30 Oktober 2011

ISU SOSIAL : BERKERJA SAMBILAN MAMPU SUNTIK NILAI POSITIF DALAM DIRI PELAJAR YANG TERLIBAT

Oleh Ruhaiza Rusmin


GIANT'S CAUSEWAY, IRELAND UTARA

Diukur dari segi usia, mereka masih muda dan belum bnyak pengalaman di dada namun sikap berani mencuba serta meneroka dunia pekerjaan sambilan cukup membanggakan. Biarpun menghadapi pelbagai cabaran, mereka tetap optimis, tidak mudah mengalah selain bersemangat membuktikan keupayaan kepada masyarakat biarpun tidak ramai bersetuju kerana berang­gapan ia boleh mengganggu rutin pembelajaran. Apatah lagi pengajian peringkat universiti rumit kerana tertakluk pada syarat pencapaian akademik, juga segala aktiviti yang perlu direncana dengan baik bagi memastikan berjaya menamat­kan pengajian. Benarkah mereka yang ingin belajar berdikari mencari poket sendiri tidak boleh berjaya? Mungkin ia pengalaman paling berharga sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar selain tidak menyusahkan orang lain bagi memenuhi keperluan kewangan. Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Management and Science University (MSU), Lina Hazwani Ainol Kamal berkata, dia lebih senang berdikari mencari duit bagi menampung keperluan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajiannya selain berpendapat, ia pengalaman berharga yang sukar diganti.

Menurutnya, keinginannya untuk bekerja sambilan juga didorong rasa tanggungjawab tidak mahu menyusahkan keluarga kerana sedar mereka masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu dilunaskan. “Keputusan bekerja sambilan datang daripada kesedaran sendiri kerana saya beranggapan tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Malah ia juga satu cabaran  kepada diri untuk melihat sejauh mana keupayaan menangani masalah kehidupan. “Juga atas kesedaran untuk tidak terlalu membebankan ibu bapa membiayai pengajian biarpun selalu menegaskan itu tanggungjawab mereka. Apa salahnya saya berusaha sendiri mencari duit poket asalkan tidak mengganggu pengajian. “Malah, saya puas menikmati duit diperoleh itu dan bebas membelanjakannya tanpa rasa bersalah kerana ia hasil titik peluh sendiri,” katanya. Pembabitan mahasiswa dalam pekerjaan sambilan bukan baru terutama bagi menampung keperluan pengajian dan peribadi yang semakin meningkat. Biarpun ada beranggapan ia bakal menjadikan mahasiswa letih, kurang tumpuan, mula culas ke kuliah serta melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, mereka kurang bersetuju biarpun tidak menafikan ada yang tersasar daripada fokus sebenar.

Dia yang bekerja sebagai model pakaian Muslimah secara sambilan beranggapan, segala keputusan atau perancangan terletak pada diri sendiri bagi mencorakkan perjalanan masa depan. “Dalam konteks ini, diri sendiri yang menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan manakala orang lain hanya boleh memberi nasihat sebagai panduan. “Biarpun tarikan alam pekerjaan kuat kerana sudah berupaya menjana pendapatan sendiri, ia tidak seharusnya menjadi penyebab mahasiswa terlupa pada pelajaran, malah perlu sentiasa mengingatkan diri itu hanya kerjaya sementara. “Dengan cara itu, sudah tentu diri sendiri sentiasa berwaspada dan tahu apakah keutamaan yang perlu dilaksanakan sebelum menceburi alam kerjaya sebenar yang lebih menjanjikan masa depan cerah,” katanya mengakui cabaran dihadapi bukan saja di tempat kerja, malah rakan sebaya. “Ada suka, begitu juga sebaliknya malah lebih teruk melabelkan kami sebagai pelajar yang akan tercicir dalam pengajian hingga ada kalanya mengguris hati. Bagaimanapun, saya tetap optimis dan mengambil pendekatan berdiam diri,”  katanya.

Ditanya mengapa bidang peragaan menjadi pilihan, dia berkata, semuanya berlaku secara tiba-tiba apabila seorang jurugambar mempelawanya menjalani uji bakat, sekali gus memulakan langkah pertama menjadi model. Menurutnya, peringkat permulaan berasa kekok, namun selepas hampir setahun, dia semakin berani dan lebih berkeyakinan selain mampu memperbaiki kemahiran komunikasi. “Sebelum ini saya pemalu, kurang bercakap dan tidak berkeyakinan, namun kini semuanya berubah. Ia peningkatan drastik hasil pendedahan dan pergaulan sepanjang bekerja. “Sebagai pelajar, aspek ini sangat penting dalam usaha membentuk personaliti positif sebelum menceburi bidang pekerjaan sepenuh masa. Saya menganggapnya sebagai satu aset berguna dan bonus sukar diperoleh,” katanya. Pada masa sama, menggunakan peluang di depan mata untuk meluaskan lagi pergaulan dengan masyarakat sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan sebenar. “Biarpun kerjaya sambilan, saya mampu meraih peluang yang sukar diperoleh pelajar lain terutama bertemu pelbagai lapisan dan ragam masyarakat. Ini secara tidak langsung menjadi satu proses pendidikan untuk mematangkan diri.

“Ia juga sebagai persiapan memperkukuhkan lagi kemahiran sedia ada. Bagi saya, dengan bekerja sambilan, banyak ilmu dan pengalaman diperoleh, bukan duit semata-mata,” katanya. Bagi Tengku Ahmad Hazrin Tengku Hassan, keputusannya membuka perniagaan sendiri sebagai langkah permulaan menceburi bidang keusahawanan kelak selain ingin merasai nikmat ‘memegang’ duit sendiri. “Senario pekerjaan masa kini yang sukar diduga memerlukan saya berfikir lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri biarpun secara kecil-kecilan. “Ia juga langkah awal mempersiapkan diri dengan pengalaman dan ilmu sebelum menceburi perniagaan sepenuh masa sebaik tamat pengajian. Saya lakukannya atas dasar minat serta ke­inginan mempunyai duit poket sendiri,” katanya. Mendapat sokongan penuh keluarga, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik ini mengakui kesukaran memperoleh kepercayaan dan memuaskan hati pelanggan adalah cabaran utama memandangkan masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan. Katanya, pelanggan banyak mempertikaikan hasil ciptaannya selain suka mengambil kesempatan kerana beranggapan dia masih belum berpe­ngalaman dengan ‘permainan’ dunia perniagaan.

“Saya akui, kadangkala perit menghadapi kerenah pelanggan, namun sentiasa berfikiran positif ia adalah pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh melalui pembacaan. “Sekurang-kurangnya saya sudah ada ‘ilmu’ sebelum menceburi bidang perniagaan sebenar selain mendidik diri menjadi lebih sabar, berhemah dan berdisiplin. “Bekerja sambilan banyak menyuntik nilai positif dalam diri,” katanya. Ditanya bagaimana membelanjakan pendapatan diterimanya, dia berkata, sebahagian besarnya disimpan sebagai persediaan modal dan selebihnya untuk membeli keperluan peribadi. “ Saya tidak boros kerana sedar susah memperoleh wang dan menyimpannya demi masa depan. Bagaimanapun, sebagai penghargaan pada diri, turut membelanjakannya bagi membeli barangan dihajati. “Bekerja sendiri biarpun secara sambilan memberi kepuasan. Lebih membanggakan, saya tidak menyu­sahkan orang lain serta mampu membeli barang diingini dengan titik peluh sendiri,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
24 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : MEMBELA NASIB MASYARAKAT YANG TINGGAL DI BANDAR

Oleh Mior Kamarul Shahid


KAWASAN YANG DILINDUNGI, KEPULAUAN PHOENIX, KIRIBATI, TERLETAK DI ANTARA HAWAII DAN FIJI

Banyak perkara baru diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet Negara 2012 yang terus menjadi bahan perbualan harian. Tidak hairanlah ada yang berpendapat ia bajet pilihan raya walaupun mereka tahu usaha membantu rakyat adalah agenda berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN). Ramai akui bajet tahun depan lebih menyeluruh kerana ia meliputi setiap sektor masyarakat dari luar bandar hingga ke bandar, dari orang miskin meliputi warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, orang berpencen dan orang kurang upaya hinggalah kepada golongan miskin dan kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Najib mungkin melihat masanya sudah tiba untuk kerajaan menilai semula kemudahan dan bantuan yang diberikan kepada setiap golongan rakyat supaya tidak ada satu pun kumpulan yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Tanpa mengabaikan nasib rakyat di luar bandar, kerajaan juga tidak alpa terhadap kehidupan rakyat di bandar tanpa mengira kaum. Hari ini rakyat bandar mungkin memerlukan lebih perhatian berikutan perubahan struktur masyarakat kesan penghijrahan.

Analogi mudah, kawasan bandar terus berkembang dengan bilangan penduduk yang meningkat sedangkan penduduk luar bandar kian berkurangan kerana golongan muda mencari peluang pekerjaan di bandar-bandar. Sebelum ini, dalam setiap perancangan pembangunan kerajaan, penduduk luar bandar sering menerima bantuan kerajaan seperti membina rumah, kemudahan perubatan, bekalan air, elektrik, jalan raya dan sebagainya. Dalam bajet tahun depan, Najib yang juga Menteri Kewangan menyediakan keperluan rakyat di bandar-bandar yang kian mendesak dan memerlukan pembelaan. Umum menyedari tidak semua penduduk bandar hidup senang. Di bandar, segala-galanya memerlukan wang - perumahan, pengangkutan, persekolahan anak, pembantu rumah, perubatan dan sebagainya, di tambah pula dengan kos sara hidup yang meningkat. Golongan ini perlu dibantu agar mereka tidak terus menerus menghadapi kesempitan hidup. Bajet 2012 dilihat sebagai memulakan pendekatan baru untuk membantu penduduk bandar bagi meringankan beban mereka.

Dalam Bajet 2012, antara lain kerajaan memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga berpatutan. Dengan bayaran maksimum RM2, seseorang boleh bersarapan pagi dan RM4 untuk makan tengah hari. Dengar cerita, bukan pelanggan saja yang Restoran 1Malaysia dikunjungi ramai pelanggan, tetapi bilangan mereka yang berminat menjadi peniaga, juga ramai. Ini sebagai tambahan kepada Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga rendah. Memiliki rumah sendiri menjadi impian setiap rakyat. Di bandar keperluan memiliki rumah kian mendesak. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, kerajaan menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA. PR1MA ialah agensi tunggal untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA berperanan sebagai pemaju projek di tapak pemilikan kerajaan. Mulai sekarang kita akan dapat melihat satu demi satu projek PR1MA dibina di bandar-bandar.

Untuk memudahkan penduduk, projek perumahan ini akan dibina di kawasan berhampiran stesen MRT, LRT bagi memudahkan pergerakan mereka menggunakan pengangkutan awam dengan kos yang lebih rendah. Di samping itu, PR1MA turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan projek-projek perumahan. Pemilikan rumah PR1MA ditentukan dengan adil melalui undian terbuka. Bagi kemudahan kesihatan di bandar, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan sebagainya.

SUMBER
BERITA MINGGU
30 OKTOBER 2011


ULANGKAJI MENJELANG STPM 2011






29 Oktober 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU LONJAK IMEJ IPTA


HOTEL GARAM DI BOLIVIA

Kepemimpinan universiti awam berpendapat Pelan Tindakan Bagi Memartabatkan Bahasa Melayu tidak bercanggah dengan hasrat mereka menjadikan institusi masing-masing bertaraf antarabangsa.  Mereka beranggapan dasar itu akan menambah jumlah ilmu dalam bahasa kebangsaan terutama karya asli yang bertaraf dunia tetapi berharap universiti diberi kebebasan untuk menentukan kriteria wajib bagi kenaikan pangkat. Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Suhadi, berkata syarat kenaikan pangkat berdasarkan karya dalam bahasa Melayu memang wujud dalam sistem universiti. Katanya, karya akademik khususnya buku tulisan asli dalam apa saja bahasa memang sudah diambil kira untuk kenaikan pangkat, asalkan penulisan berkenaan bertaraf dunia yang melambangkan kesarjanaan.  Namun, saya kira ini bukan syarat wajib naik pangkat dan keluwesan diberi kepada universiti untuk menentukan sama ada ingin dijadikan syarat wajib, bilangan atau kuantiti penerbitan serta kualiti penerbitan yang membolehkan kakitangan akademik. Saya tidak nampak apa-apa percanggahan. Ini tidak bermakna kita menurunkan kriteria lain khususnya penerbitan ilmiah seperti ISI, paten, hak cipta, penjanaan pendapatan dan kesarjanaan lain, katanya. Beliau berkata demikian mengulas langkah Kementerian Pengajian Tinggi melancarkan pelan berkenaan kelmarin yang mempunyai empat strategi iaitu mengukuhkan bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran; dalam penyelidikan dan penerbitan; me-ningkatkan pengiktirafan akademik bahasa Melayu dalam disiplin ilmu serta meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 OKTOBER 2011



NOTA FONOLOGI




ISU BAHASA : PEMANSUHAN PPSMI ASPIRASI NASIONAL


PITONS, ST. LUCIA 

Keputusan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dilakukan semata-mata atas sebab pencapaian lemah pelajar, khususnya di luar bandar. Sesungguhnya ada banyak sebab lain yang lebih asas dan penting untuk tindakan begitu diambil. Sebenarnya pelaksanaan PPSMI berlaku dalam keadaan yang luar biasa. Kewibawaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa ilmu, disambar untuk diberikan secara tergesa-gesa kepada bahasa Inggeris. Ia dikatakan sedemikian kerana tiada sebarang perbincangan dan rundingan diadakan sebelum dilaksanakan pada 2003. Ini berlainan sekali apabila PPSMI dimansuhkan. Ia didebatkan oleh pelbagai pihak melalui beberapa siri rundingan meja bulat pada 2008 dan 2009. Sehubungan ini, pemansuhannya dilakukan dengan penuh tertib, lalu keputusannya perlu dihormati. Pemansuhan yang diumumkan pada Julai 2009, sesungguhnya adalah keputusan yang memperlihat pertimbangan bijak.

Ia mengambil kira beberapa hala tuju negara yang penting agar pembentukan negara bangsa Malaysia, selain pembangunan negara Malaysia itu sendiri, berlaku dalam acuan kita sendiri, seperti yang diuar-uarkan dalam Wawasan 2020.  Pemansuhan PPSMI sebenarnya berasaskan kedua-dua pertimbangan pendidikan dan aspirasi nasional. Sehubungan ini, keputusan untuk kembali kepada keadaan asal, yakni menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk pendidikan dua mata pelajaran ini, dilakukan untuk kebaikan negara.  Ia merangkumi kedua-dua nasionalisme dan nasionisme. Dalam konteks nasionalisme, pemansuhan PPSMI antaranya adalah untuk memupuk perasaan megah dan cinta yang sasa sifatnya kepada negara. Ini dilakukan melalui perlambangan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.  Manakala bagi nasionisme, kemakmuran rakyat dan kemajuan negara dijanakan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini bermaksud ia menjana pembangunan sosial yang tinggi dan maju tahapnya, selain menjadikan Malaysia negara moden.  


Pihak yang cuba meraihkan sokongan sehingga ke luar negara agar PPSMI diteruskan kerana ramai pelajar di Lembah Klang dan juga di banyak bandar dan pekan lain di seluruh negara, yang tidak mempunyai masalah dengannya, menegaskan bahawa pelajar ini tidak boleh diketepikan hak linguistik mereka untuk memperoleh ilmu dalam bahasa Inggeris. Bagi pelajar di luar bandar yang rata-ratanya tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik melalui PPSMI, pihak ini mencadangkan mereka telah diberikan hak linguistik mereka melalui pemansuhan ini, untuk terus memperoleh ilmu dalam bahasa ibunda masing-masing, termasuklah bahasa Melayu bagi pelajar Melayu. Di Malaysia, bahasa Mandarin dan Tamil adalah bahasa sukuan. Bahasa Melayu, walaupun bahasa ibunda kaum Melayu, selepas dinobatkan sebagai bahasa negara, tidak boleh sekali-kali disamakan tarafnya dengan bahasa sukuan, walaupun dalam konteks PPSMI, apatah lagi konteks nasional. Sehubungan ini, di Malaysia, bahasa Melayu adalah pertama-tamanya bahasa negara, dan itulah syiarnya!  Sebagai bahasa kebangsaan, ia adalah bahasa semua kaum di Malaysia. 


Ia mewakili seluruh pelosok negara dan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang budaya, dan tidak hanya untuk kaum Melayu. Sebagai bahasa untuk entiti politik, sosial dan budaya yang namanya Malaysia, bahasa Melayu adalah lambang negara yang perlu disanjungi oleh semua rakyat pada setiap masa.  Lebih penting lagi sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah bahasa pribumi Malaysia. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk membangkitkan perasaan kekitaan sesama rakyat. Dengan ini, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan, adalah wahana pemersatuan di Malaysia. Dalam konteks ini, ia boleh dipanggil bahasa Malaysia.  Atas landasan ini saja pun, bahasa Melayu adalah lebih daripada layak, malah sahih sekali sebagai pilihan tepat lagi pragmatik untuk dijadikan bahasa pengantar utama, dan satu-satunya dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk semua peringkat pengajian, termasuklah di universiti. Sehubungan ini, pemilihan bahasa Melayu sebagai wahana penting dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan Malaysia, juga adalah keputusan tepat dalam usaha kita membina jati diri linguistik kebangsaan.

Melaluinya, jati diri ini bukan saja amat jitu sifatnya. Tetapi yang lebih penting ia bersifat budaya pula, iaitu ia memperlihat keperibadian negara ini yang penduduk asal dan majoritinya adalah Melayu. Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah dan perlu diyakini sebagai alat yang mampu memajukan rakyat dan negara Malaysia, sama ada dalam bentuk kebendaan, kesohoran atau status sosial. Sebenarnya, ia adalah bahasa yang mendukung fungsi penting, untuk memartabatkan rakyat dan negara kita di rantau ini, dan juga di persada antarabangsa, melalui kejayaan yang tinggi lagi canggih sifatnya. Mendidik anak bangsa dalam bahasa negara sendiri adalah perkara lumrah, walaupun pada zaman moden ini. Ramai tokoh dunia muncul daripada negara yang menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya. Sehubungan ini, bahasa Inggeris tidak dicipta Tuhan sebagai satu-satunya alat yang hanya boleh memajukan umat di dunia ini. Meskipun begitu, bahasa adalah hanya wahana dalam keseluruhan ketamadunan manusia. Sungguhpun penting, ada banyak lagi pertimbangan yang sama tinggi nilainya. Antaranya adalah aspirasi nasional untuk berjaya dalam acuan sendiri.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
29 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : PERPADUAN ANTARA JALAN PENYELESAIAN

Saranan Salleh


VIRGIN GORDA, 
PULAU VIRGIN BRITISH

Dalam suatu perbincangan tentang perpaduan baru-baru ini beberapa perkara boleh dirumuskan untuk menyelesaikan masalah perpaduan yang kini di peringkat genting. Pertama apabila pihak telah menambah suara mereka di Parlimen banyak perkara yang dibangkitkan yang bertujuan mempersoalkan perkara yang sudah dianggap sebagai asas, kedudukan raja-raja, institusi-institusi seperti kehakiman, agama dan apa saja yang boleh menimbulkan kesangsian di kalangan masyarakat. Strategi utama mereka ialah pecahkan dan perintah. Apabila rakyat telah ditaburkan dengan pelbagai kesangsian banyak perkara akan dipersoalkan. Inilah strategi pihak pembangkang. Banyak janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan juga di dalam buku jingga tidak pun ditunaikan. Malahan di Sabah dan Sarawak perkara asas tentang bersama dengan Malaysia pun dibangkitkan mempersoalkan kenapa Sabah dan Sarawak tidak boleh keluar daripada Malaysia. Inilah strategi yang bakal berterusan di kalangan mereka yang akan menjauhkan lagi keinginan untuk perpaduan.

Lihat saja perpaduan di kalangan orang Melayu hari ini. Tentu sekali di peringkat yang paling rendah sekali. UMNO dan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan bersatu. Ini telah disuarakan berkali-kali. Jadi kita kenalah lupakan yang ketiga cabang yang terdapat orang Melayu ini untuk bersatu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan sepuluh tahun lagi orang Melayu akan hilang kuasa. Apa yang boleh mengejutkan orang Melayu supaya sedar untuk bersatu. Buang pemimpin yang tidak ada ciri-ciri kepimpinan rakyat. Itu saja. Kedua, perlu ada satu aliran pendidikan sahaja dan bukan dua tiga aliran seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan lain-lain. Dengan adanya satu aliran ini maka mudahlah integrasi di kalangan berbilang bangsa dilakukan. Pada masa ini anak Cina pergi sekolah Cina balik menonton rancangan televisyen Cina dan bergaul sesama mereka. Mungkin ada seorang dua Melayu yang pergi sekolah Cina tetapi integrasi bangsa tidak dapat berlaku. Perkhidmatan awam juga perlu dibuka kepada bangsa lain selain orang Melayu supaya mereka pun merasai boleh menyumbang ke arah pembangunan negara.

Begitu juga perkhidmatan seperti polis dan tentera. Di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung banyak interaksi berlaku tetapi kurang integrasi. Jabatan-jabatan Semenanjung perlu bertukar-tukar pandangan dengan jabatan di Sabah dan Sarawak. Pendidikan perlukan rombakan dari segi bukan input tetapi guru-guru yang bakal terbabit dengan pendidikan. Suatu aspek yang perlu dilihat ialah unsur isi atau kandungan dan proses. Pelajar diberikan isi daripada sekolah rendah sehingga peringkat pengajian tinggi dan lazimnya isi ini dikeluarkan balik bila masa peperiksaan. Tidak ada unsur-unsur yang menggerakkan otak sebelah kanan supaya aspek kreativiti dan inovasi timbul. Kita perlu memperkenalkan pengajaran proses iaitu proses membuat keputusan. Setiap hari kita membuat keputusan dengan tidak disedari tanpa sebarang struktur apabila berhadapan dengan masalah dan isu yang lebih penting. Penguasaan unsur proses ini membolehkan sesaorang itu bertanyakan soalan-soalan yang penting bila berdepan dengan sesuatu isu. Tony Buzan seorang pakar dalam bidang pemetaan minda menunjukkan bagaimana suatu aspek proses ini membangkitkan kreativiti di kalangan pelajar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 OKTOBER 2011



NOTA FONOLOGI 3





28 Oktober 2011

ISU EKONOMI : GUNAKAN KUASA PENGGUNA KAWAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


GLASIER MATANUSKA, ALASKA

Sungguh, memang benar berlaku kenaikan harga ayam. Ia terjadi di beberapa negeri ket ika ini. Malah bukan daging ayam sahaja. Produk-produk lain turut terpalit sama, antaranya susu pekat manis, Nestle dan Milo. Maka tidak hairanlah setiap waktu rehat tengah hari atau selepas waktu pejabat sekitar pukul 5 petang, Aras G Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya yang menempatkan Kedai Rakyat 1Malaysia di situ diserbu orang - sebahagian besarnya penjawat awam. Yang 'menyerbu'nya bukan semuanya daripada kakitangan sokongan pun (kerani atau budak pejabat) tetapi yang berkereta mewah dari Camry dan Mercedez Benz. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah lepak di situ waktu tersebut. Mana tidaknya, produk kicap kipas udang sahaja anda boleh jimat hampir RM2 berbanding membeli di luar. Itu belum lagi barang makanan lain. Permintaan terhadap produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia memang cukup hangat sehinggakan Mydin yang berperanan sebagai pengedar barangan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bukan setakat itu sahaja, Mydin juga dikatakan masih berusaha mencari lebih banyak setor untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia yang kualitinya sama dan terjamin meskipun tidak berjenama dengan berlogokan 1Malaysia. Berbalik kepada kenaikan harga ayam yang menjadi sebab Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang, Utusan Malaysia difahamkan ia turut mendapat sokongan daripada kementerian. Meskipun kementerian berkenaan lebih gemar menggunakan istilah 'kuasa pengguna harus ditunjukkan untuk menggalakkan perniagaan beretika' manakala CUEPACS yang kini disokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Perkasa terarah kepada tindakan protes dan boikot, nadanya tetap sama - demi kepentingan pengguna. Sebenarnya, kenaikan harga ini dipantau oleh Majlis Harga Barang Negara (MHBN). Data dikumpul setiap minggu. Seorang jurucakap MHBN memberitahu Utusan Malaysia petang semalam, kenaikan harga ayam tersebut di luar skim kawalan musim perayaan memang berlaku.

"Barang-barang kawalan bagaimanapun tidak naik tetapi untuk barangan yang dikawal pada musim perayaan, kenaikan biasanya berlaku selepas ia di luar tempoh skim tersebut. "Untuk isu semasa ini seperti mana dituntut oleh CUEPACS, kita mengesahkan memang ada kenaikan harga ayam. Tetapi kenaikan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri antaranya mencecah RM9.30 sekilogram untuk ayam standard berbanding RM7.30 yang ditetapkan," menurut jurucakap tersebut. Seorang pegawai KPDNKK pula memberitahu akhbar ini, peniaga atau pihak tertentu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang setelah kerajaan memberikan subsidi. Harga tidak boleh dinaikkan walaupun harga komoditi barang mentah yang diimport adalah tinggi kerana kadar perbezaannya ditanggung kerajaan. Yang pasti, sesuatu perlu diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung kenaikan harga ayam. Di Johor pada Jun lalu, masalah anak ayam berpenyakit dikatakan menjadi antara faktor menyebabkan bekalan daging ayam berkurangan di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan harga terlalu tinggi sehingga menghampiri RM9 sekilogram.

Juga, punca kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik di ladang pembekal serta penternak dan pengurangan subsidi diesel untuk pengangkutan lori membawa ayam. Tetapi lebih ramai yang merasakan ia lebih kepada sikap tamak pembekal yang mahu berbuat demikian menjelang musim cuti sekolah dan Hari Raya Haji (di mana ayam mendapat permintaan tinggi). Tambah lagi, seperti mana kata CUEPACS, kenaikan harga seperti satu fenomena apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet tahunan. Ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang walaupun kakitangan awam belum menerima imbuhan tersebut. Ketika ini kerajaan sudah membuat apa sahaja untuk membela nasib rakyat yang terus berhadapan dengan kenaikan harga barangan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Antaranya mengambil langkah proaktif mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain. Kawalan harga ini dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan dimana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun. Jadi, mengapa harga ayam di sesetengah kawasan di Pulau Pinang sahaja kini sudah mencecah RM12 sekilogram.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2011