12 Ogos 2011

ISU BELIA : NASIONALISME BELIA MALAYSIA, KOREA SELATAN

NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya (UMCEDEL),
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.


Definisi umur belia yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditetapkan kepada individu yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun sahaja. Paling menarik dan amat signifikan dalam membicarakan konteks umur ini, Malaysia mengelaskan individu yang berusia di bawah 40 tahun sebagai belia. Sedangkan kebanyakan negara lain sudah mengubah penetapan umur belia kepada di bawah umur 25 tahun. Malah, isu ini dipandang serius apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mencadangkan takrifan had umur belia di negara ini, sepatutnya 25 tahun. Namun, Korea Selatan menetapkan belia mereka seperti yang dirujuk sebagai young adult Koreans berusia lebih 19 tahun dan di bawah umur 30 tahun. Negara itu membenarkan masyarakat berusia 19 tahun untuk mengundi. Malaysia masih mengekalkan umur 21 tahun untuk mengundi seiring dengan beberapa negara lain antaranya Dominica, Djibouti, Gabon, Kuwait, Lebanon, Samoa, Singapura, Tonga, Fiji, Maldives, Oman, Solomon Islands dan Tokelau. Bagaimanapun, kebanyakan negara yang lebih maju sudah membenarkan seawal umur 16 sehingga 18 tahun untuk mengundi.

Seringkali kelompok belia akan menjadi perhatian dalam pelbagai aspek kehidupan. Ternyata kini merupakan era orang muda mendominasi pelbagai sektor pekerjaan terutama di Malaysia yang memberi peluang untuk mereka menongkah arus dan mencipta pembaharuan. Nampaknya, semangat orang muda Malaysia lebih hebat berbanding Korea Selatan. Jika diukur tahap nasionalisme anak muda negara ini, saya lebih berbangga dengan tahap nasionalisme mereka kerana kecintaan golongan itu terhadap negara bukan hanya tertakluk kepada sesebuah isu atau peristiwa sahaja. Masyarakat 'muda' di Korea Selatan mula dilihat mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan boleh dilabel sebagai assertive nationalism oleh Lee Sook Jong (2006). Kebanyakan mereka dibesarkan dalam dua dimensi berbeza iaitu di bawah masyarakat yang mewah dan demokrasi. Mereka amat berbangga dengan identiti Korea, sehingga berpegang kepada nasionalisme etnik dwi dimensi iaitu assertive nationalism kepada dunia dan secara khusus kepada Amerika Syarikat (AS). Ini jelas kelihatan apabila pasukan bola sepak Korea Selatan gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2002.

Peristiwa ini membawa kepada beribu-ribu masyarakat Korea berkumpul di kebanyakan bandar meraikan perlawanan itu pada Jun 2006. Trend street cheering atau festival jalanan dan bukannya demonstrasi jalanan telah berterusan sejak Piala Dunia 2002 dan menjadi fesyen serta tradisi kepada belia Korea untuk bersorak kepada pasukan mereka setiap empat tahun sekali. Ternyata industri sukan memainkan peranan dalam menyatupadukan komuniti Korea Selatan dan meningkatkan kecintaan terhadap negara. Begitu juga di Malaysia, bola sepak, badminton, dan hoki merupakan antara sukan yang dinantikan golongan ini. Baru-baru ini apabila Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia ramai yang berpusu-pusu membanjiri stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka. Adakah nasionalisme anak muda di Malaysia boleh diukur apabila mereka menyarung jersi Chelsea, Liverpool mahupun Arsenal dan bukannya Harimau Malaya atau Skuad Olimpik? 


Berlainan pula di Korea Selatan, orientasi golongan muda sudah terlalu ke arah AS dengan cara hidup mereka yang terlalu mewah, pembangunan yang pesat serta kepimpinan golongan muda seperti Presiden Roh-Moo hyun. Tidak banyak bezanya cara hidup golongan belia di Malaysia dan Korea Selatan. Jika mereka mementingkan kesempurnaan infrastruktur teknologi maklumat terkini, begitu juga dengan belia Malaysia. Korea Selatan pada hari ini memiliki kelompok belia yang mewakili generasi fast dan tergolong dalam komuniti siber. Tidak dinafikan bahawa kemudahan sebegini sangat signifikan dalam memperolehi maklumat tentang sesuatu perkara. Penglibatan politik golongan muda ini juga sering dikaitkan dengan tahap nasionalisme terhadap bangsa dan negara. Di Korea Selatan, penglibatan politik mereka secara aktif adalah tidak menentu dan cenderung kepada sesuatu peristiwa yang berlaku. Jika isu-isu yang berkaitan nilai-nilai universal, golongan muda Korea ini lebih responsif berbanding isu domestik. Menariknya, di Malaysia golongan muda tempatan lebih tertarik dengan isu lokal dan domestik sifatnya. 


Senario siri peristiwa yang berlaku dalam 'perarakan jalanan' melibatkan kelompok ini seperti perhimpunan haram Bersih 2.0 lebih agresif dipaparkan kepada umum dan sudah semestinya peristiwa ini tidak berkaitan dengan nasionalisme mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut. Saya berkeyakinan bahawa belia Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan sebagai orang muda dan belia sendiri, penulis melihat tahap nasionalisme golongan muda masih berada pada tahap yang baik. Jika rakyat Malaysia tidak cintakan tanah air, mana mungkin Tanah Melayu boleh merdeka dan mengapa 85,000 orang berusaha memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan bola sepak menentang Singapura yang lalu. Bukan menang atau kalah yang menjadi pertaruhan tetapi semangat yang tinggi untuk menyokong pasukan sendiri itu sangat penting dan terpapar pada wajah setiap penyokong. Maka sempena bulan kemerdekaan ini, bersyukurlah dengan nikmat diberikan oleh Maha Pencipta Alam dan kenanglah jasa para pahlawan negara yang dulu dan kini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OGOS 2011

11 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : FASIH BAHASA INGGERIS BUKAN JAMINAN DAPAT KERJA

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Antara isu hangat masih terus diperkatakan ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan. Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global. Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan. Bagaimanapun, di tengah kerancakan itu, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa. Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkannya dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing di kalangan masyarakat. 


Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan? Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, tanggapan mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa picisan lahir daripada ketaksuban mengagungkan bahasa asing. Beliau berkata, keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir. Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Ia medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab. 


Peranan bahasa sama ada Melayu atau Inggeris bukan fokus utama namun bertukar menjadi kepentingan apabila dipraktikkan dalam sudut tertentu hingga akhirnya menjejaskan fungsi bahasa lain. Keperluan dan kehendak persekitaran menjadikan bahasa Inggeris lebih mendominasi kerana masyarakat sendiri mengiktirafnya sebagai bahasa global hingga menenggelamkan bahasa lain termasuk bahasa Melayu. Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai  bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi. Menurutnya, ia bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua. Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. 


Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan. Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ini bukan prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar. Pelajar yang cemerlang menguasai bahasa Melayu boleh melakukannya untuk bahasa Inggeris namun belum tentu sebaliknya. Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, ia lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam. Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan menjadi sukar sebaliknya. Tambah memburukkan keadaan, keengganan sebahagian majikan yang terlalu mementingkan kefasihan bahasa asing menyebabkan pelajar terpaksa berhempas-pulas mempelajari bahasa lain sehingga menyebabkan bahasa Melayu terpinggir. 


Bayangkan ada majikan langsung tidak memandang keperluan bahasa Melayu sewaktu menemu duga calon. Kita faham, bidang kerjaya memang mementingkan bahasa Inggeris, namun biarlah berpada dan mengikut kesesuaian. Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh? Seharusnya bahasa Melayu mendapat tempat utama dan istimewa di kalangan semua dan perlu dimartabatkan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan sebagainya. Beliau juga menafikan bahasa Melayu tidak boleh memberi impak hebat seperti bahasa lain kerana masyarakat antarabangsa sudah berlumba-lumba mempelajarinya. Jika bangsa luar menyokong, mengapa tidak kita sedangkan ia sudah dimartabatkan sebagai bahasa dunia. Sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober setiap tahun. Sambutan yang mula diperkenalkan pada 2009 ini juga antara lain bertujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

SUMBER
HARIAN METRO

ISU ANTARABANGSA : MENCARI PUNCA RUSUHAN SEBENAR DI KOTA LONDON

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
pengarang@utusan.com.my



Rusuhan oleh golongan muda pelbagai etnik di kota London menyaksikan satu lagi tamparan hebat buat kerajaan Britain pimpinan Perdana Menteri, David Cameron. Belum pun skandal penggodaman telefon membabitkan empayar media dan rasuah akhbar milik hartawan media, Rupert Murdoch, News Corp selesai, Cameron sekali lagi terpaksa pulang awal ke Britain dari luar negara. Masuk hari keempat, situasi di kota London masih belum menunjukkan sebarang tanda akan reda. Arahan Cameron semalam untuk menempatkan 16,000 anggota polis di sekitar kota itu juga hanya berjaya mententeramkan London, sedangkan rusuhan terus merebak ke bahagian lain kota tersebut. Terbaru, perusuh terus mengamuk di bandar ketiga terbesar di Britain, Manchester dan kawasan perindustrian Midlands. Kejadian curi juga semakin berleluasa di Birmingham, sementara beratus-ratus perusuh melontar anggota polis dengan batu di Liverpool. Kesan kemusnahan akibat rusuhan boleh dilihat hampir di mana-mana; bangunan dan premis dibakar; kenderaan termasuk kereta, bas dan van hangus dijilat api; serpihan kaca, batu dan kayu bertaburan di jalan-jalan; serta kecurian di kedai-kedai yang tidak terkawal.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang tindakan remaja terlibat kerana apa yang diperlihatkan mereka lebih berbentuk vandalisme. Banyak pihak turut mempersoalkan punca sebenar kepada rusuhan terburuk di London itu dalam tempoh 30 tahun. Media melaporkan, ia berpunca daripada kematian seorang bapa anak empat, Mark Duggan, 29, pada Khamis lalu, dipercayai dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis. Duggan dilapor menaiki sebuah teksi apabila kenderaan tersebut ditahan polis yang sedang menjalankan operasi menyekat pemilikan senjata haram di kalangan masyarakat kulit hitam. Dia mati selepas ditembak dua kali di bahagian dada dan tangan. Ini bukanlah merupakan kali pertama rusuhan di London tercetus disebabkan rasa tidak puas hati dengan polis. Insiden kali ini mengulangi rusuhan dahsyat 1985 di kawasan estet Broadwater Farm, utara London yang tercetus apabila seorang wanita tempatan mati selepas polis menyerbu rumahnya. Seorang anggota polis turut mati ditetak dalam kejadian itu. Sejarah hubungan yang tidak begitu baik antara pasukan polis dan masyarakat pelbagai etnik di London itu mungkin antara penyumbang kepada rusuhan kali ini.

Bagaimanapun, melihat kepada skop yang lebih luas, banyak faktor lain boleh dikaitkan dengan rasa tidak puas hati perusuh yang hanya menjadikan kematian Duggan sebagai satu alasan. Rusuhan berhari-hari itu menekankan lagi ketegangan sosial yang semakin mendalam di kawasan miskin di ibu negara Britain tersebut. Ia bukan bersifat jenayah semata-mata, tetapi didorong rasa tidak puas hati golongan muda yang rasa dipinggirkan. Dengan keadaan ekonomi Britain yang kurang berkembang ditambah dengan pelaksanaan langkah berjimat-cermat oleh kerajaan tahun lalu, kawasan yang tinggi dengan kadar pengangguran seperti Tottenham sangat merasa tempiasnya. Krisis kewangan yang berlaku mengakibatkan golongan muda yang sepatutnya diberikan peluang, merasakan diri mereka diabaikan. Kekecewaan tersebut sebenarnya boleh memarakkan bantahan politik, pemberontakan atau mencetuskan jenayah dan keadaan mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Britain kini bukan lagi sebuah negara seperti beberapa tahun dahulu.

Pada asasnya, negara itu semakin lemah. Keyakinan terhadap pemimpin, polis dan media telah terhakis sebahagian besarnya disebabkan skandal perbelanjaan Ahli-Ahli Parlimen dan skandal penggodaman telefon. Kemelesetan ekonomi serta proses pemulihannya yang masih belum nampak juga tidak banyak membantu. Penentangan terhadap langkah berjimat cermat kerajaan juga mewujudkan budaya anarki. Begitu juga dengan hubungan undang-undang dan ketenteraman dengan sosial yang semakin lemah. Ahli-ahli politik juga nampaknya tidak berminat untuk bercakap mengenai isu ini. Ia bukan satu kepentingan yang perlu menjadi penilaian mereka. Kerajaan campuran Parti Konservatif dan Parti Demokrat juga tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu ini. Kesilapan yang berlaku hari ini sepatutnya diletakkan di bahu Parti Buruh yang tewas pada pilihan raya umum 2010 selepas 13 tahun memerintah. Perusuh sebenarnya menzahirkan kemarahan mereka, lebih kepada pemberontakan sehingga mengakibatkan vandalisme.

Ia bukan pemberontakan menuntut reformasi politik seperti yang berlaku di negara-negara Asia Barat tetapi lebih kepada rasa kecewa kerana diketepikan dari segi ekonomi. Tindakan mencuri, membakar, mencetuskan huru hara di kota London bukanlah satu bentuk bantahan, tetapi bersifat oportunis. Keadaan yang sama juga pernah berlaku di kawasan miskin di pinggir bandar Paris pada 2005, bandar-bandar di Afrika Selatan atau di mana-mana bahagian dunia sekali pun. Rusuhan atau pemberontakan ini disemarakkan lagi dengan fenomena media sosial, sama seperti pemberontakan yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yemen, Syria dan Maghribi. Lain persoalan yang timbul, sampai bilakah rusuhan ini akan berlarutan dan apakah tindakan yang akan diambil kerajaan? Mampukah pihak berkuasa menghalang keadaan daripada menjadi bertambah buruk? Peranan polis yang gagal meredakan rusuhan kini dibangkitkan. Apakah penggunaan kereta kebal seperti di Syria mampu menakut-nakutkan perusuh dan menghentikan mereka daripada terus bertindak?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 OGOS 2011

10 Ogos 2011

ISU EKONOMI : PEJAWAT AWAM PATUT BERHEMAH BELANJA BONUS ELAK LAMBUNG HARGA


Pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua kakitangan kerajaan. Selain itu, kerajaan juga akan membuat Bayaran Khas Kewangan kepada semua pesara kerajaan. Bonus dan bayaran khas yang akan dikreditkan pertengahan bulan ini, tepat pada masanya bagi membantu 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan khususnya beragama Islam membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Pemberian berkenaan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Diharapkan semua penerima tidak lupa bersyukur di atas rezeki yang diterima dan dapat diterjemahkan dengan tekad untuk berkhidmat lebih gigih agar produktiviti jabatan masing-masing dapat dipertingkat. Peningkatan produktiviti ini seterusnya bermakna hasil kerajaan akan bertambah, dan peluang untuk mendapat bonus selanjutnya pada masa depan menjadi lebih cerah.

Di samping itu, penerimanya tidak harus membazir dengan berbelanja melebihi kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Perbelanjaan tidak berhemah akan hanya membawa kepada kenaikan harga barangan berikutan peningkatan permintaan mendadak dan ini seterusnya akan bermakna wang bonus itu hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan peniaga semata-mata. Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan pembayaran bonus dan bayaran khas itu. Walau apa sekali pun, pemberian bonus dan bayaran khas itu sekali lagi membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap nasib penjawat awam dan pesara kerajaan khususnya, serta rakyat secara amnya yang sudah tentu terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan menjelang Aidilfitri. Namun, kita berharap hasrat murni kerajaan untuk meringankan beban penjawat awam dan pesara ini tidak dinafikan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau.

Sikap tamak haloba segelintir peniaga ini banyak kelihatan pada Ramadan ini yang menyaksikan kenaikan harga juadah berbuka puasa seperti kuih muih yang kini dijual lebih mahal berbanding sebelumnya. Keadaan ini tidak akan berlaku jika pengguna lebih berhemah dan bijak dengan membeli barang yang perlu saja. Dalam pada kakitangan awam menikmati bonus hari raya, mereka yang bertugas dalam sektor swasta turut menaruh harapan untuk mendapat imbuhan sama. Perkara ini sebenarnya di luar pertimbangan kerajaan, sebaliknya terletak kepada keputusan majikan masing-masing. Namun, demi meringankan beban kewangan pekerja, kita berpendapat ada baiknya majikan sektor swasta memikirkan kaedah untuk membayar sebahagian bonus tahunan pekerjanya pada musim hari raya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
10 OGOS 2011

ISU SOSIAL : AMBIL IKHTIBAR, KES GADIS TERLANJUR, BUANG BAYI

Bersama Amirullah Andi Nur




Pada 5 Ogos lalu, penduduk Melaka dikejutkan dengan laporan media membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun melahirkan bayi lelaki pramatang tanpa kepala di sebuah pangsapuri di Jalan Tun Seri Lanang, Pengkalan Rama, Melaka Tengah.  Bayi malang berusia enam bulan dalam kandungan ibunya itu dilahirkan di bilik air tanpa sebarang bantuan. Difahamkan ketika kejadian, wanita terbabit bersendirian di rumah dan tidak menyangka sama sekali akan melahirkan zuriatnya itu. Sebelum kejadian, ikut laporan dia dikatakan tiba-tiba sakit perut lalu ke tandas. Namun, tanpa semena-mena dia melahirkan bayi pramatang itu dan nasibnya tidak baik sebab ia berada dalam keadaan songsang. Entah macam mana, apabila dilahirkan kepala pula hilang. Difahamkan oleh kerana panik melihat keadaan bayi itu, wanita berkenaan dilaporkan bertindak membuangnya terus ke dalam tong sampah. Khabarnya, kepala bayi tidak berdosa itu mungkin tidak akan ditemui lagi sebab terjatuh ke dalam mangkuk tandas pada hari itu. 


Kejadian menyayat hati ini sebenarnya berlaku kira-kira jam 6 petang pada hari kedua umat Islam di negara ini berpuasa. Tak payahlah disebut keturunan wanita ini. Namun, polis hanya mendedahkan cerita berkenaan kepada media pada Khamis lalu sebelum disiarkan keesokannya.  Tembelang wanita yang belum berkahwin ini pecah selepas dia mendapat rawatan di Hospital Melaka tiga jam selepas bersalin. Polis mengesahkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.  Kita harap kes ini tidak berulang lagi dan sekali gus dapat diselesaikan segera. Diharap juga pihak berkuasa dapat menghebahkannya bagi membolehkan orang ramai tahu kejadian sebenar. Saya sengaja bangkitkan kisah ini dalam bulan mulia ini kerana banyak pengajaran yang boleh diambil oleh masyarakat. Kita semua tahu kejadian atau gejala buang bayi, gadis bawah umur hamil tanpa berkahwin atau menyembunyikan kelahiran dan kematian anak tanpa nikah, bukan perkara baru.  Majoriti pun juga tahu penyakit sosial ini sudah lama berlaku dan ia juga tidak membabitkan satu atau dua suku kaum semata-mata. 


Banyak juga sudah usul, cadangan atau perancangan dilaksanakan kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dibuat bagi menangani gejala ini. Yang pasti, jika tiada kawalan dan tindakan susulan menanganinya, masalah ini akan terus menghantui masyarakat negara ini. Kita percaya sehingga kini masalah ini sudah ditangani sebaiknya pihak berkuasa terbabit.  Di Melaka, gejala seperti pembuangan bayi dan berzina sangat diberikan perhatian oleh pihak berkuasa. Pelbagai usaha diambil dan diperkenalkan kerajaan bagi menanganinya termasuk memperkenalkan insentif bagi menggalakkan perkahwinan.  Misalnya, bagi pasangan Islam berusia 18 tahun ke bawah yang hendak berkahwin, kerajaan negeri memberikan bantuan RM500. Selain itu, lelaki mengahwini janda atau ibu tunggal akan turut menerima bantuan sebanyak RM1,000 Bagaimanapun, bantuan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) ini hanya untuk penduduk kelahiran Melaka. Difahamkan inisiatif ini yang pertama di Malaysia dan diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu, mendapat sambutan baik.  


Selain insentif itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan pusat penjagaan untuk perempuan bawah umur atau masih bersekolah yang hamil akibat ketelanjuran dengan pasangan masing-masing. Pusat ini yang diwujudkan di daerah Jasin dikenali sebagai Rumah Harapan Sekolah Harapan.  Di pusat ini, penghuninya dijaga bak ‘menatang minyak yang penuh’ sehingga bersalin, selain diberikan pendidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dari segi pelajaran. Sesi kaunseling turut disediakan bagi mengurangkan tekanan selain persediaan berdepan ‘dunia baru’ untuk mereka. Soalnya, adakah kita sebagai rakyat Malaysia sedia mengambil iktibar kejadian di atas termasuk menyokong usaha dilakukan kerajaan Melaka itu, atau terus berpeluk tubuh dan sekadar melihat, mendengar dan membaca kisah tragis seperti itu terus berulang. Tepuk dada tanyalah selera.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Melaka

SUMBER
BERITA HARIAN
10 OGOS 2011

ISU UMUM : DEMI KELANGSUNGAN PENGANGKUTAN UDARA



Kerjasama antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) mungkin sesuatu yang agak di luar jangkaan masyarakat umum negara ini. MAS dan AirAsia yang dilihat sebagai pesaing sebelum ini difikirkan akan mengambil alih antara satu sama lain, bergantung kepada siapa yang lebih kuat dan kukuh. Sebaliknya, melalui satu cadangan kerjasama, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selaku pemegang saham utama MAS menyerahkan 20.5 peratus sahamnya kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. Khazanah akan mengekalkan pegangan kira-kira 49 peratus saham MAS di samping menguasai jumlah saham sekitar 20 peratus dalam AirAsia (AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd.). Jika perkongsian itu berjaya, lawan akan menjadi kawan dan kedua-dua syarikat kelak dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan dan memajukan industri penerbangan negara. Laluan dan penumpang yang menjadi rebutan selama ini kini boleh dikongsi bersama dalam menyediakan perkhidmatan dan harga terbaik kepada rakyat di samping memastikan syarikat mencatat keuntungan memuaskan.

Isu hak dan pembahagian laluan juga diharap dapat diselesaikan dengan baik dengan memberi fokus perkongsian pintar dari sudut pengalaman dan kepakaran teknikal yang dimiliki MAS serta perancangan dan kecekapan operasi AirAsia. Dengan itu, rekod kewangan MAS dapat dipulihkan secepat mungkin sementara aduan penumpang tentang masalah teknikal AirAsia dapat diatasi dengan kepakaran dan peralatan terbaik negara. Namun, sasaran akhir kedua-dua syarikat itu tidak boleh lagi bertumpu kepada keuntungan semata-mata sebaliknya kepada keselesaan dan keperluan penumpang. Ini bagi mengelakkan masalah di kedua-dua syarikat itu diwarisi dan ditanggung penumpang sehinggakan usaha kerjasama itu dipandang serong. Syarikat penerbangan yang bergabung juga dapat mengurangkan kos, berkongsi sumber, membuat penambahbaikan dan paling penting sekali dapat menjamin kelangsungan khidmat pengangkutan udara kepada penumpang terutamanya yang mahu ke negara lain atau tempat yang jauh dalam masa yang singkat. Tanpa perkhidmatan pengangkutan udara, dunia serba moden kini mungkin terhenti dan kembali menggunakan pengangkutan konvensional yang mengambil masa panjang, sama ada melalui darat atau laut.

Bagaimanapun, krisis ekonomi dan kewangan global serta peningkatan harga minyak berterusan hampir membenam industri penerbangan global beberapa kali sepanjang abad ke-20 sehinggakan sekitar separuh daripada syarikat-syarikat pengangkutan udara dunia gulung tikar. Serangan 11 September 2001 ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia, New York, Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi keadaan industri yang hampir lumpuh itu ditambah pula ancaman penyakit berjangkit seperti SARS, H1N1 dan H5N1 (selesema burung). Demi kelangsungan khidmat pengangkutan udara, sebahagian syarikat yang masih mampu beroperasi memilih untuk bekerjasama, bergabung atau diambil alih syarikat lebih besar. Antara jenama yang memilih jalan itu adalah United Airlines yang pernah muflis sebelum bergabung melalui pertukaran saham bernilai S$3 bilion (RM9.08 bilion) dengan Continental Airlines pada 2010 bagi membentuk syarikat pengangkutan udara terbesar dunia. Walaupun mengekalkan nama United, syarikat penerbangan itu mengekalkan logo Continental di bawah United Continental Holdings Inc. yang turut memiliki syarikat penerbangan Texas International, Frontier, People Express dan New York Air.

Dengan 48,000 kakitangan, 359 pesawat dan 292 pesawat sewaan kontrak serantau, United kini memegang takhta syarikat penerbangan denganperolehan paling tinggi di dunia. United juga mempunyai habnya sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago; Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles; Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, San Francisco, Los Angeles dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo. Sejak penggabungan itu, United turut membuat beberapa perkongsian pintar dengan syarikat penerbangan lain, syarikat pelancongan, perhotelan di samping menambah destinasi dan laluan untuk pesawatnya. Langkah sama turut melahirkan syarikat penerbangan kedua terbesar dunia, Delta Air Lines Inc. hasil pengambilalihan beberapa syarikat kecil dan penggabungan dengan dua syarikat penerbangan utama AS. Delta memulakan operasi di bawah nama Huff Daland Dusters pada 1924 untuk menyembur racun serangga tanaman sebelum dibeli seorang usahawan dan dinamakan sempena Delta Mississippi pada 1928.

Selepas hampir 30 tahun beroperasi membawa penumpang, Delta membeli beberapa syarikat penerbangan kecil lain seperti Chicago and Southern Air Lines (1953) dan Northeast Airlines (1972). Pada 1987, Delta bergabung dengan syarikat besar Western Airlines yang ditubuhkan pada 1925 sebelum membeli laluan Eropah dan pesawat syarikat Pan Am pada 1991. Tarikh 28 Oktober 2008, Delta sekali lagi bergabung dengan sebuah syarikat penerbangan utama, Northwest Airlines tetapi mengekalkan nama jenama Delta. Gabungan akhir itu menjadikan Delta syarikat penerbangan kedua terbesar dunia dari sudut perolehan tetapi nombor satu dari sudut bilangan penerbangan dan bilangan penumpang. Syarikat itu kini menguruskan lebih 4,000 penerbangan setiap hari sementara habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson, Atlanta merupakan lapangan terbang paling sibuk dunia dengan 88 juta penumpang setiap tahun. Gabungan di bawah nama Delta juga merupakan antara gabungan syarikat penerbangan terbanyak di dunia memandangkan Western Airlines dan Northwest Airlines masing-masing sebelum itu telah bergabung atau membeli beberapa syarikat penerbangan lain.

Syarikat itu kini menggaji 80,000 orang pekerja dengan 12,400 orang juruterbang di Atlanta, Minneapolis, Detroit, Seattle, Memphis, Cincinnati, Los Angeles, Bandar New York dan Bandar Salt Lake. Antara syarikat ternama lain yang meneruskan operasi melalui penggabungan termasuk US Airways; American Airlines dan syarikat Southwest Airlines yang menggabungkan syarikat ATA, AirTrain, Muse dan Morris Air. Di luar AS, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga memilih langkah sama termasuk Berlin Air (Jerman); Air Canada (Kanada); Air Jamaica (Caribbean) dan syarikat Air France KLM yang menggabungkan Air France dan KLM Royal Dutch Airlines pada 2004. Mengambil sudut positif penggabungan dua atau lebih syarikat penerbangan, langkah itu bukan sahaja dapat menjamin kelangsungan operasi dan perkhidmatan malahan dapat membuka ruang untuk penambahbaikan yang boleh disalur kembali kepada para penumpang. Kemampuan syarikat mengimbangi pengurusan kos operasi dan menarik pelanggan adalah langkah utama dalam memastikan khidmat pengangkutan udara dapat dinikmati sehingga generasi berikutnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 OGOS 2011

ISU ANTARABANGSA : KEBIMBANGAN RUSUHAN MEMBAKAR EROPAH

Susunan NURUL ANUAR KARI


Gelombang keganasan dan kecurian di ibu kota London dilaporkan telah merebak ke tiga bandar utama lain di United Kingdom (UK). Walaupun pihak berkuasa terus berusaha mengawalnya, rusuhan kali ini dianggap paling buruk sejak rusuhan 1980-an yang membakar hangus sebahagian besar London. Keganasan bermula lewat hari Sabtu lalu di daerah Tottenham yang rata-rata berpendapatan rendah dan didiami pelbagai bangsa apabila orang ramai merusuh akibat marah dengan tindakan polis menembak mati seorang pemuda. Mark Duggan, 29, bapa kepada empat orang anak ditembak mati dalam keadaan mencurigakan pada Khamis lepas sementara perbicaraan penuh mengenai pembunuhannya itu mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi. Kematian mangsa menimbulkan kembali permusuhan lama dan ketegangan antara kaum seperti yang berlaku sekitar 1980-an dahulu walaupun selepas pelbagai usaha kerajaan merapatkan hubungan komuniti berikutan beberapa kes perkauman berprofil tinggi. Pasangan Duggan, Semone Wilson menegaskan tunangnya tidak terlibat dengan kumpulan jenayah seperti yang dicadangkan pihak polis tetapi menolak kaitan rusuhan tersebut dengan kematian bapa kepada anak-anaknya itu.

Kumpulan-kumpulan anak muda dilihat berterusan mengganas dengan membakar sampah, kereta dan bangunan; merompak kedai-kedai dan membaling botol serta mercun kepada anggota polis. Situasi itu juga memberi gambaran buruk untuk nama London selaku tuan rumah Sukan Olimpik 2012 sehinggakan kereta perisai yang amat jarang digunakan telah dipanggil ke kawasan-kawasan paling teruk terjejas. Polis yang tidak cukup kakitangan dalam mengawal huru-hara di London kini terpaksa berdepan dengan rusuhan yang mula merebak ke Birmingham, Bristol di sebelah barat dan Liverpool di barat laut UK. Hakikatnya, tiada kaitan nyata yang menjadi punca rusuhan di empat bandar itu dengan sebilangan kecil perusuh mendakwa menentang langkah berjimat kerajaan termasuk membuang pekerja dan potongan faedah kebajikan. Perusuh lain pula lebih tertarik dengan keganasan yang berlaku dan ingin turut serta memandangkan generasi muda London jarang atau tidak pernah melihat rusuhan dan keganasan.

Perdana Menteri, David Cameron terpaksa membatalkan percutian keluarganya di Itali lebih awal bagi mengetuai mesyuarat krisis yang bakal mencabar kerajaan campurannya itu. Cameron menuntut tindak balas lebih tegas daripada pihak berkuasa terutamanya polis tetapi penduduk London sendiri merasakan bilangan anggota beruniform tidak mencukupi dalam mengawal rusuhan yang merebak dengan amat pantas. Di sesetengah kawasan, perusuh bergerak bebas untuk merompak dan mencuri dari kedai atau kediaman penduduk kerana tiada langsung pihak berkuasa yang menghalang mereka. Semua kedai dan restoran juga menutup operasi lebih awal kerana khuatir rusuhan akan merebak ke kawasan mereka. Di daerah Croydon, London, seorang lelaki dilaporkan cedera parah akibat ditembak sementara sebuah kedai perabot berusia lebih 100 tahun hangus dibakar perusuh. Perusuh yang licik mencuri topeng muka dari kedai kostum bagi menyorokkan identiti mereka daripada pihak berkuasa. Ada di antara mereka menggunakan teknologi canggih telefon pintar dan Twitter untuk mengkoordinasi pergerakan rusuhan dan mengelakkan tindakan polis.

Terkini, pasukan bola sepak West Ham terpaksa membatalkan perlawanannya pada malam hari Selasa sebagai langkah berjaga-jaga. Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak (FA) menegaskan perlawanan persahabatan antara England dan Belanda tetap akan diteruskan pada hari Rabu di Stadium Wembley. Orang ramai yang ketakutan kini memanggil polis untuk menggunakan pancutan air untuk menyuraikan perusuh dan juga bantuan daripada pasukan tentera jika perlu di kawasan kejiranan mereka. Kredibiliti kepimpinan tertinggi polis yang tercalar akibat skandal pencerobohan telefon sebelum ini semakin merudum di kalangan penduduk London sementara golongan muda dikatakan amat membenci pasukan keselamatan. Beberapa rusuhan kecil dilaporkan pernah berlaku sebelum ini pada bulan Mac, Disember dan November lalu di kalangan belia yang marah dengan peningkatan yuran pendidikan dan potongan pencen. 


Namun, rata-rata penduduk UK percaya rusuhan terbaru itu digunakan sebagai alasan untuk sebilangan golongan muda merompak dan mencuri di kedai dan pusat membeli belah. Melihatkan rusuhan yang semakin merebak, bukan sahaja kemampuan pihak polis mula dipersoal malahan kesediaan London menganjurkan Sukan Olimpik 2012 juga mula diragui sesetengah pihak. Lebih membimbangkan lagi jika rusuhan mula merebak ke bandar-bandar seluruh Eropah yang kini rata-rata rakyat dan golongan mudanya menghadapi tekanan kewangan. Seperti mana beberapa kerajaan di Timur Tengah ditumbangkan kejadian kecil melibatkan seorang rakyat biasa, mungkinkah tiba masa sebuah kerajaan Eropah tumbang disebabkan kematian seorang bapa kepada empat anak kecil?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 OGOS 2011

09 Ogos 2011

ISU SOSIAL : PEMERIKSAAN PEMANDU BAS EKSPRES BIAR BERTERUSAN, BUKAN BERMUSIM



Bagi kebanyakan pengguna lebuh raya, pengalaman menyaksikan bas ekspres dipandu di lorong laju adalah satu perkara biasa. Malah, sesetengah pemandu bas ini tidak teragak-agak mengikuti dengan rapat dan menyalakan lampu kepada kenderaan di hadapannya yang enggan memberi laluan. Pengalaman seperti ini sudah cukup untuk menginsafkan kita bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan lebuh raya di negara ini dapat dijadikan lebih selamat, melainkan jika tindakan lebih tegas diambil pihak berkuasa. Berikutan itu, hasrat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti dilaporkan dalam akhbar ini semalam untuk memastikan hanya pemandu dengan rekod bersih dibenarkan memandu sepanjang musim perayaan ini amat dihargai. Memang benar tindakan ini amat tegas kerana ia akan bermakna ada pemandu yang rata-ratanya orang Melayu yang akan hilang punca rezeki pada musim perayaan ini. Namun, demi keselamatan penumpang bas dan pengguna jalan raya yang lain, ia harus dilaksana tanpa sebarang kompromi. Malah JPJ tidak harus menunggu kedatangan musim perayaan untuk melakukan langkah ini, sebaliknya melakukannya sepanjang tahun agar pemandu sentiasa akan terasa diawasi. Pihak berkuasa seperti JPJ memang memainkan peranan besar dalam memastikan lebuh raya di negara itu tidak terus dijadikan litar lumba bagi segelintir pemandu bas yang tidak bertanggungjawab ini.

Namun, beban ini tidak harus hanya dipikul oleh agensi kerajaan ini. Syarikat bas juga harus sama-sama memainkan peranan dengan memastikan pemandu mereka benar-benar terlatih dan berhemah di jalan raya. Antara langkah yang boleh dilakukan syarikat bas adalah melakukan pemantauan sendiri terhadap prestasi pemandu masing-masing. Pemantauan ini boleh dilakukan menerusi penggunaan alat seperti Sistem Posisi Global (GPS) atau mewujudkan pasukan untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap pemandu masing-masing. Syarikat bas tidak harus hanya bergantung kepada agensi kerajaan bagi melaksanakan apa yang secara hakikatnya adalah tanggungjawabnya. Mereka sepatutnya bersedia membuat pelaburan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan sentiasa terjamin dan bukan hanya bersedia mengaut keuntungan. Tanpa kerjasama syarikat bas ini dan juga pengusaha kenderaan komersial lain, serta pemandu persendirian, tidak mungkin tahap keselamatan jalan raya di negara ini mampu ditingkatkan ke tahap memuaskan. Negara akan terus digemparkan dengan kemalangan ngeri pada musim perayaan dengan jumlah korban yang tinggi dan pada ketika itu muncullah pelbagai cadangan yang kemudian seperti biasa dilupakan selepas berita kemalangan itu tidak lagi menjadi tajuk utama akhbar.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
9 OGOS 2011

ISU PERGURUAN : TIADA LAGI SENTUHAN KASIH SAYANG, BEZA GURU DAHULU DAN GURU SEKARANG

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my



Guru dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya. Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat. Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri. Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata. Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik. Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar? Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar. Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan. Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik. Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah. Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu. Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka. Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan. Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain. Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu. Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik. Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri. Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya. Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material. Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar? Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat. Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan. Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata. Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. 


Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik. “Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi. Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit.

SUMBER
HARIAN METRO
9 OGOS 2011