JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Oktober 2011

ISU EKONOMI : GUNAKAN KUASA PENGGUNA KAWAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


GLASIER MATANUSKA, ALASKA

Sungguh, memang benar berlaku kenaikan harga ayam. Ia terjadi di beberapa negeri ket ika ini. Malah bukan daging ayam sahaja. Produk-produk lain turut terpalit sama, antaranya susu pekat manis, Nestle dan Milo. Maka tidak hairanlah setiap waktu rehat tengah hari atau selepas waktu pejabat sekitar pukul 5 petang, Aras G Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya yang menempatkan Kedai Rakyat 1Malaysia di situ diserbu orang - sebahagian besarnya penjawat awam. Yang 'menyerbu'nya bukan semuanya daripada kakitangan sokongan pun (kerani atau budak pejabat) tetapi yang berkereta mewah dari Camry dan Mercedez Benz. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah lepak di situ waktu tersebut. Mana tidaknya, produk kicap kipas udang sahaja anda boleh jimat hampir RM2 berbanding membeli di luar. Itu belum lagi barang makanan lain. Permintaan terhadap produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia memang cukup hangat sehinggakan Mydin yang berperanan sebagai pengedar barangan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bukan setakat itu sahaja, Mydin juga dikatakan masih berusaha mencari lebih banyak setor untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia yang kualitinya sama dan terjamin meskipun tidak berjenama dengan berlogokan 1Malaysia. Berbalik kepada kenaikan harga ayam yang menjadi sebab Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang, Utusan Malaysia difahamkan ia turut mendapat sokongan daripada kementerian. Meskipun kementerian berkenaan lebih gemar menggunakan istilah 'kuasa pengguna harus ditunjukkan untuk menggalakkan perniagaan beretika' manakala CUEPACS yang kini disokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Perkasa terarah kepada tindakan protes dan boikot, nadanya tetap sama - demi kepentingan pengguna. Sebenarnya, kenaikan harga ini dipantau oleh Majlis Harga Barang Negara (MHBN). Data dikumpul setiap minggu. Seorang jurucakap MHBN memberitahu Utusan Malaysia petang semalam, kenaikan harga ayam tersebut di luar skim kawalan musim perayaan memang berlaku.

"Barang-barang kawalan bagaimanapun tidak naik tetapi untuk barangan yang dikawal pada musim perayaan, kenaikan biasanya berlaku selepas ia di luar tempoh skim tersebut. "Untuk isu semasa ini seperti mana dituntut oleh CUEPACS, kita mengesahkan memang ada kenaikan harga ayam. Tetapi kenaikan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri antaranya mencecah RM9.30 sekilogram untuk ayam standard berbanding RM7.30 yang ditetapkan," menurut jurucakap tersebut. Seorang pegawai KPDNKK pula memberitahu akhbar ini, peniaga atau pihak tertentu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang setelah kerajaan memberikan subsidi. Harga tidak boleh dinaikkan walaupun harga komoditi barang mentah yang diimport adalah tinggi kerana kadar perbezaannya ditanggung kerajaan. Yang pasti, sesuatu perlu diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung kenaikan harga ayam. Di Johor pada Jun lalu, masalah anak ayam berpenyakit dikatakan menjadi antara faktor menyebabkan bekalan daging ayam berkurangan di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan harga terlalu tinggi sehingga menghampiri RM9 sekilogram.

Juga, punca kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik di ladang pembekal serta penternak dan pengurangan subsidi diesel untuk pengangkutan lori membawa ayam. Tetapi lebih ramai yang merasakan ia lebih kepada sikap tamak pembekal yang mahu berbuat demikian menjelang musim cuti sekolah dan Hari Raya Haji (di mana ayam mendapat permintaan tinggi). Tambah lagi, seperti mana kata CUEPACS, kenaikan harga seperti satu fenomena apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet tahunan. Ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang walaupun kakitangan awam belum menerima imbuhan tersebut. Ketika ini kerajaan sudah membuat apa sahaja untuk membela nasib rakyat yang terus berhadapan dengan kenaikan harga barangan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Antaranya mengambil langkah proaktif mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain. Kawalan harga ini dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan dimana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun. Jadi, mengapa harga ayam di sesetengah kawasan di Pulau Pinang sahaja kini sudah mencecah RM12 sekilogram.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: