18 November 2025

STRATEGI PENGAJARAN DIGITAL: MEMPERKASAKAN MURID DALAM ERA PEMBELAJARAN ABAD KE-21

 


Sejak akhir-akhir ini, perubahan landskap pendidikan berlaku dengan begitu pantas seiring kemajuan teknologi. Murid pada hari ini bukan lagi generasi yang hanya menerima ilmu secara pasif, sebaliknya merupakan generasi digital yang memerlukan pendekatan pembelajaran aktif, interaktif dan bersifat kendiri. Dewasa ini, saya melihat transformasi kaedah pengajaran digital sebagai antara faktor utama yang mampu meningkatkan prestasi murid, selari dengan objektif pendidikan masa hadapan.

Tambahan pula, teknik pengajaran digital yang efektif bukan sekadar menggunakan peralatan teknologi, tetapi melibatkan strategi PdPc yang mampu merangsang pemikiran kritis, kolaboratif dan kemahiran menyelesaikan masalah. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa teknik pengajaran utama yang terbukti berkesan dalam meningkatkan prestasi murid dalam dunia digital masa kini.

Di samping itu, antara teknik yang semakin mendapat tempat ialah Pembelajaran Berasaskan Projek Digital (Digital Project-Based Learning). Guru memberi tugasan berbentuk projek yang memerlukan murid menggunakan aplikasi digital atau platform kolaboratif seperti Google Classroom, Canva atau Padlet. Sebagai contoh, murid Tingkatan 5 diberi tugasan menghasilkan infografik berkenaan perubahan iklim menggunakan Canva dan membentangkannya secara dalam talian melalui Google Meet. Hasilnya, murid bukan sahaja memahami tajuk pembelajaran dengan lebih mendalam, malah kemahiran komunikasi dan kreativiti mereka turut berkembang.

Lanjutan daripada itu, Flipped Classroom (Pembelajaran Songsang) merupakan kaedah yang amat efektif dalam meningkatkan keberkesanan PdPc. Guru menyediakan video pengajaran atau bahan digital dan meminta murid menonton sebelum sesi PdPc. Masa di dalam kelas digunakan untuk aktiviti pengukuhan, perbincangan dan penyelesaian masalah. Misalnya, guru Sains menyediakan video eksperimen mudah berkaitan tekanan udara melalui YouTube, dan murid diminta menonton di rumah. Pada keesokan harinya, kelas digunakan untuk analisis keputusan, perbincangan dan sesi soal jawab. Teknik ini membantu murid hadir ke kelas dengan pengetahuan awal, dan menjadikan sesi PdPc lebih aktif dan bermakna.

Dalam nada yang berbeza, Gamifikasi Pendidikan juga semakin popular. Penggunaan elemen permainan seperti Kahoot!, Quizizz atau Wordwall dapat meningkatkan motivasi murid serta membantu dalam mengukuhkan penguasaan konsep. Di sekolah saya, guru Bahasa Inggeris menggunakan Quizizz sebelum peperiksaan percubaan SPM untuk menguji penguasaan tatabahasa dan kosa kata. Hasilnya, kelas yang menggunakan gamifikasi menunjukkan peningkatan purata markah sebanyak 12% berbanding kelas kawalan.

Selain itu, teknik Pembelajaran Terbeza Digital perlu dipraktikkan bagi mengatasi perbezaan tahap penguasaan murid. Guru menyediakan bahan digital bertahap seperti modul interaktif, video atau kuiz mengikut keupayaan individu murid. Misalnya, murid yang berprestasi tinggi diberi tugasan mencipta kandungan multimedia berdasarkan tajuk pembelajaran, manakala murid berkeperluan peningkatan diberikan video ringkas dan latihan kendiri. Kaedah ini memastikan setiap murid belajar mengikut kadar sendiri tanpa rasa tercicir.

Seperkara lagi, penggunaan Dashboard Prestasi Digital dapat membantu guru memantau perkembangan akademik murid secara masa nyata. Data keputusan kuiz digital, kehadiran dan pencapaian tugasan membantu guru merancang intervensi segera. Sebagai contoh, jika murid menunjukkan kelemahan dalam topik tertentu berdasarkan analisis Quizizz, guru dapat terus merancang sesi pengayaan atau intervensi mikro keesokan harinya.

Seterusnya, teknik Pembelajaran Kolaboratif Dalam Talian amat sesuai dalam membentuk kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Murid boleh menggunakan Google Docs atau Microsoft Teams untuk menulis esei secara berkumpulan atau membincangkan idea dalam masa nyata. Sebagai contoh, murid Tingkatan 4 dalam kelas Geografi bekerjasama secara dalam talian menyediakan slide pembentangan berkaitan impak pembangunan bandar menggunakan Google Slides. Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan pemahaman pelajar, malah mengasah kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan.

Walau bagaimanapun, perubahan teknik pengajaran digital memerlukan latihan dan bimbingan kepada guru agar mereka bersedia dari segi kemahiran teknikal dan pedagogi. Tambahan pula, sekolah perlu memastikan capaian internet stabil dan peranti mencukupi bagi menyokong PdPc digital.

Akhir sekali, kejayaan teknik pengajaran digital bergantung kepada kesediaan guru untuk menjadi fasilitator pembelajaran dan bukan sekadar penyampai ilmu. Pendekatan digital yang bersesuaian mampu meningkatkan prestasi murid dengan ketara serta menyediakan mereka untuk dunia masa hadapan yang dipacu teknologi. Guru yang kreatif menggunakan teknologi akan melonjakkan pencapaian murid, membuktikan bahawa inovasi pedagogi ialah kunci kejayaan pendidikan era digital.

“Teknologi tidak menggantikan guru, tetapi guru yang menguasai teknologi akan menggantikan yang tidak.”

PENDIDIKAN BERASASKAN DATA: STRATEGI BAHARU LONJAKAN PRESTASI SEKOLAH

Sejak akhir-akhir ini, pendidikan berasaskan data semakin menjadi fokus utama dalam pengurusan sekolah. Dengan perkembangan teknologi dan keperluan meningkatkan kecekapan keputusan pentadbiran, pendekatan berasaskan bukti dilihat sebagai medium terbaik bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan benar-benar menyasarkan keperluan murid. Dewasa ini, sebagai seorang pengetua, saya berpendapat bahawa penggunaan data secara sistematik mampu membawa lonjakan prestasi bukan sahaja dari aspek akademik, bahkan sahsiah dan keterampilan murid.

Tambahan pula, analisis data membantu pihak sekolah mengenal pasti tahap sebenar penguasaan murid secara objektif. Sebagai contoh di sekolah saya, setelah analisis keputusan peperiksaan akhir tahun dilaksanakan, kami mendapati murid Tingkatan 3 lemah khususnya dalam kemahiran aneka pilihan bagi subjek Matematik. Sehubungan dengan itu, panitia Matematik mengambil langkah mewujudkan “Kelas Fokus Item” pada waktu kokurikulum, khas untuk kumpulan murid yang mencatatkan pencapaian bawah tahap minimum. Natijahnya, keputusan PT3 dalaman meningkat daripada 38% kelulusan kepada 67% dalam tempoh enam bulan.

Dalam nada yang berbeza, pendidikan berasaskan data bukan hanya mengenai angka peperiksaan semata-mata. Di samping itu, ia turut menyokong peningkatan mutu PdPc. Sebagai contoh, guru Bahasa Melayu menganalisis skrip jawapan murid dan mengenal pasti kelemahan tatabahasa dalam penulisan karangan. Lanjutan daripada itu, program “Klinik Bahasa Intensif” telah dijalankan dengan melibatkan murid Tingkatan 5 selepas waktu persekolahan. Misalnya, seorang murid yang sering mendapat gred C dalam subjek tersebut berjaya memperoleh gred B+ selepas mengikuti intervensi selama tiga bulan.

Selain itu, pendidikan berasaskan data turut memudahkan saya sebagai pengetua menentukan hala tuju strategik sekolah. Sebagai contoh realiti, apabila data kehadiran menunjukkan peningkatan masalah ponteng di asrama pada tahun 2023, kami melaksanakan program “Salam Subuh” yang melibatkan guru bertugas dan pengawas untuk berinteraksi secara langsung dengan murid. Program ini terbukti efektif apabila jumlah kes ponteng menurun daripada 42 kes kepada hanya 11 kes dalam tempoh satu penggal persekolahan. Seperkara lagi, pemantauan disiplin juga menunjukkan bahawa murid yang aktif dalam sukan dan kokurikulum mencatatkan penurunan kes salah laku sehingga 65%.

Seterusnya, data turut digunakan dalam penyusunan jadual waktu tambahan dan penentuan guru mentor. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bukan semua guru sesuai mengajar kumpulan murid yang sama. Berdasarkan analisis keberkesanan guru, panitia telah menstrukturkan semula pengajaran dengan menempatkan guru paling berpengalaman untuk kelas peperiksaan. Dari situ, prestasi subjek Sains meningkat daripada GPS 5.11 kepada 4.36, menunjukkan bahawa pemadanan guru-murid dengan berpandukan data amat berkesan.

Namun demikian, pelaksanaan pendidikan berasaskan data tidak bebas cabaran. Antara isu utama ialah kemahiran guru mentafsir data dan mengubah hasil analisis kepada tindakan. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah menganjurkan Bengkel Literasi Data untuk semua guru, dengan memberikan latihan cara membaca dashboard prestasi dan mengenal pasti trend pencapaian murid. Tambahan pula, kami memperkenalkan sistem lampu isyarat (merah – berisiko, kuning – sederhana, hijau – stabil) untuk mengenal pasti murid yang memerlukan tindakan segera.

Bak kata peribahasa Melayu, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, kejayaan pelaksanaan pendidikan berasaskan data memerlukan komitmen dan keberanian untuk berubah. Pada masa yang sama, ibu bapa turut dilibatkan dalam sesi libat urus akademik berasaskan pencapaian terkini anak mereka. Melalui kerjasama ini, terdapat murid yang sebelum ini kerap ponteng mula menunjukkan perubahan positif selepas intervensi dilakukan bersama ibu bapa dan guru mentor.

Akhir sekali, transformasi pendidikan berasaskan data bukan hanya menjadikan sekolah lebih cekap, bahkan mampu membentuk iklim pendidikan yang lebih profesional dan strategik.  Budaya kerja berasaskan bukti menjadikan setiap tindakan lebih berfokus dan tepat. Tuntasnya, apabila data digunakan secara holistik, sekolah bukan sahaja melonjak dari segi akademik, tetapi mampu melahirkan murid yang berdaya saing dan berketerampilan tinggi.

Data bukan sekadar angka, tetapi cerminan potensi murid yang menunggu disentuh. Tanggungjawab kitalah untuk mentafsirkannya dan bertindak.

13 November 2025

RISIKO MENGEMBALIKAN UPSR DALAM SISTEM PENDIDIKAN

 


Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai kemungkinan mengembalikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kembali menjadi topik hangat dalam arena pendidikan negara. Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan keghairahan masyarakat untuk menilai prestasi murid pada peringkat awal, malah menggambarkan kebergantungan sesetengah pihak terhadap sistem peperiksaan sebagai alat pengukur kecemerlangan pendidikan. Umum mengetahui bahawa pemansuhan UPSR suatu ketika dahulu dilaksanakan dengan hasrat mengubah landskap pendidikan daripada sistem berorientasikan peperiksaan kepada pendidikan holistik yang menumpukan perkembangan insan secara menyeluruh. Namun, kebelakangan ini, terdapat kecenderungan untuk meninjau semula struktur tersebut.

Sebagai seorang pengetua yang berhadapan secara langsung dengan realiti di lapangan, saya melihat keperluan untuk melakukan renungan kritis dan berhemah terhadap cadangan mengembalikan UPSR. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, wacana sebegini wajib disertakan analisis mendalam agar segala keputusan yang diambil kelak tidak mengundang implikasi negatif kepada murid, guru, ibu bapa, mahupun ekosistem pendidikan secara keseluruhan.


Budaya Perbandingan dan Stigma Sekolah

Sejak sedekad yang lalu, kewujudan peperiksaan berskala besar seperti UPSR telah mewujudkan budaya perbandingan antara sekolah, daerah, dan negeri. Jika dibandingkan dengan norma pendidikan yang ideal, budaya perbandingan ini sering kali melahirkan penilaian tidak seimbang terhadap prestasi sekolah. Sekolah yang mencatatkan bilangan murid cemerlang dianggap mempunyai guru yang terbaik, manakala sekolah yang mempunyai murid lemah pula secara tidak adil dilabel sebagai sekolah kurang berkualiti.

Natijahnya, stigma ini menjejaskan imej institusi pendidikan tersebut serta mematahkan semangat guru-guru yang telah bekerja keras mendidik murid mengikut keupayaan dan latar belakang mereka. Sehubungan dengan itu, sekiranya UPSR dikembalikan, budaya penghakiman sosial ini berpotensi untuk kembali berakar dengan lebih mendalam.

Lebih membimbangkan, murid-murid yang datang dari latar belakang sosioekonomi rendah sering menjadi mangsa stereotaip bahawa mereka kurang berpotensi untuk berjaya. Berbeza dengan matlamat pendidikan yang menekankan kesamarataan peluang, budaya ini boleh menimbulkan jurang psikologi antara murid dan menyekat perkembangan diri mereka.


Tekanan Peperiksaan terhadap Murid

Tambahan pula, sistem peperiksaan yang terlalu menumpukan pencapaian akademik telah menyebabkan murid dipaksa melalui rutin pembelajaran yang padat serta kurang mesra perkembangan emosi. Sebagai contoh, kelas tambahan diadakan hampir setiap hari, malah ada sekolah mengatur sesi pembelajaran intensif pada hujung minggu. Amalan menghafal turut dijadikan strategi utama, mengorbankan aspek pemahaman mendalam dan kreativiti.

Tamsilnya, murid tahun akhir sekolah rendah sering pulang lewat petang akibat kelas intervensi yang diprogramkan tanpa henti. Akibatnya, mereka kehilangan masa untuk bermain, berehat, berinteraksi dengan keluarga atau meneroka minat lain. Perkembangan akal budi seorang murid seharusnya seimbang, bukan semata-mata tertumpu kepada akademik.


Keterlibatan Ibu Bapa dan Tekanan Sosial

Seperti yang kita sedia maklum, kewujudan peperiksaan besar sering kali mendorong ibu bapa untuk berbelanja besar demi memastikan kejayaan anak-anak. Kewujudan kelas tusyen menjadi norma, malah ada ibu bapa yang sanggup menghantar anak ke institusi pembelajaran swasta yang mahal demi mendapatkan keputusan cemerlang.

Selain itu, budaya membandingkan pencapaian anak antara jiran, rakan sekerja, atau kaum tertentu melahirkan tekanan sosial yang tidak sihat. Sama dengan tekanan ke atas guru, fenomena ini turut mencipta suasana emosi yang tegang dalam keluarga, terutamanya apabila anak tidak mencapai jangkaan yang ditetapkan.

Bak kata peribahasa Melayu, “ukur baju di badan sendiri”. Tidak semua murid memiliki potensi akademik yang sama, dan kejayaan tidak seharusnya ditentukan melalui lensa peperiksaan semata-mata.


Stigma Peperiksaan sebagai Kayu Ukur Mutlak

Lanjutan daripada itu, peperiksaan sering dianggap sebagai kayu ukur tunggal kecemerlangan murid. Murid yang mendapat semua A dianggap terbaik, manakala murid yang memperoleh keputusan sederhana dianggap kurang berpotensi. Implikasi pemikiran sebegini sangat besar: ia membentuk persepsi bahawa kecerdasan adalah statik, sedangkan pendidikan moden mengiktiraf pelbagai jenis kecerdasan manusia termasuk kreativiti, kepimpinan, komunikasi, kemahiran sosial dan kemahiran berfikir aras tinggi.

Natijahnya, sekiranya UPSR kembali, dikhuatiri stigma ini akan menjadi semakin tebal dan menggagalkan usaha negara melahirkan generasi murid yang holistik dan berdaya saing dalam pelbagai aspek.


Realiti Peperiksaan SPM dan STPM Hari Ini

Sementara itu, budaya perbandingan masih wujud secara signifikan dalam peperiksaan yang masih berjalan seperti SPM dan STPM. Setiap tahun, sekolah cemerlang diumumkan secara terbuka, ranking daerah dipaparkan, dan negeri yang memperoleh banyak pelajar cemerlang diraikan. Guru pula terpaksa memikul beban kerja yang semakin berat – mengajar sehingga 10 hingga 12 jam sehari, menjalankan kelas intervensi, dan menyediakan laporan pencapaian akademik yang komprehensif.

Walau bagaimanapun, apa yang jarang ditonjolkan ialah pengorbanan emosi dan fizikal yang ditanggung oleh para guru. Beban kerja berlebihan bukan sahaja boleh menjejaskan motivasi mengajar, malah boleh menimbulkan masalah kesihatan jangka panjang.


Keperluan Pendekatan Berhemah dalam Membuat Keputusan

Bertitik tolak daripada hal ini, kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan mengembalikan UPSR. Pendidikan bukan medan untuk mencuba-cuba, tetapi medan pembentukan modal insan yang akan menentukan masa depan negara.

Sementelahan, sistem pentaksiran alternatif seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebenarnya menawarkan pendekatan lebih holistik dan inklusif tanpa menjejaskan pembelajaran murid. Pendidikan abad ke-21 pula selari dengan penekanan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, keusahawanan dan kemahiran interpersonal, bukannya sekadar kecemerlangan akademik melalui peperiksaan bertulis.


Kesimpulan

Kesimpulannya, isu mengembalikan UPSR bukan sekadar soal ada atau tiada peperiksaan. Ia adalah persoalan mengenai masa depan pendidikan, kesejahteraan murid, kebajikan guru, dan budaya masyarakat yang terbentuk hasil persekitaran pendidikan itu sendiri. Secara tuntas, kita harus belajar daripada sejarah – apa yang pernah berlaku dan sedang berlaku – agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah menekan murid, guru dan ibu bapa. Pendidikan harus bersifat progresif, bukan regresif. Jika kita mahu melahirkan generasi yang matang, kritis, resilient dan berdaya saing, maka kita perlu menilai semula nilai sebenar pendidikan yang ingin kita bentuk. Akhir kata, marilah kita bersama-sama menilai isu ini dengan pemikiran rasional dan hati yang terbuka, demi memastikan masa depan pendidikan negara terus berada pada landasan yang terbaik.

12 November 2025

RASA MALAS : UJIAN HALUS YANG MENYENTUH JIWA


Sejak akhir-akhir ini, ramai antara kita berasa lelah tanpa sebab yang jelas. Sebenarnya, rasa malas bukan sekadar kelemahan diri, tetapi cerminan hati yang memerlukan perhatian. Ia hadir ketika jiwa tertekan dan semangat mula pudar. Dalam meniti kehidupan yang serba pantas ini, kita sering terlupa bahawa manusia bukan mesin. Justeru, apabila rasa malas menjengah, berhentilah seketika untuk menilai semula makna usaha dan tujuan hidup. Mungkin di situ tersembunyi hikmah agar kita kembali menyusun niat dan tenaga dengan lebih ikhlas.

Selain itu, rasa malas juga sering menjadi cerminan kepada sistem hidup yang tidak seimbang. Walaupun kita sering menunggu kehadiran semangat, hakikatnya kejayaan tidak menunggu ilham. Ia hadir melalui disiplin dan tindakan yang konsisten. Misalnya, mulakan langkah kecil setiap hari tanpa menanti sempurna. Seperti titisan air yang akhirnya mampu menebuk batu, usaha kecil yang berterusan akan membentuk kekuatan besar. Tambahan pula, apabila tindakan menjadi tabiat, semangat akan datang dengan sendirinya, tanpa perlu dipaksa. Maka, kekuatan sebenar terletak pada kemampuan untuk bermula walau sedikit.

Seterusnya, ramai yang terperangkap dalam perangkap penangguhan. Mereka berkata “nanti” hingga waktu berlari meninggalkan mereka. Dalam hal ini, setiap saat yang ditunda ialah peluang yang hilang. Sebagai contoh, mula bekerja walau lima minit, kerana tindakan kecil mampu menyalakan momentum besar. Apabila kita bergerak, semangat akan turut hidup dan menerangi jalan. Bak kata peribahasa, “genggam bara api biar sampai jadi arang.” Oleh itu, jangan menunggu kesempurnaan, tetapi teruslah melangkah dengan keberanian dan tekad yang sederhana namun berterusan.

Dalam nada yang berbeza, rasa malas juga boleh menjadi tanda bahawa diri ini terlalu lelah. Kadangkala kita memaksa diri hingga hilang nikmat kehidupan. Maka, berehatlah dengan tenang dan penuh kasih terhadap diri sendiri. Di samping itu, penting untuk membezakan antara rehat yang menyembuhkan dan pelarian yang memudaratkan. Bertitik tolak daripada hal ini, apabila tubuh dan fikiran dipulihkan, semangat akan kembali menyala. Justeru, beristirahatlah dengan niat memperkuatkan langkah, bukan untuk melupakan perjuangan yang menanti di hadapan.

Kesimpulannya, rasa malas tidak wajar dianggap musuh semata-mata. Ia hadir sebagai isyarat bahawa jiwa perlukan penjagaan dan hati perlukan arah. Persis kata mutiara, “Dalam setiap kelemahan, tersembunyi kekuatan yang menanti disedari.” Oleh itu, dengarlah bisikan lembut dari dalam diri, kerana mungkin di sanalah letaknya kunci perubahan. Secara keseluruhan, apabila kita belajar memahami dan menakluk rasa malas dengan kasih, sabar, dan tindakan berterusan, maka di situlah bermulanya kebangkitan yang sejati — kebangkitan insan yang sedar akan makna perjuangan hidupnya.

GURU MESTI BERJIWA GURU


Dewasa ini, dunia pendidikan sedang melalui pelbagai perubahan besar yang menuntut ketahanan, kebijaksanaan dan keikhlasan insan bernama guru. Dalam meniti kehidupan pada marcapada, tugas seorang guru bukan sekadar mengajar, tetapi membentuk jiwa dan peribadi insan. Guru yang hebat bukan diukur melalui banyaknya sijil atau pangkat, tetapi melalui jernih niat dan ketulusan hati dalam mendidik anak bangsa.

Umum mengetahui bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya, tetapi satu panggilan jiwa. Menjadi guru bukan mudah kerana ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan emosi yang tinggi. Sering kali guru mendepani pelbagai cabaran – murid yang pelbagai latar belakang, beban kerja yang meningkat serta tekanan dunia pendidikan yang semakin mencabar. Walaupun begitu, guru sejati tetap teguh berdiri dengan senyuman dan semangat yang tidak pernah padam.

Bak kata peribahasa, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Begitulah perjalanan seorang guru dalam menempuh dugaan mendidik anak bangsa. Tidak semua hasil usaha dapat dilihat serta-merta, tetapi setiap butir ilmu yang disemai pasti membuahkan hasil suatu hari nanti. Seorang guru yang berjiwa pendidik tidak mengajar untuk hari ini sahaja, tetapi untuk masa depan yang jauh di hadapan.

Tambahan pula, dalam dunia yang kian berubah pantas, guru berjiwa guru ialah insan yang terus belajar. Mereka tidak berhenti mencari ilmu, memperbaiki kaedah pengajaran dan memperhalusi pendekatan terhadap pelajar. Bertitik tolak daripada hal ini, guru perlu menjadi contoh kepada pelajar dalam hal pembelajaran sepanjang hayat. Seperti yang kita sedia maklum, murid tidak hanya meniru apa yang diajar, tetapi apa yang dilihat. Maka, jika guru ingin melahirkan pelajar berdisiplin dan bermotivasi tinggi, dirinya perlu terlebih dahulu memiliki semangat dan disiplin tersebut.

Sehubungan dengan itu, guru mesti mempunyai hati yang penyayang dan empati yang tinggi. Mengajar bukan sekadar menyampaikan isi pelajaran, tetapi menyentuh hati dan membimbing jiwa. Dalam nada yang berbeza, guru yang hanya mengajar dengan akal tanpa jiwa akan gagal menyalakan semangat belajar dalam diri murid. Sebaliknya, guru yang berjiwa besar mampu membuat pelajar rasa dihargai, dipercayai dan diyakini.

Selain itu, guru berjiwa guru tahu bahawa setiap anak adalah unik dan mempunyai potensi tersendiri. Mereka tidak mengukur semua murid dengan pembaris yang sama. Sebagai contoh, ada murid yang mungkin tidak cemerlang dalam akademik, tetapi berbakat dalam seni, sukan atau kepimpinan. Di sinilah peranan guru untuk menggilap potensi yang ada, bukan menghukum kelemahan yang terserlah.

Seterusnya, guru berjiwa guru bukan sahaja mendidik dengan kata-kata, tetapi dengan perbuatan. Satu cara untuk menanam nilai murni ialah dengan menjadi teladan yang hidup. Bak kata orang tua-tua, “guru kencing berdiri, murid kencing berlari.” Maka, setiap tingkah laku guru menjadi cerminan nilai kepada anak didiknya. Integriti, kesabaran dan kejujuran seorang guru adalah pelajaran yang tidak tertulis dalam buku teks tetapi terpahat kukuh dalam hati pelajar.

Selain itu, dalam menjalankan amanah yang besar ini, guru perlu menjaga keseimbangan antara tanggungjawab profesional dan kehidupan peribadi. Di samping itu, mereka harus bijak mengurus tekanan dan mengekalkan motivasi diri. Guru yang berjiwa tenang dan seimbang lebih mampu memberi inspirasi kepada murid. Dalam dunia pendidikan yang penuh cabaran ini, sokongan rakan sejawat, pentadbir dan masyarakat amat penting agar semangat guru terus menyala.

Bak kata cendekiawan, “pendidik sejati tidak menuntut penghargaan, tetapi memberi makna.” Oleh itu, menjadi guru berjiwa guru bermakna mendidik dengan hati yang ikhlas, berkhidmat dengan kasih, dan bekerja dengan penuh amanah. Guru seperti ini memahami bahawa setiap pelajar adalah anugerah, dan setiap hari di bilik darjah adalah peluang untuk menanam benih perubahan.

Akhirnya, apabila guru berjiwa guru memenuhi setiap ruang pendidikan, sekolah akan menjadi taman ilmu yang subur dengan kasih sayang dan semangat. Anak-anak akan membesar bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan jiwa yang luhur dan hati yang berani bermimpi.

Kesimpulannya, guru berjiwa guru ialah insan yang mengajar dengan kasih, membimbing dengan hikmah dan mendidik dengan keikhlasan. Tuntasnya, jiwa guru adalah nyawa kepada dunia pendidikan. Apabila guru mendidik dengan hati, maka lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga luhur dalam budi. Itulah kemenangan sebenar seorang pendidik — apabila ilmu dan kasihnya kekal hidup dalam jiwa anak bangsa.

APABILA MASA DEPAN BERGERAK LEBIH LAJU DARIPADA PENDIDIKAN


Dewasa ini, dunia bergerak pada kelajuan yang tidak pernah dijangkakan oleh sejarah manusia. Teknologi berkembang dalam kadar eksponen, mencipta landskap baharu yang mencabar norma, nilai, dan sistem pendidikan tradisional. Kecerdasan buatan, automasi, dan realiti digital kini menjadi tunjang kepada pelbagai aspek kehidupan, manakala sistem pendidikan sering tertinggal dalam mengejar perubahan ini. Persoalannya, adakah pendidikan masih berperanan sebagai kompas masa depan, atau sekadar menjadi peta lama dalam dunia tanpa arah?

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, keperluan untuk menyesuaikan pendidikan dengan realiti baharu amat mendesak. Institusi pendidikan tidak lagi boleh bersandar pada kaedah pengajaran lama yang menekankan hafalan dan peperiksaan semata-mata. Anak-anak yang berada di bilik darjah hari ini bakal hidup dalam dunia pekerjaan yang sebahagiannya belum wujud. Oleh itu, sistem pendidikan perlu dirancang agar pelajar bukan sahaja mampu menyesuaikan diri, tetapi juga menjadi pencipta masa depan.

Tambahan pula, pemikiran kritikal dan kemahiran berfikir aras tinggi menjadi keperluan asas bagi generasi akan datang. Namun demikian, terdapat jurang yang ketara antara idealisme pendidikan abad ke-21 dengan pelaksanaannya di sekolah. Banyak dasar pendidikan bercakap tentang inovasi dan pembelajaran berasaskan projek, tetapi pelaksanaannya masih terbatas oleh budaya peperiksaan dan kekangan sistem. Di sinilah letaknya tanggungjawab sekolah untuk memperkasa warga pendidik agar berani berubah dan berfikir di luar kebiasaan.

Sehubungan dengan itu, peranan guru sebagai agen transformasi amat penting. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing yang memupuk daya ingin tahu dan keupayaan berfikir pelajar. Bak kata cendekiawan, “pendidikan bukan tentang mengisi bekas yang kosong, tetapi menyalakan api di dalam jiwa.” Maka, tugas seorang pendidik bukan lagi untuk menyampaikan fakta, sebaliknya untuk membimbing pelajar menavigasi dunia maklumat yang luas dan dinamik.

Selain itu, kepimpinan sekolah turut memainkan peranan besar dalam mengemudi perubahan. Kepimpinan yang visioner perlu memahami denyut nadi perubahan global dan menterjemahkannya ke dalam strategi sekolah. Bertitik tolak daripada hal ini, sekolah harus menjadi ekosistem pembelajaran yang terbuka dan kolaboratif, di mana teknologi bukan lagi pelengkap tetapi alat utama untuk memperkukuh pedagogi. Penggunaan data pembelajaran, analitik pendidikan, dan pendekatan digital harus dimanfaatkan untuk memahami keperluan setiap pelajar secara individu.

Dalam nada yang berbeza, kita juga tidak boleh menafikan cabaran yang datang bersama perubahan pesat ini. Ketidakseimbangan capaian teknologi antara sekolah bandar dan luar bandar menimbulkan jurang digital yang besar. Di samping itu, beban kerja guru dan kekangan infrastruktur sering mengekang hasrat reformasi pendidikan. Walaupun begitu, semangat inovatif dalam kalangan guru perlu terus disemai agar pendidikan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan.

Antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuklah memperkukuh latihan profesional guru berasaskan teknologi serta membina budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga sekolah. Satu cara untuk mengatasi cabaran ini ialah dengan mewujudkan komuniti pembelajaran profesional yang saling menyokong dan berkongsi amalan terbaik. Di samping itu, sekolah perlu lebih fleksibel dalam mengadaptasi kurikulum agar relevan dengan keperluan semasa tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan dan moral.

Bak kata peribahasa, “yang lama dikelek, yang baharu didukung.” Pendidikan masa depan tidak boleh menolak tradisi sepenuhnya, sebaliknya perlu menyesuaikan nilai lama dengan keperluan baharu. Dalam konteks ini, nilai seperti disiplin, hormat, dan tanggungjawab masih menjadi tiang seri kepada pembentukan insan seimbang, biarpun dunia sedang menuju ke arah automasi total.

Lebih-lebih lagi, apabila masa depan bergerak lebih laju daripada pendidikan, kita tidak boleh terus berjalan pada kadar lama. Sistem pendidikan perlu belajar untuk berlari. Ini bukan sekadar soal penggunaan alat digital atau teknologi baharu, tetapi tentang membina minda yang adaptif, kreatif, dan beretika. Sekolah perlu menjadi ruang eksperimen sosial yang melatih pelajar berfikir, bertanya, dan mencipta, bukan hanya menghafal dan menjawab.

Akhirnya, perubahan ini menuntut keberanian dan kebijaksanaan semua pihak. Pendidikan bukan tanggungjawab sekolah semata-mata, tetapi juga keluarga, masyarakat, dan negara. Seperkara lagi, apabila semua pihak bersinergi dalam satu visi yang sama, barulah kita mampu memastikan pendidikan tidak lagi menjadi penonton kepada masa depan, sebaliknya menjadi pengarahnya.

Kesimpulannya, masa depan bergerak pantas dan tidak menunggu sesiapa. Sekiranya pendidikan terus terperangkap dalam paradigma lama, kita akan melahirkan generasi yang mahir menghadapi masa lalu tetapi canggung menghadapi masa depan. Secara tuntas, sistem pendidikan perlu berani berubah, menyesuaikan langkah dengan denyut dunia, dan menanam dalam diri pelajar keyakinan bahawa mereka bukan sekadar penumpang masa depan, tetapi peneraju kepada peradaban baharu.

11 November 2025

POHON RENDANG TUMBUH DARI BENIH DERITA


Di ceruk pedalaman yang jauh dari tar jalan dan huru-hara kota, terdapat sebuah lembah yang sering diselimuti kabus pada waktu pagi. Kabusnya tebal, seakan menyembunyikan segala derita penduduknya daripada pandangan dunia luar. Di sinilah sebuah pondok usang berdiri, bagai seorang tua yang melawan hembusan angin terakhir. Pondok itu tempat tinggal seorang anak bernama Heikal Fahmy, anak kecil yang lahir dalam kepompong kemiskinan, tetapi di dalam hatinya tersembunyi matahari yang sedang mencari ruang untuk bersinar.

Hidup Heikal bagaikan sungai yang mengalir di celah batu. Airnya tetap mengalir, walaupun sering dihimpit kerasnya takdir. Setiap pagi, sebelum cahaya matahari memancar dan burung pun belum memulakan hari, Heikal sudah bangun membantu ibunya mengutip pucuk paku di tebing sungai. Sungai itu menjadi saksi kepada keluhannya yang tidak pernah diluahkan, kepada doanya yang tidak pernah berbunyi. Dia mengutip pucuk paku itu seperti mengutip impian kecil yang masih hijau dan lembut.

Ayahnya pula sering terbaring akibat sakit yang panjang. Ada hari-hari di mana Heikal menatap wajah ayahnya yang pucat lalu bertanya dalam hati, “Bilakah semua ini akan berakhir?” Namun dia tidak pernah membenarkan air mata jatuh. Dia tahu keluarganya memerlukan dirinya untuk kuat.

Sebagai seorang murid, perjalanan ke sekolah bukanlah mudah. Dia meredah jalan tanah merah yang kadang-kadang bertukar bak lautan coklat setiap kali hujan menggila. Setiap langkahnya mengeluarkan bunyi lecak yang perlahan, seakan bumi sendiri memahami perit jerihnya. Kasutnya robek, tali begnya putus, bajunya lusuh. Namun jiwanya tetap teguh, tidak koyak walau diuji.

Setibanya di sekolah, Heikal duduk di hadapan. Mata kecilnya bersinar seperti bintang yang baru muncul di langit malam. Dia mencatat, dia mendengar, dia menyerap setiap ilmu seperti tanah kering meneguk air hujan pertama selepas kemarau panjang. Guru-gurunya melihat sinar itu, sinar yang sukar ditemui dalam dunia murid yang punya segala.

Namun hidup tidak pernah memberi ruang yang luas untuknya. Ketika usianya meningkat, ujian datang seperti ribut yang tidak diundang. Ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir pada suatu malam yang hujan lebat. Langit menangis, bumi bergetar, dan Heikal tersungkur di sisi jenazah. Dia merasakan separuh daripada dirinya turut dikebumikan bersama ayahnya.

Pada malam itu, dia memandang langit gelap dan berbisik dalam hati, “Jika dunia mahu merobohkan aku, biarlah aku rebah atas jalan perjuangan. Aku tidak akan kalah.”

Selepas kematian ayahnya, hidup menjadi semakin menghimpit. Dia bekerja sambilan selepas sekolah. Dia angkut kotak, dia basuh pinggan, dia lap meja, dia pikul beban yang sepatutnya bukan untuk bahunya yang kurus itu. Pada malam hari, dia belajar di bawah cahaya lampu minyak tanah yang malap, seakan bintang yang tinggal satu di langit.

Ada hari dia terlalu letih untuk berdiri, namun dia tetap belajar. Dia tahu impian adalah pokok yang perlu disiram walaupun dengan air mata dan keletihan.

Walaupun sering dihina kerana pakaian buruk dan tubuh kurus, Heikal tetap berjalan dengan kepala tegak. Dia tahu nilai seorang manusia tidak terletak pada bajunya, tetapi pada impiannya.

Akhirnya, hari yang dinanti tiba. Keputusan peperiksaan diumumkan. Nama Heikal Fahmy bergema di seluruh dewan sekolah sebagai antara pelajar terbaik. Pada ketika itu, dia berdiri di pentas bagai pahlawan yang pulang daripada peperangan panjang. Sijil di tangan, air mata mengalir di pipinya. Dia mendongak ke langit, seakan berkata kepada arwah ayahnya, “Aku sudah berjaya melewati badai ini.”

Kejayaan itu membuka jalan ke universiti. Di menara ilmu itu, Heikal tumbuh menjadi seorang lelaki yang matang dan berhati halus. Dia memilih menjadi guru kerana di dalam hatinya, pendidikan adalah pelita yang pernah menyelamatkan dirinya daripada gelap yang panjang.

Apabila kembali menjadi guru, Heikal tidak hanya mengajar menggunakan buku, tetapi menggunakan pengalaman hidup. Kata katanya lembut, nasihatnya jujur, dan setiap perbuatannya mencerminkan kasih yang lahir daripada luka. Dia memberi bantuan kepada murid yang memerlukan, bukan kerana kasihan, tetapi kerana dia memahami peritnya hidup tanpa apa apa.

Tahun demi tahun, aura kepimpinannya semakin menyerlah. Dedikasi dan ketulusannya akhirnya membawanya ke satu kedudukan yang tidak pernah dia impikan: Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Zulkarnain Farihin.

Pada hari pertama dia melangkah masuk ke pejabat pengetua, angin yang bertiup seakan memberi salam hormat. Dia berdiri lama, melihat sekeliling. Hatinya digenggam rasa syukur yang tidak mampu digambarkan dengan kata kata.

Heikal tidak pernah lupa dari mana dia datang. Dia menjadi pengetua yang memayungi anak anak miskin dengan kasih dan harapan. Dia melancarkan program bantuan makanan, kelas bimbingan percuma, tabung serba guna, dan pelbagai inisiatif yang memberi peluang kepada murid kurang berkemampuan untuk terus bermimpi.

Kadang kadang apabila melihat murid yang datang dengan pakaian lusuh dan mata yang redup, hatinya direntap memori lamanya. Dia merasakan dirinya sedang melihat pantulan masa lalunya.

Dan setiap kali itu berlaku, dia berjanji dalam hati,
“Aku tidak akan biarkan sesiapa pun berjalan dalam gelap seperti yang pernah aku lalui.”

Begitulah riwayat seorang anak yang pernah hidup di lembah derita, namun bangkit menggapai bintang. Heikal Fahmy adalah bukti bahawa kemiskinan bukan tembok, tetapi batu loncatan untuk siapa yang berani bermimpi.

Dia pernah kecil dan rapuh, namun hari ini dia menjadi pohon rendang yang menaungi ratusan anak yang dahaga harapan.

Langit yang pernah gelap itu akhirnya cerah, kerana ada seorang insan yang memilih untuk menjadi matahari.

"ANAK DUNIA TANPA PETA" : KE MANAKAH ARAH PENDIDIKAN?

 


Pada masa ini, dunia sedang berubah dengan kelajuan yang mengatasi jangkaan manusia. Landskap sosial, ekonomi, dan teknologi berkembang dalam bentuk yang tidak linear. Dalam keadaan ini, generasi yang sedang membesar hari ini bakal melangkah ke sebuah dunia yang tidak mempunyai peta tetap. Paradigma kerjaya, struktur masyarakat, dan cara manusia berfikir telah memasuki fasa baharu yang lebih kompleks. Pendidikan menjadi benteng terakhir untuk menyediakan mereka menghadapi masa depan yang tidak menentu. Namun persoalan yang semakin meresahkan ialah adakah sistem pendidikan kita mampu bergerak seiring perubahan yang pesat ini.

Dewasa ini, ramai tokoh pendidikan menekankan bahawa sekolah bukan lagi pusat penghantaran fakta. Sekolah merupakan medan pembentukan insan yang mampu membaca keadaan, menafsir makna, dan membuat keputusan dalam situasi yang berubah. Sehubungan dengan itu, peranan pendidikan telah berganjak daripada sekadar penyampaian ilmu kepada pembinaan keupayaan manusia. Perubahan ini menuntut sekolah untuk menilai kembali pendekatan yang selama ini menjadi amalan.

Berdasarkan pemerhatian harian, murid hari ini lahir dalam ekosistem digital yang membuat mereka jauh lebih terdedah kepada maklumat berbanding generasi terdahulu. Akses kepada teknologi memberi kelebihan tertentu, tetapi pada masa yang sama melahirkan cabaran baharu. Antara cabaran yang semakin ketara ialah tumpuan yang singkat, kebergantungan kepada hiburan segera, dan kecenderungan membuat keputusan tanpa analisis mendalam. Dalam nada yang berbeza, mereka turut menunjukkan kebijaksanaan visual, kemahiran intuitif, serta keberanian mencuba perkara baharu. Perubahan dominan ini perlu dibaca oleh sekolah dengan teliti agar strategi pembelajaran benar-benar selari dengan realiti perkembangan murid.

Tambahan pula, sistem pendidikan hari ini sering terikat pada struktur peperiksaan yang linear. Keadaan ini menyebabkan murid dan guru lebih tertumpu kepada capaian markah berbanding penguasaan kemahiran sebenar. Sementelahan, dunia luar sekolah tidak lagi menilai individu berdasarkan keupayaan mengingat fakta, tetapi berdasarkan kecekapan menyelesaikan masalah, kreativiti, kemampuan bekerja dengan pelbagai perwatakan manusia, dan daya tahan dalam menghadapi ketidakpastian. Berbeza dengan era terdahulu, murid masa kini perlu belajar bagaimana untuk terus belajar.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan sekolah perlu memainkan peranan yang lebih strategik. Perubahan pendidikan tidak boleh ditolak kepada guru semata-mata. Ia mesti bermula dengan visi yang jelas tentang hala tuju murid. Antara langkah utama yang sentiasa saya fikirkan ialah menyediakan budaya sekolah yang menggalakkan percubaan, bukan hanya pencapaian. Guru perlu diberi ruang bereksperimen dengan pendekatan baharu, termasuk pembelajaran berasaskan projek, pentaksiran autentik, dan pendekatan kolaboratif yang menuntut murid berfikir secara lebih luas.

Selain itu, saya melihat bahawa murid memerlukan kemahiran mengurus diri lebih daripada apa yang kita bayangkan. Dunia tanpa peta menuntut mereka memiliki kecerdasan emosi yang tinggi. Seperti yang kita sedia maklum, tekanan hidup dan dunia siber sering membawa murid kepada keresahan yang tidak terlihat. Oleh itu, sekolah tidak boleh hanya memberi fokus kepada akademik. Di samping itu, sekolah perlu membina kekuatan rohani, ketahanan mental, serta kemahiran interpersonal yang menjadi benteng diri bagi menghadapi realiti yang kasar dan mencabar.

Dalam konteks lebih luas, hubungan antara sekolah, keluarga, dan komuniti perlu diperkukuh. Sementelahan dunia luar sangat dinamik, kita tidak mampu lagi berfikir bahawa pendidikan hanya berlaku dalam bilik darjah. Murid belajar melalui pengalaman. Mereka belajar melalui interaksi. Mereka belajar melalui kegagalan. Oleh itu, program pendidikan mesti melibatkan persekitaran sebenar. Contohnya melalui projek komuniti, aktiviti kesukarelawanan, dan kolaborasi dengan dunia industri. Apabila murid terdedah kepada realiti sebenar, mereka lebih bersedia membina kerangka pemikiran yang holistik.

Dalam renungan yang lebih mendalam, perubahan pendidikan tidak akan berlaku dengan sendirinya. Ia memerlukan keberanian untuk meninggalkan cara lama. Bertitik tolak daripada hal ini, saya sentiasa percaya bahawa masa depan pendidikan terletak pada kesediaan sekolah untuk berubah mengikut arus. Guru perlu dibimbing supaya berperanan sebagai fasilitator pemikiran, bukan penyampai nota. Murid perlu dibimbing untuk membina minat, bukan hanya mengejar gred. Pemimpin sekolah pula perlu membuka jalan dengan menyediakan sokongan, latihan, dan persekitaran kerja yang seimbang.

Akhirnya, arah pendidikan akan menentukan nasib generasi masa depan. Sekiranya kita masih kekal dengan cara lama, murid akan melangkah ke dunia baharu dalam keadaan hilang arah. Jika kita berani membuat perubahan, sekolah boleh menjadi kompas yang memandu mereka menavigasi dunia tanpa peta. Langkah kecil yang konsisten akan membawa perubahan besar dalam jangka panjang.

Konklusinya, dunia masa depan tidak lagi memerlukan manusia yang sekadar pandai mengikut arahan. Ia memerlukan generasi yang mampu mencipta arah. Sekolah hari ini perlu menjadi titik mula untuk membina keberanian intelektual ini. Apabila pendidikan berjaya mengangkat potensi manusia, barulah anak hari ini mampu melangkah ke dunia esok dengan yakin dan berdaya.

KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI : RETORIK ATAU REALITI DI SEKOLAH


Dalam wacana pendidikan moden, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sering dimomokkan sebagai pasak utama dalam melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global. Hakikatnya, dalam  seminar, dalam dokumen dasar, dan dalam wacana profesional, KBAT diangkat sebagai lambang kecanggihan pedagogi. Namun begitu persoalan yang lebih penting ialah sejauh manakah KBAT benar-benar hidup dalam bilik darjah? Adakah ia sebuah realiti yang tersusun dalam amalan guru, atau sekadar retorik yang indah di atas kertas tetapi hambar dalam pelaksanaan?

Realitinya, KBAT bukan istilah baharu. Ia telah lama diulang, diperkuat, dan dituntut dalam pelbagai gelombang transformasi pendidikan. Walau bagaimanapun, dalam banyak pemerhatian, pelaksanaannya tidak konsisten. Ada bilik darjah yang kaya dengan dialog intelektual, perbincangan terbuka, dan pemikiran kritis yang subur. Akan tetapi,  tidak kurang juga ruang pembelajaran yang masih terpaku kepada hafalan fakta, latihan mekanikal, dan pembelajaran berpusatkan guru. Jurang antara aspirasi dan realiti ini membentuk satu dilema pedagogi yang perlu ditangani secara jujur.

Dari sudut pandang kepimpinan sekolah, cabaran utama pelaksanaan KBAT sebenarnya terletak pada struktur dan budaya sekolah itu sendiri. Ramai guru memahami konsep KBAT secara teori, tetapi masih mencari cara untuk mengoperasionalkannya dalam konteks murid yang pelbagai tahap, silibus yang padat, dan tekanan peperiksaan yang tinggi. Kekangan masa merupakan faktor kritikal; apabila jadual pengajaran dipadatkan, guru cenderung memilih strategi paling “selamat”,  iaitu mengajar untuk memastikan murid lulus, bukan untuk mengajar murid berfikir.

Selain itu, memahami KBAT tidak semudah mempelajari satu formula. Ia bukan sekadar menambah soalan aras tinggi pada penghujung latihan. Ia memerlukan perubahan paradigma. Guru harus berani memberi ruang kepada murid untuk bertanya soalan yang mencabar, untuk berfikir secara divergenn, dan mencuba jawapan yang tidak semestinya tepat. Namun begitu, budaya pembelajaran kita secara tradisi lebih meraikan jawapan betul berbanding proses berfikir. Akibatnya, murid sering mengalami kegelisahan apabila berhadapan soalan yang tiada jawapan tunggal, manakala guru pula bimbang mengganggu “kelancaran” PdP apabila masa banyak dihabiskan kepada perbincangan.

Pengalaman di sekolah menunjukkan bahawa KBAT sebenarnya lebih mudah berkembang apabila guru mempunyai sokongan profesional yang kukuh. Ini termasuk komuniti pembelajaran profesional, bimbingan berterusan, dan ruang untuk mencuba kaedah baharu tanpa rasa bersalah jika percubaan pertama tidak sempurna. Guru yang yakin secara pedagogi akan lebih berani melaksanakan aktiviti pengayaan, projek kolaboratif, dan penilaian autentik, elemen-elemen yang menjadi roh KBAT tetapi jarang muncul apabila guru bekerja dalam keadaan tekanan dan kekangan.

Bagi murid pula, pelaksanaan KBAT menuntut mereka meninggalkan gaya belajar pasif. Mereka perlu lebih reflektif, lebih berani bersuara, dan lebih terbuka terhadap idea baharu. Walau bagaimanapun pembinaan budaya murid seperti ini memerlukan masa. Tidak semua murid dibesarkan dalam persekitaran yang memberi nilai kepada hujah, dialog, atau kreativiti. Ada yang sudah terbiasa dengan sistem “hafal dan ulang”. Oleh itu, peranan sekolah ialah membina persekitaran selamat untuk murid berfikir, tanpa malu, tanpa takut salah.

Perkara yang sering tidak disebut ialah hakikat bahawa KBAT memerlukan suasana emosi yang stabil. Murid yang cemas, tertekan, atau tidak berasa diterima tidak akan berani menunjukkan pemikiran kreatif atau kritis. Begitu juga guru. Dalam pengamatan harian, budaya sekolah yang positif, hubungan interpersonal yang mesra, dan kepimpinan yang empati sangat membantu memulihkan keberanian intelektual dalam bilik darjah. KBAT tidak boleh berkembang dalam persekitaran yang keras, kompetitif secara melampau, atau terlalu menekan guru dan murid.

Beberapa inisiatif yang diperkenalkan di sekolah menunjukkan hasil positif. Contohnya, apabila guru diberi peluang merancang tugasan berasaskan projek (project-based learning) dalam kumpulan kecil, mereka lebih kreatif dalam mengintegrasikan elemen analisis, penilaian, dan penciptaan. Aktiviti debat, simulasi, atau tugasan berbentuk penyelesaian masalah dunia sebenar turut menunjukkan peningkatan dalam kualiti pembelajaran murid. Murid kelihatan lebih terlibat, lebih ingin tahu, dan lebih berani mencuba.

Satu cabaran besar masih kekal: penilaian. Selagi sistem penilaian awam menekankan jawapan tunggal dan format tetap, guru sukar memberi komitmen penuh kepada KBAT. Ini bukan soal keengganan, tetapi realiti praktikal. Guru mahu murid cemerlang dalam peperiksaan, maka strategi pengajaran sering kembali kepada teknik yang memaksimumkan skor, bukan teknik yang merancakkan pemikiran.

Walaupun begitu, perubahan tidak mustahil. Jika sekolah berjaya membangunkan ekosistem pembelajaran yang menghargai proses berfikir, bukan sekadar hasil akhir, KBAT akan berubah daripada slogan kepada budaya. Kekuatan sekolah terletak pada keupayaan memimpin perubahan kecil tetapi konsisten yakni memperbaiki cara bertanya soalan, menggalakkan dialog antara murid, menyediakan tugasan terbuka, dan merayakan kreativiti.

Dalam renungan yang lebih mendalam, KBAT ialah gambaran masa depan pendidikan. Dunia memerlukan generasi yang bukan sahaja mampu mencari jawapan, tetapi mampu mempersoalkan soalan. Sekiranya sekolah berjaya memupuk keberanian intelektual ini, maka KBAT bukan lagi retorik. Ia akan menjadi realiti yang hidup, realiti yang melahirkan murid berfikir, guru yang yakin, dan sekolah yang benar-benar bergerak ke hadapan.

"BURNOUT GURU" APABILA DEDIKASI MENJADI BEBAN


Dalam dunia pendidikan, kita sering mengangkat guru sebagai nadi sekolah, iaitu insan yang memacu perjalanan anak-anak menuju masa depan. Namun begitu, dalam keghairahan kita meraikan kejayaan, kita kadang-kadang terlupa pada sisi lain: keletihan yang senyap, yang perlahan-lahan menghakis semangat seorang guru. Sebagai pengetua, saya melihat fenomena burnout bukan lagi isu pinggiran. Ia realiti yang semakin meruncing, terutamanya selepas era pandemik yang mengubah landskap pedagogi secara drastik.

Burnout bukan sekadar rasa penat di hujung hari. Ia satu keadaan emosi, mental, dan fizikal yang memuncak sehingga mengganggu fungsi profesional dan kesejahteraan peribadi. Guru boleh hilang motivasi, semakin sinis, semakin mudah tersinggung, dan secara diam-diam, kehilangan rasa cinta terhadap profesion yang dulu mereka sayangi. Yang lebih membimbangkan, gejala ini tidak datang tiba-tiba; ia membina perlahan-lahan, seperti air yang saban hari menghakis tebing.

Sebagai pengetua, saya menyaksikan bebanan guru datang dari banyak arah. Pertama sekali, tuntutan kerja yang semakin kompleks. Dahulu, tugas guru lebih tertumpu kepada pengajaran. Kini, guru menjadi pendidik, kaunselor tidak formal, jurulatih pembelajaran digital, perekod data, dan kadang kala pengurus acara. Sistem pendidikan yang semakin berorientasikan pencapaian dan laporan telah menambah lapisan demi lapisan tugas pentadbiran, sehingga berlaku ketidakseimbangan antara pengajaran sebenar dan urusan dokumentasi. Ramai guru merasakan mereka terpaksa “mengajar atas kertas”, bukan di bilik darjah.

Selain itu, sikap masyarakat yang semakin kritikal turut memberi tekanan. Harapan ibu bapa melonjak tinggi, manakala ruang empati kadang-kala mengecil. Anak gagal, guru dipersoal. Murid bermasalah, guru dituding. Dalam keadaan sebegini, guru terperangkap dalam dilema untuk memenuhi semua permintaan, hingga memijak batas kemampuan sendiri.

Faktor ketiga ialah cabaran murid masa kini. Anak-anak generasi digital muncul dengan set keperluan yang lebih kompleks yakni daripada isu tumpuan, gangguan emosi, sehingga masalah sosial yang merentas sempadan sekolah. Guru-guru yang prihatin akan merasakan tekanan emosi apabila berdepan murid yang memerlukan perhatian pemulihan, tetapi masa dan sumber tidak mencukupi.

Namun begitu, sebagai pengetua, saya tidak mahu hanya melihat masalah ini; saya mahukan penyelesaian yang realistik dan manusiawi. Langkah pertama ialah mengiktiraf burnout sebagai isu sebenar, bukannya kelemahan. Guru yang penat bukan bermaksud guru itu tidak cekap atau hilang komitmen. Mereka hanya manusia biasa dengan kapasiti yang ada hadnya. Menghapus stigma terhadap keletihan adalah langkah penting untuk membuka ruang perbincangan terbuka.

Seterusnya, saya percaya kepimpinan sekolah memainkan peranan yang besar dalam meredakan tekanan guru. Seorang pengetua perlu peka terhadap emosi warga sekolah. Ini bukan bermaksud memanjakan, tetapi menyediakan ruang sokongan yang tulus. Dalam pengalaman saya, guru hanya perlukan dua perkara asas: pemahaman dan penghargaan. Apabila guru tahu mereka dilihat, dihargai, dan disokong, separuh daripada beban emosinya terangkat dengan sendirinya.

Saya juga berusaha menstruktur tugasan sekolah secara lebih bijaksana. Tugas pentadbiran yang terlalu membebankan perlu dirasionalisasikan. Tidak semua perkara perlu diminta dalam bentuk laporan panjang berjela. Kadang-kadang, satu perbualan refleksi lebih bermakna daripada sepuluh muka surat dokumentasi. Pengurusan masa mesyuarat juga perlu lebih mesra guru, iaitu ringkas, fokus, dan relevan.

Selain itu, budaya kerja yang sihat perlu dipupuk. Guru tidak boleh sentiasa bekerja dalam suasana tekanan. Mereka juga perlu ruang untuk berkembang secara profesional melalui latihan yang menyeronokkan, bukan membebankan. Aktiviti kebajikan warga sekolah, sesi santai, dan inisiatif kesejahteraan mental perlu diberi perhatian. Mungkin nampak kecil, tetapi kesan emosinya besar.

Sebagai pengetua, saya turut percaya bahawa memupuk komuniti sekolah yang positif adalah penawar jangka panjang. Sekolah bukan hanya tempat bekerja; ia organisasi yang berdenyut dengan hubungan manusia. Apabila guru saling menyokong, bergurau, berkongsi idea, dan merasakan mereka sebahagian daripada keluarga profesional, burnout sukar bertapak. Komuniti yang kuat ialah benteng paling ampuh melawan keletihan.

Akhirnya, apabila kita bercakap tentang burnout, kita bercakap tentang masa depan pendidikan. Jika guru rebah, seluruh sistem runtuh. Jika guru hilang semangat, murid hilang masa depan. Oleh sebab itu, menjaga guru bukan sekadar isu kebajikan; ia adalah strategi pembangunan negara. Guru yang sejahtera akan melahirkan murid yang sejahtera.

Sebagai pengetua, saya melihat peranan saya bukan hanya sebagai pentadbir, tetapi sebagai penjaga ekosistem kerja yang sihat. Saya mahu guru-guru di sekolah saya datang bekerja dengan hati yang ringan, pulang dengan rasa puas, dan tidur dengan tenang. Saya mahu mereka merasakan bahawa profesion ini masih mulia, dan mereka masih wira yang dihormati, bukan robot yang mengejar data, bukan buruh akademik yang tertekan. Burnout boleh diurus. Akan tetapi ia memerlukan empati, kepimpinan yang berhikmah, dan keberanian untuk meletakkan manusia kembali di tengah sistem pendidikan. Dan selagi guru-guru saya terus berjuang untuk anak-anak bangsa, saya akan terus berjuang untuk mereka.

10 November 2025

CO-TEACHING : RASIONAL, KELEBIHAN DAN KEKURANGAN


Sebagai seorang pengetua yang setiap hari berdepan dengan cabaran pengurusan sekolah dan perkembangan murid yang semakin kompleks, saya melihat keperluan untuk memperkukuh amalan PdP sebagai satu keutamaan. Perubahan landskap pendidikan menuntut pendekatan yang lebih fleksibel, inklusif dan responsif terhadap kepelbagaian murid. Dalam konteks ini, konsep dua orang guru mengajar dalam satu kelas atau co-teaching bukan sekadar satu inovasi, tetapi satu strategi yang semakin relevan untuk memastikan murid mendapat sokongan optimum. Artikel ini menghuraikan rasional, kebaikan serta kelemahan model ini berdasarkan pengalaman dan perspektif seorang pengetua.


Rasional Pelaksanaan Co-Teaching di Sekolah

Pertama sekali, saya melihat wujudnya kepelbagaian murid dalam kelas sebagai sebab utama perlunya dua guru diletakkan dalam satu bilik darjah. Murid hari ini datang daripada latar belakang yang pelbagai, memiliki gaya pembelajaran yang berbeza, tahap penguasaan yang tidak sama dan sesetengahnya memerlukan perhatian khusus. Seorang guru, walau sebaik mana sekalipun, tetap mempunyai had dari segi masa, tenaga dan fokus. Dalam kelas besar, sukar untuk memastikan setiap murid benar-benar mendapat bimbingan yang mencukupi.

Kedua, pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menekankan pentaksiran berterusan memerlukan guru mengesan perkembangan murid secara lebih teliti. Dengan hanya seorang guru, proses ini boleh menjadi berat dan kurang efisien. Kehadiran guru kedua bukan sahaja membantu dari sudut pentaksiran, tetapi memastikan pembelajaran berlaku dalam suasana yang lebih kondusif.

Dari perspektif pengurusan sekolah, pendekatan ini juga signifikan dalam menyokong pendidikan inklusif. Murid Berkeperluan Khas (MBK) semakin ramai ditempatkan di kelas arus perdana, dan bagi memastikan mereka tidak tercicir, kehadiran guru kedua seperti Guru Pendidikan Khas amat penting. Mereka dapat bekerjasama dan memastikan murid mendapat sokongan sewajarnya tanpa mengganggu aliran PdP.

Akhirnya, saya melihat co-teaching sebagai satu usaha meringankan beban guru yang semakin meningkat. Tekanan kerja yang tinggi boleh menjejaskan kualiti pengajaran. Dengan dua guru dalam kelas, mereka boleh saling membantu, berkongsi tugas dan memastikan PdP lebih lancar serta berkesan.


Kebaikan Co-Teaching dari Kacamata Pengurusan Sekolah

Kelebihan paling ketara ialah peningkatan kualiti PdP. Dengan dua guru menguruskan kelas, PdP menjadi lebih interaktif dan murid lebih mudah memberi respons. Satu perkara yang saya perhatikan ialah murid menjadi lebih fokus apabila terdapat dua figura guru. Mereka lebih berdisiplin, lebih terarah dan kurang peluang untuk hilang tumpuan.

Selain itu, intervensi dapat dilakukan secara serta-merta. Ketika seorang guru mengajar, guru kedua boleh memberikan bantuan kepada murid yang perlahan memahami. Pendekatan ini mengurangkan jurang penguasaan antara murid lemah dan murid cemerlang. Sebagai pentadbir, saya amat menghargai keberkesanan intervensi awal ini kerana ia mengurangkan keperluan untuk program pemulihan intensif di kemudian hari.

Dari sudut pembangunan profesional guru, co-teaching memberikan peluang pembelajaran yang amat baik. Guru dapat memerhati teknik rakan mereka, bertukar idea, memperbaiki kelemahan masing-masing dan membina sinergi pedagogi. Di sekolah saya, beberapa pasangan guru melaporkan peningkatan motivasi dan keyakinan selepas melaksanakan co-teaching secara berterusan.

Tambahan pula, pentadbiran kelas menjadi lebih terkawal. Masalah disiplin dapat ditangani dengan lebih cepat kerana perhatian guru tidak terbahagi sepenuhnya kepada pengajaran semata-mata. Ini memberi kesan positif kepada iklim bilik darjah dan prestasi keseluruhan murid.


Kelemahan dan Cabaran yang Harus Diakui

Namun, seperti mana-mana pendekatan, co-teaching juga datang dengan cabaran tertentu. Perancangan bersama adalah cabaran utama yang saya lihat di lapangan. Untuk menjadikan pengajaran dua guru berkesan, kedua-duanya perlu meluangkan masa merancang PdP bersama. Jika jadual mereka tidak sepadan, perancangan boleh menjadi minimal dan pelaksanaannya kurang bertenaga.

Selain itu, ketidaksamaan gaya mengajar juga menjadi isu. Ada guru yang lebih dominan, ada yang lebih selesa memainkan peranan sokongan. Jika peranan tidak dibincang secara jelas, wujud kemungkinan seorang guru menjadi terlalu pasif hingga mengurangkan kesan sebenar co-teaching.

Saya juga tidak menafikan bahawa murid kadangkala keliru jika kedua-dua guru memberikan arahan yang tidak selari. Oleh itu, persefahaman pedagogi antara guru amat penting. Mereka perlu tampil sebagai satu pasukan yang bergerak seiring.

Dari perspektif pentadbiran, isu penjadualan masa mengajar dan kekangan jumlah guru turut menjadi faktor yang perlu ditangani. Tidak semua sekolah mempunyai bilangan guru yang mencukupi untuk melaksanakan co-teaching dalam semua kelas. Ini memerlukan keutamaan strategik dan perancangan teliti.


Kesimpulan: Ke Arah Pembelajaran yang Lebih Manusiawi

Sebagai seorang pengetua, saya melihat konsep dua guru mengajar dalam satu kelas sebagai satu model PdP yang amat berpotensi untuk meningkatkan keberhasilan murid. Walaupun terdapat cabaran, kelebihannya lebih besar dan memberi impak langsung kepada kualiti pembelajaran. Murid mendapat perhatian lebih baik, guru berkembang secara profesional dan suasana bilik darjah menjadi lebih kondusif dan terkawal.

Pelaksanaan co-teaching memerlukan perancangan rapi, komunikasi jelas dan komitmen kedua-dua guru. Namun begitu, apabila ia berjaya dilaksanakan, ia mampu mengubah budaya PdP ke arah yang lebih inklusif, kolaboratif dan memanusiakan murid. Sebagai pentadbir sekolah, saya percaya pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan prestasi murid, tetapi membawa kita lebih dekat kepada aspirasi pendidikan holistik yang menekankan perkembangan menyeluruh insan.