11 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : DASAR 1 MURID 1 SUKAN DILANCARKAN


Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan pada 9 Jun 2011, yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata dasar itu mewajibkan semua murid yang tidak mengalami masalah kesihatan memilih satu jenis sukan ditawarkan pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah. Kementerian menggariskan beberapa perkara bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini iaitu pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun.  

Antara lain, dasar ini berhasrat memupuk budaya bersukan di kalangan murid supaya menjadi anggota masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.  Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.  Muhyiddin menggariskan enam strategi memantapkan sukan di sekolah ketika mengumumkan program SPTS dan berharap dasar terbabit akan mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara. Abdul Ghafar berkata, penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan perlu bagi membangunkan modal insan cergas.



CONTOH KARANGAN
FOKUS : MANFAAT DASAR 1 MURID 1 SUKAN

Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.

Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’

(998 patah perkataan)

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : ANAK MALAYSIA PEREKA iPhone4


Ketika ramai bercerita dan kagum dengan kecanggihan telefon bimbit pintar generasi keempat, iPhone4, rakyat Malaysia boleh berbangga di sebalik kejayaan itu kerana salah seorang pereka ciptanya adalah anak tempatan. Salah seorang yang terlibat dalam merealisasikan gajet terbaru itu ialah Timothy Seng Yen Lim, 24, rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan oleh syarikat Apple untuk menghasilkan iPhone4. Semasa bekerja dengan Apple pada 2008, dia bertanggungjawab untuk merangka model terbaru iPhone itu bagi memastikan ia lebih baik daripada gajet sebelumnya. Bekerja di Apple merupakan impian beliau sejak dahulu lagi dan apa yang dipelajari di Universiti Stanford telah diaplikasikannya  dalam proses rekaan gajet tersebut.

Timothy yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Biomekanikal dan Pengurusan Sains dan Kejuruteraan daripada Universiti Stanford. Beliau sebelum itu pernah muncul sebagai pelajar Asia pertama yang mendapat 16A1 dalam peperiksaan A Level yang melayakkannya ditawarkan ke Universiti Stanford. Selain bijak dalam akademik, Timothy juga aktif berpesatuan dan pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universitinya. Timothy berkata, beliau merancang untuk berkhidmat di negara ini setelah cukup menimba pengalaman dan kemahiran di luar negara. Beliau kini berkhidmat sebagai Penganalisis Sistem Perniagaan untuk syarikat Internet terkenal, Yahoo! Inc. di AS bagi merumus semula organisasi tersebut menjadi syarikat berita dan komunikasi tersohor dunia.

10 Jun 2011

ISU DUNIA : AMERIKA SYARIKAT PERLU HENTI KEMPEN MEMERANGI PENGGANAS

Oleh Mustafa Kamal Basri




SUDAH sampai masanya kempen memerangi pengganas di Asia Barat dan di bumi Afghanistan dan Pakistan dihentikan serta-merta. Amerika Syarikat (AS) dan sekutu baratnya kini sudah tidak ada alasan lagi untuk terus bertapak di Iraq dan Afghanistan serta Pakistan setelah musuh utama AS, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan komando elit AS di bandar Abbotabat di Pakistan,2 Mei lalu. Kehadiran tentera AS di Iraq dan tentera AS serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan dan Pakistan tidak lagi diperlukan, kerana ia lebih membawa mudarat dan korban yang tinggi di kalangan penduduk awam. Kehadiran AS di kedua-dua negara itu jauh sekali membawa keamanan, sebaliknya rakyat semakin terdedah kepada ancaman maut berikutan tindakan rangkaian al-Qaeda dan militan Taliban meningkatkan serangan di kedua-dua negara itu sebagai membalas dendam atas kematian ketua mereka.

Bukan sahaja pasukan keselamatan Afghanistan dan Pakistan kini terdedah kepada serangan al-Qaeda dan Taliban yang menjadikan kemudahan-kemudahan tentera seperti pangkalan tentera dan balai polis sebagai sasaran serangan mereka, tetapi penduduk awam di kedua-dua negara itu turut terdedah kepada serangan pesawat tanpa pemandu AS dan NATO ke atas kubu al-Qaeda dan Taliban. Ini tidak termasuk beribu-ribu lagi penduduk Afghanistan dan Pakistan yang cedera dalam serangan berani mati yang dilancarkan militan al-Qaeda dan Taliban serta serangan jet tanpa pemandu AS dan NATO, manakala beribu-ribu lagi menjadi pelarian kesan operasi tentera yang dilancarkan oleh AS dan tentera kerajaan ke atas sarang dan kubu militan. Presiden Afghanistan, Hamid Karzai pada 29 Mei lalu mengeluarkan kenyataan keras tidak lagi membenarkan tentera NATO di Afghanistan melancarkan serangan udara ke atas pemberontak selepas jumlah orang awam yang terkorban akibat serangan itu semakin meningkat.

Katanya, rakyat Afghanistan tidak lagi boleh bersabar dengan serangan udara NATO yang menyebabkan ramai orang awam terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak. Presiden AS, Barack Obama perlu menyegerakan pengunduran tenteranya di bumi Iraq, Afghanistan dan Pakistan. Kempen perang ke atas pengganas bukan agenda dunia Islam. Kerajaan Iraq, Afghanistan dan Pakistan mampu menyelesaikan masalah dalaman mereka tanpa pertumpahan darah. Dunia perlu mengenakan tekanan ke atas AS dan Barat bagi menghentikan kempen memerangi pengganas yang telah meragut beribu-ribu nyawa penduduk awam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011





ISU EKONOMI : BERSEDIA HADAPI PENGURANGAN SUBSIDI


KENAIKAN harga minyak jelas mendatangkan impak yang menyeluruh kepada pelbagai perkara. Ia menyebabkan rantaian kenaikan harga barang-barang termasuk makanan dan perkhidmatan. Realitinya, harga minyak mentah dunia telah meningkat dengan mendadak di pasaran sejak pertengahan 2004 lagi. Pelbagai faktor global menjadikan harga tenaga itu semakin mahal. Ia memberi kesan kepada hampir seluruh negara di dunia. Terbaru, Belarus terpaksa menaikkan harga minyaknya sebanyak 30 peratus bagi mengekang krisis ekonomi negara republik bekas Soviet itu. Sebelum ini, China, Taiwan dan Fillipina telah mengambil tindakan yang sama. Malaysia tentunya tidak terlepas daripada masalah ini. Kesan ketara ialah peningkatan kos hidup rakyat di negara ini. Namun subsidi kerajaan terhadap harga bahan api itu 'meringankan' beban yang ditanggung rakyat Malaysia berbanding rakyat negara lain.

Bayangkan jika kerajaan tidak menanggung sebahagian besar kenaikan harga minyak, tentunya harga bahan tenaga itu di negara ini akan bersamaan dengan negara jiran seperti Thailand atau Indonesia. Jelas, trend kenaikan harga minyak dan impaknya ke atas rakyat, bukan berlaku di Malaysia sahaja. Ia adalah fenomena global dan tidak dapat dielak. Malah, rakyat di negara-negara lain lebih teruk menanggung kesannya berbanding rakyat negara ini. Tidak dapat tidak, rakyat negara ini perlu mengakui bahawa mereka masih bernasib baik dan seharusnya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kerajaan sanggup menanggung sebahagian beban tersebut. Dengan kos subsidi minyak dan barang-barang pengguna lain seperti gula, kerajaan terpaksa menanggung kos kira-kira RM11 bilion. Ini adalah satu jumlah yang terlalu besar dan dapat digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain.

Apabila kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak baru-baru ini, bermakna kerajaan terpaksa menanggung beban yang lebih besar dari segi subsidi iaitu daripada RM11 bilion kepada RM18 bilion. Masalahnya, sampai bila kerajaan terpaksa menanggung sebahagian kos kenaikan tersebut? Kemungkinan harga bahan api itu meningkat pada masa depan adalah besar. Apa akan jadi jika kenaikan tersebut melebihi paras kemampuan kerajaan untuk menanggungnya? Sebab itulah, sudah sampai masanya, semua pihak terutama rakyat negara ini bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan khususnya kenaikan harga minyak pada masa depan. Dalam erti kata lain, kita harus bersedia untuk berkorban dengan melupakan beberapa program pembangunan yang sepatutnya dapat dijana dengan wang subsidi tersebut. 

Ini adalah kos yang mungkin terpaksa dibayar untuk terus menikmati harga minyak yang lebih rendah. Mungkin bagi rakyat negara jiran, perkara seperti ini tidak lagi menjadi masalah kerana mereka sedang menghadapi situasi yang lebih teruk daripada kita semua. Tetapi bagi rakyat negara ini yang sejak sekian lama menerima subsidi daripada kerajaan, ia mungkin suatu cerita sedih yang ingin dielakkan daripada berlaku. Sesuatu mesti dilakukan segera dalam menghadapi situasi tersebut sekiranya ia tidak dapat dielakkan lagi. Bersedialah dari sekarang bagi menghadapi kemungkinan tersebut supaya kita dapat menerimanya dengan tenang. Rangkalah pelan penjimatan sendiri kerana hanya kita yang mengetahui tahap kemampuan kewangan kita. Bersederhanalah dalam segala hal kerana selain tuntutan Islam, ia juga akan memberi faedah kepada kita semua.

UTUSAN MALAYSIA, 8 JUN 2011

ISU ALAM SEKITAR : PEMUSNAHAN HUTAN DI SARAWAK AMAT MEMBIMBANGKAN

Oleh Misiah Taib
BERITA HARIAN, 10.06.2011



SEBUT saja jenis helikopter, daripada helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sampailah ke helikopter milik swasta dan persendirian, kebanyakannya sudah penulis naiki sepanjang bertugas di Bumi Kenyalang. Dari lewat 1980-an dulu ketika belum dipindahkan bertugas ke Semenanjung dan kemudian dihantar semula bertugas ke Sarawak sejak tiga tahun lalu, begitu banyak pengalaman ‘turun naik heli’ dilalui penulis, terutama untuk memasuki kawasan di hulu dan pedalaman Sarawak. Kekerapan membuat liputan aktiviti ketenteraan satu ketika dulu turut memberi peluang kepada penulis turun naik helikopter TUDM terutama Nuri, malah penulis pernah masuk hutan dan menjadi satu-satunya wartawan wanita pada lewat 1980-an yang membuat liputan latihan ketenteraan antara negara di sempadan Kalimantan, serta tidur dalam khemah tentera di tengah-tengah hutan. Malah penulis juga nyaris menaiki pesawat Nuri terbabit dalam nahas Nuri paling buruk dalam sejarah pada 18 Disember 1989 berdekatan Sungai Lundu, Sarawak.

Kejadian yang meragut nyawa 16 anggota Tentera Darat dan TUDM itu turut mengorbankan Pegawai Pemerintah Markas Divisyen Dua, Mejar Jen Datuk Mustaffa Awang dan Pemerintah Briged Ketiga Infantri, Brig Jen Datuk Hasbullah Yusoff. Pada hari berkenaan, penulis adalah antara lima wakil media yang sudah mengemukakan nama untuk menaiki pesawat berkenaan, namun atas sebab-sebab tertentu penyertaan pihak media dibatalkan pada saat-saat akhir. Mungkin belum ajal kami ketika itu, sedang kami sebenarnya sudah bersedia untuk ke Lapangan Terbang TUDM Kuching untuk menyertai rombongan berkenaan. Allahyarham Mustaffa memang amat dikenali sebagai pegawai tentera yang mesra media, malah dalam setiap majlis rasmi beliau akan memilih untuk duduk bersama media, daripada bersama pegawai kanan tentera yang lain.  Begitu juga pengalaman naik bot, baik bot penumpang ekspres, bot laju, mahupun bot kecil yang memasuki anak sungai dengan pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah menyusuri jeram paling berbahaya di Pelagus, selain pengalaman naik bot kecil 10 jam ke hulu Julau, yang menyebabkan lenguh seluruh badan.

Sama ada menaiki helikopter, mahupun bot atau menaiki kereta pacuan empat roda menyusuri jalan balak, satu perkara yang penulis perasan ialah Sarawak memang masih kaya dengan kawasan hutan yang begitu tebal, namun pada masa sama jelas kelihatan beberapa kawasan hutan yang sudah mula ditebang, sama ada kerana aktiviti pembalakan atau penanaman kelapa sawit secara besar-besaran. Tidak hairanlah Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) melaporkan, sekurang-kurangnya 400 kilometer persegi hutan Borneo lesap permukaan bumi setiap saat atau purata keluasan 24 padang bola sepak dalam tempoh lima minit. Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar di Pulau Borneo kini menjadi isu paling membimbangkan pada abad ini. Pulau Borneo yang mempunyai keluasan 740,000 kilometer (km) persegi atau dua kali ganda saiz Jerman adalah pulau ketiga terbesar di dunia.

Ia dibahagi kepada tiga negara iaitu Brunei (6,000 km persegi), Malaysia (Sabah dan Sarawak) masing-masing 72,000 km persegi dan 124,500 km persegi, manakala Kalimantan, Indonesia (500,000 km persegi). Penyelidikan mendapati kawasan hutan di Kepulauan Borneo pada 2005 hanya tinggal 50 peratus berbanding 75 peratus pada pertengahan 1980. Ini bermakna sepanjang tempoh itu, Borneo kehilangan hutan seluas 850,000 hektar setiap tahun. Jika trend ini berterusan, hutan Borneo hanya tinggal kurang dua pertiga daripada keluasan kepulauan berkenaan menjelang 2020. Di antara 2000 hingga 2002, kegiatan penerokaan hutan di Kalimantan melonjak kepada 1.2 juta hektar. Begitu juga di Sarawak dan Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1.3 juta hektar atau satu pertiga Switzerland berikutan pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran, di samping pembalakan dan kebakaran.

Deklarasi ‘Heart of Borneo (HoB)’ atau Nadi Borneo yang dipersetujui kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam pada Persidangan Diversiti Biologikal Kelapan di Brazil pada Mac 2006, menyaksikan tiga negara pada dasarnya bertujuan bekerjasama dalam mengurus, memelihara dan memulihara ekosistem rentas sempadan membabitkan ketiga-tiga negara berlandaskan prinsip pembangunan mapan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perlindungan. Ketiga-tiga negara bersetuju bekerjasama memelihara kawasan hutan seluas kira-kira 2.5 juta hektar merentangi ketiga-tiga negara bermula dari Kinabatangan, Sabah sehingga ke Sebuku Sembakung, Kalimantan.





ISU SOSIAL :PENINGKATAN PERCERAIAN PUNCA KAHWIN LEWAT

Oleh Muhammad Anwar Fahmi Abdullah
BERITA HARIAN
10.06. 2011


ISU kahwin lewat bukan perkara baru dalam masyarakat hari ini, malah banyak negara membangun dan hampir seluruh negara maju berdepan fenomena sama. Laporan terkini Lembaga Penduduk dan Pembangunan keluarga Negara (LPPKN), menyuarakan kebimbangan terhadap trend kahwin lewat golongan wanita berpendapatan tinggi. Menurut sumber LPPKN itu, kebanyakan wanita lanjut usia tidak berkahwin disebabkan tiada calon sesuai, manakala kalangan lelaki pula memberikan alasan pendapatan mereka tidak stabil dari segi pengurusan ekonomi kendiri. Antara data dilaporkan LPPKN, 30 peratus wanita berusia 25 hingga 29 masih bujang, manakala lelaki berusia antara 30 hingga 34 tahun, 25 peratus daripadanya masih tidak berkahwin. Persoalannya kini apakah benar isu kekangan ekonomi mahupun kesukaran mendapat jodoh adalah antara faktor utama kepada tercetusnya isu kahwin lewat mahupun turut membabitkan faktor lain seperti ingin menikmati kehidupan teruna mahupun dara serta kebebasan mutlak dan tidak berhasrat memikul tanggungjawab secara drastik sepanjang kehidupan mereka pada usia antara 30 hingga 40 tahun.

Justeru, ramai pasangan berkahwin pada awal usia antara 20 hingga 30 tahun bercerai selepas mendirikan rumah tangga, disebabkan pelbagai faktor, seperti bosan dengan layanan, tiada kesefahaman, terlalu awal memikul tanggungjawab berkeluarga dan terikat dengan pelbagai bebanan kewangan dan juga penyaraan keluarga serta pelbagai konflik serta perselisihan rumah tangga yang lain. Masyarakat Barat lebih selesa berhubungan dengan pasangan masing-masing pada usia remaja dan belia. Pada usia antara 18 hingga 25 tahun kebanyakan pasangan di negara Barat memulakan hubungan sosial yang kadang kala keterlaluan sehingga bertindak seperti suami isteri. Persefahaman, kenikmatan hidup, kebebasan naluri antara pasangan akan membolehkan mereka kenal mengenali, kadang kala perhubungan yang terlalu sulit dan intim akan menyebabkan mereka khususnya wanita remaja berkaitan mengandung anak luar nikah.

Pasangan yang benar-benar bersetuju, sekutu dan sealiran dengan norma serta budaya kehidupan antara mereka akan meneruskan perkahwinan, namun keadaan akan berubah sekiranya wujud jurang persefahaman antara mereka, sudah barang tentu mereka akan berpisah mahupun memutuskan hubungan. Pendekatan perhubungan masyarakat Barat bercanggah dengan budaya Timur mahupun pendekatan Islam. Maka jarang timbul isu perceraian ketara dalam masyarakat Barat. Malahan belia dan remaja Barat akan memberikan fokus pengajian dan pembelajaran di kampus pada usia lewat antara 26 sehingga 35 tahun. Keadaan ini disebabkan mereka lebih gemar menikmati alam remaja dan juga bersosial pada usia itu. Merujuk kepada pendekatan Islam, perkahwinan diwajibkan untuk setiap Muslim yang mampu, bersedia dan tidak mampu mengawal nafsu serta bimbang terjerumus dalam kancah maksiat.

Islam melarang hubungan intim sebelum pernikahan disebabkan pendekatan berkaitan bakal menggugat institusi kekeluargaan, akidah serta mengundang pelbagai permasalahan sosial seperti pembuangan bayi, pelacuran serta penularan penyakit HIV dan AIDS. Masyarakat Islam yang bernikah tetap berhadapan ujian. Antaranya isu perceraian pasangan Islam kian meningkat. Antara faktor penyumbang terhadap isu perceraian ini disebabkan lafaz talak, memandangkan suami berhak melafazkan talak dalam keadaan tertentu, maka pasangan terbabit akan merujuk Mahkamah Syariah untuk proses perceraian. Isu talak tidak wujud dalam masyarakat bukan Islam. Pasangan bukan Islam tetap berselisih faham dalam banyak keadaan namun mereka tidak boleh disabitkan dengan pendekatan undang-undang Islam. Pasangan bukan Islam yang berbalah akan kembali berdamai dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tidak dinafikan perceraian tidak digalakkan dalam Islam dan Allah SWT melaknat pasangan yang bercerai tanpa sebab kukuh. Namun ramai pasangan Islam yang pada hakikatnya bercerai melalui pelbagai pengalaman, perselisihan antara pasangan namun tetap meneruskan hubungan sebagai suami isteri. Trend mengadakan hubungan intim sebelum nikah kian menjadi fenomena biasa belia pada era ledakan arus pembangunan global dan juga merujuk trend kehidupan yang menyajikan keseronokan dan hiburan. Peningkatan kadar perceraian dan penderaan turut menyumbang kelewatan bernikah antara pasangan di negara ini. Kebanyakan wanita dan lelaki bujang bimbang trend perceraian di negara ini kian meningkat. Mereka tidak ingin menanggung risiko sehingga memilih untuk hidup bersendirian.




07 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : BIASISWA JPA, KENAKAN SYARAT TAMBAHAN


Kerajaan diminta mengenakan syarat tambahan kepada pelajar yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan golongan itu kembali berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara. Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, syarat tambahan itu perlu sebagai syarat kelayakan kepada pelajar berkenaan bagi memastikan negara tidak kekurangan tenaga kerja profesional pada masa depan. Melalui pengenalan syarat itu kata beliau, pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara secara automatik diwajibkan pulang dan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian mereka sama ada secara terus atau mengikut tempoh tertentu yang ditetapkan. GPMS Selangor menyambut baik langkah kerajaan untuk mengenakan tindakan termasuk menetapkan supaya pelajar tajaan JPA yang enggan pulang ke tanah air membayar balik biasiswa.

Keengganan pelajar ini sebenarnya merugikan negara daripada banyak sudut. Negara bukan sahaja rugi tenaga kerja profesional tetapi juga dari segi peruntukan kewangan besar yang diberikan kepada mereka. Justeru, dicadangkan agar kerajaan tetapkan syarat tertentu kepada pelajar yang menerima biasiswa JPA ini seperti mewajibkan mereka kembali berkhidmat di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengatakan bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang termasuk bayaran balik biasiswa oleh para pelajar tajaannya yang enggan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara. Menurut Mohamed Nazri, kebanyakan pelajar yang enggan pulang merupakan penuntut universiti di Eropah dan Amerika Syarikat dengan menerima biasiswa JPA berjumlah antara RM400,000 hingga RM1.2 juta setiap seorang.

Dalam pada itu, kita tidak menolak kemungkinan keengganan pelajar yang menerima tajaan JPA itu untuk pulang mungkin kerana mahu berkhidmat di luar negara kerana gaji yang tinggi atau mahu mencari pengalaman bekerja. Namun, pelajar terbabit harus faham bahawa tanggungjawab kepada negara juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana kejayaan mereka adalah hasil pembiayaan yang diperolehi dengan titik peluh rakyat negara ini. Kerajaan telah banyak melabur kepada pelajar ini bagi melahirkan tenaga profesional untuk manfaat negara dan sewajarnya mereka berterima kasih dengan kembali untuk memajukan negara. Jika mereka enggan, wajarlah mereka bayar balik biasiswa tersebut agar boleh disalurkan semula kepada pelajar-pelajar lain yang sanggup berkhidmat di negara ini.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB PELAJAR TAJAAN


Bayar balik biasiswa atau kembali bekerja di tanah air. Itu dua pilihan untuk penerima-penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dibiayai pengajiannya di luar negara dengan menggunakan wang kerajaan itu. Dalam tempoh 10 tahun lalu, JPA mengesan seramai 500 pelajar tajaannya yang tidak pulang ke negara untuk berkhidmat selepas berjaya menamatkan pengajian. Direkodkan antara tahun 2000 hingga 31 Mei tahun ini, seramai 145 penerima biasiswa tersebut gagal kembali berkhidmat di tanah air manakala 195 kes telah diambil tindakan. Sementara itu, 160 kes pula telah selesai iaitu penerima kembali berkhidmat di negara ini selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai membuat bayaran ansuran atau selesai membayar biasiswa tersebut. Maka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam menyatakan bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang enggan pulang selepas menamatkan pengajian di sana, tindakan tersebut sebenarnya amat wajar dilakukan. Kita tolak ke tepi dulu, soal memiliki semangat patriotik atau tidak, soal memperoleh pendapatan lebih lumayan di luar negara atau faktor-faktor tarikan lain.

Yang perlu ditekankan ialah pemegang biasiswa ini seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh lari daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar tajaan dengan sewenang-wenangnya. Sebelum memohon biasiswa, pemohon sudah dimaklumkan dengan syarat-syarat tertentu dan sekiranya ingkar terhadap perjanjian yang ditandatangani, tuntutan gantirugi akan dikenakan. Tuntutan gantirugi ini bukanlah sesuatu tindakan yang tidak adil terhadap mereka. Kerajaan sudah membiayai mereka, dan sudah sewajarnya itu pembiayaan itu dilangsaikan semula. Amat merugikan kerajaan yang sudah menghabiskan berjuta-juta ringgit yang pastinya turut melibatkan wang rakyat dalam membiayai pelajar-pelajar ini, tetapi akhirnya mereka memilih untuk berkhidmat di luar negara. Dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara ketika ini, mereka seharusnya kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Langkah ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas dan rakyat turut mendapat manfaat daripadanya.

UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011

06 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : PERANAN GURU JANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB


Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara. "Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah. "Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru. "Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S). "Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau. Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar. "Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya. Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. "Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.

"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya. Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. "Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau. Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya. Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya "Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan. "Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya. Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. "Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. "Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA, 14 MEI 2011