JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Julai 2011

ISU SOSIAL : HIBURAN BERLEBIHAN DI SEKELILING KITA

Oleh Shamrahayu A Aziz



Sudah tentu istilah hiburan begitu sinonim dengan kita. Sebagai manusia biasa saya juga sukakan hiburan. Mungkin pembaca juga begitu. Umumnya hiburan dapat meringankan beban masalah atau tekanan yang dihadapi. Tetapi, seperti kata ramai, kita hendaklah bijak memilih jenis hiburan yang sesuai kerana ruang lingkup hiburan sangatlah besar.  Kita maklum bahawa kesan hiburan yang berlebihan amat negatif, bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada agama, masyarakat dan negara. Bagi umat Islam sudah tentu ramai pembaca yang telah sedia maklum mengenai jenis hiburan yang dibolehkan menurut asas agama. Justeru, budaya berhibur hendaklah sentiasa selari dengan ajaran dan tuntutan agama. Namun begitu, budaya berhibur secara berlebihan telah banyak berkembang di kalangan kita. Ramai yang sudah terlalai. Bagi tujuan menangani perkara itu kita terpaksa mewujudkan undang-undang tertentu supaya budaya berhibur dibuat di dalam keadaan berhemah dan tidak mendatangkan mudarat. Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan perkara berkaitan pelesenan tempat hiburan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Pembaca boleh merujuk kepada jadual kesembilan, senarai kedua, butiran 5(f) Perlembagaan. Ekoran daripada peruntukan Perlembagaan ini kebanyakan negeri, sejak dari awal 90-an, telah memperkenalkan undang-undang berkaitan hiburan bagi tujuan mengawal selia perkara berkaitan hiburan, terutamanya pelesenan. Kebanyakan enakmen di negeri berkenaan dinamakan sebagai Undang-Undang Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan. Menurut undang-undang ini sebuah Jawatankuasa Pelesenan (di sesetengah negeri istilah Pegawai Pelesen digunakan) di bawah kerajaan negeri akan bertanggungjawab mengenai urusan pelesenan dalam pengendalian hiburan. Jawatankuasa itu mempunyai budi bicara penuh untuk mengeluarkan lesen atau meletakkan apa-apa syarat yang difikirkan patut. Ini bermakna pihak Jawatankuasa Pelesenan mempunyai kuasa untuk meletakkan apa juga sekatan atau syarat, atas apa juga alasan, sama ada alasan agama atau keselamatan. Sementara itu pihak berkuasa negeri juga boleh mengarahkan Jawatankuasa Pelesenan dalam menjalankan kuasa dan budi bicara mereka.

Pihak jawatankuasa mempunyai budi bicara penuh untuk meminda atau mengubah apa-apa syarat berkaitan pelesenan. Selain daripada itu lesen hiburan bukanlah satu hak dan ia tertakluk kepada budi bicara pegawai pelesen. Lesen yang sudah diluluskan boleh ditarik balik pada bila-bila masa apabila berlakunya perlanggaran syarat atau sekatan. Selain daripada lesen boleh ditarik balik, pihak yang melanggar syarat atau sekatan lesen juga boleh didakwa. Sementara itu pihak berkuasa negeri boleh memberi kata putus mengenai pelesenan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati mengenai penarikan balik lesen membuat rayuan. Dari segi penguatkuasaannya pula, undang-undang hiburan meletakkan tanggungjawab ke atas pihak polis. Pihak Jawatankuasa Pelesenan juga boleh memberikan kuasa berkaitan penguatkuasaan kepada mana-mana pegawai awam atau pekerja pihak berkuasa tempatan. Mereka boleh memasuki dan menjalankan penyiasatan di tempat hiburan tanpa waran (tetapi hendaklah menunjukkan surat kuasa sekiranya diminta) bagi tujuan memastikan syarat atau sekatan lesen dipatuhi.

Di dalam menjalankan kuasa ini pihak berkuasa boleh memeriksa seluruh tempat di dalam premis hiburan dan menghendaki sebarang dokumen dikemukakan. Ini menjadikan kuasa penguat kuasa begitu luas dan agak mudah secara teorinya. Walaupun begitu, selepas sekian lama undang-undang itu diluluskan dan dikuatkuasa, kita masih melihat pelbagai hiburan yang berlebihan di sekeliling kita. Ia membimbangkan dan sebenarnya amat menakutkan. Umumnya undang-undang hiburan ini tidak begitu menyerlah keberkesanan dan pelaksanaannya. Inilah antara punca yang menyebabkan budaya hiburan kita semakin liar dan seterusnya menjadi penyumbang kepada masalah sosial yang lebih serius. Saya tidak nafikan banyak tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa dalam penguatkuasaan, tetapi ia seolah-olah tidak menampakkan kesan.  


Untuk penambahbaikan, mungkin kita perlu selidiki kelemahan yang ada di dalam perundangan, termasuk sistem pelesenan, pemantauan dan penguatkuasaan dan seterusnya merancang pelan penguatkuasaan yang lebih strategik. Penguatkuasaan tidak semestinya atas dasar hiburan tertentu bertentangan dengan ajaran agama tertentu seperti agama Islam saja, tetapi secara keseluruhannya hiburan melampau tidak akan mendatangkan kebaikan. Ia hanya mengundang keburukan. Seperti mana yang kita maklum hiburan melampau sentiasa dikaitkan dengan perbuatan tidak baik dan membahayakan, seperti penggunaan arak, memandu di dalam keadaan mabuk, penggunaan dadah, pelacuran, homoseksual dan seumpamanya. Saya tidak menuding jari kepada pihak penguat kuasa semata-mata. Individu yang sukakan hiburan ini adalah musuh utama. Oleh itu kesedaran individu atau setiap ahli masyarakat amatlah penting. Ini kerana penguatkuasaan tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SUMBER
BERITA HARIAN
27 JULAI 2011

Tiada ulasan: