JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Jun 2011

ISU ALAM SEKITAR : PEMUSNAHAN HUTAN DI SARAWAK AMAT MEMBIMBANGKAN

Oleh Misiah Taib
BERITA HARIAN, 10.06.2011



SEBUT saja jenis helikopter, daripada helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sampailah ke helikopter milik swasta dan persendirian, kebanyakannya sudah penulis naiki sepanjang bertugas di Bumi Kenyalang. Dari lewat 1980-an dulu ketika belum dipindahkan bertugas ke Semenanjung dan kemudian dihantar semula bertugas ke Sarawak sejak tiga tahun lalu, begitu banyak pengalaman ‘turun naik heli’ dilalui penulis, terutama untuk memasuki kawasan di hulu dan pedalaman Sarawak. Kekerapan membuat liputan aktiviti ketenteraan satu ketika dulu turut memberi peluang kepada penulis turun naik helikopter TUDM terutama Nuri, malah penulis pernah masuk hutan dan menjadi satu-satunya wartawan wanita pada lewat 1980-an yang membuat liputan latihan ketenteraan antara negara di sempadan Kalimantan, serta tidur dalam khemah tentera di tengah-tengah hutan. Malah penulis juga nyaris menaiki pesawat Nuri terbabit dalam nahas Nuri paling buruk dalam sejarah pada 18 Disember 1989 berdekatan Sungai Lundu, Sarawak.

Kejadian yang meragut nyawa 16 anggota Tentera Darat dan TUDM itu turut mengorbankan Pegawai Pemerintah Markas Divisyen Dua, Mejar Jen Datuk Mustaffa Awang dan Pemerintah Briged Ketiga Infantri, Brig Jen Datuk Hasbullah Yusoff. Pada hari berkenaan, penulis adalah antara lima wakil media yang sudah mengemukakan nama untuk menaiki pesawat berkenaan, namun atas sebab-sebab tertentu penyertaan pihak media dibatalkan pada saat-saat akhir. Mungkin belum ajal kami ketika itu, sedang kami sebenarnya sudah bersedia untuk ke Lapangan Terbang TUDM Kuching untuk menyertai rombongan berkenaan. Allahyarham Mustaffa memang amat dikenali sebagai pegawai tentera yang mesra media, malah dalam setiap majlis rasmi beliau akan memilih untuk duduk bersama media, daripada bersama pegawai kanan tentera yang lain.  Begitu juga pengalaman naik bot, baik bot penumpang ekspres, bot laju, mahupun bot kecil yang memasuki anak sungai dengan pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah menyusuri jeram paling berbahaya di Pelagus, selain pengalaman naik bot kecil 10 jam ke hulu Julau, yang menyebabkan lenguh seluruh badan.

Sama ada menaiki helikopter, mahupun bot atau menaiki kereta pacuan empat roda menyusuri jalan balak, satu perkara yang penulis perasan ialah Sarawak memang masih kaya dengan kawasan hutan yang begitu tebal, namun pada masa sama jelas kelihatan beberapa kawasan hutan yang sudah mula ditebang, sama ada kerana aktiviti pembalakan atau penanaman kelapa sawit secara besar-besaran. Tidak hairanlah Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) melaporkan, sekurang-kurangnya 400 kilometer persegi hutan Borneo lesap permukaan bumi setiap saat atau purata keluasan 24 padang bola sepak dalam tempoh lima minit. Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar di Pulau Borneo kini menjadi isu paling membimbangkan pada abad ini. Pulau Borneo yang mempunyai keluasan 740,000 kilometer (km) persegi atau dua kali ganda saiz Jerman adalah pulau ketiga terbesar di dunia.

Ia dibahagi kepada tiga negara iaitu Brunei (6,000 km persegi), Malaysia (Sabah dan Sarawak) masing-masing 72,000 km persegi dan 124,500 km persegi, manakala Kalimantan, Indonesia (500,000 km persegi). Penyelidikan mendapati kawasan hutan di Kepulauan Borneo pada 2005 hanya tinggal 50 peratus berbanding 75 peratus pada pertengahan 1980. Ini bermakna sepanjang tempoh itu, Borneo kehilangan hutan seluas 850,000 hektar setiap tahun. Jika trend ini berterusan, hutan Borneo hanya tinggal kurang dua pertiga daripada keluasan kepulauan berkenaan menjelang 2020. Di antara 2000 hingga 2002, kegiatan penerokaan hutan di Kalimantan melonjak kepada 1.2 juta hektar. Begitu juga di Sarawak dan Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1.3 juta hektar atau satu pertiga Switzerland berikutan pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran, di samping pembalakan dan kebakaran.

Deklarasi ‘Heart of Borneo (HoB)’ atau Nadi Borneo yang dipersetujui kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam pada Persidangan Diversiti Biologikal Kelapan di Brazil pada Mac 2006, menyaksikan tiga negara pada dasarnya bertujuan bekerjasama dalam mengurus, memelihara dan memulihara ekosistem rentas sempadan membabitkan ketiga-tiga negara berlandaskan prinsip pembangunan mapan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perlindungan. Ketiga-tiga negara bersetuju bekerjasama memelihara kawasan hutan seluas kira-kira 2.5 juta hektar merentangi ketiga-tiga negara bermula dari Kinabatangan, Sabah sehingga ke Sebuku Sembakung, Kalimantan.





Tiada ulasan: