Dr Ibrahim Komoo
Pengarah,
Institut Kajian Bencana Alam Asia Tenggara,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Baru-baru ini berlangsung Sidang Kemuncak Pertama mengenai Peranan Institusi Penyelidikan dalam Mengurangkan Risiko Bencana Alam di Disaster Prevention Research Institute (DPRI), Universiti Kyoto, Jepun. Selain Malaysia, persidangan dihadiri lebih 25 pengarah institusi penyelidikan itu turut dihadiri wakil dari Jepun, China, Indonesia, Amerika Syarikat, United King-dom, Kanada, Mesir dan Vietnam. Mereka berkumpul dan mencari pendekatan baru penyelidikan kerana merasakan cara dan pendekatan penyelidikan kini masih kurang berkesan mengurangkan risiko bencana. Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Landslides in Malaysia yang mana saya menyatakan dalam 100 tahun terakhir ini, lebih 600 orang terbunuh akibat bencana tanah runtuh. Seorang wakil dari China menyatakan: “Seramai 600 orang saja, ... negara anda sangat bernasib baik”. Di China, satu bencana tanah runtuh pada 2009 saja mengorbankan 1,950 orang. Sebenarnya, Malaysia hampir bebas daripada bencana alam, selain banjir dan tanah runtuh berskala kecil daripada perspektif global, kita hampir bebas daripada bencana gunung berapi, gempa bumi dan tsunami.
Persidangan kemuncak pertama antara institusi penyelidikan berkaitan bencana alam mempunyai makna besar dalam konteks pengurangan risiko bencana. Usaha penyelidikan selama ini masih belum berjaya mengurangkan kadar kematian dan kemusnahan harta benda. Peristiwa bencana terus meningkat dan angka kematian akibat bencana terus bertambah. Walaupun kami menyedari antara sebab utama peningkatan peristiwa bencana berkait rapat dengan penambahan penduduk dunia dan proses perbandaran, di mana lebih banyak tempat berisiko tinggi dibangunkan untuk penempatan. Kami juga dapat melihat negara di Asia, terutama negara sedang membangun adalah kawasan paling teruk dilanda bencana. Lebih menyedihkan, kesedaran mengenai risiko di kalangan masyarakat awam masih rendah, dan pengetahuan sains masih belum mampu dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana. Sidang kemuncak ini berhasrat mencari paradigma baru bagi mengurangkan risiko bencana. Ini suatu yang amat sukar dilakukan sekiranya set minda ahli akademik masih tertumpu kepada meningkatkan penyelidikan dalam kepakaran masing-masing. Perbincangan dan hubungan kerjasama antara pelbagai institusi penyelidikan yang berkaitan bencana boleh membuka ruang mencari paradigma baru ke arah pengurangan risiko bencana.
Dalam konteks ini, kami telah mengenal pasti isu dan beberapa pendekatan antaranya: Banyak ilmu dan teknologi telah terkumpul mengenai pendekatan pengurangan risiko bencana, tetapi terlalu sedikit disalurkan kepada pengamal pengurangan bencana. Agensi pelaksana dan masyarakat masih belum terdedah dengan pengetahuan baru yang telah dikembangkan di makmal penyelidikan. Keadaan ini tidak saja berlaku di negara sedang membangun, tetapi turut dirasai negara maju. Oleh itu, ahli akademik disarankan mengubah set minda tradisi yang mengutamakan penyelidikan kepada kepentingan ‘pemindahan pengetahuan’; Pengalaman beberapa bencana besar yang berlaku sejak tragedi tsunami 2004, mengajar ilmuwan betapa kami masih jahil mengenai peristiwa bencana yang ekstrem. Untuk bencana yang sangat besar, dan mungkin berlaku hanya sekali dalam 1,000 tahun, adalah bencana yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa seperti ini lazimnya melangkaui keupayaan manusia menyediakan mitigasi, di luar ingatan sejarah tamadun manusia, dan merentas sempadan negara. Saintis perlu meneroka ilmu baru mengenai bencana ekstrem begini dan mula memperkenalkan kepada masyarakat pendekatan adaptasi bagi mengurangkan risiko bencana; dan
Malaysia berada di tengah-tengah lingkaran api Asia Tenggara – di barat Sumatera, selatan Jawa, dan di timur kepulauan Filipina. Daerah ini adalah kawasan paling aktif dan berisiko tinggi. Dalam keadaan bencana yang ekstrem, kita akan terbabit sama – kita adalah komuniti Asia Tenggara yang akan berdepan dengan risikonya. Oleh itu, sama ada pada peringkat kerajaan, agensi awam atau ilmuwan di universiti, negara di Asia Tenggara perlu bekerjasama, saling membantu, dan membangun kekuatan serta tradisi tersendiri untuk mengurangkan risiko bencana. Pada peringkat negara, pelbagai agensi awam dan institusi penyelidikan universiti perlu mewujudkan rangkaian pengurusan bencana alam dan menjadikan komponen pengurungan risiko bencana sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara. Kita seharusnya sudah boleh menilai berapa tinggikah risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda disebabkan bencana alam, serta menetapkan sasaran risiko yang boleh diterima. Dasar, strategi dan landasan untuk bertindak perlu dibangunkan sekiranya berhasrat menjadi pemimpin di rantau ini. Jika ditinjau daripada perspektif sains, teknologi dan pengetahuan mengenai bencana, Malaysia sudah berupaya menerajui gagasan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Tenggara. Apakah kita mempunyai iltizam politik dan kepimpinan, soalan yang masih perlu dijawab.
Sila beri komen anda. Terima kasih.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan