Pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua kakitangan kerajaan. Selain itu, kerajaan juga akan membuat Bayaran Khas Kewangan kepada semua pesara kerajaan. Bonus dan bayaran khas yang akan dikreditkan pertengahan bulan ini, tepat pada masanya bagi membantu 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan khususnya beragama Islam membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Pemberian berkenaan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Diharapkan semua penerima tidak lupa bersyukur di atas rezeki yang diterima dan dapat diterjemahkan dengan tekad untuk berkhidmat lebih gigih agar produktiviti jabatan masing-masing dapat dipertingkat. Peningkatan produktiviti ini seterusnya bermakna hasil kerajaan akan bertambah, dan peluang untuk mendapat bonus selanjutnya pada masa depan menjadi lebih cerah.
Di samping itu, penerimanya tidak harus membazir dengan berbelanja melebihi kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Perbelanjaan tidak berhemah akan hanya membawa kepada kenaikan harga barangan berikutan peningkatan permintaan mendadak dan ini seterusnya akan bermakna wang bonus itu hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan peniaga semata-mata. Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan pembayaran bonus dan bayaran khas itu. Walau apa sekali pun, pemberian bonus dan bayaran khas itu sekali lagi membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap nasib penjawat awam dan pesara kerajaan khususnya, serta rakyat secara amnya yang sudah tentu terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan menjelang Aidilfitri. Namun, kita berharap hasrat murni kerajaan untuk meringankan beban penjawat awam dan pesara ini tidak dinafikan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara melampau.
Sikap tamak haloba segelintir peniaga ini banyak kelihatan pada Ramadan ini yang menyaksikan kenaikan harga juadah berbuka puasa seperti kuih muih yang kini dijual lebih mahal berbanding sebelumnya. Keadaan ini tidak akan berlaku jika pengguna lebih berhemah dan bijak dengan membeli barang yang perlu saja. Dalam pada kakitangan awam menikmati bonus hari raya, mereka yang bertugas dalam sektor swasta turut menaruh harapan untuk mendapat imbuhan sama. Perkara ini sebenarnya di luar pertimbangan kerajaan, sebaliknya terletak kepada keputusan majikan masing-masing. Namun, demi meringankan beban kewangan pekerja, kita berpendapat ada baiknya majikan sektor swasta memikirkan kaedah untuk membayar sebahagian bonus tahunan pekerjanya pada musim hari raya.
SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
10 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan