15 Februari 2011

ISU SOSIAL : SEMANGAT PERUBAHAN SEMPENA MAULIDUR RASUL


Sambutan Maulidur Rasul, memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w setiap 12 Rabiulawwal adalah peristiwa besar bukan sahaja untuk umat Islam tetapi dalam sejarah tamadun manusia. Ini jelas terkandung di dalam surah Al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." Justeru Maulidur Rasul seharusnya disambut dengan pengertian dan penghayatan yang lebih mendalam bukan setakat perarakan mahu pun perhimpunan yang dilihat lebih sebagai satu amalan tradisi atau kebiasaan. "Jangan juga kita hanya mendengar ceramah dan berselawat kepada Rasulullah pada hari itu sahaja. Sebaliknya kita perlu mendapat cetusan baru iaitu hendak mengkaji dan menghayati ajaran yang dibawa oleh Nabi," demikian menurut Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

PERINGATAN BERTERUSAN

Beliau memberitahu Bernama dalam wawancara sempena sambutan Maulidur Rasul 1432, bahawa memperingati kembali hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w biarlah menjadi peringatan yang berterusan dan bukannya setakat pada 12 Rabiul awwal sahaja. Peringatan kepada Rasulullah s.a.w itu, katanya bermaksud pengajaran yang dibawa oleh Nabi yang datangnya daripada Al Quran. "Nabi Muhammad s.a.w yang menghayati kehidupannya menurut semangat Al Quran, justeru itu kita perlu mengkaji Al Quran melalui hadis-hadis Nabi s.a.w. "Sebab itu apabila Aishah, isteri Rasululullah ketika ditanya apakah akhlak Nabi, Aisyah berkata Al Quran. Apa yang tercatit di dalam Al Quran itu adalah akhlak Nabi. "Maknanya Nabi menterjemah Al Quran dalam kehidupannya. Sebagai contoh, Nabi menghormati pandangan orang meskipun apabila kanak-kanak berbicara dengannya, Nabi akan memberi sepenuh perhatian. Nabi juga melayani isteri dan anak-anaknya dengan adil dan saksama. Ini antara yang perlu kita hayati dan warisi," jelasnya.

PENERAPAN NILAI

Sambutan Maulidur Rasul dalam konteks semasa di mana tamaddun manusia berada di ambang keruntuhan seharusnya juga mencetus keinsafan terutamanya dalam kalangan umat Islam. Menurut Nik Mustapha, umat Islam perlu melihat Islam itu sebagai satu agama yang serius, agama yang tinggi dan agama yang membina kemajuan manusia baik di peringkat individu mahu pun masyarakat. Jelasnya pembinaan diri di peringkat individu memerlukan seseorang itu mempunyai pandangan hidup yang sempurna antaranya mahu maju dan berjaya dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan kekuatan kerohanian. "Kita mahu kemuliaan di dunia dan akhirat itu adalah natijah daripada kehidupan di sini. Seseorang individu itu juga perlu mempunyai akhlak yang mulia seperti jujur dan ikhlas serta kasih sayang bukan sahaja sesama umat Islam tetapi juga umat manusia yang lain di samping memiliki kemahiran serta kepakaran hidup. "Sebagai orang Islam, kita dianggap sebagai khalifah dan sepatutnya berperanan membimbing masyarakat atas dasar ajaran Nabi yang bersandarkan Al Quran," katanya. Di peringkat masyarakat, Nik Mustapha berkata Nabi Muhammad s.a.w menekankan tiga prinsip utama. "Tiga mesej penting yang dianjur oleh Nabi ialah kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Itu mesej Al Quran yang Nabi bawa dan nilai-nilai itu yang perlu dipupuk. Persoalannya ada tak ketiga-tiga nilai ini diterapkan dalam kehidupan umat Islam? "Nilai-nilai ini bukan sesuatu yang lapuk tetapi yang berkekalan dan saya berharap peristiwa Maulud tahun ini biarlah membuka mata kita. Kita juga mesti merenung kepada apa yang berlaku dalam masyarakat Barat yang kini berada di ambang keruntuhan," tegasnya.

KERUNTUHAN PERADABAN

Nik Mustapha mengaitkan keruntuhan peradaban dengan kepincangan institusi keluarga. Di Barat, katanya perkahwinan semakin tidak dianggap penting kerana sebahagian besar menganggap ia sebagai satu kontrak sosial yang dibebani tanggungjawab. Ketua Pengarah Ikim itu juga bercakap mengenai gejala perkahwinan sesama jantina yang semakin menular dan menjadi ikutan di samping mendapat pengiktirafan undang-undang di sesetengah negara. "Bukankah ini satu perkara yang berbahaya yang akan menjuruskan kita kepada keruntuhan. Ia hanya menunggu masa sahaja. Ini tidak bermakna berlaku tahun depan, mungkin dalam jarak masa yang terdekat sekiranya keadaan sekarang berterusan," kata Nik Mustapha dengan nada penuh kebimbangan. Beliau juga berkongsi pandangan yang dilontarkan Joseph E. Stiglitz, ahli ekonomi Amerika yang terkemuka yang antara lain berkata bahawa "krisis ekonomi mendedahkan kemuflisan moral orang kita" dan "kita telah mewujudkan sebuah masyarakat di mana aspek kebendaan mengatasi komitmen moral."

AWASI PUNCA

Nik Mustapha berkata keruntuhan peradaban perlu dilihat daripada sudut punca keruntuhan dan bukan kepada gejala atau petanda keruntuhan. Dengan menjadikan kes pembuangan bayi yang banyak berlaku di negara ini sebagai contoh, beliau kurang bersetuju dengan pandangan setengah pihak yang menuding jari kepada ketiadaan pelaksanaan undang-undang Islam sebagai penyebab. "Yang perlu kita soal apa punca pembuangan bayi ini berlaku? Bagi saya mungkin keutuhan rumah tangga. Ibu bapa terpaksa bekerja kerana kos sara hidup yang tinggi sehingga kurang masa dengan anak-anak juga dengan saudara-mara yang lain. "Kemudian timbul pula pornografi dengan kemudahan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Anak-anak disogokkan dengan benda macam ini dan bebas pula pergaulannya sebab pengawasan ibu bapa tidak ada, kasih sayang tidak ada. "Inilah antara punca yang perlu kita lihat, jangan kita tengok kepada tanda atau gejala dan pantas mahu menjatuhkan hukuman. "Kalau pun anak-anak tinggal di asrama, ibu bapa perlu melawat anak mereka. Betul ada cukup makan dan guru tetapi perkembangan psikologi antara anak dan ibu bapa juga penting dan perlu ada," jelas Nik Mustapha.

AKHLAK YANG BAIK

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menunjukkan contoh akhlak yang baik kerana anak-anak sentiasa memerhatikan kelakuan dan gelagat ibu bapa dan banyak mempengaruhi pembentukan sikap mereka. Menurut beliau ada sesetengah ibu bapa yang lebih mampu memberi wang atau kad kredit kepada anak-anak mereka daripada perhatian atau kasih sayang. "Ini yang menimbulkan huru-hara. Kasih sayang sebenarnya tidak boleh ditukar dengan wang ringgit. "Kasih sayang ini tanda kita bersama dengan anak-anak, ada komunikasi dengan mereka dan berkawan dengan mereka. Bila bekerja kita buat kerja yang terbaik dan selepas itu kita balik dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga termasuk aktiviti riadah bersama anak-anak. "Institusi keluarga amat penting seperti mana Nabi menguruskan keluarganya, turut beriadah menunggang kuda dan lain-lain di samping sama-sama membantu melakukan kerja rumah. Inilah yang perlu kita imbau akhlak dan cara hidup Rasulullah dalam kita memperingati hari kelahirannya," tambah beliau.

PENUNJUK NUBUWWAH

Nik Mustapha turut memberitahu bahawa sama ada suka atau tidak, semua masyarakat dunia termasuk masyarakat Islam dipengaruhi sistem yang dianjur oleh Barat iaitu sistem kapitalis. "Sistem yang bersandarkan kepada kekayaan ekonomi tetapi sistem ini juga menimbulkan kemusnahan ekonomi walhal itulah matlamatnya. "Pada 2008, 40 peratus daripada 6.7 bilion penduduk dunia berada di bawah garis kemiskinan. Macam mana ini boleh terjadi? Pada 2008 juga sekitar 1.2 bilion rakyat di dunia memperoleh pendapatan kurang daripada USD2 sehari. Macam mana nak hidup? "Di Malaysia juga ada jurang antara yang kaya dan miskin. Golongan kaya dengan kemewahan yang kadang kala melampau dengan pembaziran. Mereka perlu ada lebih rasa tanggung jawab kepada masyarakat. Lihatlah kehidupan Rasulullah yang penuh kesederhanaan," tambahnya. Beliau turut mempersoal sistem sekular, sistem yang menggunakan akal manusia yang menolak Ilahi, wahyu dan kenabian.

Maka manusia menggunakan akal, rasional, logik tanpa dipandu oleh ajaran Ilahi, sedangkan kemampuan akal itu terhad. Pandangan hidup manusia, jelasnya dan cara manusia berfikir tidak sesempurna pemikiran yang datang daripada Ilahi. "Itu sebabnya Allah mengutuskan Nabi untuk menyampaikan ajaranNya dan tanggungjawab Nabi ketika itu adalah untuk merubah sistem kehidupan di Mekah yang dibelenggu sistem jahiliyyah yang menindas rakyat jelata," tambah beliau. Dalam konteks semasa, keruntuhan peradaban yang bersandarkan kepada ideologi sekular, Nik Mustapa berkata perlu dibina peradaban yang berpaksikan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, keadilan dan kasih sayang. "Justeru masyarakat memerlukan kepada penunjuk nubuwwah atau kenabian. Bila kata nubuwwah, kata kenabian, kita merujuk kepada prinsip-prinsip yang dibawa oleh Nabi. Dalam setiap tindak-tanduk Nabi itu banyak yang boleh kita pelajari. Ini yang perlu ditekankan apabila kita menyambut Maulidur Rasul. Perkara inilah yang mesti menjadi panduan kita sepanjang hayat," katanya.

SEMANGAT TRANSFORMASI

Perayaan Maulud juga akan menjadi lebih bererti sekiranya umat Islam membuat perubahan dan rombakan di dalam kehidupan mereka dan menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan sepanjang hayat. Di samping itu, pentingnya juga untuk umat Islam membaca sirah atau sejarah Rasulullah untuk lebih mendekati dan mengenali Nabi Allah yang terakhir ini. "Sirah adalah tulisan yang lebih berbentuk analisis. Sebagai contoh Perjanjian Hudaibiyah. Kita bukan setakat tahu tarikh perjanjian ini ditandatangani iaitu pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah (Mac 628 M) antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah. "Walaupun tidak dapat masuk ke kota Mekah pada tahun perjanjian itu ditandatangani tetapi Nabi dan rombongannya berjaya masuk ke Mekah pada tahun berikutnya tanpa setitis darah pun yang tumpah. Ini kerana pihak Musyrikin sudah berasa gerun melihat Nabi datang dengan rombongan yang besar sebelum itu. "Inilah strategi hebat politik Nabi yang turut menunjukkan sifat sabar Nabi.

Banyak lagi tindak-tanduk Nabi yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan termasuk khutbah widak (terakhir) Rasulullah yang memberi peringatan kepada sifat-sifat keangkuhan dan juga peringatan untuk menjaga kebajikan kaum wanita," kata Nik Mustapha. Ketua Pengarah Ikim itu juga berharap sambutan Maulud kali ini bukanlah sekadar menganjurkan amalan-amalan yang sering dibuat tetapi lebih menekankan kepada kecintaan dan keyakinan kepada ajaran Nabi dan menjadikannya sesuatu yang sebati dalam kehidupan. "Hendaknya Maulidur Rasul menjadi pencetus kepada penghayatan nilai-nilai yang luhur yang dianjurkan Al Quran dan pendekatan kita ke arah penyusunan masyarakat. "Dengan ini barulah saya rasa perayaan Maulud itu memberi erti yang sangat bermakna dan inilah yang menjaminkan kepada kebahagian, kesejahteraan dan kejayaan dalam hidup kita. "Jangan Maulidur Rasul tinggal hanya sebagai satu acara agama. Tahun depan buat lagi sedangkan impaknya tidak seperti yang diharapkan," tegas Nik Mustapha.

SUMBER : BERNAMA, 15 FEBRUARI 2011.

ISU ICT : KUASA INTERNET LEBIH HEBAT DARIPADA SENJATA


Seluruh dunia mengikuti perkembangan tunjuk perasaan di Mesir dan kagum melihat keberanian rakyat negara itu bangkit menentang Presiden Hosni Mubarak sehingga berjaya menumbangkan pemimpin itu, yang telah memerintah Mesir selama lebih tiga dekad. Namun, ramai yang tidak tahu di belakang kejayaan revolusi rakyat itu ada 'kuasa luar' memainkan peranan penting membakar semangat penduduk Mesir untuk bangkit memberontak menentang sebuah kerajaan autokartik yang telah mencengkam penduduk Mesir selama tiga dekad. Itulah kuasa Internet, yang tiada siapa menduga, teknologi yang diperkenalkan sekitar suku ketiga abad lalu itu kini dilihat mampu menjadi kuasa yang lebih hebat daripada kuasa tentera dan kelengkapan senjata. Teknologi maklumat dengan gabungan kemudahan Internet yang merupakan gedung ilmu pengetahuan terbesar di dunia pada masa ini telah bertukar menjadi medium berkesan bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat tetapi juga medium perhubungan yang mampu menjadi senjata bagi menumbangkan kerajaan.

Dan itulah yang berlaku di Mesir apabila golongan aktivis muda di Mesir menggunakan rangkaian sembang sosial facebook yang menggunakan kemudahan perantaraan Internet bagi membakar semangat rakyat Mesir untuk bangkit memberontak menentang kerajaan. Golongan muda ini telah memulakan kempen ini sejak setahun yang lalu membakar semangat rakyat Mesir dan menunggu masa untuk bangkit secara bersama dan tersusun untuk melancarkan 'revolusi' menentang kerajaan. Masa yang ditunggu-tunggu itu akhirnya tiba, apabila mereka mendapat inspirasi daripada revolusi rakyat di Tunisia, dan Revolusi Jasmine itu memberi mereka kekuatan dan keberanian untuk bangkit menggerakkan tunjuk perasaan yang kemudian merebak menjadi pemberontakan menumbangkan kerajaan Mubarak. Internet telah membuktikan bahawa ia merupakan satu teknologi yang sangat berguna dan pada masa yang sama dilihat sangat berbahaya kerana ia boleh digunakan sebagai senjata untuk tujuan-tujuan tertentu.

Oleh kerana itu China cukup takut dengan Internet dan menggunakan apa sahaja untuk mengawal penggunaan teknologi itu kerana Beijing sedar isu kepelbagaian etnik di negara itu boleh dimanipuslasi melalui Internet oleh pihak tertentu untuk mempengaruhi rakyatnya bangkit memberontak. Kekuatan dan pengaruh Internet telah terbukti boleh memberi ancaman sebelum ini lagi, apabila pendedahan WikiLeaks telah menggemparkan dunia dan mencalarkan imej Amerika Syarikat (AS) apabila beratus-ratus ribu dokumen dan maklumat diplomatik AS didedahkan oleh WikiLeaks melalui Internet. Ketika Internet dilihat begitu penting sebagai gedung ilmu, pada masa yang sama Internet juga boleh digunakan sebagai senjata berbahaya oleh pihak-pihak tertentu untuk menjayakan sesuatu matlamat dan mencapai kepentingan tertentu atau boleh digunakan untuk menabur fitnah bagi demi menjayakan sesuatu agenda sama ada untuk menyerang individu, atau malahan sebuah kerajaan. Namun, sebagai medium penyebaran maklumat dan perhubungan, Internet seharusnya dimanfaat untuk kepentingan masyarakat, ummah dan sejagat.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 15 FEBRUARI 2011

ISU BAHASA : MEDIA BERPERANAN PENTING ANGKAT MARTABAT BAHASA MELAYU


Media elektronik dan cetak berperanan penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu serta pematuhan kepada dasar penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Beijing, China, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, media merupakan tunjang utama dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Menurutnya, peranan itu boleh dilakukan dengan memastikan bahasa yang digunakan dalam penerbitan dan penyiaran berita adalah tepat dan sempurna serta mengambil kira kesantunan. Usaha peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pengamal media kerana secara amnya golongan ini menggunakannya secara meluas sebagai alat berkomunikasi dengan masyarakat. Komitmen ini perlu ketika penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan bahasa kebangsaan itu terus dipinggirkan.

Beliau berucap pada Wacana Ilmu: Santun Berbahasa di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 14 Februari 2011.  Majlis itu bertemakan 'Isu-isu keterampilan bahasa dalam komunikasi rasmi' dengan memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai perkembangan bahasa terutama yang melibatkan aspek hukum, nahu dan tata bahasa dalam situasi rasmi serta tidak rasmi. Awang berkata, peranan tersebut seharusnya dipikul oleh semua pihak, termasuk media kerajaan dan swasta kerana ia menjadi tanggungjawab bersama dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Pihak media tidak harus menjadikan cabaran-cabaran di peringkat global dan komersial sebagai alasan untuk menggunakan bahasa Melayu secara betul. Ini kerana, bahasa lain termasuk bahasa Inggeris digunakan dengan betul sama ada dalam berita mahupun tajuk, jadi pematuhan kepada hukum bahasa Melayu itu sepatutnya diamalkan. Jelasnya, penggunaan aspek kesantunan dalam bahasa kebangsaan harus dijadikan budaya bagi masyarakat di Malaysia.

SUMBER : BERITA HARIAN, 15 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : EKSTREMISME BOLEH BAWA PADAH


Malaysia berjaya membuktikan kepada dunia bahawa punca ketegangan kaum di sesebuah negara bukan disebabkan oleh perbezaan agama sebaliknya fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  jika ada fahaman ekstrem dan bersikap keterlaluan tanpa mengira seseorang itu beragama Islam, Kristian, Buddha atau lain-lain agama, ia akan membawa padah buruk kepada negara dan manusia sejagat. Oleh itu, beliau berharap agar satu Pergerakan Kesederhanaan Dunia dibentuk kerana inilah krisis yang merupakan jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan dunia. Bukan sahaja negara kita tetapi ketegangan di banyak tempat bukan kerana perbezaan agama, sebab Malaysia telah menunjukkan perbezaan agama tidak semestinya membawa kepada permasalahan besar dalam sesebuah negara. 

Sebaliknya, yang menjadi kekangan dan tambatan kepada punca ketegangan ialah fahaman yang ekstrem. Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, jika setiap etnik di negara ini dicampurkan secara kolektif, semua pihak akan bertindak secara kolektif di bawah satu payung. Maka satu persefahaman dan pemikiran dicapai bahawa kita rakyat Malaysia yang cinta kepada negara dan kita akan menjadi lebih kuat lagi berbanding jika bertindak dalam satu kelompok. Kalau hendak berjaya kita mestilah berfikir sedemikian. Justeru, ujar beliau, keindahan Islam dalam konteks kesederhanaan ialah Allah SWT menyuruh umatnya berlaku adil bukan sahaja kepada Islam tetapi kepada semua pihak. Katanya, walaupun berbeza akidah tetapi yang penting ialah ada nilai-nilai persamaan yang boleh membawa kepada kehidupan dan sebuah negara bangsa yang aman dan harmoni.

Kita masih boleh menjalankan program bersama yang tidak berkiblat kepada agama semata-mata seperti menangani isu dadah, mengurangkan masalah sosial seperti jenayah atau pun alam sekitar yang boleh dilaksanakan secara bertindak bersama-sama. Najib turut mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama untuk menyatukan pemimpin-pemimpin agama di bawah satu payung bagi berbincang dan mengupas permasalahan berbangkit secara rasional dan tenang. Isu agama amat sensitif, segala-galanya boleh tersebar dalam sekelip mata dan hangat macam api dalam sekam. Jadi beliau harap ia dibincangkan secara tertutup sebab kalau terbuka, orang ramai akan tumpang dalam isu ini dan lahirlah pemikiran masing-masing. Kita amat memahami setiap sensitiviti antara kaum di negara ini, sebab itulah kita mahu mencari titik persamaan agar semuanya dapat hidup dalam aman dan sejahtera.

SUMBER : BERITA HARIAN, 15 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : DASAR PENDIDIKAN NEGARA UNTUK SEMUA KAUM


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar pendidikan yang diamalkan di negara ini sejak negara merdeka, sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan semua kaum. Menurutnya, setiap rakyat negara ini, selagi memegang kerakyatan Malaysia dan taat setia kepada negara berhak menikmati pelbagai kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Kerana kita sedar, kalau kita mahu mencapai kemajuan besar dalam negara kita dan mahu menjadi negara maju menjelang 2020 nanti, perkara penting yang harus kita beri tumpuan adalah soal pelajaran. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat pelbagai kaum dan keturunan. Dasar kerajaan tidak membezakan soal pelajaran, sesiapa sahaja yang ada anak berhak pergi ke sekolah, tidak kira anak ini datang dari kaum India, Melayu, Cina, Iban atau Orang Asli. Katanya, kerajaan juga tidak ada halangan menyediakan kemudahan pendidikan sempurna kepada mana-mana kaum yang mementingkan penguasaan ilmu bahasa ibunda masing-masing kerana apa yang penting bagi kerajaan ialah menyalurkan pengetahuan sewajarnya untuk semua kaum. Di negara ini, kaum minoriti atau sebaliknya, selagi dia rakyat Malaysia, dia taat setia kepada negara ini maka dia berhak mendapat sokongan dan bantuan kerajaan. Ini kerana, kita mahu melihat negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang menjadi negara maju yang mempunyai rakyat berpengetahuan dan kelayakan kemahiran yang cemerlang.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE, 15 FEBRUARI 2011

14 Februari 2011

ISU SOSIAL : JUMLAH PENDUDUK MISKIN INDONESIA MENGATASI JUMLAH PENDUDUK MALAYSIA


Walaupun program kesejahteraan rakyat di Indonesia berjaya menurunkan kadar kemiskinan, Kerajaan Indonesia belum berpuas hati dengan pencapaiannya kerana ia dinilai tidak seiring dengan pertumbuhan ekonomi Indonesia. Menteri Koordinator Perekonomian Hatta Rajasa berkata kadar kemiskinan yang kini berada di paras 13 peratus daripada jumlah penduduk republik itu, masih tinggi kerana secara perbandingan, bilangannya lebih banyak daripada jumlah penduduk Malaysia. "Kemiskinan turun dari 14.2 peratus pada 2009 menjadi 13.3 peratus pada 2010. Namun kami belum puas kerana walaupun rakyat miskin turun, 13.3 peratus itu sama dengan 31 juta orang, jauh lebih besar daripada penduduk Malaysia (27 juta orang). "Untuk itu kesejahteraan harus ditingkatkan," katanya ketika menyampaikan kuliah umum bertajuk 'Peluang dan Cabaran Ekonomi dan Geopolitik Indonesia' di Kampus Institut Teknologi Bandung (ITB) di Bandung, seperti yang dilaporkan harian Kompas, Isnin. Menteri itu berkata ekonomi Indonesia tumbuh 6.1 peratus tahun lepas, mencerminkan keyakinan diri yang semakin baik di kalangan masyarakat Indonesia. Pertumbuhan itu didorong oleh kegiatan eksport and pelaburan.

SUMBER : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : MAHASISWA : TERLALU BERKIRA UNTUK BELAJAR


Bagai tiada kesudahan, isu pencapaian mahasiswa di menara gading sering kali dijadikan modal pertelingkahan dan perdebatan yang akhirnya mengundang persepsi negatif masyarakat. Apatah lagi momokan seperti tiada daya juang, gagal bersuara, tidak patriotik selain minda tepu dijadikan modal menghentam golongan terbabit menjadikan senario berkenaan tidak berpenghujung. Lebih memburukkan keadaan apabila warga IPT menjadi antara penyumbang terbesar masalah gejala sosial masa kini menyebabkan masyarakat tertanya-tanya, apa jadi kepada golongan diiktiraf bijak serta terpelajar ini. Jika mereka tiada penghayatan tulen terhadap proses pembudayaan ilmu bolehkah golongan ini memikul tanggungjawab berat mentadbir negara pada masa depan? Atau adakah masyarakat bersalah kerana terlalu cerewet dan enggan mengikut rentak dunia mahasiswa yang kian moden.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata kurang kesedaran kepentingan ilmu menyebabkan mahasiswa mengambil mudah konsep pembudayaan ilmu serta pendidikan. Malah, katanya sikap segelintir mereka yang terlalu culas dan berkira untuk belajar bagai membenarkan lagi tanggapan masyarakat mahasiswa memasuki IPT hanya untuk mendapatkan segulung ijazah biarpun tanpa kualiti. Inilah dilema IPT masa kini. Bagi mereka, apabila diterima masuk ke menara gading, bermakna ilmu itu sudah tersedia dengan sendirinya. Ilmu itu sangat luas dan perlu dicari, bukan hanya menunggu atau diberi pensyarah. Fungsi IPT untuk merancak, menyalur serta meninggikan martabat ilmu bagi melahirkan golongan terpelajar dan berkualiti dalam hidup. 

Diterima belajar di IPT, tidak bermakna seseorang itu sudah pandai kerana proses sebelum mencapai satu kedudukan diiktiraf masyarakat memerlukan pelbagai kesukaran, pengalaman dan kemantapan ilmu. Mahasiswa perlu sedar hakikat ini dengan meletak proses penjanaan ilmu itu sebagai budaya penting di menara gading. Malangnya mereka sering alpa dengan keseronokan dan kebebasan. Isu pengangguran mahasiswa yang tiada kesudahan, pencapaian kurang memuaskan selain masalah sosial yang semakin merebak menjadikan golongan terbabit dipersalahkan masyarakat. Dr Zakaria, berkata menyalahkan masyarakat tidak mendatangkan manfaat kerana mereka komuniti terbesar yang bebas menyuarakan pendapat atau pandangan. Katanya, mahasiswa sendiri perlu bangkit membuktikan tanggapan itu salah. 

Dalam konteks ini, masyarakat adalah komuniti yang bebas melahirkan pandangan, emosi atau kritikan dan mahasiswa tidak boleh melenting sebaliknya perlu berfikiran terbuka dan menerima teguran. Masyarakat mahukan yang terbaik kerana golongan IPT ini menjadi sandaran. Mereka penerus kesinambungan negara yang bakal menentukan corak serta hala tuju masyarakat lain pada masa depan. Jika budaya ilmu semakin kurang menyerlah atau tidak dihargai, bolehkah masyarakat yakin pada mereka? Sebab itu golongan ini perlu bangkit, ubah sikap dan sukakan ilmu. Inilah cabaran sebenar iaitu bagaimana mahu 'menutup' mulut masyarakat daripada terus bersuara," katanya mengakui proses pembudayaan ilmu di kalangan mahasiswa perlu dilakukan secara berterusan, agresif selain disuntik dengan elemen nilai keperibadian unggul. Impak proses ini bukan boleh dilihat sekelip mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan. 

Konsep pembudayaan ilmu terhasil melalui pengalaman, pengukuhan pengetahuan dan perkongsian serta penyebaran maklumat. Beliau menyarankan mahasiswa merebut peluang sepanjang tempoh pengajian untuk memantapkan penguasaan ilmu. Minda perlu terbuka, anjakan paradigma mesti dilakukan dan memahami konsep memperoleh ilmu tidak semestinya menerusi buku semata-mata. Perkongsian maklumat dengan pensyarah, penyelidikan, kerja lapangan, latihan industri serta komunikasi dengan masyarakat luar juga proses pembudayaan ilmu. Perlu akur dan menerima hakikat, masyarakat akan terus membuat penilaian tanpa henti sama ada suka atau tidak. Ini bukan memperlekehkan, tapi sebagai dorongan ke arah anjakan minda yang lebih baik, jadi terpulang sama ada untuk mengalah atau tidak.

INFO:

Penasihat Persatuan Mahasiswa Islam (Permai) Prof Madya Syed Omar Syed Agil, menggariskan kriteria mahasiswa bermoral sebagai:

1. Harus berpegang teguh pada ajaran agama.
2. Mentaati dan menghargai kedua ibu bapa
3. Mampu mengawal nafsu
4. Menghiasi diri dengan sikap, percakapan dan perbuatan yang baik.
5. Tegas dengan prinsip dan tidak bersedia untuk menggadaikan prinsipnya
6. Tidak menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan agama

Oleh : Ihsan Noorzali
SUMBER : HARIAN METRO, 14 FEBRUARI 2011

13 Februari 2011

CERITA INSAN BERJAYA : RYAN SEACREST, SIMBOL LELAKI BERJAYA


Siapa  yang tidak kenal dengan program American Idol. Seperti mana Akademi Fantasi yang dipenuhi jerit pekik oleh penyokong fanatik, begitu jugalah program realiti American Idol cuma jumlah penonton jauh berkali ganda lebih ramai. Melihat kepada pesertanya yang tergolong dari mereka yang pertama kali muncul dalam pertandingan nyanyian, sambutan yang diberikan sejak kali pertama ke udara pada 2002 begitu memberangsangkan. Walau bagaimanapun seperti Akademi Fantasi jumlah penonton American Idol semakin merosot pada edisi ke 10 tahun ini. Dari jumlah penonton sebanyak 9.85 pada edisi pertama dan kemuncak 37.4 juta pada edisi ke enam ia merudum kepada 26.23 juta dalam edisi ke 10, Januari lepas. Namun jumlah pendapatan pengacara sensasi, Ryan Seacrest tidak berkurangan walaupun jumlah penontonnya semakin menurun. Nama Seacrest dan American Idol sudah tidak boleh dipisahkan lagi.

Sehingga kini beliau masih lagi bertahan sebagai satu-satunya pengacara yang mengendalikan rancangan berkenaan walaupun juri rancangan tersebut sudah acap kali bertukar ganti. Yang tinggal hanya Randy Jackson sebagai pengacara asal dan terbaru penyanyi sensasi Jennifer Lopez dan legenda rock Steven Tyler menggantikan Kara DioGuardi dan Ellen DeGeneres. Namun bagi lelaki yang sering dikaitkan dengan ramai wanita cantik ini, tugasnya bukan sekadar menjadi hos program realiti sahaja tetapi mencakupi sebagai juruhebah, personaliti radio serta produser televisyen. Bagi lelaki kacak berusia 37 tahun ini wang bukan lagi satu masalah bagi dirinya malah dengan kekayaan yang dimiliki tidak hairan begitu ramai wanita yang mendambakan dirinya sebagai kekasih. Ada yang mengatakan sensasi yang timbul dalam American Idol bukan sahaja kerana aksi lincah peserta mahupun kelancangan jurinya mengkritik tetapi berkait rapat dengan kehebatan Seacrest mengawal suasana dan kelancaran perjalanan program berkenaan.

Namun lain pula keadaannya apabila dia mengendalikan konti radio ketika ke udara bersama stesen radio KISS-FM yang berpusat di Los Angeles. Antara rancangan yang paling mendapat perhatian adalah On Air with Ryan Seacrest dan Top 40 radio show dimana kepetahannya berbicara dan mengendalikan pendengar begitu mengujakan. Dilahirkan pada 24 Disember 1974 di Dunwoody, Georgia, bakat pengacaraan dan kepetahannya bercakap sudah mula wujud sejak kecil. Menurut kakaknya Connie Seacrest berbanding kanak-kanak lain yang lebih gemar bermain patung G.I Joe atau pelbagai watak adi wira lain, Seacrest lebih gemar bercakap melalui mikrofon mainan kecil seolah-olah sedang mengendalikan rancangan radionya sendiri di depan ahli keluarga. Ketika berusia 14 tahun, beliau dikenali di sekolahnya sebagai "Voice of Dunwoody High School", kerana menjadi penyampai pengumuman pada waktu pagi.

Namun keadaan dirinya sangat berbeza berbanding sekarang kerana ketika itu beliau adalah seorang remaja gemuk memakai cermin mata dan pendakap gigi serta selalu dibuli oleh pelajar lain. Kepetahannya itu telah menarik minat sebuah stesen radio tempatan, WSTR FM untuk memberinya satu slot setiap hujung minggu walaupun ketika itu hanya berusia 16 tahun. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Georgia dalam bidang kewartawanan tetapi meninggalkan pengajian pada usia 19 tahun untuk berhijrah ke Hollywood. Setahun kemudian Seacrest berjaya mendapat tempat sebagai juruhebah di KYSR-FM 98.7's dan mengendalikan program Ryan Seacrest for the Ride Home dengan gaji AS$15 (RM46) sejam. Rancangan tersebut mendapat tempat pertama dari rating pendengar di stesen berkenaan sebelum diperluaskan ke seluruh AS. Selain pengacara radio, kebolehan lelaki ini terserlah dalam bidang pengacaraan televisyen dengan membuat kemunculan pertama di ESPN's Radical Outdoor Challenge pada 1994.

Kemudian pelbagai stesen televisyen mula berminat dengan kebolehannya walaupun masih belum begitu dikenali. Antara program televisyen yang pernah mendapat sentuhannya adalah Gladiators 2000, NBC Saturday Night at the Movies, Ultimate Revenge dan pelbagai lagi. Pastinya kemuncak kejayaannya adalah terpilih mengacara American Idol yang pada awalnya dikendalikan bersama Brian Dunkleman. Kini tugasan Seacrest melebihi dari kerjaya asalnya dengan pendapat tahunan mencecah AS$40 juta (RM124 juta) pada tahun lepas. Malah dalam senarai selebriti terkaya tahun lepas beliau menduduki tempat ke 44. Untuk kontrak baru American Idol, beliau mendapat pendapat AS$60 juta (RM186 juta) untuk tiga tahun yang ditandatangani pada tahun lepas. Itu belum termasuk pelbagai pendapatan lain yang disumbang melalui pengacaraan radio dan ketika mengacara program saluran kabel E!.

Pada tahun 2006 beliau menandatangani kontrak sebanyak AS$21 juta (RM65.1 juta ) untuk mengendalikan program E! News dan juga sebagai produser beberapa rancangan televisyen. Antara program yang beliau bertindak menjadi produser adalah Keeping Up with the Kardashians dan Denise Richards: It's Complicated. Selain itu beliau juga bertindak sebagai produser untuk beberapa rancangan televisyen keluaran stesen televisyen lain namun pengkritik sering melabelkan siri televisyen keluarannya sebagai sampah. Malah penulis dan pastinya ramai lagi pembaca di luar yang bersetuju dengan pandangan ini kerana kebanyakan siri televisyen berkenaan yang berkonsepkan realiti tv sebagai “tin kosong” yang tidak diketahui apa yang mahu ditonjolkan. Namun mungkin perkara itu tidak menjadi keutamaan baginya memandangkan pendapatan yang diperolehi begitu lumayan dengan hanya bersandarkan kepada populariti dan kemasyhuran yang dimiliki.

Sehingga kini beliau masih lagi menduduki tempat teratas sebagai pengacara televisyen paling tinggi menerima bayaran. Malah oleh kerana popularitinya pengacara legenda, Larry King pernah menguar-uarkan bahawa Seacrest adalah orang paling layak untuk menggantikannya dalam rancangan Larry King Live pada tahun lepas. Namun kemudian pihak CNN memilih bekas wartawan British yang juga bekas juri America's Got Talent, Piers Morgan sebagai pengganti. Kini beliau mengacarakan program Piers Morgan Tonight di saluran CNN sebagai ganti Larry King Live. Dalam hubungan peribadi beliau kini menjalinkan hubungan dengan bekas peserta Dancing with the Stars, Julianne Hough yang berusia 22 tahun. Selain itu dek kerana populariti juga telah mengakibatkan Seacrest menjadi mangsa serangan oleh seorang peminatnya. Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Chidi Benjamin Uzomah Jr kini ditahan kerana cuba menyerang beliau tetapi sempat dihalang oleh pengawal peribadinya pada 2009.

Melihat kepada populariti pasti membuatkan kita semua kagum dengan hasil usaha beliau yang tidak pernah kenal erti penat, adakalanya bekerja sehingga lima enam program dalam sehari. Dengan usaha gigihnya maka tidak hairan beliau dikenali sebagai manusia paling bekerja keras dalam bidang penyiaran di AS malah mungkin juga di dunia.

Oleh : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011

ISU SOSIAL : NILAI KOMERSIAL HARI VALENTINE


Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi dari sudut budaya kepenggunaan. Penulis yang juga seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan. Menurut buku ini, budaya kepenggunaan membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden. Hal ini telah berlaku di negara ini pada setiap kali sambutan Hari Valentine. Esok 14 Februari adalah Hari Valentine. Sejak seminggu lalu pusat-pusat membeli belah besar dan ternama memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine.

Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini. Sebahagian besar remaja kita termasuk “bapa remaja” dan “emak remaja” turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap sebarang pembudayaan dari luar. Walaupun Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian tetapi banyak pengagum dan pak turutnya adalah orang Melayu - Islam. Kepada golongan ini keghairahan menyambut Hari Valentine menenggelamkan Maulidul Rasul Selasa ini. Inilah kesan ledakan budaya kepenggunaan Barat untuk memasarkan Hari Valentine. Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang sedikit cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang.

Semua ini utuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine. Tahun-tahun sebelum ini juga ada beberapa stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu - Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang untuk menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Sikap begini juga yang menyebarluaskan tentang “keperluan” Hari Valentine hingga di segenap ceruk desa dan pekan. Banyak remaja Melayu - Islam tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur. Inilah yang menjadi kebimbangan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine.

Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Ini dari sudut agama Islam dan sewajarnya Jabatan Agama Islam negeri lebih awal melaksanakan perkara asas begini sebelum didesak oleh pihak lain. Nilai-nilai Hari Valentine yang bertentangan sama sekali dengan Islam telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rencana ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya kepenggunaan. Orang bukan Islam atau bukan Melayu tidak terkecuali kerana mereka yang meraikannya menjadi mangsa puak yang mengambil peluang dalam kepesatan budaya kepenggunaan. Sanggupkah anda dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat barangan, pemilik hotel, pusat hiburan waima penjual riben merah jambu?

Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan. Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa. Mereka inilah yang terpesona dengan terjemahan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih atau Hari Kasih Sayang. Dalam ledakan budaya kepenggunaan, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya. Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah lama merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral dan akhlak remaja Islam, malah turut menyumbang kepada gejala sosial bukan Islam. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya kepenggunaan merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular tetapi akhirnya menyumbangkan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini “Hari Valentine terakhir” bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang. Masyarakat kita yang baru dijengah budaya kepenggunaan dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan. Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama barangan Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu selain menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Orang tua-tua pernah berkata, yang bodoh adalah makanan yang cerdik. Inilah yang berlaku pada setiap kali menjelang 14 Februari, ketika langit senja berwarna jingga seolah-olah bertukar menjadi merah jambu. Kepada pengagum Hari Valentine, bersedialah untuk berubah menjadi lebih baik, jadilah orang yang cerdik dan esok tidak wujud Hari Valentine untuk disambut. Hiduplah seperti biasa kerana kasih sayang tidak ada hari-hari tertentu saja untuk dizahirkan. Hari Valentine bukan untuk mengeratkan kasih sayang. Semua itu mengarut.

Oleh : Ku Seman Ku Hussien
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : REJUVENASI BUDAYA AKADEMIK

Universiti perlu berani berubah dalam melahirkan pelajar mampu cetus teori baru


Perbincangan bertajuk Perlunya Rejuvenasi Budaya Akademik pada Persidangan Akademik 2011, Menjuarai Kecemerlangan Universiti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada hari Jumaat, 11 Februari 2011 yang lalu, mendedahkan betapa perlunya universiti di negara ini melakukan perubahan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini dan menjangkaui masa akan datang. Perbincangan juga menjurus kepada kemampuan universiti melahirkan ‘jutawan’ dalam pelbagai bidang yang dicetuskan daripada idea universiti. Sarjana dan mahasiswa universiti juga perlu melahirkan teori baru dan asli dalam pelbagai disiplin lengkap dengan kajian yang dijadikan rujukan sarjana dunia, sekali pun terpaksa menolak teori dihasilkan sarjana Barat sekiranya mendapati ia sudah jumud berikutan perubahan zaman.

Hari ini, kajian yang dijalankan dalam hampir semua bidang terpaksa merujuk kepada teori atau model Barat menyebabkan apa juga idea yang dicetuskan sarjana dan mahasiswa terikat kepada pemikiran Barat, terutama dalam bidang politik dan sains sosial. Inilah antara inti perbincangan mengenai maksud rejuvenasi budaya akademik yang diutarakan ahli panel.  Memang diakui, kejayaan yang dicapai universiti di negara ini hari ini, walaupun dalam usia yang singkat, sudah boleh dibanggakan dengan kualiti dan standard pembelajaran yang baik.  Suasana ini mendorong ramai pelajar asing memilih universiti di Malaysia sebagai tempat mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ini adalah pengiktirafan yang tinggi kepada Malaysia seperti pelajar dan negara kita mengiktiraf universiti di luar negara di mana ramai pelajar negara ini menuntut ilmu. Namun, untuk mencapai kecemerlangan masih banyak perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar tidak ragu-ragu menyatakan bahawa untuk menjadikan sebuah universiti bertaraf dunia, ia adalah tugas yang amat mencabar. Sebagai contoh, beliau membandingkan UiTM dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diibaratkan mempunyai matlamat dan dimensi yang sangat berbeza.  Jika pelajar di Harvard adalah kalangan anak orang yang berpengaruh, bangsawan dan berwang yang sememangnya mempunyai segala kemudahan dan kemampuan, UiTM adalah tempat anak pelbagai latar belakang menimba ilmu.  Jika diperhalusi seorang demi seorang pelajar UiTM, mereka adalah anak petani dan nelayan, pengayuh beca, pemandu lori, buruh kasar, kerani dan sebagainya walaupun ada juga anak orang berada. Dengan sasaran angka 250,000 pelajar, UiTM sebenarnya pun menempah satu kejayaan yang sangat cemerlang. Dari konteks ini, tidak banyak universiti yang mampu menyaingi UiTM.

Selain daripada negara yang mempunyai bilangan penduduk ratusan juta seperti India, malah melebihi angka 1 billion seperti di China, sebutlah apa juga universiti di dunia ini, mereka tidak mempunyai matlamat seperti yang digariskan oleh UiTM untuk membantu rakyatnya. UiTM perlu diakui sebagai sebuah universiti yang mempunyai visi dan misi yang luar biasa.  Cabaran UiTM sangat besar kerana ia bukan saja perlu menghasilkan kuantiti pelajar, tetapi lebih penting ialah kualiti. Namun, tidak dinafikan juga setiap universiti di negara ini turut memainkan peranan mengikut ‘niche’ masing-masing untuk membangunkan bangsa dan negara.  Rejunevasi dalam konteks budaya akademik ini tidak bermakna untuk meremajakan budaya akademik. Rejunevasi lebih menunjuk jalan kepada keberanian untuk berubah dan mengamalkan kaedah dan pendekatan serta persekitaran ekosistem yang baru. Universiti perlu sedia mengubahsuai apa juga yang sudah ketinggalan zaman kepada sesuatu yang lebih bertenaga.

Jika cara pembelajaran kuliah, umpamanya menggunakan power point sudah difikirkan ketinggalan zaman, sesuatu yang baru perlulah difikirkan seperti syarikat terkemuka dunia mencipta pelbagai gajet baru di pasaran hari ini. Cara bertindak dan bentuk komunikasi pelajar hari ini, yang kebanyakannya mewakili generasi Y, sudah berbeza dari pelbagai segi. Sementara, pensyarah mereka terkial-kial dengan alat dan gajet komunikasi canggih sama ada telefon, Ipad, komputer dan sebagainya, pelajar mereka tidur dan makan bersama alat-alat itu. Malah, mereka lebih layak mengajar pensyarah mereka dalam penggunaan alat canggih. Bagi pelajar seperti ini, teknik pembelajaran sedia ada mengurangkan minat mereka belajar. Pelajar hari ini sudah kurang menulis, tetapi menaip pada papan kekunci komputer. Mereka tidak boleh lagi menerima alasan pemberitahuan pembatalan kuliah ditampal di papan notis.

Dalam sebuah dewan kuliah, tanyalah siapakah antara mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit? Jika 100 orang dalam sebuah dewan, semuanya mempunyai alat itu. Apa pun budaya akademik yang diamalkan di universiti, kualiti pelajar ditentukan oleh pasaran. Sekiranya mereka diterima pasaran pekerjaan dan memberi sumbangan besar kepada majikan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, mereka adalah golongan yang berjaya. Dalam tempoh selepas negara merdeka, tidak siapa boleh menafikan bahawa kejayaan negara ini adalah hasil sokongan mahasiswa di universiti yang menggerakkan kemajuan ekonomi negara. Sebenarnya, secara individu mereka yang berjaya dalam bidang dan profesion masing-masing di negara ini terutama mereka yang berada di puncak kejayaan, kebanyakannya adalah produk daripada universiti tempatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sebahagian besar mereka tidak akan dapat keluar negara jika asas pembelajaran awalnya tidak bermula di negara ini. Di Malaysia, sebenarnya sudah ramai yang berjaya menjadi ahli korporat ternama, presiden dan ketua eksekutif institusi ternama dan sebagainya, walaupun pada asalnya mereka adalah benih daripada sebuah keluarga yang miskin. Mereka ini adalah aset negara kerana peranan yang mereka mainkan adalah besar dalam pembangunan negara. Dalam menghadapi cabaran akan datang, sudah tentu universiti perlu melihat sumbangan yang lebih besar. Universiti perlu menjana idea yang jauh lebih inovatif berasaskan kemudahan dan budaya akademik yang segar.

Oleh  :  Mior Kamarul Shahid
SUMBER : BERITA MINGGU, 13 FEBRUARI 2011