JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : CABARAN BARU KEPIMPINAN SEKOLAH MELALUI KONSEP BAI'AH


Kualiti pengetua dan guru besar adalah penentu kepada program Tawaran Baru atau Bai'ah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 di Putrajaya baru-baru ini. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan cabaran baru kepada pengetua dan guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang. Konsep Bai'ah ini amat mudah. Sekiranya prestasi sekolah melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk kewangan. Jumlahnya amat menarik iaitu mereka layak menerima RM7,500 seorang. Sementara itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain diberikan RM900 seorang. Nama pengetua dan guru besar yang layak akan diumumkan pada pertengahan tahun ini. Inisiatif ini ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan di bawah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA).

Apa yang jelas, tawaran ini akan membuka satu lembaran baru kepada tanggungjawab pemimpin dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengetua dan guru besar bukan setakat menduduki kerusi teratas dalam hierarki organisasi sekolah, tetapi kualiti mereka akan menentukan sama ada sekolah yang mereka terajui berada di tahap cemerlang. Mereka tidak lagi dianggap sebagai pentadbir sekolah semata-mata tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu membangunkan sumber manusia. Guru dan pelajar menjadi aset utama yang perlu dibangunkan keupayaan dan kebolehan mereka ke tahap maksimum supaya dapat berkongsi membangunkan sekolah ke arah kecemerlangan. Pengetua dan guru besar yang berkesan akan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin instruksional dan pemimpin komuniti yang cekap. Faktor kejayaan sekolah bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan kokurikulum tetapi dinilai dari segi kejayaan sekolah membentuk pelajar yang holistik, serba boleh dan memiliki sahsiah terpuji.

Keupayaan mereka untuk mempengaruhi ibu bapa supaya turut terlibat dalam aktiviti sekolah merupakan satu bonus dan kualiti pemimpin yang diperlukan. Bai'ah ini mula diumumkan oleh Menteri Pelajaran semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei tahun lalu di Kuantan, Pahang. Selepas itu, ia menjadi topik utama perbincangan para pengetua dan guru besar dan ramai daripada mereka telah mengambil langkah awal bagi menyahut cabaran tersebut. Ini terbukti apabila penilaian dilakukan, didapati sebanyak 12.1 peratus sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang telah ditetapkan walaupun sasaran awalnya hanya dua peratus. Pencapaian yang membanggakan itu menunjukkan bahawa tiada sempadan atau halangan untuk meraih kejayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadikan sekolah mereka cemerlang sekiranya ada kemahuan dan diusahakan bersungguh-sungguh. Atau dengan kata lain, jika ada kemahuan di situ ada kejayaan.

Apa yang penting ialah pendekatan dan strategi dirancang dengan teliti dan dapatkan sokongan daripada semua warga sekolah untuk berkongsi matlamat yang telah ditetapkan. Apakah bentuk pengukuran untuk mendapatkan ganjaran tersebut? Setiap sekolah di seluruh negara akan dinilai melalui skor komposit iaitu 70 peratus melalui keputusan peperiksaan awam. Sementara 30 peratus lagi dinilai terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah, termasuk mengendali urusan kewangan. Selain itu, pencapaian pelajar turut dinilai melalui anugerah akademik dan pencapaian dalam kokurikulum. Ini termasuk 'outcome' yang mengambil kira dari segi kejayaan bekas pelajar sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut. Penilaian ini dibuat secara terperinci melalui kaedah Standard Kualiti Pendidikan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sekolah. Apa yang menariknya, Bai'ah ini memberi peluang kepada semua jenis dan lokasi sekolah untuk menyertainya.

Pencapaian yang disasarkan bukan khusus untuk sekolah yang sedia terkenal tetapi boleh disertai sekolah luar bandar dan pedalaman. Bagi sekolah-sekolah ini, penilaian akan mengambil kira tahap lonjakan peningkatan pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum. Disarankan bagi menjayakan program ini, pengetua dan guru besar mestilah berfikiran positif. Anggaplah Bai'ah ini sebagai usaha pihak kementerian untuk mengangkat kualiti dan kecemerlangan sekolah. Sesungguhnya, semua sekolah di negara ini telah disediakan dengan keperluan asas yang mencukupi seperti kemudahan infrastruktur, bilangan guru terlatih, staf sokongan, keperluan kewangan dan peralatan sekolah untuk kegunaan pengajaran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah supaya apa yang telah disediakan itu digembleng secara berkesan hingga ke tahap maksimum.

Sekolah adalah sama seperti organisasi lain yang perlu diurus dengan baik dan teratur. Dengan itu, pengetua dan guru besar hendaklah melengkapkan diri mereka dari aspek strategi pengurusan dan pentadbiran terkini. Ini boleh dilakukan dengan menghadiri kursus, latihan, lawatan sambil belajar, membanyakkan pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang berpengalaman. Membangunkan sumber manusia merupakan satu lagi cabaran kepada pihak pengurusan sekolah. Sebenarnya, guru-guru yang terlatih dan berpengalaman merupakan aset penting yang perlu digembleng sepenuhnya. Mereka boleh memberi sokongan kuat kepada visi dan misi sekolah sekiranya diberi peluang dan tenaga mereka diurus dengan baik. Pada masa ini, pendekatan pengurusan yang terlalu keras dan rigid sudah tidak sesuai lagi. Oleh itu, pendekatan yang mesra, terbuka, telus dan saling hormat menghormati di antara ketua dan pengikut perlu diamalkan dalam urusan seharian.

Satu lagi faktor penting untuk mencapai kejayaan ialah usaha meningkatkan kualiti guru. Peningkatan kualiti ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan budaya pemantauan dan pencerapan guru di dalam bilik darjah sebagai amalan harian. Dengan ini memudahkan bimbingan dan tunjuk ajar diberikan terutama kepada guru-guru baru. Bagi memantapkan kualiti guru, program berbentuk kursus dan latihan dalaman hendaklah sentiasa dianjurkan terutama untuk memperkenalkan kaedah pengajaran baru hasil ledakan maklumat dan kecanggihan ICT. Matlamat untuk mewujudkan sekolah cemerlang tidak akan tercapai jika tidak mendapat kerjasama pelajar. Justeru, visi dan misi sekolah perlu dikongsi bersama supaya semua pelajar dapat memahami dan mengamalkannya. Mereka hendaklah diberitahu bahawa usaha untuk menjadikan sekolah mereka cemerlang sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka juga.

Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kemahiran dan latar belakang yang ada pada mereka boleh digunakan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti. Sumbangan kewangan daripada ibu bapa merupakan sesuatu yang signifikan dan bermakna kepada sekolah. Sebenarnya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan jika sekolah mempunyai sumber kewangan yang besar. Semua ini dapat dilaksanakan sekiranya pengetua dan guru besar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi ibu bapa. Kesimpulannya, ganjaran dalam bentuk kewangan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru melalui Bai'ah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajaran melihat ada persaingan dalam kalangan pengetua dan guru besar untuk memajukan sekolah masing-masing.

OLEH : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran
SUMBER : BERITA HARIAN, 18 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: