JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : MENCARI PUNCA RUSUHAN SEBENAR DI KOTA LONDON

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
pengarang@utusan.com.my



Rusuhan oleh golongan muda pelbagai etnik di kota London menyaksikan satu lagi tamparan hebat buat kerajaan Britain pimpinan Perdana Menteri, David Cameron. Belum pun skandal penggodaman telefon membabitkan empayar media dan rasuah akhbar milik hartawan media, Rupert Murdoch, News Corp selesai, Cameron sekali lagi terpaksa pulang awal ke Britain dari luar negara. Masuk hari keempat, situasi di kota London masih belum menunjukkan sebarang tanda akan reda. Arahan Cameron semalam untuk menempatkan 16,000 anggota polis di sekitar kota itu juga hanya berjaya mententeramkan London, sedangkan rusuhan terus merebak ke bahagian lain kota tersebut. Terbaru, perusuh terus mengamuk di bandar ketiga terbesar di Britain, Manchester dan kawasan perindustrian Midlands. Kejadian curi juga semakin berleluasa di Birmingham, sementara beratus-ratus perusuh melontar anggota polis dengan batu di Liverpool. Kesan kemusnahan akibat rusuhan boleh dilihat hampir di mana-mana; bangunan dan premis dibakar; kenderaan termasuk kereta, bas dan van hangus dijilat api; serpihan kaca, batu dan kayu bertaburan di jalan-jalan; serta kecurian di kedai-kedai yang tidak terkawal.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang tindakan remaja terlibat kerana apa yang diperlihatkan mereka lebih berbentuk vandalisme. Banyak pihak turut mempersoalkan punca sebenar kepada rusuhan terburuk di London itu dalam tempoh 30 tahun. Media melaporkan, ia berpunca daripada kematian seorang bapa anak empat, Mark Duggan, 29, pada Khamis lalu, dipercayai dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis. Duggan dilapor menaiki sebuah teksi apabila kenderaan tersebut ditahan polis yang sedang menjalankan operasi menyekat pemilikan senjata haram di kalangan masyarakat kulit hitam. Dia mati selepas ditembak dua kali di bahagian dada dan tangan. Ini bukanlah merupakan kali pertama rusuhan di London tercetus disebabkan rasa tidak puas hati dengan polis. Insiden kali ini mengulangi rusuhan dahsyat 1985 di kawasan estet Broadwater Farm, utara London yang tercetus apabila seorang wanita tempatan mati selepas polis menyerbu rumahnya. Seorang anggota polis turut mati ditetak dalam kejadian itu. Sejarah hubungan yang tidak begitu baik antara pasukan polis dan masyarakat pelbagai etnik di London itu mungkin antara penyumbang kepada rusuhan kali ini.

Bagaimanapun, melihat kepada skop yang lebih luas, banyak faktor lain boleh dikaitkan dengan rasa tidak puas hati perusuh yang hanya menjadikan kematian Duggan sebagai satu alasan. Rusuhan berhari-hari itu menekankan lagi ketegangan sosial yang semakin mendalam di kawasan miskin di ibu negara Britain tersebut. Ia bukan bersifat jenayah semata-mata, tetapi didorong rasa tidak puas hati golongan muda yang rasa dipinggirkan. Dengan keadaan ekonomi Britain yang kurang berkembang ditambah dengan pelaksanaan langkah berjimat-cermat oleh kerajaan tahun lalu, kawasan yang tinggi dengan kadar pengangguran seperti Tottenham sangat merasa tempiasnya. Krisis kewangan yang berlaku mengakibatkan golongan muda yang sepatutnya diberikan peluang, merasakan diri mereka diabaikan. Kekecewaan tersebut sebenarnya boleh memarakkan bantahan politik, pemberontakan atau mencetuskan jenayah dan keadaan mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Britain kini bukan lagi sebuah negara seperti beberapa tahun dahulu.

Pada asasnya, negara itu semakin lemah. Keyakinan terhadap pemimpin, polis dan media telah terhakis sebahagian besarnya disebabkan skandal perbelanjaan Ahli-Ahli Parlimen dan skandal penggodaman telefon. Kemelesetan ekonomi serta proses pemulihannya yang masih belum nampak juga tidak banyak membantu. Penentangan terhadap langkah berjimat cermat kerajaan juga mewujudkan budaya anarki. Begitu juga dengan hubungan undang-undang dan ketenteraman dengan sosial yang semakin lemah. Ahli-ahli politik juga nampaknya tidak berminat untuk bercakap mengenai isu ini. Ia bukan satu kepentingan yang perlu menjadi penilaian mereka. Kerajaan campuran Parti Konservatif dan Parti Demokrat juga tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu ini. Kesilapan yang berlaku hari ini sepatutnya diletakkan di bahu Parti Buruh yang tewas pada pilihan raya umum 2010 selepas 13 tahun memerintah. Perusuh sebenarnya menzahirkan kemarahan mereka, lebih kepada pemberontakan sehingga mengakibatkan vandalisme.

Ia bukan pemberontakan menuntut reformasi politik seperti yang berlaku di negara-negara Asia Barat tetapi lebih kepada rasa kecewa kerana diketepikan dari segi ekonomi. Tindakan mencuri, membakar, mencetuskan huru hara di kota London bukanlah satu bentuk bantahan, tetapi bersifat oportunis. Keadaan yang sama juga pernah berlaku di kawasan miskin di pinggir bandar Paris pada 2005, bandar-bandar di Afrika Selatan atau di mana-mana bahagian dunia sekali pun. Rusuhan atau pemberontakan ini disemarakkan lagi dengan fenomena media sosial, sama seperti pemberontakan yang berlaku di Mesir, Tunisia, Yemen, Syria dan Maghribi. Lain persoalan yang timbul, sampai bilakah rusuhan ini akan berlarutan dan apakah tindakan yang akan diambil kerajaan? Mampukah pihak berkuasa menghalang keadaan daripada menjadi bertambah buruk? Peranan polis yang gagal meredakan rusuhan kini dibangkitkan. Apakah penggunaan kereta kebal seperti di Syria mampu menakut-nakutkan perusuh dan menghentikan mereka daripada terus bertindak?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 OGOS 2011

Tiada ulasan: