20 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH - YANG di-PERTUAN AGONG KE-14


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dilantik oleh Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, 14 Oktober lalu. Pemilihan untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2011, menjadikan baginda, Raja yang pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua. Baginda menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan dari Terengganu yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud. Baginda dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949 pada usia 21 tahun ketika masih berada di United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran. Kemudian ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 20 Februari 1959. Pada 21 September 1965 Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-4 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.  

Pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 untuk tempoh dari 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975.  Pada 13 Disember 2006, baginda sekali lagi dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Halim juga menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan iaitu pada 26 Januari hingga 26 Februari 2010 berikutan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menjalani rawatan fisioterapi di Jerman. Tuanku Abdul Halim memulakan zaman persekolahan rendah di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an. Baginda pernah dilantik menjadi Kolonel Yang Dipertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5.

Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga menjadi Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.  Antara hobi Tuanku Abdul Halim ialah fotografi dan mengumpul burung eksotik di istana baginda, membaca, bersukan dan muzik. Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun yang diputerikan pada 15 Julai 1953, di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan adalah anak kelima daripada tujuh beradik. Tuanku Haminah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak sebelum ke Sekolah Menengah Bagan Serai dan aktif dalam bidang sukan termasuk skuasy, golf, tenis dan badminton serta meminati muzik. Tuanku Haminah bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975 dan dianugerah gelaran Sultanah Kedah pada 9 Jan, 2004, dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar selepas kemangkatan Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.




SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011

ISU IPT : MAHASISWA DAN ELEMEN KEMATANGAN

AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM
Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki


Tindakan sekumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu tindakan yang begitu luar biasa sekali. Dipercayai tindakan ini adalah usaha kedua kumpulan ini selepas kali pertama dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini. Jika sebelum ini di UIA, kumpulan pelajar ini menggunakan alasan memperjuangkan kebebasan akademik sebagai temanya, maka kali ini alasan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pula digunakan. Soal alasan yang digunakan bukanlah soal pokok yang perlu dibincangkan atau diselidiki kerana ia boleh dicipta oleh sesiapa sahaja atas kepentingan tersendiri tetapi yang lebih utama perlu diperhalusi adalah soal motifnya. Apakah tindakan ini bermotifkan kepada solidariti? atau bermotifkan transformasi akademik untuk rakyat?. Jika motifnya sebagaimana yang dinyatakan itu, lantas apa kaitannya dengan menurunkan bendera Perdana Menteri itu? Perdana Menteri adalah ikon politik Malaysia yang tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara tidak ada kena mengena dengan agenda yang mereka perjuangkan, maka tidak susah untuk kita nilaikan bahawa kepada motif politik semata-mata. Apakah ini satu bentuk politik baru yang diagungkan dan jika benar maka ia adalah suatu yang agak menggerunkan.

Dalam konteks ini, bukanlah menjadi kesalahan pelajar mempunyai dokma dan idea politik tersendiri tetapi jika ke tahap sanggup menurunkan bendera orang tidak disukai ia memberi pentafsiran dan persepsi amat berbeza sekali kepada masyarakat. Justeru, kita tertanya-tanya, apakah ini satu eksperimen bagi gerakan politik pelajar terhadap AUKU yang dikatakan akan dipinda?. Jika benar, maka apakah wajar Seksyen 15 AUKU tetap dipinda atau kerajaan boleh membuat penilaian semula? Sama ada kita sedar atau tidak, kejadian ini cukup ironis sekali iaitu tatkala kerajaan baharu sehari mengotakan janjinya untuk memberikan peruntukan baucer buku percuma kepada semua pelajar IPTA. Soalnya, apakah pengotaan janji ini bukan satu kebaikan kepada pelajar IPTA?. Jika benar siswa dan siswi tetap mahu membuat perarakan, bukankah lebih elok dan logik jika perarakan dibuat ke pejabat Perdana Menteri untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada beliau dan kerajaan di atas bantuan yang yang cukup bermakna pelajar iaitu duit buku? Tetapi kenapa tindakan itu tidak diinisiatifkan sebagai memanifestasikan kepada kematangan pelajar IPTA yang tahu berterima kasih kepada pihak yang memberi?. Jawapannya, tindakan yang baik sebegitu tidak memberikan laba politik kepada pihak yang membayangi pelajar-pelajar ini.

Akhirnya, di sebalik kesibukan pelajar IPTA lain berkira-kira tentang buku apa yang mahu dibeli, kedai buku mana yang mahu dikunjungi, amat menyedihkan terdapat sekumpulan pelajar Melayu begitu gah berdemo serta bertindak dengan gaya ala reformis Asia Barat. Perkara ini harus dilihat dengan serius oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak pengurusan semua universiti awam. Isu ini tidak harus dikesamping dengan menganggap bahawa ia isu terpencil. Jika diteliti dengan mendalam kita boleh membuat konklusi ini adalah bibit-bibit keadaan yang bakal dihadapi selepas AUKU 1974 dipinda. Karektor politik pelajar IPTA dan lanskap politik kampus akan berubah selaras dengan perkembangan politik yang berlaku di luar kampus. Ini adalah senario perlu difahami oleh Kementerian Pelajaran Tinggi dan pihak universiti. Walaupun kelak kita dapati perubahan pada AUKU hanya meliputi Seksyen 15 dan tertera peraturan mengatakan itu boleh dan ini tidak boleh tetapi realitinya ia tidak akan menjadi begitu oleh pelajar IPTAi. Jika tidak diurus dengan baik oleh pihak Universiti dan KPT akan menghasilkan impak boomerang yang negatif kepada universiti khususnya dan negara amnya.

Kesan segera sudah kita lihat pada minggu ini. Kemungkinan-kemungkinan seperti pintu bilik asrama di IPTA akan dihiasi bendera parti politik juga akan berlaku dan elemen human right akan dijadikan justifikasi membolehkan tindakan sebegitu dibenarkan boleh terjadi. Jadi dalam hal ini, pihak KPT dan universiti harus lebih berani dan tegas dalam melaksanakan peraturan yang ada. KPT dan Universiti juga harus lebih bersedia berhadapan dengan pelajar yang mungkin membawa kes mereka kepada pihak ketiga seperti mahkamah, Suhakam dan seumpamanya. Oleh itu, orientasi pengurusan universiti juga tidak harus dihalakan kepada pembangunan akademik pelajar semata-mata malah harus menjangkau kepada dimensi lain seperti solidariti politik pelajar dan sebagainya. Dalam hal ini, Naib Canselor harus mempunyai panglima (Timbalan Naib Canselor HEP) yang cekap dan fahaman tentang perlunya kebebasan mutlak yang dicanang tangkas. Ini supaya setiap perkara negatif yang berlaku dalam kalangan pemimpin politik kampus dapat dihidu lebih awal demi memastikan iklim universiti sentiasa kondusif untuk pelajar. Namun, ini tidaklah bermakna, idealisme pelajar IPTA disekat. Idealisme pelajar tetap wajar dibiarkan menyubur tetapi ia perlu disarankan dan dipandu untuk diterjemahkan secara matang melalui perbincangan meja bulat dan seumpamanya.

Bagi pelajar IPTA, mereka harus memahami bahawa mereka hanya sekelompok kecil daripada pelbagai kelompok rakyat yang terdapat di negara kita. Negara kita mempunyai kelompok rakyat seperti penjawat awam, petani, nelayan, orang kampung, teknokrat, dan pelbagai lagi. Mereka tidak boleh merasakan bahawa mereka ialah kumpulan yang sentiasa wajib ditatang bagai minyak yang penuh. Disinilah pentingnya elemen kematangan. Rumusannya, pelajar IPTA harus memiliki falsafah kepimpinan politik kampus tersendiri yang tidak terkongkong dengan falsafah kepimpinan politik luaran dengan meletakkan elemen kedewasaan serta kematangan sebagai prasyarat penting dalam setiap tindakan yang diambil. Identiti pelajar IPTA negara tidak harus lagi dicemari dan diconteng dengan elemen-elemen kebobrokan dan picisan seperti demonstrasi tanpa berperaturan dan susila. Pelajar IPTA negara ini harus membentuk karektor tersendiri yang menjadikan kualiti, nilai diri serta nilai ilmu sebagai wadah atau pun nilai pasaran untuk bersaing di pentas antarabangsa mahu pun serantau yang selaras dengan imej negara sebagai negara membangun.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011


ISU SBPA : JANGAN TANDATANGAN BORANG OPSYEN KOSONG


Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Loke Yim Pheng hari ini menasihatkan penjawat awam supaya tidak menandatangani borang opsyen kosong kerana ia adalah dokumen amat penting yang akan menentukan kenaikan pangkat dan prospek kerjaya mereka di masa depan.  Beliau berkata, penjawat awam perlu memastikan borang berkenaan diisi dengan jadual gaji yang betul sebelum mereka menandatanganinya. Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kesatuan perguruan terbesar negara dan ahli gabungan CUEPACS, memberitahu BERNAMA pihaknya menerima aduan bahawa ada guru "dipaksa" menandatangani borang opsyen kosong. CUEPACS amat bimbang dengan perkara ini dan menggesa ketua jabatan untuk tidak memaksa staf mereka menandatangani borang kosong hanya kerana tarikh akhir untuk menandatangani borang itu semakin hampir.  Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberikan opsyen untuk memilih skim gaji baru dan diberi tempoh sehingga 30 Disember 2011 untuk mengembalikan borang mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian sehingga tarikh akhir itu, mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sedia ada.  Loke berkata, CUEPACS turut prihatin dan bimbang dengan nasib kira-kira 200,000 penjawat awam di Gred 17 N, W dan F kerana mereka diberikan tawaran kurang memuaskan.  Beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan mengenai skim baru itu kerana kebanyakan penjawat awam masih keliru dan tidak tahu berapa banyak manfaatnya kepada mereka.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
20 DISEMBER 2011

19 Disember 2011

ISU UMUM : PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL 'SILVER NITRATE' PADA PRU KE-13


Dakwat kekal 'silver nitrate' akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 kelak, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof. Abdul Aziz berkata dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, tetapi tidak digunakan ketika itu selepas keberkesanan kaedah itu dipersoalkan pelbagai pihak. Beliau berkata dakwat kekal yang mengandungi 'silver nitrate' itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Dis untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam. Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum, katanya. Oleh kerana ia berlainan sumber (daripada yang sepatutnya digunakan pada 2008), maka perlu melalui proses semula seperti dulu. Ia bukan dakwat yang sama. Dakwat ini mengandungi logam silver nitrate apabila dicalit dijari (di kuku) ia akan diserap dalam kuku kulit. Lagi tinggi peratus silver nitrate, lagi lama ia kekal di jari. Abdul Aziz berkata penggunaan dakwaat kekal adalah antara cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pengerusi SPR itu bagaimanapun enggan memaklumkan sumber negara dakwat kekal itu diimport, warna dakwat itu dan kuantiti yang akan dimport kelak. Katanya semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal itu dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi. "Saya tidak mahu sebut negara mana ia diperoleh bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini daripada segi keselamatan dan sebagainya. Ia boleh diperoleh daripada berbagai-bagai negara. Banyak negara mengeluarkan dakwat kekal. Dakwat ini telah digunakan dalam pilihan raya-pilihan raya di negara berkenaan dan di negara lain," katanya. Abdul Aziz berkata dakwat kekal silver nitrate tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala dakwat kekal siver nitrate empat peratus bagi pengundian biasa. Bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, Abdul Aziz berkata SPR buat julung kali memperkenalkan 'pengundian awal' iaitu tiga atau empat hari sebelum hari pengundian khusus bagi anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata pengundian awal, yang bertujuan menambah baik lagi proses pengundian di Malaysia, sama seperti undi biasa tetapi ia diawalkan dua tiga hari sebelum hari pengundian sebenar. "Saya tidak kata undi pos akan dihapuskan. Tetapi dalam keadaan tertentu, undi awal ini hanya akan digunakan kepada kategori pemilih yang layak dan wajib mengundi. Sebab mereka boleh bertugas pada hari pilihan raya," katanya. Katanya bagi anggota dalam kategori berkenaan yang tidak dapat hadir pada pengundian awal kerana urusan tugas, mereka masih boleh mengundi melalui undi pos tetapi terlebih dahulu perlu memohon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Abdul Aziz berkata SPR juga sedang membincangkan status dan kaedah tertentu bagi memastikan petugas media dapat melaksanakan tanggungjawab mengundi mereka. Menurut beliau, SPR turut memutuskan untuk tidak lagi membenarkan calon menarik diri atau membuat bantahan selepas proses pencalonan selesai. "Dulu selepas penamaan calon boleh tarik diri, sekarang tak boleh lagi. Tidak boleh buat bantahan dalam satu jam atau tarik diri dalam masa tiga hari.

Kalau dah buat pencalonan. Itu sahaja, kecuali Pegawai Pengurus (Pilihan Raya)mendapati calon berkenaan tidak lagi di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan.Tidak lagi ada bantahan, tidak boleh tarik diri lagi," katanya. Dengan kaedah baru ini, katanya SPR akan mempunyai tempoh masa secukupnya untuk mencetak kertas undi dan seterusnya diedarkan ke kawasan-kawasan tertentu. Abdul Aziz berkata SPR juga memutuskan untuk mempamerkan daftar pemilih 14 hari berbanding tujuh hari sebelum ini. Katanya SPR juga membenarkan Orang Kurang Upaya (OKU) ditemani oleh orang yang dipercayai selain ahli keluarga dan saudara-mara terdekat namun mereka perlu berumur 21 tahun ke atas dan warga negara Malaysia. "Semua ini dipersetujui jawatankuasa tersebut dan ia perlu dipinda di bawah Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981. Selain itu SPR juga sedang mengkaji perkara-perkara tertentu, kuasa undang-undang kepada SPR supaya diberikan lebih kuasa dan tiada sangat bergantung kepada orang lain.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
19 DISEMBER 2011

ISU UMUM : PENCEMUH LYNAS TIDAK IKHLAS UNTUK BERBINCANG DAN BERUNDING

Oleh Ahya Alimuddin


Apakah lagi yang boleh dilakukan jika pihak yang hendak dihubungi dan dirundingi tidak menunjukkan keikhlasan, sebaliknya menimbulkan pelbagai kerenah bagi memenuhi agenda sendiri?  Inilah persoalannya dalam usaha kerajaan melaksanakan perhubungan/perundingan awam (public engagement) bagi menangani isu bantahan segelintir penduduk Kuantan terhadap projek pemerosesan logam tanah jarang milik Lynas Malaysia Sdn Bhd di kawasan perindustrian Gebeng. Beberapa pihak dilihat sering berdolak-dalik dalam proses untuk berhubung dan berunding ini. Terkedepan ialah pencemuh nombor satu terhadap projek bernilai RM2.3 bilion ini iaitu Ahli Parlimen Kuantan dari parti pembangkang, Fuziah Salleh dan puak ‘Save Malaysia, Stop Lynas’ (SMSL). Fuziah misalnya, sejak seawal 2009 lagi, tidak menunjukkan minat sebenar untuk menyertai proses ini. Pada 23 Julai tahun itu lagi, beliau dijemput menyertai taklimat kepada wakil rakyat dan ahli parlimen tetapi tidak menyertainya.  Beliau sekadar menghantar wakilnya, Dr T Jayabalan – seorang yang kononnya pernah merawat hingga lapan pesakit leukemia yang dikatakan menghidap penyakit itu akibat terdedah kepada radiasi yang kononnya dikeluarkan oleh syarikat Asian Rare Earth (ARE) milik Mitsubishi Corporation di Bukit Merah, Ipoh ke taklimat berkenaan.

Taklimat itu yang diadakan di sebuah hotel di sini, akhirnya dihadiri oleh 24 orang termasuklah keempat-empat wakil rakyat parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang meliputi dua masing-masing dari PAS dan DAP, serta Ahli Parlimen PKR dari Indera Mahkota dan Ahli Parlimen PAS dari Hulu Langat, Selangor.  Yang terbaru ialah pada 30 November lalu apabila jemputan kepada Fuziah supaya menyertai rombongan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Rebecca Fatima Sta Maria melawat ke Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di sini, ditolaknya. Jika Fuziah sekadar menolak, puak SMSL pula bertindak lebih lagi yang dilihat sebagai melampau, dengan meletakkan lapan prasyarat jika mahu ia menyertai lawatan tapak berkenaan.  Antara lapan prasyarat itu ialah SMSL mahukan rakaman video sepenuhnya, dibenarkan mengambil gambar dalam dan sekitar LAMP, tiada pembabitan media-massa, mesti memperoleh perjanjian bertulis daripada Lynas Malaysia Sdn Bhd yang syarikat itu tidak akan memutarbelitkan ‘engagement’ berkenaan. Selain itu, pemerhati perundangan dari Jawatankuasa Peguam Pahang juga mesti dibenarkan turut-serta; mereka diberikan hak untuk meninjau ke seluruh kawasan termasuk kawasan larangan.

Usaha untuk perhubungan/perundingan awam ini sebenarnya dilaksanakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd sendiri, lama sebelum Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuat keputusan pada 30 Jun lalu, mengenai selamatnya projek ini. Usaha ini digerakkan sejak 2008 lagi, pada masa sama projek ini dipohon kemudian diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi MITI.  Bermula Januari, perhubungan/perundingan awam yang dimaksudkan ialah dengan penganjuran taklimat kepada kumpulan tertentu – daripada pegawai tertinggi dan pekerja kilang sekitar Gebeng, pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta kumpulan doktor serta penduduk setempat. Malah, pada Julai tahun itu juga taklimat ini yang berkaitan dengan operasi, kesan ke atas alam sekitar dan keselamatan awam turut diberikan buat pertama kalinya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan ahli Exco negeri. Ini berlanjutan ke 2009, 2010 dan tahun ini, yang turut meliputi penganjuran taklimat untuk ahli MCA, penduduk dan kakitangan kerajaan. Taklimat diberikan oleh pakar tanah jarang dan radiasi yang dibawa khas dari China. Pada April lalu misalnya, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), taklimat yang sama dianjurkan kepada penduduk di Kompleks Dagangan Indera Mahkota. Namun, apabila diadakan pertemuan ‘town hall’, kekecohan mula ditimbulkan oleh puak pencemuh projek Lynas dengan mempertikaikannya dengan secara agresif. Mungkin seronok dengan kekecohan yang berlaku, apabila disebut mengenai penganjuran perhubungan/perundingan awam, puak pencemuh ini tetap dengan pendirian mereka mahukan pertemuan ala-‘town hall’ yang sudah tentunya tidak dapat dipersetujui ekoran kekecohan sebelum ini.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 DISEMBER 2011

17 Disember 2011

ISU SBPA : JPA : SBPA SKIM TERBAIK BERBANDING NEGARA LAIN DI DUNIA INI


Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa bulan depan, adalah skim terbaik yang disediakan kerajaan untuk 1.4 juta kakitangan awam berbanding sektor awam negara lain. Kelmarin Cuepacs membuat pendirian membantah pelaksanaan SBPA termasuk soal opsyen. Ia akan mengadakan perhimpunan besar-besaran menerangkan pendirian membantah itu petang esok. Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Yeow Chin Kiong berkata, antara kebaikan yang terdapat dalam skim berkenaan ialah penjawat awam bertaraf pencen tidak perlu membuat caruman sepanjang perkhidmatan selain diberi kemudahan perubatan di hospital kerajaan seumur hidup termasuk tanggungan mereka. Di negara lain, penjawat awam perlu mencarum kepada dana sepanjang perkhidmatan... kos perubatan pun mereka bayar sendiri atau beli insurans sendiri berbanding di Malaysia. Dipetik Bernama Online, beliau menjelaskan kerajaan menyediakan skim persaraan dan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk pembayaran pencen kerana tidak mahu penjawat awam bimbang keadaan kewangan selepas bersara.

Kita mahu (penjawat awam) tumpukan perhatian 100 peratus kepada kerja dan tugas semasa bekerja. Yeow turut menasihatkan penjawat awam agar tidak melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti dibuang kerja kerana ia akan menjejaskan faedah persaraan. Menjawab soalan mengenai penjawat awam yang menyuarakan tidak puas hati dengan skim saraan pencen di negara ini, beliau berkata mereka tidak wajar berbuat demikian kerana kerajaan telah merancang masa depan lebih terjamin buat mereka. Buat masa ini apa yang kita berikan lumayan sekiranya kita (penjawat awam) tidak ada apa-apa tanggungan semasa persaraan. Dengan menggunakan nilai gaji akhir yang paling rendah pun, kita dibekalkan dengan bekalan hidup RM1,000 sebulan. Isunya sekarang di mana kita bermastautin dan sama ada kita ada tanggungan-tanggungan kewangan yang berat. Ini semua hal ehwal rancangan untuk masa depan kita.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
17 DISEMBER 2011

ISU SBPA : HANYA ANIAYAI KAKITANGAN AWAM


Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN diyakini bukanlah satu sistem yang baik, sebaliknya akan menganiaya kakitangan sektor awam. Keyakinan itu disandarkan kepada beberapa faktor, terutama berkaitan sistem pemarkahan prestasi kakitangan awam yang pasti terdedah dengan pelbagai bentuk manipulasi. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi sistem baru itu, pemarkahan prestasi kakitangan awam akan dinilai oleh kakitangan atasan, tetapi penilaian tersebut diyakini tidak akan berlaku dengan adil. Menurutnya, meskipun penilaian prestasi itu sesuatu yang baik bagi menggalakkan perkembangan prestasi di kalangan kakitangan awam, tetapi penilaian tersebut diyakini bukan sekadar berdasarkan prestasi, sebaliknya atas faktor-faktor lain. Katanya, situasi itu akan menjadikan mereka yang benar-benar berprestasi dan berintegriti tidak akan dinilai sebagai berprestasi, sebaliknya mereka yang bijak 'membodek boss' pula yang akan diutamakan.

Sistem SBPA yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan sekarang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini. Dalam SBPA itu banyak perubahan yang akan dilakukan dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam, dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan berasaskan prestasi kerja. Antara lain yang terkandung dalam sistem tersebut termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan. Dalam sistem baru itu juga, pembentukan gaji sebaris digunakan dengan diwujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.

Bagi penjawat awam yang menerima opsyen SBPA akan menerima kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 dan faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. Kerajaan juga mengumumkan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Bagi golongan dalam kumpulan guru atau gred gaji DG dengan tempoh bagi kenaikan gred antara DG41 ke DG44 dan DG44 ke DG48 telah dikurangkan kepada 8 tahun sahaja, berbanding sebelum ini selama 10 tahun untuk kenaikan gred dalam jawatan perguruan. Menurut Mahfuz, setelah diteliti opsyen SBPA dengan menyeluruh, ternyata penilaian atau pemarkahan prestasi kakitangan akan dibuat dengan 3 peringkat, manakala mereka yang dicatatkan markah bawah 70 peratus akan dinasihatkan bersara atau dipersarakan.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARAKAH DIALY
15 DISEMBER 2011

ISU SBPA : BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana. Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara. Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan. Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya. SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun. Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah. “Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 DISEMBER 2011

ISU ALAM SEKITAR : PARADIGMA BARU KURANGKAN RISIKO KEMUSNAHAN BENCANA ALAM YANG MELANDA

Dr Ibrahim Komoo
Pengarah,
Institut Kajian Bencana Alam Asia Tenggara,
Universiti Kebangsaan Malaysia. 


Baru-baru ini berlangsung Sidang Kemuncak Pertama mengenai Peranan Institusi Penyelidikan dalam Mengurangkan Risiko Bencana Alam di Disaster Prevention Research Institute (DPRI), Universiti Kyoto, Jepun.  Selain Malaysia, persidangan dihadiri lebih 25 pengarah institusi penyelidikan itu turut dihadiri wakil dari Jepun, China, Indonesia, Amerika Syarikat, United King-dom, Kanada, Mesir dan Vietnam. Mereka berkumpul dan mencari pendekatan baru penyelidikan kerana merasakan cara dan pendekatan penyelidikan kini masih kurang berkesan mengurangkan risiko bencana. Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Landslides in Malaysia yang mana saya menyatakan dalam 100 tahun terakhir ini, lebih 600 orang terbunuh akibat bencana tanah runtuh. Seorang wakil dari China menyatakan: “Seramai 600 orang saja, ... negara anda sangat bernasib baik”. Di China, satu bencana tanah runtuh pada 2009 saja mengorbankan 1,950 orang. Sebenarnya, Malaysia hampir bebas daripada bencana alam, selain banjir dan tanah runtuh berskala kecil daripada perspektif global, kita hampir bebas daripada bencana gunung berapi, gempa bumi dan tsunami.

Persidangan kemuncak pertama antara institusi penyelidikan berkaitan bencana alam mempunyai makna besar dalam konteks pengurangan risiko bencana. Usaha penyelidikan selama ini masih belum berjaya mengurangkan kadar kematian dan kemusnahan harta benda. Peristiwa bencana terus meningkat dan angka kematian akibat bencana terus bertambah.  Walaupun kami menyedari antara sebab utama peningkatan peristiwa bencana berkait rapat dengan penambahan penduduk dunia dan proses perbandaran, di mana lebih banyak tempat berisiko tinggi dibangunkan untuk penempatan. Kami juga dapat melihat negara di Asia, terutama negara sedang membangun adalah kawasan paling teruk dilanda bencana. Lebih menyedihkan, kesedaran mengenai risiko di kalangan masyarakat awam masih rendah, dan pengetahuan sains masih belum mampu dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana.  Sidang kemuncak ini berhasrat mencari paradigma baru bagi mengurangkan risiko bencana. Ini suatu yang amat sukar dilakukan sekiranya set minda ahli akademik masih tertumpu kepada meningkatkan penyelidikan dalam kepakaran masing-masing. Perbincangan dan hubungan kerjasama antara pelbagai institusi penyelidikan yang berkaitan bencana boleh membuka ruang mencari paradigma baru ke arah pengurangan risiko bencana.

Dalam konteks ini, kami telah mengenal pasti isu dan beberapa pendekatan antaranya: Banyak ilmu dan teknologi telah terkumpul mengenai pendekatan pengurangan risiko bencana, tetapi terlalu sedikit disalurkan kepada pengamal pengurangan bencana. Agensi pelaksana dan masyarakat masih belum terdedah dengan pengetahuan baru yang telah dikembangkan di makmal penyelidikan. Keadaan ini tidak saja berlaku di negara sedang membangun, tetapi turut dirasai negara maju. Oleh itu, ahli akademik disarankan mengubah set minda tradisi yang mengutamakan penyelidikan kepada kepentingan ‘pemindahan pengetahuan’;  Pengalaman beberapa bencana besar yang berlaku sejak tragedi tsunami 2004, mengajar ilmuwan betapa kami masih jahil mengenai peristiwa bencana yang ekstrem. Untuk bencana yang sangat besar, dan mungkin berlaku hanya sekali dalam 1,000 tahun, adalah bencana yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa seperti ini lazimnya melangkaui keupayaan manusia menyediakan mitigasi, di luar ingatan sejarah tamadun manusia, dan merentas sempadan negara. Saintis perlu meneroka ilmu baru mengenai bencana ekstrem begini dan mula memperkenalkan kepada masyarakat pendekatan adaptasi bagi mengurangkan risiko bencana; dan

Malaysia berada di tengah-tengah lingkaran api Asia Tenggara – di barat Sumatera, selatan Jawa, dan di timur kepulauan Filipina. Daerah ini adalah kawasan paling aktif dan berisiko tinggi. Dalam keadaan bencana yang ekstrem, kita akan terbabit sama – kita adalah komuniti Asia Tenggara yang akan berdepan dengan risikonya. Oleh itu, sama ada pada peringkat kerajaan, agensi awam atau ilmuwan di universiti, negara di Asia Tenggara perlu bekerjasama, saling membantu, dan membangun kekuatan serta tradisi tersendiri untuk mengurangkan risiko bencana.  Pada peringkat negara, pelbagai agensi awam dan institusi penyelidikan universiti perlu mewujudkan rangkaian pengurusan bencana alam dan menjadikan komponen pengurungan risiko bencana sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara. Kita seharusnya sudah boleh menilai berapa tinggikah risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda disebabkan bencana alam, serta menetapkan sasaran risiko yang boleh diterima. Dasar, strategi dan landasan untuk bertindak perlu dibangunkan sekiranya berhasrat menjadi pemimpin di rantau ini.  Jika ditinjau daripada perspektif sains, teknologi dan pengetahuan mengenai bencana, Malaysia sudah berupaya menerajui gagasan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Tenggara. Apakah kita mempunyai iltizam politik dan kepimpinan, soalan yang masih perlu dijawab.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 DISEMBER 2011



ISU EKONOMI : SEKTOR KETIGA LENGKAPI TRANSFORMASI EKONOMI

MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa


Krisis kewangan dan hutang global menjadikan usaha untuk memacu ekonomi negara menjadi semakin mencabar. Formula baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi perlu dicari. Selama ini, ekonomi Malaysia banyak bergantung dengan peranan aktif yang dimainkan oleh sektor awam dan swasta. Tekanan kewangan dan hutang yang dihadapi kedua-dua sektor ini, terutama daripada tempias krisis kewangan dan hutang global menuntut kepada suatu transformasi baru dalam model pertumbuhan sosio ekonomi negara. Penglibatan menyeluruh masyarakat dalam menggerakkan kegiatan sosio ekonomi perlu dirangka. Untuk tujuan ini, sektor ketiga dilihat penting untuk lebih diberi perhatian dan diaktifkan. Sektor ketiga merupakan sektor voluntari atau sukarela di mana objektif utamanya tidak bersifat mencari keuntungan tetapi lebih kepada membela dan menjaga kebajikan dalam masyarakat. Sektor ketiga adalah unik kerana keberkesanannya berkait rapat dengan tahap sukarelawan dalam masyarakat. Semakin tinggi penglibatan orang ramai dalam kegiatan sukarela, semakin besar peranan sektor ketiga dalam membina sosio ekonomi sesebuah negara. Sektor ini biasanya melibatkan kegiatan sukarela seperti dalam penyediaan khidmat sosial, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pelbagai kegiatan lain yang lazimnya terlepas pandang oleh sektor awam dan swasta. Di negara-negara maju, sektor ketiga aktif melengkapi sektor awam dan swasta.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, peranan sektor ketiga menyumbang kepada 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Agensi yang terlibat dalam sektor ketiga biasanya merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Berikutan banyaknya organisasi bukan kerajaan seperti ini dengan pelbagai objektif kebajikan yang berbeza, impak sektor ini di Malaysia kurang dirasai meskipun diakui peranannya. Bagi negara Islam seperti Malaysia, peranan sektor ketiga turut digerakkan dengan elemen-elemen kebajikan yang sentiasa digalakkan dalam Islam. Antaranya, institusi wakaf yang sekarang ini semakin diberi perhatian dalam memastikan kebajikan umat Islam. Wakaf yang selama ini sering dikaitkan dengan pembinaan masjid dan wakaf tanah untuk kawasan perkuburan adalah sempit. Wakaf dalam bentuk tunai yang dikumpulkan dan kemudian digunakan untuk membina perniagaan yang dapat menjana keuntungan dan aliran tunai yang baik, dapat memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan memelihara kebajikan. Usaha transformasi ekonomi negara perlu memastikan peranan sektor ketiga mendapat lebih galakan. Usaha seperti menjalin kesefahaman antara sektor awam, swasta dan sektor ketiga dapat menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik di mana setiap sektor saling melengkapi.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011



ISU SBPA : TANGANI SEGERA ISU BANTAHAN

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya di Presint Diplomatik pada 16 Disember 2011, pegawai pusat khidmat berkenaan menerima kedatangan tiga orang penjawat awam. Tidak seperti mana kebiasaannya didatangi isu-isu kecil, kali ini ia didatangkan tentang soal bantahan terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Salah seorang daripadanya berkata, jika dahulu penilaian kenaikan gaji berdasarkan prestasi, menerusi SBPA nanti, ia akan ditentukan oleh cadangan daripada bos mereka. "Kalau menerusi cadangan, dapatkah kami kenaikan gaji yang lebih baik, apa jaminan kepada kakitangan sokongan," katanya. Isu mengenai bantahan terhadap skim SBPA ini perlu diselesaikan segera. Ini memandangkan hampir 90 peratus daripada jumlah pengundi di Putrajaya terdiri daripada penjawat awam. Daripada keseluruhan 90 peratus itu pula, 90 peratus daripadanya adalah kumpulan sokongan. Kerajaan sejak kebelakangan ini telah bermula dengan baik dalam langkah-langkahnya yang cenderung memenangkan pihak rakyat dalam soal yang berupa kepentingan untuk rakyat.

Apatah lagi kepada penjawat awam. Imbuhan RM100 kepada pelajar sekolah sudah disalurkan, bantuan RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun sedang diusahakan. Kemungkinan masih ramai yang tidak memahami terma yang terkandung dalam SBPA ini. Dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga membantah skim ini kerana menurut Presidennya, Datuk Omar Osman banyak perkara yang tidak jelas dalam tawaran berkenaan. Kesatuan tersebut yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mahukan rundingan lanjut diadakan bagi membincangkan mengenai skim berkenaan. SPBA diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300. Dalam pengamatan kerajaan, skim ini baik untuk penjawat awam tetapi di sebelah pihak ia barangkali ada terma yang tidak bersesuaian.

Sewajarnya tidak ada unsur paksaan untuk penjawat awam menandatangani surat tawaran skim SBPA yang ditutup 30 Disember ini. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika mengulas mengenai tawaran skim itu baru-baru ini menyatakan, hanya penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan seperti sakit atau berada di luar negara. Dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan terhadap skim tersebut. Apa pun, penulis berharap pertemuan Exco-exco CUEPACS dengan Perdana Menteri pada tengah hari 22 Disember ini bagi berunding mengenai bantahan skim SBPA tersebut, akan ada situasi 'menang-menang'.

Sila beri komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011