JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : REJUVENASI BUDAYA AKADEMIK

Universiti perlu berani berubah dalam melahirkan pelajar mampu cetus teori baru


Perbincangan bertajuk Perlunya Rejuvenasi Budaya Akademik pada Persidangan Akademik 2011, Menjuarai Kecemerlangan Universiti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada hari Jumaat, 11 Februari 2011 yang lalu, mendedahkan betapa perlunya universiti di negara ini melakukan perubahan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini dan menjangkaui masa akan datang. Perbincangan juga menjurus kepada kemampuan universiti melahirkan ‘jutawan’ dalam pelbagai bidang yang dicetuskan daripada idea universiti. Sarjana dan mahasiswa universiti juga perlu melahirkan teori baru dan asli dalam pelbagai disiplin lengkap dengan kajian yang dijadikan rujukan sarjana dunia, sekali pun terpaksa menolak teori dihasilkan sarjana Barat sekiranya mendapati ia sudah jumud berikutan perubahan zaman.

Hari ini, kajian yang dijalankan dalam hampir semua bidang terpaksa merujuk kepada teori atau model Barat menyebabkan apa juga idea yang dicetuskan sarjana dan mahasiswa terikat kepada pemikiran Barat, terutama dalam bidang politik dan sains sosial. Inilah antara inti perbincangan mengenai maksud rejuvenasi budaya akademik yang diutarakan ahli panel.  Memang diakui, kejayaan yang dicapai universiti di negara ini hari ini, walaupun dalam usia yang singkat, sudah boleh dibanggakan dengan kualiti dan standard pembelajaran yang baik.  Suasana ini mendorong ramai pelajar asing memilih universiti di Malaysia sebagai tempat mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ini adalah pengiktirafan yang tinggi kepada Malaysia seperti pelajar dan negara kita mengiktiraf universiti di luar negara di mana ramai pelajar negara ini menuntut ilmu. Namun, untuk mencapai kecemerlangan masih banyak perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar tidak ragu-ragu menyatakan bahawa untuk menjadikan sebuah universiti bertaraf dunia, ia adalah tugas yang amat mencabar. Sebagai contoh, beliau membandingkan UiTM dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diibaratkan mempunyai matlamat dan dimensi yang sangat berbeza.  Jika pelajar di Harvard adalah kalangan anak orang yang berpengaruh, bangsawan dan berwang yang sememangnya mempunyai segala kemudahan dan kemampuan, UiTM adalah tempat anak pelbagai latar belakang menimba ilmu.  Jika diperhalusi seorang demi seorang pelajar UiTM, mereka adalah anak petani dan nelayan, pengayuh beca, pemandu lori, buruh kasar, kerani dan sebagainya walaupun ada juga anak orang berada. Dengan sasaran angka 250,000 pelajar, UiTM sebenarnya pun menempah satu kejayaan yang sangat cemerlang. Dari konteks ini, tidak banyak universiti yang mampu menyaingi UiTM.

Selain daripada negara yang mempunyai bilangan penduduk ratusan juta seperti India, malah melebihi angka 1 billion seperti di China, sebutlah apa juga universiti di dunia ini, mereka tidak mempunyai matlamat seperti yang digariskan oleh UiTM untuk membantu rakyatnya. UiTM perlu diakui sebagai sebuah universiti yang mempunyai visi dan misi yang luar biasa.  Cabaran UiTM sangat besar kerana ia bukan saja perlu menghasilkan kuantiti pelajar, tetapi lebih penting ialah kualiti. Namun, tidak dinafikan juga setiap universiti di negara ini turut memainkan peranan mengikut ‘niche’ masing-masing untuk membangunkan bangsa dan negara.  Rejunevasi dalam konteks budaya akademik ini tidak bermakna untuk meremajakan budaya akademik. Rejunevasi lebih menunjuk jalan kepada keberanian untuk berubah dan mengamalkan kaedah dan pendekatan serta persekitaran ekosistem yang baru. Universiti perlu sedia mengubahsuai apa juga yang sudah ketinggalan zaman kepada sesuatu yang lebih bertenaga.

Jika cara pembelajaran kuliah, umpamanya menggunakan power point sudah difikirkan ketinggalan zaman, sesuatu yang baru perlulah difikirkan seperti syarikat terkemuka dunia mencipta pelbagai gajet baru di pasaran hari ini. Cara bertindak dan bentuk komunikasi pelajar hari ini, yang kebanyakannya mewakili generasi Y, sudah berbeza dari pelbagai segi. Sementara, pensyarah mereka terkial-kial dengan alat dan gajet komunikasi canggih sama ada telefon, Ipad, komputer dan sebagainya, pelajar mereka tidur dan makan bersama alat-alat itu. Malah, mereka lebih layak mengajar pensyarah mereka dalam penggunaan alat canggih. Bagi pelajar seperti ini, teknik pembelajaran sedia ada mengurangkan minat mereka belajar. Pelajar hari ini sudah kurang menulis, tetapi menaip pada papan kekunci komputer. Mereka tidak boleh lagi menerima alasan pemberitahuan pembatalan kuliah ditampal di papan notis.

Dalam sebuah dewan kuliah, tanyalah siapakah antara mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit? Jika 100 orang dalam sebuah dewan, semuanya mempunyai alat itu. Apa pun budaya akademik yang diamalkan di universiti, kualiti pelajar ditentukan oleh pasaran. Sekiranya mereka diterima pasaran pekerjaan dan memberi sumbangan besar kepada majikan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, mereka adalah golongan yang berjaya. Dalam tempoh selepas negara merdeka, tidak siapa boleh menafikan bahawa kejayaan negara ini adalah hasil sokongan mahasiswa di universiti yang menggerakkan kemajuan ekonomi negara. Sebenarnya, secara individu mereka yang berjaya dalam bidang dan profesion masing-masing di negara ini terutama mereka yang berada di puncak kejayaan, kebanyakannya adalah produk daripada universiti tempatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sebahagian besar mereka tidak akan dapat keluar negara jika asas pembelajaran awalnya tidak bermula di negara ini. Di Malaysia, sebenarnya sudah ramai yang berjaya menjadi ahli korporat ternama, presiden dan ketua eksekutif institusi ternama dan sebagainya, walaupun pada asalnya mereka adalah benih daripada sebuah keluarga yang miskin. Mereka ini adalah aset negara kerana peranan yang mereka mainkan adalah besar dalam pembangunan negara. Dalam menghadapi cabaran akan datang, sudah tentu universiti perlu melihat sumbangan yang lebih besar. Universiti perlu menjana idea yang jauh lebih inovatif berasaskan kemudahan dan budaya akademik yang segar.

Oleh  :  Mior Kamarul Shahid
SUMBER : BERITA MINGGU, 13 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: