JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 November 2010

ISU PENDIDIKAN : MEREALISASIKAN PARLIMEN MAHASISWA


Parlimen Mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) walaupun diberi nama lain tetapi masih dalam sifat dan kerangka pemikiran menuju ke arah yang sama. Kejayaan merealisasikan Parlimen Mahasiswa atau dikenali Dewan Perundingan Pelajar USM ini juga adalah kejayaan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melakukan transformasi terhadap pengajian tinggi. Idea asal Parlimen Mahasiswa dikemukakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam ucap utamanya pada Kongres Mahasiswa 2003. Dengan pindaan Seksyen 15 AUKU 2008 serta inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Sidang Akademik 2008/09, draf cadangannya dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah. Parlimen Mahasiswa menyediakan platform yang menggabungkan suara mahasiswa di semua peringkat kepimpinan sekali gus menyatukan pelajar dan kepimpinan semua pertubuhan serta kelab pelajar dan MPP, selain menjadi wadah untuk menyampaikan suara mahasiswa pada peringkat tertinggi.

Dewan ini juga membudayakan perbahasan secara intelektual yang akan membolehkan wakil-wakil pelajar memperkayakan cara dan gaya ketika melontarkan hujah-hujah berdasarkan fakta dan bukti-bukti yang kukuh dalam bentuk ilmiah tanpa dipengaruhi emosi. Justeru, dewan ini diharap berupaya melahirkan mahasiswa berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan, dapat memupuk kematangan berfikir dalam pelbagai aspek dan dapat melontarkan pelbagai idea dengan mengambil kira sudut pandangan pelbagai pihak. Yang lebih penting, ini adalah antara pengiktirafan terbesar universiti terhadap suara mahasiswa, membantu penggubalan dasar universiti dengan penglibatan secara langsung pelajar termasuk dasar-dasar berkaitan pelajar dalam perkara-perkara tertentu.

Ini juga dapat menangkis dakwaan bahawa mahasiswa dianggap kurang menyerlah dalam memperjuangkan isu-isu bukan sahaja berkaitan dengan dunia kemahasiswaan tetapi juga pelbagai isu sejagat yang berkait secara langsung atau tidak dengan diri mereka. Pada persidangan pertama pada 23 Oktober 2010, sebanyak 20 isu dibahaskan dalam masa sehari. Pelbagai isu dikupas dengan matang, diperdebat dan diundi sama ada menerima atau menolaknya. Selepas itu, pihak universiti akan menilai segala pandangan yang diberi dan melakukan tindakan sewajarnya bagi menunjukkan kesungguhan universiti menerima pandangan mahasiswa. Antaranya usul yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa, masalah kampus berkaitan jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan penggunaan bas sehinggalah kepada isu belanjawan universiti, penglibatan mahasiswa dalam politik serta masalah orang merempat di Pulau Pinang.

Ahli-ahli dewan yang seramai 58 orang diberikan masa sepanjang hari untuk berbincang dan berdebat isu-isu yang telah dipilih oleh panel khas yang terdiri daripada pelajar sendiri. Antara isu yang telah dibahaskan ialah hal-hal berkaitan dengan Orang Kurang Upaya (OKU), masalah kebajikan mahasiswa berkaitan dengan keperluan Internet, peranan pusat pengajian dan lain-lain sebagai satu percubaan awal yang sangat berjaya. Terdapat beberapa perbezaan yang wujud dalam model Parlimen Mahasiswa ini, jika dibandingkan dengan model-model Parlimen di Malaysia atau di tempat-tempat lain. Pertama, dewan ini tidak wujud klasifikasi ahli kerajaan dan ahli pembangkang. Semua ahli mempunyai status yang sama iaitu ahli dewan yang boleh berbahas tanpa terikat dengan mana-mana perjuangan atau ikatan.

Kedua, dewan ini membenarkan pemerhati untuk turut berbahas usul yang sedang dibentangkan melalui sesi khas yang disediakan sebelum sesi pengundian usul. Ini akan memberi ruang yang cukup luas agar usul itu dibahaskan dengan lebih serius dan terperinci serta turut memberi satu ruang kepada pihak ketiga untuk memberi pandangan. Ketiga, dewan ini akan diberikan satu kebebasan tanpa kehadiran pihak universiti, maknanya dewan tidak akan dikawal oleh pihak universiti dan ia adalah 100 peratus dikendalikan oleh kuasa Speaker seperti yang terkandung di dalam standing order yang telah disediakan. Ini bermakna, semangat Seksyen 15 yang memberi ruang kebebasan kepada pelajar telah dapat direalisasikan.

Penubuhan dewan ini akan menjadi ujian penting terhadap tahap pemikiran mahasiswa kita dalam membincangkan isu-isu dan cabaran yang didepaninya secara rasional dan bertanggungjawab. Malah ini juga seharusnya berupaya menjadi model masa depan yang dapat mengungkap kehebatan peribadi yang ditunjangi oleh kekuatan ilmu dan hikmah dalam menjuarai isu-isu utama mahasiswa, mahu pun masyarakat dan negara. Seperti mana juga Dewan Parlimen yang memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya berdebat secara terbuka dan berasaskan fakta, demikian juga dewan ini membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa untuk berdebat secara terbuka, bebas dengan berhemah untuk melahirkan para pemimpin yang bersiasah tinggi yang menghormati adab dan etika keilmuan, menghormati orang lain dan menerima kepelbagaian pendapat serta pandangan sebagai satu tradisi yang perlu dipupuk dan diterima sebagai satu aspek utama kehidupan global.

Prof. Datuk Omar Osman
Timbalan Naib Canselor 
(Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) 
Universiti Sains Malaysia.

Utusan Malaysia
22 November 2010

Tiada ulasan: