KENAIKAN harga minyak jelas mendatangkan impak yang menyeluruh kepada pelbagai perkara. Ia menyebabkan rantaian kenaikan harga barang-barang termasuk makanan dan perkhidmatan. Realitinya, harga minyak mentah dunia telah meningkat dengan mendadak di pasaran sejak pertengahan 2004 lagi. Pelbagai faktor global menjadikan harga tenaga itu semakin mahal. Ia memberi kesan kepada hampir seluruh negara di dunia. Terbaru, Belarus terpaksa menaikkan harga minyaknya sebanyak 30 peratus bagi mengekang krisis ekonomi negara republik bekas Soviet itu. Sebelum ini, China, Taiwan dan Fillipina telah mengambil tindakan yang sama. Malaysia tentunya tidak terlepas daripada masalah ini. Kesan ketara ialah peningkatan kos hidup rakyat di negara ini. Namun subsidi kerajaan terhadap harga bahan api itu 'meringankan' beban yang ditanggung rakyat Malaysia berbanding rakyat negara lain.
Bayangkan jika kerajaan tidak menanggung sebahagian besar kenaikan harga minyak, tentunya harga bahan tenaga itu di negara ini akan bersamaan dengan negara jiran seperti Thailand atau Indonesia. Jelas, trend kenaikan harga minyak dan impaknya ke atas rakyat, bukan berlaku di Malaysia sahaja. Ia adalah fenomena global dan tidak dapat dielak. Malah, rakyat di negara-negara lain lebih teruk menanggung kesannya berbanding rakyat negara ini. Tidak dapat tidak, rakyat negara ini perlu mengakui bahawa mereka masih bernasib baik dan seharusnya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kerajaan sanggup menanggung sebahagian beban tersebut. Dengan kos subsidi minyak dan barang-barang pengguna lain seperti gula, kerajaan terpaksa menanggung kos kira-kira RM11 bilion. Ini adalah satu jumlah yang terlalu besar dan dapat digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain.
Apabila kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak baru-baru ini, bermakna kerajaan terpaksa menanggung beban yang lebih besar dari segi subsidi iaitu daripada RM11 bilion kepada RM18 bilion. Masalahnya, sampai bila kerajaan terpaksa menanggung sebahagian kos kenaikan tersebut? Kemungkinan harga bahan api itu meningkat pada masa depan adalah besar. Apa akan jadi jika kenaikan tersebut melebihi paras kemampuan kerajaan untuk menanggungnya? Sebab itulah, sudah sampai masanya, semua pihak terutama rakyat negara ini bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan khususnya kenaikan harga minyak pada masa depan. Dalam erti kata lain, kita harus bersedia untuk berkorban dengan melupakan beberapa program pembangunan yang sepatutnya dapat dijana dengan wang subsidi tersebut.
Ini adalah kos yang mungkin terpaksa dibayar untuk terus menikmati harga minyak yang lebih rendah. Mungkin bagi rakyat negara jiran, perkara seperti ini tidak lagi menjadi masalah kerana mereka sedang menghadapi situasi yang lebih teruk daripada kita semua. Tetapi bagi rakyat negara ini yang sejak sekian lama menerima subsidi daripada kerajaan, ia mungkin suatu cerita sedih yang ingin dielakkan daripada berlaku. Sesuatu mesti dilakukan segera dalam menghadapi situasi tersebut sekiranya ia tidak dapat dielakkan lagi. Bersedialah dari sekarang bagi menghadapi kemungkinan tersebut supaya kita dapat menerimanya dengan tenang. Rangkalah pelan penjimatan sendiri kerana hanya kita yang mengetahui tahap kemampuan kewangan kita. Bersederhanalah dalam segala hal kerana selain tuntutan Islam, ia juga akan memberi faedah kepada kita semua.
UTUSAN MALAYSIA, 8 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan