JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Disember 2011

ISU UMUM : PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL 'SILVER NITRATE' PADA PRU KE-13


Dakwat kekal 'silver nitrate' akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 kelak, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof. Abdul Aziz berkata dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, tetapi tidak digunakan ketika itu selepas keberkesanan kaedah itu dipersoalkan pelbagai pihak. Beliau berkata dakwat kekal yang mengandungi 'silver nitrate' itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Dis untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam. Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum, katanya. Oleh kerana ia berlainan sumber (daripada yang sepatutnya digunakan pada 2008), maka perlu melalui proses semula seperti dulu. Ia bukan dakwat yang sama. Dakwat ini mengandungi logam silver nitrate apabila dicalit dijari (di kuku) ia akan diserap dalam kuku kulit. Lagi tinggi peratus silver nitrate, lagi lama ia kekal di jari. Abdul Aziz berkata penggunaan dakwaat kekal adalah antara cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pengerusi SPR itu bagaimanapun enggan memaklumkan sumber negara dakwat kekal itu diimport, warna dakwat itu dan kuantiti yang akan dimport kelak. Katanya semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal itu dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi. "Saya tidak mahu sebut negara mana ia diperoleh bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini daripada segi keselamatan dan sebagainya. Ia boleh diperoleh daripada berbagai-bagai negara. Banyak negara mengeluarkan dakwat kekal. Dakwat ini telah digunakan dalam pilihan raya-pilihan raya di negara berkenaan dan di negara lain," katanya. Abdul Aziz berkata dakwat kekal silver nitrate tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala dakwat kekal siver nitrate empat peratus bagi pengundian biasa. Bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, Abdul Aziz berkata SPR buat julung kali memperkenalkan 'pengundian awal' iaitu tiga atau empat hari sebelum hari pengundian khusus bagi anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis (tidak termasuk pasangan) dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata pengundian awal, yang bertujuan menambah baik lagi proses pengundian di Malaysia, sama seperti undi biasa tetapi ia diawalkan dua tiga hari sebelum hari pengundian sebenar. "Saya tidak kata undi pos akan dihapuskan. Tetapi dalam keadaan tertentu, undi awal ini hanya akan digunakan kepada kategori pemilih yang layak dan wajib mengundi. Sebab mereka boleh bertugas pada hari pilihan raya," katanya. Katanya bagi anggota dalam kategori berkenaan yang tidak dapat hadir pada pengundian awal kerana urusan tugas, mereka masih boleh mengundi melalui undi pos tetapi terlebih dahulu perlu memohon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Abdul Aziz berkata SPR juga sedang membincangkan status dan kaedah tertentu bagi memastikan petugas media dapat melaksanakan tanggungjawab mengundi mereka. Menurut beliau, SPR turut memutuskan untuk tidak lagi membenarkan calon menarik diri atau membuat bantahan selepas proses pencalonan selesai. "Dulu selepas penamaan calon boleh tarik diri, sekarang tak boleh lagi. Tidak boleh buat bantahan dalam satu jam atau tarik diri dalam masa tiga hari.

Kalau dah buat pencalonan. Itu sahaja, kecuali Pegawai Pengurus (Pilihan Raya)mendapati calon berkenaan tidak lagi di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan.Tidak lagi ada bantahan, tidak boleh tarik diri lagi," katanya. Dengan kaedah baru ini, katanya SPR akan mempunyai tempoh masa secukupnya untuk mencetak kertas undi dan seterusnya diedarkan ke kawasan-kawasan tertentu. Abdul Aziz berkata SPR juga memutuskan untuk mempamerkan daftar pemilih 14 hari berbanding tujuh hari sebelum ini. Katanya SPR juga membenarkan Orang Kurang Upaya (OKU) ditemani oleh orang yang dipercayai selain ahli keluarga dan saudara-mara terdekat namun mereka perlu berumur 21 tahun ke atas dan warga negara Malaysia. "Semua ini dipersetujui jawatankuasa tersebut dan ia perlu dipinda di bawah Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981. Selain itu SPR juga sedang mengkaji perkara-perkara tertentu, kuasa undang-undang kepada SPR supaya diberikan lebih kuasa dan tiada sangat bergantung kepada orang lain.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
19 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: