentu bersikap toleransi adalah antara ancaman ekstremisme yang perlu ditangani semua pihak termasuk pertubuhan dan kerjasama serantau. Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata persidangan kesederhanaan global ini diadakan tepat pada masa bagi mengisi kelompangan sejak berlaku peristiwa 9/11.  “Apa yang berlaku selama ini ialah satu peratus golongan ekstrem mendapat 100 peratus perhatian dunia. Tidak kira sama ada ia berjaya atau tidak, ia adalah inisiatif baik bagi membolehkan kita memberi pendapat,” kata Dr Shamsul.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 Januari 2012

18 Januari 2012

ISU UMUM : KESEDERHANAAN PENAWAR EKSTREMISME

Teks ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan pergerakan Keserderhanaan Global 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Januari 2012


Saya amat berbesar hati dapat menyertai anda semua hari ini dalam persidangan pertama Gerakan Kesederhanaan Global - Saya difahamkan ramai di antara peserta meredah ribuan batu untuk datang ke sini, dan saya mahu mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda terhadap perjuangan kita ini. Kami mempunyai pepatah di Malaysia, tak kenal maka tak cinta - dan menjadi harapan saya beberapa hari berikutnya akan membuka peluang untuk kita lebih mengenali dan menyayangi satu sama lain, serta menetapkan pemahaman dan empati bersama dalam berdepan dengan ekstremisme dalam apa jua bentuk. Di Malaysia, kesederhanaan telah lama menjadi jalan pilihan kami. Ia satu bukti kepada bagaimana kami memperolehi kemerdekaan daripada British pada 1957; bagaimana kami memulihkan hubungan dengan Indonesia pada 1965; dan bagaimana kami membantu membina ASEAN pada 1967, pulih daripada tragedi Mei 1969, perhubungan dengan China pada 1972, dan membentuk komuniti ekonomi dan keselamatan ASEAN pada 1993 dan 2009. Setiap satu daripadanya merupakan detik penting bagi negara kami, dan semuanya dicapai melalui debat dan perbincangan sewajarnya.

Tetapi, lebih dan melangkaui pencapaian Malaysia sendiri, kesederhanaan adalah fitrah atau intipati kejayaan utama kemanusiaan; batu asas kukuh di mana semua peradaban dunia telah dibina - tanpanya, kita mungkin sudah lama tewas kepada kenikmatan dan keseronokan epicurean! Namun, kesederhanaan berdiri tegak bukan sahaja mempertahankan keazaman, disiplin dan mengawal diri malah untuk penerimaan, kebebasan, toleransi, belas kasihan, keadilan dan keamanan. Memilih kesederhanaan bukan bermakna lemah, mengalah atau menginstitusikan prestasi rendah. Dan ia bukan tentang melakukan dengan separuh hati sesuatu yang memerlukan dedikasi penuh. Jauh daripada menjadi ideologi kelemahan jati diri, seperti yang sesetengah pihak mahu kita percaya, kesederhanaan sebenarnya memperkasakan diri kita untuk mara ke hadapan dan meninggalkan kesan kebaikan - menjaga keperluan, kekecewaan dan kebimbangan orang lain dan juga diri sendiri pada masa yang sama.

Seperti kata-kata Robert F. Kennedy, "sejarah manusia dibentuk daripada pelbagai perbuatan berani dan kepercayaan yang tidak terkira banyaknya. Setiap kali seseorang berdiri mempertahankan satu impian, atau bertindak demi kebaikan sekumpulan manusia lain, atau bertindak balas terhadap ketidakadilan, dia memberikan sedikit riak harapan, dan titik pertemuan daripada berjuta pusat tenaga dan keberanian, riak harapan itu akan membentuk satu gelombang yang boleh merobohkan dinding tentangan dan penindasan." Itu adalah gelombang yang kita mahu bina di sini hari ini - dan jangan kita tersilap, kita bersatu kini di satu persimpangan sejarah dunia yang bermasalah. Wajah baru peperangan, krisis kewangan global dan bencana semula jadi pada satu skala yang tidak pernah dilihat selama ini, kini memberi cabaran yang belum pernah kita hadapi sebelum ini. Tetapi kita tetap perlu menghadapinya, dan jalan yang kita pilih untuk berdepan dengan perubahan-perubahan ini akan menentukan arah tuju masa depan semua peradaban kita.

Skala dan kepantasan peristiwa yang berlaku merentasi Timur Tengah dan Afrika Utara pada 2011 kadang kala hampir sukar diterima, tetapi selepas kekeliruan dan huru-hara beralih kepada kedamaian, seluruh dunia bersatu dengan harapan negara-negara itu dan rakyatnya dapat membentuk kesederhanaan demokratik dan keamanan yang akan memberi mereka kebebasan bersuara, daripada menjadi mangsa tiada toleransi dan ekstremisme yang mengisi kekosongan yang wujud. Nigeria pula baru-baru ini menjadi saksi pertembungan maut antara komuniti Muslim dan Kristian. Tetapi, kerajaan Nigeria telah menegaskan tiada tolak ansur terhadap sikap sedemikian dan mereka yang cuba menggunakan kepercayaan agama untuk tujuan keganasan akan menerima akibatnya. Perbalahan sebenar bukanlah antara orang Islam dan bukan Islam, mahupun antara negara maju dan negara membangun, tetapi antara golongan sederhana dan ekstremis.

Maka, setiap seorang daripada kita perlu membuat satu pilihan; antara permusuhan dan syak wasangka atau berusaha secara berterusan untuk memahami pandangan dunia antara satu sama lain. Tentu sekali kita tidak seharusnya menganggap lautan dan teluk yang memisahkan kita juga memberikan imuniti daripada konflik pihak lain. Ketegangan di Afrika atau kata-kata kasar dikeluarkan di benua Amerika boleh membawa kesan bukan sahaja terhadap mereka yang menetap di sana malahan terhadap kita semua. Dalam dunia lebuh raya maklumat kini, konflik sedemikian merebak dengan pantas dan tiada siapa memegang monopoli terhadap kebenaran. Walaupun mungkin seronok mendapat nama atas gerakan ini, saranan seperti yang saya buat untuk satu Pergerakan Kesederhanaan Global bukannya sesuatu yang baru. Kesederhanaan adalah satu nilai berzaman, dan sesuatu yang menjadi asas perjuangan agama-agama utama dunia. Dalam Islam, Nabi Muhammad bersabda bahawa, "kesederhanaan adalah sebaik-baik tindakan"; dalam agama Kristian, kitab Injil menyatakan "biarkan kesederhanaan kamu diketahui atas semua manusia"; dan dalam agama Yahudi, kitab Taurat mengajar kesederhanaan dalam semua perkara adalah satu 'cara hidup' dalam nilai adat Yahudi sebenar.

Bagaimanapun, jike kesederhanaan telah lama bertapak dalam agama-agama dunia, maka yang sebaliknya juga adalah benar: ekstremisme tidak pernah diterima ke dalam masjid, gereja, saumaah dan kuil kita. Mengekalkan rasa benci melalui sifat semula jadinya adalah satu perjalanan sunyi, berterbangan di muka prinsip moral yang disanjung tinggi - dan kebencian yang ditambat ini, bersama keengganan mengiktiraf pandangan dan nilai-nilai pihak lain yang menjadikan ekstremisme satu ancaman kuat. Namun begitu, berkali-kali kebenaran tetap mencapai kejayaan. Sejarah dicipta bukan oleh mereka mendukung ekstremisme tetapi oleh mereka yang kekal kepada kesederhanaan tanpa menggadaikan kepercayaan diri. Kita semua kenal dengan kekuatan gigih keazaman dan kepimpinan Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi tetapi anda tidak perlu menjadi pemimpin dunia untuk menjadi sumber inspirasi. Golongan sederhana membawa perubahan di mana sahaja mereka berdiri - dan sudah tiba masanya golongan sederhana pelbagai peringkat berdiri tegak dan menyatakan dengan satu suara padu bergema, 'tidak', kepada ekstremis.

Satu perkara amat jelas: kita tidak boleh menghapuskan fahaman ekstremis dunia dengan menggunakan kekerasan. Keganasan melahirkan keganasan - maka lebih baik kita memelihara toleransi dan pemahaman, bukannya dengan menutup suara kebencian tetapi dengan meninggikan lagi suara pertimbangan. Pujukan, perundingan dan kerjasama: ini semua mesti menjadi senjata kita berdepan dengan permusuhan dan niat jahat. Barisan jurucakap dan delegasi di sini hari ini adalah pelbagai dalam semua bentuk, merangkumi pakar dan pemimpin pemikir dari semua benua dan peringkat hidup. Saya fikir ini membawa satu makna: bahawa ekstremisme padu satu peringkat telah memberi kesan kepada setiap negara, setiap kerjaya dan setiap manusia. Tiada sesiapa pun yang terkecuali, tiada tempat tidak dapat dicapai dan tiada had terhadap apa sekalipun - atas sebab ringkas, ekstremis dengan pandangan total dunia mereka, enggan mengecuali atau meninggalkan mana-mana institusi, sama ada sekular atau suci.

Ekstremis kita ketahui didorong oleh golongan ortodoks - sekumpulan idea muluk bercirikan keringkasan bodoh, gambaran salah dan penipuan nyata. Daripada meraikan kesucian kehidupan seperti yang dituntut semua agama, golongan ekstremis menekankan kemegahan hayat selepas mati. Daripada mencari dan menerima perbezaan mereka menyokong kejahilan, menolak toleransi dan kenali diri. Dan daripada menerima perubahan, mereka takut kepadanya dan sesiapa sahaja yang mendokong perubahan itu, membelakangkan diri kepada kemajuan dan mencari perlindungan dalam dunia ideal yang kekal sama sahaja. Intipati dan mungkin juga tarikan ekstremisme adalah sifatnya yang ringkas - maka ia bergantung kepada pergerakan dan perhimpunan seperti ini untuk menyiasat kebenaran hakiki ini dengan kepekaan, kebijaksanaan dan penuh bersemangat. Perbincangan tentang ekstremisme dan perbuatan ekstremis membangkitkan imej ngeri pembunuhan, huru-hara dan penderitaan manusia tetapi ekstremisme juga bukan selalunya ganas - dan saya percaya kita menanggung sendiri risiko menyebut tentangnya. Mengambil contoh satu daripada peristiwa yang kononnya tidak ganas tetapi amat ekstrem dalam sejarah baru-baru ini: krisis kewangan global.

Berbanding imej kejam yang mengejutkan yang dipaparkan seluruh dunia ketika kejadian 9/11 - gambaran kemusnahan pada skala epik yang meninggalkan parut pada satu generasi dan membakar nurani dunia - gambar yang diambil di hadapan Lehman Brothers pada satu pagi bulan September beberapa tahun kemudian, biasa sahaja, mungkin pernah dilihat sebelum itu. Seorang wanita muda, cemas dan bimbang, mengangkat barang miliknya di dalam sebuah kotak, keluar dari ibu pejabat firma tersebut. Seorang eksekutif yang malu pula berjalan pantas, masuk ke dalam kereta mewahnya dan memecut laju. Tiada yang terlalu pelik atau tidak dijangka - namun begitu, tanpa sebutir peluru pun ditembak, sifat ekstrem dan berlebihan Wall Street dalam masa beberapa hari sahaja mengheret dunia yang kita kenali ke hujung tanduk. Maju ke depan empat tahun kemudian dan nyata sekali tiada penghujungnya. Zon Eropah masih dalam krisis. Berjuta-juta orang hilang pekerjaan, rumah dan jaminan hidup. Dan ditambah kepada kos kemanusiaan, sekitar AS$14 trilion telah dibelanjakan setakat ini untuk pelan menyelamat - sepuluh kali ganda kos kedua-dua peperangan di Afghanistan dan Iraq.

Jika saranan saya untuk kesederhanaan bersifat idealis, ia juga amat realistik. Ramai ilmuwan Islam yang hebat mengambil berat bagaimana Islam sebagai satu pandangan dunia tentang agama, budaya, politik, etika dan ekonomi boleh membantu menyelesaikan antara cabaran paling besar kita hadapi hari ini, dan ini juga adalah antara persoalan yang menarik minat saya - bagaimana kesederhanaan boleh menyelesaikan, bukan sahaja masalah ekstremisme yang ganas malahan mengemudi kita melangkaui krisis ekonomi global ini? Thomas Jefferson pernah berkata bahawa "jiwa perdagangan yang pentingkan diri tidak mengenal negara, dan tiada rasa belas terhadap prinsip selain daripada keuntungan." Ia satu sentimen yang diperingati berulang kali sejak beberapa tahun dan bulan lalu apabila kejatuhan Lehman. Pope, satu tokoh yang tidak kurang hebatnya juga telah menyalahkan krisis ekonomi global atas "kurangnya asas etika yang kukuh untuk aktiviti ekonomi." Ketua Rabai Britain, Jonathan Sacks menulis keperluan untuk majikan, pemilik bank dan pemegang saham supaya "mempunyai panduan diri walaupun jika tiada siapa yang memerhati, oleh satu rasa, apakah yang betul dan bertanggungjawab." Dan untuk umat Islam seperti saya, struktur dan dasar kewangan Islam telah lama meletakkan manfaat umum mengatasi keuntungan individu.

Jadi, bagaimana kita membentuk sebuah ekonomi global sederhana yang berkesan demi kepentingan sekumpulan besar daripada sebilangan kecil? Bagaimana kita boleh memikirkan satu sistem yang menyampaikan keadilan untuk 'kumpulan 99 peratus' dan bukan hanya golongan atasan? Secara ringkasnya, kita tidak boleh lagi membenarkan pergerakan pasaran bersifat bebas-nilai atau neutral-nilai. Pasaran, seperti yang kita tahu, merupakan satu-satunya jalan kepada kemakmuran dan pembangunan yang stabil dan mapan - tetapi kita mesti meninggalkan hasil yang tidak adil dan tidak rata yang boleh berlaku jika tidak diperiksa, dan dengan jenis amalan ekonomi yang cuai yang sebelum ini menarik rebah sistem kewangan global kita. Overleverage melampau. Pertukaran kemungkiran kredit yang sukar dibayangkan. Pinjaman subprima. Seperti raksasa ciptaan seorang saintis gila, amalan kewangan baru yang tidak difahami dengan sewajarnya ini telah bermaharajalela dari Wall Street dan meninggalkan berjuta kehidupan yang musnah di belakangnya. Bagaimana pula dengan lelaki dan wanita, yang memiliki bank dan pedagang, yang meneruskan kerja dengan pengabaian dan tidak memikirkan selain daripada pengayaan diri sendiri? Barisan gambar muka pesalah laku akan kelihatan berbeza berbanding 'galeri penyangak' ekstremis yang kita telah biasa lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini - berbaju kemas, kerja pejabat dan bergaya berbanding kulit gelap, berjanggut dan dilatih bertempur.

Ini jauh berbeza dengan apa yang diberitahu kepada kita tentang ekstremisme - tetapi ia juga membangkitkan beberapa persoalan penting: apakah rupa ekstremis? Bagaimana kita boleh mengenali mereka? Jawapannya, tentulah ekstremis seperti juga ekstremisme hadir dalam pelbagai bentuk - dan kita hanya boleh mengenali mereka melalui perbuatannya. Saya percaya dunia perlu beringat, terlalu kerap kebelakangan ini kita melihat ekstremisme dan Islam dibincangkan dalam nada yang sama. Selepas 9/11 contohnya, Asia Tenggara mula dikenali sebagai 'baris hadapan kedua' cuma kerana ia mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia. Namun begitu, keganasan tidak pernah bertapak dengan kuat di sini seperti mana di bahagian lain dunia. Dan apabila satu kejahatan besar melewati Norway tahun lalu, mereka yang kononnya pakar membanjiri ruang siaran untuk menyelitkan serangan itu mempunyai ciri-ciri utama ekstremis Islam. Tidak lama kemudian kita mendapati kebenaran yang pahit itu amat berbeza, namun ahli politik, wartawan dan pengulas di seluruh dunia kekal komited kepada idea bahawa keganasan dan Islam adalah dua bahagian pada satu syiling yang sama.

Selepas Timothy McVeigh membawa pembunuhan beramai-ramai kepada jalan-jalan bandar Oklahoma, tiada siapa menggambarkan semua warga Kristian bertanggungjawab. Untuk berbuat begitu akan dilihat sebagai tidak munasabah, tetapi itulah situasi yang dihadapi 1.3 bilion umat Islam hari ini. Bagaimana semua ini berlaku? Bagaimana tindakan ekstremisme oleh sebilangan kecil umat Islam telah dilihat sebagai gambaran sebenar keseluruhan umat Islam - dan untuk membayangi ekstremisme yang dilakukan di seluruh dunia setiap hari oleh individu pelbagai kepercayaan atau yang tiada kepercayaan? Pandangan jahat seumpama itu tidak boleh dibiarkan berleluasa - dan tidak cukup, seperti yang ramai telah lakukan, sekadar menyatakan penyelesaian ekstremisme adalah dengan lebih ramai umat Islam bersuara. Kita perlu mendengar daripada golongan sederhana semua agama di semua negara dan semua peringkat masyarakat - dan apabila kita mendengar, hadiah keamanan akan muncul untuk semua.

Malaysia telah lama sinonim dengan pemodenan, toleransi, inklusiviti dan juga penerimaan, bukannya ekstremisme. Dalam negara yang majoritinya beragama Islam serta mempunyai komuniti besar Hindu, Buddha, Kristian, Tao dan Sikh, kami amat mengenali 'martabat perbezaan'. Kami mempunyai banyak kumpulan etnik, banyak agama tetapi kami berterusan cuba mengekalkan keharmonian dan negara yang benar-benar bersatu berdasarkan nilai-nilai kesederhanaan dan semangat 1Malaysia. Kami tahu kami terbaik dan paling kuat apabila kami mendakap perbezaan yang wujud daripada sekadar menerima kehadirannya - dan dengan semangat itulah kami bersama hadir ke perjumpaan pertama Pergerakan Kesederhanaan Global. Tetapi, sebuah pergerakan global sebenar tidak boleh ditekan dari atas - maka kita perlu sedarkan di semua negara dan komuniti akan kemenangan kebenaran terhadap kejahilan, kepalsuan dan ketakutan.

Untuk memajukan perjuangan bersama kita, saya gembira mengumumkan hari ini pembentukan Institut Wasatiyyah di Malaysia, beroperasi sebagai sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri untuk melanjutkan usaha pemodenan dan keseimbangan dalam semua aspeknya - hormat kepada demokrasi, kedaulatan undang-undang, pendidikan, martabat manusia dan keadilan sosial. Melalui kata-kata ilmuwan agung Al-Iman Ibnul Qayyim, wasatiyyah - kesederhanaan atau 'keseimbangan' - "tidak terlalu berlembut atau terlalu ekstrem umpama sebuah oasis di antara dua gunung", dan untuk menggalakkan lebih ramai ilmuan seumpamanya kelak, kami juga akan membentuk Kerusi Wasatiyyah akademik di bawah Universiti Malaya dengan pemegangnya akan diumumkan apabila tiba masanya. Untuk mempelopori usaha ini di peringkat antarabangsa, saya juga berbesar hati mengumumkan pelancaran satu Pergerakan Global baru Yayasan Kesederhanaan sebagai pusat untuk langkah pertama bagi penggabungan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada mereka yang mahu menyertai perjuangan menentang ekstremisme, sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan. Tentu sekali ia amat penting untuk GMM menjadi pelengkap inisiatif-inisiatif lain untuk dialog global dan kerjasama seperti Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, daripada menjadi inisiatif eksklusif oleh Malaysia.

Ia bukan satu kempen untuk mereka yang lemah semangat tetapi kita tidak boleh membiarkan detik ini dikuasai ekstremis, dengan siapa bersorak paling kuat mendapat untung terbesar. Melalui kata-kata pejuang keamanan, Mahatma Gandhi, 'mata untuk mata membuatkan seluruh dunia buta' - maka, bergantung kepada semua golongan sederhana di mana sahaja untuk berdiri tegak dan megah, untuk melenyapkan tarikan ekstrem dan menidakkan mereka yang di pinggiran daripada bertapak di titik tengah, memastikan kekecewaan yang dirasai di mana jua diambil kira dan suara, di mana sahaja berbunyi, didengar. Tentu sekali saya berharap persidangan pertama ini akan memberikan peluang kepada kita semua untuk memikirkan, berdebat dan melihat kepada beberapa cabaran praktikal akan datang - persoalan seperti: Apa yang diperlukan untuk sekumpulan nilai-nilai dan idea menjadi satu gerakan global sebenar? Bagaimana boleh disuntikkan kesederhanaan dalam keputusan polisi luar dan langkah ekonomi domestik kita? Dan, apa yang kita boleh pelajari daripada satu sama lain dalam mempromosikan pemahaman, toleransi dan keamanan?

Mungkin saya naif untuk mengharapkan satu dunia tanpa keganasan, tiada toleransi dan semua kebencian serta penderitaan yang dilakukan antara manusia - tetapi harga kegagalan jika kita berimpian terlalu kecil adalah terlalu tinggi untuk dibayar. Maka, marilah kita beranikan diri berimpian besar, mari kita beranikan diri membayangkan apa yang sebelum ini difikirkan mustahil, dan ya, mari kita beranikan diri menjawab seruan untuk bertindak. Penindasan dan kezaliman hanya boleh menang jika lelaki dan wanita hanya berdiri dan lihat, enggan menukar retorik kepada tindakan serta pandangan kepada perbuatan. Maka, marilah kita di sini, hari ini, bersama, menetapkan diri untuk berubah dan memulakan tugas membina satu perikatan baru golongan sederhana di zaman ini, dan izinkan saya mengucapkan terima kasih sekali lagi atas kehadiran anda dengan harapan semua berjalan lancar dalam perbincangan sepanjang beberapa hari akan datang. Tidak pernah ada perbincangan yang lebih penting sebelum ini, dan ia sesuatu yang kita perlu kita jalankan dengan kesederhanaan, kecekalan dan keberanian.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 Januari 2012