20 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : TEORI DOMINO MELANDA NEGARA ARAB


Setelah tumbangnya bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 11 Februari lepas persoalan timbul adakah teori domino yang diuar-uarkan sebelum ini akan berlaku? Sememangnya setelah pengunduran bekas Presiden Tunisia Zine El-Abidin, Hosni menjadi mangsa terbaru kesan kemarahan rakyat. Walaupun perasaan tidak puas hati ini telah bersarang sejak sekian lama namun akhirnya dengan bantuan teknologi maklumat yang menzahirkan penggunaan laman sosial seperti blog, facebook dan twitter. Dianggarkan purata kadar pengangguran di rantau Arab adalah 12 peratus antara 2005-2008 yang kebanyakannya melibatkan golongan belia yang mencecah 30 peratus. Kesan domino dikatakan mula merebak menyaksikan Mesir menjadi mangsa. Malah keadaan kini semakin tidak terkawal dan merebak ke beberapa negara di rantau tersebut. Antara negara yang mula terkesan termasuklah Algeria, Iran, Sudan, Bahrain, Libya dan Yemen.

Di Yemen, beribu-ribu penunjuk perasaan yang mendesak kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdallah Saleh dibubarkan bertempur dengan penyokong kerajaan di Sanaa yang menyertai tunjuk perasaan sempena "Hari Kemarahan" anjuran pembangkang bagi menuntut perubahan. Pertempuran dilaporkan berlaku selepas sejumlah lelaki bersenjatakan pisau dan kayu memaksa kira-kira 300 penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi menuntut pembubaran kerajaan. Empat cedera termasuk seorang wanita, apabila penunjuk perasaan bertindak balas membaling batu ke arah polis, manakala 10 penunjuk perasaan ditahan, kata saksi. Gerakan ini dilakukan oleh seorang aktivis Yemen Tawakul Karman yang berikrar akan menggerakkan satu revolusi yang diketuai oleh golongan muda. Beliau merupakan pengerusi Wartawan Wanita Tanpa Rantai, menyifatkan janji Ali Abdullah Saleh untuk melaksanakan pembaharuan sebagai menyapu 'abu di mata'.

Hasilnya kira-kira 2,000 penunjuk perasaan sebahagian besarnya mahasiswa berarak menuju Dataran Universiti Al-Sabiine terletak berhampiran Istana Presiden, melaungkan slogan-slogan mendesak Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan. Beliau yang telah berkuasa lebih tiga dekad dan bimbang dengan pergolakan di beberapa negara Arab, telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan pada 2013 dan menyatakan bahawa anak lelakinya tidak akan mengambil alih kerajaan. Beliau juga mempelawa pembangkang untuk berunding. Pembangkang Yemen mahu jaminan daripada kerajaan untuk melaksanakan perubahan dan menuntut supaya taraf hidup 40 peratus rakyat Yemen yang tinggal dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang AS$2 (RM6.40) sehari ditingkatkan, dengan satu pertiga daripada mereka hidup melarat. Suasana serupa juga melanda Iran apabila beribu-ribu aktivis pembangkang berhimpun bagi menyokong pemberontakan yang dilancarkan oleh penduduk di Mesir dan Tunisia.

Sebuah laman web pembangkang memberitahu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditahan kerana menyertai protes haram yang bertujuan menguji kekuatan kumpulan reformis di republik Islam itu. Laman web tersebut, Kaleme melaporkan, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan beribu-ribu penyokong pembangkang yang berarak menuju ke sebuah dataran di sini. Sehingga kini lapan orang dilaporkan maut dalam tunjuk perasaan jalanan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa minggu. Beberapa siri pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku dan berpuluh-puluh lagi ditahan di bandar Isfahan. Laungan ‘Allahu Akbar’ kedengaran dari atas bumbung beberapa bangunan di Teheran dan dianggap mengenang kembali kejadian protes yang dilancarkan ke atas Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009.

Di Bahrain pula beribu-ribu penunjuk perasaan dari golongan Syiah berkumpul di ibu negara Bahrain untuk meratapi kematian kedua rakan mereka dalam pertempuran bermula minggu ini. Beratus-ratus orang berkumpul di perarakan pengebumian Ali Abdulhadi Mushaima yang ditembak mati apabila polis dan penunjuk perasaan bertempur. Mushaima terbunuh selepas ditembak semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan yang cuba menyekat protes ‘Hari Kemarahan’ bagi menuntut kebebasan dan hak politik lebih luas daripada kerabat diraja yang memerintah Bahrain. Sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam pertempuran itu, dua daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tembakan. Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah dari golongan Sunah yang memerintah negara tersebut telah meminggirkan mereka daripada mendapat kemudahan perumahan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan dalam sektor awam.

Bahrain yang majoriti rakyatnya bermazhab Syiah diperintah oleh kerabat diraja Sunah pimpinan Raja Hamad Al-Khalifa yang menyandang jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting. Ketika ini, penunjuk perasaan mahu Perdana Menteri, Sheikh Khalifa Salam al-Khalifa berundur. Sheikh Khalifa, ayah saudara kepada Raja Hamad Isa al Khalifa telah mentadbir negara Teluk itu sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1971 dan dilihat lebih memberi perhatian untuk memastikan keluarga diraja terus berkuasa dalam menentukan ekonomi dan politik negara ini. Di Libya pula dilaporkan lebih 30 orang cedera dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan antirejim di bandar raya Benghazi selama beberapa hari. Insiden itu mendorong penyokong pemimpin veteran, Muammar Gaddafi melancarkan demonstrasi prokerajaan di beberapa bandar di negara ini. Protes itu dilancarkan oleh keluarga kepada 14 orang yang terbunuh dalam satu perhimpunan anjuran golongan berhaluan Islam di Benghazi pada 2006.

Mereka berkumpul di luar balai polis untuk menuntut pembebasan peguam mereka, Fethi Tarbel, lapor portal berita dalam talian, Al-Manara. Tarbel yang ditangkap atas sebab yang belum diketahui dibebaskan akibat tekanan daripada keluarga terbabit. Namun penunjuk perasaan bertambah ramai dan mereka mula melaungkan slogan antirejim seperti 'rakyat akan membanteras rasuah' dan 'darah mereka yang mati syahid tidak akan disia-siakan' sebelum polis bertindak menyuraikan mereka. Rejim Gaddafi yang memerintah Libya sejak empat dekad lalu berhadapan dengan seruan sekumpulan aktivis di Facebook supaya protes dilancarkan esok, selepas mereka mendapat semangat daripada penyingkiran pemimpin autoritarian di dua negara berjiran, Mesir dan Tunisia. Di bawah sepanduk 'Intifada 17 Februari: Hari Mogok di Libya', sekumpulan aktivis Facebook yang menggesa rakyat melancarkan pemberontakan mendapat lebih 5,000 pengikut menjelang semalam, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada hampir 8,000 anggota mempelawa rakyat Libya membanjiri jalan esok 'pada hari kemarahan terhadap rasuah dan nepotisme'.

Perkara sama juga berlaku di Algeria apabila kira-kira 2,000 rakyatnya berarak di Algiers bagi mendesak kerajaan Algeria digulingkan. Penunjuk perasaan turut bertindak ganas dengan merempuh sekatan polis hingga mengakibatkan berlakunya pergelutan. Mereka mahukan rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika meletak jawatan dengan segera ekoran meningkatnya kadar pengangguran dan peningkatan kos hidup. Melihat kepada apa yang berlaku sememangnya rakyat di sana terlalu dahagakan perubahan dan pembaharuan.

OLEH : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 20 FEBRUARI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...