22 November 2010

ISU KAD KREDIT : BAYARAN PERUBATAN YANG TINGGI MENJADI PUNCA KAD KREDIT TIDAK DIBAYAR

 
Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu. Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
 
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan. Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar. 
 
Setakat Oktober  2010, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat. Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu.Selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan. Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, hanya mewakili 15 peratus. Hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli. 
 
Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta. Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit. Tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun 2009, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan. Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik.  Setakat Oktober 2010, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu. Mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

ISU PENDIDIKAN : MEREALISASIKAN PARLIMEN MAHASISWA


Parlimen Mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) walaupun diberi nama lain tetapi masih dalam sifat dan kerangka pemikiran menuju ke arah yang sama. Kejayaan merealisasikan Parlimen Mahasiswa atau dikenali Dewan Perundingan Pelajar USM ini juga adalah kejayaan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melakukan transformasi terhadap pengajian tinggi. Idea asal Parlimen Mahasiswa dikemukakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam ucap utamanya pada Kongres Mahasiswa 2003. Dengan pindaan Seksyen 15 AUKU 2008 serta inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Sidang Akademik 2008/09, draf cadangannya dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah. Parlimen Mahasiswa menyediakan platform yang menggabungkan suara mahasiswa di semua peringkat kepimpinan sekali gus menyatukan pelajar dan kepimpinan semua pertubuhan serta kelab pelajar dan MPP, selain menjadi wadah untuk menyampaikan suara mahasiswa pada peringkat tertinggi.

Dewan ini juga membudayakan perbahasan secara intelektual yang akan membolehkan wakil-wakil pelajar memperkayakan cara dan gaya ketika melontarkan hujah-hujah berdasarkan fakta dan bukti-bukti yang kukuh dalam bentuk ilmiah tanpa dipengaruhi emosi. Justeru, dewan ini diharap berupaya melahirkan mahasiswa berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan, dapat memupuk kematangan berfikir dalam pelbagai aspek dan dapat melontarkan pelbagai idea dengan mengambil kira sudut pandangan pelbagai pihak. Yang lebih penting, ini adalah antara pengiktirafan terbesar universiti terhadap suara mahasiswa, membantu penggubalan dasar universiti dengan penglibatan secara langsung pelajar termasuk dasar-dasar berkaitan pelajar dalam perkara-perkara tertentu.

Ini juga dapat menangkis dakwaan bahawa mahasiswa dianggap kurang menyerlah dalam memperjuangkan isu-isu bukan sahaja berkaitan dengan dunia kemahasiswaan tetapi juga pelbagai isu sejagat yang berkait secara langsung atau tidak dengan diri mereka. Pada persidangan pertama pada 23 Oktober 2010, sebanyak 20 isu dibahaskan dalam masa sehari. Pelbagai isu dikupas dengan matang, diperdebat dan diundi sama ada menerima atau menolaknya. Selepas itu, pihak universiti akan menilai segala pandangan yang diberi dan melakukan tindakan sewajarnya bagi menunjukkan kesungguhan universiti menerima pandangan mahasiswa. Antaranya usul yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa, masalah kampus berkaitan jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan penggunaan bas sehinggalah kepada isu belanjawan universiti, penglibatan mahasiswa dalam politik serta masalah orang merempat di Pulau Pinang.

Ahli-ahli dewan yang seramai 58 orang diberikan masa sepanjang hari untuk berbincang dan berdebat isu-isu yang telah dipilih oleh panel khas yang terdiri daripada pelajar sendiri. Antara isu yang telah dibahaskan ialah hal-hal berkaitan dengan Orang Kurang Upaya (OKU), masalah kebajikan mahasiswa berkaitan dengan keperluan Internet, peranan pusat pengajian dan lain-lain sebagai satu percubaan awal yang sangat berjaya. Terdapat beberapa perbezaan yang wujud dalam model Parlimen Mahasiswa ini, jika dibandingkan dengan model-model Parlimen di Malaysia atau di tempat-tempat lain. Pertama, dewan ini tidak wujud klasifikasi ahli kerajaan dan ahli pembangkang. Semua ahli mempunyai status yang sama iaitu ahli dewan yang boleh berbahas tanpa terikat dengan mana-mana perjuangan atau ikatan.

Kedua, dewan ini membenarkan pemerhati untuk turut berbahas usul yang sedang dibentangkan melalui sesi khas yang disediakan sebelum sesi pengundian usul. Ini akan memberi ruang yang cukup luas agar usul itu dibahaskan dengan lebih serius dan terperinci serta turut memberi satu ruang kepada pihak ketiga untuk memberi pandangan. Ketiga, dewan ini akan diberikan satu kebebasan tanpa kehadiran pihak universiti, maknanya dewan tidak akan dikawal oleh pihak universiti dan ia adalah 100 peratus dikendalikan oleh kuasa Speaker seperti yang terkandung di dalam standing order yang telah disediakan. Ini bermakna, semangat Seksyen 15 yang memberi ruang kebebasan kepada pelajar telah dapat direalisasikan.

Penubuhan dewan ini akan menjadi ujian penting terhadap tahap pemikiran mahasiswa kita dalam membincangkan isu-isu dan cabaran yang didepaninya secara rasional dan bertanggungjawab. Malah ini juga seharusnya berupaya menjadi model masa depan yang dapat mengungkap kehebatan peribadi yang ditunjangi oleh kekuatan ilmu dan hikmah dalam menjuarai isu-isu utama mahasiswa, mahu pun masyarakat dan negara. Seperti mana juga Dewan Parlimen yang memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya berdebat secara terbuka dan berasaskan fakta, demikian juga dewan ini membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa untuk berdebat secara terbuka, bebas dengan berhemah untuk melahirkan para pemimpin yang bersiasah tinggi yang menghormati adab dan etika keilmuan, menghormati orang lain dan menerima kepelbagaian pendapat serta pandangan sebagai satu tradisi yang perlu dipupuk dan diterima sebagai satu aspek utama kehidupan global.

Prof. Datuk Omar Osman
Timbalan Naib Canselor 
(Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) 
Universiti Sains Malaysia.

Utusan Malaysia
22 November 2010

ISU SASTERA : FUNGSI SASTERA DALAM WAWASAN 2020


A. Samad Said
Selain kenapa sastera yang dianggap berbahasa tinggi itu tidak diminati, masalah dan fenomena penghakisan rasa cinta pada bangsa (termasuk persatuan penulis yang tidak mampu aktif) sedang terjadi dengan cepat sekali. Justeru, betapa perlunya jiwa Melayu harus ada dalam sanubari setiap pemimpin Melayu, bagi menjayakan apa sahaja agenda pembangunan termasuk ekonomi, kuasa politik, dan pendidikan. Sastera itu sendiri harus dilaksanakan sepenuhnya! Cetusan ini mungkin terhasil setelah penulis mengikuti Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu VI anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada bulan lalu. Ia juga hasil mesyuarat agung pertama Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia (PPSM), Sabtu lalu.

Barangkali masih ramai yang tidak tahu, bahawa di perguruan tinggi atau IPTA, fakulti dan jurusan bahasa dan sastera dianggap lemah atau mandul (selain sikap pengurusan tertinggi IPT itu sendiri terhadap pendidikan sastera dan ilmu kemanusiaan), kerana sebahagian besar peminatnya hanyalah golongan wanita (mahasiswi). Golongan lelaki pula terlalu minoriti. Sebahagian besar mahasiswa yang memilih bidang bahasa dan sastera disebabkan mereka tidak diterima masuk ke jurusan yang mereka minati. Sikap begini tentulah membawa kesan besar terhadap perkembangan dunia sastera tanah air. Jadi, bayangkanlah nasib aliran sastera untuk berperanan dalam pembangunan negara pada masa depan? Kesannya memperlihatkan dunia sastera Melayu masa kini tidak banyak menghasilkan karya besar. Ini kerana para peminatnya terdiri daripada warga kelas kedua. Disebabkan tidak banyak karya besar dihasilkan, maka daya apresiasi atau rasa hormat, animo masyarakat terhadap karya sastera pun kurang menggalakkan.

S. Othman Kelantan
Fenomena beginilah yang menghantui diri para Sasterawan Negara kita, termasuk A Samad Said dan Muhammad Haji Salleh (juga Tokoh Pendidikan Negara), di mana kebanyakan pengarang dan sasterawan adalah golongan amatur. Hal ini cukup jelas, kerana dunia kepengarangan belum menjadi profesion yang menguntungkan, sedangkan industri buku membawa pulangan yang berbilion ringgit? Kesusasteraan sebagai bidang sains kemanusiaan sebenarnya mempunyai fungsinya yang khas dalam pembinaan kebudayaan dan tamadun sesuatu bangsa. Maka itulah wujud hubungan sastera dan kehidupan, baik dalam bidang politik, ekonomi dan pentadbiran. Tidak ramai tokoh masyarakat yang mengkaji Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991 dalam konteks kesusasteraan, terutamanya apabila ia cuba mencari dan membentuk sebuah negara bangsa menurut acuan sendiri. Ini kerana matlamat pembangunan untuk Malaysia menjadi sebuah negara industri dan maju meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan itu adalah seimbang antara satu sama lain.

Anwar Ridhwan
Barangkali masih ramai rakyat Malaysia dan pejuang politik hari ini tidak faham atau tidak pernah pun membaca, misalnya, cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan bertimbang rasa, dengan sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri (kebajikan rakyat tidak diasaskan pada individu, tetapi pada sistem keluarga yang kukuh). Apakah yang dapat kita tafsirkan daripada pernyataan tersebut? Ia sebenarnya kaya dengan unsur dan nilai-nilai patriotisme. Malahan apabila dilihat konsep patriotisme dari sudut pandangan Islam sekalipun, ia sangat relevan dan sesuai dengan pembangunan negara. Ini kerana antara lain, Islam melihat peranannya sangat relevan dengan sains politik, bidang strategik, dan lebih-lebih lagi dari segi pembangunan kebudayaan dan tamadun Malaysia.

Noordin Hassan
Kita telah pun memasuki abad ke-21. Justeru kita memerlukan kesedaran total semua pihak terhadap sistem pendidikan kebangsaan, dan rasa megah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam majlis rasmi dan sidang media (tetapi wujud pula sindrom tokoh korporat Melayu takut bercakap bahasa Melayu dalam sidang media berbahasa Melayu. Ini mungkin terjadi kerana krisis keyakinan. Pada hal jika mereka yang sombong sebagai si tanggang moden ini sedar dan mampu berbahasa Melayu dengan baik di hadapan masyarakat antarabangsa dan para wartawan Melayu sendiri, tentulah akan menjadi ikon. Mereka akan dipuji oleh orang tua di kampung dan pedalaman. Bahkan keupayaan mereka ini akhirnya akan lebih dikenali dan dihormati sebagai warga bangsa sebuah negara yang unggul dan bermaruah.  

Oleh A. Rahim Abdullah
Ahli Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) 
Bendahari Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia.

Utusan Malaysia
22 November 2010

ISU SOSIAL : NEGARA KERUGIAN SEBANYAK RM7.8 BILION AKIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA


Negara mengalami kerugian berbilion ringgit pada setiap tahun akibat kes kemalangan jalan raya yang kadarnya meningkat setiap tahun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. Menurut beliau, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pada tahun 2008 sahaja, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM7.8 bilion yang bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berdasarkan statistik pada tahun lepas sahaja, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal. 

21 November 2010

HASIL KARYA PELAJAR : KESAN POSITIF DAN KESAN NEGATIF INDUSTRI PELANCONGAN


           

Industri pelancongan merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang semakin berkembang pesat di negara kita. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Ong Hong Peng, pada suku pertama tahun 2010 jumlah pelancong yang datang ke negara kita telah meningkat kepada 5.75 juta orang berbanding hanya 5.46 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2009. Oleh itu, pada tahun 2010, Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan sehingga RM57 bilion hasil industri pelancongan berikutan pengukuhan ekonomi domestik dan global. Namun begitu, perkembangan pesat sektor pelancongan di negara kita turut mendatangkan pelbagai kesan kepada budaya tempatan.  Jadi, kesan positif dan kesan negatif sektor pelancongan terhadap budaya negara kita akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

            Kesan positif pelancongan terhadap budaya tempatan ialah industri pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.  Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing.  Penduduk di negara kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara mereka.  Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik  dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Contohnya, amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita.  Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.

            Industri pelancongan juga dapat memperkaya budaya negara kita.  Budaya dan amalan yang baik dalam kalangan pelancong yang datang ke negara kita patut dicontohi dan diamalkan oleh rakyat kita.  Sebagai contohnya, amalan membaca dalam kalangan pelancong  yang datang dari Barat dapat menjadi teladan yang baik kepada penduduk tempatan.  Oleh itu, penduduk tempatan juga akan mengikut jejak langkah mereka untuk mengamalkan budaya membaca dari semasa ke semasa.  Bukan ini sahaja, pelancong dari Barat dan pelancong dari Jepun amat mementingkan amalan pemakanan yang sihat.  Fenomena ini patut dicontohi oleh rakyat kita dan menjadikannya sebagai budaya negara kita.  Pelancong asing yang mementingkan kebersihan alam sekitar juga harus dicontohi.  Jadi, rakyat kita akan mengekalkan kebersihan alam sekitar demi menggalakkan kedatangan pelancong asing.  Pendek kata, pelancongan memang dapat memperkaya budaya kita.

            Di samping itu, sektor pelancongan turut dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada pelancong-pelancong asing.  Sebenarnya, pelancong –pelancong asing amat tertarik akan budaya tradisional yang ada di negara kita.  Jadi, mereka sanggup mengeluarkan masa dan wang mereka untuk melancong ke negara kita.  Di negara kita yang berbilang kaum, pelancong asing dapat menikmati pelbagai jenis tarian tradisional seperti tarian ngajat, tarian singa, tarian joket, dan sebagainya.  Pelancong asing juga dapat menikmati berbagai-bagai jenis permainan tradisional di negara kita.  Misalnya permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing dan lain-lain amat digemari oleh pelancong asing.  Sudah terang lagi bersuluh, sektor pelancongan memang dapat mengetengahkan budaya tradisional negara kita kepada orang ramai.

            Kesan negatif pelancongan ialah kedatangan pelancong mampu menghakis nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan.  Senario ini akan berlaku disebabkan pelancong asing mempunyai pemikiran dan sikap yang berbeza dengan masyarakat tempatan. Biasanya, pelancong asing mempunyai sikap yang terbuka.  Namun begitu, masyarakat tempatan biasanya bersikap tertutup dan berfikiran tradisional.  Melalui kedatangan pelancong asing,  sedikit sebanyak sikap mulia yang ada pada masyarakat tempatan diperkukuh.  Hal ini demikian kerana masyarakat tempatan telah senang dipengaruhi oleh budaya mereka.  Tuntasnya, pelancongan mampu menghakis nilai-nilai murni masyarakat tempatan.

            Kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada kedatangan pelancong asing.  Hal ini demikian kerana pusat hiburan dan pusat membeli-belah akan dibuka dengan banyak demi menjayakan sektor pelancongan.  Dengan adanya pusat hiburan seperti karaoke, disko dan pub akan menyumbang kes-kes jenayah.  Jadi, kes-kes jenayah di negara kita akan meningkat.  Selain itu, pelancong asing berkemungkinan besar akan melakukan kes jenayah seperti vandalisme dan bergaduh di pusat hiburan atau tempat lain apabila berlakunya perselisihan faham dengan penduduk tempatan. Tegaslah bahawa kes-kes jenayah akan meningkat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan.

            Budaya materialistik juga akan berlaku dalam kalangan masyarakat kita akibat daripada sektor pelancangan yang berkembang pesat.  Sikap materialistik telah diserap dalam jiwa penduduk tempatan kerana wujudnya sektor  pelancongan dalam negara kita.  Apabila wujudnya sikap materialistik, maka nilai tolong-menolong yang mendalam dalam kalangan penduduk tempatan telah hilang.  Hal ini demikian kerana penduduk tempatan lebih cenderung untuk mendapat keuntungan daripada para pelancong asing sehingga mengabaikan nilai-nilai murni.  Penduduk tempatan akan lebih mementingkan keuntungan daripada mewujudkan hubungan rapat dengan pelancong asing.  Jelaslah bahawa industri pelancongan mampu mengembangkan sikap materialistik dalam kalangan penduduk tempatan .

            Kesimpulannya, sektor pelancongan mampu menyebabkan negara kita berkembang dengan pesat, tetapi sektor tersebut turut meninggalkan impak yang besar kepada budaya tempatan.  Jadi, semua pihak harus bekerjasama untuk mencegah kesan negatif yang dibawa oleh pelancong asing.  Dengan ini diharapkan sektor pelancongan dapat dimajukan dan hanya meninggalkan kesan positif kepada masyarakat tempatan.

Nama Pelajar : Tristan Kevin Costner
Kelas : Tingkatan Enam Atas Empat
Tahun : 2010
Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart.

ISU PELANCONGAN : KEPELBAGAIAN BUDAYA MASYARAKAT PROMOSI PELAWAT ASING DATANG KE MALAYSIA


Apakah peranan agensi pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong luar negara mengunjungi Malaysia dan pelancong tempatan melancong dalam negara berbanding ke luar?
 
Tanggungjawab utama agensi pelancongan ialah mewujudkan pakej menarik yang menjanjikan keselesaan dan memenuhi kehendak pelanggan seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan perkara berkaitan. Mereka perlu mengambil kira kehendak pelanggan dan menyediakan perkhidmatan seperti dikehendaki. Mereka juga boleh memperkenalkan produk yang mungkin menarik minat pelancong untuk mencuba. Perlu diingat pakej menarik itu bukan saja untuk pelancong luar negara malah juga rakyat tempatan. Banyak produk pelancongan yang boleh dipromosikan seperti ekopelancongan, pelancongan pengembaraan dan sukan. Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pula bertindak sebagai orang tengah antara kementerian dan agensi pelancongan. Kami memaklumkan kepada ahli mengenai jadual diatur kementerian dan agensi pelancongan turut mengambil bahagian dalam memasarkan produk mereka. Satu perkara perlu diketahui ialah MATTA tidak terbabit dalam usaha mengadakan pameran dan sebagainya di luar negara.

Adakah usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan di rantau ini mencukupi?
 
Kementerian Pelancongan melakukan tugas yang baik dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada pelancong luar dan tempatan. Mereka juga melakukan pameran dan penjelajahan dengan sektor korporat untuk tujuan itu, bekerjasama dengan media tempatan. Ia bukan saja mengadakan promosi memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa, malah juga memberi tumpuan kepada pelancongan domestik seperti memperkenalkan Selangor kepada penduduk Sabah, menggalakkan penduduk Sabah melancong ke Selangor dan sebaliknya. Produk Selangor tidak boleh diperkenalkan di Selangor saja tetapi perlu melangkaui sempadan negeri itu. Saya rasa dalam kes ini, memang kementerian melakukan tugas yang baik kerana pelancong tempatan dapat mengenali budaya di luar negeri mereka dengan lebih baik walaupun mungkin ada persamaan. Kementerian menjalankan konsep pemasaran yang baik untuk memperkenalkan Malaysia tetapi seperti juga perniagaan lain, bidang ini turut mempunyai saingan.

Sukar untuk kita menukar arah pemikiran orang mengikut cara kita, tetapi ada cara melakukannya iaitu dengan memasarkan apa yang mungkin berlainan daripada ditawarkan Thailand dan Indonesia misalnya. Saya rasa konsep ‘Malaysia Truly Asia’ mencapai sasaran kerana berjaya menarik pelancong. Satu perkara paling menarik mengenai Malaysia yang tidak ada di negara lain ialah kepelbagaian budaya. Pelancong boleh menemui budaya Cina dan India tanpa perlu mengunjungi China atau India. Datang saja ke Malaysia dan nikmati semua itu di sini. Kepelbagaian budaya yang unik itu menjadi tarikan utama. Berbanding Singapura, kita mempunyai banyak kelebihan. Kita mempunyai Taman Negara dan gunung untuk pelancong yang gemarkan cabaran, pulau dan pantai untuk mereka yang suka suasana tenang.

Apakah yang boleh ditonjolkan sebagai ikon Malaysia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong luar negara seperti Bali di Indonesia?

Kita mungkin masih belum mempunyai ikon pelancongan seperti Bali di Indonesia dan Phuket di Thailand. Kita sedang bergerak ke arah itu. Kita juga bukan sekadar ingin mempromosikan destinasi sebaliknya mempromosikan Malaysia sebagai negara pelancongan. Memang ada usaha dibuat mempromosikan destinasi seperti Langkawi dan Sipadan yang menjadi kawasan tumpuan pelancong. Begitu juga Gunung Tahan dan Taman Negara bagi penggemar aksi lasak atau menaiki rakit menelusuri sungai dan kemudian balik berehat bagi yang inginkan perjalanan kurang mencabar.

Kita juga sudah ada Melaka sebagai Bandar Raya Bersejarah untuk ditonjolkan sebagai ikon destinasi. Konsep kita mungkin agak berbeza dengan negara lain. Malaysia mempunyai banyak keistimewaan yang boleh ditonjolkan. Selain kepelbagaian budaya yang saya sebutkan tadi, pelancong juga boleh menyaksikan kepelbagaian agama dianuti di sini. Walaupun Islam sebagai agama rasmi, amalan agama lain dibolehkan. Pelbagai perayaan disambut di sini dan ini tidak boleh ditemui di negara lain. Satu lagi perkara yang tidak boleh kita nafikan ialah kepelbagaian makanan. Jika pelancong ingin masakan tempatan, kita ada. Jika mereka mahukan makanan tempat asal, kita boleh sediakan. Menariknya, kadang-kadang pelancong tidak mahu makanan di hotel penginapan seba-liknya mencuba di gerai tepi jalan. Itu juga kita ada. Mereka boleh memilih gerai yang mereka mahu. Makanan Melayu, India, Cina dan hidangan pelbagai negeri boleh didapati di satu tempat. 


Apakah jenis produk pelancongan perlu diberi penumpuan yang dirasakan lebih berpotensi untuk dikembang dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa?

