Di negara maju atau membangun, golongan kelas menengah menjadi penentu kepada kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Biasanya, mereka adalah golongan majoriti. Sama ada mewakili apa kaum sekali pun, mereka adalah penentu kepada keputusan pilihan raya. Selain kumpulan ini mempunyai pendirian dan pendapat politik dan sebahagiannya menjadi pemimpin pendapat, mereka juga boleh mempengaruhi pemikiran orang ramai. Boleh dikatakan sebahagian profesyen dalam sektor swasta dan kerajaan diwakili golongan ini yang kebanyakannya menetap di bandar utama. Mereka ada golongan yang cepat bertindak dalam setiap perkembangan politik atau ekonomi.Antara mereka adalah doktor, peguam, pensyarah dan guru. Sebahagian mereka juga adalah suami isteri. Mereka adalah golongan yang sensitif dengan suasana sekeliling. Di kebanyakan negara di dunia, golongan kaya hanya mewakili peratusan kecil bilangan penduduk.
Kekayaan mereka mungkin warisan keturunan, golongan bangsawan atau usahawan, selain golongan teknokrat. Golongan ini biasanya akan menyokong apa juga sistem yang boleh menjamin kesejahteraan hidup mereka dan keluarga, apatah lagi keselamatan harta dan kekayaan mereka. Golongan miskin pula kian lama kian berkurangan berikutan pembelaan dan pembangunan yang dibawa untuk mereka. Pengecualian mungkin di negara yang keadaan semula jadinya tidak subur atau sering ditimpa bencana. Bertambah maju sesebuah negara berikutan kemajuan sistem pendidikan, makin ramai rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan dan memasuki kumpulan pertengahan. Kemiskinan kehidupan ayah dan ibu dibela oleh anak yang berjaya memasuki universiti dan kemudian mengubah corak pemikiran dan kehidupan keluarga. Di Malaysia, kerajaan mempunyai program berterusan untuk mengeluarkan mereka daripada paras kemiskinan.
Biasanya golongan miskin tahu membalas budi. Mereka akan menyokong kerajaan yang membantu mereka. Bagaimanapun, golongan ini terdedah kepada eksploitasi politik khasnya daripada kumpulan antikerajaan. Mereka bertindak kononnya memperjuangkan nasib orang miskin dan mendedahkan isu kemiskinan untuk mendapatkan sokongan golongan ini. Mereka juga memperalatkan golongan ini untuk meraih simpati pelajar dan masyarakat serta golongan pertengahan supaya menolak kerajaan yang kononnya tidak peka terhadap isu kemiskinan. Di Malaysia, kemiskinan tidak boleh lagi dijadikan isu politik kerana selain bilangannya kian mengecil, kerajaan mempunyai pelbagai program menyediakan kemudahan infrastruktur hinggalah kepada skim perumahan khas untuk mereka. Kerajaan hari ini menghadapi tuntutan golongan sederhana atau golongan kelas menengah pula.
Sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menggembirakan golongan ini, parti pembangkang boleh melupakan apa saja niat mereka untuk mengurus negara ini. Hari ini pembangkang cuba mendekati golongan ini dengan membawa isu kenaikan harga barang kerana menyedari mereka adalah pengguna terbesar yang menerima kesan daripadanya kerana secara demografinya mereka adalah penduduk bandar dan makan gaji. Mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan berasa kehidupan mereka terhimpit. Kesempatan ini digunakan untuk menghasut pemikiran mereka supaya menentang kerajaan. Perumahan akan menjadi isu utama kumpulan sederhana ini jika semakin ramai daripada mereka tidak memiliki rumah akibat harga yang kian meningkat. Di Kuala Lumpur, untuk mencari rumah dalam lingkungan harga RM200,000 hampir sudah tiada. Oleh itu, cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kerajaan negeri supaya menyediakan kuota rumah berharga RM200,000 seunit, adalah berita baik bagi golongan ini.
Cadangan yang mirip konsep program perumahan rakyat (PPR) yang dikhususkan untuk keluarga berpendapatan kurang RM2,500 sebulan itu dijangka dapat memenuhi keperluan keluarga berpendapatan sederhana di antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Di Amerika Syarikat, contohnya, tuntutan golongan kelas menengah ini adalah lebih besar. Bagi mereka untuk menjadi warta kelas menengah, mesti kuat bekerja untuk menampung keluarga dan mesti mempunyai kerja yang terjamin selain mampu memiliki rumah, menghantar anak ke sekolah kelas dunia serta memastikan mereka mendapat jaminan kesihatan bermutu dan memperoleh jaminan pencen.Golongan ini amat kritikal terhadap setiap peraturan yang dikenakan ke atas mereka, malah mereka mengambil tahu soal pasaran. Mereka memberi perhatian mengenai udara dan air bersih, keadilan di tempat kerja, produk yang selamat dan dilindungi keselamatan sosial dan memastikan mendapat rawatan kesihatan yang sempurna.
Pentadbiran Amerika Syarikat menambah dua lagi perlindungan – melindungi pesakit daripada amalan buruk syarikat insurans dan melindungi pengguna daripada produk kewangan berisiko. Di Malaysia, rakyat tidak mengambil berat soal begini, malah mereka sering terjebak dengan amalan yang buruk. Kerajaan baru-baru ini melancarkan Dasar Perumahan Negara disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Matlamatnya adalah baik, iaitu untuk memastikan setiap keluarga memiliki rumah sendiri menjelang 2020. Jika keluarga berpendapatan pertengahan menikmati mutu hidup lebih baik, kerajaan BN tiada masalah untuk memenangi pilihan raya akan datang. Berdasarkan statistik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), permintaan semasa untuk rumah baru ialah antara 150,000 hingga 200,000 unit setahun. Jika sebahagian besarnya dapat menampung kumpulan berpendapatan sederhana, BN pasti sekali lagi mendapat mandat daripada rakyat.
SUMBER : BERITA MINGGU, 20 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan