JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Januari 2011

ISU ICT : PENGGUNA INTERNET PERLU ETIKA ELAK JENAYAH SIBER MEREBAK


Jenayah siber kini menjadi satu lagi ancaman kepada dunia berikutan semakin meluasnya penggunaan internet dan multimedia dalam pelbagai urusan harian. Kemunculan komputer dan internet sememangnya sebagai satu alat komunikasi terkini yang dapat memudahkan kehidupan manusia, tetapi pada masa sama boleh mengundang bahaya jika tidak dikawal dan ditangani sebaiknya. Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan pencapaian ilmu dan maklumat. Namun, disebabkan tiada siapa mengawal perjalanan maklumat dalam dunia siber, berjuta-juta laman web diwujudkan. Berikutan itu, paling membimbangkan kita wujudnya pelbagai macam maklumat yang tidak diketahui kesahihannya seperti idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang pornografi disebarkan melalui internet. Jenayah siber juga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti penyelewengan, fitnah, menghina, menghasut serta pelbagai bentuk serangan secara maya yang boleh mengancam sesebuah kerajaan dan negara. Justeru, jika jenayah siber ini tidak ditangani secara cekap dan berkesan, boleh membawa banyak kemudaratan kepada masyarakat dunia. Persoalannya, sejauh mana kita dapat menangani jenayah siber secara berkesan dalam dunia tanpa sempadan ini. Jenayah siber mungkin dilakukan beribu-ribu kilometer jaraknya atau barangkali orang paling hampir dengan kita, tetapi malangnya kita sukar mengenali mereka atau dari mana mereka melakukan jenayah itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN, kelmarin mahu cabaran baru hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu tidak harus dilupakan atau dipandang mudah kerana ancamannya boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dibaiki terhadap ekonomi dan negara. 

Justeru, gesaan Perdana Menteri, supaya ASEAN mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan keupayaan menangani ancaman jenayah siber serantau yang semakin canggih sehingga menimbulkan risiko besar kepada negara dan kerajaan perlu diberi perhatian serius semua pihak. Antara langkah wajar diambil, termasuk membina keupayaan kerajaan dalam aspek penguatkuasaan undang-undangnya serta peka terhadap ancaman siber sekarang dan pada masa depan. Beban pembuktian dalam jenayah siber adalah lebih besar jika dibanding dengan jenayah lain. Oleh itu, kepakaran forensik mengenai komputer yang selari dengan bidang perundangan dan pembuktian perlu ditingkatkan. Mengambil contoh Malaysia, walaupun negara mempunyai Akta Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka terbabit jenayah siber, ia bukanlah perkara mudah tanpa kecekapan dan kepakaran untuk mengemukakan bukti kukuh. Apapun, perkara lebih penting adalah mendidik rakyat menggunakan internet secara beretika berasaskan budaya Timur yang diwarisi ASEAN. Pengguna internet di kalangan penduduk ASEAN tidak wajar terlalu terikut cara Barat yang lebih menekankan soal kebebasan bersuara, berfikir dan hak sehingga membawa elemen negatif kepada masyarakatnya. Kebebasan keterlaluan atas nama hak asasi manusia dalam mengharungi dunia siber hanya merosakkan pemikiran dan mewujudkan peluang merebaknya jenayah siber. Kita percaya ASEAN mampu mendidik rakyatnya untuk menggunakan internet secara selamat dan bertanggungjawab seterusnya membawa kebaikan kepada generasi hari ini dan masa depannya.

Ruangan Minda Pengarang

Berita Harian
15 Januari 2011

Tiada ulasan: