Siapa yang tidak kenal dengan program American Idol. Seperti mana Akademi Fantasi yang dipenuhi jerit pekik oleh penyokong fanatik, begitu jugalah program realiti American Idol cuma jumlah penonton jauh berkali ganda lebih ramai. Melihat kepada pesertanya yang tergolong dari mereka yang pertama kali muncul dalam pertandingan nyanyian, sambutan yang diberikan sejak kali pertama ke udara pada 2002 begitu memberangsangkan. Walau bagaimanapun seperti Akademi Fantasi jumlah penonton American Idol semakin merosot pada edisi ke 10 tahun ini. Dari jumlah penonton sebanyak 9.85 pada edisi pertama dan kemuncak 37.4 juta pada edisi ke enam ia merudum kepada 26.23 juta dalam edisi ke 10, Januari lepas. Namun jumlah pendapatan pengacara sensasi, Ryan Seacrest tidak berkurangan walaupun jumlah penontonnya semakin menurun. Nama Seacrest dan American Idol sudah tidak boleh dipisahkan lagi.
Sehingga kini beliau masih lagi bertahan sebagai satu-satunya pengacara yang mengendalikan rancangan berkenaan walaupun juri rancangan tersebut sudah acap kali bertukar ganti. Yang tinggal hanya Randy Jackson sebagai pengacara asal dan terbaru penyanyi sensasi Jennifer Lopez dan legenda rock Steven Tyler menggantikan Kara DioGuardi dan Ellen DeGeneres. Namun bagi lelaki yang sering dikaitkan dengan ramai wanita cantik ini, tugasnya bukan sekadar menjadi hos program realiti sahaja tetapi mencakupi sebagai juruhebah, personaliti radio serta produser televisyen. Bagi lelaki kacak berusia 37 tahun ini wang bukan lagi satu masalah bagi dirinya malah dengan kekayaan yang dimiliki tidak hairan begitu ramai wanita yang mendambakan dirinya sebagai kekasih. Ada yang mengatakan sensasi yang timbul dalam American Idol bukan sahaja kerana aksi lincah peserta mahupun kelancangan jurinya mengkritik tetapi berkait rapat dengan kehebatan Seacrest mengawal suasana dan kelancaran perjalanan program berkenaan.
Namun lain pula keadaannya apabila dia mengendalikan konti radio ketika ke udara bersama stesen radio KISS-FM yang berpusat di Los Angeles. Antara rancangan yang paling mendapat perhatian adalah On Air with Ryan Seacrest dan Top 40 radio show dimana kepetahannya berbicara dan mengendalikan pendengar begitu mengujakan. Dilahirkan pada 24 Disember 1974 di Dunwoody, Georgia, bakat pengacaraan dan kepetahannya bercakap sudah mula wujud sejak kecil. Menurut kakaknya Connie Seacrest berbanding kanak-kanak lain yang lebih gemar bermain patung G.I Joe atau pelbagai watak adi wira lain, Seacrest lebih gemar bercakap melalui mikrofon mainan kecil seolah-olah sedang mengendalikan rancangan radionya sendiri di depan ahli keluarga. Ketika berusia 14 tahun, beliau dikenali di sekolahnya sebagai "Voice of Dunwoody High School", kerana menjadi penyampai pengumuman pada waktu pagi.
Namun keadaan dirinya sangat berbeza berbanding sekarang kerana ketika itu beliau adalah seorang remaja gemuk memakai cermin mata dan pendakap gigi serta selalu dibuli oleh pelajar lain. Kepetahannya itu telah menarik minat sebuah stesen radio tempatan, WSTR FM untuk memberinya satu slot setiap hujung minggu walaupun ketika itu hanya berusia 16 tahun. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Georgia dalam bidang kewartawanan tetapi meninggalkan pengajian pada usia 19 tahun untuk berhijrah ke Hollywood. Setahun kemudian Seacrest berjaya mendapat tempat sebagai juruhebah di KYSR-FM 98.7's dan mengendalikan program Ryan Seacrest for the Ride Home dengan gaji AS$15 (RM46) sejam. Rancangan tersebut mendapat tempat pertama dari rating pendengar di stesen berkenaan sebelum diperluaskan ke seluruh AS. Selain pengacara radio, kebolehan lelaki ini terserlah dalam bidang pengacaraan televisyen dengan membuat kemunculan pertama di ESPN's Radical Outdoor Challenge pada 1994.
Kemudian pelbagai stesen televisyen mula berminat dengan kebolehannya walaupun masih belum begitu dikenali. Antara program televisyen yang pernah mendapat sentuhannya adalah Gladiators 2000, NBC Saturday Night at the Movies, Ultimate Revenge dan pelbagai lagi. Pastinya kemuncak kejayaannya adalah terpilih mengacara American Idol yang pada awalnya dikendalikan bersama Brian Dunkleman. Kini tugasan Seacrest melebihi dari kerjaya asalnya dengan pendapat tahunan mencecah AS$40 juta (RM124 juta) pada tahun lepas. Malah dalam senarai selebriti terkaya tahun lepas beliau menduduki tempat ke 44. Untuk kontrak baru American Idol, beliau mendapat pendapat AS$60 juta (RM186 juta) untuk tiga tahun yang ditandatangani pada tahun lepas. Itu belum termasuk pelbagai pendapatan lain yang disumbang melalui pengacaraan radio dan ketika mengacara program saluran kabel E!.
Pada tahun 2006 beliau menandatangani kontrak sebanyak AS$21 juta (RM65.1 juta ) untuk mengendalikan program E! News dan juga sebagai produser beberapa rancangan televisyen. Antara program yang beliau bertindak menjadi produser adalah Keeping Up with the Kardashians dan Denise Richards: It's Complicated. Selain itu beliau juga bertindak sebagai produser untuk beberapa rancangan televisyen keluaran stesen televisyen lain namun pengkritik sering melabelkan siri televisyen keluarannya sebagai sampah. Malah penulis dan pastinya ramai lagi pembaca di luar yang bersetuju dengan pandangan ini kerana kebanyakan siri televisyen berkenaan yang berkonsepkan realiti tv sebagai “tin kosong” yang tidak diketahui apa yang mahu ditonjolkan. Namun mungkin perkara itu tidak menjadi keutamaan baginya memandangkan pendapatan yang diperolehi begitu lumayan dengan hanya bersandarkan kepada populariti dan kemasyhuran yang dimiliki.
Sehingga kini beliau masih lagi menduduki tempat teratas sebagai pengacara televisyen paling tinggi menerima bayaran. Malah oleh kerana popularitinya pengacara legenda, Larry King pernah menguar-uarkan bahawa Seacrest adalah orang paling layak untuk menggantikannya dalam rancangan Larry King Live pada tahun lepas. Namun kemudian pihak CNN memilih bekas wartawan British yang juga bekas juri America's Got Talent, Piers Morgan sebagai pengganti. Kini beliau mengacarakan program Piers Morgan Tonight di saluran CNN sebagai ganti Larry King Live. Dalam hubungan peribadi beliau kini menjalinkan hubungan dengan bekas peserta Dancing with the Stars, Julianne Hough yang berusia 22 tahun. Selain itu dek kerana populariti juga telah mengakibatkan Seacrest menjadi mangsa serangan oleh seorang peminatnya. Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Chidi Benjamin Uzomah Jr kini ditahan kerana cuba menyerang beliau tetapi sempat dihalang oleh pengawal peribadinya pada 2009.
Melihat kepada populariti pasti membuatkan kita semua kagum dengan hasil usaha beliau yang tidak pernah kenal erti penat, adakalanya bekerja sehingga lima enam program dalam sehari. Dengan usaha gigihnya maka tidak hairan beliau dikenali sebagai manusia paling bekerja keras dalam bidang penyiaran di AS malah mungkin juga di dunia.
Oleh : Hafizahril Hamid
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan