Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dilantik oleh Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, 14 Oktober lalu. Pemilihan untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2011, menjadikan baginda, Raja yang pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua. Baginda menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan dari Terengganu yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud. Baginda dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949 pada usia 21 tahun ketika masih berada di United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran. Kemudian ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 20 Februari 1959. Pada 21 September 1965 Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-4 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.
Pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 untuk tempoh dari 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975. Pada 13 Disember 2006, baginda sekali lagi dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Halim juga menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan iaitu pada 26 Januari hingga 26 Februari 2010 berikutan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menjalani rawatan fisioterapi di Jerman. Tuanku Abdul Halim memulakan zaman persekolahan rendah di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an. Baginda pernah dilantik menjadi Kolonel Yang Dipertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5.
Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga menjadi Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Antara hobi Tuanku Abdul Halim ialah fotografi dan mengumpul burung eksotik di istana baginda, membaca, bersukan dan muzik. Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun yang diputerikan pada 15 Julai 1953, di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan adalah anak kelima daripada tujuh beradik. Tuanku Haminah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak sebelum ke Sekolah Menengah Bagan Serai dan aktif dalam bidang sukan termasuk skuasy, golf, tenis dan badminton serta meminati muzik. Tuanku Haminah bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975 dan dianugerah gelaran Sultanah Kedah pada 9 Jan, 2004, dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar selepas kemangkatan Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan