28 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : KESAN SOSIAL PELAJAR PEREMPUAN ATASI PELAJAR LELAKI

Institusi kekeluargaan 
mampu porak-peranda jika 
masalah tak ditangani


Pengakuan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bahawa nisbah songsang antara pelajar perempuan dan lelaki di institut pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditangani, diharapkan bukan usaha menyekat kemasukan pelajar perempuan yang layak untuk memberi laluan kepada pelajar lelaki yang lebih lemah.  Usaha menangani nisbah 65 peratus pelajar perempuan dan hanya 35 peratus pelajar lelaki sekarang kepada kedudukan lebih berimbang seharusnya dilakukan dengan meningkatkan keupayaan pelajar lelaki. Antaranya ialah dengan mengatasi masalah keciciran pelajar lelaki yang lebih ketara berbanding pelajar perempuan bermula daripada kemasukan ke sekolah menengah, kemudian memasuki Tingkatan Empat. Usaha mencari jalan kenapa berlakunya keadaan demikian seharusnya ditekankan bukannya dengan menyekat kemasukan pelajar perempuan ke universiti. Diakui nisbah songsang itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak harus dipertahankan kiranya negara dan rakyat dikehendaki maju dalam suasana baik tanpa menimbulkan masalah sosial pula.  

Nisbah tidak seimbang antara lelaki dan perempuan ini bermula pada 1990 lagi apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan sudah sama rata dengan jumlah pelajar lelaki. Sejak itu kemasukan pelajar perempuan berterusan meningkat hingga pada 2005 jumlah nisbahnya sudah mencecah 63:37. Dikatakan juga nisbah ini adalah lebih bagi orang Melayu yang sudah menjangkau kepada 70:30 hingga menimbulkan persoalan di mana perginya pelajar atau pemuda Melayu.  Apakah benar ramai pemuda Melayu merengkok di pusat serenti sebagai satu daripada puncanya tidak pula diketahui kerana tidak ada statistik yang boleh memberikan gambaran sebenar. Tetapi yang tidak boleh dinafikan ialah lebih ramai pemuda Melayu yang terjerumus dengan pengambilan dadah daripada pemuda bangsa lain.  Kenapa perkara begini boleh berlaku tidak pula ada jawapannya. Mungkin sudah sampai masanya pihak universiti di negara ini adakan suatu kaji selidik menyeluruh untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai penagihan dadah di kalangan pemuda Melayu serta kenapa berlaku keciciran ketara di kalangan pelajar Melayu lelaki di sekolah.  

Universiti juga perlu lakukan penyelidikan terhadap implikasi sosial berikutan dengan fenomena lebih ramai graduan wanita setiap tahun berbanding graduan lelaki. Sememangnya pada zahirnya tidak salah ada lebih ramai graduan wanita. Malah kita harus mengucap syabas kepada kaum Hawa kerana berjaya dalam pelajaran hingga mendominasi kemasukan ke universiti. Mereka sememangnya mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran setinggi mungkin. Kita juga harus salahkan kaum lelaki yang diketahui bukan saja tidak fokus terhadap pelajaran kerana banyak sangat perkara yang mengalihkan fokus mereka hingga mengabaikan pelajaran dalam kelas. Dan tentunya mereka ini tidak bersedia menghadapi peperiksaan berbanding pelajar perempuan. Yang menjadi persoalan ialah implikasi fenomena lebihan graduan wanita daripada lelaki setiap tahun kebelakangan ini terhadap kedudukan sosial kiranya berpanjangan bertahun-tahun. Penulis tidak berhajat persoalkan kegigihan pelajar perempuan yang sememangnya diketahui amat tekun dan fokus dalam pelajaran hingga membawa kepada kedudukan songsang ini.

Apakah tidak mungkin akan berlaku keadaan yang mana semakin ramai gadis memasuki alam perkahwinan lebih lambat. Itu pun kiranya graduan perempuan itu boleh mendapat pasangan. Jika pasangannya setaraf mungkin tidak timbul banyak kerenah, tetapi dalam keadaan isteri memegang jawatan lebih tinggi daripada suami apa pula implikasinya. Apa implikasi jangka panjang kiranya wujud keadaan demikian yang mana ramai isteri yang menjadi ‘main bread winner’ membawa balik pendapatan lebih daripada suami. Maknanya keluarga akan lebih bergantung kepada pendapatan isteri. Apakah ada implikasinya terhadap perkembangan kekeluargaan apabila isteri mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerjanya hingga boleh menjejaskan tanggung jawabnya kepada keluarga? Tuhan menjadikan manusia lelaki dan perempuan dengan naluri semula jadi yang tidak mungkin boleh diketepikan atau diabaikan. Maka naluri kewanitaan bagi seseorang perempuan tidak akan hilang setinggi mana pun berjaya dalam kerjaya. Seorang ibu tetap memberi tumpuan kepada keluarganya dan kehendak anak. Umum mengetahui apabila seseorang anak jatuh sakit yang dihubungi ialah ibunya bukan bapa.

Demikian juga dengan kehendak sekolah dan kerja rumah. Yang sering bertanya khabar mengenai kerja sekolah atau membimbing anak mengenai kerja rumah bagi sekolah mereka ialah ibu. Dalam suasana yang mana ibu mempunyai tanggungjawab lebih di tempat kerja berbanding ayah, ibu tentunya akan menghadapi tekanan lebih. Demikian juga dengan persediaan makanan harian untuk keluarga. Isteri mungkin mempunyai tanggungjawab mendesak di tempat kerja kerana memegang jawatan kanan berbanding suami yang mungkin hanya seorang pekerja biasa. Maka itu isteri sudah terpaksa menjadi ‘superwoman’ untuk memikul kehendak kerjayanya dan keluarganya serta suami.  Sememangnya suami seharusnya boleh memberi bantuan lebih atau mengambil alih tanggungjawab keluarga, tetapi ini adalah suatu yang tidak akan dapat ditanggung suami sebaik mana yang boleh diharapkan daripada isteri.  Maknanya institusi kekeluargaan akan menghadapi suatu tekanan yang mungkin tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi apa penyelesaiannya?

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JULAI 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : HORMATILAH AKU, TIDAKKU PINTA LEBIH DARI ITU!

Assalamualaikum, 
salam sejahtera dan salam 1Malaysia,



Renung-renungkan kata-kata di bawah ini,


Memang sulit untuk menyukai mereka yang kita tidak hormati, Tapi tidak kalah sulitnya adalah menyukai mereka yang kita lebih hormati dari diri kita sendiri. (La Rochefoucauld, 1613 - 1680).

Apabila seseorang merasa tidak bisa mendapatkan rasa hormat dari orang lain kepada dirinya, maka timbullah kecenderungan dalam dirinya untuk membenci orang lain tersebut. (Yauvenargues, 1715 - 1747).

Penghormatan dari orang - orang yang sezaman dengan kita merupakan kebahagiaan yang lebih besar dari pada kekaguman dari generasi mendatang. (Napoleon Bonaparte, 1769 - 1821).

Rasa hormat yang diberikan secara kaku, acuh tak acuh,  merupakan kekasaran yang halus. (Baer - Oberdorf)

Kata “hormat” memang selalu kita ungkapkan dari bibir ke bibir pada setiap waktu. Seawal rebung kita sudah diasuh dan dididik untuk menghormati orang lain terutamanya orang yang lebih tua daripada kita. Walau bagaimanapun, tidak semua asuhan dan didikan itu kita amalkan sesudah menjadi buluh lantaran kita kalah dengan ego dan keangkuhan diri masing-masing. Ekoran itu, rasa hormat kita kepada orang lain dengan mudah lenyap begitu sahaja sehingga menampakkan diri kita seorang manusia yang begitu sombong dan bongkak.

Hari ini, seorang guru menangis lagi kerana berasa dirinya tidak dihormati oleh pelajar-pelajarnya. Guru yang menangis itu berasa sungguh kesal dan sesal kerana segala niat baiknya untuk memberikan bimbingan serta asuhan seringkali diperlekeh dan diperkecil oleh pelajar-pelajar kesayangannya. Guru tersebut mengajar dengan bersungguh-sungguh sehingga bajunya basah menakung peluh tetapi pelajar asyik bercerita sesama sendiri tanpa henti. Hanya sekerat sahaja yang berminat tetapi minat itu makin lama makin hilang kerana gangguan yang menendang-nendang di cuping telinga memaksa mereka untuk terus berputus asa. Mengapakah masih ada situasi sebegini yang menjadi duri rutin hidup guru dan pelajar-pelajarnya? Kemanakah hilangnya rasa hormat dan budi bahasa kita? Apakah pelajar-pelajar pada hari ini sudah terhakis nilai-nilai murni dari jiwa nurani mereka? Tepuk dada tanya selera! Sebilangan pelajar kelihatan begitu bangga dan teruja apabila mempamerkan kelakuan yang kurang elok di hadapan guru. Mereka melakukannya berulang-ulang kali sehingga kesabaran guru tersebut terhakis dan akhirnya meletus bagai letusan gunung berapi. Senario sebegini bukan sahaja berlaku di seolah-sekolah bandar

Para pelajar sekalian,

Proses menyampaikan ilmu merupakan suatu proses yang berterusan ibarat aliran kali yang tiada penghujungnya. Proses menyampaikan ilmu merupakan suatu proses yang susah kerana guru perlu mengasah minda di samping memanusiakan manusia. Cukuplah sekadar hormat kerana ilmu yang disampaikan merupakan bekalan untuk anda semua menempuh kehidupan pada masa hadapan. Nikmat dan labanya anda sendiri yang akan merasa sementara guru-guru seperti saya hanyalah mampu tersenyum bangga dan tumpang gembira Jika anda senang pada suatu masa nanti berkat ketinggian ilmu yang anda miliki, jangan sesekali lupa pada Tuhan yang mengurniakan segala yang terindah buatmu. Guru juga merupakan ayahanda dan bonda, walaupun tidak melahirkan anda ke dunia, mereka jugalah yang mengasuh, mendidik dan memberikan ilmu kepada anda semua untuk masa depan. Jangan sesekali hilang rasa hormat kepada guru-guru. Patuhlah kepada arahan. Dengarilah setiap kata-kata nasihat, dorongan, didikan dan asuhan. Timbalah ilmu yang disampaikan dengan penuh ikhlas. Usahlah degil dan melawan kerana semua itu hanyalah merugikan diri sendiri pada suatu masa nanti. Guru juga insdaan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan silap dan salah, tetapi janganlah jadikan kesilapan dan kesalahan itu untuk kita berdendam sehingga mengorbankan masa depan diri kita sendiri.

Rakan-rakan guru sekalian,

Teruskanlah usaha menuntut ilmu untuk memperkasa diri dalam menghadapi situasi-situasi seperti ini. Pelajar era ini tidak seperti pelajar era kita dahulu. Dahulu kita takut dengan rotan tetapi sekarang pelajar menjadikan rotan sebagai alat untuk menghulurkan surat saman. Ibu bapa zaman dahulu akur dengan cara guru mendidik dan mendisiplinkan anak-anak meraka sementara ibu bapa zaman sekarang pula asyik menjadi peguam bela yang sanggup ponteng kerja semata-mata untuk membela anak mereka yang ditangkap melakukan kesalahan. Jiwa kita yang merintih, hati kita yang sedih, nurani kita yang letih tidak akan pulih jika kita terus bertindak mengikut kata hati tanpa berpaksikan ilmu pedagogi. Jika pelajar tidak menghormati kita, biarlah kita yang hormati mereka. Insya-allah, berkat semua itu lama-kelamaan egonya akan luntur dan sesalnya akan berantai dihati sehingga benci bertukar sayang tidak terperi. Sabar-sabarkan diri apabila berasa pengorbanan kita tidak dihargai. Kerjaya kita inilah satu-satunya kerjaya yang mendidik manusia sehingga menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Jika pada usia ini mereka tidak menghormati dan tidak menghargai kita biarkan sahajalah kerana kita tidak boleh memaksa. Yang penting, jangan sesekali berhenti daripada mencurahkan ilmu buat mereka kerana dengan ilmu yang kita berikan itulah mereka akan sedar betapa besarnya jasa dan pengorbanan guru dalam hidup mereka. Usahlah menangis kerana air mata seorang guru itu amat berharga. Menangislah sewaktu mereka berjaya, jangan sesekali menangis sewaktu mereka berangkara. Ingatlah, kehidupan di dunia ini ibarat roda, jika hari ini kita menjadi pelajar yang perlu patuh dan harus mendengar, bukan sesuatu yang menghairankan jika suatu hari nanti, pelajar itu pula yang akan menjadi pengajar yang perlu mengajar supaya pelajarnya mendengar. Itulah hukum alam yang tak bisa ditepis mahupun dinyahkan.

SEKIAN.

27 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : DUNIA AKADEMIK MENJANAKAN PERSAINGAN SENGIT?

Oleh MOHAMAD MD YUSOFF
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia (USM).


Dunia akademik sebenarnya menuntut kita bukan sahaja berilmu, berintergriti dan beretika, bahkan menjadi penjana, pembina ilmu dan akal budi, sekali gus pembentuk sahsiah mahasiswa. Sesungguhnya, dunia akademik perlu menjadi ikon yang disegani oleh masyarakat kerana ketinggian jati diri dan integriti yang tiada tolok bandingnya. Justeru, apa yang dikatakan sebagai budaya 'boncengan gratis' oleh Prof. Muhammad Syukri Salleh (USM) (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011) memang tidak menghairankan. Bahkan budaya hendak cepat lulus dan memperoleh gred baik tanpa banyak berfikir dan berhempas pulas, dan hendak cepat segala-galanya sudah sebati di kalangan mahasiswa dan ahli akademik muda kita. Ia amat menakutkan jika ia menjadi budaya dan trend yang menular seolah-olah profesyen akademik ini boleh di materikan. Banyak faktor menyebabkan hal ini berlaku apabila dunia akademik kini sudah dibelenggu dengan pendekatan Barat - 'publish or perish' dan walaupun ia baik, kegilaan menghasilkan penerbitan dan penyelidikan bermutu amat dipedulikan. Yang penting jumlah artikel, penerbitan dan penyelidikan yang banyak dan dalam tempoh yang pendek perlu dijanakan.

Jika boleh menjadi seorang Profesor Madya dan Profesor dalam waktu yang pendek lebih baik asalkan jumlah markah mencukupi. Ia dipermudahkan jika amalan boncengan gratis menjadi satu norma dan faktor sokongan dan direstui oleh pihak pengurusan atasan sebagai kriteria naik pangkat. Maka lahirlah kumpulan kreatif lagi inovatif membantu teman masing-masing tanpa penat lelah sebenarnya. Lalu wujud amalan 'saya tolong anda' dan sebagainya dalam kemelut boncengan gratis. Akibatnya, keperihalan amalan tidak sihat ini kini sudah melahirkan kebimbangan seolah-olah dunia akademik sudah menjadi wadah persaingan sengit dan gelanggang mengumpul mata/markah tanpa banyak hempas pulas. Walaupun tempoh perkhidmatan di universiti masih setahun jagung dan masih mentah lagi! Sekali gus, persaingan mengejar pangkat dan status akademik dalam tempoh yang agak pendek dalam konteks amalan asyik mengira markah dan kesediaan mencari peluang dan ruang untuk bersama mengamalkan boncengan gratis lalu menunggu tanpa sabar memohon jawatan yang lebih tinggi menjadi impian mereka.

Apakah ini kesarjananaan yang sebenarnya di pupuk dan diasah sekian lama bukan amalan short cut? Dalam hal ini, siapakah perlu di persalahkan jika amalan boncengan gratis berleluasa? Adakah para akademik atau sistem kepengurusan kriteria kenaikan pangkat yang perlu dilihat semula? Bahkan amalan ketidakseragaman dalam hal kriteria kenaikan pangkat dan sebagainya di antara universiti amat membimbangkan. Ada berlaku kes, dalam hal tertentu, seseorang boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tinggi akademik dalam tempoh sesingkat kerana ia memegang jawatan kepengurusan lalu dengan mudah diberikan jawatan tertinggi akademik? Jika kekananan tidak diambil kira, maka gejala "jalan pintas" berlumba-lumba mahu naik pangkat akademik tinggi akan menjejaskan dunia akademik keseluruhannya. Sewajarnya, kenaikan pangkat mesti ambil kira kekanaan dan kesarjannanya bukan sebaliknya? Seseorang itu mesti dikenali ramai dan diakui kesarjannaannya di kalangan komuniiti kepakaran/kesarjanaan mereka. Malangnya fenomena ini menghalalkan kesarjanaan bukan diukur daripada titik peluh kita sebagai seorang sarjana yang disegani, diakui kepakarannya dan berintegriti sambil memacukan kesarjanaan dengan teori mahupun kepakaran masing-masing malah banyak berdasarkan boncegan gratis yang tidak membantu menjana keilmuan yang boleh dipertanggungjawabkan.

Bahkan, jika kebolehan dan tempoh pengajaran dan sekali gus perkhidmatan diambil kira, dunia akademik sebenarnya penuh peristiwa yang menghairankan lagi tidak munasabah? Kemelut 'boncengan gratis' sebenarnya sudah berleluasa dan penyelesaiannya perlu dilihat dari perspektif luas jika kita ingin melenyapkan amalan tidak beretika ini. Mungkinkah amalan kenaikan pangkat pegawai tadbir (PTD) dijadikan kayu ukuran dalam konteks tempoh perkhidmatan dan kesarjanaan seseorang ahli akdemik. Untuk kenaikan Profesor/Prof Madya paling kurang perkhidmatan sekitar tidak kurang 10 tahun. Dan penerbitan boncengan mesti diselidikki siapa yang berhempas pulas bukan sekadar menenggek sahaja! Bahkan, dalam konteks ini, boncengan tidak boleh diterima sebagai hasil penerbitan kecuali ada tanda/bukti penglibatan total sebenar seseorang itu . Keperluan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buku sebagai penerbitan mesti diwajibkan untuk kenaikan pangkat tinggi seperti lazim diamalkan kerana ia membawa implikasi besar usaha melenyapkan keperluan hanya menghasilkan artikel dalam jurnal sahaja.

Sekali gus, profesi mereka dan bidang kepakaran/kesarjanaan seseorang ahli akademik mesti dikenal pasti dan dapat di pertanggungjawabkan bukan sekadar mengira jumlah markah sahaja. Bahkan, karya asli individu atau bersama teman serta mahasiswa mesti mengatasi pertimbangan boncengan ramai yang banyak di salahgunakan untuk tujuan kenaikkan pangkat. Pendeknya, biarlah dunia akademik kita dilihat satu profesyen yang mulia dan kesarjanaan seseorang itu diakui dan diterima oleh bukan sahaja dunia atau komuniti akademik bahkan seluruh stakeholder dan segenap lapisan masyarakat. Masyarakat memerlukan khidmat bakti para sarjana ke arah mencemerlangkan negara bangsa bukan sebaliknya. Justeru, profesyen para akademik mesti dimartabatkan bukan di perlecehkan demi mengejar pangkat yang tidak akan lari apabila dikejar. Bahkan, kita mesti buktikan kesarjanaan semaksimum mungkin sesuai dengan hasrat merakyatkan ilmu dan membumikan/memanfaatkan kesarjanaan dan kepakaran kita. Untuk itu, tiada jalan pintas kecuali berkarya secara konsisten.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 JULAI 2011

ISU ANTARABANGSA : CEGAH KONFLIK DI LAUT CHINA SELATAN

Oleh Ruhanie Ahmad


Konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan adalah ancaman keselamatan yang sangat dikhuatiri di Asia Tenggara mutakhir ini. Oleh sebab itulah ASEAN sentiasa serius untuk menghindarkan kemungkinannya. Potensi tercetusnya konflik ini tidak mustahil bila sumber petroleum dunia kian pupus, penggunaan tenaga sejagat – terutamanya di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur – makin meningkat, kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap tenaga import pada tahun 2020 juga kian bertambah, dan punca tenaga alternatif pula terlalu mahal atau gagal memenuhi permintaan. Lantaran itulah Laut China Selatan dikategorikan sebagai salah satu flashpoint atau kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi yang mungkin mencetuskan konflik maritim berasaskan petroleum di abad ke-21. Ini kerana Laut China Selatan kaya dengan rizab petroleum. Menurut Energy Profile of South China Sea (17 Jun 2008), Laut China Selatan mempunyai rizab minyak ditaksirkan sebanyak 7 bilion tong, dan rizab gas asli sejumlah 2,000 trilion kaki persegi. Jumlah ini kecil berbanding lain-lain wilayah dunia.

Namun rizab petroleum di Laut China Selatan ini adalah strategik kerana ia membabitkan China – pesaing utama AS di abad ke-21 – selaku salah satu pihak yang terlibat dengan tuntutan bertindih ke atas telaga petroleum di perairan tersebut. Oleh sebab itu, ancaman terjangka atau perceived threat di Laut China Selatan ini boleh tercetus berdasarkan dua senario. Senario pertama berpuncakan tuntutan bertindih. Senario kedua berpuncakan ancaman keselamatan kepada pengangkutan petroleum ke Asia Timur yang melalui Laut China Selatan. Senario pertama boleh tercetus jika tuntutan bertindih oleh kuasa-kuasa pesisir Laut China Selatan terhadap telaga petroleum – terutamanya di sekitar gugusan Spratly – gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Senario ini membabitkan Brunei, China, Indonesia, Filipina, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum menyelesaikan masalah ini. Tetapi, seluruh negara terbabit telah dimestikan olehnya supaya menyelesaikan tuntutan mereka secara damai. Forum Serantau ASEAN atau ASEAN Regional Forum (ARF) pula makin fokus dalam inisiatif mewujudkan keamanan di Laut China Selatan.

Ini dibuktikan menerusi keputusan ARF di Bali baru-baru ini di mana ASEAN dan China menyetujui garis panduan pelaksanaan The Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang diwujudkan sejak 4 November 2002. Seterusnya, wujud ASEAN Defence Ministers’ Meeting Plus (ADMM Plus) yang dibentuk pada tahun 2010 untuk mewujudkan kerjasama di kalangan kuasa besar bagi membantu negara-negara membangun, terutamanya di ASEAN, menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan maritim. Seluruh inisiatif dan mekanisme di atas pasti boleh menangani konflik di Laut China Selatan berasaskan senario pertama. Tetapi, adakah inisiatif dan mekanisme yang sama boleh menangani konflik maritim di Laut China Selatan mengikut senario kedua yang membabitkan geopolitik AS di Asia Tenggara dan Asia Timur? Dalam senario kedua, konflik boleh tercetus di Laut China Selatan jika salah satu negara di Asia Timur bertindak unilateral untuk mengancam keselamatan bekalan petroleum sama ada ke China atau ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Dalam konteks ini, walaupun AS menganggotai ARF dan ADMM Plus yang dihuraikan di atas, dan kedua-dua entiti ini juga turut dianggotai oleh lain-lain kuasa besar dunia, konflik senario kedua ini tetap dijangka mendorong keterlibatan AS selaku adikuasa dunia.

Antara sebabnya, Jepun yang bergantung penuh kepada petroleum serta lain-lain tenaga yang diimport, telah berusaha mendapatkan sokongan ketenteraan AS jika berlaku ancaman terhadap keselamatan pengangkutan petroleum di Laut China Selatan. Oleh sebab itu, jika konflik maritim di Laut China Selatan berasaskan senario kedua ini terjadi dan gagal ditangani oleh PBB serta lain-lain organisasi serantau, ia mungkin merebak menjadi peperangan yang besar. Kemungkinan ini tidak mustahil. AS telah membentuk perancangan agung geopolitiknya terhadap China sejak dekad akhir abad ke-20. Ini dimanifestasikan menerusi kajian RAND Corportion oleh Khalilzad et al. (1999), Laporan Project for the New American Century atau PNAC (2000), dan satu lagi kajian RAND Corporation oleh Sokolsky et al.(2001). Intipatinya, Khalilzad (1999) mencadangkan mobilisasi pasukan tentera AS disesuaikan dengan seluruh kemungkinan di China; PNAC (2000) mengesyorkan AS menukarkan corak mobilisasi tenteranya bagi mencerminkan keprihatinan strategik AS di Asia Timur; Sokolsky (2001) menghuraikan pentingnya perairan utama di Asia Tenggara kepada mobilisasi angkatan tentera AS.

Ini bermakna kajian-kajian di atas ditumpukan khusus kepada China. Menurut Barry (2004) dan Twinning (2007), inilah sebabnya beberapa perakuan penting kajian berkenaan dimaktubkan ke dalam pelbagai dokumen rasmi AS, termasuk strategi keselamatan dan pertahanan AS dalam era pasca-911 (11 September 2001). Sebahagiannya pula dimaktubkan ke dalam The US National Strategy for Maritime Security (NSMS) 2005 yang disifatkan oleh segolongan panganalisis Barat sebagai strategi utama yang mendukung pelaksanaan perang terorisme AS di Asia Tenggara.Seluruh strategi keselamatan dan pertahanan AS terhurai di atas, kini menjadi sebahagian paksi kepada dasar luar AS di abad ke-21, terutamanya terhadap Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Tetapi, walaupun secara lahiriahnya strategi dasar luar AS di seluruh wilayah ini hanya dicerminkan menerusi perang terorisme global, secara rencam dan tersirat, strategi ini adalah untuk mencegah rintang apa jua kemungkinan membabitkan Asia Timur, terutamanya mengenai China. Lantaran itulah tindakan untuk memungkinkan keterlibatan AS berasaskan dalam konflik senario kedua di Laut China Selatan ini sudah bermula sejak Januari 2002 menerusi mobilisasi tentera AS ke Basilan, Selatan Filipina, atas alasan perang terorisme global di Asia Tenggara.

Mulai 2005, AS pula melaksanakan NSMS 2005 yang antara matlamatnya adalah menyelaras serta mengukuhkan angkatan laut AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan keselamatan, termasuk konflik maritim yang membabitkan kuasa besar dunia.Berasaskan huraian di atas, senario kedua ini membayangkan rumitnya konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan di hari-hari mendatang. Ini kerana konflik yang dijangka hanya tercetus akibat pertindihan tuntutan telaga petroleum di perairan berkenaan, sebenarnya boleh jadi lebih serius jika AS masuk campur demi kepentingan geopolitiknya terhadap China di abad ke-21. Kesimpulannya, konflik maritim berasaskan petroleum di Laut China Selatan boleh tercetus berasaskan dua senario khusus. Oleh sebab itu, walaupun tindakan ARF di Bali baru-baru ini boleh disifatkan sebagai hedging atau tindakan mengimbangkan minat, pengaruh serta kehadiran AS di Laut China Selatan yang kian menonjol, adalah penting bagi ARF mengetengahkan kaedah mengurus serta menyelesaikan kemungkinan konflik di Laut China Selatan ini berasaskan kedua-dua senario ini. Kaedah ini perlu disegerakan supaya kemungkinan kedua-dua senario di atas jadi semakin minimum dan ASEAN menerusi ARF pula muncul sebagai satu forum serantau yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan serta penyelesaian konflik keselamatan secara multilateral.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 JULAI 2011

ISU SOSIAL : HIBURAN BERLEBIHAN DI SEKELILING KITA

Oleh Shamrahayu A Aziz



Sudah tentu istilah hiburan begitu sinonim dengan kita. Sebagai manusia biasa saya juga sukakan hiburan. Mungkin pembaca juga begitu. Umumnya hiburan dapat meringankan beban masalah atau tekanan yang dihadapi. Tetapi, seperti kata ramai, kita hendaklah bijak memilih jenis hiburan yang sesuai kerana ruang lingkup hiburan sangatlah besar.  Kita maklum bahawa kesan hiburan yang berlebihan amat negatif, bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada agama, masyarakat dan negara. Bagi umat Islam sudah tentu ramai pembaca yang telah sedia maklum mengenai jenis hiburan yang dibolehkan menurut asas agama. Justeru, budaya berhibur hendaklah sentiasa selari dengan ajaran dan tuntutan agama. Namun begitu, budaya berhibur secara berlebihan telah banyak berkembang di kalangan kita. Ramai yang sudah terlalai. Bagi tujuan menangani perkara itu kita terpaksa mewujudkan undang-undang tertentu supaya budaya berhibur dibuat di dalam keadaan berhemah dan tidak mendatangkan mudarat. Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara berkaitan pelesenan tempat hiburan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Pembaca boleh merujuk kepada jadual kesembilan, senarai kedua, butiran 5(f) Perlembagaan. Ekoran daripada peruntukan Perlembagaan ini kebanyakan negeri, sejak dari awal 90-an, telah memperkenalkan undang-undang berkaitan hiburan bagi tujuan mengawal selia perkara berkaitan hiburan, terutamanya pelesenan. Kebanyakan enakmen di negeri berkenaan dinamakan sebagai Undang-Undang Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan. Menurut undang-undang ini sebuah Jawatankuasa Pelesenan (di sesetengah negeri istilah Pegawai Pelesen digunakan) di bawah kerajaan negeri akan bertanggungjawab mengenai urusan pelesenan dalam pengendalian hiburan. Jawatankuasa itu mempunyai budi bicara penuh untuk mengeluarkan lesen atau meletakkan apa-apa syarat yang difikirkan patut. Ini bermakna pihak Jawatankuasa Pelesenan mempunyai kuasa untuk meletakkan apa juga sekatan atau syarat, atas apa juga alasan, sama ada alasan agama atau keselamatan. Sementara itu pihak berkuasa negeri juga boleh mengarahkan Jawatankuasa Pelesenan dalam menjalankan kuasa dan budi bicara mereka.

Pihak jawatankuasa mempunyai budi bicara penuh untuk meminda atau mengubah apa-apa syarat berkaitan pelesenan. Selain daripada itu lesen hiburan bukanlah satu hak dan ia tertakluk kepada budi bicara pegawai pelesen. Lesen yang sudah diluluskan boleh ditarik balik pada bila-bila masa apabila berlakunya perlanggaran syarat atau sekatan. Selain daripada lesen boleh ditarik balik, pihak yang melanggar syarat atau sekatan lesen juga boleh didakwa. Sementara itu pihak berkuasa negeri boleh memberi kata putus mengenai pelesenan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati mengenai penarikan balik lesen membuat rayuan. Dari segi penguatkuasaannya pula, undang-undang hiburan meletakkan tanggungjawab ke atas pihak polis. Pihak Jawatankuasa Pelesenan juga boleh memberikan kuasa berkaitan penguatkuasaan kepada mana-mana pegawai awam atau pekerja pihak berkuasa tempatan. Mereka boleh memasuki dan menjalankan penyiasatan di tempat hiburan tanpa waran (tetapi hendaklah menunjukkan surat kuasa sekiranya diminta) bagi tujuan memastikan syarat atau sekatan lesen dipatuhi.

Di dalam menjalankan kuasa ini pihak berkuasa boleh memeriksa seluruh tempat di dalam premis hiburan dan menghendaki sebarang dokumen dikemukakan. Ini menjadikan kuasa penguat kuasa begitu luas dan agak mudah secara teorinya. Walaupun begitu, selepas sekian lama undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasa, kita masih melihat pelbagai hiburan yang berlebihan di sekeliling kita. Ia membimbangkan dan sebenarnya amat menakutkan. Umumnya undang-undang hiburan ini tidak begitu menyerlah keberkesanan dan pelaksanaannya. Inilah antara punca yang menyebabkan budaya hiburan kita semakin liar dan seterusnya menjadi penyumbang kepada masalah sosial yang lebih serius. Saya tidak nafikan banyak tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa dalam penguatkuasaan, tetapi ia seolah-olah tidak menampakkan kesan.  


Untuk penambahbaikan, mungkin kita perlu selidiki kelemahan yang ada di dalam perundangan, termasuk sistem pelesenan, pemantauan dan penguatkuasaan dan seterusnya merancang pelan penguatkuasaan yang lebih strategik. Penguatkuasaan tidak semestinya atas dasar hiburan tertentu bertentangan dengan ajaran agama tertentu seperti agama Islam saja, tetapi secara keseluruhannya hiburan melampau tidak akan mendatangkan kebaikan. Ia hanya mengundang keburukan. Seperti mana yang kita maklum hiburan melampau sentiasa dikaitkan dengan perbuatan tidak baik dan membahayakan, seperti penggunaan arak, memandu di dalam keadaan mabuk, penggunaan dadah, pelacuran, homoseksual dan seumpamanya. Saya tidak menuding jari kepada pihak penguat kuasa semata-mata. Individu yang sukakan hiburan ini adalah musuh utama. Oleh itu kesedaran individu atau setiap ahli masyarakat amatlah penting. Ini kerana penguatkuasaan tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SUMBER
BERITA HARIAN
27 JULAI 2011

25 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : TAFSIR SEMULA ERTI PENGGANAS

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Serangan di Oslo, Norway pada 23 Julai 2011 mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang dalam dua kejadian berasingan di dua tempat berbeza. Tujuh terkorban dalam serangan pertama menggunakan bom di pejabat kerajaan dan pejabat Perdana Menteri, Jens Stoltenberg di Oslo. Selebihnya, sekumpulan remaja yang maut dalam tembakan rambang di pulau peranginan Utoeya ketika menyertai kem belia yang dianjurkan oleh Parti Buruh pimpinan Stoltenberg. Mengikut trend di Barat, perkara pertama difikirkan pihak berkuasa adalah serangan pengganas atau lebih tepat pengganas Islam. Ini tidak pelik dan mungkin telah dijangkakan apabila Norway seperti Denmark dan beberapa negara Barat lain membiarkan media mereka mempermainkan karikatur Nabi Muhammad SAW sekitar Februari 2010. Tindak balas orang Islam juga mungkin sentiasa menghantui pemerintah dan rakyat di Barat apabila Nabi Muhammad turut dikaitkan dengan khinzir, binatang haram bagi umat Islam. Malangnya, penyerang yang berjaya ditangkap itu bukan seorang Islam sebaliknya warga Norway sendiri dikenali sebagai Anders Behring Breivik, 32, seorang anti Islam, berhaluan kanan selain tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat.

Bagi Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Azizi Muda, dunia kini sememangnya gemar menuding ke arah orang Islam di atas segala keburukan dan keganasan. "Di Norway, sikap anti Islam itu kuat dan lebih kepada prejudis terhadap agama suci ini sedangkan kebanyakan orang Islam hanya bertindak ganas apabila terdesak. "Skop politik di sana juga terlalu mahu menekan agama Islam sehingga rakyat di sana terikut sama sedangkan bukannya begitu ramai umat Islam di negara itu," katanya. Azizi juga menempelek Barat yang masih berterusan mengaitkan semua aktiviti keganasan dengan agama Islam sedangkan pengganas Eropah lebih teruk lagi sifatnya. "Tentera Republikan Ireland (IRA) dahulu lagi hebat, sekarang pun masih banyak kumpulan pengganas bukan Islam di Eropah. "Mereka seperti lupa di sana pun ada atau cuba memperkecilkan peranan pengganas negara sendiri dengan memberi gambaran buruk untuk menjatuhkan Islam," tegasnya. Tambahnya, serangan yang dilancarkan pengganas agama lain lebih teruk seperti mana tentera Eropah menyerang Libya yang tidak dikira sebagai keganasan kerana mendapat 'keizinan' terlebih dahulu.

Barat juga dakwanya, kini memupuk dan menanam rasa benci dan anti Islam di kalangan golongan kecil di bangku sekolah lagi. Menurut beliau, orang Barat sebenarnya terlalu lemah ketahanan diri dan lebih memegang prinsip mahukan keselesaan hidup tanpa diganggu sesiapa. Jelasnya, konsep 'hak asasi individu' memberi lesen kepada mereka melakukan apa sahaja sesuka hati tanpa menghiraukan norma, peraturan atau undang-undang. "Mungkin kes di Oslo ini melibatkan orang yang hati dan jiwanya lemah. Sakit hati, tembak sahaja. Ini melambangkan orang yang tidak dapat mengawal diri sendiri," ujarnya. Suspek serangan di Oslo itu dipercayai meletupkan bom di kompleks bangunan kerajaan itu beberapa jam sebelum menyamar sebagai anggota polis dan melepaskan tembakan di kem belia berkenaan. Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar dan menyertai sebuah kelab senjata api. Breivik juga menguruskan satu firma pertanian yang membolehkannya mendapat baja dalam kuantiti yang banyak iaitu bahan yang berpotensi digunakan dalam membuat bom. Suspek dalam kenyataan pertama melalui peguamnya mempertahankan tindakannya itu sebagai 'sesuatu yang perlu dilakukan' tetapi mengakui perbuatan tersebut sangat kejam.

Breivik juga bersedia menjelaskan motif tindakannya itu pada 25 Julai (Isnin) ketika proses melanjutkan tempoh tahanannya di mahkamah. Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berpendapat, serangan di Norway itu mungkin melibatkan politik dalaman memandangkan serangan bertumpu kepada bangunan dan program tajaan kerajaan. "Mungkin juga suspek menghadapi masalah psikologi atau pengikut ortodok dan pelampau agama yang taksub dalam mengambil tindakan ekstrem membunuh sesiapa sahaja termasuk penganut agama sama demi agenda peribadi. Malangnya semua agama ada penganut yang taksub dan menjadi pelampau yang bertindak ganas termasuklah dalam Islam," ujarnya. Tegasnya, bukan agama Islam sahaja yang mempunyai golongan sedemikian seperti mana di Israel sendiri, pelampau agama Yahudi yang taksub bertindak ekstrem terhadap penduduk Palestin Tambahnya, IRA di Ireland pula melancarkan perang suci sesama Kristian antara fahaman Protestan dan Katolik sementara di Sri Lanka antara Buddha dan Hindu. "Semua agama itu suci dan menolak keganasan. Oleh itu, tidak elok jika hanya menuding kepada Islam atas semua bentuk keganasan yang berlaku di seluruh dunia.

"Malangnya, Barat tutup mata bila libatkan agama selain Islam dan hanya ketengahkan kejadian yang libatkan umat Islam sedangkan pelampau agama menyalah guna dan mentafsir agama masing-masing mengikut agenda sendiri," jelasnya. Mohamad Faisol mengaitkan kejadian di Oslo dan beberapa kejadian lain di Barat sebagai bukti kukuh bukan pengganas Islam sahaja yang melakukan serangan. Tegasnya lagi, semua itu telah dijelaskan di peringkat antarabangsa termasuk oleh bekas pemimpin negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bahawa agama Islam itu suci dan tidak ganas. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula telah mengajak dan mempromosikan Islam berfahaman sederhana bagi mengelakkan kejadian puak pelampau sedemikian. "Oleh itu, Barat juga perlu buka mata membuang pemikiran skeptikal dan beri ruang untuk mentafsir semula definisi pengganas agar tidak lagi menindas agama Islam," katanya. Mohamad Faisol berharap peristiwa di Oslo menjadi titik permulaan dan platform agar entiti-entiti berkenaan dapat memberi penjelasan sebenar pengganas kepada masyarakat dunia. "Orang di Oslo juga ingin memahami bagaimana pengganas yang 'sepatutnya Islam' terbukti seorang daripada mereka yang beragama Kristian. "Inilah peluang untuk memberi penjelasan sebenar, seterusnya mengelakkan Islam terus dipandang serong sebagai pusat pengganas dunia," tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 JULAI 2011

ISU KENEGARAAN : RAKYAT MALAYSIA BERTANGGUNGJAWAB LETAK MALAYSIA SEBUAH NEGARA SELAMAT


Norway, negara Eropah yang dikategorikan aman selama ini tiba-tiba digegarkan dengan dua serangan berkembar oleh seorang lelaki bernama Ander Behring Breivik yang mengakibatkan kematian hampir 100 orang di Oslo pada 23 Julai 2011. Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana negara kita belum pernah mengalami kejadian serangan yang begitu tragis sedemikian. Semua ini kerana kita mempunyai pasukan keselamatan yang cekap 'menghidu' dan tegas bertindak dalam menjaga keselamatan negara. Oleh itu kita patut melahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pasukan-pasukan keselamatan lain dalam misi masing-masing untuk menjaga keamanan negara. Walaupun negara kita tidak sepi daripada ancaman keselamatan daripada gerakan tunjuk perasaan anjuran badan bukan kerajaan yang bersekongkol dengan pakatan pembangkang, tetapi ia mampu dikawal. Tetapi kita sedih dengan perangai segelintir rakyat kita yang suka membuat tohmahan dan tindak-tanduk mengancam keselamatan dengan niat untuk memburukkan imej negara.

Lihat bagaimana pembangkang tidak sudah-sudah menyebarkan pelbagai maklumat palsu yang mempunyai niat buruk mencemarkan imej negara di mata dunia. Kita bersyukur, tindakan mereka tidak mampu mengubah fakta dan realiti sebenar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan selamat. Baru-baru ini, laporan Global Peace Index (GPI) 2011, sebuah badan antarabangsa yang berpangkalan di Sydney, Australia meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-19 bagi negara paling selamat di dunia berbanding 156 negara lain. Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling aman di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Ini adalah julung kalinya Malaysia diberi kedudukan terbaik itu sejak 2007 dan negara ini adalah antara enam negara bukan Eropah yang menduduki 20 tempat teratas dalam senarai berkenaan, di samping Iceland, New Zealand, Jepun, Qatar dan Australia.  Hakikat atau kebetulan, tidak boleh dinafikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kadar jenayah yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menampakkan kesan.

Kemajuan, kestabilan dan keamanan Malaysia bergantung kepada kerjasama dan persefahaman setiap kaum dan ia perlu diteruskan bagi menentukan negara ini terus berkembang maju. Kita merasakan adalah satu rahmat kepada rakyat Malaysia kerana mempunyai sebuah kerajaan yang prihatin dan hasil daripada amalan bersikap adil dan komitmen terhadap rakyat, Malaysia selamat daripada gejala politik atau perkauman yang melampau. Oleh itu, elok juga Tan Sri Muhyiddin Yassin memperingatkan pemimpin pakatan pembangkang supaya tidak menggadaikan maruah negara dan keamanan yang dikecapi selama ini semata-mata kerana ingin mencapai matlamat politik mereka. Sesungguhnya usaha meletakkan Malaysia sebagai negara paling selamat di dunia bukan di bawah tanggungjawab angkatan tentera, polis dan agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri, tetapi ia juga bergantung kepada sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat. Jadi, pertahankanlah keselamatan negara kita daripada segala bentuk ancaman dari dalam ataupun luar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 JULAI 2011

24 Julai 2011

ISU SOSIAL : SEMAKIN RAMAI RAKYAT MALAYSIA SUKA MEMBACA


Apabila dilaporkan kajian terkini pembacaan rakyat Malaysia meningkat sebanyak lapan hingga 12 buku setahun, ramai merasakan ia sesuatu yang harus dibanggakan. Alasan mereka angka itu menunjukkan peningkatan kerana kajian 2005 mendapati hanya purata dua buah buku sahaja dibaca oleh seorang rakyat negara ini dalam setahun. Ya, dari satu sudut kajian itu menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah semakin positif. Tetapi apakah genre buku pilihan mereka? Pemilihan buku juga faktor penting dalam menyumbang kepada pelbagai perkara yang sihat. Akan tetapi, kajian sebelum ini menunjukkan sebilangan besar daripada pembaca Malaysia lebih cenderung membaca buku atau majalah bercorak 'ringan'. Apakah dengan berdampingan dengan novel, majalah fesyen dan hiburan, dikira sudah cukup untuk merangkumkannya dalam golongan pembaca? Maka, terdengarlah ungkapan: "Sekurang-kurangnya, aku baca ok". Bolehkah seseorang itu sekadar bergantung dengan membaca bahan ringan untuk menjadi bangsa berjaya, bak cogan kata "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya".

Salahkah membaca buku unsur ringan?

Kalau dilihat ruang bilik tidurnya dari jarak jauh, mungkin mengandaikan Nur Alia Kamarul Ahmad, 17, seorang yang ulat buku. Ia berdasarkan kepada longgokan buku tersusun kemas di sudut ruang bilik tidurnya. Namun koleksi bukunya terdiri daripada pelbagai novel merangkumi kisah cinta, penyiasatan dan sebagainya serta pelbagai jenis majalah ringan. Buku-buku ilmiah pula boleh dikira dengan jari sahaja, itu pun atas faktor keperluan pengajiannya di universiti. "Saya bosan baca buku-buku berbentuk pengetahuan, boleh buat saya mengantuk. Lagipun tidak salahkan kalau saya baca novel dan majalah daripada langsung tidak baca," katanya kepada Bernama. Mengulas mengenai situasi ini, bekas Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang membaca bahan berunsur ringan tetapi janganlah seratus peratus berpaut kepada genre sedemikian. "Kita bersyukur ada peningkatan pembacaan buku. Tetapi, masalahnya mereka hanya membaca buku ringan dan masih kurang membaca buku serius. "Seharusnya mereka perlu pelbagaikan bahan bacaan, ilmiah dan ringan. Ini kerana kita hendak melahirkan generasi pemikir, pemikir besar akan datang dan ini sangat penting," katanya yang juga merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.

Buang masa baca buku tiada kepentingan

Masalah utama sesetengah masyarakat hari ini ialah mereka lebih gemar memilih bahan bacaan yang bersangkut-paut dengan pekerjaan mereka dan bergenre ringan. Bagi mereka, membaca luar daripada skop sedemikian adalah 'merugikan', 'buang masa' dan tidak berfaedah ke arah pembentukan diri. Stigma sedemikian akhirnya menyekat horizon pengetahuan mereka yang sepatutnya diisi dengan kepelbagaian ilmu, kata Mohamad Ali. "Skop pengetahuan mereka agak terhad, dunia pemikirannya dengan dunia penaklukan pemikirannya tidak luas. Kita hendakkan warganegara yang mempunyai pemikiran global, jadi kita mesti banyak baca. "Bagaimana untuk menguasainya kalau kita baca tidak meluas dan hanya baca bahan ringan sahaja? Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ketika di sekolah menengah membaca semua bahan di perpustakaan dan pengetahuannya membolehkannya menafsir dan berdiskusi," katanya. Menganggap situasi begini ekoran daripada sistem pendidikan yang berorientasikan 'peperiksaan' berbanding 'pendidikan sepanjang hayat' menyebabkan budaya membaca belum sampai ke tahap menginsafkan, memahami dan menghayati. Wujudnya situasi ini disebabkan masih ramai menganggap budaya pembacaan sebagai satu bebanan dan tidak menyeronokkan. "Ini menyebabkan mereka hanya membaca bahan ringan dan buku ilmiah pun sekadar untuk lulus peperiksaan dan peningkatan kerjaya. Disebabkan itulah, kita belum lagi sampai tahap membaca merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan rasa kesal sekiranya tidak membaca," katanya.

Tidak boleh paksa

Tanggapan minat pembacaan buku tidak boleh dipaksa, harus disangkal kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak. Apatah lagi, anak diibaratkan seperti kain putih dan layang-layang yang harus dikemudi dengan baik dalam memupuk minat membaca generasi kecil itu sejak kecil lagi. "Saya tidak setuju kita pupuk minat membaca anak-anak dengan menjurus apa yang mereka minat. Ibu bapa harus tentukan dan pupuk minat membaca pelbagai jenis, ilmiah dan ringan. "Bukan suruh mereka baca buku ilmiah berat, tetapi yang sesuai dengan umur mereka. Bila mereka sudah biasa membaca buku ilmiah sejak kecil, budaya itu akan terus terbawa sehingga dewasa," kata Mohamad Ali. Mengakui tidak ramai yang sanggup membelanjakan wang pendapatan mereka membeli buku-buku bermutu, Mohamad Ali berkata sikap sedemikian harus diubah. "Kita tidak nampak misalnya budaya orang kita rak-rak mereka dipenuhi dengan buku bermutu. "Malah, budaya membaca majalah bulanan profesional berbentuk ilmiah untuk mengemas kini ilmu mereka pun belum nampak lagi, berbanding Barat," katanya. — BERNAMA

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 JULAI 2011