A. Samad Said |
Selain kenapa sastera yang dianggap berbahasa tinggi itu tidak diminati, masalah dan fenomena penghakisan rasa cinta pada bangsa (termasuk persatuan penulis yang tidak mampu aktif) sedang terjadi dengan cepat sekali. Justeru, betapa perlunya jiwa Melayu harus ada dalam sanubari setiap pemimpin Melayu, bagi menjayakan apa sahaja agenda pembangunan termasuk ekonomi, kuasa politik, dan pendidikan. Sastera itu sendiri harus dilaksanakan sepenuhnya! Cetusan ini mungkin terhasil setelah penulis mengikuti Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu VI anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada bulan lalu. Ia juga hasil mesyuarat agung pertama Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia (PPSM), Sabtu lalu.
Barangkali masih ramai yang tidak tahu, bahawa di perguruan tinggi atau IPTA, fakulti dan jurusan bahasa dan sastera dianggap lemah atau mandul (selain sikap pengurusan tertinggi IPT itu sendiri terhadap pendidikan sastera dan ilmu kemanusiaan), kerana sebahagian besar peminatnya hanyalah golongan wanita (mahasiswi). Golongan lelaki pula terlalu minoriti. Sebahagian besar mahasiswa yang memilih bidang bahasa dan sastera disebabkan mereka tidak diterima masuk ke jurusan yang mereka minati. Sikap begini tentulah membawa kesan besar terhadap perkembangan dunia sastera tanah air. Jadi, bayangkanlah nasib aliran sastera untuk berperanan dalam pembangunan negara pada masa depan? Kesannya memperlihatkan dunia sastera Melayu masa kini tidak banyak menghasilkan karya besar. Ini kerana para peminatnya terdiri daripada warga kelas kedua. Disebabkan tidak banyak karya besar dihasilkan, maka daya apresiasi atau rasa hormat, animo masyarakat terhadap karya sastera pun kurang menggalakkan.
S. Othman Kelantan |
Fenomena beginilah yang menghantui diri para Sasterawan Negara kita, termasuk A Samad Said dan Muhammad Haji Salleh (juga Tokoh Pendidikan Negara), di mana kebanyakan pengarang dan sasterawan adalah golongan amatur. Hal ini cukup jelas, kerana dunia kepengarangan belum menjadi profesion yang menguntungkan, sedangkan industri buku membawa pulangan yang berbilion ringgit? Kesusasteraan sebagai bidang sains kemanusiaan sebenarnya mempunyai fungsinya yang khas dalam pembinaan kebudayaan dan tamadun sesuatu bangsa. Maka itulah wujud hubungan sastera dan kehidupan, baik dalam bidang politik, ekonomi dan pentadbiran. Tidak ramai tokoh masyarakat yang mengkaji Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991 dalam konteks kesusasteraan, terutamanya apabila ia cuba mencari dan membentuk sebuah negara bangsa menurut acuan sendiri. Ini kerana matlamat pembangunan untuk Malaysia menjadi sebuah negara industri dan maju meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan itu adalah seimbang antara satu sama lain.
Anwar Ridhwan |
Barangkali masih ramai rakyat Malaysia dan pejuang politik hari ini tidak faham atau tidak pernah pun membaca, misalnya, cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan bertimbang rasa, dengan sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri (kebajikan rakyat tidak diasaskan pada individu, tetapi pada sistem keluarga yang kukuh). Apakah yang dapat kita tafsirkan daripada pernyataan tersebut? Ia sebenarnya kaya dengan unsur dan nilai-nilai patriotisme. Malahan apabila dilihat konsep patriotisme dari sudut pandangan Islam sekalipun, ia sangat relevan dan sesuai dengan pembangunan negara. Ini kerana antara lain, Islam melihat peranannya sangat relevan dengan sains politik, bidang strategik, dan lebih-lebih lagi dari segi pembangunan kebudayaan dan tamadun Malaysia.
Noordin Hassan |
Kita telah pun memasuki abad ke-21. Justeru kita memerlukan kesedaran total semua pihak terhadap sistem pendidikan kebangsaan, dan rasa megah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam majlis rasmi dan sidang media (tetapi wujud pula sindrom tokoh korporat Melayu takut bercakap bahasa Melayu dalam sidang media berbahasa Melayu. Ini mungkin terjadi kerana krisis keyakinan. Pada hal jika mereka yang sombong sebagai si tanggang moden ini sedar dan mampu berbahasa Melayu dengan baik di hadapan masyarakat antarabangsa dan para wartawan Melayu sendiri, tentulah akan menjadi ikon. Mereka akan dipuji oleh orang tua di kampung dan pedalaman. Bahkan keupayaan mereka ini akhirnya akan lebih dikenali dan dihormati sebagai warga bangsa sebuah negara yang unggul dan bermaruah.
Oleh A. Rahim Abdullah
Ahli Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP)
Bendahari Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia.
Utusan Malaysia
22 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan