16 Januari 2011

TITISAN TINTA DARI SEORANG PENDIDIK

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua terutamanya pembaca setia blog Cikgu Zul ini,


Sejak bulan November 2010 hingga kini, Cikgu Zul hanya memenuhi intpati blog ini dengan rencana-rencana yang dipetik dari akhbar-akhbar tempatan sahaja. Hal ini demikian kerana Cikgu Zul sibuk dengan pelbagai urusan kerja yang perlu diselesaikan di samping urusan sendiri yang tidak pernah ada titik noktahnya. Insyallah, mulai esok, pengisian intipati blog ini akan kembali seperti biasa. 

Adik-adik pelajar yang bakal menduduki STPM 2011 pasti sedang memasang angan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM yang bakal diduduki pada bulan November nanti. Cikgu Zul berharap adik-adik sekalian, mulakan usaha dari sekarang kerana semakin awal anda memasang strategi makin kukuh keyakinan anda untuk merangkul jaya. Jika hendak mendapat keputusan 4 atau mencatat sejarah sebagai pelajar paling cemerlang dalam STPM 2011 di Malaysia, adik-adik sekalian kenalah berusaha. Semua ini bukan mustahil untuk dicapai andai ada usaha yang berterusan.

Sebagai pembangkit semangat dan menyemarakkan keinsafan dihati dan dijiwa, hayatilah bait-bait lagi berjudul "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF7 ini. 


Sekian.
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak

ISU BAHASA : KEJAYAAN MELALUI PERPADUAN BAHASA


Perbezaan antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah antara lainnya kecenderungan penggunaan perkataan yang asal-usulnya berbeza. Bahasa Indonesia cenderung menggunakan perkataan yang asalnya daripada bahasa Sanskrit. Sementara Bahasa Malaysia dari bahasa Arab. Umpamanya, ideologi negara Indonesia dinamakan Pancasila, perkataan asal daripada bahasa Sanskrit. Di Malaysia dinamakan Rukun Negara. Rukun asalnya daripada perkataan bahasa Arab. Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Cumanya bahasa Melayu di Indonesia dipengaruhi kuat oleh bahasa Sanskrit kerana kedudukan tamadun Jawa yang dipengaruhi Hindu-Buddha berasaskan bahasa Sanskrit amat kuat. Sementara bahasa Melayu di Malaysia berpaksikan Kesultanan Melayu di Melaka telah dipengaruhi dengan Islam hingga bahasa Arab menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa ilmu.

Itu asasnya. Apabila penjajah Inggeris dan Belanda membahagikan wilayah Melayu menjadi dua iaitu Indonesia dan Malaysia, maka bahasa di kedua-dua negara juga berkembang secara berpisah. Maka banyaklah perkataan Inggeris masuk ke dalam Bahasa Malaysia, dan istilah Belanda masuk ke Bahasa Indonesia. Maka istilah kantor, kamar dan koran yang asalnya Belanda menjadi perkataan dalam Bahasa Indonesia. Sedangkan di Malaysia, ia menggunakan istilah pejabat, bilik dan akhbar. Katakanlah dulu proses Islamisasi tidak berlaku di Indonesia, maka bahasa Melayu antara kedua-dua negara akan menjauh. Bahasa Indonesia akan penuh dengan perkataan Sanskrit dan Bahasa Malaysia penuh dengan bahasa Arab. Maka Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia jadi seperti Hindi dan Urdu. Ia asalnya merupakan satu bahasa. Jadi apabila kerajaan Moghul memerintah India, maka banyaklah istilah Parsi yang masuk ke bahasa itu. Muncullah bahasa Urdu.

Kini bahasa rasmi Pakistan ialah Urdu, yang penuh dengan istilah Parsi. Sementara Hindi menjadi bahasa rasmi India, penuh dengan perkataan Sanskrit. Selama ini penutur Urdu dan Hindi boleh memahami satu sama lain tetapi akhirnya akan berpisah jauh dan satu hari mungkin tidak akan lagi memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi tulisan kedua-duanya berbeza. Urdu menggunakan tulisan jawi Parsi sementara Hindi menggunakan tulisan Devanagari. Begitu juga dengan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia akan berpisah jauh kerana perbezaan istilah yang akhirnya membuat penuturnya tidak memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika bahasa Belanda mempengaruhi kuat ke atas Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris ke atas Bahasa Malaysia. Tambahan pula dengan perbezaan tulisan. Ketika Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, tulisan Bahasa Indonesia adalah rumi sedangkan bahasa Melayu di Malaya menggunakan tulisan Jawi. Hanya setelah negara ini mencapai kemerdekaan barulah usaha dibuat supaya bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi. Tetapi ejaan rumi Melayu di Malaya berbeza dengan Bahasa Indonesia. Secara rasminya bahasa Melayu di Hindi Belanda menjadi Bahasa Indonesia ialah pada tahun 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Berpisah

Sementara bahasa Melayu di Malaya menjadi Bahasa Malaysia pada 16 September 1963. Dengan ejaan berbeza, ia semakin berpisah jauh. Maka apa yang disebut sebagai bahasa Melayu adalah bahasa Melayu di Thailand dan Brunei yang menggunakan tulisan jawi. Oleh kerana Singapura pada mulanya negeri dalam Malaysia, maka ia juga menggunakan Bahasa Malaysia. Hanya apabila ia berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, bahasa sana dikenali semula sebagai bahasa Melayu. Tetapi tulisannya menggunakan kaedah rumi Bahasa Malaysia. Selepas Konfrontasi dan semasa pemerintahan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Tun Razak, terdapat perasaan jelas bahawa kedua-dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak wajar dibiarkan hanyut semakin berpisah jauh. Maka pada 16 Ogos 1972, ejaan kedua bahasa diseragamkan. Komitmen penyeragaman ejaan ini menunjukkan bahawa kedua bahasa mahu disatukan. Maka ejaan rumi diseragamkan ini turut diikut serta oleh bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei yang melihat Kuala Lumpur sebagai paksi bahasanya.

Kepentingan bahasa Belanda yang semakin berkurangan di Indonesia dan digantikan dengan bahasa Inggeris menyebabkan Bahasa Indonesia mengikut jejak Bahasa Malaysia dalam mengambil istilah-istilah yang asalnya dari bahasa Inggeris. Dominasi Amerika Syarikat ke atas Indonesia dan kemunculan teknologi maklumat akhirnya akan merapatkan lagi bahasa Malaysia dan Indonesia. Bahasa Malaysia juga banyak mengambil istilah Bahasa Indonesia yang asal-usulnya dari Sanskrit seperti wisma, siswa dan pustaka. Nama tempat di Malaysia juga ada yang asalnya Sanskrit seperti Titiwangsa, Mahameru, Suria dan Damansara. Istilah Sanskrit dan Arab amat dekat dengan lidah bahasa Melayu. Bahasa Malaysia juga tidak keberatan mengambil perkataan Indonesia yang asalnya dari Belanda seperti organisasi dan prestasi. Masa depan cerah bagi Bahasa Malaysia terletak pada penyatuan semua bahasa Melayu. Baik dengan Bahasa Indonesia mahupun dengan bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei.

Seperti kata cogan jata kedua negara: Bersekutu Bertambah Mutu dan Bhineka Tunggal Ika, dalam bahasa Sanskrit bermaksud Perpaduan dalam Kepelbagaian. Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara kedua bahasa. Tetapi dengan sentiasa mencari jalan supaya kedua bahasa semakin mendekat, maka itulah masa depan bahasa kita.

Oleh
Zin Mahmud

Mingguan Malaysia
16 Januari 2010

ISU ALAM SEKITAR : BAHANA CUACA DI AUSTRALIA


Tiada kata dapat diluahkan dengan kecelakaan yang melanda Australia akibat banjir antara paling buruk pernah melanda negara itu. Malang yang melanda Australia ini seolah-olah sudah sinonim dengan kejadian buruk yang berlaku pada setiap hujung tahun. Pada hujung tahun 2009 sehinggalah pertengahan Januari 2010, Australia dilanda bencana ribut debu merah yang dianggap paling buruk dalam sejarah negara itu sejak tahun 1940-an. Kehadiran ribut yang tidak diundang itu telah menyebabkan bandar-bandar berkenaan menjadi kelam kabut. Kehidupan penduduk tergugat dan perkhidmatan awam terjejas. Ternyata bulan Disember sehingga Januari seolah-olah menjadi 'bulan bencana' kepada Australia kerana selepas ribut debu merah yang melanda tahun lepas, kini negara itu diancam banjir teruk dan salji yang melanda secara mengejut. Perubahan cuaca mendadak akibat cuaca yang tidak menentu telah memberi kesan yang ketara pada kehidupan masyarakatnya yang sehingga kini masih terkial-kial dengan kemelut ini.

Lebih menarik lagi di beberapa bahagian Australia seperti New South Wales dan Victoria pula keadaan bersalji berlaku secara mengejut yang mana pada kebiasaannya bulan Disember adalah musim panas. Dengan keadaan begini telah membolehkan penduduk menikmati perayaan Krismas dalam keadaan salji sebenar. Sehingga kini banjir terburuk yang melanda timur laut Australia telah meragut lebih 20 nyawa, sementara 80 lagi dilaporkan hilang ketika situasi di Brisbane semakin buruk dengan lebih 7,000 hartanah terancam. Setakat ini banjir terburuk telah menjejaskan 200,000 penduduk di bahagian timur laut negara ini. Perdana Menteri Julia Gillard yang turut cemas dengan kejadian ini memberi amaran angka kematian mungkin meningkat selepas banjir kilat melanda bandar Toowoomba menyebabkan banyak kenderaan dan kediaman dihanyutkan air. Gillard turut mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan banjir lebih buruk akan berlaku selepas seluruh bandar di timur laut negara ini terputus hubungan akibat ditenggelami air dan pihak tentera telah memindahkan beratus penduduk menggunakan helikopter.

Berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir menenggelamkan kawasan lebih luas dari Jerman dan Perancis selain perkhidmatan kapal terbang serta perkhidmatan kereta api terpaksa ditutup. Ketua Menteri Queensland, Anna Bligh pula berkata, angka korban mungkin meningkat secara mendadak ekoran usaha menyelamatkan mereka yang hilang terhalang ekoran hujan lebat dan jalan raya yang ditenggelami air. Empat helikopter tentera dihantar untuk menyertai usaha menyelamat, tetapi operasi itu tergendala akibat hujan lebat di wilayah Lembah Lockyer itu. Beribu-ribu orang dilaporkan bergegas meninggalkan tengah bandar Brisbane menggunakan bas, kereta api dan kenderaan ekoran pengumuman amaran banjir di berpuluh-puluh daerah selepas tebing sungai Brisbane pecah. Hampir beratus-ratus orang pula dipindahkan menggunakan pengangkutan udara ekoran banjir yang telah pun menyebabkan kerugian berbilion dolar terus merebak. Hujan lebat akibat hujan tropika menyebabkan banyak kawasan di Queensland ditenggelami air dengan 1,000 penduduk setakat ini telah dipindahkan dan 38 daerah diisytihar sebagai kawasan bencana alam.

Bantuan

Selain itu sebagai langkah tambahan, Gillard turut melancarkan tabung bantuan dan menjanjikan bantuan kerajaan berjumlah AS$1 juta (RM3.09 juta) bagi membantu mangsa banjir dahsyat itu. "Sebilangan masyarakat menyaksikan banjir kali ini lebih besar daripada banjir yang pernah berlaku beberapa dekad sebelum ini, manakala sebilangan lagi tidak pernah mengalami situasi seperti ini," kata Gillard kepada wartawan. Kawasan ini dilihat seperti laut luas di pedalaman dengan tanaman dan kawasan ladang bernilai berbilion dolar ditenggelami banjir, kata seorang ahli Parlimen tempatan, Vaughan Johnson. "Saya meninjau dari kawasan Alpha ke Barcaldine dengan menaiki helikopter semalam, dan saya tidak pernah melihat situasi sebegini teruk sebelum ini," kata Johnson kepada radio ABC Kini penduduk di Queensland dilanda satu lagi ancaman baru iaitu ular dan buaya yang berkeliaran.

Penduduk mendakwa melihat buaya berkeliaran dan berita mula tersebar di sekitar pusat penternakan lembu di Brisbane yang dihuni 75,000 penduduk selain ular sepanjang dua meter juga dilihat berkeliaran di pusat bandar. Penduduk berkata, mereka ternampak ular berbisa seperti spesies taipan, ular perut merah dan ular coklat melingkari pokok-pokok dan bersembunyi di rumah penduduk bagi mencari tempat kering. Pegawai kecemasan memberi amaran, ular-ular spesies itu boleh bertindak agresif, sementara buaya yang dilihat di sungai-sungai mungkin sebenarnya sampah atau serpihan yang dihanyutkan banjir. "Tempoh ini adalah musim mengawan bagi ular dan ia 'dihalau' keluar daripada habitatnya disebabkan banjir. Jadi ia mungkin bersikap agresif. "Sampah atau serpihan yang banyak di sungai mungkin disalah anggap sebagai buaya," kata Pengarah Operasi Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Scott Mahaffey. Beribu-ribu katak tebu berbisa turut dilihat di sekitar Rockhampton dan pihak berkuasa berkata, bandar itu juga mungkin diancam agas dan nyamuk pembawa penyakit.

Berlainan pula keadaan di negeri-negeri pantai Timur apabila salji turun sejak 20 Disember lepas. Selalunya keadaan cuaca yang biasanya panas pada bulan Disember tiba-tiba digantikan dengan angin dingin yang bertiup dari Lautan Selatan di beberapa bahagian, sekaligus memberikan negara ini merasai nikmat menyambut Krismas dalam keadaan bersalji. Salji turun di beberapa bahagian di negeri-negeri New South Wales dan Victoria, menyebabkan pusat peranginan meluncur ski yang ada di antara kawasan itu biasanya tidak bersalji pada masa ini saban tahun, diliputi dengan salji sehingga 10 sentimeter tebal. Jumlah salji seperti itu adalah perkara yang luar biasa pada awal Disember yang kebiasaannya menjadi kemuncak kepada musim bunga liar di kawasan pergunungan New South Wales. Terletak jauh di selatan negeri Victoria, Gunung Hotham diliputi salji setebal 10 sentimeter dan Gunung Buller pula diliputi salji sehingga lima sentimeter tebal, kata jurucakap Laporan Salji Victoria, Maureen Gearon.

Oleh Hafizahril Hamid

Mingguan Malaysia
16 Januari 2010

15 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGURUSAN BAKAT, PERANAN MASA DEPAN IPT



Ketika Datuk Seri Najib Razak, membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, satu perkara yang disentuh ialah keperluan menyuburkan bakat bagi meningkatkan keupayaan sumber manusia menyahut cabaran Model Baru Ekonomi (MBE). Mengenal, membangun dan mengurus bakat adalah faktor kejayaan asas bagi merealisasikan hasrat pembangunan ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi tinggi. Malaysia adalah negara yang baru membangun. Kita tidak memiliki tradisi penyelidikan untuk membangun industri. Sebahagian besar industri negara bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing. Walaupun usaha menyediakan ‘asas pembangunan teknologi tempatan’ sudah bermula sejak awal 1980-an melalui galakan penyelidikan dan pertumbuhan industri kecil dan sederhana, penerapan keupayaan membina teknologi tinggi masih terbatas. Pusat penyelidikan berasaskan pembangunan industri masih belum mampu membangun teknologi tempatan berimpak tinggi.Ringkasnya, di Malaysia bakat dalam konteks transformasi ilmu ialah ilmuwan dan penyelidik berkaliber yang umumnya terkumpul di institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka mempunyai tugasan asas sebagai pendidik untuk pembangun sumber manusia berilmu.


Pada masa sama, mereka diperlukan untuk menjalankan penyelidikan fundamental bagi meneroka ilmu baru. Hasil penyelidikan perlu diterbitkan untuk dikongsi bersama rakan sejawat. Masyarakat juga mengharapkan mereka menjadi ‘intelek awam’ untuk menyumbangkan idea dan pandangan demi kepentingan masyarakat. Ramai yang berbakat di IPT masih kurang menyerlah. Di kalangan pembuat dan pelaksana dasar, mereka berasakan Malaysia ketandusan bakat. Ada yang percaya, untuk memastikan kejayaan MBE, kita perlu membawa bakat dari luar. Usaha mempelawa warga Malaysia yang berhijrah ke negara maju dan mengukir nama di sana, dikatakan cara yang terbaik untuk membawa pulang mereka yang berbakat! Benarkah IPT tempatan ketandusan bakat atau kita belum berjaya mengurus dan menonjolkan mereka yang berbakat? Apakah negara perlu menggubal dasar baru mengurus bakat? Persepsi ketandusan bakat di IPT perlu dihuraikan berasaskan senario berikut: 



Pertama: Kita perlu mengenali siapa ahli akademik? Mereka adalah individu yang mencapai kejayaan cemerlang dalam ijazah pertama dan mempunyai ciri berminat untuk meneroka ilmu. Keintelektualan akademik adalah prasyarat pertama menjadi ahli akademik. Berikutnya mereka perlu melakukan penyelidikan siswazah untuk memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah. Ini adalah latihan pertama untuk membangun kepakaran menyelidik dan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. Dalam konteks akademik, ijazah PhD adalah lesen untuk membolehkan seseorang melakukan penyelidikan tanpa bantuan penyelia. Di kebanyakan negara, ia juga menjadi lesen untuk menjadi ahli akademik. Kepakaran ahli akademik masih perlu diasah melalui penyelidikan dan penulisan. Ahli akademik dalam kepelbagaiannya, perlu mencari ‘nic’ akademik tersendiri. Berasaskan ‘nic’ ini, mereka perlu meneroka ilmu baru dan memperkenal dapatannya melalui penulisan ilmiah dan pengajaran. Dalam keadaan lazim, kepakaran hanya dikenali atau diiktiraf oleh rakan setarafnya. Sistem pengiktirafan dalam dunia akademik adalah melalui proses penilaian untuk menjadi profesor madya dan akhirnya untuk jawatan profesor. Apabila menjadi profesor, lazimnya pada usia antara 45 hingga 50 tahun, barulah seseorang akademik diiktiraf ‘pakar’ dalam bidang pengkhususannya. 

Kedua: Apakah bakat yang diharapkan untuk menyokong MBE bererti mereka yang dapat menjana produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan? Jika ini yang diharapkan, universiti bukan tempatnya mencari bakat dimaksudkan! Kerajaan perlu mencari pendekatan baru dan berstrategi untuk mencapai hasrat ini dan universiti boleh memainkan peranan penting menjayakannya. Universiti boleh menjadi tempat membangun dan pengasah bakat baru melalui program siswazah dan penyelidikan yang menjurus kepada pembangunan teknologi tinggi dalam bidang keutamaan negara. Tempat mengurus bakat perlu diwujudkan di luar sekitaran universiti!  Kerajaan menerusi kerjasama universiti, badan berkanun atau swasta perlu mewujudkan lebih banyak pusat penyelidikan bersifat pembangunan produk dalam sekitaran yang bebas dan kondusif. Kerajaan perlu menganggap proses ini adalah sebahagian pembangunan asas negara. Pada peringkat awal, tumpuan perlu diberi kepada pembangunan bakat dan infrastruktur. Matlamat akhir pastinya menghasilkan produk atau perkhidmatan berteknologi tinggi atau nilai tambah tinggi.  Dasar dan strategi pembangunan semasa sangat mengelirukan. Universiti dan ahli akademiknya dilihat sebagai sekitaran yang berupaya menghasilkan produk berteknologi tinggi. Sejumlah besar dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan ke universiti untuk tujuan ini. Walaupun universiti masih berupaya memikul tanggungjawab berat ini, hakikatnya secara jangka panjang ia hanya membantutkan pertumbuhan universiti ke arah kecemerlangan akademik. 





Sebahagian ahli akademik perlu berubah daripada penjana ilmu kepada penjana teknologi. Akibatnya, mereka kehilangan bakat asli dan pada masa sama, belum tentu dapat mengasah bakat baru dalam sekitaran mencabar.  Dalam menjayakan hasrat MBE dan pengurusan bakat, IPT perlu dilihat sebagai institusi yang memainkan peranan lebih luas dan bukan sekadar tempat bakat digunakan untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi. Universiti adalah gedung ilmu yang ada sekumpulan bakat besar negara yang tugasnya untuk mencetus idea baru, membimbing perubahan dasar dan hala tuju pembangunan, pembangun dan mengasah bakat baru dan menjadi sumber ilham serta aspirasi generasi muda negara. 

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, 

Majlis Profesor Negara 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 


BERITA HARIAN
15 JANUARI 2011

ISU ICT : PENGGUNA INTERNET PERLU ETIKA ELAK JENAYAH SIBER MEREBAK


Jenayah siber kini menjadi satu lagi ancaman kepada dunia berikutan semakin meluasnya penggunaan internet dan multimedia dalam pelbagai urusan harian. Kemunculan komputer dan internet sememangnya sebagai satu alat komunikasi terkini yang dapat memudahkan kehidupan manusia, tetapi pada masa sama boleh mengundang bahaya jika tidak dikawal dan ditangani sebaiknya. Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan pencapaian ilmu dan maklumat. Namun, disebabkan tiada siapa mengawal perjalanan maklumat dalam dunia siber, berjuta-juta laman web diwujudkan. Berikutan itu, paling membimbangkan kita wujudnya pelbagai macam maklumat yang tidak diketahui kesahihannya seperti idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang pornografi disebarkan melalui internet. Jenayah siber juga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti penyelewengan, fitnah, menghina, menghasut serta pelbagai bentuk serangan secara maya yang boleh mengancam sesebuah kerajaan dan negara. Justeru, jika jenayah siber ini tidak ditangani secara cekap dan berkesan, boleh membawa banyak kemudaratan kepada masyarakat dunia. Persoalannya, sejauh mana kita dapat menangani jenayah siber secara berkesan dalam dunia tanpa sempadan ini. Jenayah siber mungkin dilakukan beribu-ribu kilometer jaraknya atau barangkali orang paling hampir dengan kita, tetapi malangnya kita sukar mengenali mereka atau dari mana mereka melakukan jenayah itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN, kelmarin mahu cabaran baru hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu tidak harus dilupakan atau dipandang mudah kerana ancamannya boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dibaiki terhadap ekonomi dan negara. 

Justeru, gesaan Perdana Menteri, supaya ASEAN mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan keupayaan menangani ancaman jenayah siber serantau yang semakin canggih sehingga menimbulkan risiko besar kepada negara dan kerajaan perlu diberi perhatian serius semua pihak. Antara langkah wajar diambil, termasuk membina keupayaan kerajaan dalam aspek penguatkuasaan undang-undangnya serta peka terhadap ancaman siber sekarang dan pada masa depan. Beban pembuktian dalam jenayah siber adalah lebih besar jika dibanding dengan jenayah lain. Oleh itu, kepakaran forensik mengenai komputer yang selari dengan bidang perundangan dan pembuktian perlu ditingkatkan. Mengambil contoh Malaysia, walaupun negara mempunyai Akta Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka terbabit jenayah siber, ia bukanlah perkara mudah tanpa kecekapan dan kepakaran untuk mengemukakan bukti kukuh. Apapun, perkara lebih penting adalah mendidik rakyat menggunakan internet secara beretika berasaskan budaya Timur yang diwarisi ASEAN. Pengguna internet di kalangan penduduk ASEAN tidak wajar terlalu terikut cara Barat yang lebih menekankan soal kebebasan bersuara, berfikir dan hak sehingga membawa elemen negatif kepada masyarakatnya. Kebebasan keterlaluan atas nama hak asasi manusia dalam mengharungi dunia siber hanya merosakkan pemikiran dan mewujudkan peluang merebaknya jenayah siber. Kita percaya ASEAN mampu mendidik rakyatnya untuk menggunakan internet secara selamat dan bertanggungjawab seterusnya membawa kebaikan kepada generasi hari ini dan masa depannya.

Ruangan Minda Pengarang

Berita Harian
15 Januari 2011

ISU SOSIAL : KES BULI : APAKAH KESUDAHANNYA?


Apa silapnya?

AGAK lama kita sudah tidak dengar mengenai kes buli membabitkan pelajar sekolah sehinggalah pada Rabu lalu apabila seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar, Mohd Syazwan Johari, dilaporkan dibelasah lima pelajar senior di asrama sekolah berkenaan. Mohd Syazwan mendakwa ditampar, ditumbuk, ditendang serta diheret sebelum dihempap rak kasut besi yang terjatuh menyebabkan tulang lutut kirinya retak dan terpaksa dibedah.  
Kejadian pada Ahad lalu itu, didakwa turut disaksikan pelajar lain, tetapi tidak ada seorang pun berani menolongnya. Mohd Syazwan mendakwa seorang pelajar senior marah kerana dia tidak ikut arahan apabila dipanggil ke bilik, tetapi kes ini kini dalam siasatan polis. Lima pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan sudah pun ditahan bagi membantu siasatan. 
Apapun puncanya, sama ada kecil atau besar dan sama ada ia kes terpencil atau tidak, kejadian ini tidak boleh dipandang remeh. Di sebalik pelbagai tindakan yang sudah diambil pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran bagi menanganinya selepas beberapa kes buli sebelum ini, kejadian seumpama itu masih juga berlaku.

Apa silapnya? Tentu ada yang tidak kena hingga menyebabkan kes itu berulang lagi. Dari sini juga timbul persoalan apakah sudah jadi dengan garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran sebelum ini? Mungkinkah juga selepas agak lama tidak berlaku kes seumpama itu menyebabkan pihak berkaitan mula leka terhadap tanggungjawab masing-masing?  Kita bukanlah hendak menyalahkan sesiapa, tetapi perkara ini jika tidak diingatkan, kita bimbang dan tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku lagi. Sebab itu, semua pihak sama ada pelajar, ibu bapa, masyarakat, guru serta pihak pengurusan sekolah perlu sering ditegur dan diingatkan selalu supaya kes seumpama itu tidak berulang.  Memang kita akui bukan mudah untuk menangani kes buli, apa lagi untuk mengawal pelajar yang begitu ramai. Apa lagi sikap, latar belakang keluarga dan cara serta suasana pelajar itu dibesarkan pula tidak sama. Namun, bukan mustahil juga untuk kita menemui jalan penyelesaian yang lebih konkrit kalau isu ini ditangani bersama. 

Kasihan pembuli 

Dalam hubungan ini, saya tertarik dengan perbincangan mengenai isu itu yang disiarkan stesen Radio IKIM pada pagi Khamis lalu. Elok juga jika inti pati perbincangan itu saya muatkan dalam kolum ini untuk dikongsi dan menjadi renungan kita bersama. Antara topik yang disentuh ialah kasihan pembuli. Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu pembuli ini dikasihani? Bukankah mangsa buli itulah yang patut mendapat simpati. Jawapan yang diberi cukup mudah. Seorang pendengar menjelaskan memang patut kita bersimpati dengan pelajar terbabit. Mereka mungkin tidak mendapat didikan sempurna dan kasih sayang daripada keluarga.  Akibatnya, mereka juga tidak mempunyai perasaan kasih sayang terhadap orang lain. Sebab itu, amat penting ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Jika mereka dibesarkan dalam suasana yang tidak harmoni dan sentiasa dimarah, diherdik, dipukul atau sebagainya, tidak mustahil perlakuan sama akan dibawa apabila mereka berhadapan dengan orang lain, terutama yang lebih muda. Seorang lagi pendengar pula berkata, pembuli mungkin juga pernah menjadi mangsa buli. Sebab itu bila menjadi senior, mereka melakukan perbuatan sama kerana mahu membalas dendam dan sikap ini berterusan hingga menjadi tradisi. Beliau menasihatkan pelajar yang melalui pengalaman dibuli agar tidak melakukan perbuatan sama semata-mata untuk membalas dendam, sebaliknya mereka seharusnya membantu dan menunjukkan kasih sayang terhadap pelajar junior.  Itulah yang dilakukannya selepas menjadi pelajar senior, walaupun pernah dibuli ketika mula memasuki asrama. Jika perasaan kasih sayang ini turut diikuti semua pelajar, tentunya tradisi membuli pelajar junior dapat dihentikan. Barangkali inilah penawar paling mujarab bagi menangani kes buli. 

Sayang biar bertempat 

Namun, kasih sayang yang keterlaluan dan tidak bertempat juga boleh merosakkan anak. Memanglah sukar untuk ibu bapa menerima hakikat anak mereka terbabit dalam kes buli atau salah laku lain di sekolah, tetapi janganlah sampai bila anak mereka melakukan kesalahan, hendak dijentik sekalipun tidak boleh.  Malah, sudah ada guru diserang dan disaman ibu bapa apabila anak mereka mengadu dipukul, walaupun pelajar terbabit melanggar disiplin sekolah. Inilah mungkin menjadi antara sebab disiplin pelajar sekarang sukar dikawal. Apa lagi, bila guru juga sudah tawar hati dan tidak mahu ambil kisah mengenai perilaku pelajar kerana bimbang diserang atau disaman ibu bapa.  Pelajar pun sudah tidak takut dengan guru lagi kerana ibu bapa menyebelahi mereka. Tidak macam zaman dulu, jangan kata hendak mengadu, tetapi jika boleh tidak mahu ibu bapa tahu kita kena rotan dengan cikgu kerana takut kena belasah di rumah pula.  Memanglah dulu lain sekarang lain dan merotan pelajar pun sudah tidak boleh lagi, tetapi ibu bapa kenalah seimbangkan antara kasih sayang dan ketegasan supaya anak tidak terlalu dimanjakan hingga merosakkan masa depan mereka. 

Mahfar Ali

BERITA HARIAN
15 JANUARI 2011

14 Januari 2011

ISU SOSIAL : HARGA PRODUK, PERKHIDMATAN PENGARUHI RAKYAT


Hakikat rakyat berpendapatan tinggi adalah hal yang baik. Semua ingin pendapatan tinggi demi keselesaan hidup.  
Bagaimanapun, mempunyai pendapatan tinggi bukanlah senang dari segi hakikat dan pengumpulannya. Pendapatan tinggi juga harus diukur pada kuasa beli. Jika pendapatan tinggi diatasi oleh kos hidup dalam erti kata rata-rata barang keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan tempat berteduh, pengangkutan dan perubatan menjadi mahal, maka kenaikan pendapatan tidak begitu bererti. 
Ini antara keperluan asas dalam kehidupan. Sebaliknya barang mewah, seperti rumah dan kereta mewah, jam tangan dan sebagainya, boleh dielak atau ditangguhkan. 
Tiga negara berpendapatan tinggi menurut perkapita pendapatan kasar domestik atau dalam negara (GDP) ialah Singapura, Norway dan Amerika Syarikat (AS). Perkapita masing-masing AS$40,000 setahun atau RM125,000 setahun.  
Di antara tiga negara itu, Singapura dan AS boleh berpuas hati kerana rata-rata harga produknya tidak meningkat sehingga menggugat peningkatan pendapatan rakyatnya, berbanding apa yang dialami rakyat Norway. Negara Scandinavia ini, terutama ibu kotanya, Oslo, adalah tempat termahal di dunia. 

Rakyatnya hanya menikmati kelebihan pendapatan apabila mengembara di luar negara. Disebabkan dasar cukai pendapatan negara, pada umumnya rakyat hanya menikmati setengah Krone bagi setiap 1 Krone yang didapati ( 1 Krone ialah 60 sen). Setengah Krone lagi untuk cukai pendapatan.  
Keadaan ini berlaku kerana rakyat Norway yang berpendapatan tinggi diharuskan menyumbang kepada tabungan pencen warga tua. Ini bererti pencen dinikmati pesara adalah tinggi, tidak jauh beza dengan gaji diperoleh sebelum mereka bersara.  
Sejak 1970-an, Norway mendapat durian runtuh hasil minyak Laut Utara (North Sea) di utara Lautan Atlantik. Dengan hemah kepemimpinan negara yang prihatin, Kabinet dan Parlimen – dengan restu Rajanya– membuat keputusan tegas mengagihkan kekayaan negara itu secara adil sehingga boleh dikecapi mereka di strata paling rendah. Keputusan itu dijadikan peruntukan Perlembagaan yang ti-dak boleh diganggu-gugat sebarang pertukaran kerajaan.  
Singapura bukanlah kota murah, tetapi pendapatan rakyatnya membawa pulangan nilai kerana kos hidupnya tidak mengatasi peningkatan pendapatan.  
Negara paling bermanafaat ialah AS. Walaupun tidak pada keseluruhan, dalam banyak hal berkaitan makanan, perumahan, kenderaan dan tenaga elektrik, ia lebih murah berbanding Indonesia, Singapura, Thailand, Malaysia dan Filipina.  
Negara kuasa besar itu, walaupun dibenci kerana dasar intervensinya di Iraq, Iran, Venezuela, dan beberapa negara di Afrika, Eropah Timur, Caribbean, Asia dan Arab, dasar dan amalan domestiknya adalah baik secara relatif.  
AS dinyatakan sebagai perbandingan. Satu dolar AS boleh membeli lebih banyak produk daripada seringgit di Malaysia. 

Jika minyak berharga RM10 segelen di Malaysia, di AS segelen kurang 3 dolar.  
Disebabkan rakyatnya berpendapatan tinggi, sedangkan kos rendah secara relatif, maka wang kocek yang berbaki boleh dibelanjakan kepada produk yang lebih luas. Justeru, banjaran perniagaan produk (perkhidmatan juga) lebih luas kerana peniaga terpengaruh dengan permintaan pembeli.  
Lihat saja produk AS di pasar raya dan restoran makanan segera yang bercambah di Malaysia seperti McDonald, KFC dan Starbuck. Semuanya adalah unjuran pasaran domestik di AS sendiri. Jika pasaran domestik di sana tidak mampu menampung produk itu, tidak mungkin ia boleh berkembang ke seluruh dunia.  
Memperkatakan pendapatan tinggi tidak menjadi genap jika tidak diperkatakan nilai mata wang. Sepatutnya pendapatan perkapita Malaysia yang diukur menurut nilai dolar AS adalah lebih tinggi daripada apa yang ditahapkan. Meskipun bunyinya mudah, nilai mata wang dunia yang diukur dengan harga Big Mac dan hamburger McDonald, seperti dipromosikan majalah mingguan Economist terbitan London, adalah sangat relevan.  
Apa yang berlaku sejak 10 tahun dulu, taraan mata wang dunia yang pelbagai nilainya berbanding nilai dolar AS akhirnya bergerak ke arah nilai perbezaan harga burger itu dalam nilai dolar AS. Big Mac di Malaysia berharga RM6.70 sedangkan di AS harganya US$3.75. Harganya di AS itu sama dengan RM12 di Malaysia kini, pada kadar RM3.10 untuk AS$1.  
Berdasarkan harga Big Mac itu, nilai ringgit sepatutnya lebih kurang RM1.08 dan bukan RM3.10 untuk AS$1. Oleh itu jika pendapatan perkapita kita RM40,000.00 setahun, ia bererti AS$22,200.00. Justeru untuk diklasifikasikan sebagai rakyat berpendapatan tinggi dengan perkapita AS$30,000.00 setahun bukanlah jangkauan jauh.  
Yang penting ialah kenaikan pendapatan tidak diatasi kos produk dan perkhidmatan selain dibaham cukai pendapatan, demi menguat permintaan bagi melebarkan perniagaan produk dan perkhidmatan yang terus meluas. 


Oleh Tan Sri Adam Kadir

BERITA HARIAN
14 JANUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN (UP), DIMENSI BARU PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Konsep Universiti Penyelidikan (UP) berteraskan keusahawanan inovasi semakin ghairah dibincangkan dalam komuniti akademik kebelakangan ini. Pada asasnya konsep ini berkaitan dengan pembangunan ilmu bersepadu, berpaksi manfaat langsung, lebih dinamik, tidak terlalu bergantung kepadSecara khususnya, konsep ini lanjutan daripada perkembangan universiti moden. Tahap pertama ialah penawaran program diploma dan ijazah sarjana muda, dan ijazah sarjana secara kerja kursus. Tahap kedua ialah penawaran pengajian peringkat pasca siswazah, disusuli tahap ketiga iaitu UP. 
Ketika ini lima universiti tempatan berstatus UP iaitu USM, UKM, UPM, UTM dan UM dengan penumpuan kepada program penyelidikan peringkat tinggi, iaitu PhD dan pasca kedoktoran.  
Tahap keempat adalah aplikasi ilmu secara praktikal menerusi pembabitan dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak di luar komuniti akademik, terutama pembuat dasar dan peneraju industri.  
Kemuncaknya, tahap kelima adalah apa yang saya ungkapkan sebagai ‘UP berteraskan keusahawanan inovasi’ sebagaimana univer-siti ternama MIT, Harvard, Stanford dan Cambridge yang bergerak seiring atau mendahului perkembangan idea, dasar negara, konsep pembangunan, harta intelek, penghasilan graduan berkualiti sehinggalah menjana nilai baru, sama ada idea, kekayaan atau perkhidmatan berkualiti. 


UP berteraskan keusahawanan inovasi perlu difahami daripada segi suasana kerja dan ekosistem intelektual menggalakkan semangat dan minda keusahawanan. Dengan kata lain, minda keusahawanan inovasi perlu difahami dalam konteks berkerja sebagai komuniti akademik untuk berkhidmat secara lebih proaktif, kreatif dan berdaya saing menggunakan seluruh sumber tanpa terlalu bergantung kepada geran atau bantuan luar.  
Ini termasuk penyediaan program akademik yang menggalakkan interaksi langsung dengan persekitaran kerja, mauduk penyelidikan yang menyediakan asas pemikiran dan penyelesaian kepada masalah semasa secara lebih inovatif. 
Dari segi pengurusan universiti pula, minda keusahawanan inovasi membabitkan perkongsian pintar untuk mendapatkan pembiayaan projek pembangunan akademik, biarpun tidak mendapat pembiayaan langsung menerusi dana awam. Keusahawanan inovasi dalam konteks kampus pula membabitkan menyediakan suasana serta kemudahan pembelajaran yang menumpu kepada budaya ilmu yang meriah, ceria dan mesra inovasi.  
Secara amnya, faktor kejayaan kritikal (CSF) untuk UP keusahawanan inovasi ialah ‘akademia baru’ iaitu kerangka baru dalam konteks universiti moden yang tidak terbelenggu dengan ‘disiplin akademik’ terlalu mengkhusus demi mempertahankan ciri ilmiah sehingga menenggelamkan keindahan dan makna ilmu. 

Akademia baru seharusnya membawa dimensi dan penyegaran kepada penghayatan ilmu, tidak menanggapi ilmu sebagai ‘komoditi’ atau ‘kaedah’ mencapai matlamat jangka pendek terutama menerusi proses pensijilan semata-mata. Ilmu seharusnya dilihat sebagai kesepaduan sehingga memungkinkan ahli ilmu mencapai tahap hikmah.  
Konsep kesepaduan ilmu ini selari dengan falsafah pendidikan negara. Itulah juga falsafah ilmu beberapa universiti awam seperti UTM dan UIAM. Kaedah penghayatan ilmu dalam akademia baru banyak kelainan, tidak lagi terikat kepada interaksi satu hala antara mahasiswa dan aktiviti dalam dewan kuliah. Minda keusahawanan inovasi dipupuk dalam semua bidang ilmu, tidak hanya dalam bidang pengajian perniagaan atau ekonomi. 
Hasil akademia baru bukan sekadar segulung sijil akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang. Malah menjangkau aspek aplikasi ilmu. Bagi graduan bidang kejuruteraan dan sains gunaan misalnya, hasil ilmu juga dalam bentuk model perniagaan, modal, jaringan dan budaya kerja. 
Model perniagaan diperoleh ketika menjalankan pelbagai projek ilmiah berbentuk keusahawanan inovasi yang boleh dikembangkan sehingga mampu menjana dana besar untuk dijadikan modal selepas tamat pengajian. Hal ini saya bincangkan dengan panjang lebar dalam buku terbaru berjudul Menjana Minda Kreatif dan Inovatif. 

Persoalannya, apakah komuniti akademik tempatan bersedia melakukan lonjakan minda membina akademia baru? Apakah akademia baru akan sekali lagi mengubah corak pembangunan ilmiah sebagaimana era pasca Perang Dunia Kedua supaya lebih relevan dengan persekitaran global untuk terus menyerlah dalam ekonomi inovasi? 

Oleh : DR Zaini Ujang
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian
14 JANUARI 2010

ISU SOSIAL : MANGSA DERA BANYAK LIBATKAN AHLI KELUARGA

Peristiwa kanak-kanak didera sampai mati oleh ibu tiri, bapa tiri, kekasih ibu atau disimbah asid oleh bapa sendiri yang berlaku di negara ini semakin bertambah. Sehubungan itu, kerajaan patut memperketatkan perundangan berkaitan dengan hadanah (hak penjagaan anak-anak) demi memelihara keselamatan kanak-kanak dari segi mental dan fizikal. Kejadian menyayat hati ini menunjukkan struktur perkahwinan umat Islam semakin hari semakin goncang ekoran daripada kecuaian tanggungjawab terhadap ahli keluarga dan anak-anak. Ia sekali gus mengundang bertambahnya kes perceraian dalam usia muda. Mereka kurang berkebolehan dalam mengendalikan permasalahan rumah tangga lantaran terlalu memikirkan kehendak naluri dan gagal mengawal emosi apabila berada dalam dilema. Perkahwinan yang hancur juga menyebabkan semakin ramai kanak-kanak menjadi mangsa dera ahli keluarga. Sikap ibu bapa dalam mengendalikan urusan kanak-kanak apabila berlaku perceraian lebih cenderung kepada kepentingan diri daripada anak-anak. Sebagai ibu, sepatutnya mereka sering mengunjungi anak-anak di bawah jagaan bapa dengan tujuan mengetahui keselamatan dan kebahagiaan anak-anak mereka.

Peruntukan ini diberikan oleh Mahkamah Syariah kepada pasangan suami isteri yang bercerai. Begitu juga dengan bapa, mereka mempunyai tanggungjawab penuh memberi nafkah yang secukupnya kepada anak-anak dan memastikan keselamatan mereka terjamin. Ini merupakan salah satu perundangan Islam berhubung kait dengan urusan perceraian. Bapa yang diberi hak memelihara anak-anak yang masih kecil ketika berlaku perceraian sepatutnya memantau tingkah laku isteri barunya supaya sikap kejam ibu tiri tidak dihantui oleh bisikan syaitan dalam mengurus anak-anak tiri. Wanita yang ingin berkahwin dengan duda yang mempunyai anak-anak yang masih kecil pula perlu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Jika hati nurani kurang berkemampuan untuk menjadi ibu tiri kepada kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang dan belaian, usah mengahwini duda yang mempunyai anak. Sikap begini bukan sahaja menyebabkan beliau merasai kedudukannya tergugat lantaran berkongsi kasih sayang suami dengan anak-anak tiri, malah ia juga boleh menyebabkan dirinya menjadi kejam terhadap anak tiri apabila perasaan cemburu dan kebencian yang tersemat dalam hati sukar dikawal.

Sebagai suami mereka perlu tegas mengendalikan tingkah laku isteri yang kejam terhadap anak-anak mereka kerana suami diberi kuasa untuk menceraikan isteri yang zalim. Kasih sayang yang membuta tuli menyebabkan suami akur kepada tindakan dan tingkah laku isteri yang kejam. Ibu yang diberi hak memelihara anak apabila berlaku perceraian atau kematian suami sepatutnya mengkaji latar belakang bakal suami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkahwin kerana kuasa suami dalam rumah tangga kadang-kadang boleh menyebabkan isteri terpaksa akur kepada kehendak suami. Peristiwa kanak-kanak didera oleh kekasih ibu atau bapa tiri sepatutnya dijadikan panduan kepada wanita yang bercerai atau kematian suami. Kasih sayang terhadap isteri atau suami jika tidak didasarkan kepada prinsip kehidupan Islam boleh menyebabkan lelaki atau wanita merelai anak-anak didera dan disakiti oleh pasangan masing-masing. Sikap begini wujud dalam diri pasangan tersebut akibat terlalu takut kasih sayang yang dibina atas dasar cinta buta terputus.

Apabila berlaku pelbagai penderaan kepada kanak-kanak, maka kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kekejaman tersebut dan juga pasangan mereka. Sikap pasif dan terlalu takut kepada suami atau isteri yang kejam menyebabkan kanak-kanak menderita dan tiada pembelaan. Jika perkara ini berlaku ketika bapa diberi hak untuk menjaga anak-anak, maka lelaki tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman berkaitan dengan kecuaian dan bersubahat menganiayai anak-anak kerana Islam memberi kuasa dan hak kepada suami untuk menentukan kehidupan dan keselamatan anak-anak terjamin apabila berlaku perceraian. Hati nurani wanita disulami dengan perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak. Jika wanita sanggup mendera kanak-kanak sehingga mati maka wanita tersebut adalah dalam kategori wanita jahat dan perlu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya. Begitu juga jika lelaki sanggup menganiayai kanak-kanak maka kedudukan dan statusnya adalah lebih rendah daripada binatang. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas supaya umat Islam memahami hukuman merupakan salah satu cara untuk menyedarkan mereka erti kehidupan sebagai manusia yang dianugerahi akal oleh Allah.

Dr. Saodah Abd. Rahman,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
14 JANUARI 2010