NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan raya (UMCEDEL),
Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Definisi umur belia yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditetapkan kepada individu yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun sahaja. Paling menarik dan amat signifikan dalam membicarakan konteks umur ini, Malaysia mengelaskan individu yang berusia di bawah 40 tahun sebagai belia. Sedangkan kebanyakan negara lain sudah mengubah penetapan umur belia kepada di bawah umur 25 tahun. Malah, isu ini dipandang serius apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mencadangkan takrifan had umur belia di negara ini, sepatutnya 25 tahun. Namun, Korea Selatan menetapkan belia mereka seperti yang dirujuk sebagai young adult Koreans berusia lebih 19 tahun dan di bawah umur 30 tahun. Negara itu membenarkan masyarakat berusia 19 tahun untuk mengundi. Malaysia masih mengekalkan umur 21 tahun untuk mengundi seiring dengan beberapa negara lain antaranya Dominica, Djibouti, Gabon, Kuwait, Lebanon, Samoa, Singapura, Tonga, Fiji, Maldives, Oman, Solomon Islands dan Tokelau. Bagaimanapun, kebanyakan negara yang lebih maju sudah membenarkan seawal umur 16 sehingga 18 tahun untuk mengundi.
Seringkali kelompok belia akan menjadi perhatian dalam pelbagai aspek kehidupan. Ternyata kini merupakan era orang muda mendominasi pelbagai sektor pekerjaan terutama di Malaysia yang memberi peluang untuk mereka menongkah arus dan mencipta pembaharuan. Nampaknya, semangat orang muda Malaysia lebih hebat berbanding Korea Selatan. Jika diukur tahap nasionalisme anak muda negara ini, saya lebih berbangga dengan tahap nasionalisme mereka kerana kecintaan golongan itu terhadap negara bukan hanya tertakluk kepada sesebuah isu atau peristiwa sahaja. Masyarakat 'muda' di Korea Selatan mula dilihat mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan boleh dilabel sebagai assertive nationalism oleh Lee Sook Jong (2006). Kebanyakan mereka dibesarkan dalam dua dimensi berbeza iaitu di bawah masyarakat yang mewah dan demokrasi. Mereka amat berbangga dengan identiti Korea, sehingga berpegang kepada nasionalisme etnik dwi dimensi iaitu assertive nationalism kepada dunia dan secara khusus kepada Amerika Syarikat (AS). Ini jelas kelihatan apabila pasukan bola sepak Korea Selatan gagal melayakkan diri dalam Piala Dunia 2002.
Peristiwa ini membawa kepada beribu-ribu masyarakat Korea berkumpul di kebanyakan bandar meraikan perlawanan itu pada Jun 2006. Trend street cheering atau festival jalanan dan bukannya demonstrasi jalanan telah berterusan sejak Piala Dunia 2002 dan menjadi fesyen serta tradisi kepada belia Korea untuk bersorak kepada pasukan mereka setiap empat tahun sekali. Ternyata industri sukan memainkan peranan dalam menyatupadukan komuniti Korea Selatan dan meningkatkan kecintaan terhadap negara. Begitu juga di Malaysia, bola sepak, badminton, dan hoki merupakan antara sukan yang dinantikan golongan ini. Baru-baru ini apabila Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia ramai yang berpusu-pusu membanjiri stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka. Adakah nasionalisme anak muda di Malaysia boleh diukur apabila mereka menyarung jersi Chelsea, Liverpool mahupun Arsenal dan bukannya Harimau Malaya atau Skuad Olimpik?
Berlainan pula di Korea Selatan, orientasi golongan muda sudah terlalu ke arah AS dengan cara hidup mereka yang terlalu mewah, pembangunan yang pesat serta kepimpinan golongan muda seperti Presiden Roh-Moo hyun. Tidak banyak bezanya cara hidup golongan belia di Malaysia dan Korea Selatan. Jika mereka mementingkan kesempurnaan infrastruktur teknologi maklumat terkini, begitu juga dengan belia Malaysia. Korea Selatan pada hari ini memiliki kelompok belia yang mewakili generasi fast dan tergolong dalam komuniti siber. Tidak dinafikan bahawa kemudahan sebegini sangat signifikan dalam memperolehi maklumat tentang sesuatu perkara. Penglibatan politik golongan muda ini juga sering dikaitkan dengan tahap nasionalisme terhadap bangsa dan negara. Di Korea Selatan, penglibatan politik mereka secara aktif adalah tidak menentu dan cenderung kepada sesuatu peristiwa yang berlaku. Jika isu-isu yang berkaitan nilai-nilai universal, golongan muda Korea ini lebih responsif berbanding isu domestik. Menariknya, di Malaysia golongan muda tempatan lebih tertarik dengan isu lokal dan domestik sifatnya.
Senario siri peristiwa yang berlaku dalam 'perarakan jalanan' melibatkan kelompok ini seperti perhimpunan haram Bersih 2.0 lebih agresif dipaparkan kepada umum dan sudah semestinya peristiwa ini tidak berkaitan dengan nasionalisme mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut. Saya berkeyakinan bahawa belia Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan sebagai orang muda dan belia sendiri, penulis melihat tahap nasionalisme golongan muda masih berada pada tahap yang baik. Jika rakyat Malaysia tidak cintakan tanah air, mana mungkin Tanah Melayu boleh merdeka dan mengapa 85,000 orang berusaha memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan bola sepak menentang Singapura yang lalu. Bukan menang atau kalah yang menjadi pertaruhan tetapi semangat yang tinggi untuk menyokong pasukan sendiri itu sangat penting dan terpapar pada wajah setiap penyokong. Maka sempena bulan kemerdekaan ini, bersyukurlah dengan nikmat diberikan oleh Maha Pencipta Alam dan kenanglah jasa para pahlawan negara yang dulu dan kini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan