20 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : IKHTIBAR KEBANGKITAN RAKYAT MESIR


Selepas  berakhirnya kepemimpinan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak, masa depan Mesir sebenarnya masih kabur dan keadaan belum reda sepenuhnya. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan diadakan di seluruh Mesir meskipun tentera sebelum mengambil alih pentadbiran buat sementara waktu sehingga pilihan raya September depan.  Apa pun, sebelum ini tumbangnya Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali ibarat sepotong api dicampakkan ke dalam sekam gandum bernama Mesir yang menyimpan api dalam diam. Kekecewaan dan kemarahan rakyat Mesir boleh dianalogikan sebagai ‘api dalam sekam’ yang menjalar di kalangan masyarakat bawahan dan generasi muda serta tidak dapat dihidu oleh kerajaan pimpinan Mubarak. Ia timbul kesan daripada kemiskinan dan kenaikan harga barang yang memburukkan lagi jurang perbezaan antara kelas, rasuah dan kekayaan peribadi yang berlegar di kalangan golongan atasan dan pengangguran di kalangan generasi muda.

Dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International 2010, Mesir berada pada tangga ke-98, manakala kadar celik huruf pula rendah, iaitu 66 peratus menjadikannya sebagai negara terendah di Asia Barat selepas Yaman. Umur purata rakyat Mesir ialah 25 tahun tetapi pengangguran adalah masalah utama belia kerana kira-kira 43 peratus daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan. Kemelut politik, sosial dan ekonomi inilah kemudian meletuskan kemarahan rakyat Mesir sehingga mereka tidak lagi dapat membendungnya daripada melimpah ke Dataran Tahrir, Kaherah pada 25 Januari lalu. Puluhan ribu rakyat Mesir yang rata-ratanya generasi muda, menunjuk perasaan bermatlamat bagi mendesak Mubarak meletak jawatan yang membawa kepada Yaumul Ghadhab atau Hari Kemarahan pada Jumaat, iaitu 28 Januari.  Penunjuk perasaan bukan saja terpaksa berdepan dengan tindakan polis untuk menyuraikan mereka dengan peluru getah dan pancutan air, bahkan menghadapi kelompok pro-Mubarak sehingga tercetusnya pertempuran.

Pada 4 Februari pula, penunjuk perasaan mengadakan Yaum ar-Rahil atau Hari Pengunduran selepas mereka membina khemah dan mewujudkan sekatan di Dataran Tahrir tetapi Mubarak tetap berdegil dan enggan melepaskan jawatan. Tunjuk perasaan bukan hanya terhad di sekitar Dataran Tahrir, bahkan merebak di bandar lain seperti Iskandariah, Mansurah dan Suez. Kerajaan Mesir pada awalnya menganggap kebangkitan rakyat dapat dipadamkan dengan menggunakan instrumen dan modus operandi sedia ada termasuk menyekat capaian internet dengan harapan memutuskan hubungan penunjuk perasaan dengan masyarakat dan dunia luar. Hal ini diakui pengeksport papyrus yang beribu pejabat di Tahrir, Omar Hashim, yang berkata kerajaan memandang rendah keupayaan gerakan pemuda apabila menganggap ia mudah dipatahkan. “Bagaimanapun, penunjuk perasaan membuktikan iltizam mereka untuk tidak berganjak dari Dataran Tahrir sehingga tuntutan mereka ditunaikan.

Rakyat sendiri dapat saksikan Mubarak yang memberikan kenyataan pada malam sebelum Yaum ar-Rahil kedua apabila beliau tidak banyak memandang kamera, sekali gus menunjukkan tanda kekalahan,” katanya. Namun, peletakan jawatan Mubarak tidak berlaku sehinggalah jutaan rakyat Mesir turun ke Dataran Tahrir dan Istana Presiden di Kaherah, selain bandar utama di seluruh Mesir termasuk Iskandariah, Mansurah, Suez, Damanhur dan Ismailiyah. Pengumuman peletakan jawatan Mubarak itu dibuat oleh Timbalan Presiden, Omar Suleiman, mengelakkan keadaan tunjuk perasaan menjadi lebih buruk apabila rakyat Mesir seolah-olah mengambil sikap membujur lalu, melintang patah.  Peletakan jawatan Mubarak bererti kuasa diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata di bawah kepemimpinan Muhammad Hussein Tantawi. Sepanjang tunjuk perasaan, tentera mengawal keadaan tanpa mengambil tindakan yang terlalu memperlihatkan mereka berada di pihak mana.

Tidak hairanlah apabila berita peletakan jawatan itu disiarkan di televisyen, ada di kalangan tentera yang turut menyambutnya. Malah, tentera juga lebih mesra pasca kejatuhan Mubarak apabila orang ramai mengunjungi Dataran Tahrir untuk meraikan ‘Mesir Baru’, sekali gus mengambil peluang untuk bergambar dengan tentera termasuk berlatarbelakangkan kereta kebal dan kereta perisai. Tentera sebenarnya mempunyai kedudukan istimewa di sisi rakyat Mesir khususnya kejayaan mereka merampas kembali Semenanjung Sinai daripada Israel dalam Perang Oktober pada 1973. Bagaimanapun, kedudukan istimewa tentera dalam sejarah dan sosio-politik tempatan itu tidak bermakna orang ramai khususnya mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan, mudah menerima situasi tentera yang berkuasa penuh. Justeru, tidak hairanlah pemimpin muda di kalangan penunjuk perasaan membuat pertemuan dengan kepemimpinan tentera untuk menentukan sebahagian tuntutan berkaitan dengan revolusi.

Rakyat masih kabur dengan masa depan Mesir walaupun mereka mengharapkan keadaan lebih baik, maju dan pengagihan kekayaan yang seimbang. Pada masa sama, kejayaan ‘revolusi rakyat’ itu turut membuka pintu baru kepada masyarakat Mesir untuk mengadakan demonstrasi kecil-kecilan bagi mendesak kerajaan atau syarikat mendengar suara mereka serta memenuhi tuntutan yang dikeluarkan. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan itu diadakan di seluruh Mesir yang sebenarnya menambahkan kekaburan terhadap masa depan Mesir. Kini, rakyat Mesir kembali kepada kehidupan normal mereka tetapi berbekalkan semangat baru selepas menjatuhkan pemimpin yang memerintah tiga dekad dan semangat itu bergantung kepada komitmen dan istiqamah mereka untuk melakukan perubahan.

SUMBER : BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : RUMAH DAN KELAS MENENGAH


Di negara maju atau membangun, golongan kelas menengah menjadi penentu kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Biasanya, mereka adalah golongan majoriti. Sama ada mewakili apa kaum sekali pun, mereka adalah penentu kepada keputusan pilihan raya.  Selain kumpulan ini mempunyai pendirian dan pendapat politik dan sebahagiannya menjadi pemimpin pendapat, mereka juga boleh mempengaruhi pemikiran orang ramai. Boleh dikatakan sebahagian profesyen dalam sektor swasta dan kerajaan diwakili golongan ini yang kebanyakannya menetap di bandar utama. Mereka ada golongan yang cepat bertindak dalam setiap perkembangan politik atau ekonomi.Antara mereka adalah doktor, peguam, pensyarah dan guru. Sebahagian mereka juga adalah suami isteri. Mereka adalah golongan yang sensitif dengan suasana sekeliling. Di kebanyakan negara di dunia, golongan kaya hanya mewakili peratusan kecil bilangan penduduk.

Kekayaan mereka mungkin warisan keturunan, golongan bangsawan atau usahawan, selain golongan teknokrat. Golongan ini biasanya akan menyokong apa juga sistem yang boleh menjamin kesejahteraan hidup mereka dan keluarga, apatah lagi keselamatan harta dan kekayaan mereka. Golongan miskin pula kian lama kian berkurangan berikutan pembelaan dan pembangunan yang dibawa untuk mereka. Pengecualian mungkin di negara yang keadaan semula jadinya tidak subur atau sering ditimpa bencana. Bertambah maju sesebuah negara berikutan kemajuan sistem pendidikan, makin ramai rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan dan memasuki kumpulan pertengahan.  Kemiskinan kehidupan ayah dan ibu dibela oleh anak yang berjaya memasuki universiti dan kemudian mengubah corak pemikiran dan kehidupan keluarga. Di Malaysia, kerajaan mempunyai program berterusan untuk mengeluarkan mereka daripada paras kemiskinan.

Biasanya golongan miskin tahu membalas budi. Mereka akan menyokong kerajaan yang membantu mereka. Bagaimanapun, golongan ini terdedah kepada eksploitasi politik khasnya daripada kumpulan antikerajaan. Mereka bertindak kononnya memperjuangkan nasib orang miskin dan mendedahkan isu kemiskinan untuk mendapatkan sokongan golongan ini. Mereka juga memperalatkan golongan ini untuk meraih simpati pelajar dan masyarakat serta golongan pertengahan supaya menolak kerajaan yang kononnya tidak peka terhadap isu kemiskinan. Di Malaysia, kemiskinan tidak boleh lagi dijadikan isu politik kerana selain bilangannya kian mengecil, kerajaan mempunyai pelbagai program menyediakan kemudahan infrastruktur hinggalah kepada skim perumahan khas untuk mereka.  Kerajaan hari ini menghadapi tuntutan golongan sederhana atau golongan kelas menengah pula.

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menggembirakan golongan ini, parti pembangkang boleh melupakan apa saja niat mereka untuk mengurus negara ini. Hari ini pembangkang cuba mendekati golongan ini dengan membawa isu kenaikan harga barang kerana menyedari mereka adalah pengguna terbesar yang menerima kesan daripadanya kerana secara demografinya mereka adalah penduduk bandar dan makan gaji.  Mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan berasa kehidupan mereka terhimpit. Kesempatan ini digunakan untuk menghasut pemikiran mereka supaya menentang kerajaan. Perumahan akan menjadi isu utama kumpulan sederhana ini jika semakin ramai daripada mereka tidak memiliki rumah akibat harga yang kian meningkat.  Di Kuala Lumpur, untuk mencari rumah dalam lingkungan harga RM200,000 hampir sudah tiada. Oleh itu, cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan kuota rumah berharga RM200,000 seunit, adalah berita baik bagi golongan ini.

Cadangan yang mirip konsep program perumahan rakyat (PPR) yang dikhususkan untuk keluarga berpendapatan kurang RM2,500 sebulan itu dijangka dapat memenuhi keperluan keluarga berpendapatan sederhana di antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Di Amerika Syarikat, contohnya, tuntutan golongan kelas menengah ini adalah lebih besar. Bagi mereka untuk menjadi warta kelas menengah, mesti kuat bekerja untuk menampung keluarga dan mesti mempunyai kerja yang terjamin selain mampu memiliki rumah, menghantar anak ke sekolah kelas dunia serta memastikan mereka mendapat jaminan kesihatan bermutu dan memperoleh jaminan pencen.Golongan ini amat kritikal terhadap setiap peraturan yang dikenakan ke atas mereka, malah mereka mengambil tahu soal pasaran. Mereka memberi perhatian mengenai udara dan air bersih, keadilan di tempat kerja, produk yang selamat dan dilindungi keselamatan sosial dan memastikan mendapat rawatan kesihatan yang sempurna.

Pentadbiran Amerika Syarikat menambah dua lagi perlindungan – melindungi pesakit daripada amalan buruk syarikat insurans dan melindungi pengguna daripada produk kewangan berisiko.  Di Malaysia, rakyat tidak mengambil berat soal begini, malah mereka sering terjebak dengan amalan yang buruk. Kerajaan baru-baru ini melancarkan Dasar Perumahan Negara disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Matlamatnya adalah baik, iaitu untuk memastikan setiap keluarga memiliki rumah sendiri menjelang 2020. Jika keluarga berpendapatan pertengahan menikmati mutu hidup lebih baik, kerajaan BN tiada masalah untuk memenangi pilihan raya akan datang. Berdasarkan statistik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), permintaan semasa untuk rumah baru ialah antara 150,000 hingga 200,000 unit setahun. Jika sebahagian besarnya dapat menampung kumpulan berpendapatan sederhana, BN pasti sekali lagi mendapat mandat daripada rakyat.

SUMBER : BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : CABARAN BARU KEPIMPINAN SEKOLAH MELALUI KONSEP BAI'AH


Kualiti pengetua dan guru besar adalah penentu kepada program Tawaran Baru atau Bai'ah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 di Putrajaya baru-baru ini. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan cabaran baru kepada pengetua dan guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang. Konsep Bai'ah ini amat mudah. Sekiranya prestasi sekolah melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk kewangan. Jumlahnya amat menarik iaitu mereka layak menerima RM7,500 seorang. Sementara itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain diberikan RM900 seorang. Nama pengetua dan guru besar yang layak akan diumumkan pada pertengahan tahun ini. Inisiatif ini ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan di bawah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA).

Apa yang jelas, tawaran ini akan membuka satu lembaran baru kepada tanggungjawab pemimpin dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengetua dan guru besar bukan setakat menduduki kerusi teratas dalam hierarki organisasi sekolah, tetapi kualiti mereka akan menentukan sama ada sekolah yang mereka terajui berada di tahap cemerlang. Mereka tidak lagi dianggap sebagai pentadbir sekolah semata-mata tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu membangunkan sumber manusia. Guru dan pelajar menjadi aset utama yang perlu dibangunkan keupayaan dan kebolehan mereka ke tahap maksimum supaya dapat berkongsi membangunkan sekolah ke arah kecemerlangan. Pengetua dan guru besar yang berkesan akan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin instruksional dan pemimpin komuniti yang cekap. Faktor kejayaan sekolah bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan kokurikulum tetapi dinilai dari segi kejayaan sekolah membentuk pelajar yang holistik, serba boleh dan memiliki sahsiah terpuji.

Keupayaan mereka untuk mempengaruhi ibu bapa supaya turut terlibat dalam aktiviti sekolah merupakan satu bonus dan kualiti pemimpin yang diperlukan. Bai'ah ini mula diumumkan oleh Menteri Pelajaran semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei tahun lalu di Kuantan, Pahang. Selepas itu, ia menjadi topik utama perbincangan para pengetua dan guru besar dan ramai daripada mereka telah mengambil langkah awal bagi menyahut cabaran tersebut. Ini terbukti apabila penilaian dilakukan, didapati sebanyak 12.1 peratus sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang telah ditetapkan walaupun sasaran awalnya hanya dua peratus. Pencapaian yang membanggakan itu menunjukkan bahawa tiada sempadan atau halangan untuk meraih kejayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadikan sekolah mereka cemerlang sekiranya ada kemahuan dan diusahakan bersungguh-sungguh. Atau dengan kata lain, jika ada kemahuan di situ ada kejayaan.

Apa yang penting ialah pendekatan dan strategi dirancang dengan teliti dan dapatkan sokongan daripada semua warga sekolah untuk berkongsi matlamat yang telah ditetapkan. Apakah bentuk pengukuran untuk mendapatkan ganjaran tersebut? Setiap sekolah di seluruh negara akan dinilai melalui skor komposit iaitu 70 peratus melalui keputusan peperiksaan awam. Sementara 30 peratus lagi dinilai terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah, termasuk mengendali urusan kewangan. Selain itu, pencapaian pelajar turut dinilai melalui anugerah akademik dan pencapaian dalam kokurikulum. Ini termasuk 'outcome' yang mengambil kira dari segi kejayaan bekas pelajar sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut. Penilaian ini dibuat secara terperinci melalui kaedah Standard Kualiti Pendidikan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sekolah. Apa yang menariknya, Bai'ah ini memberi peluang kepada semua jenis dan lokasi sekolah untuk menyertainya.

Pencapaian yang disasarkan bukan khusus untuk sekolah yang sedia terkenal tetapi boleh disertai sekolah luar bandar dan pedalaman. Bagi sekolah-sekolah ini, penilaian akan mengambil kira tahap lonjakan peningkatan pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum. Disarankan bagi menjayakan program ini, pengetua dan guru besar mestilah berfikiran positif. Anggaplah Bai'ah ini sebagai usaha pihak kementerian untuk mengangkat kualiti dan kecemerlangan sekolah. Sesungguhnya, semua sekolah di negara ini telah disediakan dengan keperluan asas yang mencukupi seperti kemudahan infrastruktur, bilangan guru terlatih, staf sokongan, keperluan kewangan dan peralatan sekolah untuk kegunaan pengajaran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah supaya apa yang telah disediakan itu digembleng secara berkesan hingga ke tahap maksimum.

Sekolah adalah sama seperti organisasi lain yang perlu diurus dengan baik dan teratur. Dengan itu, pengetua dan guru besar hendaklah melengkapkan diri mereka dari aspek strategi pengurusan dan pentadbiran terkini. Ini boleh dilakukan dengan menghadiri kursus, latihan, lawatan sambil belajar, membanyakkan pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang berpengalaman. Membangunkan sumber manusia merupakan satu lagi cabaran kepada pihak pengurusan sekolah. Sebenarnya, guru-guru yang terlatih dan berpengalaman merupakan aset penting yang perlu digembleng sepenuhnya. Mereka boleh memberi sokongan kuat kepada visi dan misi sekolah sekiranya diberi peluang dan tenaga mereka diurus dengan baik. Pada masa ini, pendekatan pengurusan yang terlalu keras dan rigid sudah tidak sesuai lagi. Oleh itu, pendekatan yang mesra, terbuka, telus dan saling hormat menghormati di antara ketua dan pengikut perlu diamalkan dalam urusan seharian.

Satu lagi faktor penting untuk mencapai kejayaan ialah usaha meningkatkan kualiti guru. Peningkatan kualiti ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan budaya pemantauan dan pencerapan guru di dalam bilik darjah sebagai amalan harian. Dengan ini memudahkan bimbingan dan tunjuk ajar diberikan terutama kepada guru-guru baru. Bagi memantapkan kualiti guru, program berbentuk kursus dan latihan dalaman hendaklah sentiasa dianjurkan terutama untuk memperkenalkan kaedah pengajaran baru hasil ledakan maklumat dan kecanggihan ICT. Matlamat untuk mewujudkan sekolah cemerlang tidak akan tercapai jika tidak mendapat kerjasama pelajar. Justeru, visi dan misi sekolah perlu dikongsi bersama supaya semua pelajar dapat memahami dan mengamalkannya. Mereka hendaklah diberitahu bahawa usaha untuk menjadikan sekolah mereka cemerlang sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka juga.

Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kemahiran dan latar belakang yang ada pada mereka boleh digunakan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti. Sumbangan kewangan daripada ibu bapa merupakan sesuatu yang signifikan dan bermakna kepada sekolah. Sebenarnya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan jika sekolah mempunyai sumber kewangan yang besar. Semua ini dapat dilaksanakan sekiranya pengetua dan guru besar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi ibu bapa. Kesimpulannya, ganjaran dalam bentuk kewangan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru melalui Bai'ah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajaran melihat ada persaingan dalam kalangan pengetua dan guru besar untuk memajukan sekolah masing-masing.

OLEH : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran
SUMBER : BERITA HARIAN, 18 FEBRUARI 2011

ISU LUAR NEGARA : TEORI DOMINO MELANDA NEGARA ARAB


Setelah tumbangnya bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 Februari lepas persoalan timbul adakah teori domino yang diuar-uarkan sebelum ini akan berlaku? Sememangnya setelah pengunduran bekas Presiden Tunisia Zine El-Abidin, Hosni menjadi mangsa terbaru kesan kemarahan rakyat. Walaupun perasaan tidak puas hati ini telah bersarang sejak sekian lama namun akhirnya dengan bantuan teknologi maklumat yang menzahirkan penggunaan laman sosial seperti blog, facebook dan twitter. Dianggarkan purata kadar pengangguran di rantau Arab adalah 12 peratus antara 2005-2008 yang kebanyakannya melibatkan golongan belia yang mencecah 30 peratus. Kesan domino dikatakan mula merebak menyaksikan Mesir menjadi mangsa. Malah keadaan kini semakin tidak terkawal dan merebak ke beberapa negara di rantau tersebut. Antara negara yang mula terkesan termasuklah Algeria, Iran, Sudan, Bahrain, Libya dan Yemen.

Di Yemen, beribu-ribu penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdallah Saleh dibubarkan bertempur dengan penyokong kerajaan di Sanaa yang menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan. Pertempuran dilaporkan berlaku selepas sejumlah lelaki bersenjatakan pisau dan kayu memaksa kira-kira 300 penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi menuntut pembubaran kerajaan. Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi. Gerakan ini dilakukan oleh seorang aktivis Yemen Tawakul Karman yang berikrar akan menggerakkan satu revolusi yang diketuai oleh golongan muda. Beliau merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai, menyifatkan janji Ali Abdullah Saleh untuk melaksanakan pembaharuan sebagai menyapu 'abu di mata'.

Hasilnya kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan. Beliau yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding. Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat. Suasana serupa juga melanda Iran apabila beribu-ribu aktivis pembangkang berhimpun bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir dan Tunisia.

Sebuah laman web pembangkang memberitahu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam itu. Laman web tersebut, Kaleme melaporkan, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan beribu-ribu penyokong pembangkang yang berarak menuju ke sebuah dataran di sini. Sehingga kini lapan orang dilaporkan maut dalam tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa minggu. Beberapa siri pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku dan berpuluh-puluh lagi ditahan di bandar Isfahan. Laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dan dianggap mengenang kembali kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.

Di Bahrain pula beribu-ribu penunjuk perasaan dari golongan Syiah berkumpul di ibu negara Bahrain untuk meratapi kematian kedua rakan mereka dalam pertempuran bermula minggu ini. Beratus-ratus orang berkumpul di perarakan pengebumian Ali Abdulhadi Mushaima yang ditembak mati apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur. Mushaima terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes ‘Hari Kemarahan’ bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain. Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan. Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari golongan Sunah yang memerintah negara tersebut telah meminggirkan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.

Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menyandang jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting. Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur. Sheikh Khalifa, ayah saudara kepada Raja Hamad Isa al Khalifa telah mentadbir negara Teluk itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1971 dan dilihat lebih memberi perhatian untuk memastikan keluarga diraja terus berkuasa dalam menentukan ekonomi dan politik negara ini. Di Libya pula dilaporkan lebih 30 orang cedera dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan antirejim di bandar raya Benghazi selama beberapa hari. Insiden itu mendorong penyokong pemimpin veteran, Muammar Gaddafi melancarkan demonstrasi prokerajaan di beberapa bandar di negara ini. Protes itu dilancarkan oleh keluarga kepada 14 orang yang terbunuh dalam satu perhimpunan anjuran golongan berhaluan Islam di Benghazi pada 2006.

Mereka berkumpul di luar balai polis untuk menuntut pembebasan peguam mereka, Fethi Tarbel, lapor portal berita dalam talian, Al-Manara. Tarbel yang ditangkap atas sebab yang belum diketahui dibebaskan akibat tekanan daripada keluarga terbabit. Namun penunjuk perasaan bertambah ramai dan mereka mula melaungkan slogan antirejim seperti 'rakyat akan membanteras rasuah' dan 'darah mereka yang mati syahid tidak akan disia-siakan' sebelum polis bertindak menyuraikan mereka. Rejim Gaddafi yang memerintah Libya sejak empat dekad lalu berhadapan dengan seruan sekumpulan aktivis di Facebook supaya protes dilancarkan esok, selepas mereka mendapat semangat daripada penyingkiran pemimpin autoritarian di dua negara berjiran, Mesir dan Tunisia. Di bawah sepanduk 'Intifada 17 Februari: Hari Mogok di Libya', sekumpulan aktivis Facebook yang menggesa rakyat melancarkan pemberontakan mendapat lebih 5,000 pengikut menjelang semalam, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada hampir 8,000 anggota mempelawa rakyat Libya membanjiri jalan esok 'pada hari kemarahan terhadap rasuah dan nepotisme'.

Perkara sama juga berlaku di Algeria apabila kira-kira 2,000 rakyatnya berarak di Algiers bagi mendesak kerajaan Algeria digulingkan. Penunjuk perasaan turut bertindak ganas dengan merempuh sekatan polis hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan. Mereka mahukan rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup. Melihat kepada apa yang berlaku sememangnya rakyat di sana terlalu dahagakan perubahan dan pembaharuan.

OLEH : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011

ISU LUAR NEGARA : KAPAL SELAM DADAH DI COLOMBIA


Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya iaitu melalui kapal selam yang lebih besar. Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka. Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico. Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut.

Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam krew. Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah. Kapal selam ini yang dilengkapi enjin diesel dikatakan mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta). Ia ditemui berdasarkan maklumat risikan namun ia didapati kosong semasa ditemui. Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini. Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar.

Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain. Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa. Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam. Kebanyakan kapal selam ini dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah. Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik. Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara. Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS. Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah. Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

OLEH : HAFIZAHRIL HAMID
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011

17 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : NKRA DAN GTP BERJAYA MENAIKKAN MARTABAT PROFESION PENDIDIKAN DI PERSADA GLOBAL


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) Pendidikan 2010 berjaya memartabatkan profesion pendidikan negara dengan memperoleh ranking kelapan dunia seperti dilaporkan majalah Newsweek.  Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, antara kejayaan NKRA Pendidikan adalah melepasi sasaran 70 peratus kadar enrolmen murid prasekolah dengan mencapai 72.42 peratus di 315 prasekolah. Beliau berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan 1,500 prasekolah Kementerian Pelajaran (KPM) manakala sembilan prasekolah di rumah panjang di Sarawak serta pusat komuniti di Sabah yang beroperasi pertengahan Jun tahun 2010. Pada masa sama, 24,179 murid belajar di sekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran RM150 sebulan.  Ini menggalakkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di kawasan tiada prasekolah KPM, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengikuti pendidikan di prasekolah swasta.

Tahun ini 715 prasekolah KPM dijangka memulakan operasi, selain 1,000 prasekolah KEMAS, JPNIN (50) dan prasekolah swasta (1,000).  Aspirasi NKRA pendidikan katanya, memberi penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang melonjakkan imej sistem pendidikan negara. Beliau berkata, peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai.  Inspirasi NKRA turut memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dikecapi semua pihak bagi meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh. NKRA Pendidikan menetapkan dua fokus utama dijadikan asas kepada transformasi iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas berkualiti dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

Sehubungan itu katanya, pendidikan prasekolah, penguasaan literasi dan numerasi pada Tahap Satu, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan memperkenalkan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar mampu meningkatkan kecemerlangan taksiran berasaskan pencapaian dijadikan sub bidang NKRA. Beliau berkata, selain dua fokus berkenaan, empat sub bidang NKRA meliputi peningkatan kadar enrolmen kanak-kanak berusia empat dan lima tahun menyertai pendidikan prasekolah.  Pelaksanaan itu kata Abdul Ghafar, bagi memastikan setiap kanak-kanak normal menguasai asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun pendidikan rendah.  Usaha diteruskan dengan membangunkan SBT dan menyediakan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian.  Selain empat sub bidang NKRA ini, bidang utama lain juga dipertingkat bagi memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan pencapaian seperti disasarkan.

KPM sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan negara untuk mencapai negara maju menjelang 2020.  Transformasi kurikulum memberi penekanan kepada aspek penguasaan bahasa khususnya bahasa Malaysia dan Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing. Abdul Ghafar berkata, daripada aspek Literasi dan Numerasi (LINUS) pula, pihaknya menyasarkan 90 peratus pada 2010.  Saringan ketiga pula katanya, menunjukkan prestasi murid meningkat 85 peratus berbanding 64 peratus pada saringan kedua, manakala kadar numerasi pula meningkat 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua.  Biarpun sasaran murid menguasai literasi gagal mencapai sasaran, pencapaian setakat ini menjadi penanda aras menunjukkan sasaran pada 2012 mampu dicapai.  Mengulas sasaran SBT iaitu 20 pada 2010, Abdul Ghafar berkata, 20 sekolah diberi pengiktirafan sebagai SBT berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar.

Sejak memperoleh pengiktirafan itu, beliau berkata, banyak kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dicatatkan. Kolej Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan muncul naib juara kategori khas pada Pameran Kejuruteraan dan Sains Antarabangsa Intel (ISEF) di San Jose, Amerika Syarikat.  Beliau berkata, Sekolah Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru pula memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Mathematics Olympiad.  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula kata Abdul Ghafar, memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa termasuk dua perak pada temasya renang Sukan Sekolah ASEAN Kedua.  Satu emas diperoleh sekolah itu dan perak pada Sukan Pelajar Asia Tenggara. Pasukan sekolah turut mendapat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya renang Terbuka Malaysia.  

Pelajar sekolah itu turut mewakili negara pada temasya renang Kejuaraan Renang Antarabangsa Jepun ke-51, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Abdul Ghafar berkata, selain pencapaian sekolah, guru besar yang layak menerima ganjaran perlu memenuhi kriteria seperti Laporan Nilaian Prestasi tahunan cemerlang, bebas sebarang tindakan tatatertib serta tiada audit bersyarat.  KPM memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah bagi membantu sekolah berprestasi rendah dalam Band Enam dan Tujuh.  Biarpun ia bukan sub NKRA utama dalam NKRA Pendidikan tetapi berjaya dilaksanakan bagi memastikan sekolah terbabit dapat meningkatkan prestasi masing-masing.

SUMBER : BERITA HARIAN, 17 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : SUBJEK PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA MULAI 2012


Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bercadang memperkenalkan subjek pendidikan keselamatan jalan raya kepada para pelajar sekolah menengah mulai tahun 2012. Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh berkata, subjek itu sebagai langkah terbaru mendidik golongan tersebut mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya. Menurutnya, JKJR dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kurikulum yang sesuai untuk diajar kepada golongan sasar terbabit. Cadangan dilakukan supaya kurikulum tersebut diajar kepada para pelajar di tingkatan satu, dua dan empat selama 40 minit dan sekali dalam tempoh seminggu.

SUMBER : HARIAN KOSMO ONLINE, 17 FEBRUARI 2011

16 Februari 2011

ISU BAHASA : SIKAP ORANG MELAYU TERHADAP BAHASA IBUNDA


Adakah masyarakat Melayu bersedia menyediakan pendedahan yang dikehendaki atau masih kurang yakin terhadap bahasa sendiri? Menurut ahli falsafah Yunani Purba, Plato, sikap boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan kesediaan untuk bertindak. Komponen kognitif berkait rapat dengan persepsi dan pemikiran manakala komponen afektif pula bersangkut paut dengan perasaan dan emosi seseorang terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua komponen kognitif dan afektif tidak semestinya sealiran dalam diri seseorang individu itu. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa cinta terhadap bahasanya tetapi berpendapat bahawa bahasanya itu tidak relevan dalam zaman sekarang. Ketidakharmonian kedua-dua komponen inilah yang membentuk sikap negatif sesebuah masyarakat (termasuk ibu bapa, pelajar, guru) boleh kita tinjau dan membuktikan hakikat ini.

SIKAP IBU BAPA

Terdapat dua kumpulan ibu bapa Melayu: pertama, yang menuturkan bahasa Melayu di rumah; dan kedua, ibu bapa yang berbahasa Inggeris. Bagi keluarga yang tidak menuturkan bahasa Melayu di rumah, sikap pesimis terhadap bahasa Melayu begitu jelas sekali. Komponen kognitif lebih memainkan peranan di sini berbanding komponen afektif. Walaupun terdapat juga perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, suasana dalam dunia pekerjaan yang dialami ibu bapa membentuk tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih dititikberatkan daripada bahasa Melayu. Di Singapura, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa kerja (working language). Ibu bapa percaya penakatan hidup di Singapura memerlukan penguasaan bahasa Inggeris. Justeru ibu bapa akan menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris di rumah untuk menyesuaikan dan melengkapkan diri anak- anak mereka dalam menghadapi arus kemodenan yang semakin mencabar.

Bagi sesetengah ibu bapa yang masih berbahasa Melayu di rumah pula, mereka mengganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang mudah atas alasan bahasa itu memang diamalkan seharian. Walhal, ibu bapa sedemikian tidak sedar bahawa bahasa di rumah berbeza dengan bahasa baku di sekolah. Tiada latihan disediakan di rumah untuk membolehkan pelajar menerapkan ilmu yang diperolehinya. Tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada mata pelajaran yang dianggap lebih mencabar seperti sains dan matematik. Golongan yang dituding untuk menerapkan semangat cintakan bahasa Melayu tidak lain tidak bukan ialah golongan guru.

SIKAP GURU

Guru bahasa Melayu seringkali dilihat sebagai tunggak kedaulatan bahasa Melayu. Merekalah pendidik dan mereka jugalah pejuang bahasa. Namun, adakah kesemua guru bahasa Melayu berkongsi matlamat yang sama ke arah memartabatkan bahasa Melayu? Sayangnya, tidak begitu hakikatnya. Ada sesetengah guru itu melihat tanggungjawab mengajar bahasa Melayu sebagai kerjaya semata-mata, bukan kerana cinta dan minat yang mendalam terhadap bahasa itu. Kerjaya guru yang sememangnya agak lumayan itu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang tersebut. Lebih-lebih lagi mata pelajaran bahasa Melayu lebih mudah diajar berbanding mata pelajaran yang lain. Apa yang diajarnya merupakan kandungan dalam buku-buku teks sematamata. Sikap sedemikian boleh menghambat penyampaian nilai-nilai murni yang kaya dalam bahasa Melayu. Pengajaran bahasa Melayu memerlukan golongan pendidik yang tinggi ilmunya tentang budaya Melayu kerana bahasa adalah lantunan budaya masyarakat tersebut.

SIKAP MURID

Golongan pelajar merupakan golongan yang paling penting kerana pada golongan inilah yang diukur tahap kecekapannya. Kejayaan atau kegagalan kurikulum bahasa ibunda bergantung pada prestasi golongan ini. Prestasi yang cemerlang tidak boleh diperolehi tanpa sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kebanyakan pelajar merasakan bahawa bahasa Melayu hanya diperlukan sewaktu mata pelajaran bahasa Melayu dan ketika berbual dengan guru bahasa Melayu sahaja. Di luar mandala itu, bahasa Melayu sudah tiada ruang dalam kehidupan mereka. Pergaulan mereka dengan rakanrakan berbilang bangsa lain memungkinkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih kerap. Sementelahan bahasa pengantar bagi mata pelajaran di sekolah yang merupakan bahasa Inggeris telah membuat murid-murid lebih terdedah kepada bahasa tersebut. Hasilnya, perolehan kosa kata bahasa Inggeris lebih banyak berbanding kosa kata bahasa Melayunya. Apabila berbual, lebih terpacul kekata Inggeris daripada pelajar Melayu.

Situasi di atas merupakan salah satu contoh bagi komponen sikap yang ketiga iaitu tindak balas terhadap keadaan sekeliling. Mereka merasakan memadai untuk menggunakan satu bahasa sahaja tanpa mengambil kira penutur yang diajak berbual. Apa yang menyedihkan ialah ada segelintir pelajar Melayu yang menaruh perasaan jelek terhadap bahasa ibundanya. Masalah sosial yang menghantui masyarakat Melayu sekali gus mencerminkan martabat bahasa Melayu. Hanya orang Melayu yang tidak berpendidikan tinggi atau yang terlibat dalam samseng jalanan akan menggunakan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahasa itu boleh melambangkan identiti penuturnya. Dengan berbahasa Inggeris, golongan terpelajar ini menyangka diri mereka berada di tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Lagi menghairankan, ada pelajar 'elit' bahasa Melayu berasa canggung dan malu untuk berbahasa Melayu. Sayangnya, harapan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu yang disandarkan pada golongan sedemikian bak indah khabar dari rupa sahaja.

SIKAP MASYARAKAT

Gerakan badan Melayu seperti mesyuarat di masjid, pertubuhan sehinggalah kalangan elit Melayu seperti doktor sehinggalah usahawan perlulah menonjolkan penggunaan bahasa Melayu yang elok. Kelak ini akan menjadi penyedar dan petunjuk kepada anak muda kita, termasuk pelajar, agar berasa bangga akan bahasa ibundanya. Kesimpulannya, apa pun sikap yang terbuku dalam jiwa masyarakat kita, masih belum terlambat bagi setiap individu untuk sedar akan kepentingan bahasa ibundanya. Bahasa sebagai identiti bangsa bukanlah 'alat' semata-mata seperti mana yang ramai sangkakan. Di dalam bahasa ibunda tersirat nilai-nilai moral dan adab yang harus ada dalam sahsiah setiap individu. Weltanschauung atau pandangan masyarakat yang menyeluruh dapat ditelusuri melalui bahasanya. Janganlah Bulan Bahasa sekadar kempen saja, sedang bangsa kita hanya tinggal pada nama sahaja.

Oleh : Muhd Firdaus Rahmat
Sumber : KL Pos. com http://www.klpos.com
Nota: Penulis kini mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu, 
Universiti Malaya.