Saya dapati pelancongan kesihatan, sukan dan pelancongan perniagaan antara produk yang ada pasaran. Ini perlu diberi tumpuan. Potensinya memang ada. Bagi komuniti perniagaan, kita ada KLCC dan Pusat Konvensyen Putrajaya yang boleh dijadikan tempat persidangan antarabangsa yang selesa. Hotel kita juga menyediakan tempat sesuai dan selesa untuk sebarang seminar bagi kumpulan kecil, dalam lingkungan 500 orang. Kita bertuah kerana mempunyai kestabilan politik, kadar ekonomi yang berkembang dan kemudahan lain yang boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan pelancongan perniagaan. Semua ini mempunyai potensi dipasarkan selain pelancong suka dengan pertandingan sukan seperti golf dan sebagainya.
 

Bagaimana dengan kecenderungan rakyat Malaysia yang lebih suka melancong ke luar negara seperti Bandung, Thailand dan Vietnam?

Kita tidak boleh sekat kehendak orang. Mungkin ada orang yang suka selang-selikan tempat percutiannya dalam dan luar negara. Apa yang kita perlu lihat ialah pelancong luar yang semakin bertambah setiap tahun disebabkan kemudahan pengangkutan. Mengapa rakyat kita suka ke luar negara itu perkara lain. Idea Cuti-Cuti Malaysia banyak membantu memperkenalkan pelancongan domestik. Ia secara tidak langsung menyedarkan rakyat supaya lebih mengutamakan pelancongan domestik.

ISU PELANCONGAN : UBAH PERSEPSI MELANCONG DALAM NEGARA TIADA KELAS

Trend ini meningkat sejak wujud penerbangan tambang murah yang mampu dibayar sesiapa saja. Malah, ada syarikat menawarkan tambang percuma, hanya perlu membayar cukai lapangan terbang. Harga ditawarkan bukan saja hampir sama tetapi lebih murah berbanding kos melancong dengan kenderaan sendiri dalam negara. Ini ditambah pakej menarik ditawarkan agensi pelancongan terutama destinasi serantau yang nilai mata wangnya lebih rendah. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sektor penerbangan tambang murah kerana ia adalah trend terkini yang semakin berkembang dan memudahkan orang ramai bergerak ke mana saja.

Faktor harga mahal hotel dan resort tempatan juga mendorong melancong ke negara orang. Pakej percutian di luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam serendah RM600 termasuk tiket penerbangan, penginapan dan lawatan. Pakej pelancongan domestik yang ditawarkan ada hingga 30 peratus lebih mahal daripada jumlah itu bergantung kepada taraf bintang hotel yang dipilih.

Adakah perkhidmatan dan kemudahan pelancongan di negara ini tidak menarik?

Jika kita bercakap isu pelancong tempatan lebih suka ke luar negara, kita tidak boleh hanya lihat kepada kelemahan perkhidmatan dan kemudahan di negara ini saja. Dari segi perkhidmatan dan kemudahan pelancongan, sebenarnya Malaysia lebih baik berbanding negara serantau, namun tarikan dari segi kos menyebabkan kita suka ke Bandung, Vietnam dan Thailand. Kita juga perlu faham bukan semua ke luar negara untuk bercuti kerana ada yang mahu membeli-belah berikutan kadar mata wang lebih rendah. Contohnya, ramai ke Bandung mahu membeli barangan tekstil yang didakwa lebih murah dengan kualiti terbaik. Di Malaysia, mungkin harganya mahal sedikit kerana kos membawa barang. Semua ini ada kaitan dengan mentaliti pelancong juga yang berasakan tidak kisah berbelanja lebih sedikit jika ke luar negara berbanding membeli di dalam negara. Mereka juga merasakan melancong ke luar negara lebih class. Pakej pelancongan di negara serantau juga dilihat murah dan hampir sama dengan kos melancong dalam negara. Misalnya, ada mendakwa pakej tiga hari dua malam di Bandung sama pakej ke Pulau Pinang, sedangkan peluang ke Bandung bukan selalu berbanding ke Pulau Pinang yang boleh dilakukan bila-bila masa. Mungkin situasi sama berlaku di negara lain, mungkin pelancong di Indonesia merasakan harga di Malaysia lebih murah.

Mengapa pakej pelancongan dalam negara lebih mahal?

Ini semua ada kaitan dengan kadar mata wang. Selain itu, biasanya percutian di luar negara menggunakan ejen pelancongan yang mendapat bayaran berbeza berbanding secara individu. Percutian di luar negara juga dilakukan secara berkumpulan yang harganya pasti lebih murah kerana ada tawaran menarik daripada perkhidmatan dan kemudahan pelancongan. Di negara ini, tiada polisi seperti di Indonesia dan Thailand. Kerajaan mereka membantu hotel dan resort dengan menetapkan pelancong perlu menggunakan khidmat ejen jika mahu mendapatkan harga murah. Di sana jika melancong secara walk in harga bilik ditawarkan lebih mahal dan perkara sebaliknya berlaku di Malaysia. Malah, di negara ini, tawaran harga melalui talian atau internet juga jauh lebih murah. Di Indonesia dan Thailand juga bilik penginapan untuk pelancong tempatan lebih murah. Faktor lain, biasanya hotel mengenakan bayaran penginapan lebih mahal pada musim cuti berbanding waktu biasa berikutan permintaan tinggi.

Apakah destinasi yang menjadi pilihan pelancong tempatan jika bercuti di luar negara?

Destinasi yang sering dikunjungi adalah Indonesia dan Vietnam. Namun, untuk Bandung sejak meletusnya Gunung Merapi, ramai yang mengelak ke sana. Sejak kebelakangan ini, ramai mengunjungi China kerana pakej dan tambang murah ke beberapa wilayah seperti Beijing dan Huangzhou. Singapura pula kembali dikunjungi kerana tarikan seperti Universal Studio.

Apakah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk memastikan rakyat terus melancong di dalam negara?

Sebenarnya, sudah banyak dilakukan Kementerian Pelancongan untuk menarik pelancong di dalam negara melalui promosi Cuti-cuti Malaysia yang kini dikenali sebagai Zoom Malaysia, begitu juga pakej inap desa (homestay). Namun, proses mendidik rakyat melancong dalam negara perlu dilakukan lebih keras lagi.

Pelancongan pengembara juga perlu dipromosikan terutama kepada golongan muda kerana ia lebih murah dan menarik. Selain itu, insentif tertentu perlu diberikan kepada agensi pelancongan yang berjaya menarik pelancong domestik bercuti dalam negara manakala hotel pula perlu menawarkan harga bilik yang murah kepada pelancong tempatan. Jika boleh harga untuk pelancong tempatan dibezakan dengan harga untuk pelancong asing.

Promosi dan kempen mengenai pakej pelancongan inap desa perlu ditingkatkan kerana pelancong tempatan kurang meminatinya berikutan mentaliti mahukan keselesaan dan kemewahan menginap di hotel dan resort. Saya rasa inilah masa sesuai untuk menukar persepsi generasi Malaysia mengenai percutian dalam negara. Kini, ramai sering melabelkan pelancongan domestik sebagai kelas kedua berbanding ke luar negara sedangkan kita mempunyai tarikan dan kawasan menarik lebih baik serta bertaraf antarabangsa berbanding negara serantau.
 
Sumber : Berita Minggu
21 November 2010

ISU PELANCONGAN : STRATEGI BERTERUSAN MAMPU PIKAT PELANCONG

 
Aktiviti pelancongan secara amnya dapat membuka minda dan menambah pengalaman serta dapat mempertingkatkan keinsanan seseorang individu berkenaan. Pelancongan serantau oleh rakyat Malaysia semakin popular pada masa kini dan dijangka akan lebih pesat pada masa depan. Banyak destinasi sudah pun menjadi kegemaran pelancong Malaysia seperti Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, Bandung dan Bali di Indonesia serta Bangkok dan Phuket di Thailand.

Rakyat Malaysia juga dikenali dengan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti utama pelancongan mereka. Tidak hairanlah jika peniaga di sesetengah destinasi pelancongan di rantau ini dapat berbahasa Melayu kerana mereka sering menerima kunjungan pelanggan Malaysia. Destinasi berkenaan amat popular dengan aktiviti membeli-belah kerana ia menawarkan produk unik, murah dan berkualiti serta destinasi berkenaan juga mempunyai mata wang yang rendah berbanding ringgit, sekali gus memberi kelebihan kepada pelancong Malaysia. Namun, apabila pelancong Malaysia membeli-belah di luar negara, ini akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke negara asing dan boleh menyebabkan keseimbangan ekonomi menuju ke arah negatif.

Malaysia sudah pun berkembang dengan pesat dari segi sosioekonominya dan ramai rakyatnya mempunyai kehidupan selesa dan mengalami peningkatan dalam pendapatan boleh guna atau ‘disposable income.’ Ia satu daripada faktor penting dalam membuat keputusan untuk membeli produk pelancongan. Pada masa sama, setiap hari, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai iklan yang menjual tiket kapal terbang dan pakej pelancongan ke luar negara dengan harga rendah dan menarik. Harga itu mungkin serendah atau lebih tinggi berbanding harga tiket dan pakej untuk pelancongan dalam negara. Fenomena ini dapat dilihat dengan pembabitan syarikat penerbangan bajet di Malaysia pada 2001. Kejayaan yang dikecapi syarikat penerbangan itu sudah pun menjadi inspirasi beberapa negara jiran di rantau ini untuk menubuhkan syarikat penerbangan bajet mereka sendiri dan ini menggalakkan persaingan dan sekali gus menurunkan harga servis yang ditawarkan.

Persaingan ini juga membabitkan syarikat penerbangan konvensional yang ingin mencapai kepada pasaran pelancongan bajet. Persaingan itu sudah membentuk pasaran yang cenderung kepada manfaat pengguna. Jika dilihat kepada barang yang dibeli pelancong Malaysia, ada di antaranya yang dapat dibeli di Malaysia sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi. Oleh itu, bukan saja rakyat Malaysia, malah pelancong secara umum lebih suka membeli barang atau produk di negara asal, yang mana harga adalah lebih jauh murah dan memberi kesenangan kepada minda pelancong itu dalam isu keaslian produk serta kualitinya. Ia juga memberi kepuasan dalam minda pelancong yang berpendapat bahawa mereka sudah berbelanja atau membeli-belah secara bijak. Oleh kerana konsep pelancongan adalah berdasarkan kepuasan pengalaman, oleh itu, membeli-belah di luar negara adalah satu pengalaman membolehkan pelancong mendapat kepuasan yang boleh dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai.

Selain itu, sesetengah barang adalah cenderamata yang unik untuk destinasi itu seperti barangan laker (lacquer ware) serta batu permata dan manikam di Vietnam, kraf tangan halus dan hasil seni dari Indonesia dan juga sutera serta barangan perak dari Thailand. Setiap destinasi pelancongan mempunyai pengkhususan dalam pembuatan dan pengeluaran barang tertentu dan ini turut menjadi satu daripada tarikan bagi pelancong Malaysia ke destinasi itu. Semestinya, juga rakyat Malaysia memang berminat membeli-belah dengan kuantiti yang banyak kerana mereka selalunya tidak lupa membeli cenderahati untuk keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja. Perlu diingat, industri pelancongan beroperasi di atas konsep penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, tindakan mewujudkan halangan atau sekatan aliran pelancong, adalah tidak praktikal walaupun ia bermaksud wang mengalir keluar daripada lingkungan ekonomi negara.

Ada beberapa strategi yang boleh kerajaan laksanakan bagi ‘menyekat’ pelancong domestik ke luar negara. Justeru, usaha kerajaan menarik pelancong ke Malaysia dari negara lain melalui beberapa kempen termasuk kempen ‘Malaysia Truly Asia’ yang sangat terkenal di luar negara, dapat mengimbangi semula aliran wang keluar dengan aliran wang masuk ke Malaysia. Kempen percutian domestik secara besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik juga dapat meningkatkan rakyat Malaysia untuk memilih destinasi dalam negara dan berbelanja di destinasi itu. Malaysia sendiri mempunyai aset pelancongan bertaraf antarabangsa dan serupa dengan aset pelancongan di rantau ini dengan kos berpatutan. Antara destinasi terkenal seperti Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Sipadan misalnya, sudah dapat menandingi destinasi di rantau ini yang turut dikunjungi pelancong antarabangsa seperti Pulau Phuket dan Bali.

Begitu juga Kuala Lumpur, sebuah kota yang menawarkan aktiviti pelancongan termasuk membeli-belah setanding dengan Jakarta dan Bangkok. Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching juga terkenal dengan kraf tangan dan cenderahati yang unik dengan harga berpatutan. Kementerian Pelancongan sudah pun membina imej pelancongan domestik yang kukuh dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan sudah diberi sentuhan penjenamaan semula dengan Zoom Malaysia. Malah, Malaysia kini menjadi saingan kepada destinasi serantau untuk rakyatnya sendiri. Pada masa akan datang, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju dengan taraf kehidupan penduduknya akan lebih meningkat. Rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan boleh guna atau belanja lebih tinggi dan ini akan memberikan lebih peluang dan opsyen untuk pergi melancong ke luar negara.

Syarikat penerbangan bajet dan konvensional akan terus berkembang dan akan menambah destinasi baru sepanjang masa dan persaingan akan merendahkan harga untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan. Ini menjadikan industri pelancongan pada masa depan sebagai industri tanpa sempadan. Justeru, pembentukan strategi berterusan adalah penting untuk memastikan industri ini sentiasa memberi manfaat kepada negara Malaysia.  
 
Oleh 
Dr Awangku Hassanal Bahar 
Pangeran Bagu
Pensyarah Kanan, 
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, 
Universiti Malaysia Sabah 

Perunding Utama, 
Tinjauan Pasaran Domestik, 
Lembaga Pelancongan Sabah.

Berita Minggu
21 November 2010