Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Serangan di Oslo, Norway pada 23 Julai 2011 mengorbankan sekurang-kurangnya 92 orang dalam dua kejadian berasingan di dua tempat berbeza. Tujuh terkorban dalam serangan pertama menggunakan bom di pejabat kerajaan dan pejabat Perdana Menteri, Jens Stoltenberg di Oslo. Selebihnya, sekumpulan remaja yang maut dalam tembakan rambang di pulau peranginan Utoeya ketika menyertai kem belia yang dianjurkan oleh Parti Buruh pimpinan Stoltenberg. Mengikut trend di Barat, perkara pertama difikirkan pihak berkuasa adalah serangan pengganas atau lebih tepat pengganas Islam. Ini tidak pelik dan mungkin telah dijangkakan apabila Norway seperti Denmark dan beberapa negara Barat lain membiarkan media mereka mempermainkan karikatur Nabi Muhammad SAW sekitar Februari 2010. Tindak balas orang Islam juga mungkin sentiasa menghantui pemerintah dan rakyat di Barat apabila Nabi Muhammad turut dikaitkan dengan khinzir, binatang haram bagi umat Islam. Malangnya, penyerang yang berjaya ditangkap itu bukan seorang Islam sebaliknya warga Norway sendiri dikenali sebagai Anders Behring Breivik, 32, seorang anti Islam, berhaluan kanan selain tiada hubungan dengan kumpulan pelampau atau jenayah berat.
Bagi Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Azizi Muda, dunia kini sememangnya gemar menuding ke arah orang Islam di atas segala keburukan dan keganasan. "Di Norway, sikap anti Islam itu kuat dan lebih kepada prejudis terhadap agama suci ini sedangkan kebanyakan orang Islam hanya bertindak ganas apabila terdesak. "Skop politik di sana juga terlalu mahu menekan agama Islam sehingga rakyat di sana terikut sama sedangkan bukannya begitu ramai umat Islam di negara itu," katanya. Azizi juga menempelek Barat yang masih berterusan mengaitkan semua aktiviti keganasan dengan agama Islam sedangkan pengganas Eropah lebih teruk lagi sifatnya. "Tentera Republikan Ireland (IRA) dahulu lagi hebat, sekarang pun masih banyak kumpulan pengganas bukan Islam di Eropah. "Mereka seperti lupa di sana pun ada atau cuba memperkecilkan peranan pengganas negara sendiri dengan memberi gambaran buruk untuk menjatuhkan Islam," tegasnya. Tambahnya, serangan yang dilancarkan pengganas agama lain lebih teruk seperti mana tentera Eropah menyerang Libya yang tidak dikira sebagai keganasan kerana mendapat 'keizinan' terlebih dahulu.
Barat juga dakwanya, kini memupuk dan menanam rasa benci dan anti Islam di kalangan golongan kecil di bangku sekolah lagi. Menurut beliau, orang Barat sebenarnya terlalu lemah ketahanan diri dan lebih memegang prinsip mahukan keselesaan hidup tanpa diganggu sesiapa. Jelasnya, konsep 'hak asasi individu' memberi lesen kepada mereka melakukan apa sahaja sesuka hati tanpa menghiraukan norma, peraturan atau undang-undang. "Mungkin kes di Oslo ini melibatkan orang yang hati dan jiwanya lemah. Sakit hati, tembak sahaja. Ini melambangkan orang yang tidak dapat mengawal diri sendiri," ujarnya. Suspek serangan di Oslo itu dipercayai meletupkan bom di kompleks bangunan kerajaan itu beberapa jam sebelum menyamar sebagai anggota polis dan melepaskan tembakan di kem belia berkenaan. Breivik dilaporkan sering melahirkan pandangan haluan kanan dan anti Islam di Internet dan memiliki beberapa senjata api berdaftar dan menyertai sebuah kelab senjata api. Breivik juga menguruskan satu firma pertanian yang membolehkannya mendapat baja dalam kuantiti yang banyak iaitu bahan yang berpotensi digunakan dalam membuat bom. Suspek dalam kenyataan pertama melalui peguamnya mempertahankan tindakannya itu sebagai 'sesuatu yang perlu dilakukan' tetapi mengakui perbuatan tersebut sangat kejam.
Breivik juga bersedia menjelaskan motif tindakannya itu pada 25 Julai (Isnin) ketika proses melanjutkan tempoh tahanannya di mahkamah. Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berpendapat, serangan di Norway itu mungkin melibatkan politik dalaman memandangkan serangan bertumpu kepada bangunan dan program tajaan kerajaan. "Mungkin juga suspek menghadapi masalah psikologi atau pengikut ortodok dan pelampau agama yang taksub dalam mengambil tindakan ekstrem membunuh sesiapa sahaja termasuk penganut agama sama demi agenda peribadi. Malangnya semua agama ada penganut yang taksub dan menjadi pelampau yang bertindak ganas termasuklah dalam Islam," ujarnya. Tegasnya, bukan agama Islam sahaja yang mempunyai golongan sedemikian seperti mana di Israel sendiri, pelampau agama Yahudi yang taksub bertindak ekstrem terhadap penduduk Palestin Tambahnya, IRA di Ireland pula melancarkan perang suci sesama Kristian antara fahaman Protestan dan Katolik sementara di Sri Lanka antara Buddha dan Hindu. "Semua agama itu suci dan menolak keganasan. Oleh itu, tidak elok jika hanya menuding kepada Islam atas semua bentuk keganasan yang berlaku di seluruh dunia.
"Malangnya, Barat tutup mata bila libatkan agama selain Islam dan hanya ketengahkan kejadian yang libatkan umat Islam sedangkan pelampau agama menyalah guna dan mentafsir agama masing-masing mengikut agenda sendiri," jelasnya. Mohamad Faisol mengaitkan kejadian di Oslo dan beberapa kejadian lain di Barat sebagai bukti kukuh bukan pengganas Islam sahaja yang melakukan serangan. Tegasnya lagi, semua itu telah dijelaskan di peringkat antarabangsa termasuk oleh bekas pemimpin negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bahawa agama Islam itu suci dan tidak ganas. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula telah mengajak dan mempromosikan Islam berfahaman sederhana bagi mengelakkan kejadian puak pelampau sedemikian. "Oleh itu, Barat juga perlu buka mata membuang pemikiran skeptikal dan beri ruang untuk mentafsir semula definisi pengganas agar tidak lagi menindas agama Islam," katanya. Mohamad Faisol berharap peristiwa di Oslo menjadi titik permulaan dan platform agar entiti-entiti berkenaan dapat memberi penjelasan sebenar pengganas kepada masyarakat dunia. "Orang di Oslo juga ingin memahami bagaimana pengganas yang 'sepatutnya Islam' terbukti seorang daripada mereka yang beragama Kristian. "Inilah peluang untuk memberi penjelasan sebenar, seterusnya mengelakkan Islam terus dipandang serong sebagai pusat pengganas dunia," tegasnya.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan